BEBERAPA NOTA PERSIAPAN SEBAGAI AHLI GERAKAN


Allah berfirman di dalam Al Quran, yang maksudnya:

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). ( Surah Al – Anfal : 60 )

Di antara persiapan yang perlu dimiliki oleh setiap ahli yang telah mewakafkan dan telah meletakkan intima' nya kepada Gerakan Islam ialah :-


1. KEFAHAMAN

Said Hawa pernah berkata di dalam bukunya Al – Islam :
Maksudnya : “ Kefahaman itu adalah permulaan untuk semua perintah dan larangan”

Imam Al – Syahid Hassan Al – Banna berkata : “Perkara yang saya maksudkan dengan faham ialah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah Islam yang tulin”. Faham juga merupakan rukun baiah yang pertama.

Memahami dengan mendalam matlamat perjuangan organisasi,dasar – dasarnya, memahami liku – liku perjuangan, uslub atau pendekatan yang telah ditentukan serta mengenali kawan dan lawan.



2. KETAKWAAN

Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat."

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”. ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas )

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”. Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”


Martabat Taqwa

Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;

Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran .

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”. ( Surah Al-Fath . Ayat : 26 )

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.

Martabat kedua : menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt ).” ( Surah Ali Imran. Ayat : 102

Sifat ini perlu dihayati oleh semua ahli jamaah kerana anggota jamaah adalah “penterjemah amaliyyah” kepada dasar yang diperjuangkan


3. KEPATUHAN ( KETAATAN )

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Saidina Umar Al – Kattab :
Maksudnya : Tidak ada Islam melainkan dengan jamaah dan tidak sempurna jamaah tanpa pimpinan dan tidak ada ertinya kepimpinan tanpa ketaatan”

Ketaatan kepada kepimpinan, kepatuhan kepada arahan organisasi adalah satu daripada kunci kejayaan amal jamaa’i.

Ahli gerakan mestilah bersedia ditarbiyah sehingga menjadi “jundi” yang ikhlas dalam perjuangan.


Petanda Ikhlas seorang pejuang


1. Niat yang jelas
2. Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan
3. Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran
4. Tidak bermain dengan alasan
5. Bersedia menerima arahan
6. Prihatin terhadap organisasi
7. Menjaga rahsia organisasi


4. DISIPLIN ( INDHIBAT )

Kehampiran seseorang individu dalam melaksanakan gerak kerja yang dituntut daripadanya sekadar termampu secara tepat, dengan syarat pelaksanaan kerja itu berlaku di dalam waktu yang ditetapkan dan kerja tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan menyeluruh kepada sesuatu kerja.

Walaupun sesuatu organisasi itu memiliki banyak unsur kebaikan, tetapi ia akan menemui kegagalan jika tiada disiplin dan kerjasama dikalangan ahlinya.


5. UKHUWAH

Ukhuwah Islamiyyah ialah persaudaraan atau kasih sayang yang bermatlamatkan mardhatillah.

Merupakan kurniaan dan pemberian daripada Allah yang dilontarkan –Nya kedalam hati – hati hambanya yang ikhlas dan suci.

“ Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka ( yang beriman itu ). Kalaulah engkau belanjakan segala ( harta benda ) yang ada dibumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka. Sesungguhnya Ia maha kuasa lagi Maha bijaksana”
( Surah al – Anfal : 63 )

Rukun Baiah yang ke – 9

Serendah – rendah ukhuwah ialah berlapang dada dan setinggi – tinggi ukhuwah adalah ithar


Syarat – Syarat Ukhuwah

1. Dibina berdasarkan keikhlasan kepada Allah
2. Disertai dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah
3. Melazimi diri dengan manhaj Islam
4. Mempraktikkan nasihat menasihati
5. Melaksanakan konsep tolong menolong samada susah ataupun senang.


RUJUKAN
1. Hj. Yahya Othman. ( 2006 ). AMAL JAMA’I (Pengertian dan Tuntutannya ).Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.
2. Muhammad Abdullah Al –Khatib. ( 2001 ). Penjelasan di sekitar Risalah Ta’alim. Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.
3. Hj. Nasruddin Hj. Hassan at – Tantawi. ( 2001 ). Pra Syarat kemenangan Kita. Pahang Darul Makmur. Usrah As – Syabab.
4. Dr. ‘Adil Syuwaikh. Indhibat ( Disiplin )

1 ulasan:

al-mankaraqi berkata...

Assalamu'alaikum,

Ziarah untuk berkenalan.

Jemput ke blog saya di almankaraqi.blogspot.com

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.