ALANGKAH BANYAKNYA DOSA KITA...ADAKAH TAUBAT DITERIMA?


Kenangkan dosa hari ini, dosa semalam dan hari-hari yang telah berlalu kita lakukan. Alangkah banyaknya…sehingga tidak terhitung. Namun demikian Allah al-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang telah melakukan dosa. Malah Allah al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.


Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)


Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah )


Sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak mempunyai dosa sebenarnya dia telah melakukan dosa dengan ucapan sedemikian. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dan dialah yang Maha Mengetahui siapa yang bertakwa”. ( Surah al-Najm : 32 )


Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.

Maksud firman Allah SWT :

“Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman supaya kamu memperolehi keuntungan.” (Surah al-Nur: 31)


Maksud Firman Allah SWT :

Dan bersegeralah menuju kepada keampunan dari Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. ( Surah Ali Imran :133)


Allah SWT juga berfirman:

"Dan dirikanlah shalat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat." ( Surah Hud: 114).


Hadis-hadis Nabi saw juga banyak yang menyebut tentang kelebihan dan tuntutan taubat, antaranya ialah ;


Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).


Sabda Nabi saw :

“Sesungguhnya Allah SWT sangat gembira dengan taubat hambaNya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kamu yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali”. ( Imam Muslim)


Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah mengatakan:

“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada siang hari, dan Allah membentangkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejahatan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat.” (Imam Muslim )


Rasulullah saw yang terpelihara daripada dosa dan diutuskan agar menjadi contoh kepada sekalian manusia juga memohon keampunan kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Begitulah petunjuk sunnah Rasulullah saw kepada kita semua agar sentiasa bertaubat setiap masa. Jangan dibiarkan dosa berlanjutan dan dijadikan koleksi dari semasa ke semasa kerana maut datang tanpa isyarat dan amaran. Dosa yang dibiarkan pasti akan memberi kesan buruk kepada kita di akhirat kelak.

ANTARA DOA DAN POLITIK... DR. MAZA


Baru-baru heboh isu seorang tokoh politik telah mendoakan agar keburukan menimpa pemimpin negara. Doa ini adalah tindakan balas bagi isu royalti minyak Kelantan. Berbagai pandangan dikeluarkan. Biasanya, penyokong parti politik masing-masing akan memberikan pandangan yang berpihak.


Kesemua pihak cuba membela tokoh partinya. Itulah salah satu keburukan politik kepartian apabila fanatik menyelimuti diri.


Golongan agama yang berkepentingan pun akan mengambil kesempatan mengampu pihak yang boleh memberi manfaat keduniaan kepada mereka.


Maka pandangan dan hukum agama akan diberikan berasaskan kepada keperluan politik, bukan tuntutan nas dan penilaian realiti yang berlaku. Sedangkan nas syarak itu asas, sedangkan realiti itu dinilai dalam melihat adakah wujud keserasian untuk dipadankan nas tertentu dengan konteksnya yang sesuai.


Maka perkara pertama seorang pengkaji Islam hendaklah memahami apakah dalil-dalil syarak dalam sesuatu perkara. Kedua, adakah dalil-dalil itu bertepatan dengan realiti atau konteks yang wujud. Umpamanya perkara yang pernah saya sebutkan dahulu tentang hukum menjawab salam bukan Muslim. Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu 'alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa 'alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka ertinya menjawab salam bukan Muslim dengan ucapan 'wa 'alaika' itu hanya dalam konteks di mana mereka memberi salam dengan cara dan niat yang jahat, bukan dalam keadaan yang apabila salam diberikan dengan sopan dan hormat.



Ertinya melihat nas dalam realitinya adalah penting bagi seorang sarjana dalam memahami sesuatu hukum. Perbezaan keadaan boleh membawa kepada perbezaan hukum. Namun, dalam menilai hukum ia mestilah bertitik tolak dari dalil-dalil syarak, kemudian memahami dalil-dalil tersebut dalam realitinya yang sebenar.



Saya bukan ingin berbicara tentang doa politik tersebut, tetapi ingin berbalik kepada isu doa keburukan kepada sesama Muslim, boleh atau tidak?.



Ada yang menjawab sama sekali tidak boleh. Ada pula yang menjawab sama sekali boleh. Mungkin ada yang fanatik parti akan menjawab, doa untuk parti musuh boleh, parti sendiri tak boleh. Itu pun belum lagi kita tanya dia 'Bagaimanakah mengklasifikasi perkataan 'musuh' menurut Islam?!



Sebelum kita melihat ke dalam konteks bersaing politik dan salahguna agama dalam suasana politik yang ada, mungkin seseorang boleh menjadikan soalan itu lebih mudah dihayati dan difahami dengan bertanya; "Jika seseorang Muslim menzalimi saya, bolehkah saya doakan agar Allah mengambil tindakan atau menghukumnya di dunia?".



Maka di sinilah memerlukan dalil-dalil syarak dalam menetap asas ini. Kemudian, barulah kita akan lihat konteksnya, iaitu adakah orang yang dikatakan zalim itu memang benar-benar zalim?! Kemudian, adakah setimpal kadar kezaliman itu dengan isi doa yang dilafazkan?!
Dalam hidup kita ini kita mungkin akan menemui manusia yang mengaku Muslim tetapi sangat jahat, menganiayai dan menzalimi kita. Menipu, memfitnah dan menyiksa kita; boleh atau tidak kita berdoa agar Allah mengambil tindakan kepadanya?



Lebih jelas jika kita kenang wanita yang dirogol, atau diragut sehingga cacat, atau keluarga dibunuh, adakah mereka diizinkan Islam agar berdoakan kepada Allah untuk menurunkan musibah atau balasan dunia kepada orang menzalimi mereka?!



Ungkapan sesetengah tokoh agama bahawa sama sekali tidak boleh doa bala atau keburukan kepada Muslim sekalipun zalim adalah kurang teliti dan menafikan nas-nas yang mengizinkan hal ini. Sementara kenyataan yang menyebut boleh secara mutlak berdoa agar diturunkan bala kepada Muslim atau bukan Muslim tanpa meneliti kadar yang dikatakan zalim itu, atau musibah yang diminta itu akan menyebabkan doa menjadi permainan lidah dan berlaku perbuatan melampau dalam berdoa. Diizinkan. Namun kita percaya Allah Yang Maha Bijaksana tidak akan menerima doa yang tidak betul atau disalahgunakan.

PETIKAN: Minda Dr. Maza, MINGGUAN MALAYSIA, 6 DISEMBER 2009

GURU JADI KERANI DI SEKOLAH ?... (UM, 10/12/2009)


SAYA merujuk maklum balas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin Md. Dom terhadap tulisan saya di Forum Utusan Malaysia yang bertajuk Erti Sebenar Guru Cemerlang.


Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana barangkali saya tidak menulis secara jelas tentang apa yang saya maksudkan dengan beban kerja perkeranian dalam tulisan itu. Biar saya jelaskan lebih lanjut tentang ‘beban kerja perkeranian’.


Contoh pertama: Tugas guru kebajikan dan biasiswa. Saya berpendapat, semua guru, terutama sekali guru tingkatan ialah guru kebajikan. Sebab itulah banyak hal peribadi murid yang mengganggu pembelajaran mereka ada dalam pengetahuan guru. Ibu bapa bercerai, ibu bapa bergaduh, ayah dibuang kerja, ibu lari dari rumah, semuanya diadukan kepada guru. Itu tak mengapa. Jika sedikit tepukan di bahu dan mengesat air mata murid boleh membantu mereka belajar, saya fikir tiada guru yang merungut.


Tetapi guru biasiswa, lain pula ceritanya. Mereka perlu membuat salinan borang, mengedarkan borang, mengutip semula borang dan memastikan semua borang diisi dengan betul, termasuk memastikan semua salinan dokumen sokongan lengkap, seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya. Sebelum semua ini bermula, mereka perlu mencari murid yang miskin untuk diberi bantuan biasiswa. Ada banyak jenis biasiswa untuk murid sekolah dan semuanya ada syarat layak yang tertentu, tetapi secara umumnya murid yang keluarganya mempunyai pendapatan kurang daripada seribu ringgit sebulan, layak mendapat bantuan.


Soalnya, tidak bolehkah kerja mengenal pasti murid dan semua ‘kerja-kerja kertas’ itu dibuat oleh kerani? Apa kaitan pengurusan biasiswa yang banyak melibatkan kertas itu dengan kerja guru yang sebenar, iaitu P&P?


Contoh kedua: Saya fikir hampir semua guru sedar bahawa bagi orang-orang politik, semua masalah sosial negara perlu diselesaikan di sekolah. Benar, sekolah memang tempat mendidik, tapi apakah setiap kali ada masalah kita hendak buat satu persatuan atau kelab baru. Tugas guru ialah mendidik murid membezakan apa yang salah dan apa yang betul dan kita mengajar mereka supaya berfikir sendiri. Kita tidak boleh sebut satu-satu ‘merempit salah’, ‘hisap dadah salah’ atau ‘mencuri salah’, kerana ada terlalu banyak kerja jahat dalam dunia ini. Kita perlu ajar murid berfikir sendiri.


Tetapi apabila kita menghadapi masalah mengatasi jenayah, guru diminta membuat satu kelab antijenayah. Bila ada masalah dadah pula, kita buat pula kelab antidadah, seolah-olah masalah dadah bukan jenayah yang tidak boleh digabung dengan antijenayah. Kemudian kita dapati murid kita tidak sayang kepada negara, kita buat pula kelab kenegaraan, seolah-olah Persatuan Sejarah sudah gagal. Kita boleh buat 100 persatuan dan kelab pun mengikut kehendak masyarakat luar, tetapi siapa yang hendak membuat kerjanya? Mengadakan persatuan bukan semata-mata berkumpul dan membuat aktiviti. Guru perlu menyiapkan laporan, mendaftar persatuan, mengambil gambar, membuat perancangan tahunan. Ini semua ‘kerja-kerja kertas’. Mengapa tidak boleh hantar pegawai polis atau pegawai dari Biro Tata Negara (BTN) datang menguruskan persatuan ini di sekolah? Datanglah setiap hari Sabtu misalnya, untuk aktiviti ini.

