HAKIKAT KEKAYAAN DAN KEMISKINAN

Apakah hakikat kekayaan, dan apa hakikat kemiskinan?

Setelah payah Hukama mencari apakah erti kekayaan yang sebenarnya, mereka mendapat keputusan, iaitu:

“Orang kaya ialah orang yang sedikit keperluannya”.

Jadi jangka turun naik kekayaan dan kemiskinan, ialah hajat dan keperluan. Siapa yang paling sedikit keperluannya, itulah orang yang paling kaya dan siapa yang amat banyak keperluan itulah orang yang miskin. Sebab itu yang maha kaya hanya Allah. Sebab Allah tidak berkehendak keperluan atau hajat.

Raja-raja adalah orang yang paling miskin, kerana keperluannya sangat banyak. Di dunia seorang raja diikat oleh bermacam-macam aturan dan keperluan dan di akhirat akan dibuka pula perkaranya yang besar-besar, sebagaimana yang diterangkan oleh Sayidina Abu Bakar yang telah kita salinkan dahulu daripada ini.

Jutawan ramai yang miskin!

Dasar segala yang tersebut itu, pergantungannya ialah diri sendiri. Kalau orang hendak kaya, cukupkanlah apa yang ada, jangan bernafsu hendak memiliki kepunyaan orang lain hadapkan saja muka di dalam taat kepada Allah, tenteramkan jiwa di dalam menghadapi alhayat. Kalau hendak miskin, ingatlah segala yang teringat, kenanglah segala yang belum ada, hendaki ini dan itu hendaki rumah yang lebih cintik, kerana yang sekarang walaupun bagaimana cantiknya, belum juga cukup rasanya, sebab belum secantik rumah si anu, padahal rumah kita sendiri, sudah titik air liur orang lain elihatnya. Kalau dengan harta yang ada dalam tangan, kita ingin kata, dalam sebentar waktu keinginan itu boleh tercapai, iaitu takaran hidup berdiri di atas kesederhanaan, sudah menafkahkan harta pada barang yang berfaedah apalagi di zaman kini yang membanyakkan belanja orang sehari-hari itu bukanlah keperluan yang penting. Yang membesarkan belanja kerapkali barang yang tak perlu, perhiasan yang berlebih-lebihan. Cuba tekankan perasaan jiwa yang berontak, ikat dengan taat kepada Ilahi dan belanjakan membela kebenaran, menegakkan keadilan, menolong fakir dan miskin.

Kekayaan hakiki ialah mencukupkan apa yang ada, sudi menerima walaupun berlipat ganda beratus-ribu bilion, sebab dia nikmat Tuhan. Dan tidak pula kecewa jika jumlahnya berkurang, sebab dia datang dari sana dan akan kembali ke sana. Jika kekayaan melimpah ialah untuk menyokong amal dan ibadat, iman dan untuk membina keteguhan hati menyembah Tuhan. Harta tidak dicintai kerana dia harta. Harta hanya dicintai sebab dia pemberian Tuhan. Dipergunakan kepada yang berfaedah.

Kekayaan majazi, menurut kebiasaan aturan hidup di zaman sekarang ini, ialah menumpahkan cinta kepada harta-benda semata-mata, yang menyebabkan buta dari pertimbangan, sehingga hilang cinta kepada yang lain, kepada bangsa dan tanahair, agama,Tuhan, bahkan Tuhan itu tidak dipercayai lagi. Hilang cinta kepada segala yang patut dicintai, bahkan kadang-kadang diri sendiri sudah lupa mencintainya. Sebab telah tertumpah kepada harta. Orang kaya begini, dua bahaya mengancamnya, pertama penyakit bakhil, kedua penyakit boros dan royal (menghamburkan harta), sombong dan takbur, lupa bahawa manusia sentiasa diancam bahaya yang mengerikan.

Dipetik dari buku Tasauf Moden, Dr. HAMKA

0 ulasan:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.