PENDIRIAN WADAH MENGENAI ISU QAZAF... ABDUL HALIM ISMAIL


Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah mengeluarkan Pernyataan Bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengenai isu yang sama dengan tajuk Pernyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qazaf, pada 27 Mac 2011 (sila rujuk Kenyataan Media di www.wadah.org.my/).

Sebagai reaksi kepada beberapa persoalan yang berbangkit serta kekeliruan-kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat ekoran kenyataan-kenyataan beberapa orang mantan pimpinan ABIM mengenai isu tuduhan tuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim, maka WADAH ingin menegaskan kembali sikap dan pendirian yang telah diambil dengan merujuk kepada Pernyataan yang telah dibuat 27 Mac tersebut.

Pertama: Sikap dan pendirian mestilah berasaskan syari`at

“Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at? Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر).”

Kedua: Hukum qazaf (menuduh liwat dan zina) adalah berat hingga kerana itu hal-hal berkaitan dengannya diperincikan oleh syari`at.

Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.”

Ketiga: Menyebarkan tuntutan yang benar berasaskan syari`at adalah amanah dan tanggungjawab agama.

Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah.

Keempat: Menolak gejala fasik dan pertuduhan liwat dan zina terhadap DS Anwar Ibrahim.

Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf. Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara` seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan.

Kelima: Menegaskan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat berakhlak berdasarkan syari`at.

Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah).

Keenam: Menasihati mereka yang terlibat dalam membuat jenayah qadhaf supaya kembali menginsafi ketelanjuran mereka dan merujuk kembali kepada amaran Allah.

Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula) - Al-Nur:11” “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. - Al-Nur:19”.

Sehubungan dengan ini juga, WADAH ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, pandangan atau pendapat yang dikeluarkan oleh Prof Dato’ Dr Sidek Baba dan Dr Yusri Muhammad, termasuk yang berkaitan dengan isu ini, adalah tidak mewakili pandangan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Prof Dato’ Dr Sidek Baba ialah seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah memegang beberapa jawatan dalam ABIM termasuk sebagai Naib Presiden. Dr Yusri Muhammad pernah memimpin ABIM sebagai Presiden. Beliau baru melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini selaku Yang Di Pertua Yayasan Sofa, Negeri Sembilan.


Abdul Halim Ismail

Setiausaha Agung WADAH.

23 Muharram 1433

19 Disember 2011


Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/sudut-dakwah/7129-pendirian-wadah-mengenai-isu-qazaf

UCAPAN MURSYID AM DI MUKTAMAR TULLAB IKHWAN MUSLIMIN

Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, yang indah lagi diberkati. Selawat dan salam ke atas penghulu kita, ikutan kita dan pemimpin kita Muhammad s.a.w., keluarga serta sahabat-sahabat baginda semuanya.

Anak-anakku muda-mudi tercinta,

Ketahuilah bahawa kamu adalah harapan umat, lengan-lengannya yang gagah, mindanya yang cerah, masa-depannya yang gemilang, harapannya yang bersinar dan kekuatannya yang terpendam. Kamu adalah unsur kebangkitan umat, kemajuan serta kegemilangannya yang paling penting. Itulah kedudukan kamu, itulah nilai kamu. Itulah tanggungjawab kamu dan amanah kamu di hadapan Allah, di hadapan umat dan di hadapan diri kamu sendiri. Sesungguhnya kamu adalah bekalan untuk masa depan, tempat bergantungnya harapan untuk kebangkitan umat kamu.

Dan kami, ketika kami berkata demikian bukan kerana hendak mengampu atau mengambil hati kamu. Sebaliknya kami menegaskan sesuatu yang memang menjadi realiti dan mengiktiraf sesuatu yang benar. Itulah juga yang dipesan oleh kekasih kita yang terpilih, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. (maksudnya): “Hendaklah kamu saling berpesan agar memelihara para pemuda dengan baik kerana sesungguhnya mereka itu memiliki hati yang paling lembut.”

Bertitik tolak dari sini, maka terdapat beberapa perkara yang wajib ke atas kamu terhadap semua aspek yang melingkungi kamu dan yang berkaitan dengan diri kamu.

1. Kewajipan terhadap diri sendiri

Sesungguhnya kamu kini berada pada peringkat usia paling subur dan paling kuat. Maka wajib ke atas kamu memelihara kekuatan ini dan menunaikan hak-haknya. Yang aku maksudkan dengan kekuatan di sini ialah semua jenis dan semua anasirnya, iaitu kekuatan lahiriah, maknawiah, ruhiah, jasadiah dan sebagainya. Kamu kini berada pada peringkat kuat di antara dua peringkat lemah sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban…” Ar-Rum:54

Dan kamu akan ditanya pada Hari Qiamat nanti tentang peringkat ini sebagaimana ditegaskan oleh Nabi s.a.w. di dalam Hadis yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki seseorang hamba sebelum dia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, ke mana ia dihabiskan? Tentang usia mudanya, untuk apa ia digunakan?…” Lihat, meskipun muda itu sudah termasuk dalam usia keseluruhannya, namun baginda sebut secara khusus tentangnya memandangkan kepentingan usia peringkat ini.

Kita perhatikan di dalam Hadis tersebut, Nabi s.a.w. mengibaratkan usia muda itu laksana pakaian yang kita pakai untuk satu tempoh tertentu, kemudian kita menanggalkannya. Maka wajar bagi kita mengambil peluang menggunakan usia muda dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya masa muda adalah satu nikmat paling besar sepanjang usia keseluruhannya dan ia adalah salah satu nikmat yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia, kesihatan dan masa lapang.

Justeru, hendaklah kamu mempertingkatkan diri kamu dari aspek keimanan, keruhanian, ibadah, ilmu, pembelajaran, sukan dan pelbagai bidang agar kamu menjadi insan yang berguna kepada agama, tanah air, umat dan diri kamu. Sejauh mana besarnya dan beratnya tanggungjawab kamu, maka sekadar itulah persiapan yang kamu harus lakukan untuk memikul tanggugjawab itu. Setinggi mana matlamat yang hendak dicapai, setinggi itulah usaha yang mesti dicurahkan untuk merealisasikannya, dan pastinya ganjarannya juga besar dengan izin Allah.

Maka hendaklah kamu mengelokkan hubungan kamu dengan Allah sama ada ketika rahsia dan terbuka. Jangan kamu lakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan-Nya. Hendaklah kamu memohon pertolongan dan bantuan-Nya. Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Putera puteriku yang disayangi,

Jangan kamu memandang remeh terhadap diri kamu, usaha kamu dan tenaga kamu. Sikap itu tidak boleh dikira sebagai warak langsung. Sesungguhnya sungai-sungai di dalam dunia ini terbentuk daripada titisan air hujan jika air hujan itu dikumpulkan pada satu aliran dan pada waktu yang sama. Namun awas! Jangan pula kamu sombong dan terpedaya kerana sifat sombong walaupun sebesar zarah membuatkan kita haram masuk syurga. Maka hendaklah kamu yakin pada diri kamu, potensi kamu dan keupayaan kamu. Hendaklah kamu belajar dari mereka yang terdahulu daripada kamu. Sesungguhnya hikmah itu barang hilang orang mukmin. Di mana saja dia menemuinya, dialah yang paling berhak mengambilnya.

Realisasikan pada diri kamu 10 sifat individu muslim yang telah digariskan oleh Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah. Jadikan ia manhaj yang praktikal bagi kamu sedaya mampu kamu. 10 sifat itu ialah:

  1. jasad yang kuat,
  2. akhlak yang mantap,
  3. fikiran yang bermaklumat,
  4. mampu bekerja,
  5. aqidah yang sejahtera,
  6. ibadah yang sahih,
  7. bermujahadah melawan nafsu,
  8. sangat menjaga waktu,
  9. urusannya tersusun,
  10. berguna untuk orang lain.

Sifat-sifat inilah yang menjadi tonggak pembentukan sahsiah mutakamilah yang mampu memikul beban dalam perjalanan membina umat yang maju, cemerlang dan gemilang.

Jadikan diri kamu sebagai qudwah solehah bagi orang sekeliling kamu, sama ada orang yang committed dengan Islam atau tidak, bahkan bagi orang Islam dan bukan Islam. Aku mengingatkan kamu agar berlaku ihsan dalam semua bidang, dalam bidang akdemik, akhlak, kelakuan, berbakti kepada kedua ibu bapa, dakwah kepada Allah, berkhidmat kepada manusia, taat kepada Allah, cintakan tanah air, keluarga dan warganegara seluruhnya.