Contoh ketiga: Guru data. Tugas guru ini ialah merekodkan hal perjawatan guru, misalnya, tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh temuduga, tarikh sah jawatan, tangga gaji, kursus dan sebagainya. Oleh kerana tugas merekod ini berat, maka guru-guru Data biasanya dikurangkan waktu mengajar, kepada 12 hingga 15 waktu daripada biasanya 25-29 waktu untuk guru-guru lain (setiap waktu ialah 40 minit di sekolah menengah dan 30 minit di sekolah rendah). Masalahnya, guru-guru data ini merekodkan perkara yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran sudah tahu, contohnya, tarikh-tarikh penting seperti tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh sah jawatan. Bukankah surat datang dari SPP?


Contoh keempat: Guru tingkatan. Guru tingkatan ialah antara orang yang paling sakit kepala di sekolah kerana semua guru-guru lain bekerja melalui guru tingkatan. Guru biasiswa hendak edar borang, suruh guru tingkatan. Sekolah hendak cuti, guru tingkatan perlu edar surat. Guru SPBT hendak edar buku teks, guru tingkatan perlu uruskan. Murid kemalangan, hendak mohon insurans, guru tingkatan juga perlu uruskan. Guru Penolong Kanan kokurikulum hendak maklumat kokurikulum murid, pun suruh guru tingkatan, bukan suruh guru persatuan atau kelab. Murid tidak datang sekolah, guru tingkatan perlu hantar surat amaran. Kelas tak ada penyapu, pun guru tingkatan kena belikan. Kadang-kadang kalau kelas kotor, cikgulah yang kena menyapu walaupun sekolah ada tukang sapu swasta. Kalau pegang kelas baik, tak apa. Tapi kalau dapat kelas belakang, memang guru boleh kena serangan jantung.


Sekarang ini syukurlah kita ada sistem online yang mengumpul data peribadi murid yang kita panggil Sistem Maklumat Murid (SMM). Seorang guru dilantik menjaga SMM ini. Jika guru data menjaga maklumat guru, guru SMM menjaga maklumat murid. Tetapi, walaupun SMM sudah ada, guru tingkatan masih perlu mengisi kad 001. Untuk apa, saya pun tidak tahu. Setiap tahun, guru yang memegang kelas tingkatan 1 perlu menyiapkan kad 001 seawal bulan Februari atau Mac. Tetapi selepas itu tiada siapa yang hendak mengurus kad 001 itu, sebab hampir semua keperluan maklumat murid akan diambil dari SMM. Jika kita ada setengah juta murid baru masuk ke tingkatan satu, ada setengah juta lagi murid baru masuk darjah satu. Jika harga kad 001 itu satu ringgit, kita membelanjakan satu juta ringgit untuk kad 001 yang tidak digunakan pun. Ini duit siapa satu juta ini? Dan hal menguruskan kad 001 itu, tenaga siapa kalau bukan guru?


Contoh kelima: Guru perabot. Bila ada masalah perabot sekolah, guru ini kerjanya mengangkut kerusi meja yang rosak dan mengira berapa banyak perlu dihapuskan, berapa banyak perlu mohon yang baru, dan berapa banyak boleh dibaiki. Adakah semua ini membantu murid meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah sebagaimana disebut oleh KPPM dalam tulisannya? Barangkali KPPM tidak pernah nampak rupa guru bermandi peluh turun naik tangga mengangkut perabot, ada yang ringan, ada yang berat. Saya pernah nampak; macam buruh yang kerja membuat bangunan.


Saya tidak nafi, di luar negara pun amalannya ialah melantik guru akademik membuat kerja pentadbiran. Tapi berapa banyak kerja pentadbiran yang mereka ada? Adakah sampai memakan masa 70-80% masa kerja? Saya pernah melawat sekolah di luar negara, dan Guru Besar mereka pun mengajar hampir separuh daripada masa kerja dan membuat kajian tindakan. Adakah Guru Besar dan Pengetua kita membuat kajian tindakan? Setahu saya, hanya negeri Johor mewajibkan semua guru membuat kajian tindakan, itupun ramai yang membuat kajian ‘depan komputer’ kerana kesuntukan masa.


Akuilah, kerja pentadbiran memang sudah mengganggu tugas hakiki guru kita. Kalau tidak mengapa Menteri Pelajaran sejak Datuk Hishamuddin bercakap tentang beban kerja guru?
Mengapa Menteri Pelajaran pernah menyebut tentang institut latihan guru sukan, supaya guru akademik tidak perlu lagi membuat tugasan kokurikulum, sebagai usaha mengurangkan beban kerja guru?


Adakah Menteri Pelajaran tanpa latar belakang pendidikan lebih sedar hakikat di sekolah berbanding KPPM yang pernah menjadi guru? dan mengapa perlu ada Standard Guru Malaysia (SGM) jika kita sudah ada Tonggak 12, kalau bukan kerana guru kita sudah terpesong dari apa yang digariskan dalam Tonggak 12, dek kerana kerja-kerja perkeranian ini? Atau adakah SGM dibuat supaya lebih banyak ‘kerja-kerja kertas’ dibuat oleh guru?



Rujukan : Ruangan Forum, Utusan Malaysia bertarikh 11 DISEMBER 2009





THABAT DI ATAS JALAN DAKWAH


Kami selalu membangun dan berkemahuan

Kami pasti akan mati tapi kami pantang hina

Kami punya tangan dan mahu bekerja

Kami punya hari esok dan harapan

Dan Kami selamanya orang merdeka dan pantang menyerah

Thabat bermakna teguh pendirian dan tetap dalam menghadapi ujian serta cubaan di jalan kebenaran. Dan thabat bagai benteng bagi seorang da'i. Ia sebagai daya tahan dan pantang menyerah. Ketahanan diri di atas berbagai hal yang merintanginya. Hingga ia mendapatkan cita-citanya atau mati dalam keadaan mulia kerana tetap istiqamah di jalan-Nya.

Dalam Majmu’atur Rasail, Imam Hasan Al Banna menjelaskan bahwa yang dimaksud dengan thabat adalah orang yang sentiasa bekerja dan berjuang di jalan dakwah yang amat panjang sampai ia kembali kepada Allah SWT. dengan kemenangan, baik kemenangan di dunia ataupun mati syahid.

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah SWT. maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya”.

(Al- Ahzab: 23).

Sesungguhnya jalan hidup yang kita lalui ini adalah jalan yang tidak sederhana. Jauh, panjang dan penuh liku, lebih-lebih jalan dakwah yang kita tempuh saat ini. Ia jalan yang panjang dan ditaburi dengan halangan dan rintangan, rayuan dan godaan. Kerana itu dakwah ini sangat memerlukan orang-orang yang memiliki muwashafat ‘aliyah, yakni orang-orang yang berjiwa ikhlas, itqan (profesional) dalam bekerja, berjuang dan beramal serta orang-orang yang tahan menghadapi berbagai tekanan. Dengan modal itu mereka sampai pada harapan dan cita-citanya.

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan. Akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir yang memerlukan pertolongan dan orang-orang yang meminta-minta dan memerdekakan hamba sahaya, mendirikan shalat dan menunaikan zakat dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji dan orang-orang yang bersabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar imannya dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”.

(Al Baqarah: 177).

Disamping itu, dakwah ini juga sentiasa menghadapi musuh-musuhnya di setiap masa dan zaman sesuai dengan kedudukan masing-masing. Tentu mereka sangat tidak menginginkan dakwah ini tumbuh dan berkembang. Sehingga mereka berusaha menggagalkan pertumbuhan dakwah atau mematikannya. Sebab dengan tumbuhnya dakwah akan bertaburan dan musnahlah kepentingan hidup mereka. Oleh karena itu dakwah ini memerlukan para du'at yang berjiwa teguh menghadapi perjalanan yang panjang dan penuh liku serta musuh-musuhnya yang pelbagai. Merekalah orang-orang yang mempunyai ketahanan daya juang yang kukuh.


Kita dapat melihat kethabatan Rasulullah SAW. Ketika beliau mendapatkan tawaran menggiurkan untuk meninggalkan dakwah Islam tentunya dengan imbuhan. Ganjaran kekuasaan, kekayaan atau wanita. Tetapi dengan tegas beliau menjawab dan berkata dengan ungkapan penuh keyakinannya kepada Allah SWT.

‘Demi Allah, wahai bapa saudaraku seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan dakwah ini. Nescaya tidak akan aku tinggalkan urusan ini sampai Allah SWT. memenangkan dakwah ini atau semuanya akan binasa’.

Demikian pula para sahabatnya ketika menempuh ujian dan cubaan dakwah, mereka tidak pernah undur kebelakang sedikitpun langkah dan jiwanya. Malah semakin mantap komitmen mereka pada jalan Islam ini. Ka’ab bin Malik pernah ditawari Raja Ghassan untuk menetap di wilayahnya dan mendapatkan kedudukan yang menggiurkan. Tapi semua itu ditolaknya sebab tawaran itu akan menimbulkan mudharat yang jauh lebih besar lagi.

Kita dapat juga saksikan peristiwa yang menimpa umat Islam pada masa Khalifah Al Mu’tsahim Billah tentang fitnah dan ujian ‘khalqul Qur’an’. Imam Ahmad bin Hambal sangat thabat menghadapi ujian tersebut dengan tegas ia menyatakan bahwa Al Qur’an adalah kalamullah, bukan makhluk sebagaimana yang didoktrin oleh Khalifah. Dengan tuduhan sesat dan menyesatkan kaum muslimin, Imam Ahmad bin Hambal menerima penjara dan hukuman dipukul tanpa belas kasihan. Dengan kethabatan beliau kaum muslimin terselamatkan aqidah mereka dari kesesatan.

