ADAB BERBEZA PENDAPAT

Pendahuluan
Dunia Islam setelah kejatuhan era Uthmaniyyah telah melahirkan usaha penggalian semula ilmu-ilmu berteraskan Islam yang telah lama diabaikan. Kebangkitan ini telah mewujudkan kesedaran di kalangan Ulama Islam yang gigih mengetengahkan manifestasi dakwah di persada dunia. Tetapi kebangkitan ini tidak terselamat daripada kelemahan-kelemahan vertikal dan horizontalnya, iaitu perselisihan pendapat di kalangan mereka. Terutamanya dalam masalah feqh yang diketahui umum ianya hanya melibatkan perkara-perkara furu'. Kebangkitan Islam yang berlaku ini tidak sepatutnya hanya bermodalkan semangat, ungkapan verbal dan slogan semata-mata, tetapi perlulah berdasarkan kepada komitmen terhadap Islam dan adab-adabnya. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;

إنما بعثت لأتمم صالح الأخلاق...
[ Sesungguhnya aku (Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam) diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik ] [1]

Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam lagi;
إن الدين بداء غريباً ويرجع غريباً فطوبى للغرباء الذين يصلحون ما أفسد الناس من بعدى من سنتى...

[ Sesungguhnya agama (Islam) bermula asing (pelik) dan ia akan kembali terasing, maka berbahagialah orang-orang yang asing yang memperbaiki apa-apa kerosakan yang dilakukan manusia selepasku terhadap sunnahku ] [2]

Umat Islam sekarang ini bukan sahaja menghadapi serangan berbentuk fizikal, tetapi yang paling membimbangkan adalah pertempuran bersifat perdebatan, membinasakan bukan sahaja kefahaman umat Islam terhadap agamanya sendiri, malah pemikiran dan ritual ibadah mereka juga turut menjadi sasaran. Kita tidak dapat mengingkari bahawa ikhtilaf (perselisihan pandangan) pasti akan berlaku di kalangan Ulama, tetapi di sebalik fenomena ini ada beberapa kesan yang sangat mengaibkan telah berlaku kepada masyarakat Islam. Iaitu;

1. Sibuk menimbulkan masalah-masalah kecil yang bersifat ijtihadiyah dan melupakan masalah-masalah besar. Sebagai contoh, ketika mana Ibn Umar radhiallahu anhu ditanya oleh seorang lelaki dari negara Iraq berkenaan hukum darah lalat. Lalu Ibn Umar menjawab;
أهل العراق يسألون عن الذباب وقد قتلواْ ابن ابنة رسول الله صلى الله عليه وسلم وقال النبى صلى الله عليه وسلم هما ريحانتاي من الدنيا...
[ Orang Iraq ini bertanya kepada aku berkenaan darah lalat padahal mereka (orang-orang Iraq) telah membunuh cucu Nabi salallahualaihi wasalam. Dan Nabi salallahualaihi wasalam bersabda;
Mereka berdua (Hassan & Hussain) haruman wangi (penyejuk hati) di dunia ] [3]
2. Berdebat dengan melakukan pendekatan yang emosional dan tidak mengakui kebenaran yang dikemukakan oleh orang lain. Hal ini menyebabkan kelompok perdebatan yang terlibat semakin ghuluww (melampau) dan permusuhan yang berlaku semakin parah.
3. Cenderung untuk memilih pendekatan yang keras bukan pada tempatnya, memberatkan diri dan mempersulitkan kaedah-kaedah Islam dalam menentukan hukum.
4. Sikap ta'assub (fanatik) terhadap pegangan tertentu sehingga mereka banyak disibukkan dengan perdebatan sesama sendiri dan melupakan musuhnya yang sebenar. Hal ini menyebabkan lahirnya sikap sangka buruk sesama saudara dan merasakan pendapatnya sahaja yang paling benar.
5. Banyak terjebak dengan masalah-masalah yang berbentuk terminologi, masalah-masalah pengistilahan sehingga menyebabkan bahayanya pemikiran umat. Sedangkan yang lebih utama adalah memerangi kesesatan yang terkandung di dalamnya, bukan sibuk berbincang tanpa tindakan.
Syariat Islam telah menggariskan prinsip-prinsip muzakarah, berdialog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Manakala perbincangan tersebut haruslah berteraskan kepada akal yang sihat, berpaksikan kepada sumber Islam yang autentik dan bukannya diselesaikan mengikut agak-agakan, sentimen kepartian, fanatik kekabilahan (wild tribalism), taqlid buta, apatah lagi ledakan emosi. Dr. Yusuf al Qardhawi hafizahullah berkata;
إن التفقيه المنشود لايمكن أن يقوم به إلا علماء بعيدون عن تأثير السلطان ورعبة ورهبه. حائزون على ثقة هؤلاء الشباب : ثقتهم بأصالة علمهم وثقتهم بقوة دينهم...
[Sesungguhnya memberikan kefahaman yang diharapkan mestilah diserahkan kepada Ulama' yang jauh dari pemerintah pada sudut pengaruh kuasa dan penghormatan. Mereka (Ulama yang jauh dari pemerintah) lebih dipercayai di kalangan pemuda : Mereka dipercayai melalui ketulenan ilmu dan kekuatan mereka terhadap pegangan agama ] [4]
Transformasi Ikhtilaf Dalam Ilmu-Ilmu Islam.

Hendaklah difahami bahawa fenomena ikhtilaf yang berlaku di kalangan Ulama menawarkan suatu alternatif baru berdasarkan pengamatan realiti. Wujudnya proses ikhtilaf merupakan wasilah untuk mencapai transformasi ilmu-ilmu Islam. Dalam menilai perselisihan pendapat di kalangan mereka, kita merasa yakin bahawa ia bukan merupakan gejala buruk yang menimpa proses perkembangan hukum-hukum Islam. Sebaliknya ia merupakan satu proses kepada peringkat kematangan yang mampu melahirkan kebaikan sepanjang zaman. Sebagai contoh, Rasulullah salallahualaihi wasalam telah bersabda;
لا يصلين أحد العصر إلا فى بنى قريظة...
[ Janganlah salah seorang daripada kamu solat Asar melainkan di perkampungan Bani Quraidzah ] [5]
Para sahabat telah berselisih pendapat mengenai hal ini, ada yang mengambil penjelasan secara tekstual daripada perkataan Nabi salallahualaihi wasalam. Iaitu perintah Nabi salallahualaihi wasalam untuk melaksanakan solat Asar, hanya setelah sampai ke perkampungan tersebut. Manakala ada Para Sahabat yang memberikan takwil bahawa maksud perkataan tersebut ialah perintah supaya bersegera sampai ke destinasi yang diarahkan oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam, lalu mereka solat Asar sebelum sampai ke tempat yang dimaksudkan.

