PERUTUSAN HARI GURU
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2008
“GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG”
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik yang dihormati sekalian,
1. Bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan Nya dapat kita menyambut Hari Guru pada 16 Mei tahun 2008. Pada tanggal ini, seluruh negara memberi pengiktirafan dan penghormatan yang tinggi kepada kaum guru atas peranan dan tanggungjawab mereka mendidik anak bangsa. Amanah yang suci ini menuntut warga guru menjalankan tugas dengan penuh komited dan dedikasi. Hanya guru yang cemerlang dapat melaksanakan semua perancangan pendidikan dengan jayanya. Justeru, tema Hari Guru tahun ini, “Guru Cemerlang Negara Terbilang” amat sesuai dan bertepatan sekali.
2. Misi Nasional yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-9 telah menetapkan pembangunan modal insan dan pemupukan minda kelas pertama sebagai satu daripada lima teras utama bagi negara untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Di bahu gurulah terletaknya tanggungjawab untuk memastikan kemenjadian murid yang merupakan aset paling berharga kepada negara kelak.
3. Apabila bercakap tentang kecemerlangan guru dan profesion keguruan, fokus perlu diberikan kepada lima perkara utama yang menjadi asas kejayaan dan kewibawaan seseorang guru. Ia adalah kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta minat dan cinta terhadap profesionnya. Setiap fokus ini saling berkait, melengkapi serta
bergerak serentak dan beriringan. Hayatilah dan amalkan lima perkara tersebut agar kita samasama dapat memartabatkan profesion keguruan ini.
4. Dari segi kekuatan intelek, guru hendaklah cemerlang dalam melaksanakan tugas asasi mereka dengan iaitu mengajar. Proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lancar dan bermakna sekiranya guru menguasai kandungan subjek yang diajar dan berketerampilan dalam kemahiran pedagoginya. Di samping itu, guru juga perlu memiliki pengetahuan umum yang baik dan terkini agar mereka kekal relevan dengan tuntutan perubahan semasa.
5. Satu lagi aspek yang amat berkait rapat dengan profesion keguruan ialah kepimpinan. Sebagai satu organisasi pembelajaran, sekolah perlu dipimpin dengan cekap dan berkesan oleh mereka telah diberi amanah. Dalam perkara ini, Pengetua, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan merupakan pemain utama. Oleh sebab bidang kepimpinan itu dinamik dan sentiasa mengalami perubahan maka adalah tanggungjawab kepimpinan sekolah melengkapi diri dengan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran yang terkini antara lain model kepimpinan instruksional. Guru pula bertanggungjawab terhadap kepimpinan pengajaran dan pembelajaran serta perkembangan sahsiah murid.
6. Guru juga harus menyedari bahawa sebagai pendidik, diri mereka menjadi contoh teladan yang baik kepada murid, ibu bapa dan komuniti. Sehubungan dengan itu, peribadi guru hendaklah terdorong kepada yang berfikiran global, bermentaliti kelas pertama dan memiliki a towering personality serta tidak terjebak dalam sebarang kes jenayah dan salah laku. Guru juga perlu bertindak secara terarah dengan menjadikan etika profesion keguruan dan Pelan Integriti Nasional sebagai panduan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Keadaan ini sekali gus membolehkan Kementerian Pelajaran Malaysia meningkatkan kecekapan jentera perkhidmatannya dan memartabatkan profesion keguruan.
7. Alaf baru menyaksikan gelombang perubahan hasil dari kemajuan sains, kecanggihan teknologi dan ledakan ilmu. Bagi menangani perubahan dan pembaharuan, guru perlu peka dan sentiasa bersedia untuk turut berubah dalam menghadapi keadaan ini. Dalam perkara ini guru perlu bersedia untuk learn, relearn and unlearn dan menjadi pelajar sepanjang hayat agar kekal relevan.
8. Pendidikan merupakan satu bidang yang amat mulia dan penting. Ia merupakan asas pembangunan insan dan tamadun, wadah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran. Pendidikan juga adalah satu bidang yang dinamik dan penuh cabaran. Ia menuntut perancangan strategik yang teliti dan pragmatik, perbelanjaan yang besar, serta jentera pelaksanaan yang cekap. Pendidikan juga sentiasa terdedah dan terpengaruh dengan tuntutan perubahan selaras dengan perkembangan semasa dan negara. Justeru, negara akan hilang daya saing, ketinggalan dan terpinggir dari kemajuan global jika bidang pendidikan tidak menjadi keutamaan atau tidak diuruskan secara cekap dan berkesan.
9. Keperluan dan kepentingan pendidikan, menuntut minat dan kecintaan yang mendalam terhadapnya. Minat dan kecintaan ini akan menerbitkan keinginan dan dorongan untuk menjalankan tugas secara jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab. Hanya mereka yang mempunyai ROH GURU dapat menjiwai dan menggalas tugas yang amat berat lagi mencabar ini. Kita patut berbangga kerana tugas tersebut adalah tugas kita KAUM GURU.
10. Sesungguhnya Sambutan Perayaan Hari Guru ini akan cepat berlalu namun harapan murid, ibu bapa, komuniti dan negara terhadap kualiti perkhidmatan guru tidak pernah hilang malah bertambah. Kecemerlangan guru sentiasa diperlukan selagi institusi sekolah masih berdiri dan menempatkan murid di dalamnya. Oleh yang demikian, guru perlu terus cemerlang kerana masa depan negara bergantung pada mereka. Pelaksanaan dan kejayaan tersebut bergantung pada sejauh mana guru dapat memahami, menghayati dan bertindak bagi tujuan menjayakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 yang sedang dalam pelaksanaan sekarang ini.
11. Saya menyeru agar seluruh warga pendidikan menjadikan Perayaan Hari Guru tahun 2008 ini sebagai tahun membugarkan semula perkhidmatan pendidikan yang bukan sahaja cemerlang
malah gemilang dan terbilang.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayat Wassalammualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
SELAMAT HARI GURU.
0 ulasan:
Catat Ulasan