IKTIBAR KISAH KAAB BIN MALIK UNTUK SEORANG PENDAKWAH


Sesiapapun dipecat, siapapun dihukum, siapapun dikenakan serta merta pasti akan mengalami kejutan yang luar biasa. Fitrah manusia lahirnya pasti akan merasa marah bukan kepalang, dibayangi kesumat yang mencengkam apabila menghadapi tindakan sedemikian. Namun, bagi mereka yang jiwanya kental, niatnya berjuang semata-mata kerana Allah dan Rasul, pastilah tidak merasa sempit dada kerana jalan perjuangan masih panjang. Hukuman bukanlah bererti perjuangan terhenti ditengah jalan, tetapi harus terus konsisten berada di lapangan yang diredhai Allah dan Rasul-Nya.

Itulah Ka'ab bin Malik, biarpun dihukum kerana tidak hadir di medan perang yang tertangguh di Tabuk. Ia bukan menjadi peluang untuk berpaling dari terus berada di dalam nakhoda yang diketuai oleh Rasulullah S.A.W. Peristiwa ini berlaku ketika terdapat ramai puak munafiqin yang tidak menyertai gerakan jihad ke Tabuk. Mereka bukan sahaja gagal menyahut seruan Nabi, bahkan cuba mempengaruhi orang lain supaya menguzurkan diri. Hal ini dirakamkan di dalam surah at Taubah ayat 81 :

"Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata; Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini. Katakanlah (wahai Muhammad); Api neraka Jahannam lebih panas membakar, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami."

Orang munafik berkata, "Janganlah berpergian dalam keadaan panas."

Lantaran itu Baginda menjawab, "Api neraka Jahannam lebih panas membakar."

Ketika orang-orang munafik menguzurkan diri dari peperangan tersebut, mereka langsung tidak dikenakan tindakan oleh Rasulullah SAW. Tetapi, ketika tiga orang Sahabat Nabi berhadapan dengan Baginda, mereka langsung dikenakan hukuman dari Allah iaitu pemulauan untuk beberapa tempoh yang ditentukanNya. Di antara orang-orang beriman yang tidak menyertai tentera Muslimin ke Tabuk ialah Murarah bin Rabi', Hilal bin Umayyah dan Ka'ab bin Malik.

Murarah bin Rabi' tidak bersama-sama pasukan Nabi Muhammad SAW kerana hasil tanaman tamar dikebunnya sedang masak dan terpaksa dikutip. Lalu beliau menyangka penyertaannya dalam lain-lain peperangan sebelum ini, dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang seterusnya bakal dihadapi oleh kaum Muslimin.

Manakala Hilal bin Umayyah pula sibuk mendampingi kaum keluarganya yang baharu pulang ke Madinah setelah sekian lama meninggalkan kota itu. Seperti Murarah, Hilal juga menyangka penyertaannya di dalam beberapa peperangan terdahulu bersama Rasulullah SAW, mengizinkan sebab keuzurannya.

Ka'ab bin Malik pula saat itu sedang menikmati kesenangan yang sebelum ini tidak pernah dinikmatinya, kebunnya subur, unta-untanya beranak-pinak. Hal itu menyebabkan Ka'ab telah tertinggal kebelakang dari turut bersama pasukan Rasulullah SAW di Tabuk. Hal ini disedari oleh Rasulullah apabila Baginda bertanya kepada Para Sahabat, di mana Ka'ab bin Malik? Menyedari reaksi Rasulullah S.A.W tertanya-tanya, Para Sahabat meminta Ka'ab menemui Baginda sejurus sampai ke Madinah.

"Apa yang menghalangi kamu? Bukankah kamu telah membeli unta?", tanya Rasulullah SAW kepada Ka'ab.

Lantas Ka'ab menjawab, "Ya RasulAllah SAW, kalau orang lain sudah tentu aku memberikan alasan-alasan yang munasabah kerana Allah mengurniakanku kefasihan. Tetapi kepada Baginda Rasulullah, walaupun aku dapat memberi keterangan-keterangan dusta yang mampu memuaskan hati, sudah tentu Allah akan memurkaiku. Oleh itu aku bercakap benar. Demi Allah! Aku tiada sebarang alasan pun sedangkan pada waktu itu hidupku mewah dan jauh dari sebarang keuzuran."