Ketika disampaikan hal itu kepada Rasulullah salallahualaihi wasalam, Baginda tidak menyalahkan mana-mana Sahabatpun. Ini adalah iqrar (pengakuan) Baginda terhadap ijtihad. Baginda salallahualaihi wasalam membiarkan para sahabatnya beramal mengikut ijtihad mereka. Hasil daripada petunjuk agung yang diberikan Rasulullah salallahualaihi wasalam kepada para sahabatnya, maka terbukalah pemikiran para sahabat dalam masalah ijtihad. Sikap terbuka para sahabat turut disebut oleh Imam Baihaqi rahimahullah, menurut riwayat Anas radhiallahu anhu ;
إنا معشر أصحاب الرسول صلى الله عليه وسلم كنا نسافر فمنا الصائم ومنا المفطر . ومنا المتم ومنا المقصر فلم يعب الصائم على المفطر ولا المفطر على الصائم ولا المقصر على المتم ولا المتم على المقصر...
[ Kami para sahabat Rasulullah salallahualaihi wasalam pernah bermusafir, di antara kami ada yang berpuasa dan sebahagiannya tidak berpuasa, sebahagian kami menyempurnakan (solat) dan sebahagian meng’qasar’kan. Namun mereka yang berpuasa tidak merendahkan sahabat yang tidak berpuasa begitu juga sahabat yang tidak berpuasa tidak merendahkan sahabat yang berpuasa. Sahabat yang meng’qasar’kan tidak merendahkan sahabat yang menyempurnakan (solat) begitu juga mereka yang menyempurnakan tidak merendahkan sahabat yang meng’qasar’kan ] [6]
Para fuqaha' yang terdiri dari imam-imam mazhab tidak pernah mendakwa bahawa pandangan mereka yang paling betul dan mesti diikuti. Sebaliknya menganjurkan supaya mengikut apa sahaja dalil yang boleh membawa kepada kebenaran al Quran dan Sunnah. Apabila membuat keputusan terhadap sesuatu hukum, mereka tidak ragu-ragu untuk mengatakan;
هذا أحوط. وهذا هو المختار وهذا أحب إلىَّ. ويقول : ما بلغنا إلا ذلك...
[ Ini lebih selamat…Inilah yang dipilih dan pandangan ini yang palingku sukai. Dan dia berkata; Tiada sampai kepada kami kecuali perkara itu ] [7]
هذا رأيي وهو صواب يحتمل الخطأ فإن أصبت فمن الله وإن أخطأت فمني ومن الشيطان...
[Ini pendapatku kemungkinan benar barangkali salah, maka jika aku benar itu dari Allah dan jika aku salah daripadaku dan daripada syaitan] [8]
Mereka melakukan ijtihad terhadap sesuatu perkara mengikut kadar kemampuan mereka meneliti masalah tersebut berdasarkan al Quran dan al Hadith. Mereka akur jika berlaku kesilapan atau kealpaan terhadap ijtihad yang mereka lakukan. Oleh sebab itu, Imam Syafie mempunyai 2 bentuk aliran mazhab iaitu Mazhab Qadim ketika beliau berada di Iraq dan mazhab Jadid ketika berada di Mesir. Hal ini berlaku kerana apabila Imam Syafie sampai di Mesir, beliau melihat masalah-masalah baru yang belum pernah dilihatnya. Beliau mendengar hadith-hadith yang belum pemah didengarnya. Kerap kali para mujtahid membetulkan kembali pandangannya. Semua ini adalah sebab-sebab yang membawa kepada berlakunya perselisihan. Kata Imam Syafie radhiallahu anhu;
كل ما قلته فكان من رسول الله خلاف قولي مما صح فهو أولى ولا تقلدونى...
[ Setiap apa yang aku ucapkan dan didapati ia menyalahi pendapatku dari apa yang sahih diriwayatkan daripada Rasulullah, maka (hadith Nabi salallahualaihi wasalam) itu lebih utama, jangan kamu mengikutiku ] [9]
Setiap Ulama yang berijtihad mungkin keliru dan mungkin benar dalam ijtihadnya. Setiap orang berlari atau berjalan mungkin akan jatuh tersungkur atau mungkin akan tersandung batu pada kemudian harinya. Oleh kerana itu, umat Islam perlu memahami disiplin ketika berlaku perselisihan pendapat tanpa membawa kepada pertengkaran, pertikaian serta ta'asub buta. Perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan Ulama Islam adalah disebabkan lahirnya ijtihad, kerana itu Nabi salallahu'alaihi wasallam bersabda;
إذا حكم الحاكم فاجتهد فأصاب فله أجران . وإذا حكم فأخطأ فله أجر واحد...
[ Jika seorang hakim memutuskan lalu berijtihad, kemudian ia benar, maka ia mendapat dua pahala. Dan jika ia memutuskan lalu berijtihad kemudian salah, maka ia mendapat satu pahala ] [10]
Manakala Khalifah Umar Abdul Aziz radhiallahu anhu turut menyebut manfaat yang mampu diperolehi apabila berlakunya ikhtilaf;
ما أحب أن أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يختلفوا، لأنهم إذا اجتمعوا على قول فخالفهم رجل كان ضالاً، وإذا اختلفوا فأخذ رجل بقول هذا ورجل بقول هذا، كان في الأمر سعة...
[ Aku tidak suka jika para Sahabat Rasulullah salallahualaihi wasalam tidak berselisih pandangan, kerana apabila mereka ber’ijma’ (bersepakat ) dalam satu pendapat. Lalu seseorang berbeza pendapat dengan mereka (ijma’ sahabat) nescaya ia sesat. Dan jika mereka (para sahabat) berselisih, Lalu seseorang mengambil pendapat ini dan seseorang yang lain pula mengambil pendapat yang lain, perkara ini adalah luas ] [11]
Pendapat Khalifah Umar Abdul Aziz ini menunjukkan manfaat yang banyak mampu diperolehi apabila perbezaan pendapat berlaku kepada perkara furi'iyyah (cabang). Sekalipun terdapat manfaat apabila berlaku perbezaan pendapat, namun ia bukanlah platform yang mengizinkan kepada semua masyarakat awam turut serta mengenainya. Perbahasan mengenai masalah-masalah ini hendaklah diserahkan kepada mereka yang memiliki autoriti dan diakui kefaqihannya.
Seandainya mana-mana individu dengan sewenangnya mengeluarkan pendapat yang ganjil, sedangkan dia bukanlah ahli atau pakar dalam bidang tersebut maka dengan sendirinya dia bukan mujtahid. Contohnya, golongan-golongan moderate Islam yang menjunjung fahaman liberal dan sebagainya. Mereka ini tidak lansung termasuk di dalam skop mujtahid, tetapi mereka adalah mughayyir terhadap ketetapan hukum-hukum Allah. Imam as Syatibi rahimahullah menerangkan;
من انفع طرق العلم الموصولة إلى غاية التحقق به اخذه عن أهله المتحققين به على الكمال والتمام ...
[ Suatu pendekatan ilmu yang paling berguna untuk mencapai puncak kepastian (dalam bidangnya) ialah mengambilnya secara sempurna dan lengkap dari orang yang pakar tentang ilmu tersebut ] [12]

Prosuder Ulama Dalam Mengizinkan Ikhtilaf

1. Memahami bahawa matlamat ikhtilaf adalah untuk mengembalikan perkara-perkara furu' (ranting) kepada usulnya (akar), juz'iyyat kepada kuliyyat, mutasyabih kepada muhkamatnya, zhanniah kepada qat'iyyah.

2. Khilaf yang berlaku di kalangan para mujtahid hendaklah dalam perkara hukum-hakam yang zhanniah (samar) dalilnya. Adapun yang dalilnya qat’iyyah (jelas) dalam masalah ijma' maka tiada ruang untuk sesiapa berikhtilaf mengenainya seperti menghalalkan arak, zina dan lain-lain lagi. Kata Abu Hurairah radhiallahu anhu;
مسائل إجماع ، وهذه لا يجوز الخلاف فيها ، لأن الإجماع حجة قاطعة...
[Masalah-masalah ijma' (yang disepakati) tidak boleh berlaku pertikaian padanya, kerana ijma' adalah bukti qat'ie (pasti) ][13]
إجماعهم حجة قاطعة واختلافهم رحمة واسعة ...
[ Ijma' mereka adalah bukti yang qat'ie dan perselisihan mereka rahmat yang luas ] [14]

Kata Imam ad Dahlawi rahimahullah;
كان السلف لايختلفون فى أصل المشروعية وإنما كان خلافهم فى أولى الأمرين. ونظيره اختلاف القراء فى وجوه القراءات . وقد عللواْ كثيراً فى هذا الباب بأن الصحابة يختلفون وأنهم جميعاً من الهدى...
[ Para salaf tidak berselisih pendapat dalam perkara yang melibatkan dasar syariat. Mereka hanya berselisih pada perkara yang paling utama di antara dua perkara (pendapat). Dapat dilihat perselisihan ini terdapat pada ahli qari' tentang cara bacaan. Ada ramai Ulama yang menyebut tentang faktor-faktor perselisihan para salaf as Soleh pada masalah ini tetapi mereka semua berada di dalam petunjuk ] [15]

3. Ikhtilaf yang berlaku bukan menurut kehendak golongan yang mempersenda-sendakan hukum-hakam Islam atau menurut kemahuan golongan yang hendak menukar nas muhkamat menjadi mutasyabihat. Firman Allah Taala;
...فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيْلِهِ...
[ Maka mereka mengikuti ayat-ayat mutasyabihat daripadanya untuk menimbulkan fitnah dan mencari-cari ta'wilnya - (Surah al Imran:7:3) ]

Jika platform ikhtilaf dilakukan sedemikian, maka jelaslah di sini terdapat usaha-usaha orientalis untuk memecahbelahkan fahaman masyarakat Islam terhadap masalah-masalah khilafiyyah.
التشكيك فى قيمة الفقه الإسلامى وتشويه الدين الاسلامى وإبراز الخلافيات المذهبية مع شرح مبادئ الاسلام شرحا يشوهها وينحرف بها عن قيمها الأصلية...
[ Meragu-ragukan nilai Feqh Islam dan membuat gangguan terhadap agama Islam dan membesar-besarkan perkara khilaf mazhab-mazhab dengan huraian dasar Islam yang mencemarkan dan mengubahnya daripada nilai ketulenan feqh Islam yang asli ] [16]

4. Menjaga prinsip maratib al ahkam (pengkategorian hukum-hukam) mengikut panduan al Quran dan Sunnah. Hukum yang qat’ie (tetap) hendaklah tetap qat’ie, Hukum yang zhanni (samar-samar) tetap dibiarkan zhanni.

Faktor-Faktor Berlakunya Ikhtilaf

Antara faktor-faktor umum timbulnya ikhtilaf ialah;

Pertama : Perbezaan para Ulama terhadap kefahaman dan tafsiran mereka pada sebahagian nas-nas hukum pada sudut lafaz dan makna. Sebagai contoh, firman Allah Taala;
...وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ ...
[ Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama 3 kali suci - (al Baqarah 2:228) ]

Para Ulama berikhtilaf pada ayat Quru ', adakah ia bermaksud haid atau bersuci.
Dalam mengeluarkan hukum ayat di atas, para imam mazhab berbeza dalam memahaminya. Imam Malik dan Imam Syafie berpendapat bahawa perkataan Quru’ mewakili tempoh bersih dari haid, manakala Imam Abu Hanifah berpendapat ianya mewakili tempoh seseorang itu berada dalam haid. Pendapat Imam Ahmad pula yang pertama mengatakan Quru’ itu adalah masa suci kemudian dalam pendapatnya yang kedua mengatakan ia adalah masa dalam keadaan haid.

Kedua : Perbezaan para Ulama terhadap kualiti dan kuantiti sumber-sumber dalil yang mereka temui. Hal ini berlaku kerana, hadith-hadith pada zaman imam mazhab masih belum dapat dihimpunkan secara sistematik. Para imam mazhab terpaksa mencarinya sendiri dengan berhijrah ke sana sini atau bertanya kepada yang lain. Imam as Syafie rahimahullah pernah bertanya kepada anak muridnya, Ahmad bin Hanbal:
[ Engkau lebih mengetahui akan hadith-hadith daripada aku. Oleh itu jika ada hadith yang sahih beritahulah aku sama ada hadis itu dari Kufah, Basrah atau Syria. Beritahulah aku supaya aku dapat berpegang kepadanya asalkan ianya adalah sahih ] [17]
Kata Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah;
ليس أحد من الأئمة المقبولين عند الأمة قبولا عاما - يعتمد مخالفة رسول الله صلى الله عليه وسلم فى شئ من سنته دقيق ولا جليل. فإنهم متفقون اتفاقا يقينيا على وجوب اتباع الرسول صلى الله عليه وسلم وعلى أن كل أحد من الناس يؤخذ من قوله ويترك إلا رسول الله صلى الله عليه وسلم . ولكن إذا وجد لواحد منهم قول قد جاء حديث صحيح بخلافه فلابد له من عذر فى تركه...
[ Tidak seorangpun imam itu diterima (secara umum) di kalangan umat secara keseluruhannya (pada pendapat mereka) – berbeza pegangan mereka terhadap sunnah-sunnah Nabi salallahualaihi wasalam pada perkara kecil atau besar. Mereka semua bersepakat dan yakin pada kewajipan mentaati Rasulullah salallahualaihi wasalam dan setiap orang itu boleh diambil dan boleh ditolak kecuali perkataan Baginda salallahualaihi wasalam. Tetapi jika ada orang yang meriwayatkan hadith sahih menyalahi pendapatnya, maka diwajibkan tanpa uzur (tidak merasa mudharat) untuk dia meninggalkan pendapatnya itu ] [18]

Ketiga : Tidak mencapai maksud nas-nas al Quran dan Sunnah yang nyata untuk dijadikan sebagai hujjah. Pada lafaz tersebut memiliki maksud yang sangat umum, terkandung di dalamnya kata-kata majaz dan hakikat. Selain itu berlaku banyak perkataan Ulama' untuk mentarjihkan maksud perkataan-perkataan tersebut. Dalam kaedah usul feqh, perkara ini digelar sebagai lafaz hakiki dan lafaz majazi (kiasan). Sebagai contohnya pada firman Allah Taala;
...أَوْ لمَسْتُمُ النِّسَآءَ ...
[ Atau kamu sentuh perempuan - (al Maidah:6:6) ]

Adakah yang dimaksudkan di sini sekadar bersentuhan sahaja seperti pandangan Ibnu Omar atau ianya adalah kiasan bagi persetubuhan sepertimana pandangan Ibnu Abbas?
Keempat : Wujud pandangan fuqaha' yang mutasyaddid (terlalu berhati-hati) dan ada yang mutarakhis (memudahkan). Ibn Umar contohnya, ketika berwudhu' beliau akan memasukkan air ke matanya sehingga menyebabkan beliau buta. Ibn Abbas pula tidak merasakan perkara itu perlu dilakukan sebegitu.

Prinsip Ahli Ilmu Menghadapi Ikhtilaf

Contoh Pertama : Diriwayatkan daripada al Hafiz Khatib al Baghdadi rahimahullah di dalam kitab 'ar Rowah anil Malik' (riwayat tentang Imam Malik), bahawa Khalifah Harun ar Rasyid telah berkata kepada Imam Malik agar menjadikan kitab Muwattha' sebagai rujukan utama bagi sekalian umat. Tetapi Imam Malik radhiallahu anhu dengan kefahaman dan kewarakannya berkata:
يا أمير المؤمنين : إن اختلاف العلماء رحمة من الله تعالى على هذه الأمة، كلٌّ يتبع ما صحَّ عنده، وكلٌّ على هدى، وكلٌّ يريد الله تعالى...
[ Wahai Amirul Mukminin, perselisihan para Ulama (pada perkara furu') adalah rahmat kepada umat ini. Semua mereka boleh diikuti apa yang sah pada mereka, mereka dalam petunjuk (Islam) dan mereka juga mahukan (keredhaan) Allah Taala ] [19]

Contoh Kedua : Kata Imam Abu Bakar al Ajarriy rahimahullah ketika beliau menerangkan kepentingan mendekatkan peranan ilmu dan akhlak kepada anak muridnya;
وإذا سئل عن مسألة فعلم أنها من مسائل الشغب ومما يورث بين المسلمين الفتنة استعفى منها وردّ السائل إلى ما هو أولى به...
[ Jika seseorang ditanya tentang suatu masalah lalu dia mengetahui bahawa masalah-masalah itu menimbulkan kontroversi dan menimbulkan kekacauan di kalangan masyarakat Islam hendaklah dia menghindarkan persoalan itu dan menyarankan orang yang bertanya tentang perkara yang lebih utama ] [20]

Contoh Ketiga : Peristiwa Imam Malik radhiallahua anhu ketika beliau ditanya berkenaan kedudukan istiwa' (bersemayam/ duduk) Allah Taala di arash. Lalu beliau menjawab;
الكيف منه غير معقول والإستواء منه غير مجهول والإيمان به واجب والسؤال عنه بدعة. وأظنك صاحب بدعة وأمر به فأخرج...
[ Bagaimana gambarannya tidak tercapai oleh akal dan duduk-Nya di singgahsana pasti ada (wajib percaya), beriman dengan-Nya wajib, bertanya tentangnya bida’ah. Dan aku menyangka engkau pembawa bida’ah. Lalu (Imam Malik) memerintahkan si fulan (yang bertanya) untuk keluar ] [21]

Adapun kenyataan bahawa Allah duduk bersila diatas arash serupa dengan duduknya manusia adalah perkataan yang muncul dari firqah al mujassamah. Ramai orang menganggap kenyataan itu adalah kenyataan Ibn Taimiyyah rahimahullah. Sedangkan tiada satu bukti yang benar bahawa perkataan itu datang dari ucapan beliau, tuduhan ini hanya semata-mata berdasarkan keterangan dari Ibnu Battutah. Keterangan Ibnu Batutah tidak dapat dijadikan sebagai bukti mutlak bahawa Ibnu Taimiyyah pernah berkata begitu. Jika wujud perkataan itu sekalipun, yang benar ialah beliau mengatakan Allah duduk menurut zat-Nya (pendapat ini juga adalah sebahagian daripada pendapat Ahl Sunnah wal Jama'ah).

Contoh Keempat : Imam al Hafiz az Zahabi rahimahullah di dalam Siyar A'lam an Nubala', mengisahkan seorang tokoh feqh terbesar, Imam Syafie rahimahullah berkenaan perselisihan pendapat beliau dengan Imam al Hafiz Abi Musa Yunus bin Abdul A'la al Masriyy;;
ما رأيت أعقل من الشافعي، ناظرتُه يوماً في مسألة، ثم افترقنا، ولقيني، فأخذ بيدي ثم قال : أيا أبا موسى ألا يستقيم أن نكون إخواناً، وإن لم نتفق في مسألة...
[ Tidak aku lihat orang (Imam al Hafiz Abi Musa Yunus) yang paling berakal selain Imam Syafie. Pada suatu hari aku pernah berdebat dalam satu masalah dan kami bertelingkah, lalu beliau menemuiku serta memegang tanganku kemudian berkata; Wahai Abu Musa hendaklah kita sentiasa bersaudara sekalipun kita tidak bersepakat dalam satu masalah ]

Beberapa Etika Ketika Berlaku Ikhtilaf

[ 1 ] Ikhlas dan menjauhi diri daripada mengikut hawa nafsu. Lapang dada menerima kritikan dan memahami bahawa ia adalah nasihat yang dihadiahkan oleh saudara seaqidah kita.

[ 2 ] Hendaklah memilih ucapan yang terbaik dalam berbincang bersama Muslim. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat dengan kita sebagai sesat, pembuat bida'ah, khurafat, jika kita tidak mempunyai nas-nas syara' yang menyatakan kesalahan mereka. Apatah lagi tuduhan kita berdasarkan syak dan tohmahan buta. Di samping itu, hendaklah meneliti sesuatu masalah dengan penelitian yang rapi. Tidak menggunakan sesuatu istilah atau lafaz kecuali pada tempat yang betul. Ia perlu berdasarkan maklumat yang tepat dan bukan berdasarkan berita angin. Allah Taala berfirman.
...وَقُولُواْ لِلنَّاسِ حُسْنًا...
[ Serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia (al Baqarah:83:1) ]

[ 3 ] Hendaklah memberikan ruang kepada orang lain mengetengahkan pendapat atau hujjah sama ada dari pihaknya atau pihak yang membangkang. Ia tidak boleh memotong percakapan orang lain atau menyakitinya.

[ 4 ] Mestilah menghormati pandangan orang lain, ini terbukti melalui peristiwa muzakarah Abu Bakar dengan Umar al Khattab mengenai pengumpulan al Quran selepas perang Yamamah. Abu Bakar pada mulanya enggan menerima tetapi apabila berlaku muzakarah dengan Umar, maka Abu Bakar mengakui kebenaran Umar dalam mengumpul dan menulis al Quran. Begitu juga kisah Umar al Khattab mengakui kebenaran Abu Bakar ketika mengisytiharkan perang terhadap orang murtad dan orang yang enggan mengeluarkan zakat yang pada mulanya dipersetujui oleh Umar al Khattab.

[ 5 ] Menghormati dan menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh para Ulama mujtahidin dalam pelbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul mahupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.

[ 6 ] Tidak perlu untuk kita memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah. Begitu juga kita dilarang untuk menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang paling relevan di sisi kita. Sebaliknya, kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepakati para Ulama padanya. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
سمعت رجلا قرأ آية سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقرأ خلافها فأخذت بيده فانطلقت به إلى رسول الله عليه وسلم فذكرت له ذلك فعرفت فى وجهه الكراهة. قال: كلاكما محسن ولاتختلفواْ فإن من كان قبلكم اختلفواْ فهلكواْ ( موسوعة الحديث الشريف: حرف )
[Saya telah mendengar seorang membaca satu ayat, padahal aku mendengar Rasulullah salallahualaihi wasalam membaca berbeza dengan bacaannya. Maka aku memegang tangannya kemudian membawanya menemui Rasulullah salallahualaihi wasalam untuk melaporkan kepadanya, maka aku dapati kemurkaan pada wajah Baginda. Lalu Baginda bersabda: Kamu berdua benar dan janganlah berbalah, kerana orang-orang sebelum kamu melakukan perbalahan sehingga mereka binasa ] [22]


Para Ulama Memerangi Ta'assub

Pada zaman Abbasiyyah, kuasa pemerintah ketika itu telah
mengambil dan mengiktiraf pendapat Imam Abu Hanifah sahaja sebagai mazhab rasmi. Hal ini menimbulkan suasana huru-hara di kalangan orang-orang Madinah, Mesir dan lain-lain. Lebih tegang lagi apabila pemerintah-pemerintah Abbasiyyah mencabar dan menganjurkan perdebatan antara tokoh-tokoh mazhab yang berlainan, untuk tujuan peribadi dan hiburan istana. Perbuatan ini telah memburukkan lagi suasana asabiyyah dan ta'assub dalam bermazhab di kalangan umat Islam.

Betapa kejamnya umat Islam jika perasaan ta'assub ini memamah pendirian mereka. Sedangkan al Quran memerintahkan kepada mereka supaya berlaku adil. Firman Allah Taala;
...يأيهَا الذيْنَ ءَامَنُواْ كُوْنُواْ قَوَّمِيْنَ للهِ شُهَدَآءَ بِالْقِسْطِ وَلاَيَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئَا قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى واتَّقُواْ اللهَ إِنَّ الله خَبِيْرٌ بِمَا تَعْمَلُون...
[ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan janganlah sekali-sekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa - (al Maidah:8:6) ]

Lihatlah sikap adil yang ditunjukkan Imam Syafie rahimahullah di dalam syairnya terhadap golongan rafidhoh (Syiah).
إن كان رفضا حب آل محمد * فليشهد الثقلان أنّى رافضى
[ Sekiranya mencintai Ahlul Bait (keluarga Muhammad salallahualaihi wasalam) dikatakan sebagai golongan al rafdh/rafidhoh (fahaman Syi'ah), maka manusia/jin bolehlah menjadi saksi bahawa aku adalah rafidhoh ] [23]

Begitu juga sikap adilnya as Syahid Sheikh Ahmed Yassin rahimahullah melalui kata-katanya;
“…I don’t fight Jews because they are Jews. I fight them because they have stolen and arrogated my land, home and orchards and condemned my people…” [24]

[ Aku tidak menentang Yahudi, kerana mereka bangsa Yahudi. Aku menentang mereka kerana mereka melakukan penaklukan haram dan berasa angkuh terhadap tanah airku, rumah, kebun-kebun dan menghina bangsaku ]

