KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu mengajak pimpinan dan ahlinya di negeri itu agar memenuhkan diri mereka dengan ciri-ciri pemimpin rakyat dan sentiasa bersama masyarakat.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, memenangi pilihan raya satu yang penting tetapi mempertahankannya dan seterusnya menjadi contoh pimpinan sesuatu yang penting juga.
"Memang kita pilih calon berdasarkan winnable candidate, calon yang boleh menang tetapi mempertahankan kemenangan dan menjadi contoh pimpinan satu yang hal yang penting juga," kata beliau dalam majlis dialog bersama perantau yang pulang ke kampung berhari raya di Dewan Datuk Wan Abdul Mutalib, Markas PAS Kuala Terengganu semalam.
Beliau berkata, antara ciri penting kepimpinan adalah melupakan segala persengketaan demi dakwah.
"Saya ambil contoh Tok Guru Nik Aziz. Semasa Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Hashim Safin meninggal, dia bersama Datuk Husam Musa melawat rumah beliau, keluarga dia menangis berlenangan air mata.
"Apabila Tok Guru tanya, kenapa menangis, anak dia (Hashim Safin) berkata, hari ini kami dua kali menangis. Tadi menangis kerana ayah kami meninggal. Kini kami menangis kerana Tok Guru menziarahi kami.
"Padahal semasa hayatnya, apa yang ayah kami tak kata kepada Tok Guru," cerita Wahid tentang apa yang dikatakan anak ketua Umno bahagian itu.
"Inilah dakwah...boleh ke kita juga membuat perkara yang sama?" tanya Wahid kepada semua yang hadhir di hadapan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Akibat dari sejarah pertembungan yang lama, hubungan antara penyokong PAS dan Umno di Terengganu agak jauh.
Mereka tidak rapat antara satu sama lain dan boleh dikatakan masih ada yang pulau memulau antara satu sama lain.
Mungkin ini mesej yang cuba disampaikan oleh Wahid yang baru dilantik sebagai pesuruhajaya PAS Terengganu beberapa bulan yang lepas.
Wahid juga membawa cerita Cikgu Jabar yang menang beberapa penggal sebagai Adun di Selangor walaupun bertanding atas tiket bebas.Semuanya kerana sikap beliau.
Beliau juga membawa cerita seorang Adun Umno yang juga menang beberapa penggal di Dun Telok Pasu Terengganu semata-mata kerana sikapnya yang mesra rakyat.
"Ada satu kisah bagaimana hebat dan prihatinnya Cikgu Ismail, Adun Telok Pasu ini. Oleh kerana sakit kencing manis, mata beliau menjadi sangat kelabu dan tidak nampak.
"Apabila dia naik kereta, dia pesan kepada driver dia, bila masuk kampung kamu kena bawa kereta dengan perlahan. Kalau tidak orang akan kata aku sombong. Dan bila jumpa dengan orang, kamu bunyikan hon dan aku akan angkat tangan.
"Lalu bila dia masuk kampung dan jumpa dengan orang, driver dia bunyikan hon, dia pun angkat tangan walaupun tidak nampak siapakah mereka.
"Dia tanya siapa, driver dia akan jawab Pak Mat...ooo Pak Mat...Jalan lagi, driver bunyikan hon, dia angkat tangan, tanya lagi siapa, Pak Ali...ooo Pak Ali...padahal Pak Ali sebelah sana nuh, dia angkat sebelah sini.
"Tiba satu tempat, driver dia bunyikan hon, Cikgu Wel angkat tangan dan tanya siapa....lembu, kata driver dia. Sampai ke lembu pun dia angkat tangan," cerita Wahid dengan diikuti gelak ketawa para hadhirin.
Mesej ceritanya, kata Wahid, adalah sikap wakil rakyat itu sendiri yang perlu mesra rakyat dan sentiasa prihatin dengan keperluan dan sensitiviti masyarakat.
Cerita yang disampaikan Wahid sebagai pesuruhjaya baru PAS Terengganu nampak kecil tetapi inilah realiti permasalahan yang dihadapi beliau dalam memenangi kembali hati rakyat Terengganu selepas kalah pada tahun 2004.
Ini kerana, beliau sedang berhadapan dengan Umno yang berusaha keras membeli hati rakyat Terengganu dengan wang ehsan yang beratus juta ringgit setahun yang diperolehi dari hasil minyak di pantai Terengganu.
Dengan hanya kira-kira 20 ke 25 peratus pengundi yang bukan PAS dan bukan Umno (atas pagar), kedua-dua pihak sedang berusaha keras bagi memenangi hati golongan ini bagi memastikan mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Masalah besar yang dihadapi Wahid adalah persepsi yang diletakkan kepada PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar dengan lawan masing-masing.
Ia berbeza dengan imej yang dibayangkan oleh pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz yang dilihat dapat merapati rakyat sehingga ke pemimpin Umno sendiri.- Harakahdaily
ULASAN :
0 ulasan:
Catat Ulasan