KEPENTINGAN MEMBINA GENERASI PEWARIS DAKWAH DAN TARBIAH

KENAPA PENTING GENERASI PEWARIS

Jalan menuju pembebasan wilayah-wilayah Islam ialah dengan berusaha untuk mendirikan Khilafah Islamiyah yang menjadi pelindung, pembela dan pemelihara umat. Oleh itu berusaha untuk mendirikan Khilafah Islamiyah ini menjadi kewajipan bagi setiap muslim, dan tidak dapat digugurkan kewajipan ini sehingga Khilafah Islamiyah tertegak, bangunannya kuat dan mampu mengembalikan wilayah-wilayah Islam yang telah dirampas oleh musuh.

Jalan menuju Khilafah Islamiyah pula dimulai dengan membina generasi muslim.

Barisan pewaris adalah sekumpulan individu ( rijal ) yang mewarisi tugas dakwah dan pembentukan serta tugas-tugas yang ditinggal atau diamanahkan oleh Rasulullah s.a.w. Pewaris mestilah memiliki sifat-sifat tertentu. Berada di dalam golongan pewaris adalah kurniaan, pilihan dan kehendak Allah s.w.t.

Golongan yang mewarisi kerja-kerja Rasulullah s.a.w ini akan sentiasa wujud sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w (bermaksud) ;

“ Akan sentiasa ada sekumpulan dari umatku yang lahir di atas haq sehingga datang ketentuan Allah s.w.t dan mereka tetap sedemikian. “

Di Malaysia, jumlah penduduk yang boleh disenaraikan sebagai golongan muda membentuk lebih 40 peratus daripada penduduk negara. Ini merupakan satu jumlah yang besar. Sekiranya separuh daripada jumlah ini dapat berperanan sebagai golongan yang bertaraf baik, itu sudah memadai untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang cukup kuat di persada antarabangsa. Namun dengan jumlah yang ramai tetapi tanpa taraf kemuliaan yang diharapkan tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Hasan Al Banna menyatakan, "Tujuan Ikhwan adalah membentuk generasi umat Islam yang baru dengan ajaran Islam yang haq dan berusaha untuk memberikan warna (rupabentuk) bagi umat ini dengan warna (rupabentuk) Islam yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan.

TANGGUNGJAWAB MEWARISI DAKWAH

Sekiranya kita mewarisi dakwah dan pembentukan Rasulullah s.a.w, maka kita perlu berusaha mengeluarkan graduan-graduan seperti graduan-graduan yang lahir dari madrasah baginda s.a.w. Iaitu graduan-graduan yang memikul panji-panji Tauhid menjadi mahaguru dan qudwah kepada dalam sejagat. Seterusnya kita perlu mewarisi kerja-kerja mereka, membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama manusia, kepada perhambaan kepada Allah s.w.t semata-mata, meruntuhkan system jahiliyyah dan membangunkan sistem Islam dalam semua aspek kehidupan manusia. Sistem jahiliyyah (sistem yang menolak Islam yang lengkap), yang sangat pekat dan berkuasa adalah punca bagi segala penyakit yang menimpa manusia hari ini.

Seterusnya kita perlu mewarisi dan menyambung kerja-kerja yang telah diasaskan kembali oleh As Syahid Imam Hassan al Banna. Beliau adalah pengasas warisan Rasulullah s.a.w di abad 20 atau pengasas Amal Islami kurun 20. