SAMPAIKAH BACAAN AL QURAN KEPADA ORANG YANG TELAH MATI ?

Jenazah

Untuk pengetahuan anda, di Negeri Sembilan telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat di negeri ini memberi sedikit saguhati kepada pembaca al-Quran untuk menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati. Sehingga timbul pelbagai persoalan mengenai hukum bacaan al-Quran tersebut sama ada sampai atau tidak.

Perkara ini memang sudah lama menjadi perselisihan pendapat diantara ulama’ sejak dari zaman dahulu lagi. Untuk tidak berlaku bias dan berat sebelah. Saya mengemukakan kedua-dua pendapat tersebut untuk tatapan anda.

PENDAPAT PERTAMA : TIDAK SAMPAI

Ada antara mereka berhujahkan hadith berikut untuk membolehkan membaca surah Yasin sama ada untuk menghapuskan dosa si mati atau mengirim pahala bacaan tersebut kepada si mati :

“Barangsiapa yang menziarahi kubur orang tuanya atau salah seorang dari keduanya pada hari Jumaat, kemudian membacakan surah Yasin, maka akan diampunkan dosanya”.

Hadith di atas ini adalah hadith batil, palsu atau tidak ada asal usulnya. Terdapat di dalam sanadnya seorang yang bernama ‘Amar yang dikenali sebagai pemalsu hadith dan banyak meriwayatkan hadith-hadith yang batil. Imam Daraqutni berkata tentang ‘Amar : “Amar adalah seorang pemalsu hadis”.

Terdapat beberapa ulama’ yang sezaman dengan Imam Syafie yang telah mengharamkan kenduri arwah, salah seorang dari mereka ialah sahabat Imam Syafie bernama Imam Muzani.

Beliau menolak pendapat mereka yang membolehkan kenduri arwah, malah beliau telah menfatwakan tentang pengharaman mengirim (menghadiahkan) pahala dari bacaan al-Quran untuk menyelamatkan orang mati sebagaimana yang diamalkan dalam majlis kenduri arwah, beliau berkata :

“Rasulullah S.A.W telah memberi tahu sebagaimana Allah memberi tahu : Bahawa dosa tiap-tiap orang adalah buat kecelakaan dirinya sendiri sebagaimana amalannya itu buat kebaikan dirinya sendiri bukan untuk kecelakaan orang lain”.

Terdapat juga segolongan mereka yang berhujjahkan fatwa Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah yang pernah membolehkan perbuatan mereka yang menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang yang telah mati.

Namun kenyataannya beliau telah ruju’ (menarik balik dan membatalkan fatwa beliau), yang mana beliau telah menegaskan:

“Bahawa bukan menjadi suatu kebiasaan bagi para Salaf al-Soleh apabila mereka mengerjakan solat-solat sunnah, berpuasa, haji dan membaca al-Quran lalu pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah mati”

Penarikan semula fatwa beliau yang pada asalnya membolehkan (menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati) kemudian mengharamkannya, ianya boleh ditemui di dalam kitab Ali Abdul al-Kafi as-Subki “Takmilatul Majmu”

Di dalam kitab “Syarah Muslim” Imam an-Nawawi telah menjelaskan pendapat Imam as-Syafietentang perbuatan yang diamalkan dalam majlis kenduri arwah iaitu pengiriman pahala kepada orang mati. Beliau berkata :

“Adapun bacaan al-Quran maka yang masyhur dikalangan mazhab Syafie bahawa tidak sampai pahala bacaan yang dikirim kepada orang yang telah mati”.

Sekali lagi beliau menjelaskan bahawa :

“Adapun pembacaan al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada orang mati, membayar solatnya dan sebagainya, maka menurut Imam Syafie dan jumhur ulama Syafie adalah tidak sampai kepada si mati. Penjelasan seperti ini telah diulang-ulang (oleh Imam Muslim) dalam kitab syarah Muslim”.

Syeikh al-Haitami juga telah menjelaskan :

“Mayat tidak boleh dibacakan al-Quran sebagaimana keterangan yang ditetapkan oleh orang-orang terdahulu, bahawa bacaan al-Quran pahalanya tidak sampai kepada si mati, lantaran pahala bacaan hanya untuk si pembaca. Pahala amalan pula tidak boleh dipindah-pindahkan dari si pembuat berdasarkan firman Allah S.W.T : Dan manusia tidak memperolehi pahala kecuali dari amalan yang dikerjakannya sendiri”.

Ada yang berpendapat bahawa ayat 39 di surah an-Najm ini telah dan dimansuhkan oleh ayat 21 di surah ath-Thur. Imam Syaukani menolak pendapat ini dan beliau berkata:

Adapun makna dari ayat: (Seseorang tidak akan mendapat melainkan atas usahanya sendiri). Lafaz dalam ayat ini termasuk umum yang mukhasas, oleh itu tidak tepat kalau ada yang berkata bahawa ayat ini telah dimansuhkan dalam urusan ini, kerana yang khas tidak boleh memansuhkan lafaz umum, tetapi hanya sebagai takhsisnya sahaja. Maka apabila ada dalil lain yang boleh menentukan bahawa seseorang memperolehi manfaat dari amal orang lain, maka dalil itu sebagai takhsisnya bukan sebagai nasikh serperti ayat yang terdapat di surah ath-Thur: (Kami akan hubungkan dengan mereka itu anak cucu mereka)”.