Demikian pula kita merasakan ketegasan Imam Hasan Al Banna dalam menghadapi tribulasi dakwahnya. Ia terus bersabar dan bertahan. Meskipun akhirnya, dia pun menemui Rabbnya pada muncung senjata api. Dan Syed Qutb yang menerima hukuman mati dengan jiwa yang lapang lantaran aqidah dan menguatkan semangatnya berhadapan dengan tiang gantung. Beliau dengan yakin menyatakan kepada saudara perempuannya, ‘Ya ukhtil karimah insya Allah naltaqi amama babil jannah. (Wahai saudaraku semoga kita dapat berjumpa di depan pintu syurga kelak’).

Namun memang tidak sedikit pendakwah yang kendur daya tahannya. Ada yang berguguran kerana tekanan kebendaan. Tergoda oleh rayuan harta benda. Setelah mendapatkan kereta mewah, rumah mewah dan sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya. Membuat semangat dakwahnya luntur. Bahkan ia akhirnya sangat haus dan rakus pada harta benda duniawi yang fana itu. Dan ia jadikan harta benda itu sebagai tuhannya. Ada pula yang tumpul daya juangnya kerana tekanan keluarga. Keluarganya menghendaki sikap hidup yang berbeza dengan nilai dakwah. Keluarganya ingin mencontohi kebanyakan keluarga yang terdapat dalam masyarakat sekular. Dengan gaya dan stailnya, sikap dan perilakunya sehingga ia pun mengikuti selera keluarganya. Ada juga yang tidak tahan kerana tekanan politik yang sangat keras dan mencengkam jiwanya dan keluarga. Tuduhan pelampau, ancaman, kekerasan, hukuman dan penjara selalu menghantui dirinya sehingga dia tidak tahan kemudian meninggalkan jalan dakwah ini dan hidup seperti manusia biasa seolah-olah tiada pernah mengenali dan berada di atas jalan dakwah. Inilah matlamat yang dikehendaki oleh syaitan dan golongan sekular.


Oleh karena itu sikap thabat mesti berlandaskan istiqamah pada petunjuk Allah SWT. (Al Istiqamah alal Huda). Berpegang teguh pada ketaqwaan dan kebenaran hakiki, tidak mudah termakan oleh bisikan nafsu rendah dirinya sekalipun. Sehingga diri kukuh untuk memegang janji dan komitmen pada nilai-nilai kesucian dan kemurniaan Islam, dakwah dan janji ALlah. Dia tidak memiliki keinginan sedikit dan sekelip mata pun untuk menyimpang lalu mengikuti kecenderungan hina dan tipu muslihat syaitan durjana. Dan sikap ini harus terus di ri’ayah dengan taujihat dan tarbawiyah sehingga tetap bertakhta dalam sanubari yang paling dalam. Dengan bekalan itu seorang da'i dapat bertahan berada di jalan dakwah ini.

Melalui sikap teguh ini perjalanan panjang menjadi pendek. Perjalanan yang penuh onak dan duri tidak menjadi hambatan untuk meneruskan langkah-langkah panjangnya. Bahkan dia dapat melihat kepentingan daripada sikap thabat dalam dakwah. Adapun kepentingan tsabat dalam mengembangkan amanah dakwah ini diantaranya:


1. Dalalah salamatil Manhaj

(Bukti jalan hidup yang benar)

Jalan hidup ini berbagai ragam dan rencam. Ada jalan yang baik ada pula yang buruk, ada yang menyenangkan ada pula yang menyusahkan. Dan sikap thabat menjadi bukti siapa yang benar jalan hidupnya. Mereka berani menghadapi jalan hidup bagaimanapun selama jalan itu boleh membawanya kepada kemuliaan meskipun terpaksa merasa kepahitan atau kesusahan.

Sikap thabat ini melahirkan keberanian menghadapi realiti hidup. Ia tidak putus asa dengan beragamnya persoalan di atas jalan itu. Malah ia mampu mengendalikan permasalahan dengan baik berdasarkan iman, ilmu dan pengalaman. Amatlah benar perintah Allah SWT. pada orang beriman tatkala menghadapi musuh agar mempunyai jiwa yang tegas dan konsisten pada keyakinannya.

“Hai orang-orang yang beriman apabila kamu menghadapi satu pasukan maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung”.

(Al-Anfal: 45).

Dengan demikian mereka yang thabat dalam jalan dakwah ini menjadi pilihan hidupnya, lantaran dia tahu dan berani menerima kenyataan yang memang harus dia alami.

Pujangga termasyhur, Al Buhturi dalam bait syairnya ia mengungkapkan bahawa jiwa yang berani hidup dengan menghadapi risiko apapun dan tetap tegas berdiri di atas perjuangannya adalah nafsun tudhi’u wa himmatun tatawaqqadu, (jiwa yang menerangi dan cita-cita yang menyala-nyala’). Sebab jiwa yang semacam itu menjadi bukti bahwa dia benar dalam mengharungi bahtera hidupnya.


2. Mir’atus Syakhshiyatil Mar’i

(Cermin keperibadian seseorang)

Sikap thabat membuat pemilik hati itu menjadi tenang. Dan ketenangan hati menimbulkan kepercayaan. Kepercayaan menjadi modal utama dalam berinteraksi dengan manusia dan mad'unya. Kerana itu sikap thabat menjadi cermin keperibadian seorang muslim. Dan cermin itu berada pada bagaimana sikap dan jiwa seorang mukmin dalam menjalani arah hidupnya, juga bagaimana ia menyelesaikan masalah-masalahnya.

Semua orang sangat memerlukan cermin untuk memperbaiki dirinya. Dari cermin kita dapat mengarahkan sikap salah kepada sikap yang benar. Dan cermin amat membantu untuk memudahkan kita menemui kelemahan diri sehingga dengan cepat mudah diperbaikinya. Amatlah beruntung bagi diri kita masih banyak orang yang menjual cermin. Agar kita semakin mudah mencermin diri. Kerananya, Rasulullah SAW. meletakkan peranan seorang mukmin bagi cermin bagi mukmin lainnya.

Dan sikap thabat adalah cermin bagi setiap mukmin. Kerana thabat dapat menjadi mesin untuk menggerakkan jiwa-jiwa yang rapuh. Ia dapat mengukuhkannya. Tidak sedikit orang yang jiwa mati hidup kembali lantaran mendapatkan tenaga dari kethabatan seseorang. Ia bagai inspirasi yang mengalirkan udara segar terhadap jiwa yang lemah menghadapi segala kepahitan. Seorang ulama mengingatkan kita, ‘berapa banyak orang yang jiwa mati menjadi hidup dan jiwa yang hidup menjadi layu kerana daya tahan yang dimiliki seseorang’. Dan disitulah fungsi dan peranan thabat.


3. Dharibatut Thariq ilal Majdi war Rif’ah

(Keupayaan untuk menuju kesuksesan dan kejayaan)

Setiap kesuksesan dan kejayaan memerlukan sikap thabat. Istiqamah dalam mengharungi aneka ragam bentuk kehidupan. Tentu tidak akan ada kesuksesan dan kejayaan secara percuma dan mudah. Ia hanya akan dapat dicapai manakala kita memiliki pra syaratnya. Yakni sikap tetap istiqamah menjalani hidup ini, tanpa lemah dan berlengah-lengah. Seorang murabbi mengingatkan mutarabbinya dengan mengatakan, ‘Peliharalah keteguhan hatimu, kerana ia bentengmu yang sesungguhnya. Barang siapa yang memperkukuhkan bentengnya nescaya ia tidak akan goyah oleh badai sekencang manapun. Dan ini menjadi kamu menjadi aman’.

Begitulah banyaknya nasihat ulama kita yang mengingatkan agar kita berupaya secara maksimumnya mengukuhkan kekuatan hati dan keteguhan jiwa agar mendapatkan cita-cita kita.

Juga terhadap jalan dakwah. Kegemilangan jalan suci ini hanya dapat diraih dari sikap istiqamah dan istimrar terhadap prinsip dakwah ini. Yang tidak mudah berguguran kerana tarikan-tarikan kepentingan yang mengarah pada kecenderungan duniawiyah. Tanpa sikap thabat, para du'at di jalan dakwah ini akan terseret pada lingkungan kehancuran dan kerugian dunia dan akhirat.

“Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami. Dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia. Dan kalau Kami tidak memperkuat hatimu nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Kalau terjadi demikian benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu siksaan berlipat ganda di dunia ini dan begitu pula siksaan berlipat pula sesudah mati dan kamu tidak akan mendapat seorang penolongpun terhadap Kami”.

(Al-Isra’: 73 – 75).

Sikap ini menjadi daya tahan terhadap sebarang halangan dan dari sanalah ia mencapai kejayaannya. Sebagaimana yang diingatkan Rasulullah SAW. pada Khabab bin Al ‘Art agar tetap bersabar dan berjiwa tegas menghadapi ujian dakwah ini bukan dengan sikap yang tergesa-gesa. Apalagi dengan sikap yang menginginkan jalan dakwah ini tanpa hambatan dan halangan.


4. Thariqun litahqiqil Ahdaf

(Jalan untuk mencapai sasaran)

Untuk mencapai sasaran hidup yang dikehendaki tidak ada jalan lain kecuali dengan bermodal thabat. Teguh meniti jalan yang sedang dilaluinya. Meski perlahan-lahan, ibarat kata peribahasa kita " sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain". Tidak tertarik untuk zig-zag sedikit pun atau sesekali. Melainkan mereka lakukan terus-menerus meniti jalannya dengan sikap tetap istiqamah. Bahkan dalam cerita masyarakat kita ada kisah kura-kura dapat mengalahkan kancil mencapai suatu tempat. Kura-kura meskipun berjalan perlahan-lahan namun akhirnya menyampaikannya dirinya pada tempat yang dituju.

