AQIDAH DU'AT

بسم لله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه ومن تبعه باحسان الى يوم الدين , أما بعد

MUQADDIMAH

Aqidah adalah merupakan persoalan pokok bagi setiap manusia. Dalam konteks kerja yang kerdil ini kita akan membincangkan aqidah pendakwah selaku individu Muslim dan aqidah pendakwah selaku anggota Jamaah yang mempunyai pegangan tersendiri terhadap Jamaah yang didokongi. Pegangan dan keyakinan pendakwah terhadap Jamaah sudah tentu tidak terkeluar dari garis asal selaku Mukmin, maka di sini dibahagikan aqidah kepada dua skop iaitu Aqidah Islamiah selaku individu Muslim dan Aqidah Jamaiyyah selaku individu Muslim yang menganggotai Jamaah Muslimah.

PENGENALAN

Aqidah adalah perkataan yang berasal dari kalimah Arab yang diertikan dalam Bahasa Malaysia dengan makna simpulan.

Firman Allah s.w.t. :

ومن شر النفاثات فى العقد ( الفلق : 4 )

Adapun pengertian aqidah pada syara’ ialah suatu pegangan yang sebati terhadap sesuatu perkara yang berada dalam sanubari manusia dan ianya menguasai sanubari tersebut dan juga tindakannya bahkan ianya membawa kepada pengorbanan demi untuk mempertahankan aqidah tersebut[1].

AQIDAH ISLAMIAH

Pendakwah selaku Muslim yang beriman mereka mestilah berpegang kepada Aqidah Islamiah yang hakiki iaitu Aqidah yang dianuti oleh para Rasul dan menjadi dasar kepada Ubudiyyah mereka dalam mengesakan Allah Taala.

Firman Allah s.w.t. :

أمن الرسول بما أنزل اليه والمؤمنون كل أمن بالله والملآئكته وكتبه ورسله لا نفرق بين احد من رسله وقالوا سمعنا واطعنا غفرانك ربنا واليك المصير ( البقرة : 285 )

Aqidah Islamiah adalah sangat luas skop perbicaraannya, antara persoalan pokoknya ialah :

1. BERIMAN KEPADA ALLAH

Beriman kepada Allah bererti, pendakwah mestilah beriman kepada Allah dengan keimanan yang sebenar dengan segala apa yang bersangkut dengan Allah Taala sama ada zatNya, sifatNya dan nama-namaNya. Pendakwah juga mestilah menjauhkan diri dari segala bentuk penyekutuan kepada Allah sama ada dalam bentuk terang-terangan ataupun sebaliknya. Kerana syirik adalah sebesar-besar maksiat di sisi Allah.

Firman Allah s.w.t. :

ان الله لا يغفر أن يشرك به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد افترى اثما عظيما ( النساء :48 )

Keimanan ini mestilah sentiasa teguh di dalam hati pendakwah dan tidak boleh digugat oleh mana-mana anasir sekalipun.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

عن أبى عمرو وقيل أبي عمرة سفيان بن عبدالله رضى الله عنه قال : قلت يا رسول الله قل لى فى الاسلام قولا لا أسأل عنه أحدا غيرك. قال : قل آمنت بالله ثم استقم.
رواه مسلم))


PEMBAHAGIAN SYIRIK

i. Syirik yang bersangkutan dengan zat Allah dan sifatNya seperti yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasara yang menyatakan bahawa Uzair dan Al-Masih itu anak Allah.
Firman Allah s.w.t. :

وقالت اليهود عزير ابن الله وفالت النصارى المسيح ابن الله ( التوبة : 30 )

Selaku pendakwah mereka mestilah menyucikan Allah dari segala bentuk syirik dan menolak golongan syirik di sepanjang zaman. Mereka mestilah meyatakan betapa besarnya jenayah yang dilakukan oleh golongan syirik serta bebal dan hinanya mereka dan betapa tidak layaknya golongan ini dijadikan sebagai rakan dan taulan.

ii. Syirik Rububiyyah iaitu dengan menyandarkan hak penciptaan dan pentadbiran kepada yang lain dari Allah atau pun mengambil okum-hakam yang lain dari Allah.
Firman Allah s.w.t. :

اتخذوا احبارهم ورهبانهم أربابا من دون الله والمسيح ابن مريم وما أمروا الا ليعبدوا الله الها واحدا لا اله الا هو سبحانه عما يشركون ( التوبة : 31 )

iii. Syirik yang bersangkutan dengan Uluhiyyah dan Ibadah iaitu dengan menghalakan ibadah atau doa kepada yang lain dari Allah, atau meyakini adanya makhluk yang boleh mendatangkan mudarat dan manfaat selain dari Allah2.
Sabda Rasulullah s.a.w. :

واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك الا بشيء قد كتبه الله لك وان اجتمعت على أن يضروك بشيء لم يضروك ال بشيء قد كتبه الله عليك رفعت الأقلام وجفت الصحف.
(رواه الترمذى وقال حديث حسن صحيح)

2. BERIMAN KEPADA MALAIKAT
Pendakwah mestilah yakin dengan adanya makhluk yang dinamakan malaikat serta beriman dengan sifat-sifatnya dan tugas-tugas yang dilakukan olehnya.

3. BERIMAN KEPADA KITAB
Pendakwah mestilah beriman kepada semua kitab-kitab yang diturunkan secara “ijmali” dan kepada Al-Quran secara “tafsili”.

