UCAPAN PERASMIAN SOLAT HAJAT PERDANA DAN TITISAN ILMU TAHUN 6

Segala puji-pujian kepada tuhan semesta alam. Selawat dan salam untuk junjungan Rasulullah S.A.W dan para sahabat

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang amat bermakna ini, iaitu Majlis Solat Hajat Perdana dan Titisan Ilmu Untuk Pelajar Tahun 6, pada tahun ini.

2) Sempena majlis ini, saya bagi pihak Puan Guru Besar ingin menyampaikan salam takzim daripada beliau yang tidak dapat hadir bersama dalam majlis yang diberkati ini. Bagi pihak sekolah pula, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ibu bapa kerana dapat meluangkan masa untuk bersama-sama dalam Program Solat Hajat Perdana dan Titisan Ilmu kali ini. Sesungguhnya, kehadiran kita semua mencerminkan iltizam dan sikap prihatin beliau kemajuan akademik anak-anak yang kita kasihi ini..

3) Syabas dan terima kasih juga saya hulurkan kepada para ibu bapa yang sanggup berkorban serta sentiasa memberi dorongan, bimbingan dan didikan kepada anak-anak sehingga mereka menggapai kejayaan yang cemerlang dalam sesi persekolahan di sekolah ini. Tidak dilupakan kepada para pendidik yang tidak pernah jemu meneruskan perjuangan dalam membentuk generasi muda yang mempunyai pemikiran yang kreatif, kritis dan inovatif.


Hadirin dan hadirat sekalian,

4) Anak-anak adalah permata berharga anugerah ALlah. Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap generasi anak-anak kita, kerana bagi saya, anak anak ialah aset kepada pembangunan negara. Tanpa anak-anak kita yang mempunyai minda kelas pertama, segala perancangan yang tidak mungkin akan menjadi realiti. Bagi saya, keutuhan sesebuah negara bergantung kepada kecekapan pelajar-pelajar kita, yang suatu hari nanti akan menjadi barisan pemimpin negara. Oleh itu, generasi hari ini hendaklah dilengkapkan dengan bukan sahaja ilmu akademiknya yang tinggi tetapi juga tinggi dengan kebolehan, kemahiran dan kecekapan dalam pelbagai bidang dan lapangan. Imam Al Ghazali pernah menegaskan dengan katanya,”… Anak-anak bagaikan permata yang boleh dibentuk mengikut kehendak pengukirnya…”



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

5) Dalam usaha menjamin kecemerlangan pendidikan, para ibubapa sewajarnya berganding bahu bersama guru-guru mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan lagi prestasi pelajaran anak-anak kita di sekolah, kerana usaha-usaha untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi emosi, rohani, jasmani dan intelek selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara tidak akan berjaya tanpa dokongan para ibubapa.

6) Para ibubapa seharusnya lebih bermotivasi, bervisi dan berikhtiar untuk membentuk falsafah hidup yang baik kepada anak-anak mereka. Masyarakat ilmu di sekolah yang dipimpin oleh guru yang penuh berdisiplin, berdedikasi dan penyayang akan menjadi pemangkin kepada pembentukan diri dan sahsiah pelajar. Didikan terhadap murid merangkumi aspek-aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek secara menyeluruh dan bersepadu supaya murid memperoleh kesejahteraan diri dan dapat memberi sumbangan positif terhadap bangsa, agama dan negara.

7) Anak-anak kita perlu dididik sejak dari kecil lagi. Jangan sudah menjadi buluh, barulah kita ingin melenturnya. Inilah pesanan yang berharga penuh diungkapkan oleh tokoh ilmuwan Nusantara yang dikagumi iaitu Dr. Hamka yang berpesan kepada kita ibubapa dengan katanya,”…hendaklah adab sopan anak-anak dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan…”

8) Untuk mencapai matlamat ini, semua pihak yang berkepentingan dalam pendidikan di sekolah iaitu guru, ibu bapa dan masyarakat perlu bekerjasama memahami, menghayati, dan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti sekolah yang selaras dengan matlamat pendidikan negara dan juga mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah yang dihadapi secara positif kerana pendidikan adalah tanggungjawab bersama.


