UCAPAN PENGETUA SMK BUKIT GOH 2008

Bismillahirrahmaanirrahim
Assalaamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Terima kasih pengacara majlis,

Yang berusaha Encik Zainuren bin Hj Mohd Nor,
Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan,

Encik Mohd Busu bin Umat,
Mantan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh
Encik Wan Ludin bin Wan Ali,
Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh

Barisan AJK PIBG

Guru-Guru Penolong Kanan,
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh

Guru-guru, ibubapa serta anak-anak pelajar yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah. Dengan izin Allah S.W.T., sekali lagi kita dapat menghirup udara nyaman pada hari ini dan bersama-sama berkumpul dalam majlis yang penuh bersejarah dan amat bermakna ini, iaitu Mesyuarat Agung PIBG dan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh 2008.

Saya bagi pihak warga Sekolah Menengah Kebangsaan ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Encik Zainuren bin Hj Mohd Nor, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan kerana dapat meluangkan masa untuk bersama-sama kita semua pada hari yang mulia ini. Sesungguhnya, kehadiran Encik Zainuren mencerminkan iltizam dan sikap prihatin beliau terhadap pelajaran di daerah Kuantan amnya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh, khususnya. Kehadiran beliau juga merupakan satu penghormatan yang sukar dilupakan oleh warga Sekolah Menengah Bukit Goh dan ibubapa pelajar-pelajar di sini. Sebenarnya, keinginan warga pendidik dan ibubapa untuk mengenali Tuan Pegawai Pelajaran Daerah secara lebih dekat telah berputik sejak beliau mula bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan. Kehadiran beliau pada hari ini bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang. Semoga kehadiran beliau, memberikan input yang berguna kepada kita semua, khususnya warga pendidik dan pelajar. Seperti mutiara kata:

Yang indah itu pertemuan,
yang manis itu kemesraan,
yang pahit itu perpisahan,
yang tinggal hanyalah kenangan.


Tuan Pegawai Pendidikan Daerah, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Majlis kita hari ini digabungkan antara Mesyuarat Agung PIBG dan Hari Anugerah Kecemerlangan untuk menunjukkan betapa intimnya hubungan kejayaan dan kecemerlangan pelajar dengan tanggungjawab yang terpikul atas pundak ibubapa dan guru. Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan dorongan kepada pelajar-pelajar cemerlang kita supaya mereka terus mencipta kecemerlangan pada masa hadapan terutamanya dalam bidang-bidang baru yang bakal diterokai pada masa depan.

Tidak dinafikan, kecemerlangan akademik merupakan wadah yang akan menjadi penentu masa depan para pelajar khususnya pada era millenium ini yang sangat mementingkan sains dan teknologi. Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam segala bidang, para pelajar harus berani meneroka pelbagai disiplin ilmu yang bermanfaat bagi memantapkan diri pada era globalisasi ini.


Tuan Pegawai Pelajaran Daerah, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Majlis ini amat besar ertinya bagi saya. Majlis ini memberi peluang kepada saya mengenali ibubapa secara lebih dekat lagi. Kata orang tua-tua, Tak Kenal Maka Tak Cinta. Di kesempatan keemasan ini, izinkan saya berkongsi misi dan visi sekolah bersama tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Semoga perkongsian ini mampu membina tapak yang kukuh ke arah lonjakan akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Kami warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh telah sama-sama bertekad untuk melakarkan sejarah kegemilangan sekolah ini di kalangan sekolah-sekolah FELDA di negeri Pahang. Kerana itulah, pernyataan visi ini perlu dikongsikan bersama ibubapa pada hari ini. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian, visi sekolah ini ialah Menjadikan SMK Bukit Goh cemerlang antara FELDA Negeri Pahang Pada 2010. Kita memilih visi ini bersesuaian dengan persekitaran sekolah yang berada dalam gugusan FELDA, antara yang tertua di Pahang.

