SOALAN-SOALAN BOCOR

Menurut Abi Barzah ra , Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud : “ Tidak berganjak kaki seseorang hamba sehingga ditanya 4 perkara , umurnya dimana dihabiskan , ilmunya apa yang dibuat dengannya , hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dihabiskan , dan jasadnya , bagaimana digunakan . ( kata al-Tirmiziy ia adalah hasan sahih )


Manusia tidak dicipta secara sia-sia . Allah swt berfirman dalam surah al-Qiyamat ayat 36 yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?”.


Nikmat kurniaan Allah terlalu banyak , dan nikmat yang dianugerahkan ini perlu disyukuri . Dalam kenyataan Nabi ini , diingatkan kita kepada nikmat yang besar sahaja iaitu ; umur , ilmu , harta dan kesihatan . Semua aktiviti yang dilakukan manusia sebenarnya terbatas dalam keempat perkara ini .


Sebagai contoh , waktu hayat yang diberikan Allah merupakan waktu untuk membolehkan kita beramal dan bekerja demi kepentingan kita di dunia dan akhirat . Gesaan yang terdapat dalam al-Quran tentang peri pentingnya mengisi masa dengan sebaik mungkin terlalu nyata . Hakikat ini dapat dirasakan apabila kita menyelak ayat-ayat yang menyentuh persoalan waktu . Alangkah bahagianya insan yang merasai perselisihan waktu yang berlaku dalam hidup sehingga menyedarkannya terhadap peri pentingnya ‘ times management’ . Kesedaran terhadap perubahan musim dan suasana boleh menjana kesedaran ke arah produktiviti yang mesti dipertingkatkan . Sepasang suami isteri tentunya menyedari pertambahan usia memestikan pertambahan dari sudut komitmen yang wajar dipertingkatkan . Anak-anak yang merasai perubahan umur menyebabkannya menjadi lebih bersedia untuk masa depan yang belum pasti . Pekerja yang berkhidmat dengan majikannya akan merasai keperluan membaiki mutu kerjanya dengan bertambahnya seniority di tempat kerja .


Perkara kedua yang disentuh oleh hadith yang mulia ini ialah ilmu . Masa merupakan kehidupan seperti yang dijelaskan oleh banyak intisari ayat-ayat al-Quran. Ilmu pula merupakan unsur kehidupan yang paling penting . Ayat-ayat Quran meletakkan kemuliaan manusia yang menyebabkan malaikat perlu sujud kepadanya ialah disebabkan anugerah ilmu yang diberikan kepadanya . Allah berfirman dalam surah al-baqarah ayat 30-31 yang bermaksud : “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".


Demikian pula Allah menyatakan dalam surah al-Rahman ayat 3 yang bermaksud : “Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.” . Dengan ilmulah menyebabkan manusia terselamat dari belenggu kesesatan dan kerugian di dunia dan akhirat . Al-Imam Al-Ghazali menyatakan dalam kitab tasawwufnya yang hebat bahawa hati boleh mati jika tidak mendatangi majlis ilmu melebihi 40 hari .


Para pendidik perlulah berusaha menyampaikan ilmu yang merupakan amanah Allah secara dedikasi . Ibu bapa berperanan mengajak anak-anak ke pusat-pusat pendidikan sebagai usaha menyelamatkan generasi itu dari menjadi ketinggalan . Suami hendaklah berusaha memberikan isteri peluang mencari ilmu terutamanya yang bersifat fardhu ain . Galakan dan motivasi perlu diberikan dari masa ke masa .


Perkara ketiga yang disebut dalam hadith ini ialah kepentingan mengawasi harta yang dicari . Harta mestilah dicari dari sumber-sumber yang halal , bukannya diperolehi secara zalim dan menganiaya orang lain . Pemerolehan harta dari sumber yang haram yang menjadi darah daging akan menyebabkan doa ditolak seperti yang dinyatakan dalam hadith sahih . Memakan harta yang haram menyebabkan hubungan antara manusia menjadi porak pranda . Selain itu hati yang berlaku demikian juga akan mewarisi sifat angkuh , keras hati dan menzalimi yang empunya hak .


Selain dari sumber yang akan dipersoalkan di hadapan mahkamah Allah , hamba juga akan disoal kemanakah harta tersebut dibelanjakan . Penilaian yang paling tinggi disisiNya ialah perbelanjaan untuk jalanNya . Ganjaran yang hebat juga diperuntukkan buat nafkah kepada kaum keluarga . Nabi saw bersabda yang bermaksud : “ dan tidaklah ada keberkatan terhadap rezki yang diperolehi secara haram yang dibelanjakan , dan tidak pula diterima sadaqah dari sumber yang haram dan apa yang ditinggalkan untuk warisnya akan menyebabkan menjadi bekalannya ke neraka, dan tidaklah boleh digunakan untuk menghapuskan dosa dengannya”.


Pesanan terakhir dari hadith ini ialah nikmat kesihatan yang digambarkan menerusi tubuh badan . Pertolongan yang diberikan kepada seorang kawan untuk menaikkan bebanan ke kenderaannya sudahpun dikira di sisi Allah sebagai sedeqah . Pertolongan kepada orang cacat penglihatan juga dikira sedeqah . Demikan juga perkara-perkara lain yang dilakukan dengan anugerah tubuh yang sihat kurniaanNya mestilah digunakan sepenuhnya untuk perkara ketaatan . Rahmat Allah kepada hambaNya menyebabkan hamba yang tidak mampu berpuasa dibolehkan berbuka untuk kesihatan. Demikian juga orang yang bermusafir dibolehkan berbuka untuk membolehkannya menjaga kesihatannya . Di situlah tersembunyi rahsia mengapa Islam mengaharamkan sebarang perkara yang boleh memudaratkan kesihatan .

Rujukan: Ust. Zahazan Mohamed

ADAB BERBEZA PENDAPAT

Pendahuluan
Dunia Islam setelah kejatuhan era Uthmaniyyah telah melahirkan usaha penggalian semula ilmu-ilmu berteraskan Islam yang telah lama diabaikan. Kebangkitan ini telah mewujudkan kesedaran di kalangan Ulama Islam yang gigih mengetengahkan manifestasi dakwah di persada dunia. Tetapi kebangkitan ini tidak terselamat daripada kelemahan-kelemahan vertikal dan horizontalnya, iaitu perselisihan pendapat di kalangan mereka. Terutamanya dalam masalah feqh yang diketahui umum ianya hanya melibatkan perkara-perkara furu'. Kebangkitan Islam yang berlaku ini tidak sepatutnya hanya bermodalkan semangat, ungkapan verbal dan slogan semata-mata, tetapi perlulah berdasarkan kepada komitmen terhadap Islam dan adab-adabnya. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;

إنما بعثت لأتمم صالح الأخلاق...
[ Sesungguhnya aku (Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam) diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik ] [1]

Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam lagi;
إن الدين بداء غريباً ويرجع غريباً فطوبى للغرباء الذين يصلحون ما أفسد الناس من بعدى من سنتى...

[ Sesungguhnya agama (Islam) bermula asing (pelik) dan ia akan kembali terasing, maka berbahagialah orang-orang yang asing yang memperbaiki apa-apa kerosakan yang dilakukan manusia selepasku terhadap sunnahku ] [2]

Umat Islam sekarang ini bukan sahaja menghadapi serangan berbentuk fizikal, tetapi yang paling membimbangkan adalah pertempuran bersifat perdebatan, membinasakan bukan sahaja kefahaman umat Islam terhadap agamanya sendiri, malah pemikiran dan ritual ibadah mereka juga turut menjadi sasaran. Kita tidak dapat mengingkari bahawa ikhtilaf (perselisihan pandangan) pasti akan berlaku di kalangan Ulama, tetapi di sebalik fenomena ini ada beberapa kesan yang sangat mengaibkan telah berlaku kepada masyarakat Islam. Iaitu;

1. Sibuk menimbulkan masalah-masalah kecil yang bersifat ijtihadiyah dan melupakan masalah-masalah besar. Sebagai contoh, ketika mana Ibn Umar radhiallahu anhu ditanya oleh seorang lelaki dari negara Iraq berkenaan hukum darah lalat. Lalu Ibn Umar menjawab;
أهل العراق يسألون عن الذباب وقد قتلواْ ابن ابنة رسول الله صلى الله عليه وسلم وقال النبى صلى الله عليه وسلم هما ريحانتاي من الدنيا...
[ Orang Iraq ini bertanya kepada aku berkenaan darah lalat padahal mereka (orang-orang Iraq) telah membunuh cucu Nabi salallahualaihi wasalam. Dan Nabi salallahualaihi wasalam bersabda;
Mereka berdua (Hassan & Hussain) haruman wangi (penyejuk hati) di dunia ] [3]
2. Berdebat dengan melakukan pendekatan yang emosional dan tidak mengakui kebenaran yang dikemukakan oleh orang lain. Hal ini menyebabkan kelompok perdebatan yang terlibat semakin ghuluww (melampau) dan permusuhan yang berlaku semakin parah.
3. Cenderung untuk memilih pendekatan yang keras bukan pada tempatnya, memberatkan diri dan mempersulitkan kaedah-kaedah Islam dalam menentukan hukum.
4. Sikap ta'assub (fanatik) terhadap pegangan tertentu sehingga mereka banyak disibukkan dengan perdebatan sesama sendiri dan melupakan musuhnya yang sebenar. Hal ini menyebabkan lahirnya sikap sangka buruk sesama saudara dan merasakan pendapatnya sahaja yang paling benar.
5. Banyak terjebak dengan masalah-masalah yang berbentuk terminologi, masalah-masalah pengistilahan sehingga menyebabkan bahayanya pemikiran umat. Sedangkan yang lebih utama adalah memerangi kesesatan yang terkandung di dalamnya, bukan sibuk berbincang tanpa tindakan.
Syariat Islam telah menggariskan prinsip-prinsip muzakarah, berdialog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Manakala perbincangan tersebut haruslah berteraskan kepada akal yang sihat, berpaksikan kepada sumber Islam yang autentik dan bukannya diselesaikan mengikut agak-agakan, sentimen kepartian, fanatik kekabilahan (wild tribalism), taqlid buta, apatah lagi ledakan emosi. Dr. Yusuf al Qardhawi hafizahullah berkata;
إن التفقيه المنشود لايمكن أن يقوم به إلا علماء بعيدون عن تأثير السلطان ورعبة ورهبه. حائزون على ثقة هؤلاء الشباب : ثقتهم بأصالة علمهم وثقتهم بقوة دينهم...
[Sesungguhnya memberikan kefahaman yang diharapkan mestilah diserahkan kepada Ulama' yang jauh dari pemerintah pada sudut pengaruh kuasa dan penghormatan. Mereka (Ulama yang jauh dari pemerintah) lebih dipercayai di kalangan pemuda : Mereka dipercayai melalui ketulenan ilmu dan kekuatan mereka terhadap pegangan agama ] [4]
Transformasi Ikhtilaf Dalam Ilmu-Ilmu Islam.