Kesalahan Ka'ab bin Malik, Murarah bin Rabi' dan Hilal bi Umayyah tidaklah begitu serius jika hendak dibandingkan dengan seruan-seruan supaya tiadanya wala' dalam jamaah, ataupun menubuhkan pasukan lain untuk menyaingi pasukan Rasulullah SAW. Lagi pula pertempuran sebenarnya tidak berlaku di Tabuk, bahkan pasukan Rasulullah SAW kembali ke Madinah dalam keadaan tidak berperang. Tetapi mereka tidak berdolak-dalih dan redha terhadap hukuman yang dikenakan oleh Rasulullah. Mereka bertiga dipulaukan untuk beberapa tempoh yang ditentukan. Tidak ada seorang pun yang boleh bergaul dengan mereka bertiga, kerana itu arahan Rasulullah SAW.

Ketika itu dunia yang begitu luas menjadi sempit kepada mereka bertiga akibat hukuman ini. Hal ini lebih membimbangkan lagi jika di antara mereka menemui ajal, pastilah Nabi Muhammad SAW tidak akan mengimami solat jenazah mereka. Sebaliknya pula jika Baginda SAW wafat, sudah tentu pemboikotan yang dikenakan ke atas mereka berterusan sehingga ke akhir hayat.

Kekhuatiran itu menyebabkan Ka'ab bin Malik sering memberanikan diri menghampiri Nabi Muhammad SAW sambil memberikan salam. Ka'ab menunggu-nunggu jawapan Baginda SAW dengan penuh penyesalan dan harapan, namun kerapkali pertemuannya membuahkan kehampaan. Pernah satu ketika Ka'ab memanjat pagar kebun sepupunya, Qatadah. Ka'ab mengucapkan salam kepadanya tetapi tidak berjawab. Lantaran itu Ka'ab menggesanya supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Ka'ab bertanya, "Engkau tahu atau tidak yang aku mencintai Allah dan Rasul-Nya?"

Soalan itu diulangi sebanyak tiga kali. Pada kali yang ketiga baharulah Qatadah menjawab, "Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui."

Mendengar jawapannya itu Ka'ab menangis lalu meninggalkannya.

Di suatu sudut lain ketika Ka'ab dikenakan pemulauan tersebut, banyak suara yang membelanya, banyak suara empati tentang hukumannya, bahkan ada juga suara yang memujuk dan mengajaknya agar berpaling dari kumpulan Rasulullah SAW. Pujukan itu berupa tawaran-tawaran jawatan, jabatan, kedudukan, kemuliaan yang mungkin akan diberikan oleh seorang raja dari Ghassan yang beragama Nasrani dari negeri Syam. Ini kerana kewibawaan yang dimiliki oleh Ka'ab dianggap memiliki daya tarikan yang cukup kuat, pengaruh yang cukup hebat, yang mampu memberikan kepentingan apapun yang diinginkan oleh pihak lain terhadapnya.

Itulah apa yang dialami oleh Ka'ab bin Malik setelah berita pemulauannya sampai ke pengetahuan Raja Ghassan. Raja Ghassan kemudiannya menyerahkan sepucuk surat yang berbunyi, "Kami telah mengetahui penganiayaan yang kamu perolehi dari pemimpinmu (Nabi Muhammad). Allah tidak akan membiarkan kamu dalam keadaan hina dan malu. Ada baiknya kamu menyertai kami, dan kami akan memberi segala pertolongan kepada kamu."

Luar biasa perhatian Raja Ghassan kepada Ka’ab bin Malik. Ketika posisi Ka'ab berada dalam keadaan kritikal kerana dihukum oleh Nabi, seorang Raja yang punya kerajaan, punya harta dan takhta memberikan perhatian khusus kepadanya. Pada saat semua Sahabat tidak peduli kepada Ka'ab, ternyata masih ada orang yang ingin menyapanya, bahkan ia adalah seorang Raja.

Mujurlah yang mendapat surat itu Ka'ab bin Malik, seorang mujahid yang hebat. Beliau bukan orang yang mudah dipujuk rayu. Beliau bukan orang yang mudah diajak melakukan bangkangan terhadap gerakan yang dipimpin Rasulullah SAW. Tidak ada ungkapan pembandingan yang keluar dari mulut Ka’ab seperti, "Orang luar pula yang memberikan perhatian kepada nasibku. Sahabat-sahabatku, jiran tetanggaku, orang yang satu jama’ah denganku, langsung tidak peduli dengan diriku".

Tidak ada garis kalimat seperti itu yang tercetus dari mulut Ka’ab bin Malik. Beliau menyedari, surat Raja Ghassan itu adalah ujian berikutnya yang harus dihadapi dengan sepenuh kesedaran dan kefahaman. Adapun matlamat dunia dan akhirat yang diinginkannya adalah keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Bukan pengakuan orang, bukan apresiasi Raja Ghassan. Surat Raja Ghassan itu benar-benar merupakan sebuah ujian keikhlasan yang datang tepat pada waktunya, dan Ka’ab mampu melalui ujian ini dengan sempurna.