Jadilah kamu orang yang berinovatif dan kreatif. Keluarkan seluruh keupayaan kamu, gunakan ia untuk berkhidmat kepada tanahair kamu supaya seluruh alam berbangga dengan kamu. Hendaklah kamu jadi orang yang pakar dan mahir dalam pelbagai bidang dan pelbagai jurusan. Semua ini tidak akan terlaksana melainkan dengan ilmu, amal, sabar dan gigih.

Berhati-hatilah kamu dari penyakit hati dan hawa nafsunya. Ketahuilah bahawa orang yang mampu menguasai dirinya, maka dia akan mampu menguasai orang lain. Maka ikhlaskan diri kamu kepada Allah dan taatilah Dia. Perelokkan amal kamu, curahkan tenaga kamu, nescaya Allah redha kepada kamu, umat kamu akan maju dan terlaksanalah matlamat kamu.

Pastikan kamu bersahabat dengan orang yang baik dan orang yang dapat membantu kamu dalam mentaati Allah dan memajukan diri kamu dalam segenap lapangan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik sahabat itu ialah orang yang apabila kamu ingat kepada Allah, dia membantu kamu dan apabila kamu lupa, dia mengingatkan kamu.

Putera puteriku yang dikasihi,

Jangan kamu memandang rendah kepada diri kamu dan usia kamu. Berapa ramai sudah pemuda yang telah mengubah wajah sejarah. Di dalam sirah dan sejarah lama dan baru terdapat fakta yang menyokong kata-kataku ini. Maka jadilah kamu pemuda jenis ini, yang sirahnya ditulis dengan huruf-huruf daripada cahaya dan dengan tinta daripada emas.

Maka tanggungjawab kamu sangat besar, lebih-lebih lagi selepas revolusi Arab yang hebat. Dan para pemuda telah memainkan peranan yang sangat cemerlang dalam menjayakan revolusi tersebut. Mereka bekerjasama dengan semua golongan rakyat dan menyatukan seluruh kekuatan yang ada. Ketahuilah bahawa revolusi belum lagi berakhir sehingga terlaksana matlamat kita sepenuhnya. Inilah yang menuntut kita mencurahkan tenaga, menambahkan sumbangan lagi dan lagi sehingga revolusi ini masak ranum dan Negara kita terangkat maju ke hadapan.

2. Kewajipan terhadap kedua ibu bapa

Ingatlah Allah dan ingatlah pesanan Allah mengenai ibu bapa kamu. Mereka adalah jalan kamu menuju ke syurga. Maka berbaktilah kepada mereka, taatilah mereka, dekatkan diri dengan mereka, berusahalah untuk menunaikan hajat mereka dan berendah dirilah dengan mereka. Elakkan diri kamu dari perkara yang menimbulkan kemarahan mereka atau melanggar suruhan mereka dalam perkara yang makruf. Firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa…” Al-Isra’:23

Di dalam mentafsir firman Allah yang bermaksud “maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uff”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”, sebahagian ulamak berkata, hendaklah kamu bercakap dengan lembut, mengandungi perasaan belas kasihan, menarik hati mereka, sesuai dengan kehendak dan kecenderungan mereka sedaya mampu kamu, lebih-lebih lagi ketika mereka telah tua.

Aku suka menarik perhatian kamu kepada sabda Nabi s.a.w. yang cukup padat dan penuh hikmah (maksudnya): “Keredhaan Tuhan terletak pada keredhaan ibu bapa, dan kemurkaan Tuhan terletak pada kemurkaan ibu bapa.” Dan sabdanya (bermaksud): “Celakalah dan kecewalah!” Mereka bertanya, “Siapakah yang celaka itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Orang yang sempat bersama ibu bapa atau salah seorang daripada keduanya ketika tua, kemudian dia tidak tidak masuk syurga.” Ketahuilah bahawa datuk nenek kamu adalah akar bagi pokok keluarga, ayah dan ibu kamu adalah batangnya dan kamu adalah daun-daun, bunga-bunga dan buah-buahnya. Kalaulah tidak adanya mereka, tidak adalah kamu.

3. Kewajipan kamu terhadap tanahair

Sesungguhnya tanahair kamu sangat berhajat kepada tenaga kamu yang ikhlas untuk bangkit, lebih-lebih lagi selepas apa yang telah menimpanya selama ini. Ia telah lama diperas, dizalimi dan dirosakkan. Warganya, potensinya, kekayaannya hampir musnah kesemuanya. Maka hendaklah kamu tolong menolong dengan semua pihak, bersatu padu dengan semua golongan, bekerjasama dengan semua pertubuhan untuk membina tanahair kamu. Ruang dan peluang untuk bekerjasama amat luas demi kebaikan tanahair kita. Kita berkerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan kita menerima keuzuran dalam perkara yang kita tidak sepakati.

Hendaklah kamu gariskan matlamat kamu dengan jelas dan tepat agat tenaga kamu tidak terbuang sia-sia, kamu tidak keliru antara hadaf dengan wasilah, tidak memperbesarkan perkara kecil dan memperkecilkan perkara yang besar. Pelajarilah fiqh aulawiyyat dan beransur-ansurlah menyusun langkah. Dengan jelasnya matlamat dalam fikiran kamu, akan teranglah jalan kamu, tenaga dan kesukaran jakan kamu dapat diminimumkan, dan matlamat akan tercapai dengan lebih cepat. Utamakan aspek beramal daripada berteori supaya manusia dapat melihat daripada kamu amal yang hebat, bukan semata-mata cakap. Teladan perbuatan seorang lelaki dalam seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada seorang lelaki.

Hendaklah kamu beramal bersungguh-sungguh untuk mencari alternative yang lebih baik yang dapat membantu kamu memanfaatkan waktu kamu. Berhati-hati dengan masa lapang. Sesungguhnya masa lapang itu musuh kamu yang paling ketat. Masa lapanglah yang mendorong pemuda terjerumus ke lembah kesesatan dan keruntuhan akhlak. Kamu juga perlu mengikhlaskan niat, menggunakan semua kebolehan serta bakat dan manfaatkan setiap detik waktu. Itulah rahsia kejayaan dengan izin Allah. Hendaklah kamu menggabungkan diri dengan pusat-pusat aktiviti pemuda, kesatuan sukan, badan kerajaan, majlis tempatan, pertubuhan sukarela, pertubuhan sosial, badan kebajikan dan sebagainya. Bangunkan, kembangkan, susun program keilmuan dan kemahiran yang berguna. Ikut serta dalam pelbagai kegiatan amal sehingga mereka sedar akan nilai kamu dan risalah kamu dalam kehidupan serta sumbangan kamu yang berguna kepada tanahair kamu.

Hendaklah kamu mengambil berat tentang masyarakat kamu dan permasalahannya dan memainkan peranan yang positif dalam membantunya. Aktifkan minda kamu mencari penyelesaian masalah masyarakat. Hulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi keperluan mereka, “Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dikhususkan untuk menunaikan hajat manusia. Digemarkan mereka kepada kebaikan dan digemarkan kebaikan kepada mereka. Mereka akan mendapat keamanan pada hari manusia dalam ketakutan (Hari Qiamat).”

4. Kewajipan terhadap umat

Hendaklah kamu mengambil berat tentang umat kamu dan isu-isunya. Serapkan dalam diri kamu dan berusaha menolongnya. Jangan kamu menyisihkan diri dari permasalahannya kerana siapa yang tidak mengambil berat tentang urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka. Kamu menjauhkan diri dari permasalahan umat kamu merupakan permulaan kepada perpecahan dan pertelingkahan. Dan itu akan membawa kepada kerugian serta menunjukkan kamu tidak berintima’ kepada umat kamu, umat Arab dan umat Islam.

Putera puteriku yang dikasihi,

Sesungguhnya Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah telah menggariskan di dalam risalahnya “Ilasy-Syabab” rukun-rukun kejayaan. Dia berkata: “Sesungguhnya fikrah akan berjaya apabila keimanan kepadanya kuat, keikhlasan yang sempurna dalam merealisasikannya, semangat (hamasah) yang membuak-buak dalam memikulnya, serta wujud kesediaan untuk berkorban dan beramal demi menegakkannya.” Dari kata-kata ini kita dapati rukun kejayaan itu empat perkara: iman, ikhlas, hamasah (semangat) dan amal. Rukun-rukun ini merangkumi aspek ruh dan aqidah (iman dan ikhlas) di samping aspek amal dan pelaksaan (hamasah dan amal). Ini merupakan gabungan yang sungguh cantik, semangat (hamasah) pemuda, pengarahan yang baik, kemantapan fahaman, mendahulukan aspek aqidah daripada yang lain.

