KENYATAAN IKHWAN SEMPENA KEJATUHAN HOSNI MUBARAK DAN REJIMNYA


(قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ المُلْكِ تُؤْتِي المُلْكَ مَن تَشَاءُ وتَنـزِعُ المُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وتُذِلُّ مَن تَشَاءُ بِيَدِكَ الخَيْرُ إنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Aali-‘Imran:26)

Wahai rakyat Mesir yang sabar dan tabah, wahai wira-wira kebebasan dan pendokong kebenaran, wahai orang yang berkorban dan penebus keadilan, kami mengucapkan tahniah kepada kalian seorang, seorang, lelaki dan perempuan, pemuda dan pemudi, kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan, muslimin dan masihiyyin, tahniah daripada lubuk hati kami yang paling dalam. Kami genggam tangan kalian dan kami kucup dahi kalian. Kami memuji Allah kerana telah menyingkirkan awan mendung yang mencengkam hati-hati kita, dictator yang zalim dan melampau batas. Dia telah menyahkan daripada rakyat Mesir yang hebat lumpur hitam sehingga terpancarlah kepada dunia logam yang sangat berharga. Sesungguhnya rakyat Mesir, sekalipun mereka sangat sabar namun tidak rela menyerah. Mereka bangkit menentang kezaliman, cintakan kebebasan dan kemuliaan. Maka tahniah kepada kamu di saat-saat yang mulia lagi diberkati yang merupakan natijah yang sangat besar bagi revolusi yang diberkati.

Dan kepada kamu wahai syuhada’, wahai orang yang telah mengorbankan nyawa di jalan Allah, demi membebaskan keluargamu dan tanah airmu, tahniah yang setulusnya kepada kamu. Moga kamu ditempatkan di tempat paling tinggi di sisi Yang Amat Pemurah, di syurga paling atas di sisi Tuhan Maha Penyayang. Di samping itu, kami rakamkan rasa dukacita kami yang amat mendalam kerana berpisah dengan kamu. Namun kami rasa terhibur kerana sebenarnya kamu tidak mati, tetapi kamu hidup di dalam syurga dalam keadaan gembira dan bahagia.

ولا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ * فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ويَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ ولا هُمْ يَحْزَنُونَ

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Aali-‘Imran: 169-170)

Dan syabas kepada tentera Mesir yang hebat, yang mengawal revolusi sejak mereka mula turun ke jalanraya. Mereka mengawal keamanan orang ramai dan kepentingan awam selepas anggota polis berlepas tangan dan bertempur dengan penunjuk perasaan. Pihak tentera telah menolak cubaan untuk melaga-lagakan mereka dengan rakyat. Itu tidak menghairankan keran sesungguhnya tentera adalah tentera rakyat! Anak-anak mereka adalah anak-anak kepada rakyat. Kami yakin bahawa kekuasaan yang diamanahkan kepada mereka buat sementara akan dipindahkan kepada ahli politik dengan cara yang selamat demi memelihara demokrasi dan negara civil serta mendirikan institusi pemerintahan berlandaskan undang-undang dan pemilihan yang bebas dan bersih.

Dan kepada semua penunjuk perasaan di setiap ceruk Mesir, terutama para pemuda kami berkata kepada kalian: sesungguhnya marhalah (peringkat) yang paling senang telah berakhir sekalipun ia sangat pahit dan perit, iaitu peringkat menghancurkan rejim yang fasid. Adapun peringkat seterusnya, itu lebih sukar dan mencabar, iaitu peringkat membina pemerintahan baru berlandaskan asas-asas yang betul. Pemerintahan berlandaskan menghormati kebebasan untuk semua, menjamin hak asasi manusia serta kehormatan mereka, pembahagian hasil Negara dengan cara yang adil dan saksama, menegakkan prinsip keadilan dan persamaan, membuka peluang yang sama kepada semua warga, melaksanakan keadilan social, membina institusi-institusi Negara berlandaskan nilai murni dan undang-undang yang baik, menentang kezaliman dan kerosakan, memerangi kediktatoran dengan serius, tanpa maaf dan tolak ansur.

Wahai rakyat Mesir yang mulia, sesungguhnya dengan rahmat Allah kamu telah mencapai kemenangan yang besar. Maka wajib ke atas kamu memeliharanya. Ini menuntut kamu sentiasa sedar dan berjaga-jaga secara berterusan, bersikap positif, bersatu hati, berkasih sayang dan selalu berhubung antara satu sama lain. Semoga Allah beri taufiq kepada kita sekelian, meneguhkan gerak langkah kita di atas jalan kebenaran dan merealisasikan harapan kita demi umat, bangsa dan tanah air kita.

(وقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ ورَسُولُهُ والْمُؤْمِنُونَ)
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan….” (At-Taubah:105)

الإخوان المسلمون
القاهرة في: 8 من ربيع الأول 1432هـ= الموافق 11 من فبراير 2011م

http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2011/02/kenyataan-ikhwan-sempena-kejatuhan.html

KENALI IKHWAN MUSLIMIN


Sejak berlakunya desakan penduduk Mesir supaya Hosni Mubarak mengundurkan diri dari takhta, ura-ura Pertubuhan Ikhwanul-Muslimin (Ikhwan) Mesir yang berpengaruh itu dipelawa untuk menyertai kerajaan baru Mesir selepas tergulingnya rejim diktator Hosni Mubarak bertiup kuat.

Ini dibayangkan oleh Ketua Pembangkang Mesir, Muhamad El-Baradei dalam temuramahnya dengan wartawan CNN, Fareed Zakaria beberapa hari lalu, di tengah-tengah pemberontakan rakyat Mesir yang menuntut rejim Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

“Mereka (Ikhwanul Muslimin) adalah orang baik,” katanya, “mereka terpelajar, patriotik, berakhlak baik dan mereka adalah rakyat Mesir yang setia.”

El-Baradei yang kini dalam tahanan rumah ditanya pandangannya adakah Ikhwanul Muslimin itu sama seperti kumpulan militant Al-Qaeeda, kumpulan militant yang lain seperti di Iran dan di tempat lain. Beliau menjawab, “sama sekali tidak, mereka rakyat Mesir yang patriotik, terpelajar.”

Tokoh yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan kerana peranannya sebagai Pengarah Agensi Kuasa Nuklear Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan kesediaannya untuk memimpin kerajaan baru Mesir jika rakyat mahukan khidmatnya walapun beliau kini ada tugas lain.

Untuk itu, pembaca sekalian diajak untuk mengenali jamaah ini secara lebih dekat....

Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah salah satu jamaah dakwah terbesar yang hingga kini terus melakukan pelbagai kegiatannya. Para simpatisan, pendukung dan para kadernya tersebar di pelbagai wilayah di seluruh dunia. Mereka melakukan kegiatan dakwahnya dengan berpedoman kepada pelbagai arahan dan pemikiran yang dicetuskan oleh pemikir besar Ikhwan Al-Muslimin sekaligus pendirinya, Imam Syahid Hasan Al-Banna.

Meskipun jamaah ini lahir dalam kurun waktu yang cukup lama, semangat perjuangannya hidup dan terus berkembang. Ada nilai-nilai universal yang selalu diperjuangkannya, misalnya keterbukaan, keadilan, clean government, dan sebagainya. Lebih khusus lagi Ikhwan Al-Muslimin sejak semula menggaungkan perjuangan nilai-nilai dakwah Islam, yang menjadi penting untuk dikaji oleh masayarakat akademik dan pertubuhan dakwah.

Dalam prinsipnya, Ikhwan Al-Muslimin beranggapan bahawa Islam adalah sistem yang menyeluruh yang menyentuh seluruh bidang dan sendi kehidupan. Ia adalah Negara dan tanah air, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan peradilan, materi dan sumber daya alam, penghasilan dan kekayaan, jihad dan dakwah, pasukan dan pemikiran, sebagaimana ia adalah akidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih. Dalam pernyataannya Imam Hasan Al-Banna menyebut istilah syamil (universal), kamil (sempurna) dan mutakamil (integral), untuk Islam dan nilai yang diperjuangkan.