Sikap ta'assub boleh menyebabkan para pengikut sesebuah mazhab sanggup mencipta hadith-hadith palsu bagi mengagungkan mazhab mereka sendiri. Contohnya sebagaimana yang disebut oleh Imam as Syaukani rahimahullah, di mana terdapat pengikut mazhab Hanafi yang bencikan mazhab as Syafie telah mencipta hadith palsu kononnya Rasulullah salallahualaihi wasallam pernah bersabda:
يكون في أمتى رجل يقال له محمد بن إدريس أضر على أمتى من إبليس ويكون فى أمتى رجل يقال له أبو حنيفة هو سراج أمتى...
[ Akan muncul di kalangan umat aku seseorang yang bernama Muhammad bin Idris (as Syafie) yang akan mendatangkan kerosakan kepada umatku lebih buruk daripada Iblis dan muncul di kalangan umat ini seorang pemuda yang bernama Abu Hanifah yang menjadi penerang umat ] [25]

Hadith ini turut disebut palsu sebagaimana yang diberitahu oleh Ibn Qayyim al Jawzy rahimahullah di dalam kitabnya al Maudhu‘aat. Manakala gurunya, Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah menyebut keburukan-keburukan ta'assub di dalam al Fatawa;
ومن تعصب لواحد بعينه من الأئمة دون الباقين فهو بمنزلة من تعصب لواحد بعينه من الصحابة دون الباقين: كالرافضي الذي يتعصب لعلي دون الخلفاء الثلاثة وجمهور الصحابة، وكالخارجي الذي يقدح في عثمان وعلي رضي الله عنهما؛ فهذه طرق أهل البدع والأهواء الذين ثبت بالكتاب والسنة والإجماع أنهم مذمومون، خارجون عن الشريعة والمنهاج الذي بعث الله به رسوله -صلى الله عليه وسلم-. فمن تعصب لواحد من الأئمة بعينه ففيه شبه من هؤلاء، سواء تعصب لمالك، أو الشافعي، أو أبي حنيفة، أو أحمد، أو غيرهم. ثم غاية المتعصب لواحد منهم أن يكون جاهلاً بقدره في العلم والدين، وبقدر الآخرين؛ فيكون جاهلاً ظالماً، والله يأمر بالعلم والعدل، وينهى عن الجهل والظلم...
[ Sesiapa yang ta'assub (fanatik) kepada satu pandangan imam dan mengabaikan yang lain, Dia seumpama golongan Rafidhah yang ta'assub kepada Khalifah Ali dengan menyisihkan para khulafa’ yang tiga (Abu Bakar, Umar & Uthman) serta majoriti para sahabat. Dia juga seumpama golongan Khawarij yang mengecam Uthman dan Ali radhiallahu anhuma. Yang demikian itu merupakan jalan Ahlul Bida‘ah dan Ahlul Ahwaa’ (orang yang mendewakan hawa nafsu) yang telah thabit di dalam al Kitab dan as Sunnah serta Ijma’ sebagai orang yang tercela. Mereka terkeluar daripada syariat dan manhaj yang diturunkan oleh Allah melalui Rasul-Nya salallahualaihi wasallam. Justeru sesiapa yang ta'assub kepada salah seorang imam maka dia sama seperti mereka, sama ada dia ta'assub kepada Imam Malik , as Syafie, Abu Hanifah atau Ahmad dan selain dari mereka. Seburuk-buruk akibat bagi orang yang ta'assub kepada salah seorang imam mazhab ialah dia menjadi jahil akan kemampuannya di dalam ilmu dan agama serta tidak tahu akan kemampuan orang lain sehingga akhirnya dia menzalimi diri sendiri dengan kejahilan tersebut. Padahal Allah menyuruh kepada sifat berilmu dan adil dan melarang daripada sifat jahil dan zalim ] [26]

Sikap-sikap ta'assub yang merosakkan pernah berlaku pada zaman Islam Uthmaniyyah, sehingga ia menyebabkan Empayar Islam ketika itu jatuh. Ini kerana, ancaman sebenar pada masa tersebut ialah;

Pertama: Serangan kuasa bersekutu dari pihak kuffar.

Kedua: Rakyat Islam sendiri berpecah pada masa tersebut.
Sejarah telah membuktikan betapa malangnya umat Islam apabila sikap fanatik menelan segala kekuatan gerakan dakwah, pertahanan dan ciri-ciri mulia umat Islam. Firman Allah Taala;
...وَإِن جدَلُوكَ فَقُلِ اللهُ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُون . الله ُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ فِيْمَا كَانُواْ فِيْهِ يَخْتَلِفُون...
[ Dan jika mereka mengemukakan bantahan terhadap kamu, maka katakanlah; " Allah lebih mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan". Allah akan mengadili di antara kamu pada Hari Kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya (al Hajj:68-69:17) ]

Sikap ta'assub ini juga menyebabkan wujud kelompok yang gemar menaqalkan ucapan-ucapan imam ikutan mereka dan menyebarluaskannya khususnya dalam tajuk-tajuk yang mereka perselisihkan. Kewajiban penuntut ilmu adalah menjaga lisannya dari menaqalkan perkataan-perkataan, dengan tujuan untuk menimbulkan sikap tidak sepakat mereka terhadap imam-imam lain. Tidak layak kita disibukkan dengan hal yang tidak bermanfaat seperti ini, kecuali jika (menukil perkataan itu) ada maslahah kebaikan, maka hal itu diperbolehkan.
Firman Allah Taala;
...لاَّ خَيْرَ فِى كَثِيرٍ مِّنْ نَّجْوَاهُمْ إِلاَّ مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُفٍ أَوْ إِصلاحٍ بَيْنَ النَّاس...
[ Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali pada perkara suruhan untuk bersedeqah, berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia - (an Nisa':114:5) ]
Tidak seharusnya kita bersikap ta'assub terhadap mana-mana tokoh Ulama. Sebaliknya umat Islam perlu berlapang dada bahawa sesiapa sahaja adalah manusia yang tidak terjamin daripada melakukan ketidaktepatan dan kekeliruan tafsiran agama. Tetapi jauh sekali untuk kita mengambil faktor kekeliruan tersebut, menjauhkan diri daripada kebenaran yang disampaikan oleh mereka. Betapa rasionalnya penghormatan dan pengiktirafan yang diberikan oleh umat Islam kepada para Ulama Islam kerana mereka adalah penyuluh syariat Allah. Walaupun begitu, penghormatan ini adalah atas valid diniyyah bukannya bersifat peribadi sehingga mengundang ta'assub dan memuliakan mereka melebihi daripada apa yang telah diperuntukkan oleh Allah.

Teladan Daripada Komponen Elektrik

Suatu pengamatan menarik ingin penulis nukilkan tentang fenomena ikhtilaf yang diceritakan oleh Saudara Farisul Farhan bin Abdul Wahab, lulusan B.Eng(Hons) Electrical Engineer. Beliau telah mengaitkan suatu teladan yang perlu kita contohi melalui sistem penjanaan elektrik yang disalurkan oleh transformer.
Kata beliau;
"…Transformer memiliki tiga fasa, digunakan untuk menjana dan mengalirkan tenaga elektrik yang banyak. Pertamanya, generator yang mempunyai kuasa besar berkemungkinan akan menyalurkan lima kali ganda nilai kVA yang kepada transformer. Hal ini menjadikan transformer dan 'ahli keluarganya', antara komponen terpenting di dalam proses penjanaan tenaga elektrik. Kedua, antara sistem terpenting yang wujud dalam komponen transformer dan sering hadir dalam tugas-tugasan menyalurkan elektrik ialah Step-up transformer yang berperanan meninggikan lagi tenaga elektrik itu. Dan ketiga, wujud pula step-down transformer yang berperanan merendahkan tenaga elektrik yang mengawal kestabilan gelombang elektrik berkuasa tinggi.

