Assalaamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh dan salam sejahtera,
Bunga tanjung di tengah pekan,
Tiupan bayu mencelah suria,
kalimah nan agung saya mulakan,
Salam sejahtera menambah ceria.
Daun layu di tengah gurun,
nampak jalur pohon cemara,
Tradisi Melayu turun temurun
Pantun ditutur pembuka bicara.
Selamat datang kami ucapkan,
Buat semua hadirin budiman,
Ke sidang majlis penuh taakulan,
Bersama merapat ukhuwwah dan taulan.
Yang berusaha, Tuan Haji Hamzah bin K. Mohamed, pengetua SMK Bukit Goh,
Yang dihormati, Encik Mohd Azmi bin Othman, mantan pengetua SMK Bukit Goh,
Puan Hajjah Wan Norini bt Wamad Hamat, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bukit Goh,
Ustaz Mohd Anuar bin Mohd Amin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMK Bukit Goh
Encik Awang Mahadi bin Ali, Penolong Kanan Korikulum, SMK Bukit Goh
Yang diraikan Pn. Rosminah bt Hassan, yang akan bertukar ke SMK Sungai Isap,
Ketua-ketua bidang,
Rakan-rakan guru dan kakitangan sekolah serta keluarga masing-masing,
dan seterusnya hadirin hadirat yang dikasihi sekalian..
Hadirin dan hadirat sekalian,
Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dengan limpah kurniaNya, dihimpunkan kita di majlis yang sangat besar ertinya kepada semua warga SMK Bukit Goh. Jamuan Akhir tahun dan majlis perpisahan adalah program tahunan sebagai menghargai usaha dan pengorbanan guru dan kakitangan dalam usaha meningkatkan nama sekolah di peringkat daerah maupun negeri. Majlis seperti ini diadakan oleh semua sekolah menjelang berakhirnya sesi persekolahan. Di samping itu juga meraikan guru-guru yang akan bertukar kerana menghargai pengorbanan mereka selama ini dalam membangunkan sekolah dari segi akademik, kokurikulum, bina insan dan keceriaan...
Ikan merah dijual di pekan,
Syukur gembira dapat sebaldi,
Cuaca cerah turut mengizinkan,
Pohonlah doa ke hadrat Ilahi.
Bagi memberkati majlis ini, marilah kita bersama-sama menadah tangan munajat kepada Allah, semoga majlis ini berjalan dengan sempurna hingga ke akhirnya. Dengan ini, dipersilakan Tuan Haji Zamani untuk menitipkan doa dalam majlis yang penuh gilang gemilang ini.
(Doa dibaca)
Amin.. amin ya Rabbal Alamin. Semoga dengan bacaan doa itu tadi, majlis ini akan berjalan lancar.
Semoga majlis kita pada hari ini dipelihara,
Dilimpahkan sepenuh manfaat dan keceriaan,
Menambah tautan kemesraan,
Serta, berpisahnya kita nanti, akan diiringi dengan seribu kenangan.
Seterusnya dipersilakan Puan Rosminah bt Hassan, guru SMK Bukit Goh yang akan bertukar ke SMK Sungai Isap, menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang penuh ertinya pada hari ini. Dengan segala hormatnya dipersilakan..
(Puan Rosminah menyampaikan ucapan... )
Banyak duri perkara duri,
Tidak sama duri mengkuang,
Banyak budi perkara budi,
Tidak sama budimu seorang.
Malam hari berlagu unggas,
Memecah kesunyian di dalam hutan,
Walaupun terpisah tempat dan tugas,
Budimu puan dalam ingatan
Mekar melati diapit kejora,
Kuntuman tersemat, jadi pamitan,
Tersentuh hati mendengar bicara,
Ungkapan azimat jadi ingatan.
Kain songket cantik kilauan,
Ditenun oleh orang kemaman,
Tak terbalas budimu puan,
Kami merakam setinggi penghargaan.
Tidak lengkap rasanya majlis ini tanpa mendengar amanat dan ucapan keramat daripada pengetua yang kita kasihi. Dengan ini dipersilakan Tuan Haji Hamzah bin K. Mohamed, pengetua SMK Bukit Goh untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya, dipersilakan...
(Tn. Haji Hamzah bin K. Mohamed menyampaikan ucapan...)
Tumbuh selirat bunga melati,
Mari direnjis dalam jambangan,
Ucapan tersirat seribu erti,
Semoga majlis menjadi kenangan.
Hadirin sekalian, majlis ini diadakan sebagai simbolik untuk melambangkan kerjasama saling memberi dan menerima, susah dan senang sama dirasa.
Ke Pekan sudah, ke Maran pun sudah,
Cuma ke Tenom sahaja yang belum,
Ucapan sudah, pesanan pun sudah,
Makan dan minum sahaja yang belum.
kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih,
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.
Untuk itu, marilah kita sama-sama merasa kelazatan makanan dengan didahului membaca doa makan...
(Acara makan malam...)
Tuan-puan yang dimuliakan,
Andai berkayuh dah sampai ke seberang,
Andai memanjat dah sampai ke pucuk,
Andai mendaki dah sampai ke puncak,
Setiap yang bermula pasti akan berakhir,
Begitu juga dengan majlis kita pada malam ini.
Sebagai penutup bicara...
Sisir pelepah meraut lidi,
Menganyam daun atap jerami,
Yang indah, yang berseri bawalah pergi,
Yang cacat. yang keji tinggalkan buat kami.
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di bawah saji,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan dikutuk diumpat keji.
Pohon kuini dahannya patah,
Di situ tempat bermain kenari,
Sampai di sini kata bernoktah,
Izinkan saya mengundur diri.
Demikianlah tadi selesai sudah Jamuan Akhir Tahun dan Majlis Perpisahan kita pada kali ini. Semoga majlis ini dapat mengeratkan ukhuwwah di kalangan kita untuk terus menggapai kejayaan dalam semua bidang pada tahun hadapan. Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis kita pada hari ini. Semoga berjumpa di lain kali.
Sekian, wassalamualaikum wbt...
0 ulasan:
Catat Ulasan