4. BERIMAN KEPADA RASUL
Pendakwah mestilah beriman kepada rasul secara “ijmali” dan “tafsili”. Seterusnya pendakwah mestilah mempercayai kebenaran mereka, kebersihan dari dosa, bijaksana dan mereka telah menyampaikan risalah Allah.

5. BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT
Pendakwah mestilah yakin kepada hari kiamat dan alamat-alamatnya. Beriman kepada hari kiamat juga meliputi beriman kepada alam barzakh, tiupan sangkakala, syurga, neraka, dan seumpamanya seperti yang dinyatakan oleh Al-Quran3.

6. BERIMAN KEPADA QADHA’ BAIK DAN BURUK
Pendakwah mestilah yakin dan redha kepada apa saja ketentuan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. sama ada ianya baik atau sebaliknya.

HASIL IMAN

Hasil daripada keimanan adalah amat banyak. Maka apabila seorang pendakwah telah mencapai keimanan yang sempurna maka terhasillah kepada keistimewaan-keistimewaan tersebut antaranya :

a.Mendapat kebajikan yang sebenar.
Firman Allah s.w.t. :

ليس البرأن تولوا وجوهكم قبل المشرق والمغرب ولكن البر من آمن بالله واليوم الآخر والملآئكة والكتاب والنبيين (البقرة : 177 )

b.Redha dengan ketetapan Allah dan Rasulullah.
Firman Allah s.w.t. :

فلا وربك لا يؤنون حتى يحكموك فيما شجر بينهم ثم لا يجدون فى أنفسهم حرجا مما قضيت ويسلموا تسليما ( النساء : 65 )


c.berjuang pada jalan Allah.
Firman Allah s.w.t

الذين آمنوا يقاتلون فى سبيل الله والذين كفروا يتاتلون فى سبيل الطاغوت فقاتلوا أولياء الشيطان ان كيد الشيطان كان ضعيفا ( النساء : 76 )


AQIDAH JAMAIYYAH

Aqidah Jamaiyyah yang dimaksudkan di sini ialah pegangan yang perlu ada bagi setiap ahli Jamaah terhadap Jamaah yang mereka dokong dan ianya tidak terkeluar dari garis keimanan kerana berjamaah itu sendiri adalah tuntutan iman. Iman seperti yang dimaklumi terbahagi kepada 70 bahagian yang utamanya ialah kalimah Syahadah dan yang terkecilnya membuang perkara yang menyakiti di tengah jalan. Dari sini dapatlah kita memahami bahawa skop iman itu terlalu luas. Apabila kita menyebut tentang aqidah dalam berjamaah, maka ianya tidak dapat tidak adanya di sana aqidah atau pun pegangan bagi setiap Jamaah bagi membezakannya dengan Jamaah yang lain. Di sana juga adanya aqidah atau pun pegangan yang khusus bagi ahli satu-satu Jamaah yang membezakannya dengan ahli jamaah-jamaah yang lain. Perlulah kita fahami bahawa di sana mestilah pendokong Jamaah Islam meyakini dengan jamaah yang mereka dokongi dan juga prinsip-prinsip yang dipegangi oleh jamaah tersebut. Di antara keyakinan yang perlu ada bagi setiap ahli Jamaah Islam terhadap Jamaah Islam ialah :

1. MENYAKINI KEBENARAN JAMAAH ISLAM

Setiap pendokong Jamaah Islam mestilah meyakini bahawa Jamaah Islam adalah satu-satunya Jamaah yang benar maka adapun Jamaah yang memusuhi Islam mereka adalah pendokong kesesatan yang mesti diselamatkan. Mereka juga mestilah meyakini bahawa berjuang dalan Jamaah islam adalah tuntutan llahi dan mendapat ganjaran di sisiNya walau sekecil mana sekalipun sumbangan yang mereka berikan, dan ianya akan dihitung oleh Allah. Adapun mengkhianati Jamaah Islam dalam apa jua bentuk sekalipun adalah maksiat. Antara dalil yang menyatakan kebenaran Jamaah Islam dan kewajipan menyertai ialah :

i. Hadith Huzaifah yang masyhur :

تلزموا جماعة المسلين وامامهم
( متفق عليه )
ii. Hadith Ibnu Abbas :

من رأى من أميره شيئا يكرهه فليصبر عليه فانه من فارق الجماعة شبرا فمات الا مات ميتة جاهلية
( متفق عليه)

2. MENYAKINI PRINSIP-PRINSIP JAMAAH

Selaku pendokong Jamaah, kita mestilah meyakini dengan prinsip Jamaah yang kita dokongi selama mana ianya tidak bercanggah dengan syara’ dan kitabullah bahkan wajib kita mematuhinya. Di sini tidak bererti berlakunya taqlid buta dan pembentukan pemikiran yang jumud bahkan kita dituntut untuk nasihat-menasihati antara satu sama lain. Di antara prinsip-prinsip ialah :

i. Syura

Syura adalah merupakan prinsip Jamaah yang perlu dipatuhi dan diyakini, maka apabila syura memutuskan satu-satu perkara yang tidak ada padanya Nas dan ianya mengikut kaedah syura yang betul maka wajiblah anggota Jamaah mematuhinya.

Firman Allah s.w.t. :

وشاورهم فى ألأمر فاذا عزمت فتوكل على الله ان الله يحب المتوكلين (آل عمران : 159 )

Selaku pendokong Jaaah mereka mestilah mematuhi serta meyakini bahawa keputuasan yang dibuat melalui syura yang betul akan mendapat pertolongan dari Allah.

ii. Ketaatan

Di antara prinsip Jamaah ialah ketaatan, maka wajib kepada anggota Jamaah memberi ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Jamaah dan pemimpin-pemimpin di dalam Jamaah bahkan ketaatan itu menggambarkan keimanan mereka kepada Allah s.w.t..

