SARANAN PKPIM KAJI SEMULA PAKAIAN SEKOLAH AGAK SIMPLISTIK - WANITA JIM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Hrkh) - Jamaah Islah Malaysia (JIM) menyifatkan saranan supaya kerajaan menilai semula baju kurung sekolah berwarna putih sebenarnya agak simplistik dan kurang efektif serta praktikal untuk menangani permasalahan sosial yang semakin meruncing.

Perkara itu ditegaskan Ketua Wanita Pusat JIM Prof. Madya Dr Harlina Halizah Siraj dalam sidang medianya di ibu pejabat JIM, Taman Melawati semalam.

Merujuk saranan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKIM) itu, Harlina berharap cadangan itu tidak menggambarkan tanggapan bahawa wanita adalah semata-mata objek seksual dan bertanggung jawab sepenuhnya menjaga moral masyarakat.

Bagaimanapun, tegas beliau, golongan pelajar perempuan yang didapati berpakaian secara kurang sopan mestilah dididik dan dinasihati ibu bapa, golongan dewasa serta guru melalui pendekatan berhemah dan efektif.

"Agar remaja ini menyedari akan tanggung jawab mereka menghormati tubuh badan sendiri di samping bijak membuat pilihan yang baik untuk kepentingan diri dan kebaikan orang lain," katanya.

Beliau menegaskan, proses pendidikan itu haruslah merangkumi pelajar lelaki yang perlu didedahkan kepada sikap tanggung jawab yang tinggi seperti saling hormat menghormati dalam hubungan silang jantina.

Tegasnya, kawalan yang lebih efektif mestilah dikenakan terhadap unsur-unsur lucah yang dipaparkan dalam media elektronik, media cetak dan internet yang sememangnya mempunyai kesan negatif terhadap minda muda remaja.

"Kita tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan hanya membabitkan perempuan sahaja, kerana kita tahu unsur-unsur lucah dari media cetak dan elektronik memberi impak kepada golongan muda termasuk lelaki," katanya.

Dalam pada itu, JIM turut merakamkan rasa bimbang terhadap penglibatan remaja lelaki dan perempuan di Malaysia dengan gaya hidup hedonisme yang keterlaluan menyembah kewangan, keseronokan, pergaulan bebas, tingkah laku seksual tanpa batas dan ketagihan arak dan dadah.
Justeru katanya, pemerintah harus memberi keutamaan kepada penyelesaian terhadap keruntuhan moral dan akhlak remaja hari ini yang berpunca dari hakisan pegangan hidup beragama dan kemerosotan nilai moral.

"Ingatlah pepatah Melayu 'Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara', janganlah hendaknya Malaysia 'runtuh' disebabkan golongan muda yang tidak mampu menjadi harapan dan tiang seri bagi pembangunan pada masa hadapan," katanya.
Sumber : Harakahdaily... capaian 31 Mei 2008

KESILAPAN DASAR PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS ... AINON MOHD

"Dasar yang memaksa budak-budak miskin belajar bahasa Inggeris sambil belajar matematik dan sains adalah ibarat memaksa budak-budak miskin itu belajar berenang sambil memanjat pokok kepala."

Cara dan pedagogi mengajarkan bahasa Inggeris adalah amat berlainan daripada cara dan pedagogi mengajarkan logik matematik.

Ia juga amat berbeza dengan pedagogi mengajarkan maklumat sains dan mengajarkan kemahiran berfikir saintifik.

Orang politik di Kementerian Pelajaran nampaknya sudah sedar perkara asas ini. Angin kencang sedang bertiup mengatakan dasar bahasa penghantar itu akan dibetulkan semula.

Pada saat ini para penerbit buku-buku teks sekolah sedang bersiap sedia, menunggu sahaja, bila-bila masa jikalau kerajaan tiba-tiba membuat pengumuman Bahasa Melayu akan dikembalikan menjadi bahasa pengantar mata pelajaran matematik dan sains di sekolah.

Masing-masing sudah mula mendapatkan penulis-penulis buku teks mereka supaya mula menyediakan manuskrip Bahasa Melayunya.

Sebagaimana yang dijangka, yang paling kuat menentang nanti adalah golongan berpendidikan Inggeris yang tinggal di bandar-bandar besar, tanpa mengira kaum. Baca apa mereka kata di sini.

Golongan kaya yang tinggal di bandar-bandar, baik mereka itu Cina, baik India, baik Melayu, Iban dan Kadazan, mereka mahukan bahasa Inggeris.

Golongan kaya adalah golongan yang terputus hubungan daripada golongan miskin dalam bandar, dan dengan penduduk di luar bandar.

Cina-cina kaya di bandar tidak peduli apa yang dialami oleh Cina-cina miskin di pekan-pekan kecil. India kaya di bandar tidak peduli apa yang berlaku dalam estet-estet. Begitu juga Melayu, Iban dan Kadazan kaya yang tinggal di bandar.

Golongan kaya hanya memikirkan diri mereka sahaja.

Golongan kaya adalah golongan bermentaliti kolonial.

Golongan kaya masih tidak sedar bahawa bahasa Inggeris telah, dan masih terus gagal memandaikan golongan miskin dalam bandar dan penduduk luar bandar di India, di Pakistan, di Bangladesh, di Sri Lanka, dan di seluruh benua Afrika, serta di Myanmar dan di Filipina.

Golongan kaya tidak sedar bahawa semua negara terkaya di dunia menggunakan bahasa masing-masing bagi mengajarkan sains dan matematik kepada kanak-kanak mereka.

Golongan kaya masih tidak sedar bukan sahaja bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa Sepanyol, Peranchis, German, Rusia, China, malah bahasa Arab juga, telah gagal memandaikan golongan miskin dan penduduk luar bandar, di mana-mana sahaja bahasa-bahasa kolonial itu dipaksakan ke atas bangsa-bangsa yang mereka jajah.

Golongan kaya yang menyokong bahasa Inggeris itu tidak membaca peta taburan kemiskinan di dunia, oleh itu mereka tidak tahu kaitan antara kemiskinan dan penggunaan bahasa kolonial dalam sistem pendidikan di negara-negara miskin itu.

Pedagogi pengajaran bahasa teramat berbeza daripada pedagogi pengajaran sains dan matematik.

Tidak ada sesiapa yang waras daya inteleknya yang menentang pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa asing, bukan hanya bahasa Inggeris.

Malaysia mesti mengajarkan bahasa-bahasa asing itu dengan menggunakan strategi betul, sebab manfaatnya amat banyak. Tubuhkan universiti bahasa-bahasa asing (university of foreign languages seperti di China, Korea dan Jepun).

Sekolah-sekolah Malaysia hendaklah menawarkan subjek mata pelajaran bahasa-bahasa asing yang penting di dunia, bukan hanya bahasa Inggeris.

Kita mesti menawarkan subjek bahasa Mandarin di semua sekolah di negara ini sebab bahasa Mandarin akan, dan sedang, menjadi bahasa ekonomi dunia yang paling penting.
Sumber: Harakahdaily, capaian 31 Mei 2008

KISAH MALIK BIN DINAR DAN IBRAH DARINYA...

Kisah Malik bin Dinar al-Sami (meninggal dunia pada 130H/748M) menarik untuk diimbau. Diringkaskan cerita, ketika zaman berpoya-poya dan kaki minum, Malik mengimpikan seorang anak perempuan. Sebabnya, dia mendapat khabar, sesiapa yang mengasihi anak perempuan akan dapat masuk syurga.

Maka dengan izin Allah, Malik pun dikurniakan Allah akan seorang anak perempuan. Menurut beliau, "Ketika dia mula pandai berjalan, maka cintaku bertambah padanya. Setiap kali aku meletakkan minuman keras di hadapan, anak itu datang kepadaku dan mengambilnya lalu menuangkannya ke bajuku.
"Setiap kali aku hendak minum arak, tangan anakku selalu menepis tanganku, seolah-olah dia melarang aku daripada meminumnya." Malik sungguh menyayangi anak kecil itu, namun ketika berumur dua tahun, anak yang bernama Fatimah itu meninggal dunia. Sedihnya si bapa bukan kepalang.
Pada suatu malam Jumaat, pada Syaaban, Malik meneguk arak lalu tertidur sebelum solat Isyak. Dalam tidur dia bermimpi seolah-olah berada dalam Hari Kebangkitan. "Aku mendengar sesuatu yang bergerak di belakang, ketika aku menoleh ke arahnya kulihat seekor ular yang sangat besar berwarna hitam kebiru-biruan sambil membuka mulut bergerak ke arahku."
Malik lari sekuat hati. Di tengah jalan, beliau temui seorang lelaki tua dengan pakaian serba putih bersama haruman semerbak mewangi. "Wahai orang tua, tolonglah selamatkan aku daripada ular itu," rayu Malik. Sambil menangis, orang tua itu menjawab, "Aku begitu lemah sedangkan ular itu lebih kuat daripada aku. Aku tak mampu melawannya. Kau lari sajalah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan engkau."

Malik bergegas berlari lagi dan akhirnya sampailah ke pinggir neraka - keadaan sungguh kritikal, di depan neraka, di belakang pula ada ular besar dengan keadaan mulut luas ternganga! Tiba-tiba kedengaran suara, "Tempat kamu bukan di sana (neraka)." Malik beredar dan berjumpa lelaki tua tadi. Malik diminta cuba pergi ke gunung Amanah. "
Aku pun menuju ke tempat itu. Di sana aku bertemu dengan seorang anak kecil berwajah sangat indah," jelas Malik. Tanpa diduga, anak itu adalah anak beliau sendiri, Fatimah! Anak kecil itu pun mengusir ular besar. Kemudian mengusap janggut bapanya lalu membacakan sebahagian daripada surah al-Hadid, ayat ke-16.
Ayat Allah bermaksud: "Belumkah datang waktunya bagi orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah." Ia boleh juga dinisbahkan kepada: Apakah belum sampai seru untuk beramal soleh? Tanya Malik kepada Fatimah berserta anak kecil lain, "Apakah yang kalian buat di gunung itu?" Jawab si anak kecil, "Kami adalah anak muslimin yang akan berada di sini sampailah kiamat, menunggu kalian datang kepada kami."
Selepas terjaga daripada tidur, Malik pun bertaubat, lalu menjadi seorang yang terkenal salih dan warak di sisi Tuhan. Lelaki tua adalah gambaran amal salih, manakala ular adalah gambaran amal buruk atau dosa.

PEMBUDAYAAN SEKOLAH PENYAYANG

RINGKASAN EKSEKUTIF

Tugasan ini melaporkan berkaitan Konsep Sekolah Penyayang. Ianya membicarakan aktiviti secara praktikal untuk menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Tugasan ini dimulai dengan pendahuluan yang membicarakan senario pendidikan semasa yang menuntut kepentingan wujudnya Sekolah Penyayang dan kaitan dengan polisi dan dasar kerajaan.

Di bahagian kedua tugasan ini, penulis membicarakan pula empat elemen iaitu pentadbiran, guru dan kakitangan, komuniti dan pelajar yang dirasakan penting dalam menentukan jaya atau gagalnya Sekolah Penyayang.

Di bahagian ketiga tugasan ini, penulis membincangkan pula Konsep Budaya Sekolah Penyayang. Penekanan diberikan kepada unsur-unsur yang perlu dibudayakan di sekolah dan komuniti ke arah menjaya dan melonjakkan Sekolah Penyayang di tengah-tengah masyarakat. Antara unsur yang penting ialah kemesraan, sayang-menyayangi, ilmu, hormat-menghormati dan lain-lain.

Di bahagian keempat tugasan ini, penulis membincangkan pula program-program praktikal yang telah berjalan dan boleh dijalankan untuk menjayakan Sekolah Penyayang.

Di bahagian empat pula, penulis membincangkan aktiviti yang praktikal yang sesuai dilakukan di sekolah dan bersesuaian dengan persekitaran sekolah.

Di bahagian terakhir, penulis mengemukakan kesimpulan atau rumusan kepada keseluruhan Konsep Sekolah Penyayang dan penekanan kepada kepentingannya dalam membina jati diri pelajar.


1.0 PENDAHULUAN

Konsep Sekolah Penyayang merupakan salah satu konsep yang penting dalam sistem pendidikan Malaysia. Ianya mempunyai hubungan yang cukup erat dengan cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020, iaitu masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Konsep Sekolah Penyayang adalah konsep yang mampu menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sekolah Penyayang juga mampu menjana para generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek, jasmani dan mempunyai disiplin diri yang tinggi.

Gejala vandalisme dan ponteng sekolah adalah fenomena yang agak kritikal di sekolah-sekolah pada masa kini. Gejala ini dapat ditangani apabila wujudnya sekolah penyayang. Kerana itu, pihak Kementerian menyarankan agar pihak sekolah menangani masalah ini, terutama ponteng sekolah dengan merealisasikan Sekolah Penyayang supaya para pelajar dapat dibimbing dengan penuh kasih sayang. Apabila wujud suasana kasih sayang dan bimbingan ini, pelajar akan terpikat, terpanggil dan tergerak untuk ke sekolah. ( Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1995, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, KP8591/Jld.VIII(9) bertarikh 5 September 1995 )

Sekolah Penyayang dirasakan adalah elemen penting dalam melahirkan warga negara Malaysia yang mempunyai minda kelas pertama. Apabila sekolah menyediakan suasana yang kondusif dan baik, akan menarik minat para pelajar untuk ke sekolah. Minda mereka akan dapat dibina dan diisi dengan unsur-unsur yang boleh membangun jati diri sebagai warga Malaysia yang membesar dengan acuan kita sendiri.

2. ELEMEN-ELEMEN SEKOLAH PENYAYANG

Sekolah Penyayang adalah sekolah yang berperanan melahirkan pelajar-pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui suasana ilmu dan kasih sayang. Menyentuh tentang Sekolah Penyayang, di sana terdapat beberapa elemen penting dalam Sekolah Penyayang, iaitu :

2.1 Pentadbiran Sekolah
Pentadbiran sekolah yang dimaksudkan di sini ialah melibatkan Guru Besar atau Pengetua, Guru-Guru Penolong Kanan dan Ketua-Ketua Bidang bagi sekolah menengah

2.2 Guru-guru dan kakitangan sekolah
Guru-guru dan kakitangan sekolah, termasuk kerani dan staf bukan akademik yang berada di sesebuah sekolah

2.3 Komuniti
Komuniti yang dimaksudkan di sini ialah ibubapa dan penjaga murid serta institusi lain yang berada di sekitar sekolah yang boleh memberi sumbangan kepada sekolah samada wang ringgit, tempat dan kepakaran.

2.4 Pelajar
Pelajar merupakan elemen yang cukup penting kerana adanya mereka, maka adanya pekerjaan guru. Dengan adanya pelajar, maka tugas mengajar yang merupakan ’core bussiness’ kita dapat dijalankan.

Keempat-empat elemen ini memerlukan tindakan seiring sejalan dalam melahirkan Sekolah Penyayang. Kesedaran yang meluas perlu digerakkan kepada keempat-empat elemen tersebut untuk melihat kepentingan Sekolah Penyayang. Semangat kolaboratif perlu ditekankan dalam menjayakan usaha murni ini.


3. BUDAYA SEKOLAH PENYAYANG

Sekolah Penyayang merupakan institusi yang amat diperlukan oleh para pelajar kita dalam membina jati diri dan bakat kepimpinan. Dengan segala macam salah laku yang berlaku dan dilakukan oleh para pelajar kita, diharapkan dengan adanya Sekolah Penyayang ini menjadi tempat berteduh dan menumpang kasih bagi para pelajar.

Namun begitu, penulis melihat budaya Sekolah Penyayang perlu terlebih dahulu wujud di kalangan pentadbir sekolah, guru dan kakitangan, komuniti dan para pelajar sebagai satu pelincir ke arah menjayakan konsep ini. Di antara budaya-budaya yang perlu diwujudkan terlebih dahulu ialah:

3.1 Kemesraan dan Sayang-Menyayangi

Budaya kemesraan dan sayang-menyayangi adalah dua teras utama yang perlu dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Hubungan yang mesra antara guru dan murid, guru dan ibubapa serta sayang-menyayangi antara satu sama lain ádalah mekanisme penting dalam Konsep Sekolah Penyayang. Dua teras ini perlu dilihat secara bertanggungjawab dan serius, jika ingin melihat Sekolah Penyayang menepati hasrat yang kita ingini.

3.2 Ilmu

Budaya ilmu ini perlu berlaku dalam sesebuah sekolah untuk melahirkan Sekolah Penyayang. Budaya ilmu yang dimaksudkan di sini ialah setiap elemen tadi memahami dan menghayati peri pentingnya apa yang dimaksudkan Sekolah Penyayang. Ilmu dan pemahaman tentang Sekolah Penyayang adalah asas kepada kejayaan konsep tersebut. Semua yang terlibat perlu memahami Konsep Sekolah Penyayang dan kepentingannya bagi pelajar.

3.3 Perkongsian

Budaya perkongsian adalah satu lagi aspek yang kadangkala dilupakan dalam menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Seharusnya usaha-usaha menjayakan konsep sekolah ini dikongsikan bersama antara guru, murid dan komuniti. Sekolah Penyayang sepatutnya dijadikan misi kepada sesebuah sekolah untuk dikongsikan bersama terutama dengan murid dan komuniti.

3.4 Ambil Tahu

Ambil tahu merupakan satu lagi budaya yang perlu wujud untuk menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Kadangkala berlaku ibubapa yang menyerahkan sepenuhnya anak kepada sekolah tanpa mengambil tahu perkembangan akademik anak-anak mereka. Bagi mereka, apabila yuran sekolah telah dibayar dan kelengkapan

persekolahan mencukupi, maka terlepaslah tugas menghantar anak ke sekolah. Kadangkala terdapat juga ibubapa yang tidak mengetahui bilakah Mesyuarat Agung PIBG, Hari Anugerah, Hari Penyerahan Rekod Prestasi anak-anak mereka. Budaya ambil tahu patut terus dipromosikan supaya hasrat untuk menjayakan Sekolah Penyayang dapat dijayakan dengan cemerlang. Itulah sebabnya sekolah tempat penulis bertugas mengadakan Hari Talian Kasih secara tahunan bagi semua tingkatan.

3.5 Hormat-Menghormati

Budaya hormat-menghormati perlu tersemai sebagai langkah penting untuk menjayakan Sekolah Penyayang. Budaya ini sepatutnya wujud antara guru, komuniti dan pelajar. Budaya ini merupakan budaya positif yang telah dibicarakan dan diperkatakan sepanjang zaman. Namun begitu, masih lagi terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan kurang mantapnya budaya ini.

3.6 Penglibatan Semua

Budaya menunding jari kepada orang lain apabila berlaku kelemahan akan dapat dikurangkan apabila semua anggota komuniti dilibatkan dalam sesuatu program. Apabila semua golongan terlibat dalam menyumbang idea, merancang dan melaksana, maka kuranglah rasa kurang senang antara satu sama lain. Sebaliknya mereka akan berganding bahu, berat sama dipikul ringan sama dijinjing dalam menggerakkan Sekolah Penyayang.


3.7 Pengukuhan Positif

Membudayakan kita dengan pengukuhan positif adalah satu lagi kekuatan kepada menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Semua orang suka dipuji dan menerima hadiah. Oleh itu budaya pengukuhan positif adalah resepi penting dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Namun begitu, kadangkala unsur yang kecil ini menatijahkan kesan yang besar dalam membina Sekolah Penyayang.

3.8 Hubungan Sekolah dan Komuniti

Kewujudan hubungan erat antara sekolah dan komuniti merupakan salah satu unsur penting dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Komuniti mestilah dilibatkan dalam setiap program sekolah samada besar maupun kecil. Ianya menjadikan sekolah adalah milik bersama. Jatuh bangun sekolah adalah juga tanggungjawab komuniti. Hubungan erat ini biasanya akan memberikan kesan juga kepada peningkatan pencapaian akademik sesebuah sekolah.

3.9 Budaya Kerja Berpasukan

Kerja berpasukan adalah satu budaya yang cukup penting dalam menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Kerja yang besar dan murni ini tidak mampu digerakkan oleh seorang dua sahaja dalam sebuah organisasi sekolah. Kerja berpasukan telah membuktikan kejayaan dalam semua organisasi terutama organisasi korporat. Oleh itu, apa salahnya ia diterjemahkan dalam sebuah organisasi yang bernama sekolah demi membina apa yang dinamakan Sekolah Penyayang. Kerja berpasukan inilah yang telah menjadikan sekolah penulis memenangi Sekolah Harapan Negara dan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan Tahun 1998.


4. PENGISIAN KONSEP SEKOLAH PENYAYANG

Teras kepada Konsep Sekolah Penyayang ialah sayang-menyayangi dan kemesraan. Tanpa dua teras ini, Sekolah Penyayang tidak akan berperanan dengan baik. Jika ditinjau kepada pengisian kepada konsep Sekolah Penyayang yang boleh dijalankan di sekolah-sekolah, kita boleh membicarakan pengisiannya dalam tiga kelompok .

Tiga kelompok yang dimaksudkan ialah :

4.1 Kelompok Guru dan Murid

Di antara aktiviti-aktiviti yang praktikal yang boleh dijalankan untuk kelompok ini, antaranya:

i) Perjumpaan Pagi

Melalui perjumpaan ini yang mengambil masa 5 hingga 10 minit, guru boleh bertanya tentang masalah pelajar samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam perjumpaan pagi ini, guru boleh menyelaraskan banyak perkara dengan pelajar. Pelajar akan berasa dirinya dihargai dan disayangi apabila guru mengambil berat tentang mereka.

ii) Memberi Salam, Kad dan Hadiah

Guru dan pelajar boleh berlumba-lumba memberi salam antara mereka. Kad dan hadiah juga adalah unsur yang menunjukkan wujudnya kemesraan dan sayang-menyayangi antara guru dan pelajar. Kad hari lahir, kad dan hadiah untuk kejayaan dalam ujian dan peperiksaan adalah satu bukti Konsep Sekolah Penyayang.

iii) Menziarahi Murid dan Guru

Satu lagi cara membantu kejayaan Sekolah Penyayang ialah berlakunya amalan ziarah-menziarahi apabila pelajar sakit. Biasanya guru hanya menerima sijil sakit sahaja dan rasanya tidak mengaibkan jika seorang guru bertandang ke- rumah pelajarnya untuk menziarahinya yang sakit.

iv) Perkongsian Misi Sekolah

Misi sekolah mestilah memasukkan unsur-unsur pembinaan Sekolah Penyayang. Setelah itu, para pelajar dikongsikan bersama dengan misi ini melalui ceramah, kuiz, pertandingan bahas, pertandingan poster, pertandingan kebersihan kelas dan menghiasi sudut-sudut kelas, tingkatan maupun sudut- sudut yang terdapat di sekitar sekolah. Pertandingan kelas terbersih terus dikekalkan. Ada baiknya jika pelajar juga dikongsi bersama dalam menghasilkan misi sekolah untuk menimbulkan perasaan mereka sayang kepada misi sekolah dan sekolah itu sendiri.

v. Kempen

Kempen Sayangi Sekolah Anda, Sekolah Kita Rumah Kita, Datang Jam 7.30 Pagi, Kutip Sehari Satu Sampah dan lain lain lagi boleh dibuat untuk menanamkan bibit menyayangi sekolah. Kempen Memberi Salam dan Senyum juga boleh dijalankan menjurus ke arah itu. Kempen ini perlu disusun dengan baik supaya dapat memberi impak yang sebaiknya demi menjayakan Konsep Sekolah Penyayang.

vi. Sudut Kita

Para pelajar boleh dilantik sebagai bapa dan ibu angkat kepada sudut-sudut dan kawasan-kawasan tertentu dalam kawasan sekolah. Mereka diberi tugas untuk mempastikan keceriaan sudut-sudut tersebut di samping itu maklumat di sudut tersebut perlulah semasa dan sentiasa bertukarganti.

vii) Memuji dan Tidak Mencela

Satu lagi cara yang boleh membantu ke arah memartabatkan Sekolah Penyayang ialah membanyakkan pujian kepada para pelajar di atas jasa dan kejayaan mereka. Kadangkala cara menepuk bahu pelajar dengan sesuatu kebaikan yang dilakukan akan menimbulkan rasa seronok dan sayang mereka kepada sekolah. Seharusnya mencela dan mengejek mereka di atas kesalahan yang dilakukan patut dielakkan. Cuba terangkan kesalahan yang dilakukan dan kenapa patut dijauhi. Ini akan menjadikan mereka mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara.

viii) Memaksimum Penglibatan Pelajar Dalam Pengurusan Kelas

Satu lagi langkah yang praktikal untuk membina Sekolah Penyayang ialah para pelajar perlu diberi penglibatan yang maksimum dalam pengurusan kelas mereka. Biarkan mereka menguruskan kelas dan tingkatan mereka mengikut citarasa mereka. Ini boleh meningkatkan rasa kasih dan sayang kepada kelas dan merasai itu adalah hak mereka.
ix) Melibatkan Pelajar Dalam Perbincangan Aktiviti Penyayang

Para pelajar dilibatkan sejak awal lagi dalam perbincangan aktiviti untuk membina Sekolah Penyayang. Mungkin ada idea yang baik dari mereka yang boleh diterima pakai untuk menjayakan konsep ini. Apabila para pelajar dilibatkan sejak awal dalam memberikan idea dan merancang aktiviti, mereka akan merasakan aktiviti itu milik mereka bersama. Mereka akan berusaha untuk menjayakan konsep tersebut.



4.2 Kelompok Murid Dengan Murid

Murid dengan murid ini juga merupakan satu lagi kelompok penting dalam menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Di antara aktiviti yang boleh dijayakan oleh kelompok ini ialah :

i) Mesyuarat Kelas

Para pelajar diberikan peluang untuk mengadakan mesyuarat kelas atau tingkatan mereka sendiri. Ianya bermula dengan melantik ketua tingkatan dan ahli jawatankuasanya, membincangkan aktiviti sehinggalah penetapan yuran kelas.

ii) Mentor-mantee

Pelajar yang terkedepan bidang akademiknya boleh dipilih untuk menjadi mentor manakala yang kurang akan menjadi manteenya. Mereka diberikan tugasan untuk membimbing rakan-rakan mereka untuk berjaya. Semangat berlumba-lumba akan berlaku dan mantee akan menyayangi mentornya yang telah bertungkus lumus mengajar dan membantunya berjaya dalam sesuatu mata pelajaran. Dalam setengah situasi, pelajar lebih mudah menguasai sesuatu kemahiran melalui rakan sebaya berbanding dengan gurunya. Program ini bukan sahaja melibatkan kelas-kelas peperiksaan seperti PMR dan SPM, tetapi juga kelas-kelas lain.

iii) Menggerakkan Badan Pengawas

Badan Pengawas sekolah juga boleh digerakkan untuk merealisasikan Konsep Sekolah Penyayang. Mereka lebih hampir kepada para pelajar. Pengaruh mereka selaku pengawas dan rakan sebaya amat berkesan jika dapat dimanfaatkan. Kempen dan program yang digerakkan oleh mereka akan dapat melahirkan rasa kasih sayang para pelajar lain kepada sekolah. Badan pengawas boleh menganjurkan”Kempen Minggu Sayangi Sekolah”, ”Seorang Pelajar Sebuah Pasu”, ”Seorang Pelajar Sepokok Bunga”, ”Kempen Kebersihan Perdana” dan lain-lain.

iv) Rakan Islah

Islah membawa maksud pembaikan. Para pelajar yang kurang sensitif menghayati Konsep Sekolah Penyayang dapat diislahkan dengan menjadikan mereka murid angkat kepada seorang pelajar lain. Abang atau kawan angkat mereka akan mempastikan dalam tempoh-tempoh masa tertentu, berlaku perubahan kepada akhlak dan perasaan sayang kepada sekolah dapat dijelmakan atau ditingkatkan. Rakan Islah ini akan sentiasa bertemu dan berbincang apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pelajar kepada sekolahnya. Perbincangan yang berterusan dan melibatkan mereka dalam aktiviti yang menanamkan kasih sayang akan membentuk pelajar yang dapat menjayakan Konsep Sekolah Penyayang.

v Melebarkan Salam

Budaya memberi salam antara sesama pelajar juga adalah salah satu cara untuk menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Ucapan kesejahteraan yang diberikan oleh para pelajar sesama mereka akan menumbuhkan bibit-bibit kasih sayang antara mereka. Apabila kasih sayang antara mereka tersemai, mereka akan tertarik untuk datang ke sekolah dan mengasihi sekolah.

4.3 Kelompok Warga Sekolah Dengan Ibu Bapa

Ibu bapa yang dimaksudkan dalam konteks Sekolah Penyayang ini merujuk kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang belajar, institusi yang terdapat di sekitar sekolah samada kilang, KEMAS, masjid, balai raya dan lain-lain yang boleh membantu menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Warga sekolah boleh memanfaatkan institusi ini semaksimum mungkin. Di antara aktiviti yang boleh melibatkan ibu bapa dan institusi yang terdapat di sekitar sekolah ialah:

i) Kelas Angkat

Ibubapa boleh dilibatkan sepenuhnya dalam merealisasikan Konsep Sekolah Penyayang. Ibubapa boleh dilibatkan dengan menjadikan mereka ibu dan bapa angkat kepada kelas-kelas tertentu. Mereka akan ditugaskan untuk menerapkan budaya Sekolah Penyayang kepada setiap kelas yang menjadi anak angkat mereka. Ibubapa boleh berkongsi dengan pelajar kelas tersebut bagaimana Sekolah Penyayang boleh dilahirkan melalui penglibatan kelas masing-masing dan membina motto kelas yang bertemakan Sekolah Penyayang. Apabila wujud para pelajar yang penyayang, maka akan lahirkan kelas penyayang dan akhirnya akan membantu melahirkan Sekolah Penyayang. Kempen ”Sayangi Rakan”, ”Sayangi Kelas”, ”Kelas Ceria Kami Gembira” dan lain-lain boleh diadakan dari semasa ke semasa.

ii) Penglibatan Swasta Dengan Sekolah

Pihak swasta boleh dilibatkan dengan program Sekolah Penyayang kerana mereka mempunyai banyak infrastruktur yang boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah. Pihak swasta dan korporat biasanya mempunyai peruntukan kewangan mereka untuk program pendidikan dan kebajikan, di samping kepakaran dalam motivasi dan pengurusan yang semestinya boleh digunakan untuk menjana semangat penyayang di sekolah. Program motivasi kemahiran belajar, TOT penyayang untuk pengawas sekolah boleh diadakan dengan bantuan pihak swasta dan sumbangan kewangan untuk program Sekolah Penyayang seperti pengindahan sekolah, peningkatan akademik dan pemurnian akhlak.

iii) Persatuan Alumni Sekolah

Persatuan Murid Tua atau alumni sekolah boleh digandingkan dengan warga sekolah dalam merancang dan melaksanakan program Sekolah Penyayang. Apabila alumni sekolah boleh digerakkan seaktif mungkin dalam penumpuan kepada Sekolah Penyayang, tenaga warga sekolah yang lain, khususnya para pendidik boleh menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran. Persatuan Alumni ini juga boleh menaja poster, banting dan banner yang mengandungi perkataan-perkataan yang merangsang rasa kasih dan sayang pelajar kepada sekolah, misalnya, ”Selamat Datang Pelajar Yang Disayangi”, ”Sayangilah Sekolah Anda, Nescaya Allah Menyayangi Anda”, ”Marilah Kita Berkasih Sayang Untuk Kecemerlangan Sekolah”.

iv) Perkongsian Pintar (Smart Partnership)

Membina Sekolah Penyayang merupakan satu tugas yang amat berat, lebih-lebih lagi cabaran yang bertali arus. Perkongsian pintar yang dilakukan antara warga sekolah dengan badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) akan memudahkan hasrat ke arah mewujudkan Sekolah Penyayang. Dalam setengah perkara, pihak-pihak luar boleh memainkan peranan untuk menjayakan hasrat sekolah.

Jika sekiranya pihak sekolah ingin mengindahkan landskap persekitaran sekolah untuk melahirkan rasa selesa, kondusif dan menanamkan rasa sayang pelajar kepada sekolah dengan persekitaran keindahannya, Majlis Perbandaran dan Jabatan Pertanian boleh memberikan khidmat nasihat mereka. Pihak masjid dan Pejabat Agama Islam Daerah pula boleh menurunkan ilmu dan pengalaman tentang kepentingan Konsep Sekolah Penyayang dalam konteks perkembangan pelajar sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Organisasi ini boleh dilibatkan dalam menjayakan misi dan visi sekolah. Untuk menangani masalah dadah pula, pihak PEMADAM dan AADK boleh dilibatkan untuk majlis penerangan dan aktiviti-aktiviti yang dapat menjauhi para pelajar dari gejala ini.

v) Banyakkan Aktiviti Bersama

Salah satu faktor yang membantu perhubungan yang erat antara warga sekolah dan ibubapa atau komuniti ialah apabila kekerapan aktiviti bersama itu dijalankan. Kadangkala program yang tidak formal seperti majlis as-syura, perarakan keputeraan Rasulullah peringkat sekolah dan program-program lain yang melibatkan warga sekolah, para pelajar dan pihak ibubapa akan mewujudkan perasaan kebersamaan dan kasih sayang. Apabila kebersamaan yang didasarkan atas hormat menghormati dan kasih sayang ini diikat erat, maka mudahlah Konsep Sekolah Penyayang ini dilakukan kerana mendapat sokongan dan dokongan padu dari semua pihak. Pihak Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) atau Rukun Tetangga boleh dilibatkan untuk menjayakan hasrat murni ini. Sepatutnya warga pendidik dapat berusaha supaya Konsep Sekolah Penyayang ini menjadi milik semua ahli yang berada dalam komuniti tersebut.


5.0 FAKTOR KEJAYAAN KONSEP SEKOLAH PENYAYANG

Semua yang terlibat dengan menjayakan Konsep Sekolah Penyayang ini mengharapkan natijah yang positif hasil daripada pengorbanan mereka. Tidak ada satu kerja yang dilakukan tanpa mengharapkan kesan dan hasil yang baik. Sekolah Penyayang sudah pasti diharapkan dapat dijelmakan untuk memberikan impak kepada pendidikan di negara kita. Namun begitu, penulis melihat terdapat beberapa perkara yang kecil, jika diabaikan akan menggagalkan proses ini. Antara perkara-perkara berikut ialah :-


5.1 Komited dan Tanggungjawab

Dua unsur ini amat perlu dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Komited dan rasa bertanggungjawab yang tinggi jika ada para warga sekolah, pelajar , ibubapa dan komuniti dalam menjayakan hasrat ini, tidak mustahil sekolah penyayang akan hidup subur di arena pendidikan tanah air kita. Sifat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dihumbankan sejauh-jauhnya dari kamus kehidupan kita demi melihat kejayaan apa yang kita sama-sama perjuangkan.

5.2 Kenali Siapa Sekeliling Kita

Membina hubungan dengan semua individu dan kelompok yang ada di sekeliling kita tanpa mengira fahaman politik, agama dan kenegerian adalah faktor penting dalam menjayakan hasrat murni ini. Hasrat murni ini perlu dikongsikan bersama oleh semua ahli masyarakat. Jika warga sekolah hanya memikirkan sekolah sahaja tanpa terlibat dan bergaul dengan masyarakat, hasrat yang mulia ini akan menjadi angan-angan kosong kerana kurangnya pendokong. Memahami budaya komuniti dan prihatin dengan apa yang berlaku di dalamnya amat perlu dikuasai oleh warga sekolah.
5.3 Doa Mendoakan

Konsep Sekolah Penyayang adalah hasil dokongan manusia yang sentiasa berhubung antara satu sama lain. Kita menyedari bahawa manusia ini terdiri daripada intelek, jasmani, emosi dan rohaninya. Hubungan spiritual antara penggerak Sekolah Penyayang adalah perlu. Oleh itu amalan doa mendoakan antara satu sama lain dan sentiasa memohon agar segala usaha murni ini diberkati dan berjaya adalah satu amalan yang baik.

Kadangkala kita memberikan penumpuan yang lebih dari aspek jasmani dan mengabaikan aspek rohani. Apabila aspek ini diabaikan, maka ramailah yang mudah kecewa, merajuk, tidak dapat bersabar dengan kerenah dan kepayahan sewaktu menjayakannya. Sesungguhnya tanggungjawab kita adalah merancang dan berusaha menjayakannya, tetapi Allahlah yang menentukan segala-galanya.

5.4 Menjadi Pendengar Yang Baik

Penulis melihat Sekolah Penyayang akan dapat berjaya apabila ianya dirancang dengan teliti dan dijayakan sepenuh hati. Perancangan ini mestilah melalui beberapa siri perbincangan dan ’brainstorming’. Sesi ini memerlukan kita menyuarakan pandangan dan mendengar pandangan orang lain. Banyak kegagalan berlaku disebabkan kita lebih suka menjadi pencadang daripada tidak pendengar yang baik.

Sebenarnya pendengar yang baik adalah kunci kepada perpaduan dan kemantapan tindakan yang diambil. Semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Sekolah Penyayang perlulah membuka dada dan pemikiran mereka untuk menerima cadangan dan saranan daripada orang lain. Semua cadangan adalah baik dan kita memilih hanya yang terbaik untuk dilaksanakan. Berdasarkan pengalaman penulis, ramai yang sanggup memberi cadangan yang bernas dan sedikit yang sanggup melaksanakan cadangan itu sebaik mungkin.

Menjadi pendengar yang baik tidak menghalang kita memberi cadangan yang dirasakan bernas. Apabila cadangan-cadangan itu dilihat dari segi keutamaan dan kesan maksimum ke atas matlamat yang hendak dicapai, kemungkinan ada cadangan kita yang disisihkan. Seharusnya, ia tidak sedikit pun mengguris perasaan kita tetapi kita menyatukan hati kita untuk melaksanakan apa yang terbaik yang telah dipilih itu.
5.5 Seronok Dengan Tugas

Seronok dengan tugas dan amanah yang diberikan dan melakukannya dengan sebaik mungkin adalah faktor kejayaan sesuatu kerja yang dilakukan. Ini tidak terkecuali kepada Sekolah Penyayang. Semua yang terlibat dengan Sekolah Penyayang perlu berasa seronok dengan tugas mereka demi mencapai hasrat yang telah disepakati dan didokongi bersama. Keseronokan itu lebih terasa apabila kita melihat riak-riak kejayaan kepada apa yang kita perjuangkan. Mengharapkan ganjaran pahala dan kebaikan daripada Allah juga menjadikan kita seronok dengan tugas kita. Walaupun tugas yang kecil dan senang seperti penulis banner, pengerusi majlis, pencatat minit, hanya membawa beberapa biji pasu bunga, membeli beberapa tin cat, namun kita seronok dengannya kerana itulah sumbangan kita dalam menjayakan hasrat murni iaitu membina sebuah sekolah yang diisikan di dalamnya dengan perasaan kasih sayang dan sayang menyayangi antara satu sama lain.


6.0 KESIMPULAN

Sekolah Penyayang adalah institusi yang indah dan murni. Keindahan dan kemurniannya perlukan kepada pengorbanan masa, tenaga,wang ringgit dan keringat warga pendidik, pelajar, ibubapa dan komuniti setempat.

Hasrat murni Sekolah Penyayang yang digagaskan berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020 serta diperincikan melalui surat-surat pekeliling ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia akan berjaya apabila ianya dikongsikan bersama.

Penulis melihat, inilah masanya untuk kita membina pelajar yang cemerlang akademik dan seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, serta mempunyai disiplin diri yang tinggi, berketrampilan, patriotik, tidak bersikap individualistik sebaliknya mempunyai semangat kerjasama berpasukan serta mampu memain peranan dalam masyarakat (Rujukan: Perutusan Tahun Baru 2006, YB Menteri Pelajaran Malaysia) seperti hasrat YB Menteri Pelajaran melalui wasilah pendidikan dan wadah Sekolah Penyayang.

SENARAI RUJUKAN

1. Abdul Aziz bin Azimullah,Dr (1998). ”Rahsia Kejayaan Dan Kecemerlangan Diri.” Kuala Lumpur: Institut Bina Usahawan.

2. Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa (1995). ”Falsafah Dan Konsep Pendidikan Edisi Kedua.” Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

3. Ahmad Fadzli Yusof dan Abid Abdullah (2005). ”Resipi Kejayaan Untuk Presiden Persatuan.” Bentong: PTS Millennia Sdn. Bhd.

4. Arieff Salleh Rosman dan Wardah Mokhtar (2005). ”Remaja Sukses.” Bentong: PTS Millennia Sdn. Bhd.

5. Md. Taib Mat (2003). ”Anda Berhak Hebat!.“ Kuala Lumpur: Pustaka Cipta Sdn Bhd dan Bintang Generasi (M) Sdn. Bhd.

6. Yaakub Isa (1994). ”Guru Yang Efektif.” Kuantan: Jawatankuasa Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang.

7. Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (1998). ”Pentadbiran Pendidikan.” Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

8. ”Jejak-Jejak Kecemerlangan Dalam Pengurusan Pendidikan Sekolah” (2002). Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.

9. Mohd Yusoff bin Haji Othman (1998). ”Perkongsian Bijak Komuniti Dan Sekolah: Harapan Dan Cabaran Bagi Merealisasikan Sekolah Berkesan.” dalam Jurnal Dakwah Bil.1 Jilid 1. Kuala Lumpur :Bahagian Dakwah dan Kepimpinan JAPIM.


