HAK DAKWAH DI DALAM PENDAPATAN BULANAN ANDA : CUKAI ATAU JIHAD ?


Pada suatu hari, saya dikunjungi seorang kawan yang amat saya kasihi. Wajahnya keruh diselaputi kesedihan dan keresahan yang tidak dapat saya duga puncanya. Dengan rasa cemas saya bertanya: “Apa yang telah terjadi? Anta sakitkah?” Dia menggelengkan kepala. Saya bertanya lagi, meneka sesuatu yang lain pula:
“Ada sesuatu yang berlaku di rumahmu? Anak anta kemalangan? Anta kesuntukan wang?”

Setiap soalan yang saya ajukan, dijawab dengan gelengan kepala. Saya keputusan idea untuk meneka, apa sebenarnya yang dialami oleh kawan saya ini.

Walaupun ditanya bertalu-talu dia enggan menceritakan masalahnya. Namun akhirnya dia akur apabila saya tidak putus-putus mendesak agar dia meluahkan apa yang terbuku di benaknya.

Apabila dia mula membuka bicara, hati saya segera terusik, seluruh tubuh saya bergoncang dan mata saya terbeliak kagum dan terpegun!

Dia berkata:
“Ya akhi, sebenarnya saya memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan saya untuk Allah. Pada setiap bulan, apabila saya menerima gaji saya terus saya keluarkan sebagai sedekah. Saya tidak pernah mengabaikannya seperti saya tunaikan perkara yang wajib. Bagi saya ia cukai jihad ke atas saya.”

Saya berkata kepadanya:
“Apa yang anta lakukan itu memang sesuatu yang sangat baik. Saya berdoa mudah-mudahan Allah terima amalmu. Tetapi apa yang merunsingkan anta sekarang?”

Dia menjawab:
“Bulan ini saya terlewat membayar cukai jihad bulanan saya beberapa hari. Pada hari saya terima gaji, saya terus pulang ke rumah. Kerana sibuk dengan pelbagai urusan, saya terlupa untuk membayar apa yang saya lakukan setiap bulan. Beberapa hari berlalu, saya menjadi lebih leka dan lemah semangat. Pada masa yang sama, gaji yang saya terima semakin berkurangan.”

Saya memberikan pandangan:
“Kalau begitu, anta boleh bayar selepas dua hari, tiga hari, empat hari atau lima hari. Kalau anta kesuntukan wang, kami saudara-saudaramu, sahabat-sahabatmu dan teman-temanmu akan bantu.”

Dia berkata lagi:
“Sesungguhnya semenjak saya menanam azam dalam diri saya dan berjanji akan mengeluarkan sebahagian daripada gaji saya setiap bulan pada hari saya menerimanya, saya akan menerima amaran langsung daripada Allah sekiranya saya terlewat melakukannya. Allah akan mengutus kepada saya telegram berupa amaran dan persoalan, mana hak dakwahmu? Mana jihadmu?

Soalan-soalan itu muncul di atas jasad anak-anakku. Yang seorang akan terkena demam panas membahang, yang lain pula menggigil kesejukan. Maka belanjan yang terpaksa dikeluarkanpun meningkat.

Maha Suci Allah! Keadaan akan bertukar. Dengan aku tidak mengeluarkan sedikit daripada gajiku untuk jihad, aku terpaksa menanggung perbelanjaan yang lebih tinggi untuk ubat dan keperluan-keperluan lain. Dan bulan ini berlaku hal yang sama. Aku telah terlewat membayar. Maka telegrampun tiba.

Inilah yang mendorong aku segera datang untuk melunaskan tanggungjawabku. Dan itulah sebabnya anta melihat saya sediah dan sugul. Saya telah terlewat membayar bahagian yang diperuntukkan untuk jihad daripada gaji bulanan saya!”

Saya mengucap syukur dan berdoa semoga Allah memberi ganjaran di atas kefahamannya yang begitu tinggi. Saya memandang tepat ke wajahnya, merenung ke dalam matanya. Saya utuskan rasa hormat dan penghargaan saya kepadanya dengan bahasa mata mengiringi ucapan dengan lidah.

Sambil itu saya berbisik kepada diri sendiri: Maha Suci Allah! Di mana anda wahai saudaraku berbanding dengan sahabatku yang seorang lagi? Ada sahabat yang apabila diminta sedikit sumbangan kehartaan kerana dakwah memerlukannya, akan berubah wajahnya, berkerut-kerut dahinya.

