PENDIRIAN WADAH MENGENAI ISU QAZAF... ABDUL HALIM ISMAIL


Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah mengeluarkan Pernyataan Bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengenai isu yang sama dengan tajuk Pernyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qazaf, pada 27 Mac 2011 (sila rujuk Kenyataan Media di www.wadah.org.my/).

Sebagai reaksi kepada beberapa persoalan yang berbangkit serta kekeliruan-kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat ekoran kenyataan-kenyataan beberapa orang mantan pimpinan ABIM mengenai isu tuduhan tuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim, maka WADAH ingin menegaskan kembali sikap dan pendirian yang telah diambil dengan merujuk kepada Pernyataan yang telah dibuat 27 Mac tersebut.

Pertama: Sikap dan pendirian mestilah berasaskan syari`at

“Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر).”

Kedua: Hukum qazaf (menuduh liwat dan zina) adalah berat hingga kerana itu hal-hal berkaitan dengannya diperincikan oleh syari`at.

Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.”

Ketiga: Menyebarkan tuntutan yang benar berasaskan syari`at adalah amanah dan tanggungjawab agama.

Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah.

Keempat: Menolak gejala fasik dan pertuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim.

Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.

Kelima: Menegaskan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat berakhlak berdasarkan syari`at.

Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah).

Keenam: Menasihati mereka yang terlibat dalam membuat jenayah qadhaf supaya kembali menginsafi ketelanjuran mereka dan merujuk kembali kepada amaran Allah.

Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula) - Al-Nur:11” “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. - Al-Nur:19”.

Sehubungan dengan ini juga, WADAH ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, pandangan atau pendapat yang dikeluarkan oleh Prof Dato’ Dr Sidek Baba dan Dr Yusri Muhammad, termasuk yang berkaitan dengan isu ini, adalah tidak mewakili pandangan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Prof Dato’ Dr Sidek Baba ialah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah memegang beberapa jawatan dalam ABIM termasuk sebagai Naib Presiden. Dr Yusri Muhammad pernah memimpin ABIM sebagai Presiden. Beliau baru melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini selaku Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Negeri Sembilan.


Abdul Halim Ismail

Setiausaha Agung WADAH.

23 Muharram 1433

19 Disember 2011


Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/sudut-dakwah/7129-pendirian-wadah-mengenai-isu-qazaf

UCAPAN MURSYID AM DI MUKTAMAR TULLAB IKHWAN MUSLIMIN

Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, yang indah lagi diberkati. Selawat dan salam ke atas penghulu kita, ikutan kita dan pemimpin kita Muhammad s.a.w., keluarga serta sahabat-sahabat baginda semuanya.

Anak-anakku muda-mudi tercinta,

Ketahuilah bahawa kamu adalah harapan umat, lengan-lengannya yang gagah, mindanya yang cerah, masa-depannya yang gemilang, harapannya yang bersinar dan kekuatannya yang terpendam. Kamu adalah unsur kebangkitan umat, kemajuan serta kegemilangannya yang paling penting. Itulah kedudukan kamu, itulah nilai kamu. Itulah tanggungjawab kamu dan amanah kamu di hadapan Allah, di hadapan umat dan di hadapan diri kamu sendiri. Sesungguhnya kamu adalah bekalan untuk masa depan, tempat bergantungnya harapan untuk kebangkitan umat kamu.

Dan kami, ketika kami berkata demikian bukan kerana hendak mengampu atau mengambil hati kamu. Sebaliknya kami menegaskan sesuatu yang memang menjadi realiti dan mengiktiraf sesuatu yang benar. Itulah juga yang dipesan oleh kekasih kita yang terpilih, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. (maksudnya): “Hendaklah kamu saling berpesan agar memelihara para pemuda dengan baik kerana sesungguhnya mereka itu memiliki hati yang paling lembut.”

Bertitik tolak dari sini, maka terdapat beberapa perkara yang wajib ke atas kamu terhadap semua aspek yang melingkungi kamu dan yang berkaitan dengan diri kamu.

1. Kewajipan terhadap diri sendiri

Sesungguhnya kamu kini berada pada peringkat usia paling subur dan paling kuat. Maka wajib ke atas kamu memelihara kekuatan ini dan menunaikan hak-haknya. Yang aku maksudkan dengan kekuatan di sini ialah semua jenis dan semua anasirnya, iaitu kekuatan lahiriah, maknawiah, ruhiah, jasadiah dan sebagainya. Kamu kini berada pada peringkat kuat di antara dua peringkat lemah sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban…” Ar-Rum:54

Dan kamu akan ditanya pada Hari Qiamat nanti tentang peringkat ini sebagaimana ditegaskan oleh Nabi s.a.w. di dalam Hadis yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki seseorang hamba sebelum dia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, ke mana ia dihabiskan? Tentang usia mudanya, untuk apa ia digunakan?…” Lihat, meskipun muda itu sudah termasuk dalam usia keseluruhannya, namun baginda sebut secara khusus tentangnya memandangkan kepentingan usia peringkat ini.

Kita perhatikan di dalam Hadis tersebut, Nabi s.a.w. mengibaratkan usia muda itu laksana pakaian yang kita pakai untuk satu tempoh tertentu, kemudian kita menanggalkannya. Maka wajar bagi kita mengambil peluang menggunakan usia muda dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya masa muda adalah satu nikmat paling besar sepanjang usia keseluruhannya dan ia adalah salah satu nikmat yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia, kesihatan dan masa lapang.

Justeru, hendaklah kamu mempertingkatkan diri kamu dari aspek keimanan, keruhanian, ibadah, ilmu, pembelajaran, sukan dan pelbagai bidang agar kamu menjadi insan yang berguna kepada agama, tanah air, umat dan diri kamu. Sejauh mana besarnya dan beratnya tanggungjawab kamu, maka sekadar itulah persiapan yang kamu harus lakukan untuk memikul tanggugjawab itu. Setinggi mana matlamat yang hendak dicapai, setinggi itulah usaha yang mesti dicurahkan untuk merealisasikannya, dan pastinya ganjarannya juga besar dengan izin Allah.

Maka hendaklah kamu mengelokkan hubungan kamu dengan Allah sama ada ketika rahsia dan terbuka. Jangan kamu lakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan-Nya. Hendaklah kamu memohon pertolongan dan bantuan-Nya. Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Putera puteriku yang disayangi,

Jangan kamu memandang remeh terhadap diri kamu, usaha kamu dan tenaga kamu. Sikap itu tidak boleh dikira sebagai warak langsung. Sesungguhnya sungai-sungai di dalam dunia ini terbentuk daripada titisan air hujan jika air hujan itu dikumpulkan pada satu aliran dan pada waktu yang sama. Namun awas! Jangan pula kamu sombong dan terpedaya kerana sifat sombong walaupun sebesar zarah membuatkan kita haram masuk syurga. Maka hendaklah kamu yakin pada diri kamu, potensi kamu dan keupayaan kamu. Hendaklah kamu belajar dari mereka yang terdahulu daripada kamu. Sesungguhnya hikmah itu barang hilang orang mukmin. Di mana saja dia menemuinya, dialah yang paling berhak mengambilnya.