10. Buku Perancangan, Tugasan Dan Catatan Mesyuarat 2007, SMK Tengku Lela Segara, Marang, Terengganu.

11. Surat Pekeliling Iktisas Bil 8/2001 “Pemantapan Pengurusan Disiplin Di Sekolah”. KP (BS) 8591/Jld.XVII(8) 19 julai 2001 Perkara 2.4

12. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1995, Menangani Masalah Ponteng Sekolah”. KP8591/Jld.VIII(9) bertarikh 5 September1995 Perkara 5.3

13 Diane Curtis. (2003). “Ten Tips For Creating A Caring School.” http://www.edutopia.org/1025. Dicapai pada 25 April, 2007.

14 “Six Characteristics of A Safe and Caring School.” http://www.edutopia.org/1025. Dicapai pada 26 April, 2007.

15 Eric Schaps. (2003). “The Heart of a Caring Schoolhttp://www.devstu.org/about/articles/heart_of_caring_school.html. Dicapai pada 25 April, 2007.

16. Pamela L. Riley Dr. “How To Establish And Maintain Safe, Orderly, And Caring Schools:
http://www.ncdjjdp.org/cpsv/Acrobatfiles/SOC_1pager.pdf. Dicapai pada 24 April 2007


17. Howard S. Adelman and Linda Taylor (2005). “Creating Caring Schools”.
http://www.smhp.psych.ucla.edu/publications/52%20Creating%20Caring%
20Schools.pdf. Dicapai pada 24 April 2007.

DEDIKASI BUAT WARGA PENDIDIK...

SIAPALAH GURU…

Guru ibarat sang mentari,
Hilang dicari hadirnya ceria jati diri.

Guru ibarat lampu elektrik,
Mengajar mendidik tanpa serik.

Guru ibarat segores cahaya,
Memberi sinar hidup berjaya.

Guru ibarat setitik peluh mencium bumi,
Bakti dicurah sewajarnya dikagumi.

Guru ibarat emas berlian,
Nama harum jadi pujian.

Guru ibarat sesudu gula,
Kemanisannya diingati sampai bila-bila.

Guru ibarat setitik air di lautan,
Sabar gigih membina kekuatan.

Guru ibarat sang bulan,
Tempat merujuk menjadi taulan.

Guru ibarat intan permata,
Sinarnya terserlah merta-rata.

Guru ibarat lilin membakar diri,
Terkorban tanpa disedari.

Guru ibarat sebutir bintang berkelipan,
Tegur nasihatnya demi masa hadapan.

Guru ibarat ibu bapa,
Sayang sekali pergorbanannya sering dilupa.

Guru ibarat tongkat si buta,
Beban berat masih dinista.

Guru ibarat sebuah pelita,
Cahayanya samar sering dicaci dikata.

Guru ibarat duri berbisa,
Pelajar berasa tidak selesa.

Guru ibarat raja, pelajar umpama rakyat,
Mencorak kata, menyimpul frasa, terbina ayat.

PKPIM cadang kerajaan rombak sistem pemakaian pelajar perempuan

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah.

Menurut Naib Presiden HEWI, PKPIM, Munirah Bahari cadangan agar Kementerian Pelajaran membuat rombakan ke atas pakaian seragam sekolah pelajar perempuan yang berwarna putih itu demi memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam.

Jelasnya penukaran warna baju tersebut nampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan.

Katanyanya, PKPIM melihat konsep menutup aurat itu penting dan perlu didedahkan kepada masyarakat Islam terutama yang melibatkan muslimah. Tambahan pula pakaian yang sopan dan menutup aurat boleh mencegah dan melindungi wanita daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

"Akhir-akhir ini kita sering disajikan dengan kes sosial, rogol, gangguan seksual mahupun hubungan seks sebelum perkahwinan yang melibatkan remaja wanita belasan tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah.

"Implikasi daripada kejadian ini maka berlakulah kelahiran bayi luar nikah, pembuangan bayi mahupun pelacuran. Isu yang melibatkan keselamatan diri remaja merupakan isu yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak," katanya, dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat pihak yang memandang sambil lewa hal ini. Jelasnya, pemakaian baju sekolah berwarna putih itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya.

"Pakaian merupakan cerminan akhlak seseorang muslim dan Islam sangat menitik beratkan perihal pakaian menurut Islam. Baju berwarna putih tersebut sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ. Lebih-lebih lagi ia akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak.

"Di sinilah punca yang boleh kita saksikan terjadinya perkara-perkara seperti pencabulan, penzinaan dan sebagainya. Hakikatnya, kita tidak mahu perkara sebegini berlaku di negara kita," katanya.

Beliau menegaskan seharusnya remaja perempuan perlu bersifat 'assertif' terhadap sesuatu perbuatan yang mencabuli kehormatan mereka. Katanya, apa yang terjadi sekarang ialah mereka tidak tegas dan membiarkan diri mereka diperlakukan apa sahaja oleh sesiapa.

Sehubungan itu beliau mengharapkan penilaian terhadap baju sekolah pelajar perempuan perlu dilakukan oleh Kementerian Pelajaran secepat mungkin.

"Jika Kementerian Pelajaran ingin mengekalkan warna putih tersebut, PKPIM mencadangkan agar pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat. Kami mengharapkan agar Kementerian Pelajaran bertindak tegas dalam menangani isu ini," katanya. - mns

ISU-ISU TERKINI DALAM PENDIDIKAN

Beberapa isu terkini dalam pendidikan telah menjadi perbualan di kalangan warga pendidik. Mungkin isu-isu ini perlu ditangani dengan segera. Antaranya :-

A. Kajian dalam bentuk R & D dalam sesuatu program

Adalah amat penting dilakukan R & D terlebih dahulu atau diadakan program percubaan sebelum dilaksanakan sesuatu program baru. Kadangkala didapati seuatu program itu dibuat secara ad-hoc sahaja.
Elakkan keputusan tergesa-gesa yang banyak menimbulkan masalah khususnya kepada pelaksana dasar.

Contoh: Makmal komputer, program PPSMI (Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris)
dan Tingkatan 6 setaraf dengan kolej yang melibatkan guru-gurunya berada dalam
DG 44.


B. Mengembalikan dan memartabatkan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan dan mengembalikan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu.


C. Percepatkan proses atau tempoh masa memproses kenaikan guru-guru time-based dan kenaikan pangkat guru.

Contohnya: Seseorang guru DG 41 yang sudah cukup 10 tahun perkhidmatan layak untuk
kenaikan ke DG 44. Tetapi proses kenaikan itu memakan masa 2-5 tahun untuk
pelantikan ke DG 44. Majoritinya, guru DG 41 terpaksa menunggu 12 ke 15
tahun untuk menjawat ke DG 44. Ini sudah lari dari konsep asal time-based.

Cadangan : Sekiranya guru-guru itu sudah cukup syarat dan time-based nya, terus
membuat permohonan dan lantikan. Sepatutnya tahun ke-11 atau ke-12,
lantikan ke gred baru telah boleh dibuat. Tidak perlu menunggu pekeliling atau
surat dari jabatan yang kadangkala melambatkan proses lantikan ini.


D. Perbanyakkan Sekolah Rendah atau Sekolah Menengah dengan kapasiti pelajar sekitar 600 ke 800 orang sahaja.

Rasionalnya:
1. Membuka peluang kenaikan pangkat guru-guru.

2. Memudahkan pengurusan sekolah dalam pelbagai aspek

3. Tumpuan kepada mendisiplinkan pelajar dapat difokuskan

4. Memberi pilihan kepada ibubapa menghantar anak ke sekolah yang bersesuaian

5. Mewujudkan persaingan sihat antara sekolah

6. Bilangan pelajar dalam bilik darjah dapat dikurangkan


E. Mewujudkan juruteknik di sekolah bagi menyelenggarakan peralatan dan pendawaian elektrik dan komputer serta alat-alat elektronik yang dibekalkan ke sekolah oleh jabatan. Kadangkala kipas dan lampu seringkali juga rosak.

Rasional :

1. Kadangkala perbekalan alatan tidak ikut keperluan sekolah.

2. Tidak ada pihak di sekolah yang mahir mengendalikan/baikpulih/memantau alatan yang
dibekalkan hingga akhirnya rosak dan merugikan.


G. Institusi sekolah gagal melahirkan nilai murni, nilai insan dan modal insan dalam diri pelajar. Pencapaian akademik menggalakkan tetapi sahsiah pelajar rendah.

Cadangan : Kurikulum baru digubal menjurus kepada keseimbangan akademik dan
kerohanian perlu disegerakan.

Mungkin ada cadangan dan dipanjangkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

PM Umum Insentif Guru - 350,000 Pendidik Nikmati Peluang Naik Pangkat Lebih Luas

MELAKA 16 Mei – Kira-kira 350,000 guru di seluruh negara merayakan Hari Guru tahun ini dengan berita gembira apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan insentif baru bagi memperkasakan dan memartabatkan profesion perguruan di Malaysia.

Enam insentif itu termasuk keputusan Kementerian Pelajaran menaikkan pangkat dan gred guru-guru bukan siswazah yang telah melanjutkan pelajaran.
Berucap pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini, Perdana Menteri yakin dengan insentif-insentif itu guru-guru akan lebih bersemangat untuk bekerja.

“Saya berharap guru-guru akan berjalan sebatu ke depan. Inilah yang kita mahu.
“Mudah-mudahan apa yang diberikan ini akan diterjemahkan oleh para guru dengan bekerja lebih bersungguh-sungguh supaya kita dapat melahirkan pelajar yang lebih cemerlang,'' katanya.
Pengumuman itu disambut tepukan gemuruh lebih 3,000 guru yang mendengar ucapannya. Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Menurut Abdullah, kerajaan bersetuju untuk mengambil kira pengalaman mengajar guru semasa dalam skim bukan siswazah DGA29 untuk dipertimbangkan kenaikan gred secara time-base setelah berada dalam skim siswazah iaitu dari gred DG41 kepada DG44.

“Kaedah yang akan digunakan ialah setiap tiga tahun pengalaman di gred DGA29 akan dikira sebagai satu tahun pengalaman di gred SG41, tertakluk kepada had maksimum pengiraan sebanyak tiga tahun pengalaman DG41.

“Insentif ini merupakan satu tambahan kepada keputusan kerajaan sebelum ini untuk memberikan hadiah kenaikan gaji kepada kakitangan awam,'' kata beliau.

Perdana Menteri berkata, langkah itu juga bertepatan dengan gagasan kerajaan dalam membangunkan modal insan dan bersesuaian dengan dasar pensiswazahan guru yang menggalakkan guru-guru untuk melanjutkan pengajian mereka.

Beliau berkata, pada masa yang sama kerajaan juga bersetuju meluluskan cadangan supaya guru gred DG41 yang berasal dari skim bukan siswazah dan memegang jawatan guru besar akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru besar pada gred DG41.

Susulan kepada penambahan kuota jawatan dalam skim cemerlang sebanyak 300 peratus pada tahun 2006, beliau memberitahu, kerajaan bersetuju untuk menambah baik dua syarat skim guru cemerlang.

Ini termasuk memendekkan syarat tempoh kelayakan guru cemerlang dari tujuh tahun kepada lima tahun pengalaman mengajar bagi pengisian jawatan guru cemerlang DGA32 dari gred asal DGA29 dan jawatan guru besar cemerlang DG44 dari gred asal DG41.

“Bagi pegawai yang telah dinaikkan pangkat guru cemerlang di sesuatu gred, mereka boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat ke gred selanjutnya tanpa perlu menunggu tempoh tiga tahun perkhidmatan dalam gred yang sedang disandang,'' kata Perdana Menteri.

Beliau turut mengumumkan peruntukan 10 peratus daripada 1,700 kuota guru besar cemerlang DGA38 akan diberikan kepada pengelola dan guru yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dengan syarat mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Selain guru dan guru besar bukan siswazah serta guru dan guru besar cemerlang, turut mendapat suntikan daripada insentif yang diumumkan itu ialah para pegawai pelajaran daerah (PPD).

Abdullah berkata, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred PPD dari gred DG48 kepada gred DG52 dan DG54.

Selain itu, menurut Perdana Menteri, kerajaan juga akan menyeragamkan struktur pejabat pelajaran daerah di seluruh negara dengan memansuhkan pejabat pelajaran gabungan (PPG) bagi negeri Sabah dan Sarawak.

“Selain kenaikan gred PPD, penambahbaikan ini juga akan mewujudkan ratusan jawatan kenaikan pangkat baru untuk para guru yang berkhidmat di pejabat pelajaran daerah,'' ujar beliau.

Beliau turut mengumumkan kerajaan telah meluluskan cadangan penstrukturan baru Kementerian Pelajaran yang kali terakhir distrukturkan pada tahun 1995.

Peringkat awal kelulusan itu akan melibatkan pertambahan jawatan dan kenaikan gred bagi jawatan pengurusan tertinggi dan ketua bahagian dari gred DG54 hingga ke JUSA A.

Sebagai contoh, jelasnya, kesemua jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran kini diseragamkan pada gred JUSA A berbanding sebelum ini berbeza pada gred JUSA A, B, C dan DG54.

Beliau percaya penstrukturan itu dapat memantapkan sistem penyampaian pendidikan di setiap peringkat di negara ini.
Oleh LUKMAN ISMAIL dan NORIZAN ABDUL MUHID.... Utusan Online (17 Mei 2008)

60 Tahun Terjajah, Hamas Kukuhkan Strategi Perjuangan - NAKBAH PALESTIN

Gerakan Hamas menegaskan, perlawanan akan tetap menjadi strategi untuk mengembalikan sepenuhnya hak-hak rakyat Palestin yang dirampas. Perlawanan akan menghapus Israel dari tanah Palestin kemudian mendirikan negara Palestin yang merdeka, berdaulat dengan ibukota Al-Quds, meskipun perlu meningkatkan pengorbanan dan membayar harga yang mahal.
Gerakan Hamas semalam, Khamis (15/5) dalam majlis memperingati 60 tahun terjajahnya Palestin, menegaskan bahawa perampasan Palestin oleh Israel adalah tragedi paling besar tercatat dalam sejarah Arab dan Islam. Penjajahan ini telah mengubah kehidupan rakyat Palestin menjadi derita panjang yang tidak terperi.
Israel mendeklarasikan negaranya di atas tanah Palestin, di atas siraman darah dan hancur berkecainya tubuh rakyat Palestin. Negara penjajah yang didirikan di atas ribuan syahid, cedera parah mangsa menjadi cacat dan penderitaan tawanan Palestin, perampasan tanah untuk penempatan Yahudi, penghapusan peninggalan sejarah dan tempat suci Palestin.

