UCAPAN KARRAMALLAHU WAJHAH UNTUK SAIDINA ALI
AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 256 (25 APRIL 2016 M / 17 REJAB 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum Tuan Mufti, saya ingin bertanya. Gelaran Karamallahu wajhah untuk Saidina Ali itu diberi oleh Rasulullah ke atau dari pihak lain? Pasal kawan saya kata ia dari syiah. Jadi saya mohon penjelasan dari Tuan Mufti samada ia benar atau pun tidak. Wallahu a'lam.
JAWAPAN:
Waalaikumusalam wbt,
Ulama berbeza pandangan dalam isu ini terbahagi kepada dua kelompok.
Pertama: Kelompok tidak menggalakkan penisbahannya kepada Saidina Ali kerana beberapa sebab:
1. Menolak budaya Syiah yang terlalu mengagungkan Saidina Ali
2. Jika alasan Saidina Ali tidak pernah menyembah berhala, ramai lagi para sahabat yang tidak pernah menyembah berhala seperti Saidina Abu Bakar.
3. Allah SWT sendiri telah menggelarkan para sahabat dengan Radhiallah, yakni “Allah telah meredhai” dalam Surah al-Fath (48:18), maka lebih utama digelar Saidina Ali berdasarkan Radhiallahuanhu berbanding Karramallahuwajhah.
Berkata Ibnu Kathir dalam Tafsir-nya (3/517):
وقد غلب هذا في عبارة كثير من النساخ للكتب أن يفرد علي رضي الله عنه بأن يقال عليه السلام من دون سائر الصحابة أو كرم الله وجهه وهذا وإن كان معناه صحيحا لكن ينبغي أن يسوى بين الصحابة في ذلك فإن هذا من باب التعظيم والتكريم فالشيخان وأميرالمؤمنين عثمان أولى بذلك منه رضي الله عنهم أجمعين
Maksudnya: “Dan menjadi kebiasaan hal perkara ini ramai dari kalangan penulis buku-buku yang memberikan secara ekslusif kepada Ali Radhiallahuanhu dengan gelaran Alaihissalam, tanpa (gelaran tersebut disebut juga) ke atas seluruh sahabat yang lain, atau gelaran Karramallahuwajhah, dan hal ini meskipun jika maknanya sahih tetapi wajar untuk menyamakan antara sahabat-sahabat pada hal ini, kerana ianya dari bab penghormatan dan pemuliaan (ke atas semua sahabat), maka dua orang tokoh besar (yakni Abu Bakar dan Umar) dan Amirul Mukminin Uthman adalah lebih utama dalam bab ini dengan gelaran itu daripada Ali – Semoga Allah meredhai kesemua mereka.”
Ini juga ialah fatwa daripada Lajnah al-Da'imah li al-Buhuth al-Ilmiyyah wa al-Ifta (3/403) No Fatwa: 3627.
Kedua: Kelompok ini membenarkan penggunaan gelaran itu dengan beberapa sebab.
1. Saidina Ali tidak pernah sujud kepada berhala sepanjang hidupnya dan beliau ialah orang yang pertama masuk Islam daripada kalangan kanak-kanak. Inilah dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haithami dalam Fatwa al-Hadithiyyah (1/41).
2. Para Sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar juga memiliki gelaran khusus seperti al-Siddiq, Umar al-Khattab sebagai al-Faruq, dan Khalid al-Walid sebagai Saifullah al-Maslul. Justeru, tidaklah bermaksud mengkhususkan Karramallahuwajhah kepada Ali sebagai bentuk ketidakadilan.
3. Gelaran itu berasal daripada respon Ahlussunnah yang membalas gelaran buruk oleh golongan Nawasib, yang sangat membenci Ahlu Bait, kepada perkataan mereka Qabbahallahuwajhah, yakni Semoga Allah memburukkan wajah Ali. Inilah pendapat Syeikh Muhammad bin Ali bin Adam bi Musa al-Ithyubī al-Wallawī, pensyarah Kitab Sunan al-Nasaie (Dzakhirah al-ʿUqba fi Syarh al-Mujtaba).
Tarjih
Berdasarkan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak salah menggunakan Karramallahuwajhah kepada Saidina Ali, tetapi kami cenderung untuk menyamakan penggunaan Radhiallahuanhu kepada Saidina Ali seperti mana digunakan kepada sahaba-sahabat Rasulullah SAW yang lain. Ini kerana Nas Ilahi menyebut para sahabat dengan gelaran berkenaan. Justeru, sikap ini keluar daripada khilaf, itu lebih tenang bagi jiwa.
Wallahua'lam.
Pautan ke laman rasmi PMWP: http://goo.gl/CfJerT
万恒娱乐官方网站-河南实行省内黄河流域环境资源案件集中管辖
4 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan