CATATAN PENGALAMAN SEORANG GURU KAMPUNG ... HJ YUSOF IBRAHIM

Bismillah hir Rohman nir Rahim

Assalaamualaikum wr wbt

Yang di hormati saudara Pengacara Majlis

Yang berusaha Puan Pengetua SMKPT

Guru-guru Penolong Kanan

Ketua-ketua Bidang

Pengerusi PIBG SMKPT

Rakan-rakan guru dan para hadirin serta

Murid-murid yang dikasihi sekelian

Bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana hingga ke saat ini kita masih dipanjangkan usia dan dapat berkumpul di dewan mulia untuk meraikan pesaraan saya.

Sesungguhnya saya mengucapkan berbanyak terima kasih yang tidak terhingga diatas keraian yang diusaha oleh rakan-rakan guru, murid-murid dan semua hadirin sekelian. Tiada kata untuk saya nukilkan kerana sungguh hebat segala sambutan atas mustaid sudah alam perkhidmatan sebagai guru dibumi watan.

Tema ucapan saya pada hari ini ialah “SAYA DAN SMKPT”

1. Kronologi Perkhidmatan di SMKPT

  • Pertengahan tahun 1976, pihak Universiti Pertanian Malaysia (UPM) telah menghantar saya dan seorang kawan untuk berkempen memperkenalkan UPM ke sekolah-sekolah menengah di Daerah Lipis dan Jerantut. Semasa datang ke SMK Padang Tengku, Guru Besar/Pengetua SMKPT ketika itu (Tuan Haji Zakaria Derani – sepupu saya) mencadangkan agar saya dapat balik mengajar ke SMKPT. Saya menerima cadangan beliau dan seterusnya beliau membuat tindakkan susulan agar saya dapat ditempatkan ke sini apabila penempatan guru dibuat. Sebaik sampai ke rumah setelah menamatkan Latihan Mengajar di SMK Raja Chulan, Ipoh saya menerima surat penempatan ke SMKPT.
  • Saya melapor diri pada 1 Jun 1977 bersama Haji Zahari Haji Uda. Pada mula berkhidmat, saya berulang alik dari rumah ayah saya di Kampung Berang. Untuk memudahkan saya berulang alik saya membeli sebuah motorsikal Honda 70 cc. No pendaftaran CF 7229.
  • Sejak dari awal perkhidmatan sebagai PPP Kat T1 bagi pemegang Diploma Sains dengan Pendidikan, saya berhasrat untuk membuka kelas aliran Sains di SMKPT supaya anak-anak disini terdedah dan terdidik dalam bidang Sains dan Teknologi. Hasrat itu tidak kesampaian sehinggalah saya menyambung pengajian peringkat Ijazah Pertama.
  • Pada 26 Jun 1983, saya meninggalkan SMKPT untuk menyambung pelajaran di UPM. Dalam ucapan perpisahan sebelum menyambung pengajian Bacelor Sains (Kepujian) di UPM saya masih ingat lagi bahawa saya mengatakan kalau anak-anak murid tak mau belajar bersungguh-sungguh biarlah saya yang pergi belajar dahulu untuk menambah ilmu dan kemahiran. Saya juga mengharapkan akan ramai nanti anak-anak murid yang mengikut jejak langkah saya ke menara gading. Bersama saya menyambung belajar dari SMKPT tahun 1983 itu ialah En Fadil Rafar, beliau ke UKM.
  • Pada 6 Januari 1986 kembali semula ke SMKPT sebagai guru siswazah. Setelah menamatkan pengajian Ijazah selama dua tahun setengah (lima semester). Pada mulanya saya ditempatkan di SMK Keratung, Rompin tetapi dengan bantuan seorang saudara yang berkerja di JPN Pahang maka saya di tempatkan semula ke SMKPT. Saya berharap saya akan dapat menyumbang tenaga memberi khidmat bakti, sebagai guru kepada anak-anak tempatan agar mereka menjadi lebih baik daripada pencapaian saya.
  • Pada mulanya saya menyewa rumah di Kg Telemin selama setahun sebelum di pelawa oleh (Tuan Pengetua) Tuan Haji Jusoh Hassan untuk tinggal dalam kawasan sekolah bertugas sebagai warden asrama pada awal 1987. Saya menerima pelawaan itu dan tinggal di rumah guru.
  • Pada 16 April 1992 saya ditukarkan keluar dari SMKPT
    • Hasrat saya, kalau boleh biarlah saya dapat berkhidmat di SMKPT dari mula hingga bersara. (Seperti En Pang Chin Fatt). Memang sebahagian hasrat itu terkabul seperti yang para hadirin lalui pada hari ini. Walau bagaimana pun sebenarnya saya telah ditukarkan ke SMK Sulaiman, Bentong pada 16 April 1992.
