ISA MELAWAN PRINSIP AL QURAN... YB LAU WENG SAN, ADUN KG TUNKU, SELANGOR

"Bahawa Dewan ini menetap untuk mengkritik penahanan Yang Berhormat Tuan M Manoharan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kota Alam Shah serta pemimpin-pemimpin Hindraf (Barisan Bertindak Hak-hak Hindu) dan aktivis-aktivis sosial yang lain tanpa perbicaraan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyeru Kementerian Dalam Negeri membebaskan tahanan-tahanan ini."


Sehingga hari ini, kerusi untuk Adun Kota Alam Shah masih lagi kosong. Rakyat seluruh Malaysia terkejut pada 13 Disember 2007 apabila kelima-lima orang aktivis Hindraf iaitu P. Uthayakumar, V. Ganabatirau, R. Kenghadharan, T Vasantha Kumar serta ahli YB Kota Alam Shah telah ditahan mengikut Seksyen 8 akta ISA.


Kelima-lima orang ini merupakan para aktivis yang bergiat aktif dalam perjuangan untuk mengangkat martabat masyarakat kaum India yang selama ini ditekan dan ditindas oleh kerajaan BN.


Mengikut Seksyen 8 ISA, lima tahanan ini akan terus dihantar ke kem tahanan Kamunting dan ditahan di sana selama dua tahun bawah arahan menteri keselamatan dalam negeri tanpa melalui siasatan polis.


Inilah kali pertama Seksyen 8 digunakan untuk menahan seseorang.


Sebelum itu, tahanan-tahanan biasanya akan ditangkap bawah Seksyen 73 - seseorang itu akan ditahan bawah pemantauan polis selama 60 hari sebelum ditentukan sama ada seseorang tahanan itu wajar ditahan lanjut di Kamunting.


Saya berpendapat penahanan kelima-lima orang aktivis Hindraf ini bukan sahaja tidak adil, malahan tidak munasabah sama sekali, khususnya penahanan YB Kota Alam Shah, apabila seorang Adun telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat.


Saya ingin mengetengahkan beberapa sebab mengapa penahanan ini patut dikritik dan tahanan-tahanan perlu dibebaskan tanpa syarat dengan segera.


Sebab pertama: YB Kota Alam Shah telah menang dengan undi majoriti yang besar.


Pada pilihanraya umum ke-12 yang baru berlangsung, YB Kota Alam Shah telah menang dengan majoriti sebanyak 7,184 undi biarpun beliau masih ditahan di Kamunting bawah ISA dan tidak dapat hadir untuk berkempen.


Kejayaan besar ini bukan sahaja satu kejayaan besar untuk DAP dan beliau sendiri, malahan ia juga merupakan satu tamparan kepada kerajaan pusat bahawa ia tidak boleh terus menahan mereka yang tidak bersalah tanpa perbicaraan melalui ISA.


YB Kota Alam Shah ditahan berikutan penglibatannya dalam Hindraf. Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh YB Kota Alam Shah selama ini hanyalah untuk memperjuangkan hak asasi untuk golongan masyarakat India yang tertindas dan terpinggir dan ia tidak mengancam keselamatan negara.


Oleh itu, YB Kota Alam Shah harus dilepaskan serta-merta agar beliau dapat menunaikan sumpahnya sebagai Adun dan menjalankan tugasnya dengan sempurna.


Dalam sejarah Malaysia, terdapat dua orang tahanan ISA yang pernah mengambil bahagian dalam pilihanraya umum dan berjaya memenanginya semasa masih ditahan di bawah ISA. Kedua-dua orang ini kebetulannya merupakan bekas ahli parlimen DAP iaitu Chiang Heng Kai dan mendiang Chan Kok Kit.


Kedua-dua mereka telah ditahan bawah ISA pada pertengahan 1970-an atas tuduhan menyokong elemen Komunis.


Biarpun begitu, kedua-dua mereka masih bertanding dalam pilihanraya umum pada 1978 dan menang dengan majoriti yang lebih besar.


Dalam konteks ini, saya ingin menyarankan supaya YB Kota Alam Shah dibebaskan daripada penahanan ISA agar beliau dapat kembali berkhidmat untuk rakyat di kawasannya.


Adun Kota Alam Shah tidak boleh ditahan secara berpanjangan di bawah ISA. Penahanannya secara tidak langsung telah menidakkan hak rakyat Kota Alam Shah untuk menyampaikan suara mereka ke dewan yang mulia ini.


Sebab kedua: Alasan penahanan YB Kota Alam Shah dan aktivis Hindraf lain terlalu lemah.


YB Kota Alam Shah dan aktivis Hindraf selama ini telah terlibat dalam pelbagai aktiviti sah untuk memperjuangkan hak masyarakat India yang ditindas dan dipinggirkan selama ini.


