HAK DAKWAH DI DALAM PENDAPATAN BULANAN ANDA : CUKAI ATAU JIHAD ?


Pada suatu hari, saya dikunjungi seorang kawan yang amat saya kasihi. Wajahnya keruh diselaputi kesedihan dan keresahan yang tidak dapat saya duga puncanya. Dengan rasa cemas saya bertanya: “Apa yang telah terjadi? Anta sakitkah?” Dia menggelengkan kepala. Saya bertanya lagi, meneka sesuatu yang lain pula:
“Ada sesuatu yang berlaku di rumahmu? Anak anta kemalangan? Anta kesuntukan wang?”

Setiap soalan yang saya ajukan, dijawab dengan gelengan kepala. Saya keputusan idea untuk meneka, apa sebenarnya yang dialami oleh kawan saya ini.

Walaupun ditanya bertalu-talu dia enggan menceritakan masalahnya. Namun akhirnya dia akur apabila saya tidak putus-putus mendesak agar dia meluahkan apa yang terbuku di benaknya.

Apabila dia mula membuka bicara, hati saya segera terusik, seluruh tubuh saya bergoncang dan mata saya terbeliak kagum dan terpegun!

Dia berkata:
“Ya akhi, sebenarnya saya memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan saya untuk Allah. Pada setiap bulan, apabila saya menerima gaji saya terus saya keluarkan sebagai sedekah. Saya tidak pernah mengabaikannya seperti saya tunaikan perkara yang wajib. Bagi saya ia cukai jihad ke atas saya.”

Saya berkata kepadanya:
“Apa yang anta lakukan itu memang sesuatu yang sangat baik. Saya berdoa mudah-mudahan Allah terima amalmu. Tetapi apa yang merunsingkan anta sekarang?”

Dia menjawab:
“Bulan ini saya terlewat membayar cukai jihad bulanan saya beberapa hari. Pada hari saya terima gaji, saya terus pulang ke rumah. Kerana sibuk dengan pelbagai urusan, saya terlupa untuk membayar apa yang saya lakukan setiap bulan. Beberapa hari berlalu, saya menjadi lebih leka dan lemah semangat. Pada masa yang sama, gaji yang saya terima semakin berkurangan.”

Saya memberikan pandangan:
“Kalau begitu, anta boleh bayar selepas dua hari, tiga hari, empat hari atau lima hari. Kalau anta kesuntukan wang, kami saudara-saudaramu, sahabat-sahabatmu dan teman-temanmu akan bantu.”

Dia berkata lagi:
“Sesungguhnya semenjak saya menanam azam dalam diri saya dan berjanji akan mengeluarkan sebahagian daripada gaji saya setiap bulan pada hari saya menerimanya, saya akan menerima amaran langsung daripada Allah sekiranya saya terlewat melakukannya. Allah akan mengutus kepada saya telegram berupa amaran dan persoalan, mana hak dakwahmu? Mana jihadmu?

Soalan-soalan itu muncul di atas jasad anak-anakku. Yang seorang akan terkena demam panas membahang, yang lain pula menggigil kesejukan. Maka belanjan yang terpaksa dikeluarkanpun meningkat.

Maha Suci Allah! Keadaan akan bertukar. Dengan aku tidak mengeluarkan sedikit daripada gajiku untuk jihad, aku terpaksa menanggung perbelanjaan yang lebih tinggi untuk ubat dan keperluan-keperluan lain. Dan bulan ini berlaku hal yang sama. Aku telah terlewat membayar. Maka telegrampun tiba.

Inilah yang mendorong aku segera datang untuk melunaskan tanggungjawabku. Dan itulah sebabnya anta melihat saya sediah dan sugul. Saya telah terlewat membayar bahagian yang diperuntukkan untuk jihad daripada gaji bulanan saya!”

Saya mengucap syukur dan berdoa semoga Allah memberi ganjaran di atas kefahamannya yang begitu tinggi. Saya memandang tepat ke wajahnya, merenung ke dalam matanya. Saya utuskan rasa hormat dan penghargaan saya kepadanya dengan bahasa mata mengiringi ucapan dengan lidah.

Sambil itu saya berbisik kepada diri sendiri: Maha Suci Allah! Di mana anda wahai saudaraku berbanding dengan sahabatku yang seorang lagi? Ada sahabat yang apabila diminta sedikit sumbangan kehartaan kerana dakwah memerlukannya, akan berubah wajahnya, berkerut-kerut dahinya.