Realisasikan pada diri kamu 10 sifat individu muslim yang telah digariskan oleh Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah. Jadikan ia manhaj yang praktikal bagi kamu sedaya mampu kamu. 10 sifat itu ialah:

  1. jasad yang kuat,
  2. akhlak yang mantap,
  3. fikiran yang bermaklumat,
  4. mampu bekerja,
  5. aqidah yang sejahtera,
  6. ibadah yang sahih,
  7. bermujahadah melawan nafsu,
  8. sangat menjaga waktu,
  9. urusannya tersusun,
  10. berguna untuk orang lain.

Sifat-sifat inilah yang menjadi tonggak pembentukan sahsiah mutakamilah yang mampu memikul beban dalam perjalanan membina umat yang maju, cemerlang dan gemilang.

Jadikan diri kamu sebagai qudwah solehah bagi orang sekeliling kamu, sama ada orang yang committed dengan Islam atau tidak, bahkan bagi orang Islam dan bukan Islam. Aku mengingatkan kamu agar berlaku ihsan dalam semua bidang, dalam bidang akdemik, akhlak, kelakuan, berbakti kepada kedua ibu bapa, dakwah kepada Allah, berkhidmat kepada manusia, taat kepada Allah, cintakan tanah air, keluarga dan warganegara seluruhnya.

Jadilah kamu orang yang berinovatif dan kreatif. Keluarkan seluruh keupayaan kamu, gunakan ia untuk berkhidmat kepada tanahair kamu supaya seluruh alam berbangga dengan kamu. Hendaklah kamu jadi orang yang pakar dan mahir dalam pelbagai bidang dan pelbagai jurusan. Semua ini tidak akan terlaksana melainkan dengan ilmu, amal, sabar dan gigih.

Berhati-hatilah kamu dari penyakit hati dan hawa nafsunya. Ketahuilah bahawa orang yang mampu menguasai dirinya, maka dia akan mampu menguasai orang lain. Maka ikhlaskan diri kamu kepada Allah dan taatilah Dia. Perelokkan amal kamu, curahkan tenaga kamu, nescaya Allah redha kepada kamu, umat kamu akan maju dan terlaksanalah matlamat kamu.

Pastikan kamu bersahabat dengan orang yang baik dan orang yang dapat membantu kamu dalam mentaati Allah dan memajukan diri kamu dalam segenap lapangan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik sahabat itu ialah orang yang apabila kamu ingat kepada Allah, dia membantu kamu dan apabila kamu lupa, dia mengingatkan kamu.

Putera puteriku yang dikasihi,

Jangan kamu memandang rendah kepada diri kamu dan usia kamu. Berapa ramai sudah pemuda yang telah mengubah wajah sejarah. Di dalam sirah dan sejarah lama dan baru terdapat fakta yang menyokong kata-kataku ini. Maka jadilah kamu pemuda jenis ini, yang sirahnya ditulis dengan huruf-huruf daripada cahaya dan dengan tinta daripada emas.

Maka tanggungjawab kamu sangat besar, lebih-lebih lagi selepas revolusi Arab yang hebat. Dan para pemuda telah memainkan peranan yang sangat cemerlang dalam menjayakan revolusi tersebut. Mereka bekerjasama dengan semua golongan rakyat dan menyatukan seluruh kekuatan yang ada. Ketahuilah bahawa revolusi belum lagi berakhir sehingga terlaksana matlamat kita sepenuhnya. Inilah yang menuntut kita mencurahkan tenaga, menambahkan sumbangan lagi dan lagi sehingga revolusi ini masak ranum dan Negara kita terangkat maju ke hadapan.

2. Kewajipan terhadap kedua ibu bapa

Ingatlah Allah dan ingatlah pesanan Allah mengenai ibu bapa kamu. Mereka adalah jalan kamu menuju ke syurga. Maka berbaktilah kepada mereka, taatilah mereka, dekatkan diri dengan mereka, berusahalah untuk menunaikan hajat mereka dan berendah dirilah dengan mereka. Elakkan diri kamu dari perkara yang menimbulkan kemarahan mereka atau melanggar suruhan mereka dalam perkara yang makruf. Firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa…” Al-Isra’:23

Di dalam mentafsir firman Allah yang bermaksud “maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uff”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”, sebahagian ulamak berkata, hendaklah kamu bercakap dengan lembut, mengandungi perasaan belas kasihan, menarik hati mereka, sesuai dengan kehendak dan kecenderungan mereka sedaya mampu kamu, lebih-lebih lagi ketika mereka telah tua.

Aku suka menarik perhatian kamu kepada sabda Nabi s.a.w. yang cukup padat dan penuh hikmah (maksudnya): “Keredhaan Tuhan terletak pada keredhaan ibu bapa, dan kemurkaan Tuhan terletak pada kemurkaan ibu bapa.” Dan sabdanya (bermaksud): “Celakalah dan kecewalah!” Mereka bertanya, “Siapakah yang celaka itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Orang yang sempat bersama ibu bapa atau salah seorang daripada keduanya ketika tua, kemudian dia tidak tidak masuk syurga.” Ketahuilah bahawa datuk nenek kamu adalah akar bagi pokok keluarga, ayah dan ibu kamu adalah batangnya dan kamu adalah daun-daun, bunga-bunga dan buah-buahnya. Kalaulah tidak adanya mereka, tidak adalah kamu.

3. Kewajipan kamu terhadap tanahair

Sesungguhnya tanahair kamu sangat berhajat kepada tenaga kamu yang ikhlas untuk bangkit, lebih-lebih lagi selepas apa yang telah menimpanya selama ini. Ia telah lama diperas, dizalimi dan dirosakkan. Warganya, potensinya, kekayaannya hampir musnah kesemuanya. Maka hendaklah kamu tolong menolong dengan semua pihak, bersatu padu dengan semua golongan, bekerjasama dengan semua pertubuhan untuk membina tanahair kamu. Ruang dan peluang untuk bekerjasama amat luas demi kebaikan tanahair kita. Kita berkerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan kita menerima keuzuran dalam perkara yang kita tidak sepakati.

Hendaklah kamu gariskan matlamat kamu dengan jelas dan tepat agat tenaga kamu tidak terbuang sia-sia, kamu tidak keliru antara hadaf dengan wasilah, tidak memperbesarkan perkara kecil dan memperkecilkan perkara yang besar. Pelajarilah fiqh aulawiyyat dan beransur-ansurlah menyusun langkah. Dengan jelasnya matlamat dalam fikiran kamu, akan teranglah jalan kamu, tenaga dan kesukaran jakan kamu dapat diminimumkan, dan matlamat akan tercapai dengan lebih cepat. Utamakan aspek beramal daripada berteori supaya manusia dapat melihat daripada kamu amal yang hebat, bukan semata-mata cakap. Teladan perbuatan seorang lelaki dalam seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada seorang lelaki.

Hendaklah kamu beramal bersungguh-sungguh untuk mencari alternative yang lebih baik yang dapat membantu kamu memanfaatkan waktu kamu. Berhati-hati dengan masa lapang. Sesungguhnya masa lapang itu musuh kamu yang paling ketat. Masa lapanglah yang mendorong pemuda terjerumus ke lembah kesesatan dan keruntuhan akhlak. Kamu juga perlu mengikhlaskan niat, menggunakan semua kebolehan serta bakat dan manfaatkan setiap detik waktu. Itulah rahsia kejayaan dengan izin Allah. Hendaklah kamu menggabungkan diri dengan pusat-pusat aktiviti pemuda, kesatuan sukan, badan kerajaan, majlis tempatan, pertubuhan sukarela, pertubuhan sosial, badan kebajikan dan sebagainya. Bangunkan, kembangkan, susun program keilmuan dan kemahiran yang berguna. Ikut serta dalam pelbagai kegiatan amal sehingga mereka sedar akan nilai kamu dan risalah kamu dalam kehidupan serta sumbangan kamu yang berguna kepada tanahair kamu.

Hendaklah kamu mengambil berat tentang masyarakat kamu dan permasalahannya dan memainkan peranan yang positif dalam membantunya. Aktifkan minda kamu mencari penyelesaian masalah masyarakat. Hulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi keperluan mereka, “Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dikhususkan untuk menunaikan hajat manusia. Digemarkan mereka kepada kebaikan dan digemarkan kebaikan kepada mereka. Mereka akan mendapat keamanan pada hari manusia dalam ketakutan (Hari Qiamat).”

4. Kewajipan terhadap umat

Hendaklah kamu mengambil berat tentang umat kamu dan isu-isunya. Serapkan dalam diri kamu dan berusaha menolongnya. Jangan kamu menyisihkan diri dari permasalahannya kerana siapa yang tidak mengambil berat tentang urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka. Kamu menjauhkan diri dari permasalahan umat kamu merupakan permulaan kepada perpecahan dan pertelingkahan. Dan itu akan membawa kepada kerugian serta menunjukkan kamu tidak berintima’ kepada umat kamu, umat Arab dan umat Islam.

Putera puteriku yang dikasihi,

Sesungguhnya Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah telah menggariskan di dalam risalahnya “Ilasy-Syabab” rukun-rukun kejayaan. Dia berkata: “Sesungguhnya fikrah akan berjaya apabila keimanan kepadanya kuat, keikhlasan yang sempurna dalam merealisasikannya, semangat (hamasah) yang membuak-buak dalam memikulnya, serta wujud kesediaan untuk berkorban dan beramal demi menegakkannya.” Dari kata-kata ini kita dapati rukun kejayaan itu empat perkara: iman, ikhlas, hamasah (semangat) dan amal. Rukun-rukun ini merangkumi aspek ruh dan aqidah (iman dan ikhlas) di samping aspek amal dan pelaksaan (hamasah dan amal). Ini merupakan gabungan yang sungguh cantik, semangat (hamasah) pemuda, pengarahan yang baik, kemantapan fahaman, mendahulukan aspek aqidah daripada yang lain.

Di tempat lain beliau berkata: “Dan setiap orang yang beramal dengan benar dari kalangan kamu akan mendapati di medan Islam apa yang selari dengan kehendaknya dan memenuhi aktivismanya jika dia terdiri daripada orang yang benar.” Tabiat pemuda adalah hamasah. Jika tidak dikekang mungkin akan terlajak. Lantaran itu Imam al-Banna menasihatkan: “Kekanglah runtunan emosi dengan pandangan akal. Sinarilah pandangan akal dengan nyalaan emosi.” Maka di sini Imam al-Banna mengekang dan mengawal semangat serta menghalakannya ke jalan yang betul dan lurus, jalan iman, ikhlas dan benar.

Maka berpegang teguhlah dengan empat rukun ini. Realisasikan di dalam diri kamu dan serulah orang lain daripada kamu. Beramallah dengannya dan tukarkan ia menjadi realiti yang bergerak bersama kamu di setiap medan kehidupan kamu.

Putera puteriku yang dikasihi,

Imam al-Banna juga telah menyebut di dalam risalahnya yang ditujukan kepada kamu thawabit (perkara yang tetap) jamaah yang terpenting, iaitu:

  • rabbaniah,
  • tadarruj,
  • tarbiah,
  • syumuliah.

Maka jadikan thawabit ini sentiasa berada di hadapan mata kamu. Berpeganglah dengannya dan beramallah mengikut tuntannya. Dengan itu akan menjamin keselamatan jalan, kebenaran hadaf dan terlaksana natijah yang paling baik dengan izin Allah.

Rabbaniah bermaksud: menuju hadaf yang diletakkan Allah untuk kita, bukan hadaf yang kita letakkan untuk diri kita. Dan kita akan sampai dengan izin Allah dan pertolongan-Nya. “Dan Allah enggan kecuali Dia akan sempurnakan cahaya-Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”

Tadarruj dan tarbiah bermaksud: “Kita akan didik diri kita semoga kita menjadi individu muslim, kita akan didik rumah kita supaya menjadi rumah muslim, kita akan didik bangsa kita sehingga menjadi bangsa muslim di kalangan bangsa-bangsa yang muslim, dan kita akan tetap teruskan langkah kita sehingga sempurna semua pusingan.”

