Salah seorang tokoh tabien yang terkenal ialah Hasan Al Basri. Nama penuh beliau ialah Abu Sa'id al-Hasan ibn Abi-Hasan Yasar al-Basri. Beliau dilahirkan di Madinah pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Ibunya bernama Khairah merupakan seorang bekas hamba kepada isteri Rasulullah, iaitu Hindun binti Suhail atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah. Ummu Salamahlah yang memberi nama Hasan. Beliau adalah seorang wanita Arab yang cerdik dan sangat berilmu. Ummu Salamah adalah diantara segelintir kecil kaum wanita yang celik huruf dan telah meriwayatkan sehingga 387 buah hadis. Beliau adalah ibu susuan Hasan. Ayah Hasan bernama Yasar merupakan bekas hamba kepada Zaid bin Thabit, seorang penulis wahyu Rasulullah. Hassan membesar dan dididik di rumah Ummu Salamah dan rapat dengan kesemua Ummu Mukminin (isteri Rasulullah) kerana rumah-rumah mereka berdekatan.
Hasan mempelajari hadis daripada Othman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abu Musa al Ash’ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan ramai lagi. Ali bin Abi Talib merupakan idola Hasan yang kuat pegangan agama, kesempurnaan ibadah, kezuhudan dengan menjauhi segala kesenangan dunia. Beliau memiliki kepetahan bertutur, kebijaksanaan, kefasihan dan keupayaan memberi tunjuk ajar yang mampu menyentuh hati manusia. Hasan cuba mencontohi segala akhlak, ketaqwaan dan ibadah Ali bin Abi Talib. Beliau mendalami ilmu agama kepada Ulama terkemuka dan dalama rangka itu, dia bertemu dengan 70 orang ahli Badar dan 300 orang sahabat Rasulullah.
Pada tahun 37 H, setahun selepas Perang Siffin, ketika umurnya 14 tahun Hasan mengikuti ayahnya berpindah ke Basrah dan menetap di sana. Dengan ini namanya dikaitkan dengan Basrah dan dikenali dengan Al Hasan Al Basri. Beliau mempelajari tafsir, hadis dan qiraat dari Abdullah bin Abbas. Beliau juga mendalami ilmu fikah, bahasa dan sastera daripada sahabat lain. Hasan menjadi ilmuan dan seorang fakih yang terkenal dan dipercayai. Beliau dapat melembutkan hati dan mampu membuat air mata orang ramai berlinangan.
Maslamah bin Abdul Malik merupakan jiran Hasan di Basrah, menceritakan mengenai Hasan. Katanya Hasan sama luar dan dalamnya. Ucapannya selari dengan perbuatannya. Apabila mengajak manusia kepada kebaikan beliaulah yang pertama melakukannya. Apabila melarang manusia melakukan kejahatan beliaulah yang pertama yang meninggalkannya. Beliau zuhud, menjauhi daripada mengambil segala yang ada di tangan manusia lain. Manusia amat mengharapkanya dan sentiasa meminta apa yang ada padanya.
Hasan Basri pernah berkata bagaimana kita tidak takut kalau seluruh kehidupan ini kita dipertanggung jawabkan kepada Allah sedang kehidupan itu sendiri amat pendek dan terbatas. Bagi orang yang beriman, kehidupan dunia bukan untuk bersenang-senang, melainkan untuk membuat persiapan dan persediaan untuk bertemu dengan Allah satu hari nanti. Beliau selalu berpesan agar manusia selalu berwaspada terhadap dunia yang diibaratkannya seperti ular yang lembut sentuhannya tetapi boleh mematikan. Berpalinglah dari pesonanya dan berwaspadalah selalu. Menurut Hasan Basri manusia telah mendapat kebaikan dari Rasullulah ketika Allah menawarkan kepadanya berupa dunia dan kunci serta isinya tanpa mengurangi sedikit pun kedudukannya di hadapan Allah. Namun, beliau menolak kerana dunia itu boleh mempersonakan dan menipu manusia.
Secara terang-terang dia membenci sikap golongan atasan yang hidup berpoya-poya. Di kalangan para sufi dia dimuliakan sebagai salah seorang tokoh Islam yang besar. Beliau diakui sebagai Guru Besar Kaum Sufi kerana dia mendapat ilmu tasawwuf atau kesufian terus dari Huzaifah Ibnu Yaman, salah seorang sahabat Rasulullah yang terkenal dengan ketinggian ilmu agamanya.
Suatu ketika Saidina Ali Abi Talib menemui Hasan yang sedang mengajar muridnya dalam masjid. Saidina Ali bertanya: "Hai Hasan! Aku mahu bertanya kepadamu tentang dua perkara. Apabila engkau dapat menjawab dua perkara ini engkau dapat meneruskan pengajaranmu, kalau tidak engkau akan aku keluarkan dari masjid ini sebagaimana aku bertindak kepada yang lain." Hasan berkata, "Bertanyalah wahai Amirul Mukminin." Saidina Ali mengajukan pertanyaan,"Ceritakan kepadaku tentang kebaikan agama dan yang dapat merosakkan agama”. Hasan Basri menjawab, "Kebaikan agama ialah hidup warak dan yang merosakkan agama ialah hidup tamak." Saidina Ali berkata, "Engkau benar dan sekarang teruskan pengajaran mu."