Dengan nada yang berat dia berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya saya sekarang terbeban dengan hutang! Saya telah melabur dalam koperasi, tapi sampai sekarang saya tak dibayar apa-apa. Sungguh, saya benar-benar susah!”.

Terdapat sahabat yang lain pula memberikan pelbagai alasan yang pada pandang saya penuh kecelaruan.

Saat ini saya sedang berdiri di antara dua orang sahabat yang saya muliakan:

Pertama: Sahabat yang tinggi kefahamannya, melonjak iman serta keyakinannya, setia dengan bai’ahnya kepada Allah Ta’ala yang berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (At-Taubah:111)

Ketika membaca ayat di atas, fikirannya teringat pula kepada ayat lain yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (An-Nahl:91)

“…. dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (Al-Fath:10)

Sahabat yang sentiasa berwaspada dan takut kepada sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husayn r.a. (maksudnya):

“Sebaik-baik kamu adalah kurunku, kemudian yang mengikutinya, kemudian yang mengikutinya”

‘Imran berkata: “Aku tidak mengetahui sama ada baginda menyebut dua atau tiga selepas kurunnya sebelum baginda menyambung sabdanya (bermaksud):

“Kemudian datang satu kaum yang bernazar tetapi tidak menyempurnakannya. Mereka khianat dan tidak boleh dipercayai, mereka menyaksi (sesuatu kejadian) tetapi tidak sanggup menjadi saksi. Akan lahir di kalangan mereka gejala gemuk”. (Al-Bukhari).

Di bibirnya melekat kata-kata Imam al-Banna rahimahullah ketika beliau menjawab soalan yang sering ditanyakan oleh mereka yang meragui kemampuan gerakannya: “dari mana datangnya harta (untuk membiayai keperluan dakwah ini)?”

Mereka yang tidak nampak kepentingan dakwah, melemparkan tuduhan dari jauh kepada ikhwan dan memerhati penuh sangsi seraya berkata: “Dari mana mereka dapat wang untuk membiayai dakwah mereka? Adakah mereka memiliki harta untuk menjayakan dakwah dan mengembangkannya, sedangkan masa sekarang kebanyakan manusia berada dalam kepayahan, dan ramai manusia dikuasai penyakit tamak dan bakhil?”

Sesungguhnya jawapanku kepada mereka ialah:

Bahawasanya seruan keagamaan, tiangnya adalah iman sebelum harta, aqidah sebelum barang-barang yang pasti hilang lenyap. Apabila telah wujud iman yang benar, akan wujudlah bersamanya jalan-jalan kejayaan. Dan sesungguhnya pada harta Ikhwan yang sedikit itu, yang mereka ambil daripada perbelanjaan sara hidup mereka, mereka berjimat dalam membeli keperluan rumah dan keperluan anak-anak mereka, lalu mereka sumbangkan kepada dakwah dengan penuh redha, lapang dada dan tenteram jiwa dan raga.

Setiap orang daripada ahli Ikhwan bercita-cita kalaulah mereka memiliki lebih banyak daripada itu nescaya mereka akan sumbangkan berganda-ganda lagi demi agama Allah. Andainya terdapat di kalangan mereka yang tidak punya sesuatu untuk disumbangkan, mereka beredar dengan linangan air mata, sedih kerana tidak dapat menyumbang untuk agama.

Pada harta yang sedikit ini dan iman yang besar Alhamdulillah menjadi bukti yang nyata bagi kaum yang ikhlas beribadah, menjadi tonggak kejayaan bagi mereka yang beramal dengan ikhlas. Sesungguhnya Allah s.w.t. yang di Tangan-Nya segala sesuatu akan memberkati setiap sen yang disumbangkan oleh Ikhwan.

Firman Allah bermaksud:
“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya…..” (Al-Baqarah:276)

“….dan sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.” (Ar-Rum:39)

Sahabat saya yang kedua pula adalah yang telah sirna daripadanya fiqh awlawiyyat (kefahaman tentang keutamaan dalam beramal). Dia hanya menggunakan sebelah kacamata sahaja. Lantaran itu dia melihat kefaqiran dunia, tetapi lupa kefaqiran akhirat. Dia hanya ingat kekayaan dunia tetapi lupa kekayaan akhirat, mengejar keuntung dunia, tetapi lupa keuntungan akhirat, takut kerugian di dunia tetapi lupa kerugian di akhirat.

Abdullah bin Ja’far bin asy-Syahid at-Toyyar radhiallahu’anhuma pernah ditegur oleh setengah sahabatnya kerana terlalu banyak infaqnya di jalan Allah. Mereka bertanya kepada Abdullah: “Adakah setiap kali diminta kamu akan beri? Tidakkah kamu bimbang masa membalikkan keadaanmu?”
Beliau berkata kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah membiasakan aku dengan satu kebiasaan dan aku membiasakan hamba-Nya dengan satu kebiasaan. Allah membiasakan aku dengan pemberian-Nya kepadaku setiap kali aku memberi kepada hamba-Nya. Dan aku membiasakan hamba-Nya dengan setiap kali mereka meminta, aku akan beri. Maka aku takut jika aku tidak memberi, aku tukar kebiasaanku dengan hamba-Nya, Dia tidak lagi memberi kepadaku dan menukar kebiasaan-Nya denganku!

Sesungguhnya seseorang itu akan mendahului orang lain dengan sebab pandangannya yang jauh. Dia melihat sesuatu perkara dan mengukurnya dengan kacamata akhirat, keredhaan Tuhannya dan Pelindungnya Yang Maha Mengetahui tentang dirinya. Orang ini disifatkan oleh al-Hasan al-Basri rahimahullah dengan kata-katanya: Manusia berada dalam satu keadaan dan dia berada dalam satu keadaan yang lain. Manusia tidak penat memikirkannya, tetapi dia penat memikirkan masalah manusia.

Kini saya teringat kata-kata Ibn al-Jauzi ketika beliau menghuraikan perbezaan antara mereka yang berpendapat hak dakwah di dalam pendapatan bulanannya sebagai cukai dengan mereka yang berpendapat hak dakwah di dalam pendapatan bulanannya sebagai jihad.

Orang yang berpendapat ia sebagai cukai tidak akan membayarnya kecuali apabila diminta, seperti seorang hamba yang jahat. Dia tidak akan datang mengadap tuannya kecuali dipanggil. Itupun selalu lambat. Dia tidak menyahut dengan cepat. Orang yang menganggap hak itu sebagai cukai perlu diketuk pintunya beberapa kali. Ada yang sampai ke tahap terpaksa diberi amaran, diutus polis untuk menangkap dan dibawa ke muka pengadilan dan akhirnya dipenjara atau dihalau keluar negara.


Adapun mereka yang menganggap hak itu sebagai jihad akan bergerak sendiri untuk menunaikannya. Dia melihat sesuatu perkara itu dari segi hakikat dan kedudukannya yang asal. Dia faham hanya dengan isyarat. Begitulah setiap yang berakal akan faham hanya dengan isyarat.

Ibn al-Jauzi menambah: Tidakkah kamu melihat orang-orang yang pakar dalam pelbagai bidang, apabila mereka memasuki sebuah kota yang maju, kamu akan dapati ahli binaan akan melihat kepada pintu dan dinding-dinding, tukang kayu akan melihat kepada pintu, tukang jahit akan melihat kepada hasil tenunan. Begitulah mukmin yang celik mata hatinya, apabila dia melihat kegelapan dia teringat kepada kubur, apabila dia ditimpa sakit dia teringat azab neraka, apabila dia terdengar gegaran suara yang lantang dia teringat tiupan sangkakala, apabila dia melihat orang tidur nyenyak dia teringat orang mati terbujur di dalam kubur dan apabila dia melihat sesuatu yang lazat dia teringat syurga.


Manakala Ibn Rajab berkata di dalam bukunya Nur al-Iqtibas: Sesiapa yang menegakkan hak-hak Allah, maka sesungguhnya Allah jamin akan pelihara semua kepentingannya di dunia dan akhirat. Dan sesiapa yang mahu supaya Allah menjaga dan memelihara semua urusannya maka peliharalah hak-hak Allah ke atasnya. Dan sesiapa yang tidak mahu ditimpa sesuatu yang tidak digemarinya maka janganlah dia melakukan sesuatu yang tidak digemari oleh Allah.

Di dalam himpunan risalahnya dia berkata: antara rahsia-Nya yang indah ialah beriringannya antara kesenangan dengan kesulitan. Sesuatu kesullitan yang menimpa, apabila tiba ke puncaknya di mana upaya manusia telah tiada, harapan telah terputus, jalan-jalan telah tertutup, ketika itu pergantungan hanya terpaut pada Yang Esa, harapan hanya terarah kepada Dia Yang Maha Kuasa. Sesiapa yang telah putus harapannya dengan makhluk dan dia hanya bergantung kepada al-Khaliq, maka pasti akan datang pertolongan dari-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Bentengi harta kamu dengan berzakat, rawati sakitmu dengan bersedekah, dan persiapkan diri menghadapi ujian dengan berdoa.” (At-Tobrani)

Di manakah perginya mereka yang mempunyai matahati supaya mereka membaca kata-kata ini? Supaya mereka beriman bahawa hak dakwah di dalam pendapatan bulanannya adalah jihad, bukan cukai!

Jika mereka tunaikan dengan sempurna, mereka laksanakan janji mereka dengan-Nya, Allah jamin akan memelihara dan menjaga mereka, Allah akan qabul doa mereka dan tunaikan hajat-hajat mereka.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman maksudnya:
(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal) dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Muhammad:38)

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Tidak akan berkumpul debu-debu jihad di jalan Allah dengan asap jahannam di dalam kerongkong seseorang hamba selama-lamanya. Dan tidak berkumpul sifat kedekut dengan iman di dalam hati seseorang hamba selama-lamanya” (Ahmad dan an-Nasaei)

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada suatu haripun, apabila seorang hamba bangun waktu pagi, kecuali dua malaikat akan turun kepadanya. Salah satunya akan berkata: “Ya Allah, berilah kepada orang yang menginfaqkan hartanya itu gantinya”. Manakala yang satu lagi berkata: “Ya Allah, berilah kepada orang yang menahan hartanya (tidak infaq di jalan Allah) kebinasaan”. (al-Bukhari)

Apa akan jadi sekiranya pada hari qiamat nanti dakwah datang bergantung kepada orang yang memikulnya tetapi tidak mahu mengeluarkan harta untuknya? Dakwah akan berkata: “Wahai tuhanku, ini hamba-Mu! Dia dulu membawa aku tetapi dia tidak memberikan hartanya untukku!”.

Daripada Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Berapa banyak jiran yang bergantung dengan jirannya pada hari qiamat nanti seraya berkata: Ya Tuhanku, jiranku ini menutup pintunya dariku dan tidak memberikan hartanya kepadaku”.
Ini baru seorang jiran yang bergantung dengan orang yang bakhil dan tidak menolong jirannya.

Maka apa akan terjadi ke atas kita sekiranya kita bakhil terhadap dakwah yang membawa kebaikan kepada seluruh manusia, menyelamatkan mereka dari siksa api neraka, membimbing mereka kepada hidup mulia, untuk semua golongan dan semua bangsa?
Apa akan terjadi ke atas kita sekiranya semua lidah yang bercakap, telinga yang mendengar dan mata yang melihat, semuanya bergantung pada kita, meraung dan mengadu kepada Allah bahawa kita telah memutuskan harapan mereka, kita tidak memberikan harta kita untuk selamatkan mereka?

Seandainya para du’at enggan berjihad dengan hartanya, maka siapakah yang akan berjihad? Seandainya du’at bakhil, maka siapakah yang pemurah? Sekiranya du’at tidak mengangkat bendera jihad dengan harta, maka siapakah yang akan mengangkatnya?

Sesungguhnya jihad dengan harta di dalam medan ini sangat luas, manfaatnya sangat banyak, pahala serta ganjarannya sangat besar dan menyeluruh.

Daripada Abi Musa al-Asy’ariy r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Asy’ariy, apabila mereka meninggalkan balu-balu kerana berjuang atau kurangnya makanan ahli keluarga mereka di Madinah, mereka akan kumpulkan makanan yang ada pada mereka di dalam sehelai kain kemudian mereka bahagikan sesama mereka di dalam satu bekas setiap satu keluarga sama banyak. Dan aku adalah sebahagian daripada mereka”. (Muttafaq ‘alaih).

Suatu kemuliaan yang sungguh hebat bahawa kamu menjadi sebahagian daripada ahli bait Nabi s.a.w. tetapi dengan syarat kamu hendaklah jadi seperti Asy’ariyyin dari segi kerjasama dan saling bantu membantu ketika ditimpa bencana dan kesusahan. Ini tidak sukar dan tidak susah kerana kesempitan hidup berlaku dari masa ke semasa ke atas saudara-saudaramu yang memikul beban seperti yang kamu pikul, yang banyak masalah seperti kamu juga. Dan dengan jihad harta yang kamu sumbang, dapat meringankan beban mereka di samping kamu dapat berkongsi dalam menyibarkan cahaya, menerangi sebahagian daripada kegelapan orang-orang yang membuat kerosakan lagi merosakkan.