Ikhwan Al-Muslimin berdiri pada bulan Zulkaedah 1347 H bertepatan pada bulan Mac 1928 M di Mesir, tepatnya di Kota Ismailiyah, dimana pada waktu itu merupakan camp pendudukan Inggeris. Pendirinya adalah Hasan Al-Banna, yang kelak bersama organisasi yang dibentuknya menjadi tokoh yang besar dan disegani. Gerakan Ikhwan Al-Muslimin dipandang sebagai pejuang Islam di desa-desa miskin dan pelopor tumbuhnya gerakan fundamentalisme Islam zaman moden di kawasan Afrika dan Timur Tengah.

Seruan gerakan Ikhwan Al-Muslimin adalah kembali kepada Islam sebagaimana yang temaktub dalam Al-Quran dan Sunah serta mengajak kepada penerapan syariat Islam dalam kehidupan nyata. Selain itu dalam gerakannya ia pun berusaha membendung arus sekularisme ke dunia Arab pada khususnya dan dunia Islam pada umumnya.

Jika dilihat dari latar belakang sosio-kulturnya, kelahiran Ikhwan Al-Muslimin tidak lepas dari sosio-kultur Mesir, juga realiti dunia Islam pada umumnya yang terpuruk pra dan pasca-perang Dunia I (1913) dan kejatuhan Khilafah Islamiyah (1924) serta penjajahan di dunia Islam oleh Eropah, ketidakstabilan politik, perpecahan bangsa, era kejumudan berfikir dan bermaharajalelanya taklid, khurafat serta ketahayulan. Hal-hal itulah yang melatarbelakangi Hasan Al-Banna untuk mendirikan gerakan tersebut.

Menurut Jihan L.Posito, pada awalnya gerakan Ikhwan Al-Muslimin bergerak di bidang sosial dan pendidikan. Beberapa kegiatannya antara lain adalah pembinaan poliklinik, masjid, sekolah, kilang, membanteras buta huruf, penerbitan kitab agama, serta penerbitan akhbar harian dan majalah.

Lambat laun, gerakan Ikhwan Al-Muslimin mulai masuk ke dalam masalah-masalah politik. Dimulai dengan turut sertanya beberapa aktivis Ikhwan Al-Muslimin dalam perang Arab-Israel tahun 1948, setelah sebelumnya digembleng dengan latihan-latihan ketenteraan. Hingga pasca perang dunia II, Ikhwan Al-Muslimin dikenal sebagai organisasi politik yang militan dan aktif menentang pemerintahan sekular Mesir.

Perjalanan Ikhwan Al-Muslimin penuh dengan tribuasi-tribulasi. Hambatan dan tentangan khususnya dari Pemerintah Mesir, yang tidak boleh dipisahkan dari sejarah perjalanan Ikhwan Al-Muslimin. Tahun 1948 menjadi tahun yang penting dan genting dalam sejarah Ikhwan Al-Muslimin. Pada bulan November tahun tersebut, Perdana Menteri Fahmi Naqrasy membekukan Ikhwan Al-Muslimin, menyita aset-asetnya dan menangkap para tokohnya. Ikhwan Al-Muslimin menjadi organisasi yang diharamkan pada saat itu.

Pada bulan Disember 1948, terjadi peristiwa besar di Mesir. Perdana Menteri Fahmi Naqrasy diculik dan dibunuh. Orang-orang Ikhwan Al-Muslimin dituduh sebagai pelaku penculikan tersebut. Ketika mengusung jenazah Narqasy, para pendukungnya berteriak: “Kepala Narqasy harus dibayar dengan kepala Hasan Al-Banna”. Pada tanggal 12 Februari 1949, Hasan Al-Banna terbunuh secara misteri.

Menurut beberapa keterangan, pembunuhan tersebut sangat terancang dan sistematik. Sehingga ramai yang berpendapat bahawa Hasan Al-Banna memang sengaja dibunuh oleh kalangan militer atas perintah Raja Faruk.

Sepeninggalan Hasan Al-Banna, pada tahun 1950, Hasan Hudaibi (1306-1393H/1891-1973 M) yang terkenal sebagai tokoh kehakiman Mesir, terpilih menjadi Mursyid ‘Am Ikhwan Al-Muslimin. Selanjutnya pada tahun tersebut berdasarkan keputusan Dewan Tertinggi Negara, Ikhwan Al-Muslimin direhabilitasi. Dewan tersebut juga memutuskan bahawa pembekuan Ikhwan Al-Muslimin selain tidak sah, juga bercanggah dengan perlembagaan. Ketika itu Mesir sedang diperintah oleh Kabinet Al-Nuhas.

Pada tahun 1952, terjadi revolusi di Mesir, atau lebih dikenali dengan dengan “Revolusi Julai” pimpinan Gamal Abdul Nasser yang mengakhiri kekuasaan Raja Faruk sekaligus mengakhiri sistem pemerintahan monarki. Sejak saat itu hingga sekarang, Ikhwan Al-Muslimin dan pemerintah Mesir terlibat konflik yang kian hari kian menajam. Ikhwan Al-Muslimin sering dituduh sebagai gerakan yang ingin menjatuhkan pemerintahan. Kemuncaknya, pada tahun 1954, Ikhwan Al-Muslimin dinyatakan sebagai organisasi haram oleh pemerintah Mesir, setelah sebelumnya Ikhwan Al-Muslimin dituduh melakukan usaha pembunuhan terhadap Presiden Gamal Abdul Nasser.

Selanjutnya pemerintah Nasser melakukan penangkapan besar-besaraan terhadap anggota Ikhwan Al-Muslimin dan ribuan aktivisnya dimasukkan ke penjara. Enam diantaranya dihukum mati, iaitu Abdul Qadir Audah, Muhammad Farghali, Yusuf Thal’at, Handawi Dhuair, Ibrahim Thayyib dan Muhammad Abdul Latif.

Usaha pemerintah Nasser untuk melumpuhkan Ikhwan Al-Muslimin ternyata tidak berhenti pada saat itu. Sepanjang tahun 1965-1966 Pemerintah kembali melakukan penangkapan. Tercatat ada tiga orang yang dihukum gantung, iaitu Yusuf Hawasi, Abdul Fatah Ismail dan Sayyid Qutb, seorang pemikir Ikhwan Al-Muslimin terkemuka dan disebut-sebut sebagai pemikir Ikhwan Al-Muslimin nombor dua setelah Hasan Al-Banna.

Sejak saat itu, Ikhwan bergerak secara rahsia atau menjadi gerakan bawah tanah sehinggalah Gamal Abdul Nasser meninggal dunia pada 28 September 1970. Sepeninggalan Nasser, iaitu ketika pemerintahan Anwar Sadat berkuasa, aktivis Ikhwan Al-Muslimin yang dipenjarakan mulai dibebaskan secara bertahap. Namun demikian, kekritisan sikap mereka terhadap setiap bentuk penyelewengan pemerintah tetap tidak berubah. Diantara bentuk kekritisan itu adalah pada pasca perang Arab-Israel, melalui perjanjian Camp David (1979). Sejak saat itu, konfrontasi antara Ikhwan Al-Muslimin dan pemerintahan Anwar Sadat kembali tercetus. Kemuncaknya adalah saat Sadat terbunuh pada tanggal 6 Oktober 1981, pemerintah kembali menuduh Ikhwan Al-Muslimin berada di sebalik pembunuhan tersebut.

Umar Tilmisani (1894-1973) terpilih menjadi Mursyid ‘Am Ikhwan Al-Muslimin selepas Hasan Hudaibi (1891-1973). Pada masa kepemimpinannya pembesar Ikhwan Al-Muslimin menuntut hak-hak kelompok secara utuh dan pengembalian hak-hak jamaah yang dibekukan serta seluruh aset-aset yang disita pemerintahan pada masa Abdul Nasser.

Dalam kepemimpinannya, Ikhwan Al-Muslimin bergerak dengan strategi yang menjauhkan mereka dari konfrontasi atau pertembungan dengan pemerintah. Dalam banyak kesempatan ia sering mengulang-ulang seruanya ”Bergeraklah dengan bijak dan hindarkanlah kekerasan dan ekstrimisme.