Bagi kami warga pendidik dan pelajar, visi ini bukan perkara mustahil atau angan-angan Mat Jenin sahaja. Indah dilafazkan tetapi sukar dilaksanakan. Kami sebenarnya menaruh sepenuh keyakinan dan segunung harapan bahawa tidak ada perkara yang mustahil di era dunia tanpa sempadan ini. Syaratnya, kemahuan yang tinggi, disiplin yang terarah, kefahaman yang selaras dan kebersamaan dalam tindakan adalah resepi utama menjayakan visi sekolah ini. Oleh itu marilah kita bersama-sama menempuh hambatan dan cabaran baru. Ibarat cangkat sama didaki, lurah sama dituruni; kuah sama dihirup, sambal sama dicolek; terapung sama hanyut, terendam sama basah; seliang bagai tebu, serumpun bagai serai'. Marilah sama-sama kita merintis denai, menebas semak-samun agar kita sama-sama menggapai apa yang sama-sama kita ingini.

Awal pagi embun berderai,
Melur di laman segar berbunga,
Kalau hasrat belum dicapai,
Padukan tekad tingkatkan usaha.


Tuan Pegawai Pendidikan Daerah, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kami juga telah meletakkan 6 misi penting sekolah untuk menjayakan visi yang menjadi puncak tujuan kita bersama. Enam misi yang saya maksudkan itu ialah :
1. Kecemerlangan akademik melalui pengajaran dan pembelajaran berkesan
2. Kecemerlangan sahsiah melalui program Bina Insan yang efektif
3. Kecemerlangan Kokurikulum melalui pendekatan inovatif
4. Kecemerlangan Pengurusan Sekolah
5. Tahap Keselamatan, kebersihan dan keceriaan yang semaksima
6. Hubungan komuniti yang berkesan.

Selaku juragan dalam bahtera perkasa yang bernama Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh ini, izinkan saya menitipkan beberapa noktah berharga untuk menjadi bekalan dan renungan tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Dalam usaha memenuhi misi kecemerlangan akademik, warga pendidik sekolah ini yang sudah pastinya terdiri dari intan terpilih, amat menitikberatkan kecemerlangan akademik para pelajarnya. Berbagai program telah diperinci dan diperkasakan, semata-mata ingin melihat anak didiknya mencapai kejayaan yang cemerlang. Antaranya kursus-kursus motivasi, seminar menjawab soalan, kelas-kelas tuisyen termasuk yang dibiayai oleh pihak FELDA dan PIBG sendiri, kursus kepimpinan dan jatidiri bersesuaian dengan seruan kerajaan untuk menjana modal insan dan melahirkan warga minda kelas pertama supaya dapat berdaya saing pada masa akan datang demi kehidupan dunia dan akhirat. Kehebatan ilmu itu dijelmakan melalui pantun berikut :

Lembu siapa di tepi pantai,
Lembu Cik Amat bawa ke Jawa,
Ilmu apa tuan pakai,
Langit bertepuk bumi ketawa.

Natijahnya, sekolah ini telah mencatat keputusan positif dalam peperiksaan PMR dan SPM pada tahun 2007 sehingga mendapat sijil penghargaan daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan. Terima kasih tidak terhingga kepada Tuan Pegawai Pelajaran Daerah di atas inisiatif tersebut sebagai galakan kepada sekolah-sekolah daerah Kuantan.

Untuk makluman Tuan Pegawai Pendidikan Daerah, ibubapa serta anak-anak pelajar sekalian, Keputusan PMR 2007 berbanding 2006 menunjukkan pembaikan GPS nya dari 3.09 kepada 2.86. Untuk rekod, sejak tahun 2003, GPS sekolah sentiasa berada melebihi paras 3.0 tetapi ianya berjaya dilonjakkan pada tahun ini. Walaupun begitu, berlaku sedikit penurunan sebanyak 3.90 kepada peratus lulus sekolah daripada 64.29 peratus pada 2006 kepada 60.39 peratus bagi tahun 2007. PMR 2007 juga mencatat sejarah di mana seramai 22 orang telah mencapai keputusan cemerlang iaitu 6A ke atas dimana 2 orang pelajar mendapat 9A, 4 orang mendapat 8A, 8 orang mendapat 7A dan 8 orang mendapat 6A. Walaupun rekod ini agak
memberangsangkan bagi kami yang berada di kawasan FELDA, tetapi bagi saya selaku juragan dan anak-anak buah saya tidak pernah merasa puas dan selesa dengan pencapaian setakat ini. Kami akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti sebagaimana yang disasarkan oleh Pegawai Pelajaran Daerah yang kita kasihi.


Tuan Pegawai Pelajaran Daerah, tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi,

Keputusan SPM 2007 juga menunjukkan lonjakan yang agak ketara berbanding 2006 di mana kelulusan SPM 2007 ialah 96.68% berbanding 89.27% pada tahun 2006, iaitu peningkatan sebanyak 7.41%. Peningkatan peratus kelulusan ini juga memberikan impak kepada GPS nya di mana pada tahun 2006, GPS nya ialah 6.17 manakala pada tahun 2007 ialah 6.04. Sekolah ini juga berada di tangga ke-14 daripada 38 buah sekolah di kawasan FELDA bagi SPM 2007 berbanding tahun sebelumnya di tangga 28 daripada 38 buah sekolah.

Langkah-langkah spesifik dan berfokus terus diambil untuk memastikan prestasi kualiti dan kuantiti PMR dan SPM akan ditingkatkan sejajar dengan hasrat untuk menjayakan misi dan visi sekolah.

Tuan Pegawai Pelajaran Daerah, tuan-tuan dan puan-puan yang prihatin,

Pepatah ada mengatakan, akal yang cerdas terletak pada tubuh badan yang sihat. Kejayaan dalam bidang akademik tidak akan tercapai sekiranya berlaku pengabaian kepada bidang Kokurikulum. Dalam usaha menjayakan misi ketiga iaitu kecemerlangan kokurikulum, pihak sekolah tidak jemu-jemu membina para pelajar agar mereka juga cemerlang dalam bidang ini. Untuk makluman semua, pihak sekolah ini baru selesai mengadakan Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform pada 25 hingga 27 April yang lalu di Taman Pertanian yang bertemakan, Pengalaman Membina Jatidiri. Mungkin keletihan mengendalikan perkhemahan yang julung-julung kali diadakan ini masih lagi terasa. Cabaran Olahraga, Pra Cabaran, Sukantara dan Merentas ladang adalah acara tahunan sekolah ini untuk membina daya tahan dan semangat untuk berjaya yang tinggi di kalangan pelajar, dengan harapan ianya dapat diterjemahkan dalam mencapai peningkatan akademik mereka.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sekolah ini telah terpilih sebagai pemenang Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Bagi Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar Daerah Kuantan pada tahun 2007. Anugerah ini menjadi kebanggaan kita bersama, sebagai ganjaran kepada pengorbanan kita bersama termasuk anak-anak pelajar yang kita kasihi. Empat orang pelajar sekolah kita juga pernah menggondol Johan Kuiz Pelancongan Negeri Pahang dan berjaya memasuki suku akhir Peringkat Kebangsaan. Dalam sukan Bola baling, pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh tidak perlu diperkenalkan lagi kepada sekolah-sekolah di daerah Kuantan. Kejayaan demi kejayaan terus diraih oleh pasukan ini. Setiap tahun pasukan bola baling tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Tahun 2008, sekali lagi mencatatkan sejarah di mana dua orang pemain bola baling sekolah ini berjaya mewakili daerah Kuantan ke peringkat negeri.