    • Pertukaran itu tanpa alasan yang munasabah. Sehingga kehari ini saya masih belum berjumpa sebab-sebab dan alasan mengapa saya ditukarkan. Waktu itu SMKPT tak cukup guru Sains. Waktu itu juga SMKPT tak cukup guru Bahasa Inggeris (Isteri saya mengajar BI). Dalam keadaan tak cukup guru itu mengapakah kami suami-isteri ditukarkan?? Selepas satu tahun tujuh bulan di SMK Sulaiman, Bentung saya dan isteri dapat kembali bertugas di Daerah Lipis atas bantuan seorang guru saya iaitu Tuan Haji Yusof bin Jaafar yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang ketika itu.
    • Walau pun saya di SMK Sulaiman, di SMK Sungai Koyan atau di SMK Setia Wangsa, dari jauh saya melihat perkembangan SMKPT. Walau pun saya jauh tetapi hati saya tetap rapat dan mengikuti perkembangannya.
  • 16 Mei 2001 kembali ke SMKPT sebagai Guru Cemerlang DG 2.
    • Sejak wujudnya jawatan guru cemerlang, saya teringin memohon jawatan itu. Saya membuat permohonan yang pertama ketika di SMK Sungai Koyan. Saya tidak berjaya kerana tidak cukup persediaan.
    • Semasa menjawat jawatan Pengetua di SMK Setia Wangsa, JPN Pahang meminta saya membuat sumbangan dengan menyertai pertandingan yang di anjurkan oleh Malaysian Toray Science Faundation (MTSF). Saya menghantar satu inovasi pengajaran bertajuk “Penggunaan Peta Minda dalam P&P Rampaian Sains”. Saya memenangi anugerah inovasi. Bermodalkan Sijil kemenangan inovasi itu saya memohon guru cemerlang. Dalam perkara ini saya juga merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Haji Syed Muhammad bin Syed Agil (Pegawai PPD Lipis ketika itu) yang telah menjadi orang yang mencadangkan saya sebagai Guru Cemerlang DG 2.
    • Al hamdulillah, setelah dinilai oleh dua orang pegawai dari Jemaah Nazir Sekolah, saya dilantik sebagai Guru Cemerlang DG2 pada 16 Mei 2001. Saya ditukarkan dari SMK Orang Kaya Haji (Pengetua) kembali ke SMKPT. Yang berperanan menempatkan saya ke SMKPT ialah Dato’ Haji Abdullah bin Haji Abdul Kadir. Maka kembalilah semula saya ke SMKPT untuk kali ketiga dimana pengetua yang menerima kedatangan saya ialah sahabat lama saya Tuan Haji Kamaluddin Daud atau dikenali dengan nama En KD. Ramai orang yang tidak tahu sistem dalam Perjawatan Pendidikan mengatakan saya turun pangkat. Dari Pengetua jadi guru Biasa.
    • Apabila menjejak semula ke SMKPT saya teringat untaian kata seorang rakan yang memujuk kesedihan saya ketika saya ditukarkan ke SMK Sulaiman, Bentung. Guru muda itu mengatakan “Tak pe aji, terimalah dugaan ini dan semoga aji balik semula ke sini menjadi Pengetua”. Memang saya tidak balik ke sini menjadi pengetua tetapi saya menjawat jawatan sama taraf dengan pengetua. Guru muda itu ialah En Nik Zaidi Ismail yang kini sedang menyambung pengajian di IAB bermula hari ini. Sesungguhnya rakan sejawat boleh membantu meredekan kesedihan yang kita alami.
  • 16 Jun 2003 bertukar ke SEMESTA, Raub
    • Ada satu dasar tak ditulis wujud di Kementerian Pelajaran Malaysia berkait dengan Guru Cemerlang, di mana SBP diutamakan dalam penempatan Guru Cemerlang. Kerana dasar ini seramai 42 orang GC dari 96 orang yang dilantik tahun 2001 ditukarkan ke SBP. Saya termasuk dalam golongan itu.
    • Di SEMESTA pada mulanya saya mengajar Biologi tetapi pada tahun 2005 saya ditugaskan untuk mengajar Sains PMR. Oleh kerana saya perlu berulang alik setiap hari dari rumah di Relong ke SEMESTA sejauh 65 km sehala, maka saya telah pergi dua kali ke Putrajaya (Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran Malaysia) untuk memohon keluar dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) ke Sekolah Harian Biasa. Saya berjaya keluar dari sistem Asrama Penuh. Waktu penempatan semula ke Sekolah Menengah Harian, sahabat saya Tuan Haji Sobirin Hj Duli ketika itu menjawat jawatan Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang telah membantu menempatkan saya kembali ke SMKPT. Pada 16 Jun 2006 kembali semula ke SMKPT untuk kali yang ke empat ketika itu pengetuanya ialah Puan Hajjah Robiah Hassan (sahabat lama semasa bertugas di SMKPT dulu).

