ISU TITIAN SIRAT... PENJELASAN

Penulis ditanya tentang kedudukan titian sirath di akhirat kelak. Adakah ia benar-benar wujud seperti apa yang kita imani selama ini? Penulis mendapat aduan, ketika ini tersebar pandangan yang mengatakan bahawa titian sirath itu hanyalah satu simbolik dan tidak wujud secara hakikatnya. Bagi penulis dalam menentukan perkara-perkara ghaib (sam’iyyat) seharusnya kita tawaqquf (berhenti) sekadar apa yang didapati melalui nas-nas syara’ di samping mengikut kefahaman salafussoleh. Oleh itu, untuk berijtihad dan meletakkan pendapat sendiri lebih benar berbanding apa yang telah diperjelaskan oleh para imam dan ulama terdahulu, maka penulis dengan penuh rendah diri tidak sekali-kali akan bersikap seperti itu.

Dalam hal ini, penulis mengajak diri penulis dan para asatizah untuk melihat beberapa pandangan imam dan ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah berkenaan kedudukan titian sirath.

Pandangan Imam al-Ghazali (wafat 505H)

وأما الصراط فهو أيضاً حق ، والتصديق به واجب ، لأنه ممكن . فإنه عبارة عن جسر ممدود على متن جهنم يرده الخلق كافة ، فإذا توافوا عليه قيل للملائكة ‘ وقفوهم إنهم مسؤولون ‘ فإن قيل : كيف يمكن ذلك وفيما روى أدق من الشعر وأحد من السيف ، فكيف يمكن المرور عليه ؟ قلنا هذا إن صدر ممن ينكر قدرة الله تعالى ، فالكلام معه في إثبات عموم قدرته وقد فرغنا عنها . وإن صدر من معترف بالقدرة فليس المشي على هذا بأعجب من المشي في الهواء ، والرب تعالى قادر على خلق قدرة عليه ، ومعناه أن يخلق له قدرة المشي على الهواء ولا يخلق في ذاته هوياً إلى أسفل ، ولا في الهواء انحراف ، فإذا أمكن هذا في الهواء فالصراط أثبت من الهواء بكل حال

“Adapun titian sirath ia juga adalah benar, mengimaninya adalah wajib kerana ianya mungkin. Ia adalah ibarat sebuah jambatan yang terbentang di atas neraka Jahannam dilalui oleh seluruh makhluk, apabila mereka sampai di atas, dikatakan kepada malaikat, hentikan mereka sesungguhnya mereka akan disoal. Jika dikatakan: Bagaimana mungkin demikian itu dan telah diriwayatkan ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, maka bagaimana mungkin lalu di atasnya? Kita menjawab: Jika ini terbit daripada sesiapa yang memungkiri qudrat Allah SWT, maka perbahasan dengannya dalam menetapkan umum qudrat-Nya telah selesai. Jika ia timbul daripada orang yang menerima qudrat-Nya, maka berjalan di atas ini tidak lebih hairan daripada berjalan di udara, Allah SWT mampu menciptakan kuasa ke atasnya, maknanya Dia mampu menciptakan baginya berjalan di atas udara, tidak menciptakan pada zatnya jatuh ke bawah dan tidak tersasar di udara. Oleh itu, jika Dia berkuasa melakukan ini di udara, maka sirath itu lebih tetap daripada udara dalam apa jua keadaan”. (Ghazali, Abu hamid, al-(1993), al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Lubnan: Dar wa Maktabat al-Hilal, hal. 240)

Di tempat lain Imam al-Ghazali juga mengatakan:

وأن يؤمن بأن الصراط حق وهو جسر ممدود على متن جهنم أحد من السيف وأدق من الشعرة تزل عليه أقدام الكافرين بحكم الله سبحانه فتهوى بهم إلى النار وتثبت عليه أقدام المؤمنين بفضل الله فيساقون إلى دار القرار

“Dan hendaklah beriman bahawa titian sirath itu benar, ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih tajam daripada pedang, lebih halus daripada rambut, ia menggelincirkan kaki-kaki orang kafir dengan ketentuan Allah SWT, lalu menjerumuskan mereka ke dalam neraka, manakala ia menetapkan kaki-kaki orang mukmin dengan rahmat Allah lalu mereka diiring ke syurga”.( Ghazali, Abu Hamid, al-(1985), Qawa’id al-‘Aqaid, Lubnan: ‘Alam al-Kutub, hal. 66 dan Imam Ibn ‘Asakir al-Dimasyqi(1404H), Tabyin Kazib al-Muftari fi ma nusiba ila al-Imam Abi al-Hasan al-Asy’ari, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, hal. 305

Pandangan al-Ghaznawi al-Hanafi (wafat 593H):

الصراط حق وهو جسر ممدود على متن جهنم أدق من الشعر وأحد من السيف يورد الناس جميعا على الصراط وورودهم قيامهم حول النار ثم يمرون على الصراط بقدر أعمالهم

“Titian sirath itu benar, ia adalah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang, seluruh manusia lalu di atas titian sirath, laluan mereka adalah berdiri mereka di sekitar neraka kemudian lalu di atas titian sirath mengikut kadar amal perbuatan mereka”. (Ghaznawi, Ahmad bin Muhammad(1998), Kitab Usul al-Din, Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, hal. 238-239)

Pandangan al-Taftazani (wafat 791H):

ومنها الصراط وهو جسر ممدود على متن جهنم يرده الأولون والآخرون أدق من الشعر وأحد من السيف على ما ورد في الحديث الصحيح ويشبه أن يكون المرور عليه هو المراد بورود كل أحد النار على ما قال تعالى ) وإن منكم إلا واردها ( وأنكره القاضي عبدالجبار وكثير من المعتزلة زعما منهم أنه لا يمكن الحظور عليه ولو أمكن ففيه تعذيب ولا عذاب على المؤمنين والصلحاء يوم القيامة… والجواب أن إمكان العبور ظاهر كالمشي على الماء والطيران في الهواء غايته مخالفة العادة ثم الله تعالى يسهل الطريق على من أراد كما جاء في الحديث إن منهم من يمر كالبرق الخاطف ومنهم من يمر كالريح الهابة ومنهم من يمر كالجواد

“Dan antaranya titian sirath, ia adalah jambatan yang memanjang di atas perut neraka Jahannam, ia dilalui oleh golongan terdahulu dan terkemudian, ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang berdasarkan apa yang terdapat dalam hadith sahih…ia dimungkiri oleh Qadi Abdul Jabbar dan ramai di kalangan Mu’tazilah dengan dakwaan mereka bahawa ianya tidak mungkin diseberangi , jika mampu sekalipun padanya satu penyeksaan sedangkan tiada azab terhadap golongan mukmin dan orang soleh pada hari Qiyamah…(pandangan Mu’tazilah ini) dijawab bahawa kemungkinan menyeberangi adalah jelas seperti berjalan di atas air dan terbang di udara yang tujuannya menyalahi adat. Kemudian Allah SWT memudahkan jalan bagi sesiapa yang dikehendaki sebagaimana di dalam hadith, bahawa sebahagian mereka golongan yang menyeberang seperti kilat menyambar, sebahagiannya yang berjalan seperti angin kencang, sebahagiannya seperti kuda…”. ( Taftazani, Sa’d al-Din Mas’ud bin ‘Umar(1981), Syarh al-Maqasid fi ‘Ilm al-Kalam, Pakistan: Dar al-Ma’arif al-Nu’maniyyah, j.2, hal. 223)

Pandangan Ibn Taimiyyah (wafat 728H)

والصراط منصوب على متن جهنم وهو الجسر الذي بين الجنة والنار يمر الناس على قدر أعمالهم فمنهم من يمر كلمح البصر ومنهم من يمر كالبرق
“Dan titian sirath itu terbentang di atas perut neraka Jahannam, ia adalah jambatan yang terletak antara syurga dan neraka, dilalui oleh manusia mengikut kadar amal perbuatan mereka, sebahagian mereka melaluinya seperti sekelip mata, sebahagian mereka seperti kilat…”. (Ibn Taimiyyah, Ahmad bin Abdul Halim(1412H), al-’Aqidah al-Wasitiyyah, Riyadh: Idarat al-Buhuth wa al-Ifta’, hal. 33). Wallahu a’lam.

Sumber: http://mufakkir-islami.blogspot.com/2011/01/isu-titian-sirath.html

BERKEBAJIKAN SEBAGAI ASET AKHIRAT

Semasa Yang Berhormat Dr. Siti Mariah Mahmood dan Yang Berhormat Senator Mumtaz Md Nawi mengunjungi saya bagi mendapatkan beberapa tip untuk meningkatkan amal kebajikan dalam parti, maka saya telah menyebutkan beberapa pengamatan yang dikira berkaitan dengan seruan meningkatkan iman dan takwa demi menjadi seorang insan yang berkebajikan. Ia adalah ramuan berkebajikan menghadapi akhirat.

1. Mengikut ajaran Al-Quran, dalam surah al-Mulk bererti Kerajaan. Semua Kerajaan hendaklah mengamalkan sistem yang sama dengan kehendak Kerajaan Allah Subhanahu wa Taala. Firman Allah (Al-Quran surah al-Mulk ayat 1):

Bermaksud: “Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai Kerajaan/pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

2. Allah Subhanahu wa Taala berkuasa buat dunia maka Dia juga penuh berkuasa membuat akhirat.

3. KPI dan standard adalah mengikut ukuran hukum Allah Subhanahu wa Taala, standard teramat baik (ahsan) harus sama dengan Islam, kalau tidak ia akan menjadi teramat jahat (aswauu).

4. Hikmah bersolat jamaah ialah ibadat dan dapat bertanya khabar hal ehwal kehidupan dengan masyarakat sekeliling.

5. Segala amalan dan pahala adalah saham (asset) dan pelaburan akhirat.

6. Namun kerana jarak kita dan Nabi Sallallahu alaihi wasallam adalah jauh, maka banyaklah rintangan serta halangan yang perlu kita tempuhi. Segala-galanya dapat dihadapi dengan kembali kepada Al-Quran dan as-Sunnah yang diwariskan oleh Nabi Sallallahu alaihi wasallam kepada kita.

7. Suci air hujan yang turun di puncak bukit biasanya akan berubah bila sampai di kuala sungai. Selalunya air itu akan keruh dan ada macam-macam di dalamnya kerana laluan airnya sepanjang sungai sejauh ribuan kilometer. Untuk minum perlulah ditapis.

8. Maka bila kita hendak terima atau menilai sesuatu agar benar-benar diterima Allah, gunalah tapisan bersandarkan Al-Quran dan as-Sunnah.

9. Sadaqah bermaksud benar, maka dengan memberi sedekah adalah satu manifestasi dan terjemahan iman seorang Muslim yang beribadat kepada Allah Subhanahu wa Taala.

10. Surah Al-Fatihah itu adalah ikrar dan bai’ah harian orang Mukmin atas lafaz syahadahnya.

11. Perintah pertama berkait Iqra’ adalah mula membaca ‘dengan Nama Tuhan Yang Maha Pemurah dan Pengasih,’ yang mencipta segala-galanya,

12. Manusia akan mati––berakhir riwayat dengan kematian––pengakhirnya adalah sama ada syurga atau neraka.

13. Di dalam surah Al-Hadid, disebut Iman dan Infaq secara beregu dan pakej. Firman Allah (Al-Quran surah al-Hadid ayat 7):

Bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.

14. Hakikatnya manusia adalah penjaga harta milik penuh Allah Subhanahu wa Taala. Jadi manusia tidak perlu ragu dan lokek (kedekut) untuk membelanjakannya mengikut kehendak agama dan membantu orang lain.

15. Tiada ideologi dunia akan sebut pahala, hanya Allah Subhanahu wa Taala yang menyebut dan menerangkan mengenai pahala. Ini bermaksud Islam adalah mengutamakan pahala.

16. Oleh kerana itu, manusia yang belajar ideologi seperti sekular, nasionalis, sosialis atau sebagainya, akan sukar dan tidak memahami makna pahala dan kebangkitan semula selepas mati. Ini kerana secara logikanya manusia akan hancur sepenuhnya bila mati, maka apa gunanya pahala di sisi ideologi tersebut.

17. Salah satu jalan mencapai pahala adalah menjalankan aktiviti kebajikan. Antara yang harus diberi perhatian utama ialah menziarahi orang sakit dan mereka ditimpa bencana. Begitu juga mempersaudarakan antara insan/hamba Allah dan tolong-menolong adalah kerja agama yang perlu dibuat sepanjang masa. Natijahnya pahala yang diperolehi bakal membahagiakan pada hari akhirat.

18. Benarlah kata Khadijah Radiallahu anha, ketika Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam pulang dari Gua Hira’, Nabi Sallallahu alaihi wasallam sebelumnya adalah seorang yang prihatin dan berkebajikan kepada kaum keluarga dan orang miskin. Begitu pula setelah menerima Islam dan menjadi Nabi, maka baginda tetap meneruskan amalan kebajikan dan berkhidmat untuk semua orang, malah diteruskan dengan lebih cemerlang dan terarah.

Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
merangkap Mursyidul Am PAS.

Kota Darulnaim,
KOTA BHARU.
18 Rabiul Akhir 1432/23 Mac 2011.

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.