Sesungguhnya dengan jihadmu wahai saudaraku yang mulia, akan mengangkat bendera yang hampir tersungkur, menjulang mushaf (kitab suci al-Quran) yang ingin dipijak oleh musuh dan mendaulatkan syari’ah yang ingin dipinda, diseleweng dan dipadamkan.

Sesungguhnya dengan jihadmu wahai saudaraku, engkau berkongsi di dalam membiayai penuntut ilmu, menghulur sesuap makanan kepada balu-balu dan meringankan penderitaan pesakit yang sedang bertarung dengan maut.

Sesungguhnya dengan jihadmu wahai saudaraku, engkau mampu menyebarkan dakwah, memegang tangan insan yang berdosa lalu memimpinnya menuju cahaya, menunjuk jalan kepada orang yang sedang teraba-raba dalam kesesatan, ikut serta dalam meletakkan batu-bata bagi mengukuhkan binaan agama Allah di muka bumi.


Sesungguhnya kami menyeru agar engkau rasa cemburu melihat golongan batil begitu gigih berkorban harta, masa dan tenaga mereka untuk menyibarkan kebatilan mereka dan mempertahankannya. Sesungguhnya al-Quran telah merakamkan tentang pengorbanan orang-orang kafir dengan harta mereka demi nemegakkan kebatilan mereka di dalam firman yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam Neraka Jahanam.” (Al-Anfal:36)

Inilah saudaraku yang mendorong kita untuk berkorban demi menyibarkan dakwah kepada Allah di kalangan manusia siang dan malam dengan apa saja nikmat yang diberikan kepada kita sama ada waktu, harta dan idea demi mencari redha Allah ‘Azza wa Jalla.


Seorang lelaki meminta Ahmad bin Hanbal rahimahullah agar menasihatinya, beliaupun berkata: “Sekiranya Allah telah menjamin rezeki untukmu, maka untuk apa kamu begitu mengambil berat tentangnya? Sekiranya kamu tahu bahawa rezeki setiap orang telah dibahagikan dengan kadar tertentu, maka kenapa masih tamak? Sekiranya harta yang dibelanjakan di jalan Allah, dijamin akan diganti maka kenapa bakhil? Sekiranya syurga itu benar, maka kenapa berehat daripada mengejarnya? Sekiranya dunia ini akan binasa, maka kenapa tenang bersenang lenang dengannya? Sekiranya hisab (perhitungan amal pada hari qiamat) itu benar, maka mengapa masih leka mengumpul harta? Sekiranya segala sesuatu itu berlaku mengikut qadha’ dan qadar, maka mengapa sedih dan dukacita?”

Kita sangat berhajat kepada pengorbanan untuk dakwah lebih daripada berhajatnya dakwah kepada pengorbanan kita. Sesiapa yang percaya kepada perkara ini dia akan berusaha untuk segera berjihad dengan hartanya. Sesiapa yang tidak percaya, maka dia akan tunggu pemungut cukai datang mengutip hartanya dengan mengetuk pintunya, merayu secara diam-diam, kemudian mendesak pula secara lantang.

Diceritakan bahawa Ibrahim bin Adham hendak memasuki bilik air, maka dia dihalang oleh penjaga bilik air dari memasukinya tanpa bayaran. Lalu Ibrahim menangis sambil berkata: kalaulah aku tidak dibenarkan memasuki rumah syaitan dengan percuma, bagaimana aku akan dapat memasuki rumah kediaman para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin tanpa bekalan dan tanpa amalan?
Maka hulurkan bayaran, tunaikan janjimu, berniagalah dengan Tuhanmu, nescaya Dia akan tunjukimu jalan yang lurus.

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-‘Ankabut:69)


Dan pujilah Allah yang telah membuka kepadamu pintu jihad dengan harta sepanjang hayatmu, di ketika Dia menutup pintu itu di hadapan ramai orang dari kalangan umatmu.

Awas wahai saudaraku, jangan sampai Allah tutup wajahmu dari sinaran cahaya-Nya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“….tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka dan dikatakan (oleh Syaitan): Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal.” (At-Taubah:46)

Mudah-mudahan Allah kurniakan kita kesihatan dan kesejahteraan, anugerahkan kita cintakan jihad di jalan-Nya. Amin! Amin!

Segala puji bagi Allah Rabbul-‘alamin.


Rujukan : http://fikrah-dakwah.blogspot.com/2010/

Artikel asal: http://www.ikhwanon line.com/ Article.asp? ArtID=63930&SecID=360

0 ulasan:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.