Dalam aktiviti Kokuria yang baru berlangsung, seorang pelajar sekolah ini telah berjaya menjadi Johan Pertandingan Bahasa Arab peringkat daerah Kuantan dan terpilih mewakili daerah ke peringkat negeri. Hakikatnya, masih banyak kejayaan yang digarap oleh pelajar-pelajar sekolah ini dalam bidang Kokurikulum, namun kesempatan masa yang ada tidak mampu untuk dinyatakan satu persatu. Apakah kejayaan cemerlang dalam kokurikulum ini akan memberi ilham kepada panel pemilih untuk sekali lagi menabalkan sekolah ini sebagai sekolah cemerlang Kokurikulum 2008? Impian indah ini kita harapkan menjadi kenyataan sebagaimana adat orang berkasih…

Anak Cina memetik selasih,
Anyam rotan dibuat timba,
Tiada yang indah dalam berkasih,
Mimpikan bulan jatuh ke riba.

Sebagai makluman kepada semua, sekolah ini terpilih di kalangan sekolah-sekolah yang menerima bantuan pakaian unit beruniform. Seramai 622 orang daripada 1299 orang pelajar telah terpilih menerima peruntukan ini. Pemilihan ini dibuat berdasarkan pendapatan keluarga yang diterima oleh pihak sekolah daripada bancian yang dibuat dan daripada sistem maklumat murid. Oleh itu pihak sekolah amat berharap agar ibubapa dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada apa saja maklumat yang diperlukan oleh pihak sekolah. Berilah maklumat dengan jujur dan tepat untuk membantu anak-anak tuan-tuan dan puan-puan.

Sehubungan dengan maklumat ini, pihak sekolah telah melancarkan SMS Sekolah. SMS Sekolah ini amat penting dalam suasana maklumat yang diperlukan segera dan tepat. SMS ini boleh membantu pihak sekolah menyampaikan sebarang maklumat kepada ibubapa dan penjaga dengan cepat. Sekiranya ada ibubapa yang perlu hadir ke sekolah untuk menyelesaikan masalah anak-anak, SMS ini boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat ini. Pada pendapat saya, semua ibubapa pelajar sekolah ini mempunyai paling kurang sebuah telefon bimbit. Oleh itu, mari kita manfaatkan SMS Sekolah ini demi kejayaan anak-anak kita dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah mereka.


Tuan Pegawai Pelajaran Daerah, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Bidang Hal Ehwal Murid juga menyumbang aset yang bukan sedikit ke arah menjayakan misi dan visi sekolah. Ianya melibatkan proses kemasukan pelajar, mengurus, membimbing dan memantau perilaku dan disiplin pelajar sepanjang mereka berada di sekolah. Negara memerlukan warga negara yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi tinggi sahsiah, terpuji akhlaknya dan hebat disiplinnya. Oleh itu perlu wujud perimbangan antara cita-cita melahirkan individu ber'mentaliti kelas pertama'; dan individu ber'personaliti menara' (towering personality).

Golongan pelajar hari ini adalah satu khazanah kepada negara kita kerana ia merupakan ‘human capital’ yang penting. Dalam usaha melahirkan individu ini, pihak Hal Ehwal Murid telah menjalankan beberapa program antaranya Kursus Kepimpinan Pengawas dan Ketua Tingkatan, Spot Check kepada pelajar yang dijalankan berterusan oleh pengawas, mengadakan Buku Kawalan Kelas untuk mengatasi masalah ponteng kelas, tazkirah setiap hari Isnin, bacaan Yasin dwi mingguan dan pertemuan dengan ibubapa kepada pelajar yang bermasalah.

Alhamdulillah, hasil usaha yang bersepadu antara Hal Ehwal Murid, AJK Disiplin, Badan Pengawas, Unit Bina Insan dan kaunseling telah menampakkan hasil yang positif. Sepanjang 4 bulan persekolahan, masalah disiplin terkawal dan tidak terdapat kes-kes yang berat yang ditemui. Para ibubapa juga perlu diberikan penghargaan di atas kesanggupan untuk datang ke sekolah apabila dipanggil untuk berbincang masalah anak mereka. Inilah sikap terpuji yang perlu dikekalkan. Penubuhan Jawatankuasa Permuafakatan Sekolah baru-baru ini yang menggabungkan semua institusi yang terdapat dalam kawasan FELDA adalah salah satu wahana yang cukup baik untuk digerakkan bagi membantu sekolah dalam banyak perkara. Saya tidak ingin menyentuh lebih panjang tentang perkara ini kerana ianya telah disentuh oleh YDP PIBG dalam ucapan beliau semasa mesyuarat agung PIBG yang baru berlangsung.