Dengan nada yang berat dia berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya saya sekarang terbeban dengan hutang! Saya telah melabur dalam koperasi, tapi sampai sekarang saya tak dibayar apa-apa. Sungguh, saya benar-benar susah!”.

Terdapat sahabat yang lain pula memberikan pelbagai alasan yang pada pandang saya penuh kecelaruan.

Saat ini saya sedang berdiri di antara dua orang sahabat yang saya muliakan:

Pertama: Sahabat yang tinggi kefahamannya, melonjak iman serta keyakinannya, setia dengan bai’ahnya kepada Allah Ta’ala yang berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (At-Taubah:111)

Ketika membaca ayat di atas, fikirannya teringat pula kepada ayat lain yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (An-Nahl:91)

“…. dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (Al-Fath:10)

Sahabat yang sentiasa berwaspada dan takut kepada sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husayn r.a. (maksudnya):

“Sebaik-baik kamu adalah kurunku, kemudian yang mengikutinya, kemudian yang mengikutinya”

‘Imran berkata: “Aku tidak mengetahui sama ada baginda menyebut dua atau tiga selepas kurunnya sebelum baginda menyambung sabdanya (bermaksud):

“Kemudian datang satu kaum yang bernazar tetapi tidak menyempurnakannya. Mereka khianat dan tidak boleh dipercayai, mereka menyaksi (sesuatu kejadian) tetapi tidak sanggup menjadi saksi. Akan lahir di kalangan mereka gejala gemuk”. (Al-Bukhari).

Di bibirnya melekat kata-kata Imam al-Banna rahimahullah ketika beliau menjawab soalan yang sering ditanyakan oleh mereka yang meragui kemampuan gerakannya: “dari mana datangnya harta (untuk membiayai keperluan dakwah ini)?”

Mereka yang tidak nampak kepentingan dakwah, melemparkan tuduhan dari jauh kepada ikhwan dan memerhati penuh sangsi seraya berkata: “Dari mana mereka dapat wang untuk membiayai dakwah mereka? Adakah mereka memiliki harta untuk menjayakan dakwah dan mengembangkannya, sedangkan masa sekarang kebanyakan manusia berada dalam kepayahan, dan ramai manusia dikuasai penyakit tamak dan bakhil?”

Sesungguhnya jawapanku kepada mereka ialah:

Bahawasanya seruan keagamaan, tiangnya adalah iman sebelum harta, aqidah sebelum barang-barang yang pasti hilang lenyap. Apabila telah wujud iman yang benar, akan wujudlah bersamanya jalan-jalan kejayaan. Dan sesungguhnya pada harta Ikhwan yang sedikit itu, yang mereka ambil daripada perbelanjaan sara hidup mereka, mereka berjimat dalam membeli keperluan rumah dan keperluan anak-anak mereka, lalu mereka sumbangkan kepada dakwah dengan penuh redha, lapang dada dan tenteram jiwa dan raga.

Setiap orang daripada ahli Ikhwan bercita-cita kalaulah mereka memiliki lebih banyak daripada itu nescaya mereka akan sumbangkan berganda-ganda lagi demi agama Allah. Andainya terdapat di kalangan mereka yang tidak punya sesuatu untuk disumbangkan, mereka beredar dengan linangan air mata, sedih kerana tidak dapat menyumbang untuk agama.

Pada harta yang sedikit ini dan iman yang besar Alhamdulillah menjadi bukti yang nyata bagi kaum yang ikhlas beribadah, menjadi tonggak kejayaan bagi mereka yang beramal dengan ikhlas. Sesungguhnya Allah s.w.t. yang di Tangan-Nya segala sesuatu akan memberkati setiap sen yang disumbangkan oleh Ikhwan.

Firman Allah bermaksud:
“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya…..” (Al-Baqarah:276)

“….dan sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.” (Ar-Rum:39)

Sahabat saya yang kedua pula adalah yang telah sirna daripadanya fiqh awlawiyyat (kefahaman tentang keutamaan dalam beramal). Dia hanya menggunakan sebelah kacamata sahaja. Lantaran itu dia melihat kefaqiran dunia, tetapi lupa kefaqiran akhirat. Dia hanya ingat kekayaan dunia tetapi lupa kekayaan akhirat, mengejar keuntung dunia, tetapi lupa keuntungan akhirat, takut kerugian di dunia tetapi lupa kerugian di akhirat.

Abdullah bin Ja’far bin asy-Syahid at-Toyyar radhiallahu’anhuma pernah ditegur oleh setengah sahabatnya kerana terlalu banyak infaqnya di jalan Allah. Mereka bertanya kepada Abdullah: “Adakah setiap kali diminta kamu akan beri? Tidakkah kamu bimbang masa membalikkan keadaanmu?”
Beliau berkata kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah membiasakan aku dengan satu kebiasaan dan aku membiasakan hamba-Nya dengan satu kebiasaan. Allah membiasakan aku dengan pemberian-Nya kepadaku setiap kali aku memberi kepada hamba-Nya. Dan aku membiasakan hamba-Nya dengan setiap kali mereka meminta, aku akan beri. Maka aku takut jika aku tidak memberi, aku tukar kebiasaanku dengan hamba-Nya, Dia tidak lagi memberi kepadaku dan menukar kebiasaan-Nya denganku!

Sesungguhnya seseorang itu akan mendahului orang lain dengan sebab pandangannya yang jauh. Dia melihat sesuatu perkara dan mengukurnya dengan kacamata akhirat, keredhaan Tuhannya dan Pelindungnya Yang Maha Mengetahui tentang dirinya. Orang ini disifatkan oleh al-Hasan al-Basri rahimahullah dengan kata-katanya: Manusia berada dalam satu keadaan dan dia berada dalam satu keadaan yang lain. Manusia tidak penat memikirkannya, tetapi dia penat memikirkan masalah manusia.

Kini saya teringat kata-kata Ibn al-Jauzi ketika beliau menghuraikan perbezaan antara mereka yang berpendapat hak dakwah di dalam pendapatan bulanannya sebagai cukai dengan mereka yang berpendapat hak dakwah di dalam pendapatan bulanannya sebagai jihad.

Orang yang berpendapat ia sebagai cukai tidak akan membayarnya kecuali apabila diminta, seperti seorang hamba yang jahat. Dia tidak akan datang mengadap tuannya kecuali dipanggil. Itupun selalu lambat. Dia tidak menyahut dengan cepat. Orang yang menganggap hak itu sebagai cukai perlu diketuk pintunya beberapa kali. Ada yang sampai ke tahap terpaksa diberi amaran, diutus polis untuk menangkap dan dibawa ke muka pengadilan dan akhirnya dipenjara atau dihalau keluar negara.


Adapun mereka yang menganggap hak itu sebagai jihad akan bergerak sendiri untuk menunaikannya. Dia melihat sesuatu perkara itu dari segi hakikat dan kedudukannya yang asal. Dia faham hanya dengan isyarat. Begitulah setiap yang berakal akan faham hanya dengan isyarat.

Ibn al-Jauzi menambah: Tidakkah kamu melihat orang-orang yang pakar dalam pelbagai bidang, apabila mereka memasuki sebuah kota yang maju, kamu akan dapati ahli binaan akan melihat kepada pintu dan dinding-dinding, tukang kayu akan melihat kepada pintu, tukang jahit akan melihat kepada hasil tenunan. Begitulah mukmin yang celik mata hatinya, apabila dia melihat kegelapan dia teringat kepada kubur, apabila dia ditimpa sakit dia teringat azab neraka, apabila dia terdengar gegaran suara yang lantang dia teringat tiupan sangkakala, apabila dia melihat orang tidur nyenyak dia teringat orang mati terbujur di dalam kubur dan apabila dia melihat sesuatu yang lazat dia teringat syurga.


Manakala Ibn Rajab berkata di dalam bukunya Nur al-Iqtibas: Sesiapa yang menegakkan hak-hak Allah, maka sesungguhnya Allah jamin akan pelihara semua kepentingannya di dunia dan akhirat. Dan sesiapa yang mahu supaya Allah menjaga dan memelihara semua urusannya maka peliharalah hak-hak Allah ke atasnya. Dan sesiapa yang tidak mahu ditimpa sesuatu yang tidak digemarinya maka janganlah dia melakukan sesuatu yang tidak digemari oleh Allah.

Di dalam himpunan risalahnya dia berkata: antara rahsia-Nya yang indah ialah beriringannya antara kesenangan dengan kesulitan. Sesuatu kesullitan yang menimpa, apabila tiba ke puncaknya di mana upaya manusia telah tiada, harapan telah terputus, jalan-jalan telah tertutup, ketika itu pergantungan hanya terpaut pada Yang Esa, harapan hanya terarah kepada Dia Yang Maha Kuasa. Sesiapa yang telah putus harapannya dengan makhluk dan dia hanya bergantung kepada al-Khaliq, maka pasti akan datang pertolongan dari-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Bentengi harta kamu dengan berzakat, rawati sakitmu dengan bersedekah, dan persiapkan diri menghadapi ujian dengan berdoa.” (At-Tobrani)

Di manakah perginya mereka yang mempunyai matahati supaya mereka membaca kata-kata ini? Supaya mereka beriman bahawa hak dakwah di dalam pendapatan bulanannya adalah jihad, bukan cukai!

