Memperingati pemergian seorang muassis dakwah di tanah air kita, Al Akh Al Mujahid Ustaz Dahlan bin Mohd Zin, di sini saya tampilkan pengalaman seorang mutarabbi (http://ms.langitilahi.com/) yang telah merasai sendiri sentuhan murabbinya, al akh al mujahid ini. Semoga ianya menjadi contoh kepada semua yang bergelar murabbi. Al Fatihah buat al akh al mujahid Ustaz Dahlan bin Mohd Zain.
Beberapa hari ini, setiap kali saya memandang telefon bimbit saya, saya akan merasa sayu.
Sebab saya seakan ternanti-nanti mesej: “Ustaz dah sihat. Alhamdulillah.” Atau: “Syukur, perkembangan terkini UDMZ ada peningkatan. Memuaskan.” Dan sebagainya.
Tetapi nanti akan ada suara yang memotong: “Ustaz dah tak ada Hilal”
Dan sebak akan muncul.
Dan rasa sakit akan mencucuk-cucuk. Air mata akan berjejesan.
Memang saya tidak mengalirkan air mata semasa saya tiba di MATRI. Memang saya tidak mengalirkan air mata semasa saya berdiri di tepi kuburannya. Memang saya tidak mengalirkan air mata semasa berada di rumahnya.
Tetapi seperti Ummi Halimaton, air mata saya tumpah juga beberapa hari selepas semuanya.
Ustaz Dahlan dan saya.
Saya tidak pernah peduli pun akan kewujudan UDMZ awal usia saya di MATRI. Kalau ikutkan siapa merapati siapa, saya akan katakan bahawa UDMZ yang merapati saya. Mungkin itu yang membuatkan saya amat terasa.
Masih ingat kali pertama saya betul-betul berada di sisinya. Tika saya bertugas menjadi ‘penjaga’ semasa berbuka puasa. Ada air tumpah, dan saya bergegas mengelapnya. Tiba-tiba ada satu suara kedengaran:
“Inilah dia mukmin, buat kerja tanpa disuruh” Dan apabila saya menoleh, kelihatan UDMZ sedang berdiri di sisi saya dengan beberapa orang sahabatnya.
Ketika makan malam selepas maghrib hari itu, saat saya bermandi peluh dan kekotoran kerana menguruskan itu dan ini, Ustaz Dahlan memanggil dari jauh: “Hilal, mari sini” Saya memandang rasa segan. Saya kotor dan berbau busuk. Adakah patut makan bersama UDMZ yang ketika itu bersama-sama guru saya yang lain seperti Sir Mohd Abdoh dan Ustaz Abdul Hadi?
“Ana busuk ustaz. Kotor.”
“Mari sini” Dia melambai lagi.
Mengalah. Saya pergi. Makan bersamanya. Terasa sungguh kerendahan jiwanya.
Dan pada Ramadhan yang sama jugalah, ketika UDMZ memberikan penyampaian di hadapan, dan dia berbicara akan Hilal Ramadhan, tiba-tiba dia berkata:
“Ada pelajar kita juga namanya Hilal. Marilah kita mendoakannya agar menjadi seorang yang baik dan bagus untuk ummah”
Saya yang ketika itu baru tingkatan tiga, rasa amat terharu. Pelajar MATRI ada 800 orang, dan dia menyebut nama saya di hadapan ramai, bahkan ketika itu ibu bapa turut hadir kerana majlis itu adalah majlis berbuka puasa beramai-ramai.
Dan apabila saya berjaya mendapat 9A PMR, dan bergerak berjumpa UDMZ untuk meminta tandatangannya, dia menyuruh saya duduk di sebelahnya. Dia meneliti sijil PMR saya. Kemudian dia tersenyum dan menepuk-nepuk belakang tubuh saya.
“Mabruk, mabruk” Seakan-akan saya ini bukan anak muridnya, tetapi sahabat rapatnya. Saya tidak akan pernah lupa yang itu.
Dan sejak hari itu, saya kata, saya perlu hidup dengan melihat manusia ini.
Dia manusia praktis. Bukan terperangkap hanya dalam teori
UDMZ manusia praktis. Dia tidak bermain di lapangan teori. Dia buat, dia cakap. Dia tak buat, dia diam. Pandangan-pandangannya semua realistik, walaupun ada sebahagian orang melihat ia sebagai sesuatu yang luar akal. Dia lebih senang memilih jalan jauh untuk keberkesanan yang panjang, berbanding jalan pintas yang kemudiannya hanya merobohkan.