Hendaklah difahami bahawa fenomena ikhtilaf yang berlaku di kalangan Ulama menawarkan suatu alternatif baru berdasarkan pengamatan realiti. Wujudnya proses ikhtilaf merupakan wasilah untuk mencapai transformasi ilmu-ilmu Islam. Dalam menilai perselisihan pendapat di kalangan mereka, kita merasa yakin bahawa ia bukan merupakan gejala buruk yang menimpa proses perkembangan hukum-hukum Islam. Sebaliknya ia merupakan satu proses kepada peringkat kematangan yang mampu melahirkan kebaikan sepanjang zaman. Sebagai contoh, Rasulullah salallahualaihi wasalam telah bersabda;
لا يصلين أحد العصر إلا فى بنى قريظة...
[ Janganlah salah seorang daripada kamu solat Asar melainkan di perkampungan Bani Quraidzah ] [5]
Para sahabat telah berselisih pendapat mengenai hal ini, ada yang mengambil penjelasan secara tekstual daripada perkataan Nabi salallahualaihi wasalam. Iaitu perintah Nabi salallahualaihi wasalam untuk melaksanakan solat Asar, hanya setelah sampai ke perkampungan tersebut. Manakala ada Para Sahabat yang memberikan takwil bahawa maksud perkataan tersebut ialah perintah supaya bersegera sampai ke destinasi yang diarahkan oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam, lalu mereka solat Asar sebelum sampai ke tempat yang dimaksudkan.

Ketika disampaikan hal itu kepada Rasulullah salallahualaihi wasalam, Baginda tidak menyalahkan mana-mana Sahabatpun. Ini adalah iqrar (pengakuan) Baginda terhadap ijtihad. Baginda salallahualaihi wasalam membiarkan para sahabatnya beramal mengikut ijtihad mereka. Hasil daripada petunjuk agung yang diberikan Rasulullah salallahualaihi wasalam kepada para sahabatnya, maka terbukalah pemikiran para sahabat dalam masalah ijtihad. Sikap terbuka para sahabat turut disebut oleh Imam Baihaqi rahimahullah, menurut riwayat Anas radhiallahu anhu ;
إنا معشر أصحاب الرسول صلى الله عليه وسلم كنا نسافر فمنا الصائم ومنا المفطر . ومنا المتم ومنا المقصر فلم يعب الصائم على المفطر ولا المفطر على الصائم ولا المقصر على المتم ولا المتم على المقصر...
[ Kami para sahabat Rasulullah salallahualaihi wasalam pernah bermusafir, di antara kami ada yang berpuasa dan sebahagiannya tidak berpuasa, sebahagian kami menyempurnakan (solat) dan sebahagian meng’qasar’kan. Namun mereka yang berpuasa tidak merendahkan sahabat yang tidak berpuasa begitu juga sahabat yang tidak berpuasa tidak merendahkan sahabat yang berpuasa. Sahabat yang meng’qasar’kan tidak merendahkan sahabat yang menyempurnakan (solat) begitu juga mereka yang menyempurnakan tidak merendahkan sahabat yang meng’qasar’kan ] [6]
Para fuqaha' yang terdiri dari imam-imam mazhab tidak pernah mendakwa bahawa pandangan mereka yang paling betul dan mesti diikuti. Sebaliknya menganjurkan supaya mengikut apa sahaja dalil yang boleh membawa kepada kebenaran al Quran dan Sunnah. Apabila membuat keputusan terhadap sesuatu hukum, mereka tidak ragu-ragu untuk mengatakan;
هذا أحوط. وهذا هو المختار وهذا أحب إلىَّ. ويقول : ما بلغنا إلا ذلك...
[ Ini lebih selamat…Inilah yang dipilih dan pandangan ini yang palingku sukai. Dan dia berkata; Tiada sampai kepada kami kecuali perkara itu ] [7]
هذا رأيي وهو صواب يحتمل الخطأ فإن أصبت فمن الله وإن أخطأت فمني ومن الشيطان...
[Ini pendapatku kemungkinan benar barangkali salah, maka jika aku benar itu dari Allah dan jika aku salah daripadaku dan daripada syaitan] [8]
Mereka melakukan ijtihad terhadap sesuatu perkara mengikut kadar kemampuan mereka meneliti masalah tersebut berdasarkan al Quran dan al Hadith. Mereka akur jika berlaku kesilapan atau kealpaan terhadap ijtihad yang mereka lakukan. Oleh sebab itu, Imam Syafie mempunyai 2 bentuk aliran mazhab iaitu Mazhab Qadim ketika beliau berada di Iraq dan mazhab Jadid ketika berada di Mesir. Hal ini berlaku kerana apabila Imam Syafie sampai di Mesir, beliau melihat masalah-masalah baru yang belum pernah dilihatnya. Beliau mendengar hadith-hadith yang belum pemah didengarnya. Kerap kali para mujtahid membetulkan kembali pandangannya. Semua ini adalah sebab-sebab yang membawa kepada berlakunya perselisihan. Kata Imam Syafie radhiallahu anhu;
كل ما قلته فكان من رسول الله خلاف قولي مما صح فهو أولى ولا تقلدونى...
[ Setiap apa yang aku ucapkan dan didapati ia menyalahi pendapatku dari apa yang sahih diriwayatkan daripada Rasulullah, maka (hadith Nabi salallahualaihi wasalam) itu lebih utama, jangan kamu mengikutiku ] [9]
Setiap Ulama yang berijtihad mungkin keliru dan mungkin benar dalam ijtihadnya. Setiap orang berlari atau berjalan mungkin akan jatuh tersungkur atau mungkin akan tersandung batu pada kemudian harinya. Oleh kerana itu, umat Islam perlu memahami disiplin ketika berlaku perselisihan pendapat tanpa membawa kepada pertengkaran, pertikaian serta ta'asub buta. Perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan Ulama Islam adalah disebabkan lahirnya ijtihad, kerana itu Nabi salallahu'alaihi wasallam bersabda;
إذا حكم الحاكم فاجتهد فأصاب فله أجران . وإذا حكم فأخطأ فله أجر واحد...
[ Jika seorang hakim memutuskan lalu berijtihad, kemudian ia benar, maka ia mendapat dua pahala. Dan jika ia memutuskan lalu berijtihad kemudian salah, maka ia mendapat satu pahala ] [10]
Manakala Khalifah Umar Abdul Aziz radhiallahu anhu turut menyebut manfaat yang mampu diperolehi apabila berlakunya ikhtilaf;
ما أحب أن أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم لم يختلفوا، لأنهم إذا اجتمعوا على قول فخالفهم رجل كان ضالاً، وإذا اختلفوا فأخذ رجل بقول هذا ورجل بقول هذا، كان في الأمر سعة...
[ Aku tidak suka jika para Sahabat Rasulullah salallahualaihi wasalam tidak berselisih pandangan, kerana apabila mereka ber’ijma’ (bersepakat ) dalam satu pendapat. Lalu seseorang berbeza pendapat dengan mereka (ijma’ sahabat) nescaya ia sesat. Dan jika mereka (para sahabat) berselisih, Lalu seseorang mengambil pendapat ini dan seseorang yang lain pula mengambil pendapat yang lain, perkara ini adalah luas ] [11]
Pendapat Khalifah Umar Abdul Aziz ini menunjukkan manfaat yang banyak mampu diperolehi apabila perbezaan pendapat berlaku kepada perkara furi'iyyah (cabang). Sekalipun terdapat manfaat apabila berlaku perbezaan pendapat, namun ia bukanlah platform yang mengizinkan kepada semua masyarakat awam turut serta mengenainya. Perbahasan mengenai masalah-masalah ini hendaklah diserahkan kepada mereka yang memiliki autoriti dan diakui kefaqihannya.
Seandainya mana-mana individu dengan sewenangnya mengeluarkan pendapat yang ganjil, sedangkan dia bukanlah ahli atau pakar dalam bidang tersebut maka dengan sendirinya dia bukan mujtahid. Contohnya, golongan-golongan moderate Islam yang menjunjung fahaman liberal dan sebagainya. Mereka ini tidak lansung termasuk di dalam skop mujtahid, tetapi mereka adalah mughayyir terhadap ketetapan hukum-hukum Allah. Imam as Syatibi rahimahullah menerangkan;
من انفع طرق العلم الموصولة إلى غاية التحقق به اخذه عن أهله المتحققين به على الكمال والتمام ...
[ Suatu pendekatan ilmu yang paling berguna untuk mencapai puncak kepastian (dalam bidangnya) ialah mengambilnya secara sempurna dan lengkap dari orang yang pakar tentang ilmu tersebut ] [12]

Prosuder Ulama Dalam Mengizinkan Ikhtilaf

1. Memahami bahawa matlamat ikhtilaf adalah untuk mengembalikan perkara-perkara furu' (ranting) kepada usulnya (akar), juz'iyyat kepada kuliyyat, mutasyabih kepada muhkamatnya, zhanniah kepada qat'iyyah.

2. Khilaf yang berlaku di kalangan para mujtahid hendaklah dalam perkara hukum-hakam yang zhanniah (samar) dalilnya. Adapun yang dalilnya qat’iyyah (jelas) dalam masalah ijma' maka tiada ruang untuk sesiapa berikhtilaf mengenainya seperti menghalalkan arak, zina dan lain-lain lagi. Kata Abu Hurairah radhiallahu anhu;
مسائل إجماع ، وهذه لا يجوز الخلاف فيها ، لأن الإجماع حجة قاطعة...
[Masalah-masalah ijma' (yang disepakati) tidak boleh berlaku pertikaian padanya, kerana ijma' adalah bukti qat'ie (pasti) ][13]
إجماعهم حجة قاطعة واختلافهم رحمة واسعة ...
[ Ijma' mereka adalah bukti yang qat'ie dan perselisihan mereka rahmat yang luas ] [14]

Kata Imam ad Dahlawi rahimahullah;
كان السلف لايختلفون فى أصل المشروعية وإنما كان خلافهم فى أولى الأمرين. ونظيره اختلاف القراء فى وجوه القراءات . وقد عللواْ كثيراً فى هذا الباب بأن الصحابة يختلفون وأنهم جميعاً من الهدى...
[ Para salaf tidak berselisih pendapat dalam perkara yang melibatkan dasar syariat. Mereka hanya berselisih pada perkara yang paling utama di antara dua perkara (pendapat). Dapat dilihat perselisihan ini terdapat pada ahli qari' tentang cara bacaan. Ada ramai Ulama yang menyebut tentang faktor-faktor perselisihan para salaf as Soleh pada masalah ini tetapi mereka semua berada di dalam petunjuk ] [15]

3. Ikhtilaf yang berlaku bukan menurut kehendak golongan yang mempersenda-sendakan hukum-hakam Islam atau menurut kemahuan golongan yang hendak menukar nas muhkamat menjadi mutasyabihat. Firman Allah Taala;
...فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيْلِهِ...
[ Maka mereka mengikuti ayat-ayat mutasyabihat daripadanya untuk menimbulkan fitnah dan mencari-cari ta'wilnya - (Surah al Imran:7:3) ]

Jika platform ikhtilaf dilakukan sedemikian, maka jelaslah di sini terdapat usaha-usaha orientalis untuk memecahbelahkan fahaman masyarakat Islam terhadap masalah-masalah khilafiyyah.
التشكيك فى قيمة الفقه الإسلامى وتشويه الدين الاسلامى وإبراز الخلافيات المذهبية مع شرح مبادئ الاسلام شرحا يشوهها وينحرف بها عن قيمها الأصلية...
[ Meragu-ragukan nilai Feqh Islam dan membuat gangguan terhadap agama Islam dan membesar-besarkan perkara khilaf mazhab-mazhab dengan huraian dasar Islam yang mencemarkan dan mengubahnya daripada nilai ketulenan feqh Islam yang asli ] [16]

4. Menjaga prinsip maratib al ahkam (pengkategorian hukum-hukam) mengikut panduan al Quran dan Sunnah. Hukum yang qat’ie (tetap) hendaklah tetap qat’ie, Hukum yang zhanni (samar-samar) tetap dibiarkan zhanni.