Jika mereka tunaikan dengan sempurna, mereka laksanakan janji mereka dengan-Nya, Allah jamin akan memelihara dan menjaga mereka, Allah akan qabul doa mereka dan tunaikan hajat-hajat mereka.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman maksudnya:
(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal) dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Muhammad:38)

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Tidak akan berkumpul debu-debu jihad di jalan Allah dengan asap jahannam di dalam kerongkong seseorang hamba selama-lamanya. Dan tidak berkumpul sifat kedekut dengan iman di dalam hati seseorang hamba selama-lamanya” (Ahmad dan an-Nasaei)

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada suatu haripun, apabila seorang hamba bangun waktu pagi, kecuali dua malaikat akan turun kepadanya. Salah satunya akan berkata: “Ya Allah, berilah kepada orang yang menginfaqkan hartanya itu gantinya”. Manakala yang satu lagi berkata: “Ya Allah, berilah kepada orang yang menahan hartanya (tidak infaq di jalan Allah) kebinasaan”. (al-Bukhari)

Apa akan jadi sekiranya pada hari qiamat nanti dakwah datang bergantung kepada orang yang memikulnya tetapi tidak mahu mengeluarkan harta untuknya? Dakwah akan berkata: “Wahai tuhanku, ini hamba-Mu! Dia dulu membawa aku tetapi dia tidak memberikan hartanya untukku!”.

Daripada Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Berapa banyak jiran yang bergantung dengan jirannya pada hari qiamat nanti seraya berkata: Ya Tuhanku, jiranku ini menutup pintunya dariku dan tidak memberikan hartanya kepadaku”.
Ini baru seorang jiran yang bergantung dengan orang yang bakhil dan tidak menolong jirannya.

Maka apa akan terjadi ke atas kita sekiranya kita bakhil terhadap dakwah yang membawa kebaikan kepada seluruh manusia, menyelamatkan mereka dari siksa api neraka, membimbing mereka kepada hidup mulia, untuk semua golongan dan semua bangsa?
Apa akan terjadi ke atas kita sekiranya semua lidah yang bercakap, telinga yang mendengar dan mata yang melihat, semuanya bergantung pada kita, meraung dan mengadu kepada Allah bahawa kita telah memutuskan harapan mereka, kita tidak memberikan harta kita untuk selamatkan mereka?

Seandainya para du’at enggan berjihad dengan hartanya, maka siapakah yang akan berjihad? Seandainya du’at bakhil, maka siapakah yang pemurah? Sekiranya du’at tidak mengangkat bendera jihad dengan harta, maka siapakah yang akan mengangkatnya?

Sesungguhnya jihad dengan harta di dalam medan ini sangat luas, manfaatnya sangat banyak, pahala serta ganjarannya sangat besar dan menyeluruh.

Daripada Abi Musa al-Asy’ariy r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Asy’ariy, apabila mereka meninggalkan balu-balu kerana berjuang atau kurangnya makanan ahli keluarga mereka di Madinah, mereka akan kumpulkan makanan yang ada pada mereka di dalam sehelai kain kemudian mereka bahagikan sesama mereka di dalam satu bekas setiap satu keluarga sama banyak. Dan aku adalah sebahagian daripada mereka”. (Muttafaq ‘alaih).

Suatu kemuliaan yang sungguh hebat bahawa kamu menjadi sebahagian daripada ahli bait Nabi s.a.w. tetapi dengan syarat kamu hendaklah jadi seperti Asy’ariyyin dari segi kerjasama dan saling bantu membantu ketika ditimpa bencana dan kesusahan. Ini tidak sukar dan tidak susah kerana kesempitan hidup berlaku dari masa ke semasa ke atas saudara-saudaramu yang memikul beban seperti yang kamu pikul, yang banyak masalah seperti kamu juga. Dan dengan jihad harta yang kamu sumbang, dapat meringankan beban mereka di samping kamu dapat berkongsi dalam menyibarkan cahaya, menerangi sebahagian daripada kegelapan orang-orang yang membuat kerosakan lagi merosakkan.

