RISALAH DARIPADA PROF. DR. MOHAMMED BADI', MURSYID IKHWANUL MUSLIMIN (2/2/2012)


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada Rasulullah, keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat ..
Selepasnya:

Sesungguhnya telah datang seorang Rasul yang membawa agama agung yang mendaulatkan keadilan, menyebarkan kerahmatan, mewujudkan kesamarataan, menghapuskan ketidakadilan, menghancurkan penyimpangan kuasa dan mengasaskan umat agung yang mengajar manusia prinsip-prinsip kebebasan dan persaudaraan .. Dan buat pertama kali dalam sejarah manusia berada dalam keadilan, kesamarataan dan kerahmatan .. Tanpa diskriminasi kepada warna, bangsa, kelas atau kepercayaan:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’: 105).

Allah SWT telah menggabungkan dua sifat daripada nama-namaNya kepada Rasulullah iaitu ar-Raof (belas kasihan) dan ar-Rahim (kasih sayang). Allah SWT telah berfirman (bermaksud):

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Muhammad saw), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah: 128).

Jelasnya Nabi Muhammad saw tidak meninggalkan dinar dan dirham untuk diwarisi .. Tetapi mewariskan kepada kita satu amanah kehidupan seluruhnya, iaitu "Islam" dan meninggalkan kepada kita satu hujah sehingga hari kiamat, iaitu "Al-Quran". Al-Quran merupakan tali Allah yang memanjang dari langit ke bumi, sebahagian ada pada kita dan sebahagian ada di tangan Allah yang akan memberikan kepada orang yang berpegang dengannya kerana hanya Allah yang akan memudahkan jalan kepadaNya dan berpegang kepada simpulan (agama) yang teguh yang tidak akan putus. Di samping itu Rasulullah telah meninggalkan kita sunnahnya sebagai manhaj amali dalam semua aspek kehidupan. Sesiapa yang mengikutinya akan selamat daripada kesesatan kepada petunjuk, hidup berbahagia dan memenangi syurga. Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud):

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu (dua perkara) yang pasti kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu mengambil keduanya atau mengamalkan keduanya; Kitab Allah dan Sunnahku, kedua pusaka ini tidak berpisah sehingga didatangkan Haudh kepadaku (sampai kiamat)." (HR. Tirmizi).

Dakwah kita adalah tertakluk kepada dua pusaka yang agung ini dan sejarah hidup para salafussoleh yang diberkati Allah. Imam al-Banna rahimahullah pernah mengungkapkan: “Dakwah kita adalah Islam itu sendiri, merangkumi seluruh aspek yang terkandung dalam istilah Islam itu sendiri. Fahamilah kandungan Islam ini. Cuma fahaman anda ini mestilah berlandaskan Kitab Allah, sunnah Rasul dan sejarah para salafussoleh. Kitab Allah merupakan asas dan landasan kepada Islam. Sunnah Rasul pula menjadi pentafsir kepada Kitab Allah. Sementara sejarah hidup salafussoleh menjadi pelaksana kepada segala perintah dan segala ajarannya merupakan contoh praktikal kepada segala perintah dan ajaran ini.”

"Dan apabila dikatakan kepada anda: Apakah dakwah anda?.. Katakanlah: Dakwah kami adalah menyeru kepada Islam sepertimana yang telah dibawa oleh Muhammad, kerajaan yang merupakan sebahagian daripada dakwah, dan kemerdekaan yang merupakan antara kewajipan Islam .."

Rasul contoh terbaik

Diantara kaedah tarbiah yang paling berkesan ke dalam jiwa ialah tarbiah melalui qudwah dan contoh teladan:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab: 21).

Sejarah hidup Nabi dan pendekatan beliau merupakan sebaik-baik “madrasah” untuk para penguasa, semua ahli politik, setiap guru, setiap suami dan setiap bapa. Beliau adalah contoh manusia sempurna dan lengkap untuk semua orang yang ingin menjadi manusia sempurna dalam bentuk yang terbaik. Kemudian slogan kita sejak awal dakwah, "Rasul ikutan kami" dan kemudian "Ikhwan Muslimun" tidak melaungkan sorakan nama seseorang pemimpin selain daripada nabi. Sorakan mereka hanyalah "Rasulullah pemimpin kami". Orang Islam tidak akan memperolehi cinta Allah melainkan mengikut petunjuk Rasulullah saw. Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Ali-Imran: 31),

.. hinggakan ketika beberapa orang anggota Ikhwan melaungkan nama ustaz al-Banna dalam satu majlis beliau begitu marah dan menegah daripada berulang dalam apa jua keadaan.

Oleh sebab itu, umat Islam mestilah mengikut dan mencontohi Rasulullah dan berakhlak dengan akhlak Al-Quran kerana "Akhlak Nabi adalah al-Quran". Dengan cara ini mereka telah dihiasi dengan budi pekerti mulia dan akhlak terpuji. Sabda Rasulullah saw bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik"

Allah SWT telah memuji akhlak baginda. FirmanNya yang bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam: 4).