Faktor-Faktor Berlakunya Ikhtilaf

Antara faktor-faktor umum timbulnya ikhtilaf ialah;

Pertama : Perbezaan para Ulama terhadap kefahaman dan tafsiran mereka pada sebahagian nas-nas hukum pada sudut lafaz dan makna. Sebagai contoh, firman Allah Taala;
...وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ ...
[ Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama 3 kali suci - (al Baqarah 2:228) ]

Para Ulama berikhtilaf pada ayat Quru ', adakah ia bermaksud haid atau bersuci.
Dalam mengeluarkan hukum ayat di atas, para imam mazhab berbeza dalam memahaminya. Imam Malik dan Imam Syafie berpendapat bahawa perkataan Quru’ mewakili tempoh bersih dari haid, manakala Imam Abu Hanifah berpendapat ianya mewakili tempoh seseorang itu berada dalam haid. Pendapat Imam Ahmad pula yang pertama mengatakan Quru’ itu adalah masa suci kemudian dalam pendapatnya yang kedua mengatakan ia adalah masa dalam keadaan haid.

Kedua : Perbezaan para Ulama terhadap kualiti dan kuantiti sumber-sumber dalil yang mereka temui. Hal ini berlaku kerana, hadith-hadith pada zaman imam mazhab masih belum dapat dihimpunkan secara sistematik. Para imam mazhab terpaksa mencarinya sendiri dengan berhijrah ke sana sini atau bertanya kepada yang lain. Imam as Syafie rahimahullah pernah bertanya kepada anak muridnya, Ahmad bin Hanbal:
[ Engkau lebih mengetahui akan hadith-hadith daripada aku. Oleh itu jika ada hadith yang sahih beritahulah aku sama ada hadis itu dari Kufah, Basrah atau Syria. Beritahulah aku supaya aku dapat berpegang kepadanya asalkan ianya adalah sahih ] [17]
Kata Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah;
ليس أحد من الأئمة المقبولين عند الأمة قبولا عاما - يعتمد مخالفة رسول الله صلى الله عليه وسلم فى شئ من سنته دقيق ولا جليل. فإنهم متفقون اتفاقا يقينيا على وجوب اتباع الرسول صلى الله عليه وسلم وعلى أن كل أحد من الناس يؤخذ من قوله ويترك إلا رسول الله صلى الله عليه وسلم . ولكن إذا وجد لواحد منهم قول قد جاء حديث صحيح بخلافه فلابد له من عذر فى تركه...
[ Tidak seorangpun imam itu diterima (secara umum) di kalangan umat secara keseluruhannya (pada pendapat mereka) – berbeza pegangan mereka terhadap sunnah-sunnah Nabi salallahualaihi wasalam pada perkara kecil atau besar. Mereka semua bersepakat dan yakin pada kewajipan mentaati Rasulullah salallahualaihi wasalam dan setiap orang itu boleh diambil dan boleh ditolak kecuali perkataan Baginda salallahualaihi wasalam. Tetapi jika ada orang yang meriwayatkan hadith sahih menyalahi pendapatnya, maka diwajibkan tanpa uzur (tidak merasa mudharat) untuk dia meninggalkan pendapatnya itu ] [18]

Ketiga : Tidak mencapai maksud nas-nas al Quran dan Sunnah yang nyata untuk dijadikan sebagai hujjah. Pada lafaz tersebut memiliki maksud yang sangat umum, terkandung di dalamnya kata-kata majaz dan hakikat. Selain itu berlaku banyak perkataan Ulama' untuk mentarjihkan maksud perkataan-perkataan tersebut. Dalam kaedah usul feqh, perkara ini digelar sebagai lafaz hakiki dan lafaz majazi (kiasan). Sebagai contohnya pada firman Allah Taala;
...أَوْ لمَسْتُمُ النِّسَآءَ ...
[ Atau kamu sentuh perempuan - (al Maidah:6:6) ]

Adakah yang dimaksudkan di sini sekadar bersentuhan sahaja seperti pandangan Ibnu Omar atau ianya adalah kiasan bagi persetubuhan sepertimana pandangan Ibnu Abbas?
Keempat : Wujud pandangan fuqaha' yang mutasyaddid (terlalu berhati-hati) dan ada yang mutarakhis (memudahkan). Ibn Umar contohnya, ketika berwudhu' beliau akan memasukkan air ke matanya sehingga menyebabkan beliau buta. Ibn Abbas pula tidak merasakan perkara itu perlu dilakukan sebegitu.

Prinsip Ahli Ilmu Menghadapi Ikhtilaf

Contoh Pertama : Diriwayatkan daripada al Hafiz Khatib al Baghdadi rahimahullah di dalam kitab 'ar Rowah anil Malik' (riwayat tentang Imam Malik), bahawa Khalifah Harun ar Rasyid telah berkata kepada Imam Malik agar menjadikan kitab Muwattha' sebagai rujukan utama bagi sekalian umat. Tetapi Imam Malik radhiallahu anhu dengan kefahaman dan kewarakannya berkata:
يا أمير المؤمنين : إن اختلاف العلماء رحمة من الله تعالى على هذه الأمة، كلٌّ يتبع ما صحَّ عنده، وكلٌّ على هدى، وكلٌّ يريد الله تعالى...
[ Wahai Amirul Mukminin, perselisihan para Ulama (pada perkara furu') adalah rahmat kepada umat ini. Semua mereka boleh diikuti apa yang sah pada mereka, mereka dalam petunjuk (Islam) dan mereka juga mahukan (keredhaan) Allah Taala ] [19]

Contoh Kedua : Kata Imam Abu Bakar al Ajarriy rahimahullah ketika beliau menerangkan kepentingan mendekatkan peranan ilmu dan akhlak kepada anak muridnya;
وإذا سئل عن مسألة فعلم أنها من مسائل الشغب ومما يورث بين المسلمين الفتنة استعفى منها وردّ السائل إلى ما هو أولى به...
[ Jika seseorang ditanya tentang suatu masalah lalu dia mengetahui bahawa masalah-masalah itu menimbulkan kontroversi dan menimbulkan kekacauan di kalangan masyarakat Islam hendaklah dia menghindarkan persoalan itu dan menyarankan orang yang bertanya tentang perkara yang lebih utama ] [20]

Contoh Ketiga : Peristiwa Imam Malik radhiallahua anhu ketika beliau ditanya berkenaan kedudukan istiwa' (bersemayam/ duduk) Allah Taala di arash. Lalu beliau menjawab;
الكيف منه غير معقول والإستواء منه غير مجهول والإيمان به واجب والسؤال عنه بدعة. وأظنك صاحب بدعة وأمر به فأخرج...
[ Bagaimana gambarannya tidak tercapai oleh akal dan duduk-Nya di singgahsana pasti ada (wajib percaya), beriman dengan-Nya wajib, bertanya tentangnya bida’ah. Dan aku menyangka engkau pembawa bida’ah. Lalu (Imam Malik) memerintahkan si fulan (yang bertanya) untuk keluar ] [21]

Adapun kenyataan bahawa Allah duduk bersila diatas arash serupa dengan duduknya manusia adalah perkataan yang muncul dari firqah al mujassamah. Ramai orang menganggap kenyataan itu adalah kenyataan Ibn Taimiyyah rahimahullah. Sedangkan tiada satu bukti yang benar bahawa perkataan itu datang dari ucapan beliau, tuduhan ini hanya semata-mata berdasarkan keterangan dari Ibnu Battutah. Keterangan Ibnu Batutah tidak dapat dijadikan sebagai bukti mutlak bahawa Ibnu Taimiyyah pernah berkata begitu. Jika wujud perkataan itu sekalipun, yang benar ialah beliau mengatakan Allah duduk menurut zat-Nya (pendapat ini juga adalah sebahagian daripada pendapat Ahl Sunnah wal Jama'ah).

Contoh Keempat : Imam al Hafiz az Zahabi rahimahullah di dalam Siyar A'lam an Nubala', mengisahkan seorang tokoh feqh terbesar, Imam Syafie rahimahullah berkenaan perselisihan pendapat beliau dengan Imam al Hafiz Abi Musa Yunus bin Abdul A'la al Masriyy;;
ما رأيت أعقل من الشافعي، ناظرتُه يوماً في مسألة، ثم افترقنا، ولقيني، فأخذ بيدي ثم قال : أيا أبا موسى ألا يستقيم أن نكون إخواناً، وإن لم نتفق في مسألة...
[ Tidak aku lihat orang (Imam al Hafiz Abi Musa Yunus) yang paling berakal selain Imam Syafie. Pada suatu hari aku pernah berdebat dalam satu masalah dan kami bertelingkah, lalu beliau menemuiku serta memegang tanganku kemudian berkata; Wahai Abu Musa hendaklah kita sentiasa bersaudara sekalipun kita tidak bersepakat dalam satu masalah ]

Beberapa Etika Ketika Berlaku Ikhtilaf

[ 1 ] Ikhlas dan menjauhi diri daripada mengikut hawa nafsu. Lapang dada menerima kritikan dan memahami bahawa ia adalah nasihat yang dihadiahkan oleh saudara seaqidah kita.

[ 2 ] Hendaklah memilih ucapan yang terbaik dalam berbincang bersama Muslim. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapat dengan kita sebagai sesat, pembuat bida'ah, khurafat, jika kita tidak mempunyai nas-nas syara' yang menyatakan kesalahan mereka. Apatah lagi tuduhan kita berdasarkan syak dan tohmahan buta. Di samping itu, hendaklah meneliti sesuatu masalah dengan penelitian yang rapi. Tidak menggunakan sesuatu istilah atau lafaz kecuali pada tempat yang betul. Ia perlu berdasarkan maklumat yang tepat dan bukan berdasarkan berita angin. Allah Taala berfirman.
...وَقُولُواْ لِلنَّاسِ حُسْنًا...
[ Serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia (al Baqarah:83:1) ]

[ 3 ] Hendaklah memberikan ruang kepada orang lain mengetengahkan pendapat atau hujjah sama ada dari pihaknya atau pihak yang membangkang. Ia tidak boleh memotong percakapan orang lain atau menyakitinya.

[ 4 ] Mestilah menghormati pandangan orang lain, ini terbukti melalui peristiwa muzakarah Abu Bakar dengan Umar al Khattab mengenai pengumpulan al Quran selepas perang Yamamah. Abu Bakar pada mulanya enggan menerima tetapi apabila berlaku muzakarah dengan Umar, maka Abu Bakar mengakui kebenaran Umar dalam mengumpul dan menulis al Quran. Begitu juga kisah Umar al Khattab mengakui kebenaran Abu Bakar ketika mengisytiharkan perang terhadap orang murtad dan orang yang enggan mengeluarkan zakat yang pada mulanya dipersetujui oleh Umar al Khattab.

[ 5 ] Menghormati dan menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh para Ulama mujtahidin dalam pelbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul mahupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.

[ 6 ] Tidak perlu untuk kita memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah. Begitu juga kita dilarang untuk menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang paling relevan di sisi kita. Sebaliknya, kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepakati para Ulama padanya. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
سمعت رجلا قرأ آية سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقرأ خلافها فأخذت بيده فانطلقت به إلى رسول الله عليه وسلم فذكرت له ذلك فعرفت فى وجهه الكراهة. قال: كلاكما محسن ولاتختلفواْ فإن من كان قبلكم اختلفواْ فهلكواْ ( موسوعة الحديث الشريف: حرف )
[Saya telah mendengar seorang membaca satu ayat, padahal aku mendengar Rasulullah salallahualaihi wasalam membaca berbeza dengan bacaannya. Maka aku memegang tangannya kemudian membawanya menemui Rasulullah salallahualaihi wasalam untuk melaporkan kepadanya, maka aku dapati kemurkaan pada wajah Baginda. Lalu Baginda bersabda: Kamu berdua benar dan janganlah berbalah, kerana orang-orang sebelum kamu melakukan perbalahan sehingga mereka binasa ] [22]


Para Ulama Memerangi Ta'assub

Pada zaman Abbasiyyah, kuasa pemerintah ketika itu telah
mengambil dan mengiktiraf pendapat Imam Abu Hanifah sahaja sebagai mazhab rasmi. Hal ini menimbulkan suasana huru-hara di kalangan orang-orang Madinah, Mesir dan lain-lain. Lebih tegang lagi apabila pemerintah-pemerintah Abbasiyyah mencabar dan menganjurkan perdebatan antara tokoh-tokoh mazhab yang berlainan, untuk tujuan peribadi dan hiburan istana. Perbuatan ini telah memburukkan lagi suasana asabiyyah dan ta'assub dalam bermazhab di kalangan umat Islam.

Betapa kejamnya umat Islam jika perasaan ta'assub ini memamah pendirian mereka. Sedangkan al Quran memerintahkan kepada mereka supaya berlaku adil. Firman Allah Taala;
...يأيهَا الذيْنَ ءَامَنُواْ كُوْنُواْ قَوَّمِيْنَ للهِ شُهَدَآءَ بِالْقِسْطِ وَلاَيَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئَا قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى واتَّقُواْ اللهَ إِنَّ الله خَبِيْرٌ بِمَا تَعْمَلُون...
[ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan janganlah sekali-sekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa - (al Maidah:8:6) ]

Lihatlah sikap adil yang ditunjukkan Imam Syafie rahimahullah di dalam syairnya terhadap golongan rafidhoh (Syiah).
إن كان رفضا حب آل محمد * فليشهد الثقلان أنّى رافضى
[ Sekiranya mencintai Ahlul Bait (keluarga Muhammad salallahualaihi wasalam) dikatakan sebagai golongan al rafdh/rafidhoh (fahaman Syi'ah), maka manusia/jin bolehlah menjadi saksi bahawa aku adalah rafidhoh ] [23]

Begitu juga sikap adilnya as Syahid Sheikh Ahmed Yassin rahimahullah melalui kata-katanya;
“…I don’t fight Jews because they are Jews. I fight them because they have stolen and arrogated my land, home and orchards and condemned my people…” [24]

[ Aku tidak menentang Yahudi, kerana mereka bangsa Yahudi. Aku menentang mereka kerana mereka melakukan penaklukan haram dan berasa angkuh terhadap tanah airku, rumah, kebun-kebun dan menghina bangsaku ]

Sikap ta'assub boleh menyebabkan para pengikut sesebuah mazhab sanggup mencipta hadith-hadith palsu bagi mengagungkan mazhab mereka sendiri. Contohnya sebagaimana yang disebut oleh Imam as Syaukani rahimahullah, di mana terdapat pengikut mazhab Hanafi yang bencikan mazhab as Syafie telah mencipta hadith palsu kononnya Rasulullah salallahualaihi wasallam pernah bersabda:
يكون في أمتى رجل يقال له محمد بن إدريس أضر على أمتى من إبليس ويكون فى أمتى رجل يقال له أبو حنيفة هو سراج أمتى...
[ Akan muncul di kalangan umat aku seseorang yang bernama Muhammad bin Idris (as Syafie) yang akan mendatangkan kerosakan kepada umatku lebih buruk daripada Iblis dan muncul di kalangan umat ini seorang pemuda yang bernama Abu Hanifah yang menjadi penerang umat ] [25]

Hadith ini turut disebut palsu sebagaimana yang diberitahu oleh Ibn Qayyim al Jawzy rahimahullah di dalam kitabnya al Maudhu‘aat. Manakala gurunya, Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah menyebut keburukan-keburukan ta'assub di dalam al Fatawa;
ومن تعصب لواحد بعينه من الأئمة دون الباقين فهو بمنزلة من تعصب لواحد بعينه من الصحابة دون الباقين: كالرافضي الذي يتعصب لعلي دون الخلفاء الثلاثة وجمهور الصحابة، وكالخارجي الذي يقدح في عثمان وعلي رضي الله عنهما؛ فهذه طرق أهل البدع والأهواء الذين ثبت بالكتاب والسنة والإجماع أنهم مذمومون، خارجون عن الشريعة والمنهاج الذي بعث الله به رسوله -صلى الله عليه وسلم-. فمن تعصب لواحد من الأئمة بعينه ففيه شبه من هؤلاء، سواء تعصب لمالك، أو الشافعي، أو أبي حنيفة، أو أحمد، أو غيرهم. ثم غاية المتعصب لواحد منهم أن يكون جاهلاً بقدره في العلم والدين، وبقدر الآخرين؛ فيكون جاهلاً ظالماً، والله يأمر بالعلم والعدل، وينهى عن الجهل والظلم...
[ Sesiapa yang ta'assub (fanatik) kepada satu pandangan imam dan mengabaikan yang lain, Dia seumpama golongan Rafidhah yang ta'assub kepada Khalifah Ali dengan menyisihkan para khulafa’ yang tiga (Abu Bakar, Umar & Uthman) serta majoriti para sahabat. Dia juga seumpama golongan Khawarij yang mengecam Uthman dan Ali radhiallahu anhuma. Yang demikian itu merupakan jalan Ahlul Bida‘ah dan Ahlul Ahwaa’ (orang yang mendewakan hawa nafsu) yang telah thabit di dalam al Kitab dan as Sunnah serta Ijma’ sebagai orang yang tercela. Mereka terkeluar daripada syariat dan manhaj yang diturunkan oleh Allah melalui Rasul-Nya salallahualaihi wasallam. Justeru sesiapa yang ta'assub kepada salah seorang imam maka dia sama seperti mereka, sama ada dia ta'assub kepada Imam Malik , as Syafie, Abu Hanifah atau Ahmad dan selain dari mereka. Seburuk-buruk akibat bagi orang yang ta'assub kepada salah seorang imam mazhab ialah dia menjadi jahil akan kemampuannya di dalam ilmu dan agama serta tidak tahu akan kemampuan orang lain sehingga akhirnya dia menzalimi diri sendiri dengan kejahilan tersebut. Padahal Allah menyuruh kepada sifat berilmu dan adil dan melarang daripada sifat jahil dan zalim ] [26]

Sikap-sikap ta'assub yang merosakkan pernah berlaku pada zaman Islam Uthmaniyyah, sehingga ia menyebabkan Empayar Islam ketika itu jatuh. Ini kerana, ancaman sebenar pada masa tersebut ialah;

Pertama: Serangan kuasa bersekutu dari pihak kuffar.

Kedua: Rakyat Islam sendiri berpecah pada masa tersebut.
Sejarah telah membuktikan betapa malangnya umat Islam apabila sikap fanatik menelan segala kekuatan gerakan dakwah, pertahanan dan ciri-ciri mulia umat Islam. Firman Allah Taala;
...وَإِن جدَلُوكَ فَقُلِ اللهُ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُون . الله ُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ فِيْمَا كَانُواْ فِيْهِ يَخْتَلِفُون...
[ Dan jika mereka mengemukakan bantahan terhadap kamu, maka katakanlah; " Allah lebih mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan". Allah akan mengadili di antara kamu pada Hari Kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya (al Hajj:68-69:17) ]

Sikap ta'assub ini juga menyebabkan wujud kelompok yang gemar menaqalkan ucapan-ucapan imam ikutan mereka dan menyebarluaskannya khususnya dalam tajuk-tajuk yang mereka perselisihkan. Kewajiban penuntut ilmu adalah menjaga lisannya dari menaqalkan perkataan-perkataan, dengan tujuan untuk menimbulkan sikap tidak sepakat mereka terhadap imam-imam lain. Tidak layak kita disibukkan dengan hal yang tidak bermanfaat seperti ini, kecuali jika (menukil perkataan itu) ada maslahah kebaikan, maka hal itu diperbolehkan.
Firman Allah Taala;
...لاَّ خَيْرَ فِى كَثِيرٍ مِّنْ نَّجْوَاهُمْ إِلاَّ مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُفٍ أَوْ إِصلاحٍ بَيْنَ النَّاس...
[ Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali pada perkara suruhan untuk bersedeqah, berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia - (an Nisa':114:5) ]
Tidak seharusnya kita bersikap ta'assub terhadap mana-mana tokoh Ulama. Sebaliknya umat Islam perlu berlapang dada bahawa sesiapa sahaja adalah manusia yang tidak terjamin daripada melakukan ketidaktepatan dan kekeliruan tafsiran agama. Tetapi jauh sekali untuk kita mengambil faktor kekeliruan tersebut, menjauhkan diri daripada kebenaran yang disampaikan oleh mereka. Betapa rasionalnya penghormatan dan pengiktirafan yang diberikan oleh umat Islam kepada para Ulama Islam kerana mereka adalah penyuluh syariat Allah. Walaupun begitu, penghormatan ini adalah atas valid diniyyah bukannya bersifat peribadi sehingga mengundang ta'assub dan memuliakan mereka melebihi daripada apa yang telah diperuntukkan oleh Allah.

Teladan Daripada Komponen Elektrik

Suatu pengamatan menarik ingin penulis nukilkan tentang fenomena ikhtilaf yang diceritakan oleh Saudara Farisul Farhan bin Abdul Wahab, lulusan B.Eng(Hons) Electrical Engineer. Beliau telah mengaitkan suatu teladan yang perlu kita contohi melalui sistem penjanaan elektrik yang disalurkan oleh transformer.
Kata beliau;
"…Transformer memiliki tiga fasa, digunakan untuk menjana dan mengalirkan tenaga elektrik yang banyak. Pertamanya, generator yang mempunyai kuasa besar berkemungkinan akan menyalurkan lima kali ganda nilai kVA yang kepada transformer. Hal ini menjadikan transformer dan 'ahli keluarganya', antara komponen terpenting di dalam proses penjanaan tenaga elektrik. Kedua, antara sistem terpenting yang wujud dalam komponen transformer dan sering hadir dalam tugas-tugasan menyalurkan elektrik ialah Step-up transformer yang berperanan meninggikan lagi tenaga elektrik itu. Dan ketiga, wujud pula step-down transformer yang berperanan merendahkan tenaga elektrik yang mengawal kestabilan gelombang elektrik berkuasa tinggi.

Jika diperhatikan daripada perjalanan kisah ini, walaupun kedua-dua jenis sistem transformer tersebut mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berlainan tetapi ia tetap hidup harmoni. Barangkali komponen statik bernama transformer itu lebih menghayati pesanan Allah di dalam al-Quran; “…Sesungguhnya kamu merupakan umat yang satu…” Inilah rahsia ajaran Ilahi dalam merumuskan formula menjalinkan kesefahaman bahkan kepada ahli kitab; “…Katakanlah; Wahai ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimat yang sama tiada perbezaan antara kami dan kamu…”

Perbezaan selagi tidak menyangkut masalah dasar (usul aqidah) haruslah di”tenggelamkan” buat sementara waktu, tambahan pula dalam kondisi umat yang terus dibantai oleh musuh. Bermula dengan pencerobohan Yahudi di bumi Palestin, sikap diskriminasi Kristian terhadap Muslimin di Amerika, pembantaian Hindu terhadap golongan Muslim di Kashmir dan sebagainya. Andainya umat lebih menumpukan isu-isu sebegini, tentunya persefahaman, kesepakatan dan perpaduan antara umat Islam mampu dicapai.

Semangat membara yang dimiliki oleh step-up transformer, sehingga mampu meledakkan tenaga elektrik, harus dicontohi oleh kita semua. Kerana kebangkitan dan kesedaran ini, harus dijanakan oleh suatu keazaman dan keteguhan yang dikandung oleh insan-insan berjiwa “step-up transformer”. Tetapi kelancaran aliran elektrik berjiwa step-up transformer ini, kadang-kadang perlu distabilkan oleh step-down transformer. Ini kerana, tanpa kehadirannya akan menyebabkan sumber tenaga yang hendak disampaikan tidak dapat membawa manfaat. Sebaliknya membakar pengguna akibat gelombang kuasa yang besar…"

Itulah sebabnya kebangkitan Islam haruslah diadun oleh 2 unsur: (1) Hikmah masyayikh (mereka yang berpengalaman) (2) semangat syabab (pemuda). Pemuda ibarat step-up transformer, dipenuhi semangat yang bermega voltan pengorbanannya dan mampu memastikan perjuangan berterusan (istimrariyah). Sedangkan mereka yang mempunyai banyak pengalaman, berfungsi sebagai step-down transformer. Mereka lebih matang menilai suasana demi menjaga asholah (keaslian/ketulenan) dakwah Islam.

Demikianlah beberapa butiran yang mungkin dapat dijadikan bahan renungan dalam usaha mewujudkan suasana harmoni ketika berlaku ikhtilaf. Rasulullah salallahualaihi wasalam turut memberikan gambaran dengan begitu menarik sekali, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Nu'man bin Basyir radhiallahu anhu bahawa Rasulullah salallahualaihi wasalam bersabda:
مثل القائم على حدود الله والواقع فيها كمثل قوم استهمواْ على سفينة فأصاب بعضهم أعلاها وبعضهم أسفلها إذا استقواْ من الماء مروا على من فوقهم فقالواْ لو أنَّا خرقنا فى نصيبنا خرقا ولم نؤذ من فوقنا فإن يتركوهم وما أرادواْ هلكواْ جميعا وإن أخذواْ على أيديهم نجواْ ونجواْ جميعاً...
[ Perumpamaan orang yang berpegang dengan hukum-hukum Allah dan yang melanggarnya itu bagaikan kaum yang sama-sama menaiki kapal, sebahagian ada yang di atas dan sebahagian ada yang di bawah, orang-orang yang berada di bawah apabila ingin mengambil air mereka mesti melalui orang-orang yang berada di atas, lalu orang-orang yang di bawah itu berkata; Seandainya kita lobangi (kapal ini) untuk memenuhi kehendak kita maka kita tidak perlu mengganggu orang-orang yang ada di atas kita. Maka jika orang-orang yang di atas itu membiarkan kemahuan mereka yang di bawah, akan tenggelamlah semuanya, dan jika mereka menahan tangan orang-orang yang di bawah (daripada perbuatan itu) maka akan selamat dan selamatlah semuanya ] [27]

Realiti Ikhtilaf Zaman Ini

Kata Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah;
قد كان العلماء من الصحابة والتابعين ومن بعدهم إذا تنازعوا فى الأمور اتبعوا أمر الله تعالى فى قوله تعالى (( فإن تنازعتم فى شئ فردوه إلى الله والرسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر ذلك خير وأحسن تأويلاً)) وكانوا يتناظرون فى المسائل مناظرة مشاورة ومناصحة وربما اختلف قولهم فى المسألة العلمية والعملية مع بقاء الألفة والعصمة وأخوة الدين
[ Pada zaman dahulu para Ulama di kalangan sahabat dan tabi’en serta orang-orang yang selepas daripada mereka, apabila berselisih faham dalam sesuatu perkara mereka akan mengikut arahan Allah Taala di dalam firman-Nya; …Apabila kamu berselisih faham tentang sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah Taala dan Rasul-Nya, jika kamu beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih utama & lebih baik kesudahannya…(Surah an Nisa’:59:3) Mereka menyatakan pandangan dalam menyelesaikan masalah dengan perdebatan yang berbentuk perbincangan dan nasihat menasihati. Barangkali mereka berselisihan pendapat dalam masalah ilmiah dan praktikal sedangkan kekal di hati mereka sikap lembut, keteguhan dan persaudaraan dalam beragama ] [28]

Pertikaian tokoh-tokoh Ulama terhadap sesuatu perkara, banyak berlaku pada masalah pentarjihan ilmu. Sekalipun berlaku situasi tersebut, mereka sama sekali tidak merendahkan peribadi saudara-saudara mereka yang tidak sependapat dengan mereka. Melihat realiti zaman ini, kita banyak terjebak dengan memikirkan masalah-masalah terminologi sehingga mengundang bahaya kepada pemikiran umat. Seterusnya memburuk-burukkan peribadi tokoh-tokoh ilmuan yang telah dahulu berjuang dan meninggalkan kita. Firman Allah Taala;
...وَلاَ يَغْتَبْ بَعْضكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدكم أَنْ يَأكُلَ لَحْمَ أَخِيْهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوه واتَّقُواْ الله إنَّ اللهَ تَوَّاب رَحيم...
[ Dan jangan mengumpat sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain, adakah seorang dari kamu gemar salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati, sudah tentu kamu membencinya (jijik). Bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Pengasih (al Hujarat:13:26) ]
Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
لما عرج بى مررت بقوم لهم أظفار من نحاس يخمشون وجوههم وصدورهم فقلت من هؤلاء يا جبريل؟ .قال هؤلاء الذين يأكلون لحوم الناس ويقعون فى أعراضهم...
[ Ketika aku dimi'raj (diangkat ke langit) aku telah melalui suatu kaum yang berkuku besi, mencakar-cakar wajah mereka dan dada-dada mereka. Lalu aku berkata kepada Jibril; Siapakah mereka? Jibril menjawab; Mereka adalah orang yang memakan daging-daging manusia dan melakukan celaan pada harga diri manusia ] [29]

Jika dibuat perbandingan, asas perbezaan pandangan itu adalah ilmiah demi mencari kebenaran. Berbeza dengan iftiraq (perpecahan) yang banyak mengetengahkan aspek kekuasaan, penyelewengan, penipuan dan kekerasan apabila berbeza pandangan. Manakala aspek kekuasaan itu pula, penggunaannya banyak dimonopoli oleh para penguasa apabila berbeza pandangan dengan para Ulama. Banyak keburukannya apabila syariat dikuasai oleh penguasa (umara') yang mementingkan cita-cita politik mereka.

Peranan para Ulama dalam usaha melunaskan hak-hak syariat selaras menurut petunjuk al Quran dan Sunnah disekat dan dibataskan, semata-mata untuk memperkukuhkan kekuasaan pemerintah. Sebagai contoh, Imam Malik rahimahullah telah mengeluarkan fatwa bahawa suatu penceraian itu tidak sah jika orang yang melakukannya berada dalam tekanan. Keputusan Imam Malik ini akhirnya menyebabkan beliau ditangkap dan dicambuk dengan tidak berperikemanusiaan sehingga salah satu lengannya lumpuh buat selamanya. Walaupun perkataan Imam Malik itu berdasarkan pemerhatiannya terhadap nas-nas syara', namun fatwanya dianggap berbaur politik dan cuba menentang khalifah.

Di Nusantara khususnya di tanah Melayu, proses pengislahan yang dilakukan oleh al Marhum Dr. Burhanuddin Helmi supaya masyarakat Melayu kembali membela nilai-nilai Islam mendapat tentangan dari pihak penguasa. Perjuangannya bukan kerana wang, bukan menuntut pengaruh, bukan sengaja mencari propaganda, tetapi adalah usaha menggerakkan proses Islamisasi di tanah Melayu. Namun, akhirnya turut menerima hukuman (punishment)daripada penguasa. Ramai lagi para ilmuan Islam yang turut mengalami berbagai-bagai bentuk penganiayaan dan penyeksaan dari penguasa kerana perbezaan pendapat di kalangan mereka.

Hal ini berlaku kerana sikap penguasa yang lebih mengutamakan kepentingan politik daripada sumber Islam yang ma'thur. Manakala para Ulama ketika itu lebih tega dihukum dari turut bersekongkol bersama penguasa yang melakukan reaksi jahil secara total. Para Ulama bertanggungjawab untuk membina roh masyarakat selaras dengan pengukuhannya terhadap syariat Islam. Manakala tugas menasihati penguasa yang zalim adalah tugas mulia dan amanah keagamaan yang perlu dilaksanakan tanpa sedikitpun rasa bersalah.

Dalam pada itu golongan yang melabelkan kebenaran Islam sebagai mekanisma perjuangan, sudah pasti tidak akan membenarkan perpecahan berlaku, kecuali;

Pertama: Berlaku kekacauan pada perkara usul aqidah seperti menyelewengkan hak-hak syariat Islam, mempertikai hadith Rasulullah salallahualaihi wasalam sebagai dalil syara' dan sebagainya. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
لا طاعة لمخلوق فى معصية الله إنما الطاعة فى المعروف...
[ Tidak ada ketaatan kepada makhluk untuk melakukan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah pada perkara kebaikan ] [30]

Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam lagi;
السمع والطاعة حق مالم يؤمر بالمعصية فإذا أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة...
[ Mendengar dan taat sangat dituntut pada perkara yang tidak menyuruh kepada maksiat (kepada Allah dan Rasul-Nya), lalu jika perintah tersebut menyuruh kepada maksiat maka jangan dengar dan jangan taat ] [31]

Kedua: Bila teguran untuk menyatakan tanggungjawab melaksanakan perkara-perkara yang melibatkan hak-hak Islam, ditentang dan dibidas dengan jawapan yang tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim. Manakala kekerasan pula digunakan untuk menghalang usaha-usaha mendaulatkan hukum Islam kepada manhajnya. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
أنه سيكون بعدي أمراء فمن دخل عليهم فصدقهمُ بكذبهم وأعانتهم على ظلمهم فليس مني ولست منه وليس بوارد علي الخوض ومن لم يدخل عليهم ولم يعنهم على ظلمهم ولم يصدقهم بكذبهم فهو مني وأنا منه وهو وارد علي الخوض...
[ Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin (zalim dan pembohong), sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalangan umatku dan mereka dari kalangan yang akan mendatangi telaga (di syurga) ] [32]
Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam lagi;
ومن قاتل تحت راية عمية يغضب لعصبة أو يدعواْ إلى عصبة أو ينصر عصبة فقتل فقتلة جاهلية...
[ Sesiapa yang berperang dibawah panji buta dan marah kerana asobiyyah (sikap jahil terhadap kepuakan) dan menyeru kepada asobiyyah atau membantu kerana asobiyyah maka kematiannya adalah mati jahiliyyah ] [33]
Lafaz ' panji buta ' di dalam hadith ini ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil. Sekiranya berjuang dalam keadaan yang tidak tahu benar atau salah dianggap mati dalam jahiliyyah, apatah lagi golongan yang mempertahankan pemimpin yang diketahui umum penyelewengannya.

Ketiga: Pemimpin yang munafiq dan taghut, mengaku memperjuangkan kalimah Islam tetapi kaedahnya menyalahi tuntutan al Quran dan Sunnah. Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
يخرج فى آخر الزمان رجال يختلون الدنيا بالدين يلبسون للناس جلود الضأن من اللين ألسنتهم أحلى من السكر وقلوبهم قلوب الذئاب...
[ Akan datang di akhir zaman seorang lelaki yang melakukan tipu daya di dunia dengan menggunakan nama agama. Mereka mempengaruhi manusia dengan mengadu domba melalui kelembutan lidah-lidah mereka yang lebih manis daripada gula, sedangkan hati mereka hati serigala ] [34]

Firman Allah Taala;
...يَأيهَا النَّبِى جَاهِدُ الكُفَّارَ وَالمُنَافِقِينَ واغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِير...
[ Wahai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah neraka Jahannam. Dan itulah tempat kembali yang seburuk-buruknya - (at Taubah:73) ]

Di dalam ayat ini, Allah memerintahkannya kepada Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam untuk berjihad menentang orang-orang kafir dengan senjata. Manakala orang-orang munafiq dengan lisan dan menghilangkan sikap lemah lembut terhadap mereka. Oleh kerana itu, wajib untuk kita memastikan watak pemimpin kita yang sebenar. Pastikan mereka adalah di kalangan orang yang benar dalam memperjuangkan Islam dan bukan sekadar menjadi jaguh menyebut kalimah-kalimah perjuangan. Apabila fenomena sikap pemerintah seperti ini wujud dalam negara, lahirnya parti-parti/ firqah-firqah perlu dilakukan demi menjamin kesucian agama.
Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam;
أوصيكم بتقوى الله والسمع والطاعة وإن عبدا حبشيا فإنه من يعش منكم بعدى فسيرى اختلافاً كثيرا. فعليكم بسنتى وسنة الخلفاء المهديين الراشدين تمسكواْ بها وعضواْ عليها بالنواجذ...
[ Aku mewasiatkan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah, dengar dan taat sekalipun ia (datang dari mulut) berbangsa Habsyi. Maka sesungguhnya siapa yang hidup selepasku akan bertebaran perselisihan pandangan yang banyak. Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para pemimpin yang diberi petunjuk (Islam), gengamlah seerat-eratnya dan gigitlah ia dengan gigi geraham ] [35]

Penutup

Sahabat-sahabat pembaca yang dirahmati Allah, sesungguhnya para ilmuan Islam sejati mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak dipunyai oleh ilmu-ilmu yang lain. Bahkan dalam keadaan tertentu, mereka mampu membuat kejutan yang jauh lebih besar terhadap pengaruh ahli-ahli politik. Walaupun perubahan yang terhasil daripada gerakan dakwah kelihatan perlahan dan gradual, namun ia tetap memberikan kesan yang mendalam terhadap kebangkitan umat. Kebangkitan generasi ilmuan, biarlah atas dasar ilmiah bukan perasaan ta’assub sehingga mampu memusnahkan masyarakat.

Persoalan-persoalan yang menjahanamkan keizzahan hukum-hakam Islam seperti; Haruskah mereka yang Hanafiyyah berkahwin dengan mereka Syafieyyah? Adakah sah solat orang yang bermazhab Hanafi, sedangkan imamnya bermazhab Syafie? mampu memberikan gambaran perkembangan dakwah yang tidak sihat. Masyarakat Jepun antaranya apabila hendak memeluk Islam mereka akan bertanya tentang masalah-masalah seperti ini; Apakah dia mazhab dalam Islam? Adakah menjadi kewajipan bagi umat Islam memeluk salah satu di antara mazhab seperti; Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali? Tidakkah dengan wujudnya mazhab-mazhab ini menyebabkan perselisihan yang besar?

Bagi masyarakat Jepun, senario ini samalah seperti siri kartun ' Naruto ' di mana wujud clan (suku kaum)yang berbilang-bilang seperti Hyuuga clan, Uchicha clan, Nara clan, Aburame clan, Kaguya clan, Inuzuka clan. Masing-masing mempertahankan kepentingan puak mereka. Jika mereka bermusuhan, maka rosaklah identiti kampung mereka dan musuh-musuh mereka berpeluang besar untuk menawan beberapa wilayah kekuasaan mereka. Manakala Hokage yang berperanan sebagai ketua wilayah (khalifah) bertanggungjawab memastikan anak buahnya yang berpuak-puak itu, tidak berada di dalam keadaan huru-hara.

Dr. Yusuf al Qardhawi hafizahullah dalam risalah khutbahnya ada menggambarkan tentang pengembaraan dakwahnya ke Jepun;
اليبانيون يمكن أن يدخلواْ فى الإسلام لو وجدواْ الدعاة الصادقين. الدعاة الذين يعيشون بالإسلام وللإسلام. وأنا قلت للإخوة : إنكم تؤثرون فى اليبانيون بسلوككم أكثر مما تؤثرون بكلامكم. فلسان الحال أبلغ من لسان المقال. بماذا انتشر الإسلام فى البلاد التى دخلها؟ هل انتشر بالسيف كما يقول المبشرون والمستشرقون وأمثالهم؟ لا والله.. إن السيف قد يفتح أرضا ولكنه لايفتح قلباً ( خطب الشيخ القرضاوى )
[ Masyarakat Jepun barangkali ingin memeluk Islam jika di sana terdapat para pendakwah yang jujur (benar melaksanakan tanggungjawab). Mereka adalah pendakwah yang hidup dengan Islam dan (segala-galanya) untuk Islam. Dan saya menuntut kepada saudara; Sesungguhnya kamu boleh memberi kesan kepada masyarakat Jepun melalui akhlak (perilaku) kamu, lebih banyak berbanding dengan kata-kata kamu. Maka perkataan yang produktif lebih diterima berbanding perkataan yang pasif. Bagaimana Islam tersebar di negara-negara yang dimasukinya? Adakah berleluasanya senjata sebagaimana disebut oleh para missonari, orientalis dan yang seangkatan dengannya? Tidak!! Demi Allah.. sesungguhnya senjata telah membuka (penguasaan) dunia, tetapi tidak membuka hati mereka ] [36]

اللهم رب جبرائيل وميكائيل وإسرافيل فاطر السماوات والأرض عالم الغيب والشهادة أنت تحكم بين عبادك فيما كانواْ فيه يختلفون . اهدنا لما اختلف فيه من الحق بإذنك إنك تهدى من تشاء إلى صراط المستقيم... ( ابتهالات ودعوات : د. يوسف القرضاوى )
[ Ya Allah, Tuhan kepada Jibril, Mikail dan Israfil, Yang menciptakan langit-langit dan bumi, Yang mengetahui perkara ghaib dan yang nampak, Engkau menghukumkan di antara hamba-hamba-Mu pada perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkan kepada kami kebenaran dari apa-apa yang mereka perselisihkan dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk sesiapa yang engkau kehendaki menuju jalan yang lurus ] [37]

*****

Buat dua orang sahabat paling akrab, Mohamad Fairul Izwan bin Tawal dan Mohd Adib bin Afandi, telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Mac 2006, semoga pemergian rohnya dicucuri rahmat… al Fatihah…
اللهم أنت ربهما وأنت خلقتهما وأنت هديتهما للإسلام وأنت أعلم سرها وعلانيتهما...فاغفرلهما وبلغهما بالكرامة مواطن السلامة حتى نجتمع برأفتك فى دار كرامتك . برحمتك يا أرحم الراحمين

Oleh : Mohd Azmir Hj. Maideen. Usuluddin (Dakwah wa Thaqafah Islamiyyah)
Jami'atul Al Azhar, Kaherah 2006