Sesungguhnya dengan jihadmu wahai saudaraku yang mulia, akan mengangkat bendera yang hampir tersungkur, menjulang mushaf (kitab suci al-Quran) yang ingin dipijak oleh musuh dan mendaulatkan syari’ah yang ingin dipinda, diseleweng dan dipadamkan.

Sesungguhnya dengan jihadmu wahai saudaraku, engkau berkongsi di dalam membiayai penuntut ilmu, menghulur sesuap makanan kepada balu-balu dan meringankan penderitaan pesakit yang sedang bertarung dengan maut.

Sesungguhnya dengan jihadmu wahai saudaraku, engkau mampu menyebarkan dakwah, memegang tangan insan yang berdosa lalu memimpinnya menuju cahaya, menunjuk jalan kepada orang yang sedang teraba-raba dalam kesesatan, ikut serta dalam meletakkan batu-bata bagi mengukuhkan binaan agama Allah di muka bumi.


Sesungguhnya kami menyeru agar engkau rasa cemburu melihat golongan batil begitu gigih berkorban harta, masa dan tenaga mereka untuk menyibarkan kebatilan mereka dan mempertahankannya. Sesungguhnya al-Quran telah merakamkan tentang pengorbanan orang-orang kafir dengan harta mereka demi nemegakkan kebatilan mereka di dalam firman yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam Neraka Jahanam.” (Al-Anfal:36)

Inilah saudaraku yang mendorong kita untuk berkorban demi menyibarkan dakwah kepada Allah di kalangan manusia siang dan malam dengan apa saja nikmat yang diberikan kepada kita sama ada waktu, harta dan idea demi mencari redha Allah ‘Azza wa Jalla.


Seorang lelaki meminta Ahmad bin Hanbal rahimahullah agar menasihatinya, beliaupun berkata: “Sekiranya Allah telah menjamin rezeki untukmu, maka untuk apa kamu begitu mengambil berat tentangnya? Sekiranya kamu tahu bahawa rezeki setiap orang telah dibahagikan dengan kadar tertentu, maka kenapa masih tamak? Sekiranya harta yang dibelanjakan di jalan Allah, dijamin akan diganti maka kenapa bakhil? Sekiranya syurga itu benar, maka kenapa berehat daripada mengejarnya? Sekiranya dunia ini akan binasa, maka kenapa tenang bersenang lenang dengannya? Sekiranya hisab (perhitungan amal pada hari qiamat) itu benar, maka mengapa masih leka mengumpul harta? Sekiranya segala sesuatu itu berlaku mengikut qadha’ dan qadar, maka mengapa sedih dan dukacita?”

Kita sangat berhajat kepada pengorbanan untuk dakwah lebih daripada berhajatnya dakwah kepada pengorbanan kita. Sesiapa yang percaya kepada perkara ini dia akan berusaha untuk segera berjihad dengan hartanya. Sesiapa yang tidak percaya, maka dia akan tunggu pemungut cukai datang mengutip hartanya dengan mengetuk pintunya, merayu secara diam-diam, kemudian mendesak pula secara lantang.

Diceritakan bahawa Ibrahim bin Adham hendak memasuki bilik air, maka dia dihalang oleh penjaga bilik air dari memasukinya tanpa bayaran. Lalu Ibrahim menangis sambil berkata: kalaulah aku tidak dibenarkan memasuki rumah syaitan dengan percuma, bagaimana aku akan dapat memasuki rumah kediaman para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin tanpa bekalan dan tanpa amalan?
Maka hulurkan bayaran, tunaikan janjimu, berniagalah dengan Tuhanmu, nescaya Dia akan tunjukimu jalan yang lurus.

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-‘Ankabut:69)


Dan pujilah Allah yang telah membuka kepadamu pintu jihad dengan harta sepanjang hayatmu, di ketika Dia menutup pintu itu di hadapan ramai orang dari kalangan umatmu.

Awas wahai saudaraku, jangan sampai Allah tutup wajahmu dari sinaran cahaya-Nya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“….tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka dan dikatakan (oleh Syaitan): Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal.” (At-Taubah:46)

Mudah-mudahan Allah kurniakan kita kesihatan dan kesejahteraan, anugerahkan kita cintakan jihad di jalan-Nya. Amin! Amin!

Segala puji bagi Allah Rabbul-‘alamin.


Rujukan : http://fikrah-dakwah.blogspot.com/2010/

Artikel asal: http://www.ikhwanon line.com/ Article.asp? ArtID=63930&SecID=360

TSUNAMI JEPUN ; 'IBRAH UNTUK PARA MUKMININ

Berikutan bencana tsunami yang melanda Jepun Jumaat lepas (10 Mac 2011) , yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano, mengesahkan letupan dan kebocoran radiasi telah berlaku di loji jana kuasa nuklear Tokyo Electric Power Co’s (TEPCO) Fukushima Daiichi. Gempa bumi bermagnitud 8.9 pada skala richter melanda Jepun itu telah mengakibatkan tsunami setinggi 10 meter melanda bebarapa bandar kawasan pantai negara itu.

Kejadian itu mengakibatkan banyak kes kecederaan, namun kes kematian masih belum diperolehi dari kawasan yang dilanda bencana di pulau Honshu.

Ombak setinggi 10 meter dilaporkan melanda Sendai di timur laut Miyagi, pulau Honshu mengakibatkan banyak kapal, kereta dan sisa runtuhan dihanyutkan ke kawasan bandar. Gempa bumi itu mengakibatkan gegaran kuat bangunan di Tokyo yang dihuni 30 juta penduduk.

Sekurang-kurangnya enam kes kebakaran dilaporkan di Tokyo akibat gempa selain menyebabkan sistem subway dihentikan, siren kecemasan dibunyikan dan orang ramai berpusu-pusu keluar dari bangunan.

Kepulan asap dikesan membabitkan sekurang-kurangnya 10 lokasi di bandar raya itu di mana lebih empat juta kediaman terputus bekalan elektrik selain beberapa kawasan ditenggelami air termasuk kawasan letak kereta Disneyland Tokyo.

Gempa bumi berlaku pada jam 2.46 petang (0546 GMT) selama dua minit dengan gempa pertama kira-kira 400 kilometre di timur laut Tokyo, menurut US Geological Survey.

Ia diikuti beberapa gempa susulan antaranya sekuat 7.1 skala richter.

Perdana Menteri, Naoto Kan memanggil sidang Kabinetnya sejurus dilanda gempa dan kerajaan Jepun menghantar kapal tentera lautnya dari Tokyo ke kawasan yang paling teruk di timur laut Miyagi.

Jepun terletak di atas Lingkaran Api Pasifik dan turut mempunyai titik gunung berapi di mana Tokyo terletak di antara kawasan paling berbahaya.

Amaran tsunami turut dikeluarkan kepada Taiwan, Russia dan Kepulauan Mariana, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik. - Agensi


APAKAH IBRAH UNTUK PARA MUKMININ DARIPADA TSUNAMI JEPUN

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Menelusuri hakikat musibah yang telah melanda negara Jepun dan musibah yang kita lalui dalam kehidupan ini, seseorang akan mengalami pasang surut dalam kehidupannya. Kadang seseorang mendapatkan nikmat dan kadang pula mendapatkan musibah atau cubaan. Semuanya datang silih berganti. Kewajipan kita adalah bersabar ketika mendapati musibah dan bersyukur ketika mendapatkan nikmat Allah. Berikut adalah beberapa nasihat yang akan memudahkan seseorang dalam menghadapi setiap ujian dan cubaan.


Pertama: Mengimani takdir ilahi

Setiap menghadapi cubaan hendaklah seseorang tahu bahwa setiap yang Allah takdirkan sejak 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi pastilah terjadi. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلاَئِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Allah telah mencatat takdir setiap makhluk sebelum 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.”[1]

Beriman kepada takdir, inilah landasan kebaikan dan akan membuat seseorang semakin redha dengan setiap cubaan. Ibnul Qayyim mengatakan, “Landasan setiap kebaikan adalah jika engkau tahu bahwa setiap yang Allah kehendaki pasti terjadi dan setiap yang tidak Allah kehendaki tidak akan terjadi.” [2]


Kedua: Yakinlah, ada hikmah di balik cubaan

Hendaklah setiap mukmin mengimani bahwa setiap yang Allah kehendaki pasti ada hikmah di balik itu semua, baik hikmah tersebut kita ketahui atau tidak kita ketahui.[3] Allah Ta’ala berfirman,

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ (115) فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ (116)

Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) 'Arsy yang mulia.” (QS. Al Mu’minun: 115-116)

Allah Ta’ala juga berfirman,

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَاعِبِينَ (38) مَا خَلَقْنَاهُمَا إِلَّا بِالْحَقِّ

Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dengan bermain-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan haq.” (QS. Ad Dukhan: 38-39)