Hadirin sekalian,

9) Permulaan untuk mendapat hikmah dalam kehidupan ialah pada hati. Hati yang bersih dan suci membuatkan pelajar lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai rintangan hidup pada masa hadapan. Penglibatan ibu bapa dan penjaga dalam aktiviti serta kegiatan yang dianjurkan oleh sekolah juga amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Oleh itu, amat wajar semua pihak bekerjasama membina minda berasaskan kepada hati yang suci dan mulia. Dalam konteks mendidik secara positif, kreatif dan inovatif ke arah kecemerlangan perlu berasaskan kepada niat dan hati yang bersih dan mulus supaya tidak berlaku sesuatu yang negatif dan merosakkan.

10) Mendidik anak ketika kecil umpama mengukir di atas batu tetapi mendidik anak apabila dewasa umpama mengukir di atas air, yang mana kesannya tidak kelihatan. Menyedari hakikat itu, kita semua bertanggungjawab mendidik anak-anak supaya menjadi generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan mampu memberi sumbangan yang positif kepada keluarga, masyarakat, dan negara. Kementerian Pelajaran juga telah menggubal dasar, mengadakan program dan mengambil pendekatan yang wajar bagi memastikan sistem pendidikan negara relevan dengan keadaan semasa.

11) Pelaburan paling indah yang dapat kita berikan kepada anak-anak kita adalah waktu dan mutu komunikasi yang berpatutan. Kerana itulah, seorang cendekiawan, Zig Ziglar pernah berkata, “ Kehadiran dan percakapan anda dalam kehidupan anak-anak adalah lebih baik daripada seribu hadiah”. Bekerja tidak memberikan pelaburan yang kekal berbanding dengan meluangkan ,masa yang cukup untuk anak-anak dan keluarga.

12) Dalam majlis yang penuh berkat ini juga, saya menyeru semua palajar tahun 6 supaya menggunakan masa yang berbaki ini untuk kita melipatgandakan usaha-usaha terakhir kita untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam UPSR. Solat hajat, munajat, doa dan amal-amal soleh yang kita lakukan adalah pemangkin kepada kejayaan yang cemerlang. Teruskan mengulangkaji pelajar di samping menjaga hubungan kita dengan ALLah untuk kejayaan yang cemerlang.

13) Kepada ibu bapa sekalian, berilah sokongan, dokongan, belaian dan semangat kepada anak-anak kita di saat-saat akhir ini sebagai pemacu dan penguat semangat kepada anak-anak kita dalam menghadapi saat getir setelah enam tahun berpenat lelah dalam pelajaran mereka.

14) Kepada ibu bapa dan anak-anak yang dikasihi, setelah kita berusaha dan berikhtiar, kita serahkan segalanya kepada Allah. Apa sahaja yang bakal dikurniai Allah kepada kita nanti, kita sambut dengan penuh lapang dada dan redha. Itulah sifat hamba kepada Tuhannya. Jangan cepat berputus asa kerana perjalanan anak-anak dalam pelajaran masih jauh dan banyak lagi ranjau yang perlu ditempuhi.

15) Sama-sama lah kita berdoa kepada Allah agar majlis kita malam ini diberkati Allah dan diterima segala amal kita. Bagi kami para pendidik, segala ilmu yang telah kami curahkan telah kami halalkan dan menjadi harapan kami agar ianya dapat digunakan sepenuhnya oleh murid-murid semasa menjawab soalan UPSR nanti.

16) Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam menjayakan program kita pada malam ini. Jika ada sebarang kekurangan mohon dimaafkan.

Kata orang lama-lama, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Kita ambil yang jernih, namun yang keruh usah dibuang begitu sahaja, sulingkan, ia pasti akan jadi jernih jua

Sekian, terima kasih

1 ulasan:

suparjo@blogspot.com berkata...

Syeikh, patut sekali jika teks ucapan ini dibekalkan kepada ibu bapa sebelum mereka pulang ke rumah. Kira tajdid juga tu...

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.