Gambaran kehidupan Nabi akan menerangi jalan untuk kita

Jelasnya umat Arab yang Islam dan dunia Islam memerlukan cahaya yang bersumber daripada petunjuk Nabi, yang akan menghilangkan kegelapan yang telah menutupi mereka, serta memunculkan fajar kebebasan, menyinarkan pancaran keadilan dan melahirkan kemuliaan dan ketinggian bagi umat kita. Inilah beberapa situasi tarbawi daripada kehidupan Rasulullah saw:

Cara baginda menangani peristiwa meletakkan Hajar al-Aswad:

Di saat berlaku perebutan antara puak-puak Quraisy tentang siapakah yang berhak meletakkan Hajar al-Aswad, lalu mereka bersetuju untuk melantik orang yang pertama masuk di kalangan Bani Hashim dari pintu Bani Syaibah sebagai hakim. Justeru, Nabi Muhammad adalah orang pertama masuk. Mereka berkata: “Ini adalah Muhammad. Beliau seorang yang jujur dan amanah, kami rela dengannya.” Lalu mereka melantiknya. Baginda telah menghamparkan kain jubahnya dan meletakkan batu di atasnya, kemudian mengarahkan ketua daripada keempat-empat puak supaya memegang penjuru kain itu dan mengangkatnya ke atas. Akhirnya baginda yang memindahkan Hajar Aswad dengan tangannya yang diberkati dan meletakkan ditempatnya.

Mereka berpuas hati dengan ketelusan dan kejujurannya. Bagindalah yang akan memuaskan hati semua puak dan akan menjatuhkan hukuman dengan adil.

Kita pada hari ini perlu bersikap telus dengan orang dalam kata-kata dan tindakan. Kita hendaklah menjadi seorang yang amanah dalam menjaga kepentingan rakyat dan menitik beratkan soal keadilan. Tiada tempat lagi bagi orang yang berdusta kepada rakyat. Tiada lagi orang yang suka selepas hari ini terhadap mereka yang mengkhianati amanah kerana rakyat telah memilih mereka untuk menunaikan amanah ini .. Atau menyimpang dalam pemerintahannya, atau menindas orang-orang mereka sendiri atau membiarkan hak-hak rakyat mereka.

Kita mestilah menjalankan dasar politik kesepakatan antara pelbagai puak, dan bekerja untuk menyatukan barisannya sebagai asas pertama untuk pembangunan umat pada awal pembinaan negara.

Membawa kebaikan untuk manusia:

Islam menyeru kepada berbuat baik dan melakukan kebajikan kepada manusia. Ini adalah salah satu sifat Nabi; di mana Saidatina Khadijah ra telah menggambarkan sifat baginda:

"Sekali-kali tidak. Bergembiralah. Allah sekali-kali tidak akan mengsengsarakan engkau, kerana engkau seorang yang menghubungkan silaturrahim, engkau benar dalam berkata-kata, engkau memberi makan orang yang kelaparan, engkau melayani tetamu dan engkau menolong orang dalam perkara yang baik.”

Ini sebahagian daripada sifat beliau sebelum dibangkitkan menjadi Rasul. Beliau mempersembahkan kebaikan kepada masyarakat di mana beliau hidup. Apabila Nabi berhijrah perkara pertama yang diungkapkan ialah:

"Wahai orang-orang yang beriman, sebarkanlah salam, berilah makan, hubungkanlah silaturrahim, tunaikanlah solat pada waktu malam pada ketika orang sedang tidur, nescaya anda akan masuk syurga dalam keadaan aman."

Jadi, orang Islam hendaklah mengambil berat terhadap ciri-ciri ini, kerana ia dapat menyebarkan kesejahteraan, memasukkan kegembiraan ke dalam hati manusia dan memenuhi keperluan mereka, mengukuhkan perhubungan dan perpaduan di kalangan orang Islam, mengeratkan hubungan dengan Allah terutama di tengah-tengah malam .. mahupun melindungi mereka daripada perpecahan dan konflik yang membawa kepada kegagalan.

Umat kita sangat perlu kepadanya pada saat kritikal ini. Pintu-pintu kebaikan terlalu luas, dengan menggembling usaha-usaha golongan ikhlas yang cintakan negara dan bekerja ke arah kebangkitan dan kemajuan .. serta membuat kebajikan kepada manusia tanpa sebarang perbezaan. Menurut kitab Tafsir ar-Razi tentang tafsiran ayat ini:

“Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk”. (Al-Baqarah: 272).

Tidaklah engkau wahai Muhammad boleh menjadikan orang-orang yang lemah mendapat petunjuk sehingga engkau ingin melarang mereka bersedekah supaya mereka masuk ke dalam Islam. Oleh itu, terimalah sedekah mereka kerana Allah, sesuai dengan ayat (bermaksud):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Al-Mumtahanah: 8).

Galakan supaya tsabat dan menyebarkan harapan:

Dari sunah nabi yang tsabit berlaku pertembungan antara kebenaran dan kebatilan, ujian dan pembersihan ke atas pendokong kebenaran, tetapi kemenangan berjaya diraih dalam pusingan terakhir. Mereka terus teguh di atas kebenaran. Mereka sentiasa yakin bahawa Allah akan meneguhkan kedudukan mereka dan menghilangkan ketakutan mereka serta memberikan keamanan kepada tanah air mereka. Firman Allah SWT bermaksud:

“Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).” (An-Nur: 55).

Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat ra telah berkata: "Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw pada waktu Baginda sedang berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban. Maka kami bertanya, apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita? Maka bersabda Rasulullah saw:

"Sesungguhnya orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan menyempurnakan urusan ini (Islam) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhramaut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh". (HR al-Bukhari).

0 ulasan:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.