Ka'ab bin Malik memasukkan surat Raja Ghassan itu ke dalam relung api dan membakarnya. Lalu Ka'ab terus berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW sambil berkata, "Ya RasulAllah SAW, hampir-hampir aku tergelincir ke dalam jurang kehinaan yang amat dahsyat, sehinggakan orang-orang kafir menyangka aku akan murtad."

Mendengar keluhan Ka'ab bin Malik itu, Rasulullah SAW tetap berdiam, bahkan tidak memberi respon ke atas apa yang berlaku kepada Ka'ab.

Selepas 40 hari pemulauan itu berjalan, dan harapan agar berita berakhirnya masa hukuman ke atas tiga orang Sahabat Nabi segera diutuskan, seorang utusan Nabi Muhammad SAW mendatangi Ka'ab dengan membawa satu perintah baharu, iaitu perintah supaya ketiga-tiga orang Sahabat yang dipulau ini berjauhan dengan isteri. Utusan yang datang bukan utusan pengampunan, justeru menambahkan lagi hukuman berikutnya iaitu berpisah tempat tinggal dengan isteri. Hidup dirasakan seperti di dalam penjara, tanpa teman, tanpa anak dan isteri yang menemani.

Lengkap sudah kesunyian ini, ketiga-tiga Sahabat Nabi ini menjalani babak baharu dalam hukumannya. Mereka adalah mujahid sejati, mereka tidak memberontak dan menolak hukuman berikutnya. Kata Ka'ab yang akur dengan arahan ini kepada isterinya, "Pergilah kamu tinggal bersama-sama orang tuamu sehingga Allah menentukan sesuatu hukuman lain bagiku."

Justeru bersantai sahaja di rumah dan tidak bersama-sama kaum Muslimin ke medan perang bukanlah kesalahan yang ringan. Buktinya hukuman masih ditambah dan ditingkatkan.

Di antara tiga orang Sahabat yang dikenakan tindakan pemulauan ini, Hilal sahaja yang memiliki masalah yang berbeza kerana usianya yang sudah terlalu tua jika dibandingkan dengan Ka’ab dan Murarah. Lantarn itu, isteri Hilal bin Umaiyah datang menghadap Rasulullah SAW dan mengadu bahawa suaminya sudah tua dan tidak memiliki pembantu untuk merawatnya. Isterinya tidak sanggup membiarkan Hilal yang sudah tua itu menjalani kehidupan sendiri. Lantaran kebijaksanaan Baginda Nabi SAW, permintaan isteri Hilal bin Umaiyah diperkenankan.

Begitulah mulianya adab Para Sahabat. Bila arahan dikeluarkan oleh Nabi SAW, mereka mendengar dan taat. Ketika hukuman itu terasa memberatkan bagi orang seusia Hilal bin Umaiyah, isterinya pula mengusahakan keringanan bagi suaminya. Menghadap Nabi SAW dengan penuh akur terhadap arahan dan mengharapkan belas dari Baginda disebabkan kondisi suaminya itu. Itu semua merupakan hak yang diakui oleh Baginda Nabi SAW, dan ia bukan suatu keaiban dan kesalahan. Sesungguhnya ini adalah contoh interaksi yang sangat mulia, antara orang-orang beriman, yang sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Pemulauan terhadap tiga orang Sahabat Baginda SAW berakhir sebaik sahaja terdengar orang menjerit dari kemuncak bukit, "Ada berita gembira buat kamu wahai Ka'ab!"

Sebaik sahaja mereka bertiga mendengar berita pengampunan itu, mereka masing-masing bersujud dengan gembiranya sambil mengucapkan syukur kepada Allah. Seluruh Sahabat mengucapkan tahniah kepada mereka dan ketika itu wajah Baginda SAW berseri-seri dengan cahaya kegembiraan.

Inilah kesan tarbiyah dari peristiwa yang sangat mustahak diambil pengajarannya. Peristiwa menarik seperti ini hanya dapat kita saksikan dari generasi terbaik di zaman Baginda Nabi SAW. Ia memberikan pelajaran kepada kita semua, sekalipun pengajaran itu melalui kesilapan orang-orang soleh terdahulu. Ini kerana, jika generasi keemasan Islam tidak pernah ada orang bersalah, untouchable, maka kita tidak dapat mengambil ibrah dari kesilapan mereka.

Semua orang memiliki peluang melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang bersalah adalah yang bersedia mengakui kesalahan itu dan melakukan perbaikan. Salah satu usaha perbaikan itu adalah dengan jalan menerima hukuman, dan menjalaninya dengan sepenuh kesedaran dan kerelaan.

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.