Firman Allah s.w.t. :

يآيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم فان تنازعتم فى شيء فردوه الى الله والرسول ان كنتم تؤمنون بالله واليوم الأخر ذلك خير واحسن تأويلا
(النساء ك 59 )

Saidina Abu bakar pula pernah berkata : “ Taatlah kepadaku selama mana aku taat kepada Allah dan Rasul”. Umar Al-Khattab pernah berkata “Tidak ada Islam melainkan dalam Jamaah, tiada Jamaah melainkan dengan adanya kepimpinan dan tiada kepimpinan melainkan dengan adanya ketaatan”.

iii. At-Ta’awun

Di antara prinsip Jamaah yang jelas ialah tolong-menolong, maka selaku anggota Jamaah mereka mestilah yakin dengan prinsip ini dan menjadikan ianya sebati dalam diri mereka. Mereka janganlah menjadikan diri mereka orang yang mementingkan diri sendiri dengan mengenepikan prinsip tolong-menolong. Dengan wujudnya tolong-menolong maka semakin kuatlah ukhuwwah di kalangan anggota Jamaah dan bertambahnya kekuatan Jamaah yang menggerunkan .

Fiman Allah s.w.t. :

ياايها الذين آمنوا اطيعوا الله والرسول واولى الا مر منكم (المائدة : 2 )

Apabila ahli Jamaah benar-benar meyakini dengan prinsip Jamaah maka keyakinan yang disertakan dengan kerja yang bersungguh-sungguh akan menjadikan Jamaah benar-benar berfungsi dan semakin mantap, maka janji Allah akan semakin terserlah sama ada di dunia atau pun di akhirat.

3.KEYAKINAN TERHADAP MATLAMAT JAMAAH

Pendokong Jamaah juga msetilah meyakini terhadap matlamat Jamaah Islam yang mereka dokongi kerana dengan keyakinan ini menjadikan mereka bersungguh-sungguh untuk menuju ke arah matlamat tersebut. Dengan keyakinan yang ada, kerja-kerja Jamaah bukanlah dianggap sebagai main-main dan matlamat yang hendak dituju
oleh Jamaah bukanlah khayalan dan teori semata-mata. Mereka mestilah meyakini bahawa matlamat Jamaah adalah benar dan suci dan ianya akan diredhai oleh Allah SWT.

Bolehlah kita bahagikan matlamat Jamaah kepada dua :

i. Matlamat khusus
- Mewujudkan individu Muslim dan mengembalikan keperibadian Mualim yang telah luput.
- Mewujudkan keluarga Muslim dan mengembalikan sifat-sifatnya yang sebenar.
- Melahirkan masyarakat Muslim yang akan menjadikan Islam sebagai manhaj dakwah dan cara hidup sehingga manusia dapat melihat Islam dalam gambaran yang jelas.
- Menyatukan umat Islam demi menghadapai serangan kuffardan nifaq.

ii. Matlamat umum
- Menjadikan manusia meyembah Allah Tuhan yang Esa sesuai dengan firmanNya :

وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون (الذاريات : 56 )

Mengetuai gerak kerja amar ma’ruf annahi mungkar seperti firman Allah s.w.t.

كنتم خير امة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله
(آل عمران : 110 )

- Menyampaikan Islam kepada umat manusia seluruhnya. Ini adalah tugas para Rasul dan tugas Jamaah Muslimin selaku mereka menjadi saksi kepada umat seluruhnya dan Rasul menjadi saksi ke atas mereka. Firman Allah s.w.t. :

وكذلك جعلناكم أمة وسطا لتكونوا شهداء على الناس ويكون الرسول عليكم شهيدا ( البقرة : 143 )

- Menghilangkan egala fitnah yang terdapat di muka bumi ini. Firman Allah s.w.t. :

وقاتلوهم حتى لا تكون فتنه ويكون الدين كله لله فان انتهوا فان الله بما يعملون بصير
( الأنفال : 39 )

- Pembukaan Rom. Di antara hadaf Jamaah Muslim yang mesti dilaksanakan ialah membuka kota Rom seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya :

عن أبى قبيل قال: كنا عند عبد الله بن عمرو بن العتص وسئل عن أى المدينتين تفتح أولا قسطنطنية أو رومية فدعى عبد الله بصندوق له خلق قال : فأخرج منه كتابا قال : فقال عبد الله بينما نحن حول رسول الله صلى الله عليه وسلم نكتب اذ سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم أى المدينتين تفتح أولا قسطنطنية او رومية فقا ل رسول الله صلى الله عليه وسلم مدينة هر قل تفتح اولا يعنى قسطنطنية

( أخرجه احمد والدارمي وصححه الحاكم )

- Memerangi semua manusia sehingga mereka mengucap dua kalimah syahadah . Sabda Rasulullah s.a.w. :

أمرت أن أقاتل الناسحتى يشهدوا ألا اله الا الله وأن محمدا رسول الله ويقيموا الصلاة ويؤتوا الزكاة فاذا فعلوا ذلك عصموا منى دماءهم وأموالهم الا بحق الاسلام وحسابهم على الله
( أجرجه الشيخان ) (1)


HASIL DARIPADA AQIDAH JAMAIYYAH

1. Melahirkan anggota jamaah yang benar-benar memahami tugas dan tanggungjawab mereka dan sanggup bekerja untuk jamaah dan berkorban di waktu senang ataupun sebaliknya .
2. Dapat mewujudkan sebuah jamaah yang begitu mantap dan jitu yang dapat menangani segala permasalahan dan mehnah serta tidak boleh diganggu oleh mana-mana anasir.
3. Dalam masa yang singkat tersinggkap janji Allah seperti yang dijanjikan. Firman Allah s.w.t.