Namun apabila dibuka secara ilmiah ruang agama untuk membincangkan, mengkaji dan meneliti semula amalan yang diperkatakan di atas, terbukti ia terlalu bertentangan dengan syara’, malah termasuk dalam amalan atau perbuatan yang ditegah, diharamkan dan bid’ah.

Benarnya kenyataan ini dapat dibuktikan apabila kita memahami kesemua hujjah-hujjah dan dalil-dalil syara’ yang dikemukakan oleh para ulama dari kalangan mazhab Syafie.

al quran

PENDAPAT 2 : SAMPAI BACAAN

Menurut Prof Dr Wahbah al-Zuhaili, Mazhab Imam Ahmad dan jumhur salaf dan mazhab empat dan di antara mereka Malikiyah dan Syafi’iyah yang kemudian berpendapat sampai pahala amalan tersebut.

Pendapat Imam Abu Hanifah :

“Segala pahala dari sedekah dan lainnya sampai kepada mayat. Ia juga berkata : “Bacalah ayat Kursi tiga kali dan surah al-Ikhlas dan katakanlah : “Ya ALlah, Ya Tuhan kami, pahalanya untuk ahli kubur.”

DALIL AL-QURAN :

Al-Sya’ani juga menyebutkan dalil pendapat kedua dari al-Quran, sunnah dan ijmak serta kaedah syariat. Iaitu mereka yang mengatakan bahawa mayat mendapat manfaat atas apa yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuknya.

Dalil dari al-Quran adalah firman Allah S.W.T yang bererti :

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan tangan), berkata : “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kamu yang mendahului kami dalam iman.” (Surah al Hasyr : Ayat 10)

Maka Allah S.W.T memuji mereka atas istighfar mereka kepada kaum Mukminin sebelum mereka. Maka hal itu menunjukkan bahawa mayat mendapat manfaat daripada doa terhadap mereka seperti juga doa dalam solat jenazah.

DALIL HADITH :

Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin Abdillah, Rasulullah S.A.W bersabda yang bererti :

“Surah al-Baqarah adalah tulang belakang al-Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy’. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al-Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al-Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha Allah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia.

(Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al-Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al-Dzam’an. Imam Ahmadjuga meriwayatkannya di dalam al-Musnad dari Ma’qal bin Yasar.

Al-Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma’ al-Zawaid, “Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi-perawi lainnya adalah sahih.

Pendapat dari Imam An Nawawi :

Imam Nawawi berkata :

“Adalah sunnah hukumnya bagi para penziarah kubur untuk mengucapkan salam kepada mereka (penghuni kubur), mendoakan kepada orang yang diziarahi dan juga kepada ahli kubur semuanya. Lebih utama lagi, jika penziarah itu membaca doa-doa yang telah diterangkan dalam al hadith. Dan hukumnya sunnah pula membaca ayat-ayat al Quran dan setelah itu mendoakan para penghuni kubur. Ini semua adalah nas (pendapat) dari Imam al Syafie dan disepakati oleh murid-muridnya (para pengikutnya) – al majmu’ syarh al muhazzab -

Pendapat Imam Ahmad :

Imam Ahmad pada mulanya pernah melarang seorang buta daripada membaca al-Quran di atas kubur, kemudian beliau (imam Ahmad) mengizinkannya setelah mendengar khabar yang mengatakan Ibnu Umar pernah berwasiat supaya dibacakan permulaan dan penghujung surah al-Baqarah di sisinya ketika dikebumikan.

Kisah ini disebut oleh Ibnu Qudamah di dalam kitabnya ‘Al Mughni di dalam masalah : Ziarah Kubur.

Berdoalah kepada ALLah agar pahala kita membaca ayat al Quran sampai kepada si mayyit kerana ALlah sendiri telah berfirman yang bererti :

“Dan Tuhan kamu berfirman:

“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukmin : Ayat 60)

Antara ulama’ terkini lain yang mengatakan sampainya pahala seperti : Profesor Dr Sayyid Muhammad ‘Alawi Almaliki Al Hasani, Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi, dan ramai lagi.

KESIMPULAN :

Setelah membaca kedua-kedua pendapat tersebut, saya serahkan kepada anda untuk memilih dan cenderung kepada pendapat yang mana satu. Terpulang kepada anda.

Ulama’ terdahulu sudah memberikan pandangan dan pendapat mereka dalam masalah ini. Kita sebagai umat Islam pada masa kini bebas untuk memilih pendapat yang mana satu. Tidak perlulah bagi kita untuk menhentam dan mempertikaikan pendapat dan hujah mereka.

Sudah tentu ulama’ terdahulu sudah membuat pertimbangan dan perkiraan yang waras sebelum mengeluarkan fatwa. Semoga artikel ini dapat memberi panduan dan rujukan kepada anda apabila berdepan dengan masalah ini.

Akhirnya, tontonlah video mengenai persoalan ini yang dijawab oleh Dr. Abdul Basit bin Hj. Abdul Rahman dalam rancangan “Tanyalah Ustaz” di TV9.

Klik untuk melihat video tersebut


Sumber : http://www.imranshamsir.com/

0 ulasan:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.