Imam ‘Athaillah As Sakandary menasihatkan muridnya untuk selalu tekun sesuatu amalan, lebih-lebih lagi dakwah agar meraih natijahnya dan tidak cepat penat atau putus asa untuk mendapatkan hasilnya. ‘Barang siapa yang menggali telaga lalu berpindah pada tempat yang lain untuk menggali lagi dan seterusnya berpindah lagi maka selamanya ia tidak akan menemukan air dari lubang yang dia gali. Tapi bila kamu telah menggali lu,bang galilah terus hingga kamu dapatkan air darinya meski amat melelahkan’ (Kitab Tajul ‘Arus). Kerananya ketekunan dan keletihan menjadi pemangkin untuk mencapai cita-cita dan harapan yang dikehendakinya. Kedua-dua perkara ini merupakan hasil daripada sikap thabat seseorang.


Thabat meliputi beberapa aspek iaitu:

1. Tsabat Ala dinillah (teguh terhadap agama Allah SWT).

Keteguhan pada masalah ini dengan tidak menanggalkan agama ini dari dirinya walaupun kematian menjadi ancamannya. Sebagaimana wasiat yang selalu dikumandangkan oleh Khatib Jum’at agar sentiasa menjaga keimanan dan ketaqwaan sehingga mati dalam keadaan muslim. Ini pula yang menjadi wasiat para Nabi kepada keturunannya.

“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya. Demikian pula Ya’kub. ‘Hai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu. Maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam”.

(Al-Baqarah: 132).

Wasiat ini untuk menjadi amaran pada kaum muslimin agar tetap memelihara imannya. Jangan mudah tergiur oleh kesenangan dunia lalu mengganti keyakinannya dengan yang lain. Menjual agamanya dengan harga yang murah semurah coklat dan mee. Atau menukar prinsip hidupnya dengan kemolekan tubuh wanita. Atau ia mahu mengganti aqidahnya dengan kemudahan mendapat kerja dan menjaga kariernya. Na’udzu billahi min dzalik.


2. Tsabat Alal Iltizam bidinillah (Tetap komitmen pada ajaran Allah SWT)

Tetap di atas iltizam dengan Islam, baik dalam ketaatan mahupun saat harus menerima kenyataan hidup. Ia tidak mengeluh atas apa yang menimpa dirinya. Ia teguh menghadapinya. Semangat istiqamahnya tidak pernah pudar oleh kenyataan pahit yang dirasakannya. Keluhan dan penyesalan bukanlah penyelesaiannya. Malah menambah beban hidup. Oleh kerana itu keteguhan dan kesabaran menjadi modal untuk menyingkapi seluruh permasalahannya. Rasulullah SAW. bersabda: ‘As Shabir fihim ala dinihi kal qabidh alal jumari’.

Mereka yang menjaga komitmennya pada ajaran Allah sentiasa memandang bahwa apa saja yang diberikan-Nya adalah sesuatu yang baik bagi dirinya. Persepsi ini tidak akan menjadikannya goyah menghadapi pengalaman pahit segetir manapun. Bahkan, ianya mungkin merubahnya menjadi kenangan manis yang diabadikan dalam kumpulan album kehidupannya. Sebab segala pengalaman pahit bila mampu diatasi dengan sikap teguh maka ia menjadi bahan nostalgia yang amat mahal dan tidak ditemui dalam mana-mana naskhah buku.


3. Tsabat Ala Mabda’ id Da’wah (Teguh pada prinsip dakwah )

Teguh pada prinsip dakwah kadangkala menjadi halangan dalam tugas dakwah yang agung ini. Mengutamakan dakwah atas aktiviti-aktviti lainnya sehingga dapat memberikan sumbangannya di jalan ini. Tanpa kenal lelah dan henti. Ia selalu berada disaf hadapan dalam membela dan menggerakkan dakwah. Walaupun kadangkala dia terpaksa menerima penderitaan dan keperitan kerana sikapnya itu. Ketenangan dan kegusaran hatinya selalu dikaitkan dengan nasib dakwah dan bukan dirinya. Ia tidak akan merasa nyaman, aman dan selesa bila dakwah dalam ancaman. Kerana itu dia berusaha untuk berdisiplin pada prinsip dakwah ini. Menyeleweng dari prinsip ini mengakibatkan kegagalan dan kelumpuhan bagi dakwah dan masa depan umat.

Perhatikanlah peristiwa Uhud, Bir Ma’unah dan lainnya. Peristiwa yang amat memilukan dalam sejarah dakwah tersebut diantaranya disebabkan oleh hilangnya disiplin du'at kepada prinsip dakwah dan kealpaan memahami halangan dakwah.


Izzatu Junudid Da’wah (harga diri seorang kader dakwah)

Di saat ini kita memasuki era di mana tentangan dan peluang sama-sama terbuka. Mendapat kemusnahan lantaran tidak tahan menghadapi tentangan atau dia berjaya kerana mampu membuka pintu peluang seluas-luasnya. Kerana itu kita dituntut untuk bersikap thabat dalam apa jua keadaan atau situasi. Senang mahupun susah, sempit ataupun lapang. Tidak pernah tergoda oleh bisikan-bisikan kemewahan dan kegemerlapan lalu tertarik padanya dan menyeleweng dari jalan dakwah.

Thabat tidak mengenal waktu dan tempat, dimana pun dan bila masapun. Kita tetap menggalas misi dan visi dakwah kita yang suci ini. Untuk menyelamatkan umat manusia dari kehinaan dan kemudharatan. Dengan jiwa thabat ini duat bersama kafilah dakwah memiliki harga diri di mata Allah SWT. mahupun di mata musuh-musuhnya. Melalui sikap ini para du'at lebih istimewa dari pada kebanyakan orang. Dan ia menjadi contoh yang tak ternilai harganya.

Imam Hasan Al Banna menegaskan, ‘janganlah kamu merasa kecil diri, lalu kamu samakan dirimu dengan orang lain. Atau kamu tempohi dakwah ini jalan yang bukan jalan kaum mukminin. Atau kamu bandingkan dakwahmu yang cahayanya diambil dari cahaya Allah dan manhajnya diserap dari sunnah Rasul-Nya dengan dakwah-dakwah lainnya yang terbentuk oleh berbagai kepentingan lalu musnah dan terungkai begitu saja dengan berlalunya waktu dan terjadinya berbagai peristiwa. Kuncinya adalah Thabat dalam jalan dakwah ini’. Kalau begitu bagaimana bangunan thabat yang kita miliki?.

Oleh itu wahai da'i iallah, jadikanlah doa ini sebagai wirid anda :

“Wahai pemilik hati, wahai pembolak balik jiwa, teguhkanlah hati dan jiwa kami untuk sentiasa berpegang teguh pada agamaMu dan ketaatan di jalanMu”.


Wallahu ‘alam bishshawwab.


Rujukan: Edit secara beretika daripada website Ikhwan Muslimin (edisi Indonesia)

BERDOA DALAM BENTUK CELAAN... APAKAH DIBOLEHKAN ?


Salam perjuangan kepada semua...

Seminggu dua ini isu samada boleh atau tidak berdoa dalam bentuk cercaan dan celaan telah menghiasi akhbar dan media elektronik kita. Ianya menjadikan kita tertanya-tanya apakah solusi Islam dalam perkara ini.

Di sini, dipetik satu pandangan yang membolehkannya berdasarkan beberapa sandaran untuk menjadi renungan kita bersama.

PERTAMA;

Di awal dakwah, nabi SAW naik atas bukit safa, lalu berucap di atas bukit tersebut untuk menyampaikan kandungan dakwah nabi SAW. Di saat itu, Abu lahab marah dengan dakwah nabi SAW, menyebabkan beliau telah mengambil batu dan membaling ke arah nabi SAW.

Tindakan Abu Lahab tersebut dibenci oleh Allah, menyebabkan Allah menurunkan firman-Nya;

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ

Maksudnya;
"celakalah kedua tangan abu Lahab, dan sememangnya Abu lahab adalah celaka"

(Surah Al-lahab : 1)


KEDUA:

Firman Allah;

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أُولَئِكَ يُعْرَضُونَ عَلَى رَبِّهِمْ وَيَقُولُ الْأَشْهَادُ هَؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى رَبِّهِمْ أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ

Maksudnya;
"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah? Mereka itu akan dihadapkan kepada Tuhan mereka, dan para saksi akan berkata: "Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Tuhan mereka." Ingatlah, laknat Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim"

(Surah Hud : 18)

KETIGA;

Firman Allah;

أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya;
"Mereka itu (orang yang zalim), balasannya ialah: bahwasanya la'nat Allah ditimpakan kepada mereka, (demikian pula) la'nat para malaikat dan manusia seluruhnya"

(Surah Al-Imran : 87)


KEEMPAT:

Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan hadis, bahawa nabi SAW ada berdoa dalam qunutnya;

اللَّهُمَّ الْعَنْ فُلَانًا وَفُلَانًا وَفُلَانًا

Maksudnya;
"Ya Allah, berilah laknat kepada fulan, fulan dan fulan"

Doa ini dibaca oleh nabi SAW setelah membaca;

سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ

Maksudnya;
"telah mendengar oleh Allah terhadap mereka yang memujinya. Wahai tuhan, kepujian itu layak untuk kamu" (Al-Bukhari : 3762)


KELIMA;

Imam At-tarmizi ada meriwayatkan hadis, bahawa Nabi SAW ada berdoa dalam peperangan uhud;

اللَّهُمَّ الْعَنْ أَبَا سُفْيَانَ اللَّهُمَّ الْعَنْ الْحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ اللَّهُمَّ الْعَنْ صَفْوَانَ بْنَ أُمَيَّةَ

Maksudnya;
"ya Allah, berilah laknat terhadap Abu Sufyan. Ya Allah, berilah laknat terhadap Al-haris bin Hisyam. Ya Allah, berilah laknat terhadap Safwan bin Umayyah"

Ekoran doa nabi SAW itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan firman-Nya;

لَيْسَ لَكَ مِنَ الْأَمْرِ شَيْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ

Maksudnya;
" Tak ada sedikitpun campur tanganmu dalam urusan mereka itu atau Allah menerima taubat mereka, atau mengazab mereka karena sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim."

(Surah Al-Imran : 128)

Kemudian dari turunnya ayat ini, menyebabkan mereka yang nama-nama mereka disebut oleh nabi dalam doa tersebut bertaubat. Dan Allah telah mengampun dosa mereka, bahkan selepas itu, mereka menjadi orang islam yang baik. (At-tarmizi : 2930)

KEENAM;

Imam At-tibrani meriwayatkan hadis. Bahawa nabi SAW berdoa ketika baginda takut/bimbang terhadap sesuatu kaum;

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ، وَنَدْفَعُكَ فِي نُحُورِهِمْ

Maksudnya;
"Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan kamu daripada segala kejahatan mereka, dan kami minta pertahanan kamu pada tengkok-tengkok mereka" (Al-Mukjam Al-kabir : 1579)

* maksud dengan doa "kami minta pertahanan kamu pada tengkok-tengkok mereka", adalah doa agar mereka binasa.

ISTIDLAL

Dari Ayat-ayat al-quran dan hadis-hadis nabi SAW ini, dilihat bahawa Allah sendiri membenarkan ungkapan celaan dan laknat diberikan kepada mereka yang zalim. Bukan sekadar itu sahaja, mendoakan agar diberikan laknat kepada mereka terbabit pun dibenarkan dalam islam.

Makanya, terlebih dibenarkan dalam islam apabila mendoakan kecelakaan seseorang itu 'dita'liqkan' dengan sesuatu amalan kezaliman yang bakal dilakukan. Ia sedikit sebanyak, merupakan salah satu cara untuk mencegah seseorang itu daripada melakukan kezaliman.

Sabda nabi SAW;

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Maksudnya;
"tolonglah saudara kamu yang zalim dan yang kena zalim"

Seorang lelaki bertanya, "wahai rasulullah, aku akan menolong seseorang yang dizalimi. Bagaimana pula, hendak menolong orang yang zalim?"

Jawab nabi,
"berhentikan dia daripada melakukan kezaliman, maka itu adalah cara kamu menolong dia" (Al-bukhari : 6438)

Dari hadis ini, amat nyata bahawa nabi SAW menyatakan bahawa perlu dilakukan tindakan yang boleh memberhentikan seseorang yang zalim itu daripada dia melakukan kezaliman.

Justeru, jika dengan cara menyebut akan berdoa kebinasaan terhadap orang yang zalim dapat memberhentikan dia dari melakukan kezaliman, maka itu merupakan tindakan yang tidak salah dalam islam, malahan ia adalah sesuatu yang disyariatkan dalam islam.


Sekian


Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


Rujukan :
http//g-82.blogspot.com

Mengangkat Warisan Ke Persada Dunia Oleh SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan

Sahabat-sahabat sekalian,

Coretan suara hati yang diluahkan oleh SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan semasa Pidato Penerimaan Anugerah Sastera Negara Ke-10 pada 20 Oktober 2009 yang lalu memaparkan seribu satu makna dan kritikan sosial hasil dari pemerhatian beliau terhadap gelagat manusia, bahasa dan alam yang didiaminya. Satu kritikan yang berani, kritis dan sinis. Mari sama-sama kita ikuti teks pidato SN. Datuk Dr. Anwar Ridhwan seterusnya...

ismillah itu permulaan kalam,

Dengan nama Allah Khalikulalam,

Berkat Muhammad Sayid Alanam,

Memberi rahmat siang dan malam.


Awal bismillah fakir menyusun,

Di pangkal jalan memohon ampun,

Maklum bahasa tidak tersusun,

Banyak perkara hendak dihimpun.


Majlis permai fakir mengisi,

Kata dan fikir dengan puisi,

Kerana fakir bertugas di institusi,

Yang "melangkah ke hadapan bersama tradisi."


I: Citra Sastera

Sastera itu adab persuratan,

Pelbagai makna serta tafsiran,

Namun bakat serta indah penulisan,

Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran.


Bakat dan karya ada tanggungjawab,

Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,

Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,

Bantu membimbing umat manusia.


Hindari kutukan kepada penyair sesat,

Dalam Al-Syu'ara telah tersurat,

Yang ditulis benar itulah yang diperbuat,

Takwa itu memandu pena menyurat.


Dengan akal pena menukilkan,

Seperti lidah wajar berperaturan,

Pena yang jujur lebih dimuliakan,

Bukan pedang melibas sembarangan.


Persuratan itu mengandung ilmu,

Juga mendidik tiadalah jemu,

Mutiara kata dapat ditemu,

Yang indah-indah dan merdu turut diramu.


Hamzah Fansuri, Syeikh Ahmad al-Fatani,

Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji,

Karya persuratan padat berisi,

Tanda pujangga seorang insani.


Persuratan tidak mengulang yang lama,

Atau hanya alam dan watak semata,

Fikrah falsafah itu lebihlah mulia,

Disulam keindahan membijaksanakan manusia.


Dibantu ilmu karya terkarang,

Piawai Melayu ini jangan dibuang,

Nyata dan magis silang bersilang,

Ke pentas dunia masuk gelanggang.


Melayu menyediakan atur hukum sastera,

Dalam puisi dan hikayat warisan bangsa,

Ditambah ilmu bantu dan prinsip semasa,

Ciptakan karya bertaraf dunia.


Ibn Tufail, Ibn al-Nafis,

Menyelami dasar falsafah menulis,

Apungkan ilmu madahnya pun majlis,

Keadilan hakiki pencarian penulis.


II: Keprihatinan Sastera Malaysia

Sastera bukan khayali ke dalam diri,

Nasib alam dan ummah diperhati,

Peka akan gejolak yang mengelilingi,

Dicipta persuratan untuk dihayati:


(i)

Asas tamadun sudah bertunas,

Melayu bersyarak kepada nas,

Lenyap kegelapan oleh nur yang bernas,

Hablum min Allah, Hablum min al-nas.


Pusat intelektual bermula di istana,

Lahirkan ulama, pemikir dan pujangga,

Muamalat, munakahat, siasah dijana,

Hukum jinayat, adab, persuratan juga.


Seteguh dahulukah Melayu-Islam kini?

Akidah mencair atas nama hak asasi,

Islam liberal dan sekularisme mencemari,

kepada ad-Din yang benar hendaklah kembali.


Ada yang mencabar hukum syariah

Anggap hukum duniawi lebih indah,

Tidak sempurna bukan sifatnya Allah,

Di atas segalanyalah asma'ilahiyyah.


(ii)

Kita mengenal Suhaif al-Rumi,

Begitu juga Salman al-Farisi,

Beserta dengan Bilal al-Habashi,

Begitu pelbagainya wajah insani.


Allah ciptakan pelbagai bangsa,

Allah hembuskan seribu bahasa,

Untuk berkenalan sesama manusia,

Jangan sampai abaikan hak milik kita.


Semenanjung Melayu ini di Alam Melayu,

Sebab musababnya jelas bagi yang tahu,

Sejak abad ke-VII kembangkan tradisi ilmu,

Kuasai ekonomi Nusantara delapan penjuru.


Majapahit, Sriwijaya, Langkasuka dan Melaka,

Corakkan wajah kebudayaan kita,

Sehingga penjajah membawa tenaga kerja,

Bekerja demi kepentingan ekonomi mereka.


Kini tenaga kerja asing terus penuhi negara,

Pada tempat dan ketika lebih ramai mereka,

Rakyat rasa tak selamat tak rasa bebas merdeka,

Berbuatlah sesuatu agar negara ini tenang semula.


(iii)

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,

Kuasa-kuasa Barat dan Timur datang menjarah,

Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,

Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah.


Justeru setiap menyambut ulang tahun merdeka,

Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,

Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,

Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika.


Melayu dengan kedaulatan dan ketuanan,

Ihsan memberi taraf kerakyatan,

"Kontrak Sosial" menjadi ikatan,

Diikat kukuhlah jangan rungkaikan.


Maka teguh-kukuhkan perkara yang empat,

Kedudukan Raja-Raja Melayu menjamin daulat,

Islam agama rasmi, Melayu Bahasa Kebangsaan dinobat,

Hak istimewa Melayu dan bumiputera mendapat tempat.


Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa,

Hubbul watan minal iman peganglah ia,

Berhujahlah Melayu baru dengan akal dan fakta,

Bukan zahirkan rasa dan emosi semata.


Namun bertimbang rasalah kepada taulan,

Pelbagai bangsa jiran dan kenalan,

Pada zamannya Nabi telah tunjukkan,

Islam menjalin indah perpaduan.


(iv)

Melayu itu beradab, berperaturan, berkerajaan,

Di alam Melayu ribuan tahun kekuasaan,

Khalifah Allah segala raja dan sultan,

Patut dibantu orang-orang besar bijaksana lagi budiman.


Jangan sekali-kali bertindak atas hukum rimba,

Matlamat dan cara mesti halal belaka,

Tersurat hukum kanun dan undang-undang mulia,

Pangkal peraturan bagi segala raja-raja dan rakyatnya.


(v)

Pendidikan Melayu itu berliku lorongnya,

Pada zaman penjajah, hanya vernacular kastanya,

Pribumi sengaja ditolak dari bandar dan kotanya,

Sentiasa mengekori pelajar kota yang pantas lariannya.


Terfikir fakir akan nasib bahasanya,

Ratusan tahun melakar wacana,

Tanpa menjadi bahasa ilmu akan ke mana?

Cukuplah jadi bahasa basahan sahaja?


Pada abad XVI Valentin terpesona,

Di sebelah sini bahasa Melayu berkuasa,

Dari timur Parsi hingga ke Kepulauan Filipina,

Kini mesti lebih perkasa di negaranya dan dunia.


Ilmu sekular moden Melayu wajar berhati-hati,

Kerana akhirat itu pasti dihadapi,

Atas ilmu ukhrawi dirikan ilmu duniawi,

Baharulah barakah hingga ke kampung kekal abadi.