وعد الله الذين آمنوا منكم وعملوا الصالحات ليستخلفنهم فى الأرض كما استخلف الذين من قبلهم وليمكنن لهم دينهم الذى ارتضى لهم وليبد لنهم من بعد خوفهم أمنا يعبدوننى لايشركون بى شيئا ومن كفر بعد ذلك فأولئك هم الفاسقون ( النور : 55 )

Jika semua ahli Jamaah meyakini dengan aqidah yang dianuti oleh Jamaah dengan sebenar-benarnya maka segalanya akan menjadi mudah dan keredhaan Allah yang dicari-cari akan terserlah dengan lebih jelas.

SYUBHAT TERHADAP AQIDAH SERTA PENAFIAANNYA

Aqidah Islam adalah merupakan aqidah yang benar lagi suci dan ianya lebih jelas dari sinar mentari, tetapi menjadi sunnah Ilahi di sana adanya golongan yang cuba mempertikaikannya. Firmam Allah s.w.t. :


يريدون ليطفئوا نور الله بأفواههم والله متم نوره ولو كره الكافرون ( الصف : 8 )


1. Syubhat terhadap Rububiyyatullah

Di sana lahirnya golongan sekular dan ideologi manusia yang lain yang menafikan hukum Allah dan kesesuaiannya di zaman ini tetapi sekarang telah jelas bahawa semua ujikaji yang dibuat oleh manusia bahawa tiada satupun peraturan yang dapat menyelamatkan manusia sama ada di dunia mahupun di akhirat melainkan hukum Allah, Cuma yang menjadi permasalahan kepada umat Islam ialah syirik ini tidak dinamakan dengan syirik tetapi dilabelkan dengan nama yang mengelirukan umat Islam.

2. Syubhat terhadap aqidah Jamaiyyah dan Amal Jamaie

Di sana terdapatnya golongan yang bukan saja menolak pegangan yang dianuti oleh sesebuah Jamaah Islam yang tidak bercanggah dengan Islam bahkan mereka menolak amal jamaie itu sendiri. Perkara ini banyak berlaku sama ada ianya secara terang-terangan ataupun tanpa disedari. Adapun yang berlaku secara terang-terangan seperti yang berlaku kepada setengah individu yang mengasingkan diri dari kelompok masyarakat ramai dan ia berpendapat bahawa Islam itu hanyalah ibadah yang fardhu saja dan untuk menegakkan kebenaran tidak perlu kepada jamaah bahkan individu mampu untuk melakukan perkara tersebut jika sekiranya semua individu mempunyai kesedaran Islam maka amal jamaie akan terlaksana dengan sendirinya.

Adapun golongan yang kedua pula, mereka ini tidak menolak kewajipan amal jamaie, tetapi dari tindakan yang mreka lakukan tanpa disedari ianya menampakkan bahawa mereka juga menolak kewajipan amal jamaie. Sebagai contohnya apabila mereka diberi tugas atau diminta bekerja dalam amal jamaie mereka menolak dan mendatangkan berbagai-bagai alasan. Inilah golongan yang mendatangkan syubhat terhadap aqidah berjamaah dan amal jamaie itu sendiri. Adapun golongan pertama lebih dikhuatiri daripada golongan kedua yang mungkin mereka akan menyedari akan kesilapan mereka apabila diberi nasihat. Untuk menjawab syubhat dari golongan ini maka ianya telah jelas kepada kita semua tentang kewajipan amal jamaie dan tuntutannya.

SOROTAN DARI GENERASI AQIDAH MITHALIYYAH

Dari batang tubuh Rasullullah SAW tergambar kepada kita seorang Rijallul Aqidah yang mana aqidahnya terpancar ke segenap anggota tubuhnya bahkan ke seluruh alam. Firman Allah s.w.t.:

لقد كان لكم فى رسول الله اسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا
( الأحزاب : 21 )

Begitu juga dengan para sahabat, aqidah yang ada dalam diri mereka menggerakkan anggota mereka menjadikan mereka generasi contoh. Kefahaman dan keimanan terhadap Jamaah yang mereka dokong menjadikan Jamaah yang mereka dokong adalah Jamaah contoh yang tidak pernah lahir Jamaah seperti itu sebelum dan sesudahnya. Mereka adalah generasi aqidah yang unik. Aqidah seperti inilah yang mesti ada bagi setiap individu pendakwah sama ada aqidah mereka selaku Mukmin mahupun yang merangkumi aqidah mereka selaku pendokong Jamaah Islam.

PENUTUP

Semoga segala yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT Jika terdapat salah dan silap harap perbetulkan.