Syumul bermaksud: “Ikhwan beriman bahawa Islam itu aqidah dan ibadah, tanahair dan bangsa, akhlak dan kebendaan, ilmu dan undang-undang, toleransi dan kekuatan. Mereka yakin dan berpegang teguh bahawa Islam adalah sistem yang lengkap dan merealisasikannya pada diri dalam semua aspek kehidupan, menyusun urusan dunia sebagaimana menyusun urusan akhirat. Mereka beriktiqad Islam adalah sistem amali dan ruhi secara seiring. Maka Islam di sisi Ikhwan adalah din dan daulah, mushaf dan saif (pedang). “sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Al-Kahf:13

Dan akhirnya,

Kamu adalah harapan dengan izin Allah. Kami mengetahui bahawa pada kamu ada kebaikan yang besar. Maka rasailah sentiasa wahai pemuda realiti yang dialami umat kamu, realiti yang cukup masam, pahit, menyedihkan dan tidak ada seorangpun dari kalangan kita yang redha dengannya. Rasailah bahawa di tangan kamu dan dengan usaha kamu akan merobah keadaan umat kamu dan memenangkannya jika terlaksana pada diri kamu dan reality kamu syarat-syarat kemenangan, “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” Muhammad:7

Maka hendaklah kamu mengelokkan iman kamu dengan Allah dan ikuti sunnah Rasulullah s.a.w., amal berterusan, tajarrud sepenuhnya, curah tenaga tanpa henti, berkorban apa saja, jujur dengan Allah, dengan diri dan dengan manusia, gunakan tenaga untuk bekerja bersungguh-sungguh kerana diri kita ini jika tidak digunakan untuk perkara yang benar, dia akan sibukkan kita dengan perkara yang batil. Apabila terlaksana semua ini, akan terlaksanalah kemanangan sebagaimana yang telah dicapai sebelum ini, dan ia tidak sukar bagi Allah. “dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;” Al-Hajj:40

Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluargannya dan sahabat-sahabatnya.

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah.


Muktamar Tullab Ikhwan Muslimin pertama selepas revolusi,

Cairo, Sabtu 26 Syawal 1432H bersamaan 24 September 2011M


Sumber : http://zaadut-taqwa.blogspot.com/








HILANGNYA SATU MUTIARA ILMU ; TOK GURU HAJI HASHIM PASIR TUMBUH













Tuan guru Haji Hashim Abu Bakar, lebih akrab dengan panggilan Ayah Sin. Pada tanggal 30 Ogos 2011, jam 1.15 sore, saat umat Islam merayakan hari raya aidilfitri tokoh ulama tersohor itu kembali rahmatullah dalam usia 91 tahun di rumahnya di komplek Madarasah Ad-Daniah Balakariah Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan, kerana sakit tua.

Lahir pada 1920, di Kg. Pantai Johor, Alor Setar, Kedah, daripada keluarga ulama. Bapanya berasal dari Pattani yang berhijrah ke Kedah dan berkahwin dengan anak tempatan. Pada 1935, ketika usianya 12 tahun, ibu bapanya menghantar belajar di Darul Ulum dan di Masjidil Haram, Mekah. Antara gurunya ketika itu, ialah Syeikh Mohd. Yasin al Padangni, seorang ulama terkenal di Mekah asal Minangkabau, Indonesia, Syeikh Hassan Mashud dan Syeikh Muhamad Alawi daripada Maghribi.

Sekembalinya ke tanah air (1939), dia menyambung lagi pengajian secara tradisional di Madrasah Asyariah, Bagan Datok, Perak, selama setahun (1940). Semasa Jepun menduduki Tanah Melayu beliau kembali ke kampung kelahirannya di Kedah, sehingglah pada 1946. Setahun selepas tentera Jepun menyerah kalah, Haji Hashim berhijrah ke Kelantan. Ketika di Kelantan, dia mendalami lagi ilmu agama di Pondok Bunut Payung.

Antara rakan-rakan sepengajian beliau ketika itu, samada sewaktu di Mekah, mahupun di tanah air, ialah bekas guru di Maahad Muhammadi, Ustaz Haji Hasan Idris, iaitu anak Tok Guru Haji Idris, Bachok dan Tok Guru Ayah Kob, Machang, Kelantan.

Madarasah Ad-Daniah Bal-akariah atau nama popularnya Pondok Terosan, Pasir Tumboh, dibuka pada 1953 oleh dua orang ulama bersuadara, Haji Mustafa bin Abu Bakar dan adiknya Haji Abdul Aziz Abu Bakar. Ketika itu Ayah Sin menyambung sentri di pesantren tersebut. Minat beliau kepada pengajian Islam secara tradisional menjadikan dirinya sangat sinonim dengan suasana pesanteran.

Kebetulan, Almarhum mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Tok Guru Haji Abdul Aziz atau nama akrabnya, Tok Guru Ayah Jik, adalah adik ipar. Menurut haraki pondok Terosan, Ayah Sin merupakan murid paling kanan antara ribuan murid yang belajar di situ ketika itu. Justeru bila Tok Guru Ayah Jik meninggal dunia, maka kepimpinan pesanteran Pasir Tumboh diserahkan kepada beliau.

Ayah Sin, mula memimpin pesanteran pada 1987. Banyak perubahan dilakukannya sedikit demi sedikit, terutama membangunan pasarana. Masjid diperbesarkan, asrama-asrama moden untuk sentri setingi 5 lantai didirikan. Lengkap dengan kantin, kedai runcit dan lain-lain kemudahan, bagi menggantikan rumah-rumah kecil bebentuk pondok kayu yang sudah usang dan tidak teratur.

Hari ini, sesiapa yang berkunjung ke Pondok Terosan, akan terpegun dengan pembanguan yang dijalankan berbanding dengan sebelumnya.


sumber : Pak Rossem

ENAM CARA SUBURKAN SEMANGAT ISTIQAMAH SELEPAS RAMADHAN


RAMADAN sudah meninggalkan kita. Namun, apakan daya, begitulah putaran hidup kita di dunia ini yang sentiasa beredar mengikut ketentuan Allah.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar kita diberi kesempatan untuk bertemu Ramadan tahun depan dan tahun berikutnya. Besar harapan kita supaya segala pengabdian dan pengajaran yang berlaku sepanjang Ramadan lalu menjadikan kita seorang yang lebih berkualiti di hadapan Allah.

Kita bukan saja sedih dengan pemergian Ramadan tetapi yang perlu sangat disedihkan ialah apa saja yang kita dapat dan pelajari semasa beribadat sepanjang tempoh bulan Ramadan sebulan lalu. Perkara pertama dan paling susah untuk dilakukan ialah bagaimana hendak menjadi istiqamah dengan amalan kita. Ada orang sepanjang Ramadan ke masjid tidak pernah tinggal tetapi selepas Ramadan, dia tidak lagi ke surau dan masjid. Itu tidak istiqamah namanya. Ketika Ramadan baca al-Quran tidak henti-henti tetapi selepas Ramadan dia berhenti membaca al-Quran. Sedekah bukan main, bersedekah umpama dermawan namun apabilau Ramadan berlalu, dia kembali kedekut. Itu juga tidak istiqamah namanya. Ada yang membantu anak yatim sepanjang Ramadan. Segalanya diberi untuk anak yatim namun apabila Ramadan berlalu, anak yatim ditinggalkan. Sebenarnya bantuan kepada anak yatim mesti berterusan sebab anak yatim bukan hanya hidup 30 hari setahun, mereka hidup macam kita juga sebanyak 365 hari setahun.