Nota Hujung

[1] Musnad Ahmad no:7595.
[2] Sunan at Tirmidzi no:2554.Bab:ما جاء أن الإسلام بدأ غريبا سيعود غريباً
[3] Sahih Bukhari no:5535.Bab: رحمة الولد وتقبيله ومعانقته
[4] Dr.Yusuf al Qardhawi: الصحوة الإسلامية بين الجحود والتطرف :146,Mu'asasah ar Risalah1998
[5] Sahih Bukhari no:894.Bab:صلاة الطالب والمطلوب راكبا وإيماء
[6] Dr. Tola'at Mohammad Afifi: أدب الاختلافات الفقهية وأثره فى العمل الإسلامى المعاصر :25,Darul Salam2005
[7] Ibid.h:23. Perkataan'dia' di sini merujuk kepada salah seorang Ulama, Imam Syafie rahimahullah.ruj. Sheikh Abdullah al Ghaniman: الهوى وأثره فى الخلاف :http://www.freewebs.com/bismillah/kutubsaid1.htm
[8] Ibid.h:16.
[9] Az Zahabi: سير الأعلام النبلاء : 10/33,HARF
[10] Sahih Bukhari no:6805. Bab: أجر الحاكم إذا اجتهد فأصاب أو أخطاء
[11] Dr. Tola'at Mohammad Afifi, op.cit,h:20
[12] As Syatibi: الموافقات فى أصول الأحكام :Dar al Hadith1998
[13] Ad Dahlawi: الإنصاف فى بيان سبب الاختلاف :36, tanpa tarikh dan penerbit.
[14] Ibid.h:37
[15] Ibid.h:43, Dr. Tola'at Mohammad Afifi, op.cit,h:22.
[16] Nota Kuliyyah: بحوث فى الإستشراق والتبشير وقوى الاستنارة فى مصر ,Kuliyyah Dakwah wa Thaqafah Islamiyyah2006
[17] Ad Dahlawi, op.cit,h:43.
[18] Dr. Tola'at Mohammad Afifi, op.cit,h:14.
[19] Ibid.h:32.
[20] Ibid.h:43. أخلاق العلماء :35,Dar ad Dakwah.
[21] Ibid.h:44. حلية الأولياء :6/325,Dar al Kuttab al Arabi1985.
[22] Sahih Bukhari no:2233.Bab: ما يذكر فى الإشخاص والخصومة بين المسلم
[23] Dr. Yusuf al Qardhawi,op.cit.h:34.
[24] Khaled Amayreh:Q News:19,April2004
[25] Dr. Tola'at Mohammad Afifi, op.cit,h:62. الفوائد المجموعة فى الأحاديث الموضوعة :420, Sunnah Muhammadiyyah1961
[26] Dr. Abdul Aziz bin Uthman: استراتيجية التقريب بين المذاهب الإسلامية : http://www.freewebs.com/bismillah/kutubsaid1.htm
[27] Sahih Bukhari no:2313.Bab:هل يرقع فى القسمة والاستهام فيه
[28] Nota Kuliyyah: منهج القرآنى فى حماية الأعراض وصيانتها :Kuliyyah Dahwah wa Thaqafah Islamiyyah2006
[29] Sunan Abi Daud no:4235.Bab:فى الغيبة
[30] Musnad Imam Ahmad no:686.Bab:ومن مسند على بن أبى طالب رضى الله عنه
[31] Sahih Bukhari no:2735.Bab: السمع والطاعة للإمام
[32] Sunan at Tirdmizi no:558.Bab::ماذكر فى فضل الصلاة
[33] Sahih Muslim no:3436.Bab:وجوب ملازمة جماعة المسلمين عند ظهور الفتن
[34] Sunan at Tirdmizi no:2328.Bab:ما جاء فى ذهاب البصر
[35] Sunan Abi Daud no:3991.Bab:فى لزوم السنة
[36] Dr Yusuf al Qardhawi: خطب الشيخ القرضاوى :101, Maktabah Wahbah2001
[37] Dr. Yusuf al Qardhawi:ابتهالات ودعوات :49,Dar al Qalam2002

IMAN BIAWAK

Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah Wan-Nihayah bahawa al-Baihaqiy menceritakan dari Abu Mansur Ahmad bin Ali al-Damghaniy dari daerah Namin di Baihaq, dlm sebuah kisah yang disampaikan dari Umar r.a bahwa rasululLah sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat lalu tiba-tiba datanglah seorang Arab badwi dari keturunan bani Sulaim ke hadapan RasululLah.
Beliau membawa bersamanya seekor biawak (dob) padang pasir yang ditangkapnya. Beliau bercadang untuk membakar haiwan itu untuk menjadi makanannya. Sebaik sahaja melihat orang ramai yang berjalan di kawasan itu beliau tertarik untuk mendekati mereka, lantas bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi itu. Apabila mendapat penjelasan daripada sebahagian sahabat yang hadir bahawa mereka sedang mengiringi Nabi maka dia terus mencari laluan mendekati Nabi lantas segera berkata : Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat di alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad ! kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam, putih dan merah serta selainnya !
Umar al-Khattab yang meriwayatkan ksah ini menjadi marah dengan sikapnya lalu beliau bangkit dan berkata : Wahai Nabi ! Biarlah saya mengakhiri hidupnya ! Nabi telah menjawab permintaan Umar dengan tenangnya : Wahai Umar ! Tidakkah engkau tahu bahwa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi Nabi !
Nabi kemudiannya telah berkata kepada Arab badwi itu : apa yang menyebabkan engkau mengatakan demikian kepadaku ? Engkau sepatutnya menghormati aku dalam perhimpunan bersama para sahabatku ! Arab badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya menghina Nabi dengan berkata : Demi tuhan lata dan Uzza ! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman kepadamu , katanya sambil mengeluarkan biawak itu lalu melemparkannya ke hadapan Nabi sa.w.
RasululLah s.a.w telah memanggil biawak itu dan kedengaran suaranya menjawab panggilan Nabi dnegan bahasa Arab yang fasih difahami oleh semua yang hadir : ya wahai Nabi s.a.w ! nabi bertanya kepada biawak itu : Kepada siapakah engkau beriman ? Jawab biawak itu : Saya beriman kepada Tuhan yang dilangit itu arasyNya, di bumi itulah kekuasaanNya, dan di lautan itulah jalanNya, dan di syurga itu rahmatNya, dan dalam neraka itu azabNya !
Tanya Nabi lagi : Aku ini siapa wahai biawak ? jawab biawak itu : Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam ! Amatlah beruntung orang yang menyokong dan memperjuangkan Tuan , dan binasalah orang yang mendustakan Tuan !
Mendengar kata-kata biawak yang sangat lancar itu, Arab badwi itu lantas mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir lalu berkata : Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri , engkau amat kukasihi zahirku dan batinku, dan aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi adalah pesuruhNya.
Sumber: Ustaz Zahazan Mohamed

ISA MELAWAN PRINSIP AL QURAN... YB LAU WENG SAN, ADUN KG TUNKU, SELANGOR

"Bahawa Dewan ini menetap untuk mengkritik penahanan Yang Berhormat Tuan M Manoharan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kota Alam Shah serta pemimpin-pemimpin Hindraf (Barisan Bertindak Hak-hak Hindu) dan aktivis-aktivis sosial yang lain tanpa perbicaraan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyeru Kementerian Dalam Negeri membebaskan tahanan-tahanan ini."


Sehingga hari ini, kerusi untuk Adun Kota Alam Shah masih lagi kosong. Rakyat seluruh Malaysia terkejut pada 13 Disember 2007 apabila kelima-lima orang aktivis Hindraf iaitu P. Uthayakumar, V. Ganabatirau, R. Kenghadharan, T Vasantha Kumar serta ahli YB Kota Alam Shah telah ditahan mengikut Seksyen 8 akta ISA.


Kelima-lima orang ini merupakan para aktivis yang bergiat aktif dalam perjuangan untuk mengangkat martabat masyarakat kaum India yang selama ini ditekan dan ditindas oleh kerajaan BN.


Mengikut Seksyen 8 ISA, lima tahanan ini akan terus dihantar ke kem tahanan Kamunting dan ditahan di sana selama dua tahun bawah arahan menteri keselamatan dalam negeri tanpa melalui siasatan polis.


Inilah kali pertama Seksyen 8 digunakan untuk menahan seseorang.


Sebelum itu, tahanan-tahanan biasanya akan ditangkap bawah Seksyen 73 - seseorang itu akan ditahan bawah pemantauan polis selama 60 hari sebelum ditentukan sama ada seseorang tahanan itu wajar ditahan lanjut di Kamunting.


Saya berpendapat penahanan kelima-lima orang aktivis Hindraf ini bukan sahaja tidak adil, malahan tidak munasabah sama sekali, khususnya penahanan YB Kota Alam Shah, apabila seorang Adun telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat.


Saya ingin mengetengahkan beberapa sebab mengapa penahanan ini patut dikritik dan tahanan-tahanan perlu dibebaskan tanpa syarat dengan segera.


Sebab pertama: YB Kota Alam Shah telah menang dengan undi majoriti yang besar.


Pada pilihanraya umum ke-12 yang baru berlangsung, YB Kota Alam Shah telah menang dengan majoriti sebanyak 7,184 undi biarpun beliau masih ditahan di Kamunting bawah ISA dan tidak dapat hadir untuk berkempen.


Kejayaan besar ini bukan sahaja satu kejayaan besar untuk DAP dan beliau sendiri, malahan ia juga merupakan satu tamparan kepada kerajaan pusat bahawa ia tidak boleh terus menahan mereka yang tidak bersalah tanpa perbicaraan melalui ISA.


YB Kota Alam Shah ditahan berikutan penglibatannya dalam Hindraf. Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh YB Kota Alam Shah selama ini hanyalah untuk memperjuangkan hak asasi untuk golongan masyarakat India yang tertindas dan terpinggir dan ia tidak mengancam keselamatan negara.


Oleh itu, YB Kota Alam Shah harus dilepaskan serta-merta agar beliau dapat menunaikan sumpahnya sebagai Adun dan menjalankan tugasnya dengan sempurna.


Dalam sejarah Malaysia, terdapat dua orang tahanan ISA yang pernah mengambil bahagian dalam pilihanraya umum dan berjaya memenanginya semasa masih ditahan di bawah ISA. Kedua-dua orang ini kebetulannya merupakan bekas ahli parlimen DAP iaitu Chiang Heng Kai dan mendiang Chan Kok Kit.


Kedua-dua mereka telah ditahan bawah ISA pada pertengahan 1970-an atas tuduhan menyokong elemen Komunis.


Biarpun begitu, kedua-dua mereka masih bertanding dalam pilihanraya umum pada 1978 dan menang dengan majoriti yang lebih besar.


Dalam konteks ini, saya ingin menyarankan supaya YB Kota Alam Shah dibebaskan daripada penahanan ISA agar beliau dapat kembali berkhidmat untuk rakyat di kawasannya.


Adun Kota Alam Shah tidak boleh ditahan secara berpanjangan di bawah ISA. Penahanannya secara tidak langsung telah menidakkan hak rakyat Kota Alam Shah untuk menyampaikan suara mereka ke dewan yang mulia ini.


Sebab kedua: Alasan penahanan YB Kota Alam Shah dan aktivis Hindraf lain terlalu lemah.


YB Kota Alam Shah dan aktivis Hindraf selama ini telah terlibat dalam pelbagai aktiviti sah untuk memperjuangkan hak masyarakat India yang ditindas dan dipinggirkan selama ini.


Kita harus memahami bahawa apa yang diperjuangkan oleh kelima-lima orang tahanan ini adalah untuk membawa isu peminggiran masyarakat kaum India yang diabaikan selama ini.


Hakikatnya, kita telah lihat sekurang-kurangnya 30,000 orang menyertai tunjuk perasaan yang diadakan pada 25 Oktober lalu.


Tunjuk perasaan ini yang disertai oleh rakan-rakan berketurunan India kita dari seluruh pelusuk negara telah membuktikan bahawa perjuangan mereka ini adalah berasas.


Malahan naib ketua Pemuda Gerakan, S. Paranjothy dalam artikelnya yang bertajuk 'Discrimination from Womb to Tomb menyatakan bahawa 30,000 warganegara berketurunan India yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan tersebut kerana mereka telah lama dipinggirkan, ditindas dan tidak dipedulikan.


