ISRAK DAN MIKRAJ; KISAH DAN IKTIBARNYA BUAT UMAT


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

1. Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad SAW yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi sama ada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda SAW menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda SAW. Fitnah terhadap baginda SAW bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda SAW maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi SAW lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda SAW mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah,

3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa AS dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah SWT);

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu “La Haula Wala Quwwata Illa Billah” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim AS bersabda, "Sampaikan nya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar Dan Wa La Haula Wa La Quwwata Illa Billahil- 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sopak dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Makkah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

(Sumber: Kitab Jam'ul-Fawaa'id)

Sahabat yang dikasihi,

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

- Artikel iluvislam.com

HUKUM ZAKAT DIGUNAKAN UNTUK MENAJA PENGAJIAN HIBURAN


Hiburan dalam Islam tidak dihalang secara total; namun menyalurkan zakat bagaimana pula?

Soalan: Apakah pelajar yang menuntut dalam jurusan muzik, teater atau seni hiburan di institusi pengajian tinggi, layak menerima bantuan zakat? Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan: Terima kasih dengan soalan yang diberikan dan mudah-mudahan juga, jawapan yang cuba disajikan ini mampu mencerahkan sedikit kekeliruan dalam kalangan umat Islam khususnya mengenai status bantuan zakat kepada mereka yang mengambil bidang pengajian yang bercorak hiburan, seperti muzik, seni lakon, teater dan sebagainya, insya-Allah.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, suka dimaklumkan bahawa agihan daripada zakat kepada mereka yang belajar selain bidang agama, sememangnya telah dipersetujui oleh fuqaha untuk disalurkan daripada asnaf fisabilillah. Sungguh pun bagi kalangan ulama Hanafiah, mereka menyatakan fisabilillah hanya terbatas dalam konteks peperangan semata-mata; namun bagi kalangan fuqaha yang lain misalnya Syeikh Rayid Ridha, al-Razi, al-Kasani dan sebagainya lagi menyatakan, fisabilillah amat luas pengertiannya dan ia termasuklah sebarang pekerjaan yang natijah akhirnya adalah untuk memelihara kepentingan Islam.

Di Malaysia, Dr Hailani Muji Tahir misalnya turut menyokong pandangan kedua ini dan menegaskan, bahawa tiada satu definisi yang qati’e (putus) mengenai erti fisabilillah, maka pandangan fuqaha bukanlah sesuatu yang wajar dijadikan pembatas dalam memahami maksud fisabilillah berkenaan. Malah, beliau cenderung agar fuqaha kontemporari lebih luwes atau bijaksana dalam meraikan keperluannya yang sebenar.

Atas dasar itulah, maka institusi zakat di negara ini, misalnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat meraikan keperluan pendidikan untuk umat Islam. Maknanya, perbelanjaan asnaf fisabilillah di Selangor, bukan sekadar membantu membina masjid, surau dan sekolah agama, membaiki dan menaik taraf institusi agama, membiayai guru takmir dan penceramah, membantu NGO atau pertubuhan dakwah serta program-program Islami sahaja, malah dana fisabilillah juga dijana untuk tujuan pendidikan individu yang memerlukan.

Maka, dalam konteks membiayai pendidikan asnaf inilah timbulnya persoalan, adakah dana zakat boleh digunakan bagi membiayai bidang pengajian yang berbentuk seni hiburan. Dalam konteks Malaysia pula, memang ada institusi pengajian yang menawarkan bidang pengajian dalam jurusan seni muzik, seni tari, drama pentas dan sebagainya.

Justeru, demi menjawab apakah wang zakat dapat disalurkan kepada mereka yang mengambil bidang pengajian berasaskan seni hiburan ini, maka terlebih dahulu kita wajar melihat, apakah kedudukan seni hiburan misalnya nyanyian di sisi hukum Islam?