Zuhudnya Khalifah Umar bin Abdul AzizDilulus

"Pakaian & Cara Pemakaiannya

Seorang ulama' Quraish meriwayatkan: Sesungguhnya Khalifah Umar Abdul Aziz sebelum dilantik menjadi khalifah pernah berkata: Sesungguhnya aku bimbang kalau2 rezeki yang dikurniakan Allah kepadaku tidak mampu untuk membeli pakaian2 kesukaanku. Sebelum dilantik menjadi khalifah, aku tidak pernah memakai pakaian yang dianggap masyarakat sebagai lusuh, bahkan aku sentiasa dianggap berpakaian baru.Setelah umar menjadi Khalifah, beliau telah membuang sikap & perangai demikian.

Pakaian solat

Seorang pengawalnya berkata: Suatu ketika, Umar Abdul Aziz telah solat Jumaat bersama kami dengan berpakaian yang bertampal poket depan dan bahagian belakangnya. Ketika dia sedang berehat, beliau telah di sapa seorang lelaki: Wahai Amirul Mukminin, Sesungguhnya Allah SWT telah membuka bagi mu pintu kemewahan. Alangkah baiknya jika tuan menggunakan peluang tersebut untuk menghiasi diri dengan pakaian hebat. Umar menundukkan kepalanya sebentar, kemudian menjawab: Sesungguhnya sebaik-baik niat yang ikhlas untuk berzuhud, adalah ketika memiliki kemewahan. Dan masa yang paling sesuai untuk memberikan keampunan, ialah ketika mampu membalasnya.

Harum lagi Bergaya

Raja' bin Haiwah meriwayatkan: Sebelum Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau merupakan lelaki paling harum tubuh dan pakaiannya serta paling bergaya cara berjalannya. Setelah menjadi Khalifah, mereka telah menilai harga pakaiannya (baju, serban, kain, pakaian luaran & dalaman, kain baldu) hanya sekadar 12 dirham sahaja.

Pakaian Ketika sakit

Salamah meriwayatkan: Suatu masa aku menziarahi Umar Abdul Aziz yang sedang sakit. Aku melihat dia memakai baju yang sudah kotor. Lalu aku berkata kepada Fatimah: Wahai Fatimah, Tolong basuhkan baju Amirul Mukminin. Jawab Fatimah: InsyaAllah, kami akan laksanakan.

Keesokan harinya, aku berkunjung lagi. Aku dapati bajunya masih seperti kelmarin. Lantas aku bertanya: Wahai Fatimah, Bukankah aku telah menyuruh menbasuh baju Amirul Mukminin. Sepatutnya engkau menukarkan bajunya, kerana orang ramai sentiasa mengunjunginya.

Jawab Fatimah: Demi Allah, hanya baju itulah yang beliau ada.

UCAPAN TAHUN BARU 2008 - MENTERI PELAJARAN MALAYSIA


TEKS PERUTUSAN TAHUN BARU 2008
Y.B. DATO’ HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya 4 Januari 2008

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dan salam sejahtera, selamat pagi saya ucapkan kepada para hadirin yang saya hormati sekalian.

Yang Berhormat Dato’ Hin Choon Kim
Timbalan Menteri Pelajaran

Yang Berhormat Puan Komala Devi
Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran

Y. Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Haji Awang
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran

Y. Bhg.Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Pegawai-pegawai kanan kementerian, warga kementerian di semua peringkat, murid-murid,
pelajar-pelajar yang saya kasihi.

1. Saya pertama-tamanya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua wargaKementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di mana sahaja tuan-tuan dan puan-puan berada. Semoga kita semua melangkah ke tahun yang baru ini dengan penuh azam dan semangat yang berkobarkobar serta bersedia untuk menunaikan segala amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan di atas bahu kita bersama.

2. Pada hari mulia ini juga, marilah kita bersama–sama mengucapkan dan memanjatkan rasa kesyukuran kita kerana dengan berkat limpah kurnia izin dan makbul Allah SWT, kita dapat menyambut kehadiran tahun baru dengan suasana yang aman, sejahtera, bebas dari sebarang malapetaka, bencana-bencana besar dan kekacauan.

3. Banjir yang melanda lima buah negeri baru-baru ini telah pun di pantau melalui Jawatankuasa Khas Penggal Persekolahan 2008 setiap hari dan tindakan segera telah diambil bagi membantu pihak sekolah di dalam kawasan terbabit. Sebanyak 223 buah sekolah KPM di negeri Kelantan, Pahang, Johor, Kedah dan Terengganu yang terjejas akibat banjir dan sehingga kini anggaran nilai kerosakan adalah sebanyak RM 20 juta, iaitu RM 12.2 juta melibatkan kerosakan fizikal, RM 5.6 juta melibatkan kerosakan perabot dan peralatan, termasuk peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan RM 2.2 juta bagi menggantikan buku teks. Kelantan merupakan negeri yang paling teruk terjejas dengan anggaran nilai kerosakan sebanyak RM9.3 juta diikuti dengan Pahang, RM9.2 juta.

3. Saya gembira kerana tindakan pembersihan, pembaikan dan penggantian telah dilaksanakan dengan segera dan hari ini saya dimaklumkan bahawa semua sekolah di seluruh negara boleh beroperasi dengan lancar. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua. Kerana saya lihat bahawa kesungguhan kita kadang kalanya tidak diiktiraf oleh orang ramai, tetapi kita sebagai satu warga kementerian, satu keluarga yang besar ini sekurangkurangnya dapat kepuasan dari mereka yang terlibat untuk mempertahankan maruah kita warga Kementerian Pelajaran Malaysia dalam semua aspek.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

4. Terasa bahawa tahun 2007 berlalu dengan begitu pantas. Mungkin kerana di sepanjang tahun 2007 terlalu banyak tugas yang perlu dilaksanakan, terlalu banyak peristiwa atau terlalu banyak perkara baru yang berlaku dalam bidang pendidikan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tahun 2007 agak berbeza dari tahuntahun sebelumnya kerana selain melaksanakan tugas-tugas
rutin dan menangani isu yang timbul secara bermusim, tumpuan kita lebih banyak diberikan kepada pelaksanaan segala perancangan di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

5. Sebaik sahaja selesai pelancaran PIPP pada 16 Januari, tanpa berlengah kita telah menganjurkan Persidangan Perancangan Strategik bagi menerangkan kepada semua pegawai-pegawai kementerian kita, tumpuan, objektif, sasaran matlamat PIPP ini. Selepas itu, kita telah mengisi setiap bulan dengan fokus tertentu berkaitan dengan teras-teras yang telah pun ditetapkan di bawah PIPP ini, bermula dengan fokus terhadap Teras Keempat, iaitu usaha Merapatkan Jurang Pendidikan melalui Program Lonjakan Saujana Pendidikan Luar Bandar, kita telah pun pada bulan Februari bersamasama dengan YAB Perdana Menteri melancarkan pendekatan yang bersungguh-sungguh untuk mengurangkan jurang yang masih wujud. Diikuti dengan Teras Keenam, iaitu usaha Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan di dalam bulan Mac; seterusnya Teras Ketiga, Memperkasa Sekolah Kebangsaan dengan tumpuan terhadap program Pembestarian Sekolah dalam bulan April sehinggalah fokus dalam bulan terakhir, di dalam bulan November di mana kita kembali memberi tumpuan kepada Teras Ketiga, iaitu Memperkasa Sekolah-sekolah Kebangsaan. Tidak lama selepas itu, di dalam bulan Disember, kita sekali lagi telah berhimpun di dalam Konvensyen PIPP bagi menilai semula pelaksanaan pelan ini, mengenal pasti semua kekangan yang ada, mencari jalan mengatasinya dan menyiapkan kad laporan kedua yang InsyaAllah akan kita bentangkan kepada Jemaah Menteri dan masyarakat awam tidak lama lagi.

6. Alhamdulillah, hanya selepas 11 bulan PIPP dilancarkan, pelaksanaan RMKe-9 sudah menunjukkan perkembangan yang baik. Dari segi prestasi perbelanjaan, sehingga 30 November 2007 yang lalu, kita sudah melaksanakan 9,785 projek yang bernilai RM21.54 bilion. Daripada jumlah itu, 2,214 projek bernilai RM2.54 bilion sudah siap sepenuhnya dan baki 3,133 projek bernilai RM6.7 bilion sedang giat dilaksanakan. Pada masa yang sama, kita juga sudah mula menggerakkan pelaksanaan 4,438 projek lagi yang bernilai RM12.29 bilion yang ketika ini dalam
pelbagai peringkat prabina seperti penyediaan reka bentuk, penyediaan dokumen tender, penilaian tender dan rundingan harga.

7. Dari segi perbelanjaan tahunan, daripada RM 2.24 bilion yang diperuntukkan di bawah Perbelanjaan Pembangunan kepada KPM pada tahun 2006, sejumlah 95.2 peratus atau RM 2.13 bilion sudah dibelanjakan. Bagi tahun 2007 pula, setakat 15 Disember 2007, daripada 3.01 bilion yang diperuntukkan sejumlah RM2.21 bilion atau 73.7 peratus telah dibelanjakan. Jumlah ini mengatasi purata nasional iaitu 68.9 peratus. Walau bagaimanapun, jumlah perbelanjaan dijangka akan melonjak kepada RM 2.73 bilion atau 90.8 peratus menjelang 11 Januari 2008 nanti.

8. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat. Jumlah perbelanjaan dijangka akan melonjak kepada RM 2.73 bilion atau 90.8 peratus menjelang 11 Januari 2008 ini. Apa yang penting sekarang adalah untuk kita memperhebatkan lagi kejayaan ini. Kalau dari segi makronya, perbelanjaan telah pun mengikut sasaran yang di tetapkan, dari segi mikronya pula, apa yang telah dirancang juga telah mengikut jadual yang telah ditetapkan. Misalnya bagi projek-projek yang berkaitan dengan teras ketiga, iaitu merapatkan jurang pendidikan khususnya lonjakan saujana pendidikan luar bandar sehingga akhir Disember lalu, kesemua 300 projek bekalan air bersih telah pun siap dibekalkan untuk dimanfaatkan 120,000 murid. Bagi bekalan elektrik 24 jam pula, daripada 432 buah sekolah yang terlibat, 370 buah sekolah dibekalkan dengan jana kuasa manakala 62 buah sekolah lagi melalui bekalan elektrik awam. Bagi projek penyambungan elektrik awam, daripada 32 buah sekolah telah siap keseluruhannya manakala baki 30 buah lagi telah siap kerja pendawaian dalaman.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

9. Perutusan tahunan saya tahun ini mirip kepada masuk bakul angkat sendiri. Almaklumlah di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai warga KPM, kita tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak dan ada kala kita berasa terkilan kerana usaha bersungguhsungguh kita tidak diiktiraf, tidak dihargai dan kadang kala ada yang langsung tidak berterima kasih. Saya baru mendengar aduan daripada Datin Hamidah. Dengan segala yang kita lakukan di negeri Selangor pun, bermacam-macam isu dibangkitkan di dalam penggal pertama ini. Tetapi masuk bakul angkat sendiri sesama warga kementerian, pihakpihak berkepentingan dan anak-anak kita di atas sana saya tidak apologetik kerana saya percaya tuan-tuan dan puan-puan telah melakukan yang terbaik. Hari ini sebagai rekod, kita akan maklumkan kepada dunia semua kejayaan dan pencapaian kita pada tahun 2007.

10. Bagi saya pencapaian kita setakat hari ini adalah cukup menakjubkan. Bukan mudah untuk menterjemahkan satu pelan induk ke dalam bentuk pelaksanaan dalam masa yang singkat, iaitu kurang daripada satu tahun, lebih-lebih lagi jika kita mengambil kira saiz kementerian ini yang begitu besar dengan jumlah warga kerja dan pelajar yang begitu ramai selain merangkumi pihak berkepentingan yang begitu banyak dan pelbagai. Malah untuk menerangkan sejelasjelasnya PIPP kepada pegawai-pegawai di peringkat KPM, di peringkat negeri dan daerah, di peringkat sekolah dan masyarakat umum, bagi saya sudah menjadi suatu cabaran yang besar, apalagi untuk menggerakkannya ke dalam bentuk perlaksanaan dan tindakan. Bukanlah sesuatu yang menghairankan, malah adalah sesuatu yang telah kita jangka, bila terdapat ramai pihak yang begitu sinis terhadap PIPP ketika ia mula-mula dilancarkan. Bagaimanapun, alhamdulillah, sebagai Menteri Pelajaran yang berdiri di hadapan semua warga KPM hari ini, saya ingin menyatakan bahawa sekiranya kita ikhlas dan sanggup bekerja dengan bersungguh-sungguh, sesungguhnya Kementerian Pelajaran boleh dan kita akan buktikan bahawa apa yang termaktub akan menjadi kenyataan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

11. Biarpun tahun 2007 begitu padat, begitu mencabar dan memenatkan, namun saya yakin bagi setiap warga kementerian, segala pengalaman yang ditempuhi ini benar-benar memberikan kepuasan, lebih-lebih lagi apabila ia disulami dengan berita-berita gembira dan pencapaian yang membanggakan.

12. Dalam bidang akademik misalnya, keputusan UPSR dan PMR telah menunjukkan peningkatan yang menggalakkan. Bagi UPSR, daripada 500,786 orang calon yang menduduki peperiksaan, sejumlah 48,400 orang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki. Peningkatan yang sama juga dilihat di dalam PMR, di mana jumlah pelajar yang mendapat A meningkat sebanyak 3.2 peratus berbanding tahun 2005. Peningkatan ini menunjukkan usaha kita yang dilaksanakan sepanjang tahun. Program bantuan tambahan, latihan guru, ujian diagnostik, program bacaan tambahan, pelbagai program yang lain yang telah dilaksanakan di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan juga di peringkat sekolah telah memberikan pulangan yang agak memberangsangkan.

13. Kejayaan anak-anak kita menguasai kurikulum dalam bidang-bidang mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Kemahiran Komputer, Tulisan, Ejaan dan Ujian Pencapaian Am di peringkat antarabangsa juga menakjubkan kita. Misalnya kejayaan pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Convent (1) Bukit Nanas, Nur Fatihah Athira Muhamad yang mengharumkan nama negara apabila memenangi dua pingat emas dalam International Competitions and Assessments for Schools (ICAS) 2007. Turut membanggakan adalah pencapaian pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist Kuala Lumpur, Isaac Tay Shao An yang memenangi tiga pingat emas juga di dalam ICAS. Kedua-dua mereka berjaya memenangi pingat emas untuk negara walaupun perlu bersaing dengan lebih 1.7 juta pelajar dari 10 buah negara.

14. Dalam bidang kokurikulum pula, pencapaian pelajar kita juga tidak kurang hebatnya, termasuk di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh dalam bidang sains dan teknologi, kita telah menghantar pelajar-pelajar kita ke pertandingan seperti Kejohanan Dunia Cabaran Teknologi F1 di Australia, International Science and Engineering Fair (ISEF) di Amerika Syarikat, International Chemistry Olympiad (IChO) di Korea, International Physics Olympiad (IPhO) di Singapura, International Mathematics Olympiad (IMO) di Greece, World Robotics Olympiad (WRO) di Cina dan banyak lagi. Pencapaian pelajar kita yang baik di dalam pertandingan-pertandingan ini telah membantu meningkatkan imej Malaysia. Misalnya, dalam 11th World Primary Matematic Contest di Hong Kong, daripada lapan pelajar yang dihantar, empat orang telah mendapat markah sempurna (perfect score) dan dianugerahkan 1st honor seterusnya
membolehkan pasukan negara menjadi johan keseluruhan pertandingan tersebut. Kontinjen Malaysia yang menyertai Kejohanan World Robot Olympiad (WRO) 2007 di Taiwan juga telah mengangkat nama negara dan sistem pendidikan negara setelah berjaya meraih satu Pingat Emas, satu Pingat Perak, 10 Anugerah Kecemerlangan (Excellent Winners Award) dan anugerah Pasukan Paling Popular. Saya minta agar usaha-usaha ini dipertingkatkan lagi di masa hadapan.

15. Dalam bidang sukan, kejayaan pelajar-pelajar kita yang berjaya membantu negara di sukan SEA di Korat baru-baru ini turut membanggakan kita. Daripada 743 atlet negara, 107 merupakan pelajar kita (dan dua orang merupakan guru kita). Daripada jumlah 107 orang ini, 94 orang datang dari keduadua buah sekolah sukan kita dan baki 13 orang lagi dari sekolah harian yang lain. Di Korat, pelajar kita telah membantu negara merangkul 25 pingat emas, 19 pingat perak dan 39 pingat gangsa. Pelajar-pelajar kita telah menyumbang 36 peratus daripada keseluruhan 68 pingat emas yang dipungut oleh kontinjen negara. Pencapaian ini jauh lebih baik daripada Sukan SEA Manila pada tahun 2005, di mana pelajar kita hanya merangkul 16 pingat emas, 9 pingat perak dan 12 pingat gangsa. Lebih membanggakan, dua pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Bryan Nickson Lomas dan Daniel William Bego, merupakan atlet terawal layak mewakili negara untuk bertanding dalam Sukan Olimpik di Beijing pada tahun 2008.
16. Selain pencapaian akademik, kokurikulum dan sukan, kita juga boleh menarik nafas lega kerana jumlah kes disiplin di kalangan pelajar sepanjang tempoh empat tahun sejak tahun 2004 telah menurun. Sedikit sebanyak ini menunjukkan bahawa pendekatan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, KPM dan empat jawatankuasa bertindaknya telah menampakkan kesan yang positif. Statisik menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 0.03 peratus kes disiplin, iaitu daripada 2.13 peratus tahun 2006 kepada 2.10 peratus tahun 2007. Jumlah aduan disiplin yang diterima juga menurun daripada 170 aduan pada tahun 2006 kepada hanya 108 aduan sahaja pada tahun 2007. Kes ponteng sekolah juga menunjukkan penurunan sebanyak 0.07 peratus, iaitu daripada 0.46 peratus pada tahun 2006 kepada 0.39 peratus pada
tahun 2007.

17. Dari segi hukuman pula, bilangan pelajar yang dikenakan hukuman Gantung Sekolah, Buang Sekolah dan Rotan turut berkurang. Peratus kes hukuman Gantung Sekolah telah menurun daripada 0.4 peratus pada tahun 2006 kepada 0.37 peratus pada tahun 2007. Bagi hukuman Buang Sekolah, kesnya telah menurun daripada 0.2 peratus pada tahun 2006 kepada 0.18 peratus pada tahun 2007. Manakala bagi kes hukuman rotan pula, jumlahnya telah menurun daripada 1.4 peratus pada tahun 2006 kepada 1.25 peratus pada tahun 2007.

18. Tentulah satu lagi kejayaan yang menggembirakan adalah kejayaan negara menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO dengan undi yang tertinggi. Bagi setiap yang terlibat ketika itu, kita tahu kejayaan ini dicapai melalui usaha keras bukan sahaja dalam kalangan kita yang berada di sana, tetapi juga semua pihak yang telah berusaha mempromosikan segala pengalaman, kepakaran dan peranan negara dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini membuktikan bahawa sistem pendidikan negara diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Kalau sekiranya ada pihak-pihak di negara sendiri tidak mahu mengiktiraf pencapaian kita, sekurang-kurangnya di persada antarabangsa, sistem pendidikan kita telah dilihat sebagai di antara yang terbaik di dunia.

19. Sebenarnya banyak lagi kejayaan yang telah kita capai di sepanjang tahun lepas. Namun tidak mungkin dapat saya senaraikan semuanya pada kesempatan yang terhad ini. Tetapi apa yang penting, ialah untuk kita jadikan semua cerita kejayaan ini sebagai kegembiraan yang membolehkan kita menutup tirai tahun 2007 dengan senyuman dan menjadi pembakar semangat untuk kita memulakan tahun 2008 dengan penuh keazaman baru.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

20. Segala yang kita lakukan ini, menerusi dua pendekatan dan enam teras yang termaktub di dalam PIPP kita, ialah untuk melaksanakan sebaik-baiknya tanggungjawab dan amanah kita untuk membangunkan modal insan bagi mengisi pembangunan dan kemajuan negara.

21. YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi ada menyatakan bahawa, “Hari ini modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan.” Modal insan merupakan kunci kepada perubahan sosio-ekonomi masyarakat serta
kunci kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara. Persoalannya, modal insan yang bagaimana hendak kita lahirkan melalui sistem pendidikan kita? Tentunya modal insan yang dapat membina negara ini, yang dapat mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara, yang dapat memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat; bukan sekali-kali mereka yang tidak menghormati undang-undang, tidak menghargai keamanan dan keharmonian negara; bukan juga golongan yang merusuh di tepi-tepi jalan, membakar bendera, mempersendakan lagu Negaraku, membuat kekacauan serta meniupkan api perkauman dan permusuhan.
22. Secara ringkasnya kita ingin melahirkan modal insan yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, berkeperibadian mulia dan setia serta sayangkan negara. Secara lebih mendalam, kita mahukan mereka;
* Pertamanya, menjadi pelajar yang seimbang dari aspek jasmani, intelek, rohani dan emosi, kita mahukan pelajar yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, berilmu dan berkemahiran, berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni, berkeyakinan tinggi, berketerampilan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

* Kedua, menjadi pekerja berkualiti yang berintegriti, mempunyai minda kelas pertama, minda teroka, kritis dan juga kreatif, berilmu pengetahuan luas dan sentiasa dahagakan ilmu, berkemahiran tinggi menguasai kemahiran ICT, berfikiran terbuka, berprinsip, reflektif, sanggup mengambil risiko, mampu berkomunikasi dengan berkesan dan sentiasa sanggup ke hadapan untuk mencipta teknologi baru.

* Ketiga, yang mampu menjadi pemain global, kita hari ini dalam dunia yang tanpa sempadan terpaksa bersaing dengan anak-anak bangsa lain di dunia, maka anak-anak kita perlu menjadi pemain global yang berdaya saing tinggi, berdaya tahan, menguasai pelbagai bahasa, terutama bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di samping terus berpegang teguh kepada jati diri, identiti dan bahasanya sendiri.

* Keempat, menjadi warganegara yang bertanggungjawab, iaitu warga negara yang bersikap patriotik, berbudi, komited, adil, penyayang, sentiasa sanggup menyumbang bakti dan boleh menjadi pemimpin yang berkesan kepada keluarga dan juga masyarakat. Pada masa yang akan datang, saya percaya bahawa negara yang paling berjaya adalah negara yang benar-benar berusaha untuk meneroka, membangun dan memanfaatkan potensi serta bakat dan menyuntik nilai-nilai murni di dalam jiwa dan sanubari anak-anak bangsanya, bukan hanya kepada segelintir, sebahagian mereka yang berada di sini tetapi ke semua modal insan yang ada di negara kita.

23. Negara memerlukan ciri-ciri modal insan yang sebegini untuk berjaya. Bagaimanapun pada masa akan datang, saya percaya bahawa negara yang paling berjaya adalah negara yang benar-benar berusaha untuk meneroka, membangun dan memanfaatkan potensi serta bakat bukan hanya segelintir, tetapi kesemua modal insan yang mereka ada.

24. Misi kita adalah untuk memastikan kesemua generasi muda kita diberi pendidikan sebaik-baiknya dan tidak membiarkan manamana pelajar ketinggalan di dalam pembelajaran mereka, apa lagi tercicir dari sistem persekolahan kita. Sasaran kita adalah keciciran sifar – bermakna pada masa hadapan, iaitu selepas kita melaksanakan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan kita, tidak ada lagi alasan, tidak ada lagi tolak ansur dan tidak ada lagi maaf bagi sekolah yang membiarkan walau seorang pelajar pun yang gagal tanpa sebarang tindakan menghalangnya.

24. Kerajaan yang bertanggungjawab telah melaksanakan yang terbaik untuk memastikan setiap anak-anak kita mempunyai akses terhadap pendidikan. Kita telah pun memastikan bahawa akses ini terbuka luas kepada mereka berkeperluan khas, yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman dan hari ini kita telah melangkah setapak lagi dengan usaha kita untuk memberikan akses kepada anak-anak yang berada di jalanan dan juga banduan-banduan.

25. Untuk pelajar di peringkat sekolah rendah, kita telah memulakan langkah ini dengan baik melalui pengenalan Dasar Pendidikan Wajib pada tahun 2003 yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah bagi mengikuti pendidikan pada peringkat rendah. Bagi menyokong dasar ini, KPM juga telah memantapkan lagi pelaksanaan pelbagai usaha membasmi keciciran, termasuk dengan menyediakan pendidikan awal melalui program prasekolah, meningkatkan penguasaan kemahiran 3M dan merangka program khas untuk Orang Asli dan Penan.

26. Usaha merapatkan jurang pendidikan dapat dilihat melalui penyediaan pelbagai bentuk kemudahan agar semua anak-anak kita yang berada di luar bandar dan yang berkerluan khas mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Melalui program Lonjakan Saujana Pendidikan Luar Bandar, semua usaha bagi merapatkan jurang pendidikan dipakejkan, termasuklah usaha untuk membangunkan infrastuktur sekolah yang daif dan kurang murid, meningkatkan kadar penyertaan murid serta meningkatkan bilangan guru terlatih dan mengikut opsyen. Saya faham, mungkin ada liputan-liputan media semalam yang menyatakan ada lagi sekolah-sekolah kita yang perlu kita beri tumpuan. Kalau Datin di Selangor terpaksa melaluinya bayangkan Menteri Pelajaran yang kerdil ini yang perlu bertanggung jawab terhadap ribuan sekolah, jutaan pelajar dan guru yang terlibat.

27. Bagi penggal persekolahan 2008 contohnya, selain daripada usaha-usaha yang saya sebutkan tadi, pelbagai jenis bantuan juga telah disediakan. Semalam saya telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM 2.57 bilion untuk bantuan-bantuan tambahan bagi tahun ini yang merupakan peningkatan sebanyak 53 peratus daripada jumlah tahun lepas. Bagaimanapun kita masih belum berpuas hati. Saya telah berbincang dengan Tan Sri KSU dan jumlah ini akan kita pertingkat dan perbanyakkan lagi melalui penjimatan daripada saluran-saluran lain kepada sebanyak RM 3 bilion ringgit. Sekiranya peruntukan tambahan ini dapat diadakan, ia merupakan sekitar 12 peratus daripada peruntukan belanja mengurus tahunan KPM dan 78 peratus lebih tinggi daripada peruntukan yang diberikan dalam tahun 2007.

28. Daripada jumlah itu, RM 343 juta diperuntukkan untuk Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan RM 246.9 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen (SBT) yang turut termasuk bantuan makanan kepada 478,000 pelajar yang mengikuti SBT ini. Bagi mengurangkan risiko keciciran dalam kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman pula, Asrama Harian disediakan untuk menempatkan para pelajar. Sehingga kini, terdapat 1,397 buah asrama harian yang menempatkan lebih 250,000 pelajar. Untuk memudahkan perjalanan pergi dan pulang para pelajar dan sebarang aktiviti seperti lawatan dan sebagainya, sebanyak RM 9.1 juta lagi disediakan sebagai Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid.