(vi)

Asal asali itu Melayu teras jua,

Bangsa besar lagi majoriti jumlahnya

Patutlah teras segala citra budaya,

Entah kenapa kini digerhanakan seri wajahnya.


Budaya itu bersendi adat berpangkal agama,

Tanda bangsa beradab lagi mulia,

Tapi hedonisme tampak dibiarkan merajalela,

Budi bahasa amat ketara lunturnya.


Segalanya bermula darinya rumah,

Mencipta kasih sayang mawaddah war-rahmah,

Tahzibul akhlak tanggungjawab ummah,

Akhiran terpuji husnul khatimah.


(vii)

Persuratan dan bahasa "azwar" yang baik,

Tamsil makhluk dengan yang Khalik,

Perjuangan bahasa bukanlah pelik,

Kuasai yang asing, tak tercicir milik.


Hang Tuah kuasai berbelas bahasa,

Melalui munsyi bahasa yang berjasa,

Bukan dengan "pandai besi" berbadan sasa,

Bukan dengan "pandai emas" mencanai suasa.


Kuasai bahasa Arab di dalam dada,

Bahasa Barat dan Timur di dalam minda,

"Seribu bahasa kita bicara,

Manakan sama bahasa bonda".


Ke manakah arah bahasa Melayu?

Dipandang rendah tak banyak yang mahu,

Sesekali dipakai miskinnya mutu,

Nama tempat, jalan dan bangunan tidak menentu.


Alangkah molek bercitra kebangsaan,

Setiap bangsa rohnya diciptakan Tuhan,

Tercabut rohnya citra pun kehilangan,

Bagaikan tanah ini tidak bertuan.


(viii)

Sebelum mengundur diri fakir rakamkan,

Ucapan "terima kasih" kepada sekalian,

Pengkritik, penterjemah, editor dan panel budiman,

Isteri, anakanda dan menantu pemberi sokongan.


Serta sahabat fakir Cina dan India,

Kadazandusun dan Iban juga,

Dengan bakat, akal, bahasa dan karya,

Perkasakan tamadun bangsa kita,


Sudah sampai ke hujung fakir bermadah,

Pada malam bersejarah menjunjung Anugerah,

Jutaan ampun atas silap dan salah,

Yang Maha Sempurna Terpuji itu miliknya Allah.


Wahai segala arif permata,

janganlah apa fakir dikata,

Kalam buruk kertasnya lata,

Menyuratnya tiada ada pelita.


Sudahlah dengan takdir Allah,

Tiadalah dapat lagi disalah,

di Lohmahfuz suratan terjumlah,

Barang yang datang disyukurkanlah.


Beberapa Perhatian Mengenai Influenza A (H1N1)



Wabak influenza yang melanda dunia pada hari ini pada asalnya dikenali sebagai sebagai selsema babi. Ini kerana antara punca utama penyakit ini adalah khinzir atau babi. Wabak ini pada mulanya dikesan di Mexico pada bulan April 2009, dan ia merupakan satu strain virus influenza yang baru. Dan pada 30 April 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakan sebagai Influenza A (H1N1).


Wabak ini juga sudah melanda Negara kita. Bahkan ia sudah menjadi ancaman yang menakutkan semua pihak. Dan setakat artikel ini ditulis, sudah 44 kematian dicatatkan disebabkan oleh wabak ini di Negara kita. Dalam artikel yang ringkas ini, saya ingin menarik perhatian kepada beberapa perkara berkaitan dengannya.



Pertama: Islam sejak dari dahulu lagi telah mengharamkan kepada para penganutnya memakan daging babi. Bahkan memakan daging babi dianggap sebahagian daripada dosa besar. Dan keharaman memakan daging babi ini merupakan ijmak (consensus) para ulamak, kerana nasnya adalah jelas.

Firman Allah SWT:
( إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ )
Ertinya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang disembelih kerana selain Allah. Dan sesiapa yang terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tiada dosa ke atasnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Surah al-Baqarah: 173.


Kedua: Babi merupakan satu binatang yang sangat jijik dan kotor. Ia juga sudah jelas boleh membawa kemudharatan. Kerana itulah Islam mengharamkannya dan tidak menganggapnya sebagai sumber makanan atau sumber ekonomi. Kerana inilah babi disarankan supaya dibunuh dan bukannya dibela dan dipelihara.

Bahkan dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا مُقْسِطًا فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ
Ertinya: “Tidak akan berlaku qiamat, sehinggalah Nabi Isa akan turun berada di kalangan kamu sebagai pemertintah yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi…” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852H): “Dan maksud baginda membunuh babi (dalam hadis ini ialah), baginda menyuruh supaya dihapuskan babi, untuk menguatkan lagi keharaman memakannya. Dan dalam hadis tersebut terdapat celaan kepada golongan Kristian yang mendakwa mengikut Nabi Isa, namun mereka menghalalkan memakannya dan sangat menyukainya”. (Rujuk Fathul Bari, juz 7, m/s 56, Bab Qatlul Khinzir)


Ketiga: Dengan timbulnya penyakit selsema babi ini, ia menjelaskan lagi apa yang disebutkan sebagai maqasid atau objektif pensyariatan sesuatu hukum. Ini kerana tidak ada satu pun daripada keseluruhan hukum-hukum syarak yang pensyariatannya adalah sia-sia (tanpa tujuan). Di mana sahaja adanya hukum syarak, maka di situ wujudlah kemaslahatan yang ingin dicapai atau kemudharatan yang ingin ditolak dan dijauhi. Mencapai kebaikan atau kemaslahatan dan menolak keburukan atau kemudharatan adalah tujuan bagi setiap hukum syarak. Sesiapa yang mengkaji ayat-ayat suci al-Qur’an dan hadis-hadis Nabawi, sudah tentu dia akan dapati bahawa di mana sahaja ada perintah (suruhan), maka di situ wujudnya maslahah (kebaikan) dan di mana sahaja ada larangan, maka di situ wujudnya mafsadah (keburkan).


Keempat: Wabak selsema babi yang melanda dunia sekarang merupakan satu perkara yang mengajak kita semua menilai siapakah kita. Dengan segala kemajuan dan kehebatan yang dimiliki di zaman ini, manusia sebenarnya adalah makhluk Allah SWT yang lemah. Mereka tidak boleh angkuh dan sombong sehingga sanggup mengenepikan peraturan dan hukum Allah SWT. Setiap tingkah laku kita akan diperhatikan dan akan dinilai oleh Allah SWT. Kerana itu mereka mestilah sentiasa mengingati Allah dengan mengamalkan ajaran dan suruhanNya. Dan bala yang menimpa adalah supaya manusia kembali kepadaNya. Dan orang yang tidak kembali insaf dan bertaubat adalah orang yang keras hatinya dan dia sebenarnya diperdayakan syaitan supaya sentiasa bersamanya, yang mana akhirnya akan menuju ke neraka.

Allah SWT berfirman:
( فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ )
Ertinya: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan kami kepada mereka? Bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pula menampakkan cantik kepada mereka apa yang selalu mereka kerjakan”. Surah al-An’am: 43.


Kelima: Wabak yang melanda dunia sekarang juga mengingatkan kita dengan firman Allah SWT:
( وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ )
Ertinya: “Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak hanya khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya”. Surah al-Anfal: 25. Kalaulah kejadian tsunami itu satu perkara yang menakutkan dan ia berlaku hanya dalam sekelip mata, maka wabak ini juga menakutkan dan menimbulkan keresahan kepada semua. Bezanya, wabak ini bergerak secara senyap dan ia telah merentasi dunia keseluruhannya.


Keenam: Islam mengamalkan konsep “Mencegah adalah lebih baik daripada merawat”. Kerana itu, sejak dari awal lagi Islam hanya menghalalkan apa yang baik dan mengharamkan apa yang keji dan kotor. Bahkan antara tugas kedatangan Rasulullah s.a.w. ialah perkara tersebut.


Firman Allah SWT:
( يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ )
Ertinya: “ …Baginda menyuruh mereka mengerjakan yang makruf (baik) dan melarang mereka mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk …” Surah al-A’raf: 157.


Namun, setelah timbulnya masalah, Islam menyuruh kita supaya berusaha dan berikhtiar untuk menyelesaikannya. Dan antara cara kita berikhtiar adalah dengan kita solat hajat dan berdoa kepadaNya, selain langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh pihak-pihak yang berkenaan.


Ketujuh: Dan antara doa yang dirasakan sesuai dibaca untuk mengelakkan diri daripada terkena jangkitan penyakit ini ( Influenza A H1N1) ialah doa ini.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي وَمَا ابْتَلانِي وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِهِ تَفْضِيلا
Ertinya: “Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku (dengan bala ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya”.


Doa ini sangat sesuai dibaca bagi memohon kepada Allah SWT supaya terselamat daripada wabak yang melanda sekarang. Ini adalah berdasarkan kepada hadis riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ رَأَى مُبْتَلًى فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلَاكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلًا لَمْ يُصِبْهُ ذَلِكَ الْبَلَاءُ
Ertinya: “Sesiapa yang melihat orang yang terkena bala, lalu dia membacakan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلاكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلا
(Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku dengan bala yang menimpamu ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya), melainkan dia akan terkena bala (penyakit) tersebut”. Hadis hasan riwayat Tirmizi.


Inilah beberapa perkara yang saya ingin kongsikan bersama dalam artikel yang ringkas ini. semoga ia bermanfaat untuk semua, dan sama-sama kita berdoa, supaya kita semua selamat daripada bala ini.



Sumber: http://tasekpauh.blogspot.com/


DEMONSTRASI: SERTAILAH JIKA ...



Demonstrasi ialah tunjuk perasaan yang dilakukan dengan cara berkumpul beramai-ramai dan berarak sebagai tanda protes terhadap sesuatu isu. Orang yang menyertai demonstrasi tidak turun padang semata-mata untuk berkumpul dan berarak tanpa tujuan. Di sebalik tindakan mereka, ada suara hati yang mahu didengari dan pandangan yang mahu diambil perhatian pihak tertentu. Atau dengan kata lain, ada objektif yang hendak dicapai. Maka difahami bahawa demonstrasi hanya wasilah atau pendekatan untuk menyuarakan pandangan secara jama’ie.