والله أعلم ولله الحمد

15 OGOS 1993

Rujukan :

*Al-Quran
*Hadith 40 Nawawi
*Tahlil Wa Takmil Al- Iqtisad Fil I’tikqad – Dr. Qandil Mohamad Qandil
*At-Toriq ila jama’atil muslimin- Husin bin Muhsin bin Ali Jaber
*Al- Islam – Said Hawa
*Al-amal Al-Jamaie Mahasinuha Wa Jawanibul Naqsi Fihi- Dr Abdul Wahab Ad-Dailami


[1] Tahlil wa-Takmil Al-Iktisad Fil-Iktiqad, Dr. Qandil, m/s : 13
2 Tahlil wa-Takmil Al-Iktisad Fil-Iktiqad, Dr. Qandil, m/s : 13

3 Al-Islam (Said Hawa), m/s : 35-36

TADARUS AL QURAN (Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri)

Al-Quran yang merupakan kitab Allah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w menjadi kitab suci dan pedoman serta hidayat kepada umat Islam yang mengambilnya. Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, umat Islam digalakkan membaca, tadabbur, mengkaji dan mengamali al-Quran.
Hal ini dilakukan oleh Salaf As-Soleh. Ada yang khatam al-Quran sekali bagi Ramadan, ada yang dua, tiga, empat, lima, enam, 10, 15 dan 30 kali khatam al-Quran pada bulan Ramadan.
Menariknya Imam Syafie seperti yang dinukilkan mengkhatamkan 60 kali al-Quran pada bulan Ramadan. Ini semua menunjukkan betapa mereka menggunakan semaksimum mungkin masa Ramadan untuk beribadat dan beramal soleh bagi menambahkan lagi pahala mereka di sisi Allah s.w.t.
Tadarus dengan maksud membaca dan mengkaji serta mempelajari al-Quran kerana mutiara hikmahnya dan kandungannya besar kelebihannya. Dengan sebab itu bagi mereka yang melihatnya sudah pasti mendapat banyak ilmu dan makrifah yang tiada ternilai kerana ia daripada Allah yang bersifat Maha Mengetahui.
Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata:
“Ayat-ayat Allah s.w.t ada dua jenis. Pertama di sebut sebagai ayat-ayat takwiniyah, dan yang kedua disebut ayat-ayat tanziliyah.”
Pertama: ayat-ayat takwiniyah ertinya tanda-tanda kekuasaan Allah di alam ini, yang ada di dalam diri manusia, ufuk yang dihamparkan di setiap tempat untuk membawa manusia kepada-Nya dan memberikan petunjuk kepada mereka tentang keberadaan-Nya.
Sungguh aneh jika ada yang mengira jumlah tuhan atau bagaimana mungkin ada orang mengingkarinya? Dalam setiap gerakan dan dalam setiap diam Allah mempunyai saksi, dalam segala sesuatu Allah mempunyai ayat yang menunjukkan bahawa Dia adalah satu. Ayat-ayat Allah dan tanda-tanda kekuasaan-Nya bertebaran. Ibadurrahman dan orang-orang yang beriman memberikan reaksi dalam menghadapi ayat-ayat itu, seperti yang difirmankan Allah s.w.t.
Kedua: Adapun ayat-ayat tanziliyah ialah yang diturunkan kepada para rasul-Nya berupa ayat-ayat wahyu, yang disudahi Allah dengan al-Quran al-Karim. Allah s.w.t menampakkan diri kepada hamba-hamba-Nya melalui kalimat-kalimat-Nya yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk memimpin manusia kepada-Nya dan agar hati mereka terbuka.
As-Syahid Hasan Al-Banna berkata:
“Al-Quran adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu di dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah dengan cara membacanya.”
Dalam sebuah hadis Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tidak berhenti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun dijulang. Bacalah kerana Allah akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf 10 ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi Alif (satu huruf), Laam (satu huruf) dan Miim (satu huruf)”. (Riwayat al-Hakim).
Dalam wasiat Rasulullah s.aw kepada Abu Zar r.a yang bermaksud:
“Orang yang mahir dengan al-Quran akan bersama dengan malaikat yang mulia dan setia. Sementara orang yang membaca al-Quran dengan terpaksa bersusah-payah akan mendapat dua ganjaran.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah sering menggalakkan para sahabat membaca al-Quran. Baginda menentukan kedudukan seseorang berdasarkan hafalan al-Qurannya. Baginda menasihatkan orang yang tidak mampu membacanya agar mendengar dan cuba memahami supaya dia masih memperoleh keberkatan hubungan rohani bersama kitab Allah.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mendengar sepotong ayat kitab Allah akan dituliskan untuknya ganjaran yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya dia akan memperoleh cahaya di hari kiamat”.
Dalam hadis Abu Hurairah r.a katanya yang bermaksud:
“Suatu ketika Rasulullah mahu mengutuskan sekumpulan utusan yang agak ramai. Baginda telah meminta mereka membaca. Baginda meminta setiap orang membaca iaitu membaca al-Quran yang mereka hafal. Lalu baginda bertemu dengan seorang lelaki yang paling muda usianya di kalangan anggota utusan itu dan baginda bersabda: “Apakah yang ada bersamamu wahai fulan?” Jawab pemuda itu: “Saya hafal ini dan ini serta surah al-Baqarah”. Baginda bertanya: “Apakah benar anda menghafal surah al-Baqarah?” Lelaki itu menjawab: “Ya”. Baginda bersabda: “Berangkatlah dan engkau adalah ketua mereka”. (Riwayat al-Tirmizi dan katanya: Hadis ini hadis hasan)
Generasi silam yang soleh (semoga Allah meredai mereka) amat memahami kelebihan al-Quran dan kelebihan membacanya. Oleh itu mereka menjadikan al-Quran sebagai sumber undang-undang mereka, perlembagaan hukum mereka, hiasan hati mereka, wirid dalam ibadat mereka. Mereka membuka hati mereka dengan sepenuhnya untuk menerima al-Quran. Mereka meneliti al-Quran dengan sanubari mereka.
Nilai-nilai al-Quran yang mulia sebati dalam roh mereka. Oleh kerana itu Allah memberi mereka ganjaran di dunia apabila mereka menerajui kekuasaan dunia dan di akhirat pula mereka akan mendapat ganjaran yang gemilang.
Malangnya kita mengabaikan al-Quran hingga menyebabkan kita terpaksa menanggung kehinaan di dunia dan pegangan agama yang longgar.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Saya ditunjukkan ganjaran-ganjaran umat saya termasuklah habuk yang dibuang oleh seorang lelaki dari dalam masjid. Saya juga ditunjukkan dosa-dosa umat saya dan saya dapati tidak ada dosa yang lebih besar selain kerana satu surah al-Quran atau sepotong ayat yang diberikan kepada seorang lelaki lalu dia melupakannya”. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Oleh itu marilah kita membaca al-Quran dan bertadarus dengannya. Ini kerana al-Quran sebagai mukjizat yang terbesar dan paling agung bagi Muhammad s.a.w. dengan sebab itulah Muhammad Iqbal pernah berkata:
“Tidak ada satupun nasihat yang lebih berharga daripada nasihat yang disampaikan ibu kepadaku selagi aku masih kecil”. Ibuku berkata: “Hai anakku, bacalah al-Quran yang seakan-akan al-Quran itu diturunkan kepadamu”.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang- undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
TAZKIRAH DUAT
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وآصحابه ومن تبعه إلى يوم الدين أما بعد…..