29. Pada tahun 2007, bagi menyediakan makanan yang berkhasiat untuk pelajar-pelajar miskin, kerajaan telah menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM 1.20 dan RM 1.35 kepada RM 1.80 di Semenanjung dan RM 2.05 di Sabah, Sarawak dan WP Labuan, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi tahun 2008, RM 276 juta. RM 26.7 juta diperuntukkan untuk Program Susu Sekolah yang akan dimulakan semula pada tahun ini menggunakan pendekatan dan mekanisme baru. Manakala sebanyak RM 50 juta diperuntukkan untuk Bantuan Makan Khas Prasekolah. Bagi anak-anak yang berada di asrama pula, kadar Bantuan Makanan Asrama pula telah dinaikkan antara RM 9.50 dan RM 12 menjadikan peruntukan pada tahun 2008 meningkat daripada RM 665 juta bagi tahun 2007 kepada sebanyak RM 1.14 bilion pada tahun 2008. Selain itu, Kadar Biasiswa Kecil Persekutuan juga telah dinaikkan daripada RM 50 kepada RM 70 sebulan. Dengan kenaikan ini, jumlah yang diperuntukkan pada tahun 2008 untuk Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti dan Skim Biasiswa Sukan telah meningkat kepada RM 268.5 juta.

30. Semasa pembentangan bajet 2008, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan lebih banyak bantuan lagi untuk sesi persekolahan tahun 2008. Paling penting adalah pemansuhan yuran khas sekolah bernilai RM 4.50 bagi murid sekolah rendah dan RM 9.00 bagi pelajar sekolah menengah dan memberikan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua pelajar sejajar dengan hasrat untuk menyediakan pendidikan percuma di negara ini. Langkah ini merupakan satu lagi usaha untuk meringankan bebanan ibu bapa selepas pemansuhan semua yuran peperiksaan awam pada tahun 2007. Agar pelajar miskin dapat mengikuti program kokurikulum dengan lebih sempurna, sebanyak RM 188.8 juta setahun diperuntukkan bagi mengadakan Elaun Pakaian Seragam Unit Beruniform kepada murid di Tahap Dua sekolah rendah dan pelajar di sekolah menengah.

31. Berikutan langkah ini, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM36.7 juta bagi pemansuhan yuran sekolah; RM 255 juta bagi pemansuhan yuran peperiksaan awam; dan RM 300 juta setahun untuk menyediakan buku teks kepada semua pelajar. Segala bantuan yang dinyatakan tadi hanyalah merupakan bantuan yang disediakan oleh KPM dan tidak termasuk bantuan-bantuan yang diagihkan oleh kementerian lain dan juga agensi lain. Saya berharap ramai ibu bapa boleh menarik nafas lega di atas kemurahan hati kerajaan ini.
32. Sebenarnya bila saya di lantik sebagai Menteri Pelajaran, ramai kawan-kawan mengucapkan takziah kepada saya. Bagi mereka, kementerian ini sebuah kementerian yang tidak berbaloi kerana orang tidak akan berterima kasih tetapi di hadapan warga kementerian, terus terang saya ingin menyatakan bahawa sepanjang tempoh tiga tahun saya berada di KPM, saya merasai satu kepuasan yang susah dinilai dan saya amat berterima kasih di atas segala kesungguhan yang ditunjukkan oleh tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

33. Usaha untuk memastikan semua modal insan mendapat pendidikan yang sempurna dan berkualiti perlu dimulakan di sekolah-sekolah kebangsaan. Ini bukan isu perkauman, warna kulit atau agama kerana 80.5 peratus daripada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran merupakan sekolah kebangsaan dan 83.8 peratus daripada pelajar kita belajar di sekolah-sekolah ini. Pelbagai usaha telah dibuat untuk memperkasakan sekolah kebangsaan termasuk menawarkan subjek Bahasa Cina (BC) dan Bahasa Tamil (BT) serta mengukuhkan subjek Pendidikan Islam melalui program Jawi, AlQuran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (jQAF). Pada tahun ini sudah terdapat sebanyak 250 buah SK yang telah menawarkan kelas Bahasa Cina (BC) dan 120 buah SK yang menawarkan kelas Bahasa Tamil (BT) secara rintis. Jumlah pelajar yang mengikuti kelas BC adalah seramai 3,510 orang manakala BT pula, seramai 913 orang. Manakala jumlah sekolah yang menawarkan jQAF pula adalah sebanyak 4,205 buah melibatkan 14,956 orang guru dan 1.03 juta orang pelajar. Sehingga Disember, sebanyak 30 buah makmal jQAF dibina di sekolah yang terlibat dan dijangkakan sebanyak 150 buah lagi akan siap pada tahun 2008. InsyaAllah kajian sedang dibuat untuk memperkembangkan pula pendekatan jQAF ke peringkat menengah agar mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah menengah dapat diperkukuhkan lagi. Sejak diperkenalkan, semakin ramai anak-anak kita di sekolah kebangsaan yang telah khatam alQuran sebelum mereka menamatkan tahun enam. Pada tahun 2006, terdapat seramai 1,800 pelajar kita di seluruh negara yang khatam alQuran dan jumlahnya meningkat kepada 2,560 pelajar pada tahun 2007.

34. Bagaimanapun usaha memperkasa Sekolah Kebangsaan ini akan dilaksanakan tanpa perlu menyekat kewujudan sekolah-sekolah aliran yang lain kerana kita tidak melihat sekolah-sekolah
berlainan aliran ini, termasuk sekolah beraliran agama sebagai saingan atau ancaman. Sebaliknya kita melihat kepelbagaian ini sebagai suatu kekuatan yang dapat meningkatkan daya saing negara. Dalam masa dunia terkapai-kapai mencari jalan untuk mengelakkan pertembungan tamadun dan di antara penganut-penganut agama yang pelbagai, kita di Malaysia telah pun mengamalkannya dan membuktikan kepada dunia bahawa di dalam kepelbagaian ini ada kekuatan. Dalam kepelbagaian ini, kita mampu mengetengahkan anak–anak bangsa yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, sebaris dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Dengan kepelbagaian ini juga kita dapat menyediakan satu sistem pendidikan bukan sahaja untuk memenuhi kehendak semua pihak, tetapi juga untuk melahirkan modal insan yang membawa erti dan makna yang sebenar bagi sebuah negara maju Malaysia menjelang tahun 2020.

35. Jika terdapat tuduhan bahawa kerajaan mengabaikan SJK, saya ingin menyatakan bahawa tuduhan ini tidak benar sebaliknya bermotif jahat. Saya hendak maklumkan kepada orang ramai, jumlah SJKC yang merupakan sekolah kerajaan adalah sebanyak 405 buah dan SJKT, sebanyak 149 buah. Sekolahsekolah ini layak untuk menerima segala bantuan sama seperti yang diberikan kerajaan kepada SK berstatus sekolah kerajaan. Bagi SJK berstatus bantuan modal pula, mereka juga menerima peruntukan mengurus sama seperti yang diperoleh oleh Sekolah Kebangsaan berstatus bantuan modal. Bagi tahun 2006 – 2007, jumlah peruntukan belanja mengurus yang diterima oleh SJKC adalah sebanyak RM 2.27 bilion dan bagi SJKT, sebanyak RM 923 juta. Dari segi peruntukan pembangunan pula untuk tahun 2007, SJKC telah menerima peruntukan sebanyak RM 174.3 juta dan SJKT pula sebanyak RM 64.8 juta. Semua peruntukan ini tidak termasuk peruntukan yang diberikan secara bantuan modal dan bantuan akibat bencana atau atas sebab-sebab kecemasan. Pada waktu yang sama, sejumlah kelulusan juga telah diberikan untuk mengalihkan SJKC dan SJKT yang kurang enrolmen ke kawasan-kawasan baru. Jadi kita perlu bangga dan berani berhadapan dengan mereka yang berfikiran sempit, yang sanggup menggunakan isu-isu yang tidak munasabah dan yang hanya ingin menjadi popular dan kita tunjukkan bahawa jika dibandingkan jumlah sekolah kebangsaan dengan sekolah pelbagai aliran yang ada, kita telah melakukan sebaik yang mungkin. Memang ada cacat cela dalam beberapa pendekatan kita, tetapi ini tidak bermakna bahawa tuduhan-tuduhan mereka yang liar ini dapat diterima. Sebab itu, saya meminta setiap warga KPM bangkit dan menyatakan kepada mereka bahawa tuduhan liar mereka ini tidak boleh diterima di dalam Kementerian Pelajaran Malaysia.

36. Pada waktu yang sama, KPM akan meneruskan usaha untuk memantapkan lagi pendidikan agama Islam dan meningkatkan kualiti pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan juga Sekolah Agama Negeri (SAN). SAR dan SAN akan terus ditawarkan tempat untuk bernaung di bawah kementerian bagi membolehkan sekolah-sekolah ini menerima bantuan seperti yang diterima oleh sekolah bantuan kerajaan yang lain. Sejak pendaftaran sekolah-sekolah ini sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebanyak RM 147.5 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk menaik taraf sekolah-sekolah ini dan seramai 35,722 orang pelajar telah menerima manfaat daripadanya. Tugas kita bukan untuk merampas tanah mana-mana pihak dan bukan untuk merampas kuasa mana-mana lembaga sekolah, tetapi bagi menunjukkan bahawa Pendidikan Islam bukan seperti yang dituduh dan didakwa, iaitu bukan sarang untuk melahirkan pengganas dan pengebom berani mati serta Islam bukan agama yang tidak mampu meneroka teknologi dan tidak mampu memahami kehendak dunia hari ini. Jelas, beberapa buah negara yang datang untuk melihat sendiri sistem pendidikan Islam di negara ini telah menyatakan kepada saya bahawa sistem pendidikan agama Islam kita boleh dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini.

37. Dengan pengiktirafan tadi dan dengan pengakuan bahawa kepelbagaian itu dilihat sebagai suatu kekuatan, tidak bermakna bahawa kita tidak akan berusaha memperhebatkan lagi program-program integrasi dan interaksi. Program-program ini diperhebatkan lagi dan ini tidak terhad kepada sekolah-sekolah agama dan SJK sahaja, tetapi juga akan melibatkan sekolah-sekolah swasta dan sekolah-sekolah antarabangsa. Kita hendak program-program di dalam RIMUP seperti integrasi, akademik, kokurikulum dan sukan diperhebatkan lagi dan semalam dalam pertemuan saya dengan guru-guru di Sekolah Puay Chai, mereka telah bersetuju untuk memperhebatkan lagi program integrasi dalam kalangan sekolah pelbagai aliran ini. Ini merupakan satu cabaran yang mesti kita laksanakan dalam tahun 2008 ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

38. Saya sentiasa berpegang kepada kepercayaan bahawa setiap anak kita mempunyai bakat dan potensi yang berbeza. Tempoh yang diambil untuk bakat dan potensi mereka berkembang juga tidak sama. Tugas utama kita adalah membuka seluas-luas ruang dan peluang bagi anak-anak kita ini memperkembangkan potensi diri mereka serta melengkapkan diri mereka dengan sebanyak mungkin kemahiran yang relevan dengan keperluan hari ini. Trend dunia ketika ini adalah untuk melihat ke arah penyediaan satu sistem pendidikan yang lebih bersifat holistik dan perseorangan (personalised) berbanding amalan sedia ada.

39. Ini merupakan rasional kenapa kita ingin meneliti semula kurikulum kebangsaan kita serta merintis pendekatan bagi membuat perubahan terhadap kurikulum dan bidang kokurikulum. Kita juga mahu agar Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dirombak dan direformasi bagi melahirkan pelajar yang benar-benar menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

40. Sistem pentaksiran yang ingin kita laksanakan nanti diharap dapat mengurangkan risiko keciciran, melahirkan pelajar yang benar-benar menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran, menjadikan guru sebagai pemudah cara yang berkesan, mengurangkan peperiksaan berpusat dan sekaligus mengurangkan tekanan peperiksaan yang dihadapi oleh pelajar, guru dan ibu bapa. Dengan pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran yang bersifat alternatif dan autentik seperti pentaksiran kerja kursus, projek, persembahan, aktiviti jasmani, kokurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri murid boleh dilaksanakan. Melalui pentaksiran itu bukan sahaja penguasaan murid dapat dilaporkan, malahan proses pembinaan modal insan dapat diteruskan.

41. Penekanan terhadap Peperiksaan Pusat pula akan dikurangkan melalui pelbagai cara seperti mengurangkan bilangan mata pelajaran yang boleh diambil oleh murid, mengadakan jadual yang lebih fleksibel serta mengasingkan peperiksaan aliran vokasional daripada aliran akademik. Untuk mengurangkan tekanan peperiksaan pusat juga, KPM bersetuju mulai tahun ini, untuk memperkenalkan Jadual Waktu Berperingkat (JWB) bagi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang juga bertujuan untuk mengurangkan masalah ponteng sekolah selepas peperiksaan pusat sebelum cuti akhir tahun persekolahan.

42. Bagi memastikan reformasi ini terlaksana dengan lancar, tidak boleh dielak, golongan guru dari kepimpinan sekolah memainkan peranan yang sangat utama. Trend dunia menunjukkan, sistem pendidikan terbaik merekrut hanya mereka yang terbaik saja untuk pendidikan. Finland
misalnya hanya merekrut dalam kalangan 10 peratus teratas calon yang paling cemerlang, manakala Hong Kong pula, 30 peratus teratas. Trend dunia menunjukkan bahawa sekolahsekolah cemerlang menghantar sendiri guruguru mereka mengikuti program latihan dan pembangunan profesional secara berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran mereka. Kita mula dengan sekolah-sekolah kluster kita tahun ini juga.

43. Boleh dikatakan kita telah mengambil pendekatan yang wajar dan betul sejak tahun 2004, apabila memberi tumpuan kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Dalam PIPP, lima strategi utama kita di dalam teras Memartabat Profesion Keguruan adalah pertama, menambah baik sistem pemilihan calon guru; kedua, memantapkan latihan perguruan; ketiga, memantapkan kerjaya guru; keempat, menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru; dan kelima, memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia.

44. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh menafikan, dalam masa yang begitu singkat, pelbagai usaha untuk memartabatkan profesion keguruan telah dapat kita laksanakan. Dalam usaha untuk memantapkan latihan perguruan, KPM telah menggubal Kurikulum Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan kerjasama Fakulti Pendidikan universiti awam tempatan dan luar negara. Bagi membantu meningkatkan lagi kelayakan ikhtisas para tenaga pengajar di IPG, KPM mensasarkan penawaran sebanyak 503 Hadiah Latihan Persekutuan untuk pengajian peringkat doktor falsafah dan 2,051 lagi untuk pengajian peringkat sarjana di sepanjang tempoh 2006 hingga 2010. Di samping itu juga, di bawah Program Pensarjanaan Tenaga Pengajar IPG pula, sebanyak 1,380 penajaan dalam bentuk biasiswa atau hadiah akan ditawarkan kepada pensyarah di sepanjang tempoh 2007 hingga 2010.

46. Bagi memastikan kerjaya guru terus menarik kepada calon yang terbaik, usaha telah dilaksanakan untuk menambah baik lagi skim perkhidmatan sedia ada. Pada 1 hb. Julai 2007, Kerajaan telah menunjukkan keprihatinan terhadap sumbangan para guru dengan membolehkan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma mempunyai empat lapisan gred iaitu Gred DGA29, DGA32, DGA34 dan DGA38. Kewujudan sebanyak 1,700 jawatan untuk sebaran lima (5) tahun yang dikhaskan kepada Guru Besar Sekolah Kluster dan Guru Besar Cemerlang Sekolah Rendah bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan kompleksiti tanggungjawab para Guru Besar tetapi juga telah menyediakan faedah dan kenaikan gaji yang lebih baik. Sehingga kini, sebanyak 338 orang PPPLD yang telah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat dan telah ditawar ke jawatan tersebut.

47. Sebagaimana yang kita sedia maklum pada Oktober 2006, kerajaan telah meluluskan penambahan kuota Pengetua dan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan PPPLD. Urusan kenaikan pangkat ini telah dibuat secara berperingkat-peringkat dalam tahun 2007. Sehingga kini, seramai sepuluh orang Pengetua Cemerlang JUSA C, tiga orang Pengetua Cemerlang Gred DG54 dan 300 orang Pengetua Cemerlang Gred DG52 telah dilantik dan sedang berkhidmat di IPG dan sekolahsekolah.Bagi Guru Cemerlang Gred Khas C pula, seramai 19 orang telah dilantik, Guru Cemerlang DG54, 11 orang, Guru Cemerlang DG52, 39 orang, Guru Cemerlang DG48, 497 orang dan Guru Cemerlang Gred DG44, seramai 74 orang. Bagi Guru Cemerlang PPPLD seramai 112 orang Guru Cemerlang gred DGA34 dan 1,436 orang Guru Cemerlang gred DGA32 telah dilantik. Selain itu, dalam urusan kenaikan pangkat secara Time Based sebanyak 34,795 orang PPPLD gred DGA29 telah dinaikkan pangkat ke gred
DGA32, manakala 7,393 orang PPPS telah dinaikkan pangkat ke gred DG 44 dan 253 PPPS DG44 ke gred DG48. Adalah diharapkan pengisian kuota-kuota Pengetua dan guru cemerlang dapat dipercepatkan lagi untuk membolehkan mereka yang cemerlang dan masih berada di dalam sistem ini, menikmati manfaat tersebut dan sekaligus meningkatkan sumbangan mereka dalam melonjakkan kecemerlangan institusi masing-masing.

48. Banyak yang telah kita lakukan dan sekali lagi kita mendapat pengiktirafan, malah ucapan terima kasih pun tidak diluahkan. Bila membuat rayuan untuk masuk ke IPG, mereka sanggup tunggu di luar pintu menteri setiap hari dan SMS berulangulang kali. Bila menteri beri syarat jangan pilih lokasi dan perlu sanggup mengajar di luar bandar, mereka kata, “tak apa Dato’, kalau Dato’ arah esok, esok saya ke Sabah dan Sarawak pedalaman”, “tak apa Dato’ demi pengorbanan dan perjuangan, saya sanggup tunggu,” tetapi semalam saya dengar ada yang tidak tahan lagi, tidak larat tunggu dan mengadu. Sabar sajalah kita.

49. Seperti yang saya pernah sebutkan, hasrat kita di dalam usaha memartabatkan profesion keguruan ini adalah bukan sahaja untuk melahirkan guru yang berkualiti, tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu memastikan mereka yang berkualiti ini kekal di dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Amat menyedihkan apabila saya, timbalan-timbalan menteri dan setiausaha parlimen, Dato’ Alimuddin, Tan Sri Zul dan pegawai-pegawai kita membuat lawatan di negara-negara jiran dan melihat ramai guru-guru kita yang mengajar di negara-negara luar negara sendiri. Jadi usaha yang kita lakukan ini bukan hanya untuk menyenangkan dan mengiktiraf profesion perguruan, tetapi sekurang-kurangnya harapan saya ialah untuk memastikan bukan sahaja guru-guru kita berkualiti kita ini kekal di dalam sistem pendidikan.

50. Saya percaya bahawa pencapaian cemerlang anak-anak kita datang dari usaha serta kebijaksanaan yang konsisten guru-guru kita, iaitu profesional yang tidak pernah jemu berusaha; yang mengajar dengan lebih baik pada hari esok dan sentiasa belajar dari kelemahan hari ini; yang tidak pernah mengalah apabila pelajar mereka ketinggalan, jauh dari menganggap bahawa mereka ini tidak cerdik, malas atau kurang berupaya sebaliknya bertanya kepada diri sendiri apa lagi yang perlu aku lakukan agar pelajar mereka dapat menguasai setiap yang diajar.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

51. Kita bersyukur hari ini, dunia telah memberi pengiktirafan kepada sistem pendidikan di Malaysia. Justeru kita akan meneruskan agenda pengantarabangsaan sistem dan institusi pendidikan pada tahun ini. Melalui agenda kita ini, kita harap dapat mendedahkan pelajar dengan persaingan global sejak awal lagi. Kita juga mahu mereka belajar menghargai perbezaan negara dan bangsa lain agar mereka mampu beradaptasi sebagai warga global dengan baik. Usaha-usaha juga akan dibuat bagi meningkatkan kepakaran para pegawai dan warga pendidik di peringkat antarabangsa. Usaha-usaha pengantarabangsaan ini penting sejajar dengan hasrat kita untuk menjadikan sistem pendidikan negara sebagai benchmark atau penanda aras sekurangkurangnya kepada negaranegara yang berdekatan khususnya di rantau Asean dan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

52. Hari ini kita gembira kerana kurikulum kita menjadi rujukan negara-negara tertentu di dunia. Misalnya, kurikulum Pendidikan Islam kita telah mendapat pengiktirafan daripada International Bureau of Education di Geneva dan telah dijadikan sebagai rujukan bagi menggubal kurikulum Pendidikan Islam di Afghanistan. Selain itu, Thailand juga memohon agar Malaysia membantu mereka menggubal kurikulum Pendidikan Islam dan latihan perguruan di Selatan Thailand. Kita juga telah diminta untuk memberikan taklimat kepada negaranegara lain seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia.

53. Salah satu hasrat KPM ialah menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau di samping melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara ke tahap dunia. Untuk mencapai tujuan ini, pelbagai program dalam bentuk kerjasama telah dirintis dengan universiti berprestij di luar negara seperti di Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia, New Zealand dan China. Ia meliputi program seperti Program Kembar Bachelor of Education (TESL), program Pelajar Cemerlang yang dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru, Program Pelajar Cemerlang Tenaga Pengajar Kolej Matrikulasi yang dikendalikan Bahagian Matrikulasi, Program Kolaborasi PISMP, Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Program bersama Bejing Foreign Studies University dalam Bahasa Cina sebagai bahasa kedua dan Program Kolaborasi Sarjana Muda Pengajaran Sekolah Rendah yang melibatkan kerjasama Malaysia dengan sembilan (9) buah universiti luar negara. KPM juga telah merintis kerjasama dengan Universiti FancheComte, Perancis untuk Program Bahasa Perancis. Kita juga telah membina hubungan dua hala dengan negara seperti Singapura dan China yang saya yakin akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak perkongsian pengalaman dan bertukar pandangan berhubung bidang pendidikan secara lebih terarah dalam program-program pembangunan sukan, apresiasi seni dan pendidikan khas.

54. Pada masa yang sama, latihan perguruan kita turut mendapat pengiktirafan antarabangsa. Setakat ini, negara-negara Asean telah menghantar guru-guru mereka untuk menjalani latihan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan di IPG kita. Pada bulan ini, sekumpulan pelajar dari Universiti Regina, Saskatchewan, Kanada akan menjalani program sandaran selama satu semester di Institut Perguruan Persekutuan di Pulau Pinang. Ini adalah petunjuk kepada kualiti sistem pendidikan negara kita yang telah membuka mata dunia dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

55. Tidak lama lagi, iaitu di dalam bulan Mac, kita akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Majlis Pertubuhan MenteriMenteri Pelajaran Asia Tenggara ke 43 (SEAMEC) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN ke 3 (ASED). Satu Persidangan ICT yang melibatkan bukan sahaja negara-negara anggota ASEAN, malah negara-negara luar yang lain akan turut diadakan secara ‘backtoback’ dengan SEAMEC. Pada bulan yang sama juga, kita akan menjadi tuan rumah kepada Cabaran Teknologi F1 peringkat antarabangsa yang diadakan secara `backtoback’ dengan Grand Prix F1 di Sepang. Ini merupakan masa yang terbaik untuk memasarkan Malaysia dan sistem pendidikan negara kepada dunia. Dengan perancangan yang tersusun, persidangan tersebutakan mampu menjadi ‘showcase’ bagi memperkukuhkan inisiatif Kementerian Pelajaran untuk meletakkan pendidikan Malaysia di platform antarabangsa. Saya yakin Kementerian Pelajaran Malaysia boleh dan jika saya tidak berkeyakinan tidak mungkin saya akan menawarkan untuk menganjurkan mesyuarat-mesyuarat sebegini. Saya cukup yakin kita dapat melakukannya. Disebabkan itu, baru-baru ini saya telah menjemput semua Menteri Pelajaran dari 54 buah negara Komanwel untuk datang ke Malaysia pada tahun 2009 bagi melihat sendiri kejayaan dan pencapaian kita di Malaysia. YAB Perdana Menteri di CHOGM baru-baru ini, telah memberitahu kepada saya bahawa semua pemimpin-pemimpin negara anggota juga telah bersetuju agar kita menjadi tuan rumah kepada persidangan ini pada tahun 2009.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

56. Dalam laporan terbaru UNESCO EDUCATION COUNTS, Benchmarking Progress in 19 World Education Indicators (WEI) Countries 2007 disebut bahawa Malaysia dan Tunisia mempunyai pelaburan awam yang besar dalam pendidikan berbanding kebanyakan negara di dalam Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD). Malaysia juga merupakan di kalangan negara dalam WEI yang berbelanja paling tinggi untuk pendidikan, iaitu 5.8 peratus daripada KNK negara. Segala ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan di kalangan rakyat negara ini.

57. Segala ini menunjukkan kita berada di atas landasan yang tepat, tetapi kita tidak boleh berasa terlalu selesa. Ketika ini di seluruh dunia, kualiti dan tahap pendidikan negara-negara lain semakin meningkat dan peningkatan ini berlaku terlalu cepat dan terlalu pantas. Seperti yang saya pernah katakan, sistem pendidikan kita ketika ini berada di persimpangan dan sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh mengekalkan momentum yang ada ini, tidak mustahil lima tahun akan datang negara kita akan jauh ketinggalan ke belakang negara-negara yang sedang mengejar kita. Tindakan dan keputusan yang hendak kita ambil hari ini bukan sahaja amat kritikal untuk kemakmuran jangka panjang negara malah lebih penting daripada itu, iaitu untuk survival generasi muda masa hadapan.

58. Saya hendak memaklumkan kepada tuan-tuan dan puan-puan, pada hari yang mulia ini, di dalam majlis yang diberkati ini, bahawa saya mempunyai barisan kepimpinan tertinggi dan kanan di Kementerian Pelajaran yang boleh kita harapkan. Bukan yang dahulu tidak boleh diharap, tetapi sekurang-kurangnya hari ini, saya sudah memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing dan mereka juga memahami kehendak Menteri Pelajaran. Kita mempunyai tiga tahun lagi untuk merintis pembaharuan dan melihat bagaimana kita dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan pelaksanaan kita. 2008 ialah permulaan untuk kita menunjukkan bukan sahaja kejayaan–kejayaan dalam tahun 2007 tetapi juga masa untuk kita mula menganjakkan sistem pendidikan kita ke suatu tahap yang lebih tinggi lagi. Bagaimanapun semua ini tidak bermakna jika negara kita tidak aman, tidak makmur, tidak stabil dari segi politik dan tidak kukuh dari segi ekonomi. Kita telah berjaya mengadakan pendidikan kepada semua rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, tidak kira kedudukan kaum dan agama. Seperti yang di sebut oleh Menteri Pelajaran Palestin semasa sidang meja bulat di UNESCO Oktober lalu, sebuah negara hanya dapat memberikan pendidikan yang baik kepada rakyatnya sekiranya ada kestabilan politik dan ekonomi di dalam negara sendiri. Hari ini selepas hampir empat tahun diberi mandat, kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa sebahagian besar janji-janji berkaitan bidang pendidikan di dalam manifesto kita telah ditunaikan.

60. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah bekerja keras, komited, ikhlas dan jujur sepanjang tahun 2007. Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, saya telah melihat sendiri kemahiran, kemampuan dan kesungguhan setiap warga Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesungguhnya kita memerlukan arah tuju yang jelas, kita memerlukan kepimpinan yang berkesan serta penyatuan hati, tenaga dan fikiran semua warga Kementerian Pelajaran untuk menjayakan amanah bangsa, agama dan negara yang telah dipikulkan di atas kepala dan bahu kita ini. Marilah sama-sama kita merintis ke arah perubahan masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sekian, terima kasih.
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.