Jadi, tinjauan terhadap hukum demonstrasi mestilah mengambil kira ia sebagai satu wasilah. Jangan memandang demonstrasi secara pendek, lalu menyimpulkan begini: “Demonstrasi tidak pernah dilakukan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Apa yang tidak dilakukan oleh baginda adalah bidaah. Natijahnya demonstrasi dihukum sebagai bidaah”.


Kaedah ‘bidaah’ tidak tepat diaplikasikan dalam isu demonstrasi. Untuk penjelasan perkara ini, boleh ditinjau definisi bidaah yang diungkapkan oleh sarjana Islam, Al-Syatibiy. Iaitu: Bidaah ialah satu cara yang direka-reka dalam agama, menyerupai syariat, tujuan dilakukannya untuk membuat suatu yang extra dalam beribadah kepada Allah Subhanahu Wataala.


Hukum demonstrasi mesti mengambil kira ia sebagai WASILAH. Dan wasilah untuk mencapai sesuatu objektif bukanlah berbentuk tabbudiy atau tauqifiy. Dengan kata lain, Syarak tidak menghadkan cara dan kaedah khusus untuk mencapainya. Ia kembali kepada hukum asal iaitu harus.


Cukuplah untuk mengatakan harus demonstrasi hanya dengan hujah bahawa tidak ada dalil dari Quran dan Sunnah yang mengharamkan berkumpul dan berarak untuk meyuarakan pandangan.


Namun terdapat dua perkara yang mesti diambil kira.

1) Apakah objektif diadakan demonstrasi?
2) Apakah demonstrasi mengandungi unsur haram?



Objektif Penganjuran Demonstrasi

Secara prinsipnya, terdapat kaedah yang masyhur iaitu “Wasilah mendapat hukum maqasid (objektif)”. Mana-mana perbuatan yang menjurus kepada suatu yang haram, maka ia menjadi haram, sekali pun perbuatan itu pada awalnya tidak haram.


Contohnya, membeli dan menjual parang tidak dilarang oleh Islam. Tetapi jika pembelian itu bermotifkan jenayah rompakan sebagai contoh, maka penjualan dan pembelian parang dalam kes ini adalah haram. Kerana wasilah mengambil hukum maqasid.


Begitulah demonstrasi. Jika motif demonstrasi adalah perkara maksiat maka turun padang berdemo pun satu maksiat. Contohnya, jika ada pihak menganjurkan demonstarsi mendesak supaya Kerajaan membenarkan orang Islam murtad, hukum menyertainya haram. Kerana objektif yang haram menatijahkan wasilah yang haram.


Jika objektif demonstrasi diharuskan syarak atau digalakkan syarak, contohnya berdemo membantah kumpulan yang menghina Islam, maka hukum berdemo dalam situasi ini perlu dilihat aspek kedua, iaitu:


Apakah Demonstrasi Mengandungi Unsur Haram?

Jika penganjuran demonstrasi disertai unsur-unsur maksiat, maka haram menyertainya. Ataupun, jika aktiviti demonstrasi pasti akan membuka ruang kepada berlaku maksiat, maka haram menyertai demonstrasi seperti ini.


Sebaliknya, jika demonstrasi dilakukan dengan menjaga tata-tertib syariat, dan menunaikan hak-hak yang ditetapkan Islam ketika berada di jalanan, maka hukumnya kembali kepada hukum asal wasilah iaitu harus.


Kesimpulan

Tidak salah menyertai demonstrasi, JIKA:


1) Objektif yang hendak dicapai melalui demonstrasi tidak bercanggah dengan syrariat.


2) Pengajur dan peserta demonstrasi dapat menjaga hak-hak jalanan yang digariskan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu:
- Tidak menimbulkan kesusahan kepada orang lain.
- Menjawab salam apabila disapa.
- Menyuruh kebaikan.
- Mencegah kemungkaran.


3) Tidak disertai dengan perbuatan maksiat lain, seperti:
- Percampuran bebas lelaki dan perempuan.
- Perempuan keluar dengan pakaian yang tidak syar’ie.
- Mengeluarkan perkataan atau memaparkan tulisan maki hamun dan mencarut.
- Menyerupai orang Musyrikin contohnya dari sudut pakaian.
- Merosakkan harta benda awam dan orang lain.


4) Demonstrasi tidak menyebabkan berlaku mudarat yang lebih besar. Kerana Islam menutup pintu-pintu kemudaratan.


Sekian.


Abu Umair,
16 Syaaban 1430.
Madinah Munawwarah.

Sila ke sumber: http://abuumair1. wordpress. com/

10 PERSIAPAN MENUJU RAMADHAN



1. Berdoalah agar Allah swt. memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadan dalam keadaan sihat wal afiat. Dengan keadaan sihat, kita mampu melaksanakan ibadah secara maksimal di bulan itu, baik puasa, solat, tilawah, dan zikir. Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahwa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rajab selalu berdoa, ”Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.” Ertinya, ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rajab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan Ramadan. (HR. Ahmad dan Tabrani)



Para salafush-shalih selalu memohon kepada Allah agar diberikan kurnia bulan Ramadan; dan berdoa agar Allah menerima amal mereka. Bila telah masuk awal Ramadhan , mereka berdoa kepada Allah, ”Allahu akbar, allahuma ahillahu alaina bil amni wal iman was salamah wal islam wat taufik lima tuhibbuhu wa tardha.” Ertinya, ya Allah, karuniakan kepada kami pada bulan ini keamanan, keimanan, keselamatan, dan keislaman; dan berikan kepada kami taufik agar mampu melakukan amalan yang engkau cintai dan redhai.



2. Bersyukurlah dan puji Allah atas kurnia Ramadan yang kembali diberikan kepada kita. Al-Imam Nawawi dalam kitab Adzkar-nya berkata, ”Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur; dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.” Dan di antara nikmat terbesar yang diberikan Allah kepada seorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika Ramadan telah tiba dan kita dalam kondisi sihat wal afiat, kita harus bersyukur dengan memuji Allah sebagai bentuk syukur.



3. Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadan. Rasulullah saw. selalu memberikan khabar gembira kepada para shahabat setiap kali datang bulan Ramadan, “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu surga dan menutup pintu-pintu neraka.” (HR. Ahmad).


Salafush-shalih sangat memperhatikan bulan Ramadan. Mereka sangat gembira dengan kedatangannya. Tidak ada kegembiraan yang paling besar selain kedatangan bulan Ramadan karena bulan itu bulan penuh kebaikan dan turunnya rahmat.



4. Rancanglah agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadan.Ramadhan sangat singkat. Karena itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang bisa membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah.



5. Bertekadlah mengisi waktu-waktu Ramadhan dengan ketaatan. Barangsiapa jujur kepada Allah, maka Allah akan membantunya dalam melaksanakan agenda-agendanya dan memudahnya melaksanakan aktiviti-aktiviti kebaikan. “Tetapi jikalau mereka benar terhadap Allah, niscaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.” [Q.S. Muhamad (47): 21]



6. Pelajarilah hukum-hukum semua amalan ibadah di bulan Ramadan. Wajib bagi setiap mukmin beribadah dengan dilandasi ilmu. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadan datang agar puasa kita benar dan diterima oleh Allah. “Tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui,” begitu kata Allah di Al-Qur’an surah Al-Anbiyaa’ ayat 7.


7. Sambut Ramadan dengan tekad meninggalkan dosa dan kebiasaan buruk. Bertaubatlah secara benar dari segala dosa dan kesalahan. Ramadan adalah bulan taubat. “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” [Q.S. An-Nur (24): 31]



8. Siapkan jiwa dan ruhiyah kita dengan bacaan yang mendukung proses tadzkiyatun- nafs. Hadiri majlis ilmu yang membahas tentang keutamaan, hukum, dan hikmah puasa. Sehingga secara mental kita siap untuk melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadan.



9. Siapkan diri untuk berdakwah di bulan Ramadhan dengan:

* Buat catatan kecil untuk tazkirah tarawih serta ba’da sholat subuh dan zhuhur.

* Membahagikan buku saku atau pamflet yang berisi nasihat dan keutamaan puasa.


10. Sambutlah Ramadan dengan membuka lembaran baru yang bersih. Kepada Allah, dengan taubatan nashuha. Kepada Rasulullah saw., dengan melanjutkan risalah dakwahnya dan menjalankan sunnah-sunnahnya. Kepada orang tua, isteri-anak, dan karib kerabat, dengan mempererat hubungan silaturrahim. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.

TANDA-TANDA IMAN SEDANG LEMAH


Ikhwah dan akhawat yang dirahmati ALlah...


Iman adalah mutiara dan pemangkin dalam diri kita para mukmin, lebih-lebih lagi akh amilin yang terlibat di medan dakwah. Halangan yang berbagai di hadapan kita menuntut kita melihat kepada darjah iman kita. Oleh itu, jika kita dapati iman lemah, maka dapatkan anasir yang menguatkannya. Bagaimana mengenali iman yang lemah itu? Tips di bawah memandu kita untuk mengenalinya.


1. Ketika anda sedang melakukan kedurhakaan atau dosa.


Hati-hatilah! Sebab, perbuatan dosa jika dilakukan berkali-kali akan menjadi kebiasaan. Jika sudah menjadi kebiasaan, maka segala keburukan dosa akan hilang dari penglihatan kita. Akibatnya, kita akan berani melakukan perbuatan durhaka dan dosa secara terang-terangan.