Ketiga: Ingatlah bahwa musibah yang kita hadapi belum seberapa

Ingatlah bahawa Nabi kita shallallahu ‘alaihi wa sallam sering mendapatkan cubaan seperti dicaci, dicemuh dan disiksa oleh orang-orang musyrik dengan berbagai cara. Kalau kita mengingat musibah yang menimpa beliau, maka tentu kita akan merasa ringan menghadapi musibah kita sendiri kerana musibah kita dibanding beliau tidaklah seberapa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,

لِيَعْزِ المسْلِمِيْنَ فِي مَصَائِبِهِمْ المصِيْبَةُ بي

Musibah yang menimpaku sungguh akan menghibur kaum muslimin.[4]

Dalam hadis yang lain disebutkan,

مَنْ عَظَمَتْ مُصِيْبَتُهُ فَلْيَذْكُرْ مُصِيْبَتِي، فَإِنَّهَا سَتَهَوَّنُ عَلَيْهِ مُصِيْبَتُهُ

Siapa saja yang terasa berat ketika menghapi musibah, maka ingatlah musibah yang menimpaku. Ia tentu akan merasa ringan menghadapi musibah tersebut.[5]


Keempat: Ketahuilah bahwa semakin kuat iman, memang akan semakin diuji

Dari Mus’ab bin Sa’id -seorang tabi’in- dari ayahnya, ia berkata,

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلاَءً

Wahai Rasulullah, manusia manakah yang paling berat ujiannya?” Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,

« الأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ فَيُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ دِينُهُ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلاَؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِى دِينِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِىَ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَمَا يَبْرَحُ الْبَلاَءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِى عَلَى الأَرْضِ مَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ »

Para Nabi, kemudian yang semisalnya dan semisalnya lagi. Seseorang akan diuji sesuai dengan kedudukan agamanya. Apabila agamanya begitu kuat (kukuh), maka semakin berat pula ujiannya. Apabila agamanya lemah, maka ia akan diuji sesuai dengan kualiti agamanya. Seorang hamba sentiasa akan mendapatkan cubaan hingga dia berjalan di muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.[6]


Kelima: Yakinlah, di balik kesulitan ada kemudahan

Dalam surat Alam Nasyroh, Allah Ta’ala berfirman,

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (QS. Alam Nasyroh: 5)

Ayat ini pun diulang setelah itu,

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (QS. Alam Nasyroh: 6). Qotadah mengatakan, “Diceritakan pada kami bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah memberi khabar gembira pada para sahabatnya dengan ayat di atas, lalu beliau mengatakan,

لَنْ يَغْلِبَ عُسْرٌ يُسْرَيْنِ

Satu kesulitan tidak mungkin mengalahkan dua kemudahan.[7]


Keenam: Hadapilah cubaan dengan bersabar

'Ali bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu mengatakan,

الصَّبْرُ مِنَ الإِيْمَانِ بِمَنْزِلَةِ الرَّأْسِ مِنَ الجَسَدِ، وَلَا إِيْمَانَ لِمَنْ لاَ صَبْرَ لَهُ.

Sabar dan iman adalah bagaikan kepala pada jasad manusia. Oleh kerananya, tidak beriman (dengan iman yang sempurna), jika seseorang tidak memiliki kesabaran.[8]

Yang dimaksudkan dengan bersabar adalah menahan hati dan lisan dari berkeluh kesah serta menahan anggota badan dari tingkahlaku yang melampau seperti menampar pipi dan merobek baju.[9]


Ketujuh: Bersabarlah di awal musibah

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُولَى

Yang namanya sabar seharusnya dimulai ketika awal ditimpa musibah.[10] Itulah sabar yang sebenarnya. Sabar yang sebenarnya bukanlah ketika telah mengeluh lebih dulu di awal musibah.


Kedelapan: Yakinlah bahwa pahala sabar begitu besar

Ingatlah janji Allah,

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS. Az Zumar: 10). Al Auza’i mengatakan, “Pahala bagi orang yang bersabar tidak dapat diukur dan ditimbang. Mereka benar-benar akan mendapatkan ketinggian darjat.” As Suddi mengatakan, “Balasan orang yang bersabar adalah syurga.”[11]


Kesembilan: Ucapkanlah “Inna lillahi wa inna ilaihi rooji'un ...”