Fuqaha sendiri tidaklah sepakat dalam menghukumkan seni hiburan dalam Islam, sama ada ia haram sepenuhnya atau masih ada yang dilonggarkan. Secara umumnya, fuqaha berpandangan bahawa hiburan di dalam Islam adalah harus hukumnya, melainkan hiburan itu jelas mendatangkan kelalaian dan keburukan ataupun wujudnya unsur-unsur yang haram di dalamnya, maka jadilah ia haram.

Di dalam al-Quran sendiri, memang ada nas atau dalil yang tidak secara tuntas menegah manusia daripada menikmati hiburan, seperti mana diakui oleh firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan mainan (yang sia-sia) dan hiburan yang melalaikan.” (Surah al-An’am: 32).

Berdasarkan dalil di atas, fuqaha berpandangan, memang di atas dunia ini banyak perkara yang berunsurkan hiburan, namun Allah SWT tidak pula menyatakan ia sesuatu yang haram dinikmati. Maka, di sini Allah SWT tidaklah menghalang secara total hiburan dalam Islam, cuma jangan sampai manusia dilalaikan dengan hiburan.

Malah, di dalam banyak hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW sendiri meraikan hiburan, misalnya: “Bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakar masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). (Lalu) Abu Bakar berkata: “Suara syaitan!” (sebanyak dua kali). Nabi SAW (kemudiannya) bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan keterangan hadis di atas dan ditambah dengan beberapa hadis yang lain, maka ulama menyatakan bahawa ia juga menjadi dalil kepada keharusan hiburan dalam Islam, dengan syarat ia tidaklah sehingga melalaikan.

Namun begitu, ada juga hadis lain yang menyatakan, alatan muzik memang selalunya membawa kepada kelalaian, misalnya: “Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala daripada Allah SWT dan di antaranya ialah, apabila penyanyi wanita dan pemuzik-pemuzik disanjung tinggi.” (Mafhum hadis riwayat Imam Termizi)

Oleh itu, dalam menjustifikasikan sama ada sesebuah institusi zakat wajar membantu mereka yang mengambil jurusan hiburan atau tidak, perkara yang perlu dilihat adalah, sama ada bidang hiburan yang ditekuni itu benar-benar merupakan satu keperluan, tidak berpotensi membawa kepada kelalaian dan juga mestilah menepati maksud fisabilillah yang sebenarnya.

Dan, dalam melakukan penilaian inilah, maka amalan di LZS sendiri misalnya, melihat bahawa pengajian dalam bidang hiburan buat masa ini masih belum menjadi suatu keperluan, tidak seperti bidang perubatan, kejuruteraan, ekonomi, perakaunan dan sebagainya. Di samping itu, belajar dalam bidang hiburan juga, biar pun ia boleh membawa kepada kebaikan; namun realitinya di saat ini, kecenderungan dalam dunia hiburan lebih membawa kepada kelalaian.

Malah, berdasarkan kaedah fiqh juga, apabila bertembung antara mafsadah (mudarat) dan manfaat (kebaikan), maka pilihlah yang kurang mafsadahnya (menolak kemudaratan), maka di sini memilih untuk tidak membiayai bidang pengajian hiburan adalah lebih utama daripada membiayainya. Begitu juga, jika dilihat kepada skop keutamaan (aulawiyat), maka mempelajari bidang hiburan juga tidak sampai ke tahap dururiyat (kemestian) dan lebih kepada tahsiniyat (melengkapkan) sahaja, maka atas dasar itu jugalah, mengutamakan bidang pendidikan lain seperti perubatan seharusnya lebih menjadi keutamaan.

Kesimpulannya, sesuai dengan maksud sebuah firman Allah SWT: “Dan ada di antara manusia: (ada) orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) daripada agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan,” (Surah Luqman: 6), maka buat masa ini penajaan zakat kepada bidang pengajian berasaskan bidang hiburan masih belum sesuai dilaksanakan. 

Nota: 

Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada 23 Rejab 1434 H | 2 Jun 2013hamizul@e-zakat.com.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it atau boleh layari www.e-zakat.com.my; blog.e-zakat.com.my atau www.facebook.com/ LembagaZakatSelangor.MAIS untuk maklumat lanjut.
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.