Rasulullah saw. bersabda,
“Tidak ada pezina yang di saat berzina dalam keadaan beriman. Tidak ada pencuri yang di saat mencuri dalam keadaan beriman. Begitu pula tidak ada peminum arak di saat meminum dalam keadaan beriman.” (Bukhari, hadis nombor 2295 dan Muslim, hadis nombor 86)




2. Ketika hati anda terasa begitu keras dan kaku.


Sehingga menyaksikan orang mati terkujur kaku pun tidak dapat menasihati dan melunakkan hati anda. Bahkan, ketika ikut mengangkat si mayat dan mengebumikannya dengan tanah tidak memberikan apa-apa kesan kepada hati kita. Hati-hatilah! Jangan sampai kita masuk ke dalam ayat ini, “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.” (Al-Baqarah: 74)




3. Ketika anda tidak tekun dalam beribadah.


Tidak khusyuk dalam solat. Tidak menyemak dalam membaca Al-Qur’an. Mengelamun semasa berdoa. Semua dilakukan sebagai rutin sahaja dan semakan hafalan karena kebiasaan saja. Tidak memberi konsentrasi sama sekali. Beribadah tanpa ruh. Ketahuilah! Rasulullah saw. berkata, “Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main.” (Tirmidzi, hadis nombor 3479)




4. Ketika anda terasa malas untuk melakukan ketaatan dan ibadah.


Bahkan, meremehkannya. Tidak melakukankan shalat di awal waktu. Mengerjakan shalat ketika 'injury time', waktu solat sudah penghujungnya. Menunda-nunda pergi haji padahal kesihatan, waktu, dan kewangan telah cukup. Menunda-nunda pergi solat Jumaat dan lebih suka berada di saff yang paling belakang. Waspadalah jika kita berprinsip, datang paling lewat, pulang paling cepat. Ketahuilah, Rasulullah saw. bersabda, “Masih ada saja segolongan orang yang menunda-nunda mengikuti saff pertama, sehingga Allah pun menunda keberadaan mereka di dalam neraka.” (Abu Daud, hadis nombor 679)
Allah swt. menyebut sifat malas seperti itu sebagai sifat orang-orang munafik. “Dan, apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas.”




5. Ketika hati anda tidak merasa lapang.


Dada terasa sesak, perangai berubah, merasa sempit dada dengan tingkah laku orang di sekitar anda. Suka membesar-besarkan hal-hal kecil lagi remeh-temeh. Ketahuilah, Rasulullah saw. berkata, “Iman itu adalah kesabaran dan kelapangan hati.” (As-Silsilah Ash-Shahihah, nombor 554)




6. Ketika anda tidak tersentuh oleh kandungan ayat-ayat Al-Qur’an.


Tidak bergembira ayat-ayat yang mengandungi janji-janji baik dari Allah. Tidak takut dengan ayat-ayat ancaman. Tidak tenang dikala mendengar ayat-ayat perintah. Hati tidak tersentuh ketika membaca ayat-ayat mengenai kiamat dan neraka. Hati-hatilah, jika anda merasa bosan dan malas untuk mendengarkan atau membaca Al-Qur’an. Jangan sampai anda membuka mushaf, tapi di saat yang sama melalaikan isinya dan tidak melaksanakan perintahnya.


Ketahuilah, Allah swt. berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. ” (Al-Anfal:2)




7. Ketika anda melalaikan Allah dalam hal berzikir dan berdoa kepada-Nya.


Sehingga kita merasa berzikir adalah pekerjaan yang paling berat. Jika mengangkat tangan untuk berdoa, secepat itu pula kita menangkupkan tangan dan menyudahkannya. Hati-hatilah! Jika hal ini telah menjadi tingkahlaku dan amalan kita. Sebab, Allah telah menyifatkan orang-orang munafik dengan firman-Nya, “Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali.” (An-Nisa:142)




8. Ketika anda tidak merasa marah ketika menyaksikan dengan mata kepala sendiri pelanggaran terhadap hal-hal yang diharamkan Allah.


Keghairahan kita padam. Anggota tubuh kita tidak tergerak untuk melakukan nahi munkar. Bahkan, raut muka kita pun tidak berubah sama sekali. Sedangkan kadangkala maksiat yang dilakukan boleh membawa kepada kekufuran.
Ingatlah, pesan Rasulullah saw. ini, “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Kalau tidak sanggup, maka dengan hatinya, dan ini adalah selemah-lemahnya iman.” (Bukhari, hadis nombor 903 dan Muslim, hadis nombor 70)




9. Ketika anda mahukan penghormatan dan suka menonjol diri.


Gila kedudukan, menonjolkan diri untuk tampil sebagai pemimpin tanpa mempunyai kemampuan dan tanggung jawab. Suka menyuruh orang lain berdiri ketika dia datang, hanya untuk mengenyangkan jiwa yang sakit karena begitu suka diagung-agungkan oleh orangramai.


Allah berfirman, “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Luqman:18)


“Jika kamu sekalian menghendaki, akan kukhabarkan kepadamu tentang kepemimpinan dan apa kepemimpinan itu. Pada awalnya ia adalah cela, keduanya ia adalah penyesalan, dan ketiganya ia adalah azab hari kiamat, kecuali orang yang adil.” (Shahihul Jami, 1420).


Untuk orang yang tidak tahu malu seperti ini, perlu diingatkan sabda Rasulullah saw. yang berbunyi, “Iman mempunyai tujuh puluh lebih, atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama adalah ucapan `Laa ilaaha illallah’, dan yang paling rendah adalah menghilangkan sesuatu yang mengganggu dari jalanan. Dan malu adalah salah satu cabang dari keimanan.” (Bukhari, hadis nombor 8, dan Muslim, hadis nombor 50)




10. Ketika Anda bakhil dan kikir.


Ingatlah perkataan Rasulullah saw. ini, “Sifat kikir dan iman tidak akan bersatu dalam hati seorang hamba selama-lamanya. ” (Shahihul Jami’, 2678)



Sumber: Diubahsuai dari http://jimaj.blogspot.com/2009/07/

BEBERAPA NOTA PERSIAPAN SEBAGAI AHLI GERAKAN


Allah berfirman di dalam Al Quran, yang maksudnya:

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan). ( Surah Al – Anfal : 60 )

Di antara persiapan yang perlu dimiliki oleh setiap ahli yang telah mewakafkan dan telah meletakkan intima' nya kepada Gerakan Islam ialah :-


1. KEFAHAMAN

Said Hawa pernah berkata di dalam bukunya Al – Islam :
Maksudnya : “ Kefahaman itu adalah permulaan untuk semua perintah dan larangan”

Imam Al – Syahid Hassan Al – Banna berkata : “Perkara yang saya maksudkan dengan faham ialah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah Islam yang tulin”. Faham juga merupakan rukun baiah yang pertama.

Memahami dengan mendalam matlamat perjuangan organisasi,dasar – dasarnya, memahami liku – liku perjuangan, uslub atau pendekatan yang telah ditentukan serta mengenali kawan dan lawan.



2. KETAKWAAN

Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat."

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”. ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas )

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”. Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”


Martabat Taqwa

Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;

Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran .

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”. ( Surah Al-Fath . Ayat : 26 )

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.

Martabat kedua : menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt ).” ( Surah Ali Imran. Ayat : 102

Sifat ini perlu dihayati oleh semua ahli jamaah kerana anggota jamaah adalah “penterjemah amaliyyah” kepada dasar yang diperjuangkan


3. KEPATUHAN ( KETAATAN )

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Saidina Umar Al – Kattab :
Maksudnya : Tidak ada Islam melainkan dengan jamaah dan tidak sempurna jamaah tanpa pimpinan dan tidak ada ertinya kepimpinan tanpa ketaatan”

Ketaatan kepada kepimpinan, kepatuhan kepada arahan organisasi adalah satu daripada kunci kejayaan amal jamaa’i.

Ahli gerakan mestilah bersedia ditarbiyah sehingga menjadi “jundi” yang ikhlas dalam perjuangan.


Petanda Ikhlas seorang pejuang


1. Niat yang jelas
2. Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan
3. Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran
4. Tidak bermain dengan alasan
5. Bersedia menerima arahan
6. Prihatin terhadap organisasi
7. Menjaga rahsia organisasi


4. DISIPLIN ( INDHIBAT )

Kehampiran seseorang individu dalam melaksanakan gerak kerja yang dituntut daripadanya sekadar termampu secara tepat, dengan syarat pelaksanaan kerja itu berlaku di dalam waktu yang ditetapkan dan kerja tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan menyeluruh kepada sesuatu kerja.

Walaupun sesuatu organisasi itu memiliki banyak unsur kebaikan, tetapi ia akan menemui kegagalan jika tiada disiplin dan kerjasama dikalangan ahlinya.


5. UKHUWAH

Ukhuwah Islamiyyah ialah persaudaraan atau kasih sayang yang bermatlamatkan mardhatillah.

Merupakan kurniaan dan pemberian daripada Allah yang dilontarkan –Nya kedalam hati – hati hambanya yang ikhlas dan suci.

“ Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka ( yang beriman itu ). Kalaulah engkau belanjakan segala ( harta benda ) yang ada dibumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka. Sesungguhnya Ia maha kuasa lagi Maha bijaksana”
( Surah al – Anfal : 63 )

Rukun Baiah yang ke – 9

Serendah – rendah ukhuwah ialah berlapang dada dan setinggi – tinggi ukhuwah adalah ithar


Syarat – Syarat Ukhuwah

1. Dibina berdasarkan keikhlasan kepada Allah
2. Disertai dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah
3. Melazimi diri dengan manhaj Islam
4. Mempraktikkan nasihat menasihati
5. Melaksanakan konsep tolong menolong samada susah ataupun senang.


RUJUKAN
1. Hj. Yahya Othman. ( 2006 ). AMAL JAMA’I (Pengertian dan Tuntutannya ).Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.
2. Muhammad Abdullah Al –Khatib. ( 2001 ). Penjelasan di sekitar Risalah Ta’alim. Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.
3. Hj. Nasruddin Hj. Hassan at – Tantawi. ( 2001 ). Pra Syarat kemenangan Kita. Pahang Darul Makmur. Usrah As – Syabab.
4. Dr. ‘Adil Syuwaikh. Indhibat ( Disiplin )
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.