Istiqamah adalah sifat Muslim sejati. Ia ada pada orang yang kuat mujahadahnya. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Rambut aku menjadi uban kerana surah Nuh.” Ayat yang sangat banyak Nabi fikirkan ialah ayat yang berbunyi maksudnya: “Hendaklah kamu beristiqamah terhadap apa yang aku perintahkan.” Kerana terlalu banyak memikirkan ayat itu hingga al-Rasul menjadi beruban. Maksud ayat itu ialah Rasul berfikir bagaimana hendak melaksanakan perintah Allah dan pada masa yang sama bagaimana juga hendak menanggung risiko tindak balas dan ancaman daripada kaum musyrikin kota Makkah.

Ada baiknya kalau kita lihat sedikit panduan untuk mendapat istiqamah.

Pertama, banyakkan berdoa. Doa khusus ialah minta Allah anugerahkan pada kita supaya sentiasa beristiqamah. Doa sebenarnya satu visi. Jika di minda ada tergambar untuk mendapatkan istiqamah sudah tentu jadi pendorong, apabila malas akan teringat pada visi.

Kedua, berkawanlah dengan mereka yang komited dengan kebaikan. Kawan baik ialah kawan yang membantu kita berbuat baik. Kawan baiklah kawan yang mendorong kita ke syurga. kawan yang baik ialah kawan yang menghalang kita daripada terjerumus ke neraka.

Ketiga, untuk beristiqamah ialah dengan menulis matlamat yang kita nak capai dan lekatkan di mana-mana tempat di rumah atau pejabat serta mudah dilihat. Ia bertujuan supaya kita tidak mudah lupa maklumlah Ramadan datang setahun sekali.

Keempat, apabila sudah dapat kita tunaikan amalan yang kita nak beristiqamah, iaitu apabila amalan itu sudah mula sebati dengan jiwa kita buatlah kenduri iaitu raikanlah kejayaan kita itu dengan doa selamat dengan menjemput sahabat terdekat.

Kelima ialah dengan berdialog dengan diri sendiri. Biar diri kita yang memujuk diri sendiri dengan membandingkan istaqamah orang-orang dulu. Sekiranya mereka dapat melakukannya kenapa kita tidak? Mereka juga manusia seperti kita.

Keenam, bayangkan pahala besar yang menanti kita apabila kita dapat beristiqamah. : ‘Semoga Allah menerima amalan kita dan amalanmu’”.

Sumber : http://albakriah.wordpress.com/2010/09/20/6-cara-suburkan-semangat-istiqamah-tarbiah-ramadhan/

WAHID SEDANG 'LEMBUTKAN' IMEJ PAS TERENGGANU

KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu mengajak pimpinan dan ahlinya di negeri itu agar memenuhkan diri mereka dengan ciri-ciri pemimpin rakyat dan sentiasa bersama masyarakat.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, memenangi pilihan raya satu yang penting tetapi mempertahankannya dan seterusnya menjadi contoh pimpinan sesuatu yang penting juga.

"Memang kita pilih calon berdasarkan winnable candidate, calon yang boleh menang tetapi mempertahankan kemenangan dan menjadi contoh pimpinan satu yang hal yang penting juga," kata beliau dalam majlis dialog bersama perantau yang pulang ke kampung berhari raya di Dewan Datuk Wan Abdul Mutalib, Markas PAS Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata, antara ciri penting kepimpinan adalah melupakan segala persengketaan demi dakwah.

"Saya ambil contoh Tok Guru Nik Aziz. Semasa Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Hashim Safin meninggal, dia bersama Datuk Husam Musa melawat rumah beliau, keluarga dia menangis berlenangan air mata.

"Apabila Tok Guru tanya, kenapa menangis, anak dia (Hashim Safin) berkata, hari ini kami dua kali menangis. Tadi menangis kerana ayah kami meninggal. Kini kami menangis kerana Tok Guru menziarahi kami.

"Padahal semasa hayatnya, apa yang ayah kami tak kata kepada Tok Guru," cerita Wahid tentang apa yang dikatakan anak ketua Umno bahagian itu.

"Inilah dakwah...boleh ke kita juga membuat perkara yang sama?" tanya Wahid kepada semua yang hadhir di hadapan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Akibat dari sejarah pertembungan yang lama, hubungan antara penyokong PAS dan Umno di Terengganu agak jauh.

Mereka tidak rapat antara satu sama lain dan boleh dikatakan masih ada yang pulau memulau antara satu sama lain.

Mungkin ini mesej yang cuba disampaikan oleh Wahid yang baru dilantik sebagai pesuruhajaya PAS Terengganu beberapa bulan yang lepas.

Wahid juga membawa cerita Cikgu Jabar yang menang beberapa penggal sebagai Adun di Selangor walaupun bertanding atas tiket bebas.Semuanya kerana sikap beliau.

Beliau juga membawa cerita seorang Adun Umno yang juga menang beberapa penggal di Dun Telok Pasu Terengganu semata-mata kerana sikapnya yang mesra rakyat.

"Ada satu kisah bagaimana hebat dan prihatinnya Cikgu Ismail, Adun Telok Pasu ini. Oleh kerana sakit kencing manis, mata beliau menjadi sangat kelabu dan tidak nampak.

"Apabila dia naik kereta, dia pesan kepada driver dia, bila masuk kampung kamu kena bawa kereta dengan perlahan. Kalau tidak orang akan kata aku sombong. Dan bila jumpa dengan orang, kamu bunyikan hon dan aku akan angkat tangan.

"Lalu bila dia masuk kampung dan jumpa dengan orang, driver dia bunyikan hon, dia pun angkat tangan walaupun tidak nampak siapakah mereka.

"Dia tanya siapa, driver dia akan jawab Pak Mat...ooo Pak Mat...Jalan lagi, driver bunyikan hon, dia angkat tangan, tanya lagi siapa, Pak Ali...ooo Pak Ali...padahal Pak Ali sebelah sana nuh, dia angkat sebelah sini.

"Tiba satu tempat, driver dia bunyikan hon, Cikgu Wel angkat tangan dan tanya siapa....lembu, kata driver dia. Sampai ke lembu pun dia angkat tangan," cerita Wahid dengan diikuti gelak ketawa para hadhirin.

Mesej ceritanya, kata Wahid, adalah sikap wakil rakyat itu sendiri yang perlu mesra rakyat dan sentiasa prihatin dengan keperluan dan sensitiviti masyarakat.

Cerita yang disampaikan Wahid sebagai pesuruhjaya baru PAS Terengganu nampak kecil tetapi inilah realiti permasalahan yang dihadapi beliau dalam memenangi kembali hati rakyat Terengganu selepas kalah pada tahun 2004.

Ini kerana, beliau sedang berhadapan dengan Umno yang berusaha keras membeli hati rakyat Terengganu dengan wang ehsan yang beratus juta ringgit setahun yang diperolehi dari hasil minyak di pantai Terengganu.

Dengan hanya kira-kira 20 ke 25 peratus pengundi yang bukan PAS dan bukan Umno (atas pagar), kedua-dua pihak sedang berusaha keras bagi memenangi hati golongan ini bagi memastikan mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Masalah besar yang dihadapi Wahid adalah persepsi yang diletakkan kepada PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar dengan lawan masing-masing.

Ia berbeza dengan imej yang dibayangkan oleh pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz yang dilihat dapat merapati rakyat sehingga ke pemimpin Umno sendiri.- Harakahdaily


ULASAN :

Mungkin beberapa contoh YB di atas dapat dijadikan pengajaran dalam usaha-usaha dakwah memenangi hati-hati masyarakat dan ummah supaya kita dirasakan seperti pepohon rendang untuk mereka tumpang berteduh...

KESILAPAN UMAT DI BULAN RAMADHAN DAN DI LUAR RAMADHAN

Alhamdulillah, sudah hampir seminggu kita berpuasa dan menjalankan pelbagai ibadah di bulan penuh keberkatan dan keampunan ini. Moga kita sama-sama dapat mempergandakan usaha bagi membersihkan hati dan jiwa yang kerap tercemar dengan pelbagai dosa setiap hari.

Jika sebelum ini saya telah mendedahkan beberapa kesilapan kerap umat Islam pada bulan Ramadhan agar ianya dapat dijauhi sebaiknya, kali ini saya berhasrat untuk membuat beberapa penambahan lagi sebagai panduan bagi rakan-rakan umat Islam yang dikasihi sekalian.



Perbetulkan Amalan Kita Selaras Kehendak Allah dan rasulNya

Tanpa mengetahui yang salah, umat Islam mudah terjebak melakukan dosa-dosa ini, dan sebahagiannya bukan suatu dosa kecil yang boleh dipandang ringan. Malah jika ia dosa kecil sekalipun, sesungguhnya sebuah gunung terbina dari tanah dan batu yang kecil. Justeru, dengan mengenalinya serta melakukan koreksi segera, InshaAllah, kebaikan adalah untuk kita juga.

Berikut adalah beberapa lagi perkara yang amat perlu dielak di khususnya di bulan Ramadhan ini, malah ia juga adalah suatu kesilapan di luar Ramadhan (namun pastinya ia hanyalah sebahagian kecil dari senarai panjang larangan dan perkara yang perlu dielak):-

1) Berjalan di hadapan orang yang sedang solat ;

Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir.

Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.

Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.

Nabi s.a.w menegah dengan katanya :-


‏لو يعلم المار بين يدي المصلي ماذا عليه لكان أن يقف أربعين خيرا له من أن يمر بين يديه قال ‏ ‏أبو النضر ‏ ‏لا أدري أقال أربعين يوما أو شهرا أو سنة

Ertinya : Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dana bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- "hadis ini menunjukkan besar dosa, bagi seseorang melintas di hadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar" (Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )

Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Menjadi kemestian ke atas ibubapa untuk menjaga anak mereka sedaya mampu, agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.

2) Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.

Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang.

Nabi s.a.w menyebut :-

‏إذا صلى أحدكم إلى شيء يستره من الناس فأراد أحد أن يجتاز بين يديه فليدفع في نحره فإن أبى فليقاتله فإنما هو الشيطان

Ertinya : Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan.' (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )

Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'.

Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus.

Nabi bersabda :-

المصلي يناجي ربه

Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551 )

Hanya orang yang tidak khusyu' sahaja yang akan membiarkan orang lalu di hadapannya ketika solat. Kerana ia tidak dapat merasakan solatnya adalah suatu majlis yang hebat dan 'grand', tiada perasaan langsung bahawa ia sedang berhadap dengan Allah. Hasilnya, tiada sebarang larangan orang ingin lalu dihadapannya atau tidak. Tiada sebarang rasa terhina atau menghina Allah s.w.t.

3) Meludah di masjid

Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya.

Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda :-

‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏البزاق في المسجد خطيئة وكفارتها دفنها

Ertinya : Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya" ( Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud )

4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat.

Ini adalah satu lagi kesalahan yang berlaku secara kerap di masjid tatkala bulan Ramadhan. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di ubah nada deringannya kepada ‘silent mode'.

Menurut pengamatan saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan).

Ini kerana :-

a- Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-

إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها

Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 atau ½ " ( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )

فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه

Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim)

Larangan menoleh ke kiri dan kanan sewaktu solat pula ditegah sebagaimana kata Nabi :-

فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ

Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )

Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda nabi s.a.w amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.

b- Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain

Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.

Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW besabda :-

‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته

Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.

Pergerakan

Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan

أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية

Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat) ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 )

Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.

5) Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.

Telah banyak kali saya sebut di dalam web ini bahawa wanita ditegah memakai wangian sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid. Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid.

Sebagaimana ingatan Nabi :-

‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته

Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

6) Tidur semula selepas sahur

Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.

Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh.

Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar.

Allah berfirman :-

الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأَسْحَارِ

Ertinya : "Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur" ( Al-Imran : 17 )

7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.

Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang berusngguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau.

Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur. Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.

Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain.

Nabi s.a.w bersabda :-

اجعلوا من صلاتكم في بيوتكم ولا تتخذوها قبورا

Ertinya : jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)" (Riwayat Muslim)

Majority ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebabkan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai ( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )

8) Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah

Saya kira, isu ini telah banyak saya sentuh di web ini, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupuan di ketika datangnya bulan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.

Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.

9) Merendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.

Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.

Buat pihak yang mengutuk, sedarilah, anda sebenarnya sedang menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis :-

‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط

Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranay dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )

Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang terutamanya di bulan baik ini, kita ditegah untuk memperlecehkannya.

10) Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya

Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.

Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.

Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?. Perbincangannya mungkin seidkit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.

Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w mengingatkan :-

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لا يَسْتَجِيبُ

دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاهٍ

Ertinya : "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )

11) Berterusannya tenggelam dalam syahwat

Bagi sebahagian remaja dan anak muda, mereka meneruskan aktiviti biasa mereka dengan bergayut di telefon bersama pasangan, atau lebih buruk, aktif ‘berdating' di musim Ramadhan ini dan pelbagai aktiviti bersyahwat dan nafsu mereka. Ibu bapa pula seolah sudah habis usaha, buntu aqal untuk mencari jalan terbaik mengelakkan aktiviti buruk si anak dari berterusan. Jika ini berlaku, dosa lebih banyak yang bertambah sejurus keluar dari bulan mulia ini. Selain itu, mereka yang menamatkan Ramadhan dengan dosa yang lebih banyak, pastinya akan semakin menjauh dari Allah swt. Manakan tidak, di bulan bergandanya pahala dan ditutup pintu neraka pun masih ditewaskan oleh nafsu, apatah lagi di ketika Syaitan bebas dari belenggunya. Moga kita dijauhkan Allah.