Begitu pula ketika Muhammad Hamid Abu Nasser terpilih menjadi Mursyid ‘Am Ikhwan Al-Muslimin setelah Umar Tilmisani. Beliau mewarisi apa yang dijalankan pendahulunya. Dalam kaedah dan strategi geraknya, beliau menempuh kaedah yang sudah dilalui Umar Tilmisani. Selepas Muhammad Hamid Abdul Nasser meninggal dunia, tampuk kepemimpinan Ikhwan Al-Muslimin dipegang oleh Mustafa Masyhur.

Selain tokoh-tokoh di atas, banyak tokoh Ikhwan Al-Muslimin yang muncul di luar Mesir, antara lain:

Syeikh Muhammad Mahmud As-Shawwaf. Beliau adalah pendiri dan pemimpin umum gerakan Ikhwan Al-Muslimin di Irak.

Dr. Mustafa Al-Siba’i (1915-1964). Beliau adalah pemimpin umum Ikhwan Al-Muslimin pertama di Syiria.

Syeikh Abdul Latif Abu Qurah. Pada 19 Niovember 1945, beliau terpilih sebagai pemimpin umum Ikhwan Al-Muslimin yang pertama di Jordan.



Rujukan :

1. http://www.harakahdaily.net/v2/
2. http://tarbiyahpewaris.blogspot.com/2010/05/kenali-ikhwan-muslimin.html
3. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Kenyataan IM mengenai kebangkitan di Tunisia dan Tuntutan Rakyat Mesir


Satu kenyataan oleh Ikhwanul Muslimin baru-baru ini menegaskan bahawa gerakan itu berkeyakinan reformasi segera diperlukan jika Mesir ingin mengelak daripada pemberontakan bersejarah di Tunisia yang telah disaksikan oleh seluruh dunia.

Insiden yang berlaku di Tunisia sepanjang Disember 2010 dan Januari 2011 merupakan titik penting bagi peristiwa yang dilalui oleh penduduk rantau Arab dan dunia Islam. Rakyat Tunisia telah bangkit melawan penindasan, kezaliman dan rasuah yang dilakukan oleh pemerintah, keluarganya serta pembantu-pembantunya selama suku abad.

Seluruh dunia, khususnya Barat dan Zionis terkejut dengan apa yang berlaku dan tiada siapa pun dapat menahan kemarahan rakyat yang meletus di muka kezaliman. Rejim-rejim Arab juga dalam keadaan tidak menentu dan tersentak dengan nasib diktator Tunisia yang terpaksa melarikan diri.

Kebangkitan rakyat Tunisia memberikan peringatan jelas kepada semua pihak, di dalam dan luar Tunisia;

  1. Ia memberi harapan kepada rakyat yang tertindas bahawa rakyat yang tertekan boleh mencapai kejayaan;
  2. Ia memperingatkan penindas serta rejim dan pemimpin rasuah bahawa tidak ada yang kekal dan tiada jawatan yang selamat;
  3. Ia adalah isyarat kepada kuasa zalim dan mereka yang menggunakan wang untuk membonekakan pemerintah dunia ketiga, terutama di negara Arab dan Islam.

Isyarat-isyarat ini merupakan titik tolak penting serta dimensi baru dalam kehidupan rakyat negara Arab dan Islam. Kami yakin bahawa alasan dan motif kebangkitan di Tunisia adalah sama dan serupa dengan banyak negara di rantau ini, terutama Mesir.

Jika situasinya sama, seperti rasuah, ketidak-adilan, krisis ekonomi dan penindasan rejim yang berpanjangan, maka negara-negara lain juga akan menuju ke arah yang sama, yakni kebangkitan rakyat.

Disebabkan kami (IM) sangat cintakan keamanan dan kestabilan, kami percaya bahawa perjuangan berlandaskan perlembagaan akan berhasil sekiranya berlaku reformasi dalam arena politik, ekonomi dan sosial. IM yang merupakan sebahagian daripada negara Mesir berpandangan bahawa pelbagai pihak dan sistem dalam negara ini mampu berubah, jika terdapat kemahuan untuk berubah.