Dalam peristiwa yang lain sedang Hasan Basri mengajar anak muridnya di masjid, tiba-tiba naik seorang lelaki lalu bertanya beliau, “Wahai imam, kampong kami sedang menghadapi masalah kemarau yang panjang. Apakah yang perlu kami buat wahai imam”. Hasan Basri menjawab; “Bermohonlah keampunan dari Allah SWT”. Lepas itu lelaki itu berlalu pergi. Tidak lama kemudian naik lagi seorang lelaki dan bertanya Hasan Basri, “Wahai imam, aku telah lama kahwin tapi Allah belum mengurniakan lagi kepada aku anak. Apakah yang harus aku buat imam.” Hasan Basri menjawab. “Bermohonlah keampunan dari Allah SWT”. Lepas itu lelaki itu juga berlalu pergi. Berikutnya naik pula seorang lelaki lain dan bertanya Hasan Basri, “ Wahai imam pokok-pokok tanaman dikampungku tidak berbuah, apakah yang patut kami buat wahai imam”. Hasan Basri menjawab, “Bermohonlah keampunan dari Allah SWT”’
Lepas kejadian itu, seorang anak murid Hasan Basri bertanya beliau. “Wahai imam, kenapakah imam memberikan jawapan yang sama kepada ketiga-tiga orang lelaki tadi, sedangkan persoalan mereka bertiga adalah berlainan sama sekali. Hasan Basri menjawab, “Sesungguhnya itu bukanlah idea dari aku melainkan firman dari Allah dalam Surah Nuh[Nabi Nuh] (71:10-12)yang berbunyi;
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu;
“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
Hajjaj bin Yusuf Al Thaqafi ialah seorang pemerintah Iraq yang zalim pernah ditegur kezalimannya oleh Hasan. Beliau juga melarang Hajjaj membina bangunan-bangunan mewah. Hajjaj marah dan ingin memenggal kepala Hasan Basri. Setelah dihadapkan kepada Hajjaj, Hasan membaca doa yang berbunyi: ”Wahai Tuhanku yang memberikan nikmat dan menjadikan tempat aku berlindung ketika menghadapi malapetakaku, jadikanlah kejahatannya itu sejuk dan selamat untukku seperti mana Engkau jadikan api itu sejuk dan selamat untuk Ibrahim.” Hajjaj terasa gementar dan mempersilakan Hasan duduk sambil bertanyakan beberapa masalah agama dan dijawab Hasan dengan tabah dan di hurainya sehingga mendalam. Hajjaj berkata, “Engkau adalah pemimpin ulama” sambil menghadiahkan Hasan minyak wangi.
Hasan adalah penyokong kuat nilai tradisional (lama) dan cara hidup zuhud. Menurut beliau, takut adalah asas kepada moral dan kesedihan adalah ciri agama. Kehidupan hanyalah perjalanan untuk ke akhirat dan kesenangan hendaklah dinafikan untuk menewaskan nafsu. Hasan Basri juga dipandang tinggi oleh ahli sufi kerana sikap zuhudnya. Walau bagaimanapun, beliau bukanlah seorang sufi. Hasan dikenali sebagai seorang yang suci jiwanya menyamai para sahabat. Dalam politik, beliau menentang sistem pewarisan khalifah dalam dinasti Umayyah tetapi percaya kepada pemilihan khalifah.
MAKAM HASAN BASRI DI BASRAH, IRAQ
Hasan Basri meninggal dunia pada usianya 80 tahun, iaitu pada hari Jumaat di awal bulan Rejab pada tahun 110H bersamaan 728 Masihi di Basrah, Iraq. Selepas solat Jumaat jenazahnya disembahyangkan dan seluruh penduduk Basrah mengiringi jenazahnya sehingga di masjid Basrah tidak didirikan solah Asar berjemaah kerana ketiadaan orang. Hasan Basri telah berjaya mengisi dunia dengan limpahan ilmu, kata nasihat yang menyentuh hati dan mampu menitiskan air mata orang ramai. Anas bin Malik, Abu Qatadah dan lain-lain yang sezaman memuji Hasan Basri dan mengakui akan keluasan ilmunya. Menurut Abu Na-im Al-Asfahani, Hassan Al Basri adalah orang yang selalu takut dan berduka sepanjang hari, hidup zuhud dan warak sepanjang masa dan tidak tidur dalam keadaan senang kerana mengingati Allah, menolak dunia dan tidak meminta-minta.
Apakah pengajaran yang dapat dipetik dari kisah Hassan Al Basri ini:
1. Hasan Basri terkenal dengan sifat zuhudnya. Meninggalkan keseronokan, kenikmatan dan kekayaan dunia yang sementara demi mencari dan mengejar kenikmatan akhirat yang kekal abadi. Syurga dijadikan matlamat hidupnya dan dunia ini hanyalah alat untuk mencapai syurga.
2. Walaupun bergelar ulama besar namun hatinya selalu takut kepada kemurkaan Allah.
3. Beliau tidak pernah ada perasaan gentar dan takut kepada pemerintah. Takut baginya hanyalah kepada Allah SWT, tuhan sekalian alam.
“Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya: Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina: Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya: Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga” - Mutiara Kata Saidina Umar Al-Khattab."