Pernah satu hari, ketika jalan tar yang mengelilingi ‘padang hoki MATRI’ siap, Ustaz Mahadzir berkata pada saya: “Dahulu, masa ana khassah, Ustaz Dahlan pernah cakap nak bina macam ni. Tapi masa tu ana kata, mustahil. Kita mana ada duit nak buat semua ni. Tetapi hari ini enta tengoklah sendiri. Ana pun tak percaya boleh jadi realiti”
Dan itulah yang membuatkan saya benar-benar menjadikan UDMZ role model saya.
Sebelum dia meninggal, saya ada bersembang panjang dengan UDMZ. Saya bertanya akan projek AJRUN(Amal Jariah Untuk Umum). Antara isi projek itu adalah untuk membina bumbung antara Musolla MATRI dan bangunan Akademik B. Saya kata pada Ustaz:
“Ustaz, nak buat bumbung macam SMKAP(Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan) ke?” Bumbung di SMKAP adalah bumbung yang fix. Kekal begitu. Pegun.
Tetapi apa yang UDMZ cakap pada saya?
“Sebenarnya, ana hajat bumbung yang boleh buka tutup punya. Macam payung di Masjid Nabawi”
Saya tersenyum. Ya, mungkin ada orang akan tergelak. Bahkan ada senior saya yang saya ceritakan hal ini kepadanya sudah ketawa terkekeh sambil menggeleng. Tetapi semasa saya mendengar itu, saya kata pada diri saya: Tidak mustahil. Tinggal siapakah yang hendak menyumbang dan merealisasikannya sahaja.
UDMZ jika menjawab soalan, dia akan menjawab soalan yang boleh dipraktis. Jawapannya juga adalah yang paling berhikmah. Membuatkan orang senang hendak melaksanakannya. Antara yang paling saya tidak lupa adalah berkenaan urusan dengan tunang.
“Ustaz, boleh ke kata cinta pada tunang kita?” Rakan saya, Azri Bashiron bertanya.
“Boleh, tapi kena benar-benar dengan cinta yang betul la. Bukan main-main”
“Ustaz, boleh ke nak jumpa tunang?” Seorang lagi bertanya.
“Boleh, tapi kenalah bawa keluarga sekali. Ajak mak ayahnya makan bersama ke. Masa tu jumpa la.”
“Boleh…” Mendengar jawapan ini terlebih dahulu, jiwa jadi lapang. Oh, Islam ini tidak berat ya…
“Tapi kenalah…” Dan syarat selepas itu menjadi ringan untuk dilakukan kerana hendak mencapai ‘boleh’ tadi. Uslub ini amat memberikan kesan kepada saya.
Jawapan UDMZ sentiasa seimbang. Tidak memberatkan akhirat sehingga mengabaikan realiti bahawa manusia hidup berurusan dengan nafsu dan keduniaan. Tidak pula memberatkan dunia, sehingga mengabaikan bahawa manusia ini akan ada pengakhiran yang pasti di hadapan Ar-Rahman.
Jawapannya realistik. Bukan di dalam teori semata-mata. Jawapannya membuatkan kita mudah mengimplemantasikannya.
Ustaz sentiasa realistik. Bahkan gerak kerja yang disarankan biasanya memang boleh dilakukan. Semua bicaraya ada basis kukuh dan tidak mustahil. Tinggal siapa yang berusaha keras untuk merealisasikannya sahaja yang menjadi persoalan.
Yang memandang berat bicara Ustaz, dia akan melihat hikmah yang banyak daripada UDMZ.
UDMZ tidak memberikan kemuliaan kepada sesiapa
UDMZ tidak memberikan apa-apa kemuliaan. Gelaran seperti “Anak buah Ustaz Dahlan”, “Anak murid Ustaz Dahlan”, “Anak didik Ustaz Dahlan” pada saya tidak memberikan apa-apa penambahan pun di dalam diri seseorang.
Jika seseorang itu hendak membangga diri hanya kerana dia pernah dididik oleh UDMZ, pada saya orang itu adalah hina sekali. Jika seseorang itu hendak mengangkat dirinya kerana rapat dengan UDMZ, pada saya orang itu adalah yang paling rendah sekali. Lagilah mereka yang berbangga hanya kerana mereka mempunyai ‘pengalaman bersama Ustaz’ atau ‘pernah bergesel tubuh dengan Ustaz.’
Pada saya, yang mulia hanyalah yang memahami akan apa yang hendak dibawa dan dilakukan oleh UDMZ. Pada saya, yang mulia hanyalah mereka yang serius menyambung usaha-usaha UDMZ dan meneruskannya.
Selain daripada itu, pada saya tiada apa mulianya.
UDMZ hanya manusia yang berusaha.
Sepatutnya kita demikian juga.
Bukan hanya pandai menyangkut nama di sisi namanya untuk kelihatan hebat dan mulia.