Rakyat India merupakan golongan yang tertindas di dalam struktur ekonomi Malaysia, seperti yang terbukti dalam beberapa petunjuk termasuk kemasukan universiti.


Mereka dilayan seolah-olah mereka merupakan warga kelas keempat.


Di pusat penahanan Simpang Renggam, yang menempatkan kira-kira 1,600 orang tahanan, lebih seribu daripada mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah, manakala 574 orang disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah.


Biarpun hanya lapan peratus daripada jumlah rakyat Malaysia terdiri warga India, tetapi lebih daripada 48% daripada tahanan-tahanan di pusat ini merupakan kaum India, sekali gus menunjukkan bagaimana runcingnya masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat ini.


Sebab ketiga: ISA mencabuli prinsip hak asasi manusia.


ISA merupakan punca segala bentuk undang-undang penindasan di negara ini, malah ia lebih berbisa jikalau dibandingkan dengan undang-undang zalim yang lain seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA), Akta Polis dan Akta Hasutan.


Untuk itu, ISA sepatutnya dimansuhkan kerana ia sudah tidak sepadan dengan perlindungan hak asasi manusia.


ISA juga telah disalahgunakan sebagai satu instrumen oleh pemerintah untuk menekan suara pembangkang dan masyarakat madani untuk kepentingan politik mereka.


Dalam kebanyakan kes ISA, akta ini telah digunakan oleh polis untuk menahan mereka yang disyaki mengugat kedudukan pemerintah biarpun pihak pemerintah masih tiada apa-apa bukti kukuh.


Terdapat banyak judul tulisan yang dihasilkan berkaitan dengan ISA. Antara yang terkenal tidak lain tidak bukan buku berjudul Freedom under Executive Power in Malaysia yang ditulis oleh menteri luar sekarang, iaitu Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang juga merupakan timbalan menteri dalam negeri dari tahun 1976 hingga 1978.

Beliau dalam buku itu telah menyifatkan bagaimana menteri dalam negeri menandatangani arahan penahanan ISA secara automatik hanya bergantung kepada cadangan polis tanpa menggunakan tanggungjawab mereka sebagai menteri untuk mengesahkan keperluan untuk menahan seseorang itu di bawah ISA.


Beliau telah menulis bahawa:


"That there are clear violations of human rights by invoking the ISA and other draconian legislation is an understatement.


The misery that these executive laws have brought upon individuals have left a clear message: there is a state of confusion in the real, accepted meaning of the phrase 'prejudicial to the security of Malaysia.'


The meaning of this phrase which is thematic in the ISA as well as under Articles 149 and 150 of the Constitution is systematically left to the discretion of the executive." (p. 293-4)


Ahli YB dari Hulu Kelang pernah menulis siri lapan buku yang bertajuk Suara Dari Kamunting semasa beliau masih ditahan bawah ISA pada tahun 2001. Ahli YB dari Kota Damansara juga merupakan seorang mangsa ISA di bawah Ops Lalang 1987.


ISA juga bertentangan dengan ajaran agama. Misalannya, ia bercanggahan dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan seperti yang diterangkan dalam al-Quran, iaitu ayat 58 surah an-Nisa', ayat 15 surah as-Syura dan ayat 90 surah an-Nahl.


Apa yang jelas, penahanan seseorang tanpa perbicaraan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang patut dikutuk dan dikritik sekeras-kerasnya, khususnya dalam kes ini di mana seorang wakil rakyat telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat.


Lebih-lebih lagi, seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada hari ini, terdapat 16 keluarga mangsa ISA yang telah dikenal pasti tinggal di Selangor.


Dengan itu, saya memohon supaya usul ini dipersetujui.


Lau Weng San, setiausaha DAP Selangor, juga Adun Kampung Tunku. Artikel ini asalnya teks ucapan beliau di DUN Selangor sewaktu membawa usul tergempar mengkritik ISA pada 26 Mei.

TAZKIRAH.... HARI KIAMAT PASTI BERLAKU, APAKAH PERSEDIAAN KITA...

"SELAIN ITU (SUNGGUH NGERI) TATKALA LANGIT PECAHBELAH LALU TERJADILAH IA MERAH MAWAR, BERKILAT SEPERTI MINYAK..."
(Surah Al Rahman: ayat 37)

Bulu roma sipembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya:"Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah?Malang sungguh nasibku ini." Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepadanya:" Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama. "

Jawapan yang sama telah diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan sembahyang Tahajjud. Abdullah bin Rawahah telah menangis pada suatu hari. Isterinya melihat keadaannya turut menangis bersama-sama, dia bertanya kepada isterinya itu:"Mengapa kamu menangis?"Kata Abdullah:"Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui Titi sirat, aku menangis."Aku tidak tahu sama ada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak."

Pada suatu ketika Zurarah bin Aun sedang bersembahyang dimasjid. Apabila ia membaca ayat yang bermaksud:"Maka apabila ditiup sangkakala, maka yang demikian dihari itu, hari yang payah" (Al-Maudasir- 8-9) Zurarah bin Aun jatuh dan meninggal dunia!!!


Dalam salah satu sembahyangnya, Khulaid dalam qiraatnya telah membaca ayat yang bermaksud: "Tiap-tiap jiwa akan merasai mati" (Al-A'nkabut) Dia telah mengulangi ayat itu beberapa kali sehinggakan tiba-tiba dia terdengar suara orang yang mengatakan kepadanya:"Berapa kali mesti kamu ulangi ayat itu? Bacaan mu telah menyebabkan kematian empat jin!!!"

Dengarlah kata Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat Baginda s.a.w. mengenai perasaan takut akan Allah s.w.t..

Nabi Muhammad s.a.w.:"Segala-galanya, takut akan orang yang takutkan Allah s.w.t. Sebaliknya segala-galanya menjadi sumber ketakutan kepada orang yang takutkan sesuatu selain dari Allah s.w.t..

Yahya bin Ma'az:"Seandainya seorang manusia itu takutkan neraka sebanyak ia takutkan kemiskinan, ia akan memasuki syurga."

Abu Sulaiman Darani:"Kecelakaan bagi jiwa yang kosong dengan perasaan takut kepada Allah s.w.t.."

Nabi Mubammad s.a.w.:"Wajah yang dibasahi oleh air mata kerana takutkan Allah s.w.t.., walau bagaimana sedikit pun air mata itu, terselamat dari api neraka.""Apabila seorang muslim mengeletar kerana takutkan Allah s.w.t., gugurlah dosa-dosanya seperti daun-daun yang kering berguguran."

Aqbah bin Amir berkata kepada Nabi Mubammad s.a.w.:"Tunjukkan daku jalan ke arah keselamatan. " Jawab Nabi Muhammad s.a.w.:"Jangan banyak bercakap dan tinggallah dirumah sambil menangis mengenangkan dosa-dosamu. "

Aishah r.a.hu telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.:"Adakah diantara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan? "Nabi Muhammad s.a.w. menjawab:"Ya, dia ialah orang yang banyak menangis menyesali segala dosa-dosanya yang telah ia lakukan."

Nabi Muhammad s.a.w.:"Ada dua jenis titisan yang sangat-sangat dihargai Allah s.w.t..Titisan air mata kerana takutkanNya dan titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang dijalanNya."
__._,_.___

MENJANA KEMANTAPAN TARBIYAH DALAM KELUARGA PARA DAIE ... Pak Mardhani

Siapakah Pak Murdhani:

- Bekas Penuntut UTM (Master & PHD in Automotive Engineering)
- PSU kepada SUA PKS
- Part time Lecturer di Mercu Buana Universiti, Jakarta (kalau silap, mohon betulkan)
- Umur 41 tahun
- 9 orang anak


Ringkasan noktah penting ceramah beliau:


- perhatian kepada golongan muda amat penting (mungkin ada hubungkait dgn isu yg dibincangkan skrg ini)


- contoh sahabat; Usamah bin Zaid (berumur 17 ketika memimpin tentera menentang Rom)

- Golongan tua agak susah untuk terima Islam, contoh; dakwah Nabi Muhammad S.a.w. di Mekah hanya segelintir yang terima Islam kerana ramai orang tua yang sudah sebati dengan hidup mereka. Berbeza ketika di Madinah, ramai yang dah terima Islam walaupun Nabi Muhammad belum tiba di sana.



- Umur yang harus difokuskan adalah kepada golongan muda kerana mempunyai potensi besar untuk melakukan perubahan. Umur 30 - 40 tahun adalah sepatutnya waktu puncak dalam melakukan dakwah.


- Contoh Indonesia mempunyai 17,000 pulau dan memerlukan tenaga muda untuk menyebarkan Islam. Wali Songo, melakukan dakwah ketika usia muda.


- Moto PKS : Bersih & Peduli, mereka tidak berebut jawatan tapi sedia menjadi pemimpin jika diperlukan. Mempunyai 350 professional (PHD).



- Parti yang aktif memerlukan 4 perkara (mungkin ada kaitan dgn NGO)
1. Ahli yang setia (loyal)
2. parti yang kukuh (solid)
3. Pemimpin yang kuat
4. Trend pemilih yang meningkat setiap kali pilihanraya.


- PKS menekankan 5 perkara
1. Bersih
2. Peduli
3. Professional
4. Terbuka
5. Muda


- SUA PKS berumur 41 tahun



- Usaha untuk menarik golongan muda (4 perkara)
1. Dekati/pergaulan dengan orang muda (3 pendekatan - dikenali 3A)
a) Aku aman bagimu (kita sebagai daie senang didekati mereka; bergaul dgn golongan muda)
b) Aku nyaman bagimu (golongan muda merasa sgt confortable dgn kita, merindui kita tika kita tiada)
c) Aku bermanfaat bagimu (kita berguna untuk golongan muda; mungkin untuk mereka meluahkan perasaan dan sebagainya)


Kenapa golongan muda suka ke Shopping Complexs (Mall)? kerana mempunya 3A diatas. Adakah Gerakan dakwah/Politik kita mempunyai ciri 3A???
Gerakan Dakwah/Politik harus kenal pasti golongan muda yang akan menjadi pemimpin masa depan.

2. Gerakan yang Dinamik
memerlukan tenaga yang besar untuk melakukan usaha menarik golongan muda, harus dimulakan dgn 3M
a) Mulakan dari diri sendiri
b) Mulakan dari yang kecil
c) Mulakan dari sekarang

3. Mendekatkan diri pada Allah Swt
- Perlu menghayati 99 nama Allah
- Iman akan meningkat dengan beribadah
- Iman akan jatuh dengan maksiat

4. Amal yang berterusan; umpama 2 sungai
a) Sungai yang besar tapi tidak mengalir dan kotor (Ilmu tanpa Amal)
b) Sungai yang sentiasa mengalir; suci lagi menyucikan (Ilmu & Amal yang berterusan)

"Usrah akan dianggap berjaya jika boleh melahirkan naqib yang baru"
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.