12) Tidak merapatkan saf semasa solat berjemaah

Jarak dua kaki menjadi penting dan tergolong dalam sunnah yang khusus apabila menunaikan solat secara berjemaah. Ini kerana ketika solat berjemaah, saf perlu dirapatkan bersumberkan hadis-hadis yang banyak antaranya :

أقِيمُوا صُفُوفَكمُ وَتَراصَوْا فإني أرَاكم مِنْ وَرَاء ظهْري

Ertinya : "Luruskanlah saf kamu (ketika solat) sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku"( al-Bukhari ) [1]

لتسوُنَّ صُفُوفَكُم أوْ لَيُخَالِفَنَّ الله بين وُجُوهِكم

Ertinya : "Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau Allah akan mengalihkan wajah-wajah kamu" (Abu Daud) [2]

Erti bagi pengalihan wajah ini ditafsirkan oleh para ulama sebagai :

a- Benar-benar wajah akan dialihkan oleh Allah swt kelak.

b- Perpecahan hati dan hilang kesatuan, pergaduhan juga akan semakin subur. Demikian huraian Imam An-Nawawi.

Hadis di atas amat penting dan memberikan ancaman bagi mereka yang bermalasan dalam merapat dan meluruskan saf. Ia menunjukkan besarnya kesalahan tidak melurus dan merapatkan saf, berdasarkan hadis tersebut, para ulama menyatakan hokum wajib bagi merapatkan saf ketika solat jemaah.

Tanpa displin tersebut akibatnya adalah manusia akan berada dalam rasa keegoan masing-masing hingga merasakan geli untuk menyentuh kaki ahli jemaah di sebelah mereka, di samping itu ia juga meunjukkan jemaah tersebut kurang ilmunya hingga akhirnya tindakan ini jika dibiasakan maka Allah swt akan membiarkan berlakunya permusuhan dan pertengkaran dalam masyarakat ini. [3]

Melurus dan merapatkan saf bererti mesti menjaga kaki, justeru dalam keadaan tersebut, perlu di ingat kadar yang telah diletakkan oleh para ulama di atas.

Bagi memperolehi kualiti yang terbaik dan pahala terbanyak maka pandangan yang disarankan menurut penulis dalam hal jarak antara dua kaki ini adalah seperti berikut :-

Ketika solat berjemaah, jarak yang terbaik adalah, sehingga menyentuh jari kaki ahli jemaah lain disebelah kita. Ia sekaligus mempertautkan ukhuwwah serta mampu membuang rasa keegoan diri. Terdapat banyak hadith yang menyokong kesimpulan ini, antaranya hadith shohih riwayat al-Bukhari menyebut :

وكَانَ أحَدُنَا يُلزِقُ مَنْكِبَهُ بمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمُه بقدمِه

Ertinya : "Adalah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain, demikian juga hujung kaki" ( Riwayat al-Bukhari) [4]


Ni gambar sungai bukan syurga ok..

Akhirnya, semoga kesilapan ini dapat dielakkan di ketika kita menghidupkan Ramadhan dan berterusan dapat dielakkan selepas Ramadhan. Saya izinkan disebarluaskan artikel ini di masjid, surau, fotostatlah sebanyak mungkin demi manfaat rakan muslim kita. Semoga kita dapat sama-sama ke syurga Allah s.w.t ..ameeen.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

6 Ramadhan 1428 H

18 September 2007

885020222



[1] Sohih Al-Bukhari, no 687, 1/253

[2] Rujuk Naylul Awtar, 3/224

[3] Fath al-Bari, Ibn Hajar, 2/207

[4] Sohih Al-Bukhari, no 692, 1/254

MENDAMBAKAN SEMANGAT RAMADHAN

Tidak terasa kepada kita bahwa waktu terus berlalu dan hari-hari yang telah dilalui dan bulan Ramadhan itu hanya sebentar lagi akan menjelma kembali. Seperti baru kelmarin Ramadhan tahun lalu kita tinggalkan, bulan mulia yang penuh dengan keberkatan. Kalau kita mengimbau suasana di bulan Ramadhan tahun lalu itu, kita mungkin merasa begitu dekat dengan Allah swt. Kita lalui hari-harinya untuk sentiasa beribadah kepadaNya dengan solat berjamaah di masjid, solat Tarawikh, qiyamullail, tilawah Al Qur'an, sedekah dan macam-macam ibadah lainnya. Lebih-lebih lagi di sepuluh hari terakhirnya di mana kita tidak ketinggalan untuk beri’tikaf di masjid bagi lebih mendekatkan lagi diri kita yang hina ini kepangkuan Ilahi.

Memanjatkan doa memohon ampun atas semua dosa yang pernah kita lakukan. Selepas Ramadhan itu pergi, memasuki bulan Syawal kita masih boleh menghadirkan semangat Ramadhan pada diri kita. Masih boleh kita melaksanakan ibadah puasa sunnah Syawal. Masih boleh kita pertahankan untuk menghiasi malam-malamnya dengan qiyamullail. Tilawah Al Qur’an masih boleh satu juz dalam sehari serta ibadah-ibadah yang lainnya. Subhanallah... Namun secara perlahan semangat Ramadhan itu hilang dari diri kita diiringi semakin jauhnya kita dengan Allah swt yang boleh dikesan apabila berkurangnya kualiti ibadah kita, dosa-dosa pun banyak yang kita perbuat. Astaghfirullah... Kualiti ibadah kita mencerminkan nilai keimanan yang ada pada diri kita. Ketika kualiti ibadah kita itu menurun bererti menurun pula nilai keimanan kita kerana memang keimanan kita kadang-kadang menaik dan kadang-kadang menurun.

Imam Ghazali menjelaskan, keimanan kita naik dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan sebaliknya keimanan kita menurun dengan melakukan kemaksiatan kepadaNya. Tanpa kita sedari begitu banyak dosa itu datang dari : 1. Pandangan mata kita. 2. Ucapan lisan kita. 3. Pendengaran telinga kita. 4. Segenap panca indera kita. Sungguh semua itu tidak terasa kita lakukan kerana memang begitu halus cara syaitan menggelincirkan kita dari jalan yang di ridhai oleh Allah swt. Sekalipun kita adalah orang yang sentiasa rajin beribadah, apatah lagi mereka yang memang jauh dari ajaran agama ini.