Saya syukur saya pulang ke Malaysia
Aturan Allah SWT adalah yang terbaik. Saya tahu itu sudah lama. Saya faham itu sudah lama. Tetapi ‘perasaan merasainya’ sering berkembang dari hari ke hari. Begitulah juga ia berkembang lagi apabila UDMZ meninggal.
Keputusan asal adalah saya tidak mahu pulang bercuti. Tetapi akhirnya mengalah kerana permintaan Ummi.
Allah berikan saya bermacam-macam di dalam cuti ini. Dapat pergi banyak tempat meluaskan pengetahuan, dapat memberikan banyak penyampaian di banyak tempat dan berkenalan dengan lebih ramai orang.
Bersama UDMZ, saya dapat macam-macam masa cuti ini. Tidur di rumahnya beberapa hari. Sembang itu dan ini. Lebih terharu, pernah saya datang menziarahinya dan dia sedang memegang Majalah ANIS.
“Ini ada artikel enta ni. Ana baca. Ukhuwwah dengan Allah”
Bersama UDMZ berkongsi akan cintanya dengan Ummi. Akan kisahnya di Iraq. Akan perjuangannya di sekolah. Akan kesungguhannya belajar.
Saya sempat merasakan genggaman tangannya yang menggenggam saya gaya orang muda. Walaupun saya tahu kalau saya membalas seperti gayanya juga, jari jemarinya yang sudah kurus itu akan patah begitu sahaja.
Akhirnya melihat UDMZ jatuh sakit. Sedang sehari sebelumnya saya sakan menyakatnya yang baru berkahwin.
Menjaganya di hospital. Tidur di luar CCU menanti berita-berita terkini. Sebulan di Perlis menunggu jika ada perubahan kepada UDMZ. Melihat dari hari ke hari, tubuhnya makin kurus dan makin kurus. Ada waktu gembira apabila ada perkembangan positif. Ada waktu sangat risau apabila ada perkembangan negatif.
Ada satu hari saya bangun tidur dengan sangat gembira. Sebab saya bermimpi UDMZ sihat walafiat dan sudah terjaga. Dia meminta saya air. Bingkas saya bertanya kepada sahabat yang baru pulang dari hospital, apakah perkembangan UDMZ. Masih seperti biasa. Saya sedikit muram.
Hinggalah hari akhir saya terpaksa pulang juga untuk bersama keluarga, memenuhi hajat Ummi untuk berbuka bersama di rumah dan beraya bersama keluarga. Saya ziarah UDMZ untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’.
Saya sebak hari itu dan berdiri tidak lama.
Sebab UDMZ tinggal tulang sahaja.
“Ustaz, ana nak balik ni” Saya bersuara perlahan.
Dan rupanya Ustaz yang ‘balik’.
Saya bersyukur. Kerana Allah memberikan saya peluang-peluang ini.
Sesungguhnya benarlah Allah itu pengatur yang paling baik.
Benarlah saya ini hamba yang hina dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Penutup: Akan terus terasa
Kenangan saya pekat dengan UDMZ. Saya tidak mampu memisahkan fikrah UDMZ dengan kehidupan UDMZ. Sebab pada saya, dia adalah kitab yang berjalan. Dia benar-benar hidup dengan mempraktiskan fikrahnya. Sebab itu saya suka menceritakan pengalaman-pengalaman saya dengannya.
Di dalam Langit Ilahi 3: Fanzuru, ada dua-tiga bab saya tulis berkenaan perkongsian yang saya dapat daripadanya.
Saya akan terus terasa. Sebab saya membesar di MATRI dengan UDMZ. Sejak rapat dengannya di tingkatan 3, hinggalah telah keluar ke Jordan, UDMZ tetap hidup mewarnai hari-hari saya. Jadi saya sukar untuk merasakan ketiadaannya.
Sama seperti Ummi Halimaton yang saya rasa masih hidup hingga ke hari ini.
Yang saya tunggu suaranya menjerit kegembiraan melihat saya pulang dari Jordan setiap kali apabila saya memasuki bilik guru perempuan di MATRI.
Sama seperti Sir Yahya yang saya rasa masih hidup hingga ke hari ini.
Yang saya tunggu senyuman dan bicara bernasnya setiap kali saya naik ke musolla MATRI selepas pulang dari Jordan.
Dan UDMZ juga sama.
Yang saya tunggu panggilannya menyuruh saya masuk ke biliknya apabila saya tiba ke rumahnya. Yang saya tunggu senyumannya apabila membicarakan buku saya. Yang saya tunggu perkongsiannya apabila saya meminta dan bertanya.
Dan nanti apabila saya pulang ke MATRI lagi, saya tetap akan tertunggu-tunggu.
Hinggalah ada satu bisikan lembut: “Mereka dah tak ada”
Dan air mata saya akan mengalir.