KEPENTINGAN TARBIAH

Muqaddimah

Al Mujahid As Syeikh Mustafa Masyhur pernah menyebut;
"Tarbiyyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiyyah."
Oleh itu kita bersyukur kerana telah dipilih oleh Allah swt untuk berada di medan tarbiyyah. Suatu medan yang kita harapkan untuk membina kefahaman dan keyakinan terhadap Islam yang merupakan anugerah Allah yang terbesar.


Hari ini penjahilan besar-besaran telah melanda konsep-konsep umum seorang Muslim dalam berbagai persoalan Islam. Hal ini telah merebak pada seluruh sikap dan tingkah laku Muslim. Akibatnya muncullah berbagai konsep, sikap dan waqie' yang asing, yang sama sekali tidak ada sangkut pautnya dengan hakikat Islam yang sebenarnya.

Akibatnya Islam yang sepatutnya menjadi suatu nikmat terbesar kurniaan Ilahi kini menjadi suatu bebanan. Suatu bebanan yang ditanggung lantaran kejahilan Ummat Islam itu sendiri dalam memahami dan menghayati Islam sebagai suatu nikmat.

Ibnu Taimiyyah di dalam menjelaskan mengenai kepentingan kefahaman yang shahih dan implikasinya dalam kehidupan Mukmin menyebutkan bahawa:
"Kefahaman yang shahih dan niat yang baik adalah sebesar-besar nikmat Allah s.w.t ke atas hambaNya. Bahkan tidak ada anugerah yang lebih baik dan mulia selepas Islam melainkan kedua-duanya. Kedua-duanya merupakan betis kepada Islam. Islam tertegak di atasnya dan dengannya seorang hamba terselamat dari jalan-jalan orang-orang sesat yang mempunyai kefahaman yang rosak. Beliau termasuk dikalangan orang-orang yang diberi nikmat ke atas mereka, mempunyai kefahaman dan niat yang baik. Mereka berada pada jalan yang lurus yang diperintahkan agar kita memohon dari Allah s.w.t agar Dia menunjuki kita jalan yang lurus dalam setiap solat. Kefahaman yang shahih merupakan cahaya yang dicampakkan oleh Allah s.w.t kedalam hati hambaNya menyebabkan beliau boleh membezakan di antara yang shahih dan fasid, hak dan bathil, petunjuk dan kesesatan, penyelewengan dan kebenaran dan....."


Pengertian Tarbiyyah Islamiyyah

Tarbiyyah dari segi bahasa berasal daripada perkataan Arab (ربىّ,يربىّ,مربّي, مربى) yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Manakala dari segi istilah, perkataan Tarbiyyah membawa pengertian cara terbaik (ideal) dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung (berupa kata-kata) mahupun secara tidak langsung (berupa keteladanan, sesuai dengan sistem dan wasilahnya yang khas) untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik.

Tarbiyyah Islamiyyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber Rabbani. Atau dalam pengertian yang lebih khusus Tarbiyyah Islamiyyah bererti proses mempersiapkan individu dengan persediaan yang menyentuh seluruh aspek kehidupannya, meliputi: ruhani, jasmani dan aqli (akal fikirannya). Ianya bersifat integral dan komprehensif.

Tarbiyyah Islamiyah adalah proses penyediaan manusia yang soleh , yakni agar tercipta suatu keseimbangan dalam potensi, matlamat, ucapan dan tindakannya secara menyeluruh. Keseimbangan di sini bermaksud jangan sampai kemunculan suatu potensi menyebabkan lenyapnya potensi yang lain. Dengan proses tarbiyyah inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah s.a.w. sehingga berjaya melahirkan Generasi Rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:
"Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."(Ali ‘Imran: 110)


Kepentingan Tarbiyyah

Hanya melalui jalan tarbiyyah kita dapat membina kefahaman yang sebenar tentang Deen Allah swt iaitu kefahaman yang sebenar; kefahaman yang shahih dan syumul; kefahaman sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt; kefahaman sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah saw dan yang yakini dan dicontohkan oleh sahabat-sahabat generasi Awwal al Quran.
Hanya melalui tarbiyyah kita dapat memahami peranan dan tanggungjawab kita sebagai Muslim Mukmin. Jika kita tidak mengetahui peranan dan tanggungjawab kita sebagai Mukmin maka sama saja jika kita tidak tahu peranan dan tanggungjawab kita sebagai manusia dan dengan mudah kita akan melakukan perbuatan-perbuatan yang bersifat kebinatangan dan kita tidak tahu menghayati sifat kemanusiaan.