Tuan Pegawai Pelajaran Daerah, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Dalam ucapan ini, saya ingin menarik perhatian Tuan Pegawai Pelajaran Daerah kepada permasalahan pendawaian elektrik yang masih belum selesai hingga sekarang. Masalah ini berlanjutan sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar-pelajar untuk menjalani proses pembelajaran dan guru untuk menjalankan pengajaran. Apabila cuaca panas, berpeluhlah mereka, apabila hujan, bergelaplah mereka. Masalah ini timbul disebabkan suis dan fius yang digunakan bentuk lama. Adalah diharapkan hasrat kami untuk melihat fius dan suiz itu bertukar wajah kepada bentuk baru dengan bantuan dan perhatian tuan PPD akan termakbul.

Jika dilihat kepada persekitaran sekolah sekarang ini, terdapat beberapa bahagian yang agak tidak terurus dengan baik. Ini sebenarnya ada kaitan dengan projek bangunan tambahan yang dijalankan di bahagian belakang sekolah. Binaan gajah menyusu antara pagar dan kantin ke bangunan sekolah akan disiapkan oleh kontraktor berkenaan apabila siap projek bangunan tambahan di samping pembinaan semula pagar konkrit di bahagian garaj kereta guru. Kawasan kolam di hadapan sekolah juga akan dinaiktarafkan bersesuaian dengan visi dan misi sekolah. Oleh itu pihak sekolah mengharapkan sumbangan dan kerjasama ibubapa dan menjayakan perancangan untuk menceriakan sekolah.


Tuan Pegawai Pelajaran Daerah, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Terasa agak panjang ucapan saya ini. Entahkan berisi entahkan tidak. Ucapan saya ini sudah sampai ke pengkalannya. Saya akan melabuhkan tirai ucapan saya ini untuk memberikan peluang kepada tetamu yang cukup besar ertinya buat kita semua memberikan ucapan iaitu Tuan Pegawai Pelajaran Daerah. Marilah kita sama-sama berganding bahu menjayakan segala program yang dirancang oleh pihak sekolah dan ibubapa kerana Sekolah Cemerlang, Ibubapa Gemilang, Pelajar Terbilang.

Sebelum mengundurkan diri, jutaan terima kasih sekali lagi diucapkan di atas kesudian Tuan PPD meluangkan masa untuk bersama-sama kita pada hari yang gilang-gemilang ini. Allah SWT sahajalah yang dapat membalas segala jasa baik tuan. Mohon maaf jika terdapat sebarang kekurangan dalam majlis ini dan ketelanjuran dalam ucapan saya tadi.

Puteri Daik menumbuk pandan,
Pauh jeruk hidangan kenduri;
Apa yang baik jadikan teladan,
Segala yang buruk letak ke tepi.



Sekian,
Wassalamu alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh
Terima kasih.

3 ulasan:

aka berkata...

terima kasih cikgu!!!

http://apps.facebook.com/causes/301434/65560425?m=aeb49c8f

http://profiles.friendster.com/108855683#publiccomments

aka berkata...

drpd..w m akram
alumni smkbg..

jasa mu cikgu akan ku dikenang selalu..;)

lina berkata...

salam cikgu.
boleh saya dapatkn no telefon atau email cikgu HAlita Abdullah? or minta dia email di A.Saad2@lboro.ac.uk/ aslinasaad@gmail.com.
setahu saya dia mngajar ICT di smk bukit goh tapi saya dah hilang no cntc dia.
terima kasih

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.