Kita harus memahami bahawa apa yang diperjuangkan oleh kelima-lima orang tahanan ini adalah untuk membawa isu peminggiran masyarakat kaum India yang diabaikan selama ini.


Hakikatnya, kita telah lihat sekurang-kurangnya 30,000 orang menyertai tunjuk perasaan yang diadakan pada 25 Oktober lalu.


Tunjuk perasaan ini yang disertai oleh rakan-rakan berketurunan India kita dari seluruh pelusuk negara telah membuktikan bahawa perjuangan mereka ini adalah berasas.


Malahan naib ketua Pemuda Gerakan, S. Paranjothy dalam artikelnya yang bertajuk 'Discrimination from Womb to Tomb menyatakan bahawa 30,000 warganegara berketurunan India yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan tersebut kerana mereka telah lama dipinggirkan, ditindas dan tidak dipedulikan.


Rakyat India merupakan golongan yang tertindas di dalam struktur ekonomi Malaysia, seperti yang terbukti dalam beberapa petunjuk termasuk kemasukan universiti.


Mereka dilayan seolah-olah mereka merupakan warga kelas keempat.


Di pusat penahanan Simpang Renggam, yang menempatkan kira-kira 1,600 orang tahanan, lebih seribu daripada mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah, manakala 574 orang disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah.


Biarpun hanya lapan peratus daripada jumlah rakyat Malaysia terdiri warga India, tetapi lebih daripada 48% daripada tahanan-tahanan di pusat ini merupakan kaum India, sekali gus menunjukkan bagaimana runcingnya masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat ini.


Sebab ketiga: ISA mencabuli prinsip hak asasi manusia.


ISA merupakan punca segala bentuk undang-undang penindasan di negara ini, malah ia lebih berbisa jikalau dibandingkan dengan undang-undang zalim yang lain seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA), Akta Polis dan Akta Hasutan.


Untuk itu, ISA sepatutnya dimansuhkan kerana ia sudah tidak sepadan dengan perlindungan hak asasi manusia.


ISA juga telah disalahgunakan sebagai satu instrumen oleh pemerintah untuk menekan suara pembangkang dan masyarakat madani untuk kepentingan politik mereka.


Dalam kebanyakan kes ISA, akta ini telah digunakan oleh polis untuk menahan mereka yang disyaki mengugat kedudukan pemerintah biarpun pihak pemerintah masih tiada apa-apa bukti kukuh.


Terdapat banyak judul tulisan yang dihasilkan berkaitan dengan ISA. Antara yang terkenal tidak lain tidak bukan buku berjudul Freedom under Executive Power in Malaysia yang ditulis oleh menteri luar sekarang, iaitu Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang juga merupakan timbalan menteri dalam negeri dari tahun 1976 hingga 1978.

Beliau dalam buku itu telah menyifatkan bagaimana menteri dalam negeri menandatangani arahan penahanan ISA secara automatik hanya bergantung kepada cadangan polis tanpa menggunakan tanggungjawab mereka sebagai menteri untuk mengesahkan keperluan untuk menahan seseorang itu di bawah ISA.


Beliau telah menulis bahawa:


"That there are clear violations of human rights by invoking the ISA and other draconian legislation is an understatement.


The misery that these executive laws have brought upon individuals have left a clear message: there is a state of confusion in the real, accepted meaning of the phrase 'prejudicial to the security of Malaysia.'


The meaning of this phrase which is thematic in the ISA as well as under Articles 149 and 150 of the Constitution is systematically left to the discretion of the executive." (p. 293-4)


Ahli YB dari Hulu Kelang pernah menulis siri lapan buku yang bertajuk Suara Dari Kamunting semasa beliau masih ditahan bawah ISA pada tahun 2001. Ahli YB dari Kota Damansara juga merupakan seorang mangsa ISA di bawah Ops Lalang 1987.


ISA juga bertentangan dengan ajaran agama. Misalannya, ia bercanggahan dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan seperti yang diterangkan dalam al-Quran, iaitu ayat 58 surah an-Nisa', ayat 15 surah as-Syura dan ayat 90 surah an-Nahl.


Apa yang jelas, penahanan seseorang tanpa perbicaraan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang patut dikutuk dan dikritik sekeras-kerasnya, khususnya dalam kes ini di mana seorang wakil rakyat telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat.


Lebih-lebih lagi, seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada hari ini, terdapat 16 keluarga mangsa ISA yang telah dikenal pasti tinggal di Selangor.


Dengan itu, saya memohon supaya usul ini dipersetujui.


Lau Weng San, setiausaha DAP Selangor, juga Adun Kampung Tunku. Artikel ini asalnya teks ucapan beliau di DUN Selangor sewaktu membawa usul tergempar mengkritik ISA pada 26 Mei.

0 ulasan:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.