“Sesungguhnya gerakan Islam kebiasaannya berkembang dengan begitu pantas yang boleh mengejutkan manusia. Ia boleh meletus tiba-tiba sebelum para pemerhatinya mengenalpasti tanda-tanda amarannya yang menyebabkan ia sukar dikaji.” – Prof. H. A. R. Gibb
Saya mengucapkan terima kasih kepada pelbagai email pengharapan yang diberikan oleh ahli-ahli kepada GAMIS selepas keputusan PRU 12 diumumkan sehingga ada yang mencadangkan Muktamar GAMIS akan datang dibuat di Stadium Shah Alam sempena GAMIS menghampiri usia 20 tahun. Seruan saya, seluruh ahli GAMIS diharapkan menjadikan ‘tsunami’ politik 8 Mac 2008 ini sebagai ‘mega-stimulus’ untuk sama-sama memikirkan apakah backdrop baru gerakan mahasiswa Islam yang mahu dijelmakan 5 tahun dari sekarang. Benchmark mesti diwujudkan untuk membezakan hampir 20 tahun zaman GAMIS di bawah landskap politik BN bermandatkan majoriti 2/3 dengan realiti GAMIS saat ini dan akan datang di bawah landskap politik BN hilang majoriti 2/3 buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia sejak 1959.
Secara externalnya, saya berpandangan kemenangan mengejut B.A di Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Kedah, Pulau Pinang dan Perak hakikatnya telah menghadiahkan ‘penampan’ dan 'suaka politik' yang kukuh kepada gerakan mahasiswa Islam khususnya Zon Tengah dan Zon Utara untuk lebih berani, lebih bertenaga, lebih agresif untuk memartabatkan gerakan dan mahasiswa ke peringkat lebih tinggi selepas percubaan PMN untuk menghantar wakil mahasiswa di Dewan Rakyat melalui PRU 12 tidak kesampaian. Saya optimis sekiranya ‘mood’ perubahan ini berjaya diurus secara konsisten ke peringkat akarumbi massa sehingga Pilihanraya Kampus hujung tahun ini, jangkaan saya 'tsunami' politik kampus akan berlaku ke atas kem Pro-Mahasiswa sama hebat dengan apa berlaku ke atas BA dalam PRU 12, andaikata faktor kepartian diberikan peluang untuk menapak di hati pengundi mahasiswa di samping kekuatan peribadi calon.
Secara internalnya pula, saya kira batch JIK zaman PRU adalah batch yang sangat bertuah kerana keseluruhan ahli tanpa terkecuali telah melalui suatu praktikal ‘attachment’ dengan gerak kerja PRU lebih dari gerak kerja dalaman kampus masing-masing. Ahli-ahli JIK yang biasanya merasakan dirinya ada 'haibah' dan ‘pantang larang’ tersendiri yang perlu dihormati orang luar termasuk Jamaah Induk di luar, akhirnya kesemuanya mula berjinak dan dijinakkan dengan realiti kehidupan di luar kampus. Ahli mula tidak gugup untuk ‘engage’ lebih awal dengan aktivis-aktivis di markas-markas tarbiyah dari pelbagai umur dan latarbelakang. Dari kerja-kerja teknikal menggantung poster, menaikkan bendera, membuat culaan rumah ke rumah sehinggalah kepada menjadi petugas-petugas ‘berani mati’ di hari pembuangan undi dengan sentimen kenegerian yang meninggi, kesemuanya dilakukan dengan ikhlas oleh ahli-ahli JIK. Semoga persepsi ‘futur’, ‘ego’, ‘exhausted’ dan pelbagai label lagi yang banyak menghempap bekas-bekas aktivis kampus selama ini dapat ditangkis atau diminimumkan. Terima kasih PRU 12. Tahniah aktivis-aktivis mahasiswa!
Menyinggung kemenangan luarbiasa Parti Islam dalam PRU 12 kali ini, saya menyeru semua ahli JIK dan Kepimpinan untuk mula menyusunatur siri-siri perkaderan dan pembentukan kualiti ahli dengan lebih serius, bermula dengan perubahan cara berfikir dan “revolusi mental”. Minda ahli JIK pasca 8 Mac 2008 mestilah minda yang perlu digasak dengan kesaratan ilmu pengetahuan am yang bersangkut paut dengan pengurusan negara dan negeri dari 1001 sudut keilmuan. Kalaulah saya menjadi Menteri Pengajian Tinggi, akan saya cadangkan subjek Pengajian Am 1 yang pernah saya ambil semasa mengambil sijil STPM dahulu menjadi subjek teras kepada semua mahasiswa IPTA, mengambilkira subjek tersebutlah antara ilmu-ilmu awal saya didedahkan dengan apa yang dikatakan 'waiting government agenda'.
Kini bukan lagi masa bermain dengan masalah remeh-temeh dalam ‘rumahtangga’ jamaah kampus masing-masing. Ini adalah saat untuk mengasak pemikiran dengan isu-isu lebih kritikal membabitkan soal kenegaraan, kehakiman, perundangan, pendidikan, ekonomi, sosial, bahasa, agama dan ratusan lagi permasalahan-permasalahan nasional yang selama ini gagal ditangani secara berkesan oleh Jamaah dan tidak pula diambilpeduli oleh ahli-ahli JIK melainkan sekiranya ia ada selari dengan bidang pengajian masing-masing. Bersedialah dari sekarang untuk menjadi pentadbir urusan negara dan negeri, bukan sekadar pemimpin parti dan pengurus jamaah ‘sesama kita-kita’ sahaja. Profail Menteri-menteri Besar BA, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari PAS atau PKR atau DAP mesti dijadikan bahan rujukan “self-projection” ahli JIK masing-masing. Setiap analisa keputusan PRU 12 yang muncul setiap saat di ribuan web-web alternatif dan blog-blog ‘mainstream’ mesti dibaca. Setiap forum ilmiah membahaskan Malaysia Pasca 9 Mac dan setiap puluhan thesis PhD selepas ini yang akan menyinggung PRU 12 mestilah dihadhamkan. Inilah siri-siri kurikulum baru untuk anda ‘top-up’ dalam kerangka ‘political education’ JIK yang sedia ada ke arah membina minda siasah dan jiwa besar ahli-ahli JIK. Ahli-ahli Parlimen ‘muda’ yang pernah menjadi aktivis kampus seperti Saifudin Nasution, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Salahudin Ayub perlulah didekati.
Saya bimbang jika cara berfikir ahli JIK masih di takuk yang sama dengan suasana sebelum ‘tsunami’ 8 Mac, maka hampalah Malaysia kerana angkatan bahtera anak-anak muda yang mahu menjadi duta penyelamat negara tak kunjung tiba. BN terus memerintah kerana rakyat tiada pilihan di atas kelemahan kita!
“Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.” – Bapak Natsir
0 ulasan:
Catat Ulasan