Begitu juga halnya jika seorang Muslim yang tidak mengenali pendiriannya sebagai seorang Islam dan tidak mengetahui perbezaan antara dia dan kafir, maka dia akan bertindak sebagai orang kafir dan juga tidak akan merasakan keagungannya sebagai seorang Muslim.

Oleh yang demikian setiap Muslim dan kanak-kanak Muslim harus diajar dan dididik serta diasuh tentang pendirian dan kedudukan mereka sebagai seorang Muslim. Mereka perlu tahu akan perubahan kedudukan mereka setelah mereka menjadi Muslim. Mereka perlu tahu akan tanggungjawab yang dikenakan terhadap mereka berikutan kedudukan mereka sebagai seorang Muslim. Mereka patut kenal akan batas-batasan yang akan menjamin dan mengekalkan diri mereka sebagai Muslim agar mereka tidak melewatinya. Mereka patut tahu bahawa dengan melewati batas-batas tersebut, mereka akan bersara dari menjadi seorang Muslim walaupun mulut mereka berlagak sebagai seorang Muslim.


Sasaran Tarbiyyah

Sasaran utama dalam aktiviti tarbiyyah, seperti ditegaskan Said Hawwa dalam Membina Angkatan Mujahid, berawal dari pembentukan peribadi muslim dan berhujung pada tegaknya Ustadziyatul 'Alam (kepemimpinan atas alam semesta). Sasaran ini, seperti dikatakan Imam Hassan Al-Banna, dalam salah satu Risalah Da'wahnya Risalatul Khomis, dianggap oleh sebagian orang bagai mimpi di siang hari. Dan hakikat ini disedari sepenuhnya oleh para mu'asis (pendiri) dan aktivis da'wah yang mukhlis. Karena itu, diperlukan khutuwat (langkah-langkah) perjuangan dan Manhaj Tarbiyyah yang istimewa agar sasaran di atas dapat dicapai.


Pengertian dan hakikat Iman

Iman yang cuba dilahirkan melalui Proses Tarbiyyah Islamiyyah ini bukanlah sekadar angan-angan ataupun perhiasan bahkan Iman itu merupakan keyakinan dalam hati dan dibenarkan dengan amal.

Ibnu Qayyim dalam menjelaskan mengenai hakikat kesyumulan iman menyebut bahawa:
"Iman mempunyai unsur lahir dan bathin. Zahirnya adalah perkataan lidah dan amal anggota tubuh. Bathinnya adalah pembenaran hati, kepatuhan dan kecintaannya. Tidak ada gunanya zahir jika tidak disertai batin, sekalipun ada jaminan terhadap darah, harta dan keturunannya. Bathin tidak akan mendapat pahala selagi tidak ada zahirnya, kecuali jika ada alasan yang masuk akal seperti tidak mampu, dipaksa atau takut. Tidak adanya amal secara zahir padahal tidak ada penghalangnya, merupakan bukti kerosakan bathin atau kerana di dalamnya tidak ada iman. Kekurangan dalam amal menunjukkan kekurangan iman dan kekuatan amal menunjukkan kekuatan Iman. Iman merupakan hati dan inti Islam."

Dan mengenai perincian dan penyempurnaan Iman ini, Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa:
"Iman di balik semua itu merupakan suatu hakikat yang terangkum, berupa pengetahuan mengenai apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang bersifat ilmu, membenarkannya yang bersifat aqidah, menyatakannya bersifat perkataan, tunduk kepadanya yang bersifat cinta dan kepasrahan, mengamalkannya yang bersifat zahir dan bathin serta menyebarkannya merupakan dakwah menurut kesanggupan. Kesempurnaan Iman itu ialah dengan mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan kerana Allah."


Titik Mula Yang Betul.

Apabila kita melihat sirah suci Rasulullah s.a.w, baginda pertama kali memperhatikan aspek kebersihan ‘Aqidah Tauhid dan menyucikannya dari berbagai kotoran syirik, kerana itulah dasar yang akan menumpang berdirinya bangunan keperibadian seorang muslim yang selanjutnya akan melakukan dan memasuki fasa pembangunan keluarga, masyarakat kemudian pemerintah dan negara.

Rasulullah s.a.w memperhatikan aspek Tarbiyyah dan Kadirisasi para Rijal ‘Aqidah dan Pasukan Dakwahnya. Ayat-ayat al Qur'an pada fasa ini turun dengan memfokuskan masalahnya pada masalah keimanan kepada Allah s.w.t, pada Hari Akhirat dan pembersihan ‘Aqidah Tauhid. Kemudian arahan untuk membersihkan diri dari Tradisi Jahiliyyah dan diganti dengan Ahklak Islam yang utama. Juga arahan untuk saling menasihati dengan kesabaran dan kebenaran, sekaligus persiapan jiwa untuk peperangan antara hak dan bathil. Hal itu tampak dalam dua peristiwa Bai'atul Aqabah ketika Rasulullah s.a.w meminta para sahabat untuk berjanji untuk melindunginya bila baginda berada di Madinah.