Jika diperhatikan daripada perjalanan kisah ini, walaupun kedua-dua jenis sistem transformer tersebut mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berlainan tetapi ia tetap hidup harmoni. Barangkali komponen statik bernama transformer itu lebih menghayati pesanan Allah di dalam al-Quran; “…Sesungguhnya kamu merupakan umat yang satu…” Inilah rahsia ajaran Ilahi dalam merumuskan formula menjalinkan kesefahaman bahkan kepada ahli kitab; “…Katakanlah; Wahai ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimat yang sama tiada perbezaan antara kami dan kamu…”

Perbezaan selagi tidak menyangkut masalah dasar (usul aqidah) haruslah di”tenggelamkan” buat sementara waktu, tambahan pula dalam kondisi umat yang terus dibantai oleh musuh. Bermula dengan pencerobohan Yahudi di bumi Palestin, sikap diskriminasi Kristian terhadap Muslimin di Amerika, pembantaian Hindu terhadap golongan Muslim di Kashmir dan sebagainya. Andainya umat lebih menumpukan isu-isu sebegini, tentunya persefahaman, kesepakatan dan perpaduan antara umat Islam mampu dicapai.

Semangat membara yang dimiliki oleh step-up transformer, sehingga mampu meledakkan tenaga elektrik, harus dicontohi oleh kita semua. Kerana kebangkitan dan kesedaran ini, harus dijanakan oleh suatu keazaman dan keteguhan yang dikandung oleh insan-insan berjiwa “step-up transformer”. Tetapi kelancaran aliran elektrik berjiwa step-up transformer ini, kadang-kadang perlu distabilkan oleh step-down transformer. Ini kerana, tanpa kehadirannya akan menyebabkan sumber tenaga yang hendak disampaikan tidak dapat membawa manfaat. Sebaliknya membakar pengguna akibat gelombang kuasa yang besar…"

Itulah sebabnya kebangkitan Islam haruslah diadun oleh 2 unsur: (1) Hikmah masyayikh (mereka yang berpengalaman) (2) semangat syabab (pemuda). Pemuda ibarat step-up transformer, dipenuhi semangat yang bermega voltan pengorbanannya dan mampu memastikan perjuangan berterusan (istimrariyah). Sedangkan mereka yang mempunyai banyak pengalaman, berfungsi sebagai step-down transformer. Mereka lebih matang menilai suasana demi menjaga asholah (keaslian/ketulenan) dakwah Islam.

Demikianlah beberapa butiran yang mungkin dapat dijadikan bahan renungan dalam usaha mewujudkan suasana harmoni ketika berlaku ikhtilaf. Rasulullah salallahualaihi wasalam turut memberikan gambaran dengan begitu menarik sekali, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Nu'man bin Basyir radhiallahu anhu bahawa Rasulullah salallahualaihi wasalam bersabda:
مثل القائم على حدود الله والواقع فيها كمثل قوم استهمواْ على سفينة فأصاب بعضهم أعلاها وبعضهم أسفلها إذا استقواْ من الماء مروا على من فوقهم فقالواْ لو أنَّا خرقنا فى نصيبنا خرقا ولم نؤذ من فوقنا فإن يتركوهم وما أرادواْ هلكواْ جميعا وإن أخذواْ على أيديهم نجواْ ونجواْ جميعاً...
[ Perumpamaan orang yang berpegang dengan hukum-hukum Allah dan yang melanggarnya itu bagaikan kaum yang sama-sama menaiki kapal, sebahagian ada yang di atas dan sebahagian ada yang di bawah, orang-orang yang berada di bawah apabila ingin mengambil air mereka mesti melalui orang-orang yang berada di atas, lalu orang-orang yang di bawah itu berkata; Seandainya kita lobangi (kapal ini) untuk memenuhi kehendak kita maka kita tidak perlu mengganggu orang-orang yang ada di atas kita. Maka jika orang-orang yang di atas itu membiarkan kemahuan mereka yang di bawah, akan tenggelamlah semuanya, dan jika mereka menahan tangan orang-orang yang di bawah (daripada perbuatan itu) maka akan selamat dan selamatlah semuanya ] [27]

Realiti Ikhtilaf Zaman Ini

Kata Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah;
قد كان العلماء من الصحابة والتابعين ومن بعدهم إذا تنازعوا فى الأمور اتبعوا أمر الله تعالى فى قوله تعالى (( فإن تنازعتم فى شئ فردوه إلى الله والرسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر ذلك خير وأحسن تأويلاً)) وكانوا يتناظرون فى المسائل مناظرة مشاورة ومناصحة وربما اختلف قولهم فى المسألة العلمية والعملية مع بقاء الألفة والعصمة وأخوة الدين
[ Pada zaman dahulu para Ulama di kalangan sahabat dan tabi’en serta orang-orang yang selepas daripada mereka, apabila berselisih faham dalam sesuatu perkara mereka akan mengikut arahan Allah Taala di dalam firman-Nya; …Apabila kamu berselisih faham tentang sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah Taala dan Rasul-Nya, jika kamu beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih utama & lebih baik kesudahannya…(Surah an Nisa’:59:3) Mereka menyatakan pandangan dalam menyelesaikan masalah dengan perdebatan yang berbentuk perbincangan dan nasihat menasihati. Barangkali mereka berselisihan pendapat dalam masalah ilmiah dan praktikal sedangkan kekal di hati mereka sikap lembut, keteguhan dan persaudaraan dalam beragama ] [28]

Pertikaian tokoh-tokoh Ulama terhadap sesuatu perkara, banyak berlaku pada masalah pentarjihan ilmu. Sekalipun berlaku situasi tersebut, mereka sama sekali tidak merendahkan peribadi saudara-saudara mereka yang tidak sependapat dengan mereka. Melihat realiti zaman ini, kita banyak terjebak dengan memikirkan masalah-masalah terminologi sehingga mengundang bahaya kepada pemikiran umat. Seterusnya memburuk-burukkan peribadi tokoh-tokoh ilmuan yang telah dahulu berjuang dan meninggalkan kita. Firman Allah Taala;
...وَلاَ يَغْتَبْ بَعْضكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدكم أَنْ يَأكُلَ لَحْمَ أَخِيْهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوه واتَّقُواْ الله إنَّ اللهَ تَوَّاب رَحيم...
[ Dan jangan mengumpat sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain, adakah seorang dari kamu gemar salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati, sudah tentu kamu membencinya (jijik). Bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Pengasih (al Hujarat:13:26) ]
Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
لما عرج بى مررت بقوم لهم أظفار من نحاس يخمشون وجوههم وصدورهم فقلت من هؤلاء يا جبريل؟ .قال هؤلاء الذين يأكلون لحوم الناس ويقعون فى أعراضهم...
[ Ketika aku dimi'raj (diangkat ke langit) aku telah melalui suatu kaum yang berkuku besi, mencakar-cakar wajah mereka dan dada-dada mereka. Lalu aku berkata kepada Jibril; Siapakah mereka? Jibril menjawab; Mereka adalah orang yang memakan daging-daging manusia dan melakukan celaan pada harga diri manusia ] [29]

Jika dibuat perbandingan, asas perbezaan pandangan itu adalah ilmiah demi mencari kebenaran. Berbeza dengan iftiraq (perpecahan) yang banyak mengetengahkan aspek kekuasaan, penyelewengan, penipuan dan kekerasan apabila berbeza pandangan. Manakala aspek kekuasaan itu pula, penggunaannya banyak dimonopoli oleh para penguasa apabila berbeza pandangan dengan para Ulama. Banyak keburukannya apabila syariat dikuasai oleh penguasa (umara') yang mementingkan cita-cita politik mereka.

Peranan para Ulama dalam usaha melunaskan hak-hak syariat selaras menurut petunjuk al Quran dan Sunnah disekat dan dibataskan, semata-mata untuk memperkukuhkan kekuasaan pemerintah. Sebagai contoh, Imam Malik rahimahullah telah mengeluarkan fatwa bahawa suatu penceraian itu tidak sah jika orang yang melakukannya berada dalam tekanan. Keputusan Imam Malik ini akhirnya menyebabkan beliau ditangkap dan dicambuk dengan tidak berperikemanusiaan sehingga salah satu lengannya lumpuh buat selamanya. Walaupun perkataan Imam Malik itu berdasarkan pemerhatiannya terhadap nas-nas syara', namun fatwanya dianggap berbaur politik dan cuba menentang khalifah.

Di Nusantara khususnya di tanah Melayu, proses pengislahan yang dilakukan oleh al Marhum Dr. Burhanuddin Helmi supaya masyarakat Melayu kembali membela nilai-nilai Islam mendapat tentangan dari pihak penguasa. Perjuangannya bukan kerana wang, bukan menuntut pengaruh, bukan sengaja mencari propaganda, tetapi adalah usaha menggerakkan proses Islamisasi di tanah Melayu. Namun, akhirnya turut menerima hukuman (punishment)daripada penguasa. Ramai lagi para ilmuan Islam yang turut mengalami berbagai-bagai bentuk penganiayaan dan penyeksaan dari penguasa kerana perbezaan pendapat di kalangan mereka.

Hal ini berlaku kerana sikap penguasa yang lebih mengutamakan kepentingan politik daripada sumber Islam yang ma'thur. Manakala para Ulama ketika itu lebih tega dihukum dari turut bersekongkol bersama penguasa yang melakukan reaksi jahil secara total. Para Ulama bertanggungjawab untuk membina roh masyarakat selaras dengan pengukuhannya terhadap syariat Islam. Manakala tugas menasihati penguasa yang zalim adalah tugas mulia dan amanah keagamaan yang perlu dilaksanakan tanpa sedikitpun rasa bersalah.

Dalam pada itu golongan yang melabelkan kebenaran Islam sebagai mekanisma perjuangan, sudah pasti tidak akan membenarkan perpecahan berlaku, kecuali;

Pertama: Berlaku kekacauan pada perkara usul aqidah seperti menyelewengkan hak-hak syariat Islam, mempertikai hadith Rasulullah salallahualaihi wasalam sebagai dalil syara' dan sebagainya. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
لا طاعة لمخلوق فى معصية الله إنما الطاعة فى المعروف...
[ Tidak ada ketaatan kepada makhluk untuk melakukan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah pada perkara kebaikan ] [30]

Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam lagi;
السمع والطاعة حق مالم يؤمر بالمعصية فإذا أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة...
[ Mendengar dan taat sangat dituntut pada perkara yang tidak menyuruh kepada maksiat (kepada Allah dan Rasul-Nya), lalu jika perintah tersebut menyuruh kepada maksiat maka jangan dengar dan jangan taat ] [31]

Kedua: Bila teguran untuk menyatakan tanggungjawab melaksanakan perkara-perkara yang melibatkan hak-hak Islam, ditentang dan dibidas dengan jawapan yang tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim. Manakala kekerasan pula digunakan untuk menghalang usaha-usaha mendaulatkan hukum Islam kepada manhajnya. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
أنه سيكون بعدي أمراء فمن دخل عليهم فصدقهمُ بكذبهم وأعانتهم على ظلمهم فليس مني ولست منه وليس بوارد علي الخوض ومن لم يدخل عليهم ولم يعنهم على ظلمهم ولم يصدقهم بكذبهم فهو مني وأنا منه وهو وارد علي الخوض...
[ Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin (zalim dan pembohong), sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalangan umatku dan mereka dari kalangan yang akan mendatangi telaga (di syurga) ] [32]
Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam lagi;
ومن قاتل تحت راية عمية يغضب لعصبة أو يدعواْ إلى عصبة أو ينصر عصبة فقتل فقتلة جاهلية...
[ Sesiapa yang berperang dibawah panji buta dan marah kerana asobiyyah (sikap jahil terhadap kepuakan) dan menyeru kepada asobiyyah atau membantu kerana asobiyyah maka kematiannya adalah mati jahiliyyah ] [33]
Lafaz ' panji buta ' di dalam hadith ini ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil. Sekiranya berjuang dalam keadaan yang tidak tahu benar atau salah dianggap mati dalam jahiliyyah, apatah lagi golongan yang mempertahankan pemimpin yang diketahui umum penyelewengannya.

Ketiga: Pemimpin yang munafiq dan taghut, mengaku memperjuangkan kalimah Islam tetapi kaedahnya menyalahi tuntutan al Quran dan Sunnah. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
يخرج فى آخر الزمان رجال يختلون الدنيا بالدين يلبسون للناس جلود الضأن من اللين ألسنتهم أحلى من السكر وقلوبهم قلوب الذئاب...
[ Akan datang di akhir zaman seorang lelaki yang melakukan tipu daya di dunia dengan menggunakan nama agama. Mereka mempengaruhi manusia dengan mengadu domba melalui kelembutan lidah-lidah mereka yang lebih manis daripada gula, sedangkan hati mereka hati serigala ] [34]

Firman Allah Taala;
...يَأيهَا النَّبِى جَاهِدُ الكُفَّارَ وَالمُنَافِقِينَ واغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِير...
[ Wahai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah neraka Jahannam. Dan itulah tempat kembali yang seburuk-buruknya - (at Taubah:73) ]

Di dalam ayat ini, Allah memerintahkannya kepada Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam untuk berjihad menentang orang-orang kafir dengan senjata. Manakala orang-orang munafiq dengan lisan dan menghilangkan sikap lemah lembut terhadap mereka. Oleh kerana itu, wajib untuk kita memastikan watak pemimpin kita yang sebenar. Pastikan mereka adalah di kalangan orang yang benar dalam memperjuangkan Islam dan bukan sekadar menjadi jaguh menyebut kalimah-kalimah perjuangan. Apabila fenomena sikap pemerintah seperti ini wujud dalam negara, lahirnya parti-parti/ firqah-firqah perlu dilakukan demi menjamin kesucian agama.
Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
أوصيكم بتقوى الله والسمع والطاعة وإن عبدا حبشيا فإنه من يعش منكم بعدى فسيرى اختلافاً كثيرا. فعليكم بسنتى وسنة الخلفاء المهديين الراشدين تمسكواْ بها وعضواْ عليها بالنواجذ...
[ Aku mewasiatkan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah, dengar dan taat sekalipun ia (datang dari mulut) berbangsa Habsyi. Maka sesungguhnya siapa yang hidup selepasku akan bertebaran perselisihan pandangan yang banyak. Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para pemimpin yang diberi petunjuk (Islam), gengamlah seerat-eratnya dan gigitlah ia dengan gigi geraham ] [35]

Penutup

Sahabat-sahabat pembaca yang dirahmati Allah, sesungguhnya para ilmuan Islam sejati mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak dipunyai oleh ilmu-ilmu yang lain. Bahkan dalam keadaan tertentu, mereka mampu membuat kejutan yang jauh lebih besar terhadap pengaruh ahli-ahli politik. Walaupun perubahan yang terhasil daripada gerakan dakwah kelihatan perlahan dan gradual, namun ia tetap memberikan kesan yang mendalam terhadap kebangkitan umat. Kebangkitan generasi ilmuan, biarlah atas dasar ilmiah bukan perasaan ta’assub sehingga mampu memusnahkan masyarakat.

Persoalan-persoalan yang menjahanamkan keizzahan hukum-hakam Islam seperti; Haruskah mereka yang Hanafiyyah berkahwin dengan mereka Syafieyyah? Adakah sah solat orang yang bermazhab Hanafi, sedangkan imamnya bermazhab Syafie? mampu memberikan gambaran perkembangan dakwah yang tidak sihat. Masyarakat Jepun antaranya apabila hendak memeluk Islam mereka akan bertanya tentang masalah-masalah seperti ini; Apakah dia mazhab dalam Islam? Adakah menjadi kewajipan bagi umat Islam memeluk salah satu di antara mazhab seperti; Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali? Tidakkah dengan wujudnya mazhab-mazhab ini menyebabkan perselisihan yang besar?