Dari berbagai arah syaitan mencuba dengan memujuk rayu supaya kita menjadi manusia-manusia pembuat dosa. 1. Dari arah depan kita, ia datang menggoda. 2. Dari arah belakang kita, ia datang menggoda. 3. Dari arah kanan dan kiri kita, ia datang menggoda. supaya kita jauh dari ketaatan. Ini merupakan janji syaitan / iblis kepada Allah swt yang diabadikan di dalam Al Qur’an: “Iblis menjawab: Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).”(QS Al A’raaf : 16-17) Menyedari diri yang penuh dengan dosa, kedatangan bulan Ramadhan kali ini sangat kita rindukan.

Bulan yang mulia dan bulan yang penuh dengan keberkatan di mana Allah swt dalam bulan Ramadhan ini menjanjikan untuk menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan segala doa yang kita panjatkan dan semoga Allah swt masih memberikan nikmatNya kepada kita sebuah anugerah terindah iaitu boleh merasakan kembali bulan Ramadhan tahun ini. Walaubagaimanapun, banyak cerita di tahun-tahun yang lalu menjelang memasuki bulan Ramadhan bahkan mungkin juga di tahun ini, orang-orang yang terdekat dengan kita, teman, sahabat, saudara bahkan juga ibubapa kita telah mendahului kita mengadap Ilahi. Pergi dan tidak akan pernah kembali lagi, selama-lamanya. Mereka tidak sempat merasakan lagi Bulan Ramadhan dan semua itu adalah takdir yang kita tidak boleh lagi untuk menawarnya. Semoga mereka yang telah mendahului kita di ampuni oleh Allah swt akan dosa-dosanya... Ameen...

Kita juga belum tahu, apakah Allah swt akan mentakdirkan kita bersua kembali dengan bulan Ramadhan tahun ini atau kita ditakdirkan menyusul orang-orang yang terdekat dengan kita yang telah lebih dahulu mengadap Ilahi sebelum Ramadhan dapat kita rasakan kembali, merasakan hari-harinya yang penuh dengan keberkatan. Oleh kerana itu, jangan tunggu bulan Ramadhan datang untuk kita bertaubat kepadanya. Mulailah dari sekarang, dari saat ini untuk kita dekatkan diri kepada Allah swt. Jangan sampai kita termasuk orang-orang yang zalim kerana kita enggan bertaubat. Firman Allah swt : "...Dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (QS Al Hujuraat : 11) Hadirkan semangat Ramadhan itu kembali, qiyamullail, tilawah Al Qur’an dan ibadah-ibadah lainnya supaya ketika kita ditakdirkan oleh Allah swt dapat kembali merasakan bulan Ramadhan yang akan menyapa tidak lama lagi, kita akan lebih bersedia untuk mengisi hari-harinya dengan sentiasa beribadah kepadaNya. Sungguh jangan lalui hari-harinya dengan sia-sia.

Berusahalah ketika kita berada dalam bulan Ramadhan nanti untuk menjemput rahmatNya dengan : 1. Berlumba-lumba membuat kebajikan. 2. Mempersembahkan kepada Allah swt ibadah-ibadah terbaik kita di mana dengan itu semua Allah swt akan membanggakan kita kepada para malaikatNya. Rasulullah saw bersabda : ”Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan. Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat kamu berlumba-lumba pada bulan ini dan membanggakan kamu kepada para malaikatNya. Maka tunjukkanlah kepada Allah perkara-perkara yang baik dari kamu kerana orang yang sengsara (celaka) adalah orang yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (HR At Thabrani)

Hadirkan semangat Ramadhan itu kembali. Jika memang Allah akan memanggil kita sebelum Ramadhan itu menyapa, kita sudah berada dalam kedekatan kepadaNya. Berada dalam keadaan iman yang terbaik. Itu yang kita harapkan jika memang Allah swt telah tentukan akhir waktu umur kita hidup di dunia ini. Tetaplah berdoa memohon kepada Allah swt untuk kita dapat bersua dan merasakan kembali bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan pada tahun ini.

Setiap orang pasti menginginkan kejayaan dari apa yang dilakukannya di Bulan Ramadhan. Ada dua pilihan yang tersedia : 1. Mengusahakan secara terbaik bagi manfaat untuk diri sendiri 2. Mengusahakan secara terbaik bagi manfaat untuk orang lain. Kecenderungan pertama nampak jelas pada orang yang berlumba atau memberi fokus dalam mengumpulkan makanan untuk berbuka puasa bagi dirinya tanpa rasa peduli terhadap keadaan orang lain.

Kecenderungan kedua pula nampak pada mereka yang lebih menunjukkan sifat peduli dan berkongsi rasa dengan sesama muslim. 1. Mengambil peduli akan keperluan orang ramai sehingga mendorongnya untuk berkongsi ilmu dan pemikiran. 2. Mengambil peduli dengan kesedihan orang lain sehingga mendorongnya untuk berkongsi perasaan dalam hati. 3. Mengambil peduli dengan kemiskinan / kesusahan orang lain sehingga mendorongnya untuk berkongsi harta benda. Manusia yang paling baik adalah manusia yang paling banyak manfaatnya bagi manusia lainnya. Nampaknya asas manfaatnya ini boleh dijadikan kriteria untuk mengukur kejayaan seseorang dalam menjalani tarbiyah Ramadhan.

Barang siapa yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain tanpa melupakan manfaat bagi dirinya sendiri maka dialah yang paling berjaya menjalani tarbiyah Ramadhan. a. Manfaat ilmu adalah dengan memberikan nasihat dan pengarahan. b. Manfaat hati adalah dengan perhatian, cinta, kasih sayang dan doa bagi keluarga atau saudara-saudaranya. c. Manfaat harta adalah dengan menginfakkan kepada mereka yang berhak dan memerlukan.

Boleh jadi, itulah rahsianya kenapa Rasulullah saw begitu peduli dengan nasib kaum Muslimin di bulan Ramadhan. Baginda begitu cepat dan ringan dalam menginfakkan harta melebihi cepat atau lajunya angin berhembus. Sikap seperti itu merupakan tauladan yang memberi hikmah bahwa Rasulullah saw menginginkan umatnya untuk lebih bernilai dan bermanfaat bagi saudara lainnya kerana ketulusan iman tercermin dari manfaat yang diberikannya kepada orang lain.

Semoga Allah swt membimbing kita untuk sentiasa mampu bermanfaat kepada orang lain terutamanya di bulan Ramadhan di mana Rasulullah saw telah mencontohkannya kepada kita dengan memaksimumkan manfaat hidupnya untuk kepentingan umat.

Ya Allah, sampaikanlah kami kepada Ramadhan dan berilah kekuatan untuk kami mampu menghadirkan kembali semangat Ramadhan di dalam hati kami sehingga kami dapat mengisi hari-harinya dengan amal-amal yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada diri kami bahkan kepada kaum Muslimin yang lain.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Sumber :http://selangor.ikram.org.my/v2/

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.