Persamaan ini; iaitu kestabilan oleh rakyat dan Ikhwanul Muslimin yang berdepan dengan kepincangan sistem pemerintah, kemampuan - dan tanggungjawab IM - untuk membawa reformasi damai dan perubahan positif; kita mengatakan bahawa persamaan ini sedang melalui satu fasa kritikal dan halus. Tetapi sayangnya sistem ini tidak mengambil langkah-langkah serius untuk memerangi rasuah dari merebak dan membawa pembaharuan yang diperlukan. Situasi ini tidak boleh diteruskan ketika sistem tidak seimbang sedangkan mereka kelihatan tidak berminat untuk menyelesaikan masalah kecuali dengan merujuk kepada anggota keselamatan sambil mengelakkan diri mereka dari berusaha. Jika sistem yang sekarang tidak bergerak cepat untuk mengambil tanggungjawab dan mengambil inisiatif untuk membawa pembaharuan serius, kestabilan tidak akan bertahan lama.

Oleh kerana kami sangat menghargai kestabilan negara dan demi mengelakkan kemarahan rakyat, kami menuntut:

  • Pertama: Pemansuhan Undang-Undang Darurat yang dipaksa ke atas rakyat Mesir selama tiga puluh tahun tetapi gagal menghasilkan keamanan atau mencegah jenayah.
  • Kedua: Pembubaran Dewan Rakyat ‘palsu’ dan mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di bawah penyeliaan penuh pihak kehakiman bagi memenuhi hasrat sebenar rakyat dan membolehkan mereka mencapai cita-cita dan aspirasi mereka.
  • Ketiga: Melakukan pindaan Perlembagaan bagi Artikel 5, 76, 77, 88 dan 179 bagi memastikan kebebasan mengadakan pilihanraya dengan pilihan demokratik dalam pilihanraya Presiden yang akan datang di bawah penyeliaan kehakiman. Ia juga akan menghapuskan konflik perlembagaan dan mencapai keserasian dengan asas, sejarah, kebudayaan dan tamadun negara besar ini.
  • Keempat: Mengambil tindakan segera dan efektif bagi menyelesaikan masalah rakyat yang kritikal seperti memulakan reformasi ekonomi bagi membolehkan kita mencapai keadilan sosial dengan menyediakan barangan keperluan dan ubatan, reformasi sistem pendidikan serta menyediakan bajet untuk kesihatan. Antara langkah yang boleh diambil ialah
    1. Menggunakan dana lebihan yang mana lebih 1200 billion Pound Sterling kini dikawal oleh orang-orang yang menyalahguna kuasa.
    2. Menggunakan kemudahan dan keistimewaan yang diberikan kepada Menteri dan Pegawai Kanan Kerajaan bernilai berbilion paun serta melelong apa yang tidak perlu untuk membantu rakyat.
    3. Menghentikan penghantaran minyak dan gas kepada Zionis dan menilai semula harga komoditi tersebut serta mengeksportnya ke negara lain.
    4. Menilai semula harga tanah bernilai beratus bilion paun yang diperuntukkan kepada beberapa ahli perniagaan dan perasuah dan menjualnya secara lelong untuk manfaat rakyat.
  • Kelima: Menilai semula polisi luar negara Mesir terutama terhadap rejim Zionis dan keperluan memutuskan hubungan dengan mereka serta bagi menyokong gerakan pembebasan Palestin dan menubuhkan negara Palestin beribunegarakan Baitul Maqdis.
  • Keenam: Membebaskan dan memberi pengampunan kepada semua tahanan politik dan semua yang dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah khas yang tidak mempunyai bidang-kuasa mengadili orang awam seperti Mahkamah Tentera atau Mahkamah Keselamatan Negara.
  • Ketujuh: Memberikan respons kepada tuntutan-tuntutan yang diutarakan oleh pelbagai pihak sejak sekian lama.
  • Kelapan: Kebebasan menubuhkan parti politik serta menghapuskan sekatan terhadap penerbitan akhbar serta media lain.
  • Kesembilan: Perbicaraan ke atas penyalahguna kuasa dan perasuah yang telah mengumpul kekayaan dengan cara salah sejak sekian lama.
  • Kesepuluh: Menghidupkan masyarakat madani, pemansuhan gangguan pasukan keselamatan dalam hal-ehwal dalaman sekolah, universiti, kesatuan sekerja, NGO, wakaf dan pertubuhan hak-hak asasi manusia.


Ikhwanul Muslimun

19 Januari 2011

Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=27890


 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.