Di tempat lain beliau berkata: “Dan setiap orang yang beramal dengan benar dari kalangan kamu akan mendapati di medan Islam apa yang selari dengan kehendaknya dan memenuhi aktivismanya jika dia terdiri daripada orang yang benar.” Tabiat pemuda adalah hamasah. Jika tidak dikekang mungkin akan terlajak. Lantaran itu Imam al-Banna menasihatkan: “Kekanglah runtunan emosi dengan pandangan akal. Sinarilah pandangan akal dengan nyalaan emosi.” Maka di sini Imam al-Banna mengekang dan mengawal semangat serta menghalakannya ke jalan yang betul dan lurus, jalan iman, ikhlas dan benar.

Maka berpegang teguhlah dengan empat rukun ini. Realisasikan di dalam diri kamu dan serulah orang lain daripada kamu. Beramallah dengannya dan tukarkan ia menjadi realiti yang bergerak bersama kamu di setiap medan kehidupan kamu.

Putera puteriku yang dikasihi,

Imam al-Banna juga telah menyebut di dalam risalahnya yang ditujukan kepada kamu thawabit (perkara yang tetap) jamaah yang terpenting, iaitu:

  • rabbaniah,
  • tadarruj,
  • tarbiah,
  • syumuliah.

Maka jadikan thawabit ini sentiasa berada di hadapan mata kamu. Berpeganglah dengannya dan beramallah mengikut tuntannya. Dengan itu akan menjamin keselamatan jalan, kebenaran hadaf dan terlaksana natijah yang paling baik dengan izin Allah.

Rabbaniah bermaksud: menuju hadaf yang diletakkan Allah untuk kita, bukan hadaf yang kita letakkan untuk diri kita. Dan kita akan sampai dengan izin Allah dan pertolongan-Nya. “Dan Allah enggan kecuali Dia akan sempurnakan cahaya-Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”

Tadarruj dan tarbiah bermaksud: “Kita akan didik diri kita semoga kita menjadi individu muslim, kita akan didik rumah kita supaya menjadi rumah muslim, kita akan didik bangsa kita sehingga menjadi bangsa muslim di kalangan bangsa-bangsa yang muslim, dan kita akan tetap teruskan langkah kita sehingga sempurna semua pusingan.”

Syumul bermaksud: “Ikhwan beriman bahawa Islam itu aqidah dan ibadah, tanahair dan bangsa, akhlak dan kebendaan, ilmu dan undang-undang, toleransi dan kekuatan. Mereka yakin dan berpegang teguh bahawa Islam adalah sistem yang lengkap dan merealisasikannya pada diri dalam semua aspek kehidupan, menyusun urusan dunia sebagaimana menyusun urusan akhirat. Mereka beriktiqad Islam adalah sistem amali dan ruhi secara seiring. Maka Islam di sisi Ikhwan adalah din dan daulah, mushaf dan saif (pedang). “sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Al-Kahf:13

Dan akhirnya,

Kamu adalah harapan dengan izin Allah. Kami mengetahui bahawa pada kamu ada kebaikan yang besar. Maka rasailah sentiasa wahai pemuda realiti yang dialami umat kamu, realiti yang cukup masam, pahit, menyedihkan dan tidak ada seorangpun dari kalangan kita yang redha dengannya. Rasailah bahawa di tangan kamu dan dengan usaha kamu akan merobah keadaan umat kamu dan memenangkannya jika terlaksana pada diri kamu dan reality kamu syarat-syarat kemenangan, “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” Muhammad:7

Maka hendaklah kamu mengelokkan iman kamu dengan Allah dan ikuti sunnah Rasulullah s.a.w., amal berterusan, tajarrud sepenuhnya, curah tenaga tanpa henti, berkorban apa saja, jujur dengan Allah, dengan diri dan dengan manusia, gunakan tenaga untuk bekerja bersungguh-sungguh kerana diri kita ini jika tidak digunakan untuk perkara yang benar, dia akan sibukkan kita dengan perkara yang batil. Apabila terlaksana semua ini, akan terlaksanalah kemanangan sebagaimana yang telah dicapai sebelum ini, dan ia tidak sukar bagi Allah. “dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;” Al-Hajj:40

Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluargannya dan sahabat-sahabatnya.

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah.


Muktamar Tullab Ikhwan Muslimin pertama selepas revolusi,

Cairo, Sabtu 26 Syawal 1432H bersamaan 24 September 2011M


Sumber : http://zaadut-taqwa.blogspot.com/








 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.