Ummu Salamah -salah satu isteri Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam- berkata bahwa beliau pernah mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,

أُمَّ سَلَمَةَ زَوْجَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- تَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ « مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أْجُرْنِى فِى مُصِيبَتِى وَأَخْلِفْ لِى خَيْرًا مِنْهَا إِلاَّ أَجَرَهُ اللَّهُ فِى مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا ». قَالَتْ فَلَمَّا تُوُفِّىَ أَبُو سَلَمَةَ قُلْتُ كَمَا أَمَرَنِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَأَخْلَفَ اللَّهُ لِى خَيْرًا مِنْهُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Siapa saja dari hamba yang tertimpa suatu musibah lalu ia mengucapkan: “Inna lillahi wa inna ilaihi rooji'un. Allahumma'jurnii fii mushibatii wa akhlif lii khoiron minhaa [Segala sesuatu adalah milik Allah dan akan kembali pada-Nya. Ya Allah, berilah ganjaran terhadap musibah yang menimpaku dan berilah ganti dengan yang lebih baik]”, maka Allah akan memberinya ganjaran dalam musibahnya dan menggantinya dengan yang lebih baik.” Ketika, Abu Salamah (suamiku) wafat, aku pun menyebut do'a sebagaimana yang Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam perintahkan padaku. Allah pun memberiku suami yang lebih baik dari suamiku yang dulu iaitu Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam.”[12]

Do'a yang disebutkan dalam hadis ini semestinya diucapkan oleh seorang muslim ketika dia ditimpa musibah dan sudah seharusnya difahami. Insya Allah, dengan ini dia akan mendapatkan ganti yang lebih baik.


Kesepuluh: Melakukan muhasabah diri

Musibah dan cubaan boleh jadi disebabkan dosa-dosa yang pernah kita lakukan samada kesyirikan, bid’ah, dosa besar dan maksiat lainnya. Allah Ta’ala berfirman,

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ

Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.” (QS. Asy Syura: 30). Maksudnya adalah kerana sebab dosa-dosa yang dulu pernah diperbuat.[13] Ibnu ‘Abbas mengatakan, “Akan disegerakan siksaan bagi orang-orang beriman di dunia disebabkan dosa-dosa yang mereka perbuat, dan dengan itu mereka tidak disiksa (atau diringankan siksanya) di akhirat.”[14]

Semoga nasihat-nasihat ini semakin meneguhkan kita dalam menghadapi setiap cubaan dan ujian dari Allah.

Penulis Asal: Muhammad Abduh Tuasikal dan telah diedit oleh Kembara Sufi



[1] HR. Muslim no. 2653, dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash.

[2] Al Fawaid, Ibnu Qayyim Al Jauziyah, hal. 94, Darul ‘Aqidah, cetakan pertama, tahun 1425 H.

[3] Lihat Syarh ‘Aqidah Ahlis Sunnah wal Jama’ah, Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin, hal. 151-153, Maktabah Ash Shofaa, cetakan pertama, tahun 1426 H.

[4] Shahih Al Jami', 5459, dari Al Qosim bin Muhammad. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih.

[5] Disebutkan dalam Bahjatul Majalis wa Ansul Majalis, Ibnu 'Abdil Barr, hal. 249, Mawqi' Al Waroq.

[6] HR. Tirmidzi no. 2398, Ibnu Majah no. 4024, Ad Darimi no. 2783, Ahmad (1/185). Syaikh Al Albani dalam Shahih At Targhib wa At Tarhib no. 3402 mengatakan bahwa hadits ini shahih.

[7] Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir Ath Thobari dalam kitab tafsirnya. Lihat Tafsir Ath Thobari, 24/496, Dar Hijr.

[8] Bahjatul Majalis wa Ansul Majalis, Ibnu 'Abdil Barr, hal. 250, Mawqi' Al Waroq.

[9] Lihat ‘Uddatush Shobirin wa Zakhirotusy Syakirin, Ibnu Qayyim Al Jauziyah, hal. 10, Dar At Turots, cetakan pertama, tahun 1410 H.

[10] HR. Bukhari no. 1283, dari Anas bin Malik.

[11] Lihat Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, Ibnu Katsir, 12/117, Muassasah Qurthubah.

[12] HR. Muslim no. 918.

[13] Lihat Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, Ibnu Katsir, 12/280, Muassasah Quthubah.

[14] Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir Ath Thobari dalam kitab tafsirnya. Lihat Tafsir Ath Thobari, 20/514.

MEMAHAMI HAK PENGGUNA DALAM ISU SAMAN EKOR

Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama.

Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu.
Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap supaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara.
Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenali dengan Notis Pol 170A.
Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Denda hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah.

TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.Bagaimana JPJ boleh menhhalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahkamah atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.
b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.

Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.