Kita lihat kaum muslimin ketika itu juga menghadapi cacian, penyiksaan, pembunuhan. Tapi Rasulullah s.a.w tetap menasihati mereka dengan sabar dan memberi khabar gembira dengan syurga dan kemenangan. Rasullullah s.a.w tidak meminta mereka membalas cacian itu dengan kekuatan. Meskipun mungkin saja Rasulullah s.a.w memerintahkan mereka untuk membunuh Abu Jahal misalnya atau meruntuhkan berhala untuk menghilangkan kemungkaran. Tapi hal itu tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Kerana bila itu terjadi akan memunculkan heboh di kalangan Musyrikin. Dan bila itu terjadi mereka pasti akan mengadakan aksi penghancuran dakwah' berikut kepada pengikutnya, padahal ketika itu dakwah masih sangat lemah dan pengikutnya masih sedikit. Dan kalau begitu, kemusyrikan dan kemungkaran tidak akan lenyap kerana aksi yang terbatas pada tahapan itu. Itulah Manhaj Perjuangan Rasululllah pada fasa itu.

Mempersiapkan Kader Inti yang kuat yang akan menjadi dasar bangunan. Mereka dibina sesuai dengan ayat al Qur'an di Madrasah Rasulullah s.a.w. untuk tunduk pada perintah Allah, dengan melakukan Qiamullail untuk menambah bekal lantaran mereka memikul amanat berat sebagaimana firman Allah;
"Hai orang-orang yang berselimut (Muhammad s.a.w), bangunlah (untuk solat) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, atau lebih seperdua itu. Dan bacalah Al Qur'an itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat."(Al Muzzammil: 1-5)

Inilah juga proses pertama yang mesti dilalui oleh mereka yang ingin melibatkan diri di dalam Harakah Islamiyyah, iaitu proses membersihkan hati dari segala Karat-Karat Jahiliyyah dan seterusnya menanam Bibit-Bibit Keimanan yang bersih dan murni. Inilah salah satu ciri utama yang menjadikan Generasi Awal Al Qur'an sebagai satu Generasi Yang Cemerlang (Jiil ul Quran unfarid).

Inilah juga proses awal yang perlu dilalui oleh mana-mana ahli-ahli anggota Harakah ataupun Jemaah Islamiyyah yang mengharapkan natijah yang sama. Inilah faktor yang terlebih dahulu dilihat sebelum kita atau mana-mana kumpulan berfikir dan merancang menegakkan peraturan masyarakat yang Islamik, dalam usaha membangunkan sebuah masyarakat atau Ummah Islamiyyah di tengah-tengah kepekatan Jahiliyyah Moden ini. Kita perlu mencontohi proses pembentukan dan pembangunan yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w 14 abad yang silam. Dengan meyakini Uslub Rasulullah s.a.w adalah bimbingan wahyu Ilahi dan meyakini ‘Uslub Rasulullah s.a.w' itu sendiri adalah hasil dari proses Tarbiyyah Islamiyyah yang bertolak dari keyakinan kepada Allah s.w.t dan keyakinan kepada Rasulullah s.a.w.

Uslub Rasulullah s.a.w bermula dengan penekanan dasar dan penegakkan Tauhid Rubbubiyatillah dan Tauhid Uluhiyatillah. Uslub yang melahirkan Ubudiatillahi Wahdah di dalam ‘itiqad, ibadah, akhlak, syari'at bahkan dalam semua tindakan. Perkara-perkara ini boleh kita baca dan kita ambil dari mana-mana saja tapi dari segi perlaksanaannya susah kita hendak lahirkan. Oleh itu contoh kita terus kepada generasi yang dididik oleh Rasulullah s.a.w dengan bimbingan wahyu.

Sesungguhnya membentuk dan membangunkan Keperibadian Islam pada individu-individu Muslim dan Jamaah Islamiyyah berdasarkan kepada Tauhid tadi adalah langkah pertama dan asas dalam usaha awal membina masyarakat Islam yang terlaksana di dalam penghayatan hidup mereka hukum-hukum Allah s.w.t dan peradaban Islam yang ditinggalkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Keperibadian yang bersih daripada percampuran antara Jahiliyyah dengan Islam. Tegasnya bersih daripada pertembungan antara haq dan bathil di dalam masyarakat Islam itu sendiri.Iman Dan Tindakbalas Haraki.

Keimanan yang cuba dibentuk melaui proses Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah bukanlah keimanan yang mandul yang tak membuahkan amal. Tapi keimanan yang cuba dihasilkan ialah keimanan yang tulen dan peka terhadap tuntutan keimanan serta peka dan mudah bertindakbalas dengan suasana-suasana yang cuba meruntuhkan atau menggugat pertumbuhan dan perkembangan Iman tersebut.

Islam bukan Agama Rahbaniyyah (pertapaan) yang mengasingkan para pemeluknya di gereja-gereja dan biara-biara. Akan tetapi dia adalah Agama Haraki, agama yang bertindak dengan tindakbalas yang sanggup menggempur dan digempur, sanggup menyerang dan diserang.

Muhammad Ahmad ar Rashid di dalam bukunya Al Muntalaq menyebut;
"Walau bagaimana dahsyatnya kerosakan, seorang Pendakwah tidak boleh meninggalkan tugasnya untuk menyelamatkan hamba-hamba Allah dari cara hidup Jahiliyyah kepada cara hidup Islam, mengeluarkan mereka dari Kesesatan kepada Hidayah, dari Kebatilan kepada Kebenaran dan dari Kezaliman kepada Ke'adilan.Segala kesangsian dan putus asa dalam proses Islah ini perlu segera dimusnahkan dengan detik-detik kesedaran."

Oleh itu anggota harakah hendaklah menjadi Rahban (Rahib) di malam hari dan Fursan (tentera berjuda) di siang hari. Dengan itu mehnah-mehnah (tribulasi) di dalam hidup Harakah Islamiyyah menjadi dapur pembakar yang membakar logam-logam untuk membersihkan segala karat dan campurannya.

Dengan ini barulah anggota harakah akan menjadi Mukmin Mujahid ataupun Rijalun ‘Aqidah bukan buih-buih. Firman Allah Taala :
"Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan."(Ar ra'du :17)

Oleh itu anggota harakah mestilah beriman dengan sebenar-benarnya dan menyelaraskan diri dengan Islam dengan sungguh-sungguh. Mereka itulah yang menjadi lampu-lampu hidayah. Di samping itu, mereka terdedah dengan fitnah-fitnah yang membuta tuli.

Sejarah Islam telah menyaksikan di setiap zamannya yang berbeza-beza, berbagai-bagai contoh teladan yang indah dan cemerlang. Para pemudanya telah menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah gugur dan ada pula dari mereka yang menuggu dan mereka sedikitpun tidak berubah.

Di atas asas inilah terbentuknya harakah Islamiyyah yang pertama. Harakah yang beriman dengan da'wahnya selaras dengan segala prinsip yang didukung. Ia mengetahui segala bahaya jalan yang dilaluinya dan bersiap sedia memberi pengorbanannya dengan redha dan murah hati.

Renunglah kata-kata As Syahid Hassan Al Banna:
" Betapa inginnya kami agar umat ini mengetahui bahawa mereka lebih kami cintai daripada diri kami sendiri. Kami berbangga ketika jiwa-jiwa kami gugur sebagai penebus bagi kehormatan mereka, jika memang tebusan itu yang diperlukan atau menjadi harga bagi tegaknya kejayaan, kemuliaan dan terwujudnya cita-cita mereka, jika memang itu harga yang harus dibayar. Tiada sesuatu yang membuat kami bersikap seperti ini selain rasa cinta yang talah mengharu biru hati kami, menguasai perasaan kami, memeras habis air mata kami dan mencabut rasa ingin tidur dari pelupuk mara kami. Betapa kami menyaksikan bencana yang mencabik-cabik umat ini, sementara kita hanya sanggup menyerah kepada kehinaan dan pasrah oleh keputusan. Sungguh kami berbuat di jalan Allah untuk kemaslahatan seluruh manusia, lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik kalian wahai saudara tercinta, sesaatpun kami tidak akan pernah menjadi musuh kalian."


Penutup

Oleh itu kita perlu merasakan betapa kita berhajat kepada tarbiyyah supaya kita menggunakan masa yang ada sekarang untuk kita menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman. Masyarakat sekarang sedang menantikan kedatangan Da'ie dan Murabbi untuk merawat penyakit-penyakit ummat dan membimbing mereka kepada hidayah Allah swt. Dan mereka-mereka yang hidup dalam ma'siat dan penuh kemungkaran hari ini jika tidak dirawat dan dibimbing kepada hidayah Allah swt berhak untuk mendakwa kita di Akhirat kelak jika kita bergaul dengan mereka dalam keadaan tidak ada apa-apa usaha untuk membawa mereka kepada jalan Allah swt.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Computador, I hope you enjoy. The address is http://computador-brasil.blogspot.com. A hug.

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.