PENDAHULUAN:
Kemelut yang melanda dunia dewasa ini

A. PERKARA-PERKARA YANG MESTI DIATASI DALAM AMAL JAMAI’E.

Ini adalah satu penyakit yang berlaku di kalangan anggota-anggota jamaah islam sendiri.Perkara ini tidak seharusnya berlaku kepada mereka yang menggabungkan diri dalam jamaah islam.Hasil dari sikap ini lahirlah sifat-sifat berikut:
i : Mengutamakan masalah peribadi melebihi jamaah .
ii : Hanya melakukan kerja-kerja yang boleh memberi keuntungan peribadi.
iii : Hilangnya sifat At-Ta’awun .
iv : Tidak sanggup berkorban.

2.0 Masalah pergaulan.

Fenomena ini begitu ketara sekali berlaku di kalangan anggota jamaah dan seharusnya di beri perhatian yang sungguh-sungguh untuk mengatasinya.Termasuk di dalam perkara ini ialah :
i : Kurangnya ukhuwwah di kalangan anggota jamaah.
ii : Mu’amalat yang tidak baik.

3.0 Ananiah.

Yang dikehendaki dengan ananiah di sini ialah keinginan seseorang anggota jamaah untuk menunjuk-nunjuk diri rajin bekerja apabila berada di hadapan masyarakat bertujuan untuk mengejar gelaran semata-mata dan apabila mendapat status yang baik,maka berusahalah terus untuk mengekalkan kedudukan tersebut dengan menolak setiap individu yang cuba menandingi dan menghancurkan setiap peribadi yang boleh mengancam dan merebut tempatnya.Ianya berpunca dari sifat kasihkan dunia dan akan melahirkan sifat hasad dan dengki.

4.0 Mengikut hawa nafsu,mementingkan dunia dan tertarik hanya dengan pendapat
sendiri.

Sifat-sifat ini perlu dihapuskan dari diri mereka yang berada dalam jamaah islam.Adapun cara untuk membebaskan anggota jamaah dari sifat yang disebutkan tadi,insya-allah akan kita bincangkan di halaman yang seterusnya.

5.0 Syakhsiah yang lemah.

Anggota jamaah seharusnya menyedari bahawa mereka adalah da’ie Ilallah yang menyeru masyarakat kembali kepada islam.Jadi,sebelum menerjunkan diri ke arena perjuangan,maka mereka perlulah memperbaiki diri sendiri sebelum memperbaiki diri orang lain.Akibat dari kelemahan syakhsiah ini,maka timbulnya anggota-anggota yang mempunyai sifat-sifat berikut:
i : Tidak beramal dengan apa yang diperkatakan.
ii : Tidak mempraktikkan ajaran islam dalam kehidupan seharian.
iii : Kurangnya kesedaran dan malas serta cuai dalam melaksanakan
kewajipan yang dituntut.

6.0 Tidak dapat menjadi qudwah hasanah.

Pendokong harakah perlu menjadi qudwah dan uswah kepada mad’u kerana ianya amat mempengaruhi mereka.Tanpanya akan menyebabkan mad’u menjauhi dakwah yang dibawanya dan adakalanya boleh memberi fitnah kepada harakah yang didokonginya.

7.0 Kurangnya kepatuhan kepada qiadah.

Perkara ini berlaku kerana beberapa faktor.Kadangkala ianya berpunca dari jundiyyah(ahli) ataupun mungkin juga qiadah itu sendiri.

B. CARA PENYELESAIAN

1.0 Bagi mengatasi penyakit ini,para anggota perlulah diingatkan betapa buruknya
sifat ini kepada seorang da’ie kerana diantara syarat awal kejayaan seorang da’ie itu ialah sifatnya yang suka memberi khidmat dan menolong orang lain serta bekerja untuk menyempurnakan keperluan mereka dengan mengenepikan kepentingan diri sendiri.Islam sendiri menganjurkan kepada At-Ta’awun dan menjauhi sifat-sifat yang telah di-
nyatakan.Kalau kita perhatikan kisah para sahabat,disana terdapat banyak kisah yang menggambarkan bagaimana beratnya pengorbanan yang mereka telah lakukan.Segala pengorbanan itu berbentuk tenaga,harta benda,waktu dan juga jiwa dan raga.
Para pendokong harakah mestilah menyedari bahawa mengenepikan diri sendiri,sanggup berkorban harta benda,tenaga,waktu dan jiwa adalah merupakan pendahuluan yang membantu kepada kejayaan kerja-kerja amal jamai’e.Umat islam adalah umat yang memerlukan pengorbanan yang sedemikan rupa sehingga mereka berjaya mewujudkan kerja-kerja amal jama’ie yang berupaya menghasilkan cita-citanya.