2. Keluarga dan SMKPT

  • Hadirin yang dihormati sekelian, pada tahun 1977 saya datang ke SMKPT sebagai guru bujang. Sememangnya ramai guru bujang lelaki ketika itu. Malah ada persatuan guru-guru bujang lelaki yang di Pengerusikan oleh Sahabat saya Encik Zahari Haji Uda. Guru bujang perempuan adalah seorang dua.
  • Saya berkahwin hujung tahun1979 dan isteri saya terus mengajar di SEMERAK Kuala Lipis. Setelah mendapat seorang cahaya mata, Isteri saya dapat berpindah ke SMKPT pada tahun 1981. Kami menyewa rumah di Kampung Telemin sehingga saya meninggalkan SMKPT untuk menyambung pelajaran tahun 1983.
  • Pada awal tahun 1987 barulah keluarga saya mendiami rumah guru dalam kawasan SMKPT. Saya bertugas menjadi waden asrama dan kemudiannya saya menjadi ketua warden. Sepanjang saya menghuni rumah guru dalam kawasan sekolah, tiga orang anak lahir, iaitu Nurul Izzah (1987), Nurul Aisyah (1988) dan Muhammad Ilman (1992).
  • Menjadi warden Asrama selama lima tahun (1987 – 1991). Ketika mula bertugas sebagai waden tiga fokus saya usahakan. Pertama, mengurangkan kecurian, kedua meningkatkan kerohanian dan ketiga menggalakan peningkatan akademik pembelajaran.
  • Fokus pertama dan kedua dapat dicapai dalam masa satu tahun setengah dengan saya sendiri mempastikan surau diimarahkan. Setiap lepas solat maghrib dan solat subuh saya akan menyampaikan tazkirah. Dengan cadangan dan dokongan Tuan Pengetua, Tuan Haji Jusoh Hassan kami mengadakan qiamulail, pada mulanya sebulan sekali, ketika hujung minggu sehinggalah para penghuni asrama meminta adakan qiamulail itu setiap malam cuti pertengahan minggu sekiranya ada. Sesungguhnya dengan didikan dan asuhan kerohanian yang berterusan masalah kecurian dapat diselesaikan.
  • Berikutan dengan suasana kerohanian yang ada itu peningkatan akademik penghuni asrama meningkat seperti yang ditunjukkan dalam peperiksaan SPM tahun 1989 dan 1991. Dimana tahun 1989 seramai 17 orang dari 86 calon mencapai gred 1 dan tahun 1991 seramai 23 orang dari 111 calon mencapai gred 1. Antara yang mendapat gred 1 tahun 1989 ada bersama kita di SMKPT kini iaitu Puan Zetti Akmal binti Mohd Akil (guru BI di SMKPT ini)

3. Pengetua yang memimpin di SMKPT ketika saya menjadi guru di SMKPT.

Sepanjang lebih 16 tahun dari seluruh masa perkhidmatan saya 32 tahun, saya berada di SMKPT. Jawatan pentadbiran yang saya pengang paling tinggi ialah Guru Penolong Kanan Ko Kurikulum, beberapa ketika sebelum saya ditukarkan ke SMK Sulaiman Bentung.