Bagi masyarakat Jepun, senario ini samalah seperti siri kartun ' Naruto ' di mana wujud clan (suku kaum)yang berbilang-bilang seperti Hyuuga clan, Uchicha clan, Nara clan, Aburame clan, Kaguya clan, Inuzuka clan. Masing-masing mempertahankan kepentingan puak mereka. Jika mereka bermusuhan, maka rosaklah identiti kampung mereka dan musuh-musuh mereka berpeluang besar untuk menawan beberapa wilayah kekuasaan mereka. Manakala Hokage yang berperanan sebagai ketua wilayah (khalifah) bertanggungjawab memastikan anak buahnya yang berpuak-puak itu, tidak berada di dalam keadaan huru-hara.

Dr. Yusuf al Qardhawi hafizahullah dalam risalah khutbahnya ada menggambarkan tentang pengembaraan dakwahnya ke Jepun;
اليبانيون يمكن أن يدخلواْ فى الإسلام لو وجدواْ الدعاة الصادقين. الدعاة الذين يعيشون بالإسلام وللإسلام. وأنا قلت للإخوة : إنكم تؤثرون فى اليبانيون بسلوككم أكثر مما تؤثرون بكلامكم. فلسان الحال أبلغ من لسان المقال. بماذا انتشر الإسلام فى البلاد التى دخلها؟ هل انتشر بالسيف كما يقول المبشرون والمستشرقون وأمثالهم؟ لا والله.. إن السيف قد يفتح أرضا ولكنه لايفتح قلباً ( خطب الشيخ القرضاوى )
[ Masyarakat Jepun barangkali ingin memeluk Islam jika di sana terdapat para pendakwah yang jujur (benar melaksanakan tanggungjawab). Mereka adalah pendakwah yang hidup dengan Islam dan (segala-galanya) untuk Islam. Dan saya menuntut kepada saudara; Sesungguhnya kamu boleh memberi kesan kepada masyarakat Jepun melalui akhlak (perilaku) kamu, lebih banyak berbanding dengan kata-kata kamu. Maka perkataan yang produktif lebih diterima berbanding perkataan yang pasif. Bagaimana Islam tersebar di negara-negara yang dimasukinya? Adakah berleluasanya senjata sebagaimana disebut oleh para missonari, orientalis dan yang seangkatan dengannya? Tidak!! Demi Allah.. sesungguhnya senjata telah membuka (penguasaan) dunia, tetapi tidak membuka hati mereka ] [36]

اللهم رب جبرائيل وميكائيل وإسرافيل فاطر السماوات والأرض عالم الغيب والشهادة أنت تحكم بين عبادك فيما كانواْ فيه يختلفون . اهدنا لما اختلف فيه من الحق بإذنك إنك تهدى من تشاء إلى صراط المستقيم... ( ابتهالات ودعوات : د. يوسف القرضاوى )
[ Ya Allah, Tuhan kepada Jibril, Mikail dan Israfil, Yang menciptakan langit-langit dan bumi, Yang mengetahui perkara ghaib dan yang nampak, Engkau menghukumkan di antara hamba-hamba-Mu pada perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkan kepada kami kebenaran dari apa-apa yang mereka perselisihkan dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk sesiapa yang engkau kehendaki menuju jalan yang lurus ] [37]

*****

Buat dua orang sahabat paling akrab, Mohamad Fairul Izwan bin Tawal dan Mohd Adib bin Afandi, telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Mac 2006, semoga pemergian rohnya dicucuri rahmat… al Fatihah…
اللهم أنت ربهما وأنت خلقتهما وأنت هديتهما للإسلام وأنت أعلم سرها وعلانيتهما...فاغفرلهما وبلغهما بالكرامة مواطن السلامة حتى نجتمع برأفتك فى دار كرامتك . برحمتك يا أرحم الراحمين

Oleh : Mohd Azmir Hj. Maideen. Usuluddin (Dakwah wa Thaqafah Islamiyyah)
Jami'atul Al Azhar, Kaherah 2006

Nota Hujung

[1] Musnad Ahmad no:7595.
[2] Sunan at Tirmidzi no:2554.Bab:ما جاء أن الإسلام بدأ غريبا سيعود غريباً
[3] Sahih Bukhari no:5535.Bab: رحمة الولد وتقبيله ومعانقته
[4] Dr.Yusuf al Qardhawi: الصحوة الإسلامية بين الجحود والتطرف :146,Mu'asasah ar Risalah1998
[5] Sahih Bukhari no:894.Bab:صلاة الطالب والمطلوب راكبا وإيماء
[6] Dr. Tola'at Mohammad Afifi: أدب الاختلافات الفقهية وأثره فى العمل الإسلامى المعاصر :25,Darul Salam2005
[7] Ibid.h:23. Perkataan'dia' di sini merujuk kepada salah seorang Ulama, Imam Syafie rahimahullah.ruj. Sheikh Abdullah al Ghaniman: الهوى وأثره فى الخلاف :http://www.freewebs.com/bismillah/kutubsaid1.htm
[8] Ibid.h:16.
[9] Az Zahabi: سير الأعلام النبلاء : 10/33,HARF
[10] Sahih Bukhari no:6805. Bab: أجر الحاكم إذا اجتهد فأصاب أو أخطاء
[11] Dr. Tola'at Mohammad Afifi, op.cit,h:20
[12] As Syatibi: الموافقات فى أصول الأحكام :Dar al Hadith1998
[13] Ad Dahlawi: الإنصاف فى بيان سبب الاختلاف :36, tanpa tarikh dan penerbit.
[14] Ibid.h:37
[15] Ibid.h:43, Dr. Tola'at Mohammad Afifi, op.cit,h:22.
[16] Nota Kuliyyah: بحوث فى الإستشراق والتبشير وقوى الاستنارة فى مصر ,Kuliyyah Dakwah wa Thaqafah Islamiyyah2006
[17] Ad Dahlawi, op.cit,h:43.
[18] Dr. Tola'at Mohammad Afifi, op.cit,h:14.
[19] Ibid.h:32.
[20] Ibid.h:43. أخلاق العلماء :35,Dar ad Dakwah.
[21] Ibid.h:44. حلية الأولياء :6/325,Dar al Kuttab al Arabi1985.
[22] Sahih Bukhari no:2233.Bab: ما يذكر فى الإشخاص والخصومة بين المسلم
[23] Dr. Yusuf al Qardhawi,op.cit.h:34.
[24] Khaled Amayreh:Q News:19,April2004
[25] Dr. Tola'at Mohammad Afifi, op.cit,h:62. الفوائد المجموعة فى الأحاديث الموضوعة :420, Sunnah Muhammadiyyah1961
[26] Dr. Abdul Aziz bin Uthman: استراتيجية التقريب بين المذاهب الإسلامية : http://www.freewebs.com/bismillah/kutubsaid1.htm
[27] Sahih Bukhari no:2313.Bab:هل يرقع فى القسمة والاستهام فيه
[28] Nota Kuliyyah: منهج القرآنى فى حماية الأعراض وصيانتها :Kuliyyah Dahwah wa Thaqafah Islamiyyah2006
[29] Sunan Abi Daud no:4235.Bab:فى الغيبة
[30] Musnad Imam Ahmad no:686.Bab:ومن مسند على بن أبى طالب رضى الله عنه
[31] Sahih Bukhari no:2735.Bab: السمع والطاعة للإمام
[32] Sunan at Tirdmizi no:558.Bab::ماذكر فى فضل الصلاة
[33] Sahih Muslim no:3436.Bab:وجوب ملازمة جماعة المسلمين عند ظهور الفتن
[34] Sunan at Tirdmizi no:2328.Bab:ما جاء فى ذهاب البصر
[35] Sunan Abi Daud no:3991.Bab:فى لزوم السنة
[36] Dr Yusuf al Qardhawi: خطب الشيخ القرضاوى :101, Maktabah Wahbah2001
[37] Dr. Yusuf al Qardhawi:ابتهالات ودعوات :49,Dar al Qalam2002

0 ulasan:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.