2.0 Untuk mengatasi masalah ini,maka perlulah dilakukan beberapa perkara.
Diantaranya ialah:
i : Mengadakan program ziarah yang berterusan.
ii : Menggalakkan anggota untuk membiasakan diri bagi menghadiri program-
program dan tempat-tempat umum.
iii : Perlunya tazkirah,nasihat yang berterusan dan tunjuk ajar dengan cara
yang sewajarnya.

3.0 Oleh kerana penyakit ini berhubung kait dengan permasalahan hati,maka
cara untuk mengatasinya adalah sebagaimana yang disebut oleh Hujjatul Islam Al-Imam Ghazali r.a.m dalam kitabnya Ihya Ulumiddin di dalam bab merawat penyakit hati.Ianya boleh diatasi dengan tiga perkara:
i : Guru yang mursyid.
ii : Sahabat yang sholeh.
iii : Serangan dan kritikan dari musuh.


4.0 Untuk mengatasi penyakit mengikut hawa nafsu,anggota jamaah haruslah
di bekalkan dan di ingatkan dengan firman Allah s.w.t :
"وأما من خاف مقام ربه ونهى النفس عن الهوى وإن الجنة هى المأوى"
(سورة النازعات أية40-41)
Sementara bagi mengatasi perasaan sayang dan cintakan dunia yang fana’ ini,maka para anggota jamaah perlulah diingatkan dengan hari kemudian(qiamat).
Allah s.w.t berfirman :
"وللآخرة خير لك من الأولى"
(سورة الضحى أية 4)
Manakala bagi mereka yang tertarik dengan pendapat sendiri,mereka patutlah diingatkan kepada betapa pentingnya pendapat jamaah kerana Allah s.w.t. telah berfirman :
"وأمرهم شورى بينهم"
(سورة الشورى أية 38)
Tambahan pula nabi Muhammad pernah bersabda:
"لا تجتمع أمتى على ضلالة"

5.0 Ianya dapat diatasi denga cara memperbanyakkan program-program pentarbiyyahan kepada anggota jamaah.Mengenai tarbiyyah ini,Syeikh Said Hawwa r.a.m telah menulis dalam bukunya Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah,bahawa tarbiyyah yang sebenarnya mestilah bermula dengan penanaman iman yang berasaskan aqidah yang soheh.Seterusnya beliau mencadangkan bahawa tarbiyyah itu mestilah mengambil kira perkara-perkara berikut:
i : Murabbi.
ii : Manhaj.
iii : Biah.

6.0 Sirah nabawiyyah telah menggesa proses pembentukan mestilah dilakukan melalui
qudwah kerana kesannya lebih kuat dari kata-kata.Oleh kerana itulah para anggota jamaah hendaklah sentiasa bermuhasabah mengenai perkara ini kerana kitalah golongan Azhari yang diharapkan untuk menjadi qiadah dimasa hadapan.Sesungguhnya Al-Qiadah As-Sholehah tidak mungkin wujud tanpa qudwah hasanah.Saidina Ali k.r.m menyatakan “Siapa yang melantik dirinya sebagai imam kepada orang ramai ,beliau hendaklah memulakan dengan membetulkan dirinya sebelum membetulkan orang lain.Orang yang mengajar dan membetulkan dirinya lebih utama untuk dimuliakan dari orang yang mengajar dan membetulkan orang lain”.

7.0 Jika sekiranya perkara ini melibatkan anggota jamaah,maka cara mengatasinya ialah
mengingatkannya bahawa ketaatan kepada pimpinan jamaah islam itu sendiri menggambarkan keimanan mereka kepada Allah s.w.t :
"يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم"
(سورة النساء أية 59)
Sejarah Rasulullah menunjukkan kepada kita bagaimana contoh ketaatan para sahabat kepada baginda dalam peperangan Hunain.Begitu juga dengan kisah peperangan Tabuk.
Dalam masa yang sama pimpinan juga hendaklah sentiasa muhasabah dan memperbaiki kecacatan yang ada supaya dapat menimbulkan thiqah yang tinggi di kalangan ahli.Apabila ini berlaku,maka mereka akan memberikan kepatuhan dan ketaatan yang sepenuhnya terhadap apa jua arahan yang diberikan.Ini adalah kerana kepatuhan dan ketaatan itu tidak akan wujud tanpa thiqah.

PENUTUP

Demikianlah secara ringkas yang dapat disediakan dalam waktu yang cukup terbatas ini.Di harap dapat membuat teguran jika sekiranya disana terdapat kesilapan dan kesalahan. Semoga hasil perbincangan ini dapat memberikan manfaat kepada kita dalam rangka usaha untuk membentuk para anggota yang bersifat dengan jundullah kearah melahirkan syakhsiyyah muslim yang mampu untuk menangani permasalahan ummah dan seterusnya mempertahankan syakhsiyyah ummah.