  • Sepanjang saya berkhidmat di sini saya sempat bernaung dibawah 10 orang Pengetua.
    • Semasa saya hanya seorang guru Diploma Sains dengan Pendidikan pengetuanya ialah, Tuan Haji Zakaria Derani, Tuan Haji Ahmad Kamal Haji Abdul Hamid dan Tuan Haji Fazillah Mohd Noor.
    • Sekembalinya saya ke SMKPT menjadi guru siswazah pengetuanya ialah Tuan Haji Jusoh Hassan dan Tuan Haji Zakaria Imam Iman.
    • Ketika mula-mula saya datang sebagai Guru Cemerlang sehinggalah saya bertukar ke SEMESTA pengetuanya hanyalah Tuan Haji Kamaluddin Daud
    • Sejak saya kembali semula ke SMKPT dari SEMESTA pengetuanya ialah Puan Hajjah Robiah Hassan, Tuan Haji Abdullah Mohd Yusof, Tuan Haji Syed Mohammad bin Syed Agil dan Puan Rozita Kamaluddin.
    • Dari semua 16 orang pengetua yang saya bernaung, 10 daripadanya adalah pengetua SMKPT.

3. Pengalaman yang digali

  • Di sini mula membina identiti sebagai guru Sains di SMK Luar Bandar serta melaksanakan hasrat yang membara sejak memulakan karrier sebagai seorang guru.
    • Berkempen memupuk bahawa Sains dan matematik adalah mudah
    • Memulakan kelas aliran Sains Tambahan 1992
    • Memulakan kelas aliran Sains Tulen 2002
  • Di sini mengenal erti kawan dan taulan. Ada yang sanggup bersengkang mata membantu kejayaan anak murid yang disayangi bersama-sama dalam satu pasukan dan ada juga yang mengamalkan sikap tonjol-tonjolan sambil menginjak rakan sejawat untuk dapat dilihat kehebatan oleh orang atasan. Sesungguhnya yang bersikap tonjol-tonjolan menginjak rakan tidak kemana kesudahan. Sengguhnya yang sentiasa berkerja sama dalam pasukan bersedia membantu rakan itulah yang terserlah kejayaan.
  • Di sini mengenal kerja-kerja pentadbiran. Masih segar dalam ingatan dimanaTuan Haji Jusoh Hassan menggunakan satu malam seminggu melatih kami menjadi pentadbir pendidikan. Apatah lagi kalau dia balik dari IAB, beliau akan mengadakan sessi penataran hal-hal pentadbiran pendidikan selepas solat isyak. Mereka yang ada masa dipelawa untuk berbincang dibilik pengetua. Melalui bimbingan yang beliau beri, saya menerima latihan dan menjana kemahiran dalam pentadbiran.
  • Di sini mengenal kaedah pengajaran. Bermula tahun 1988 ketika KBSM rancak diusahakan, saya terlibat menjadi Kakitangan Sumber Negeri. Saya terdedah dengan berbagai kaedah pengajaran dan melaksanakan semampu yang boleh serta menyebarkan kepada rakan. Sesungguhnya pengalaman itu sangat berguna sehingga saya berjaya menjadi Guru Cemerlang.
  • Di sini kerja ajar dan didik. Semasa saya muda, memang mudah menyampaikan pengajaran tetapi bila meningkat usia, penyampian pengajaran agak sukar sedikit. Maka benarlah satu kajian yang mengatakan bahawa pengajaran sangat berkesan jika beza umur antara pengajar dan yang diajar itu kecil tetapi jika beza umur itu besar pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sukar. Oleh itu bagi rakan-rakan guru yang sudah meningkat usia tua sewajarnya kita gunakan lebih banyak teknik mengajar berbentuk perbincangan sesama murid dengan kita guru menjadi fasilitator.
  • Di sini ku lihat bekas muridku menjadi guru. Sesungguhnya saya sangat gembira apabila melihat ramai mantan murid saya yang sudah menjadi guru apatah lagi menyambung legasi saya di SMKPT. Kepada mereka semua saya rakamkan tahniah dan berusahalah menjadi guru yang berjaya mendidik anak bangsa dengan cemerlang.

4. Surau Ehsan

  • Surau Ehsan mula dibina ketika saya mula mengajar sini tahun 1977. Masih jelas terbayang Tuan Haji Abdul Samad Ismail dari Kg Relong yang mengambil kontrak membina dengan biaya RM 25,000.00. Selepas surau ini boleh diguna dan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang ketika itu saya sentiasa mengambil bahagian dalam membuat acara disurau itu. Idea membina surau ini dicetuskan oleh Tuan Haji Zakaria Derani, sekembalinya beliau dari Tanah Suci Makkah. Antara yang menarik dalam membina surau ini ialah apabila seorang guru yang bukan Islam, Encik Jurnal Singh sanggup menderma RM 20.00 sebulan, selama setahun menjadi cabaran kepada guru-guru Islam. Perlu disebut juga setiausaha pembinaan surau ini ialah En Muhammad Mustafa Mohd Noor dan insan yang banyak berusaha mencari sumbangan ialah Dato Wan Abdul Rahman Wan Ibrahim yang menjadi Exco Kerajaan Negeri Pahang ketika itu. Tidak dilupakan juga derma dari para guru, kaki tangan sekolah serta ibubapa.
  • Saya masih berada di SMKPT ketika surau Ehsan diubahsuai dan diperbaiki kali pertama 1988 di bawah tadbiran Tuan Haji Jusoh Hassan. Beliau menggunakan wang lebihan makan Asrama sebanyak RM 10,000 bagai mengubah suai surau seperti membuat kolah wuduk yang baru serta memasang dinding playwood disebelah dalam.
  • Saya juga ada di SMKPT ketika surau ini di perbaiki dan perbesarkan kali kedua, semasa Tuan Haji Kamaluddin Daud. Ubah suai dan pembesaran surau menggunakan wang sumbangan dari orang ramai sebanyak RM 16,000.00, juga menggunakan tenaga dari Kor Jurutera Tentera Darat Malaysia dimana setiausahanya ialah En Baharom Aziz.

5. Suka dan duka. Melalui pengalaman bersahabat di SMKPT saya rakamkan rasa gembira kerana ada rakan guru yang pernah bersama di SMKPT yang menjadi Yang Berhormat bergelar Datok di Negeri Sembilan. Beberapa rakan guru yang diangkat menjadi Pegawai Pendidikan Daerah (PPD). Pengetua, guru cemerlang dan juga Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri.

Saya juga merasa gembira kerana ramai anak murid yang menempa nama menjadi orang penting dalam masyarakat khususnya dalam bidang perguruan menyambung titisan ilmu pengetahuan dari kami kepada generasi kemudian.

Walau bagaimana pun satu catitan duka tak mungkin saya lupakan ketika menjadi guru di SMKPT. Satu petang dua hari selepas anak kelima saya lahir, Tuan Pengetua datang kerumah saya dengan wajah yang sugul membawa berita sedih. Seorang murid yang menyertai ekspidisi ke Gunung Ledang terjatuh gaung dan meninggal dunia.

Beliau meminta saya membantunya menguruskan perkara tersebut. Kami merangcang teknik dan kaedah. Malam itu dengan menggunakan dua buah kereta kami betolak ke Tangkak, Johor. Saya dan tuan pengetua, ayah murid yang malang dan ketua kampung persik di merapoh dalam satu kereta. En Aziz Awang, En Aminuddin Bakar serta En Muhammad bin Kadir dalam sebuah kereta yang lain. Kami bertolak ke Tangkak pukul 2.00 pagi setelah membuat perancangan persediaan di Merapoh yang diketuai oleh En Mustafa Mohd Noor dan Haji Zahari Haji Uda. Kami tiba di Balai Polis Tangkak pukul 9.00 pagi.

Sesungguhnya inilah pengalaman pengurusan kritikal atau penyelesaian masalah yang diapplikasikan dalam keadaan realiti sebenar. Saya berjaya membantu ketua saya ketika dia benar-benar dalam kesukaran. Sememangnya pengalaman itu sangat berguna untuk menghadapi saat genting dan penting serta menagih ketabahan dan kecekalan.

6. Akhir kalam saya susun kata kemaafan atas beribu kesilapan yang disengaja atau tidak disengajakan. Semoga perkenalan, persahabatan terus dikekalkan. Kepada adik-adik pendidik yang ku tinggalkan, tabahlah anda sekelian kerana kerja mendidik semakin banyak cabaran. Pengalaman, ilmu dan pengetahuan yang pernah saya kongsikan saya halakan dan gunakan untuk menyambung kata Rasul menjadikannya ilmu yang dimanfaatkan.

Kepada murid yang tidak sempat saya bantu sebelum peperiksaan, saya minta maaf, tetapi kalau ada permintaan dan kelapangan masa insya Allah akan saya datang membantu di saat-saat kelemasan.

7. Terima Kasih….. Seribu kemaafan. Wabillah hi taufik wal hidayah wassalam mu alaiku wr wbt.

Haji Yusof Ibrahim (1 Julai 2009)


CATATAN : TEKS UCAPAN TUAN HAJI YUSOF IBRAHIM SEMASA MAJLIS PERSARAAN PADA 1 JULAI 2009

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.