RUJUKAN:

1. Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan Syeikh Said Hawwa r.a.m.
2. Durus Fil Amal Islami Syeikh Said Hawwa r.a.m.
3. Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah Syeikh Said Hawwa r.a.m.
4. Ihya ‘Ulumiddin Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a.m.
5. Tazkirah Du’at Al-Bahi Khuli
6. Tazkirah Du’atul Islam Maulana Abu A’la Al-Maududi
7. Al-Isti’ab Fi Hayat Ad-Dakwah Wa-Da’iyyah Ustaz Fathi Yakan
8. Muslimat Pembangun UmmahAl-Fadhil Ustaz Doktor Harun Bin Taib.

PUISI " ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR "



ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR......



ANDAI KU TAHU INI BULAN RAMADAN TERAKHIR
TENTU SIANGNYA SIBUK BERZIKIR
TENTU TAK AKAN JEMU MELAGUKAN SYAIR RINDU
MENDAYU… MERAYU… KEPADANYA TUHAN YANG SATU


ANDAI KU TAHU INI RAMADAN TERAKHIR
TENTU SOLAT KU KERJAKAN DI AWAL WAKTU
SOLAT YANG DIKERJAKAN... SUNGGUH KHUSYUK
LAGI TAWADUK
TUBUH DAN QABUL , BERSATU
MEMPERHAMBAKAN DIRI
MENGHADAP RABBUL JALIL.... MENANGISI
KECURANGAN JANJI
’INNASOLATI WANUSUKI WAMAHYAYA
WAMAMATI LILLAHIRABBIL’ALAMIN ’
(SESUNGGUHNYA SOLATKU, IBADAHKU, HIDUPKU, DAN MATIKU....
KUSERAHKAN HANYA KEPADA ALLAH TUHAN SERU SEKALIAN ALAM)


ANDAI KU TAHU INI RAMADAN TERAKHIR
TIDAK AKAN KU SIAKAN WALAU YANG SESAAT YANG BERLALU
SETIAP MASA TAK AKAN DIBIARKAN BEGITU SAJA
DI SETIAP KESEMPATAN JUGA MASA YANG TERLUANG
ALUNAN AL-QURAN BAKAL KAU DENDANG... BAKAL KAU SYAIRKAN
ANDAI KU TAHU INI RAMADAN TERAHIR TENTU MALAM MU ENGKAU
SIBUKKAN DENGAN BERTARAWIH BERQIAMULLAIL, BERTAHAJUD
MENGADU... MERINTIH... MEMINTA BELAS KASIH
”SESUNGGUHNYA AKU TIDAK LAYAK UNTUK SURGAMU
TAPI KU JUGA TIDAK SANGGUP UNTUK KE NERAKAMU”


ANDAI KU TAHU INI RAMADAN TERAKHIR
TENTU DIRIKU TAK AKAN MELUPAKAN YANG TERSAYANG
MARI KITA MERIAHKAN RAMADAN
KITA BURU... KITA CARI... SUATU MALAM IDAMAN
YANG LEBIH BAIK DARI SERIBU BULAN


ANDAI KU TAHU INI RAMADAN TERAKHIR
TENTU KU BAKAL MENYEDIAKAN BATIN DAN ZAHIR
MEMPERSIAPKAN DIRI, ROHANI DAN JASMANI
MENANTI-NANTI JEMPUTAN IZRAIL
DI KIRI DAN DI KANAN LORONG-LORONG RIDHA AR-RAHMAN

DUHAI IIAHI...
ANDAI INI RAMADAN TERAKHIR BUAT KAMI
JADIKANLAH IA RAMADAN PALING BERERTI
PALING BERSERI MENERANGI KEGELAPAN HATI KAMI
MENYERU KE JALAN MENUJU RIDHA SERTA KASIH SAYANGMU
YA IIAHI
SEMOGA BAKAL MEWARNAI KEHIDUPAN KAMI DI SANA NANTI


NAMUN TEMAN...
TAK AKAN ADA MANUSIA YANG BAKAL MENGETAHUI
APAKAH RAMADAN INI YANG TERAKHIR KALI BAGI DIRINYA
YANG MAMPU BAGI SEORANG HAMBA ITU HANYALAH
BERUSAHA... BERSEDIA... MEMINTA BELASNYA


ANDAI BENAR INI RAMADAN TERAKHIR BUAT AKU
MAAFKAN SEMUA KESALAHA DAN KESILAPAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN
” MARHABAN YAA RAMADHAN”



( Sajak ini pernah keluar dalam akhbar harian )

Kenangan 2007

Alhamdulillah, pada Sabtu 8 Dis 2007 aku diberikan kesempatan untuk berada dalam Konvensyen MGI 2007. Majlis ilmu yang cukup bermakna bagiku kerana selain mendapat perkongsian ilmu dan makkumat, aku dapat berjumpa dengan dua orang sahabatku yang agak lama tidak kutemui. Cikgu Wan Abdul Rahim yang berpisah sejak 1987 dan Haji Jumiran yang tidak kutemui sejak 1991, kalau tak silapku.

Jejak ukhuwah amat terasa sejak akhir-akhir ini. Semasa PPN di USM Nibong Tebal baru ni pun, kutemui sahabat sekolej yang berpisah sejak 1987, iaitu cikgu Jamaludin. Masa di Maktab Perguruan Sri Pinang, aku terlibat dengan Persatuan Guru Pelatih Islam (PGPI) tetapi sahabat ni hanyalah menjadi ahli sahaja. Tak nampak kecenderungannya pada harakah Islam. Namun, musafirnya ke Kuala Lumpur menemukannya dengan hakikat perjuangan Islam.

Pengalaman BPPT


Seronoknya berkursus BPPT ni. Hingga tak terkira....
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.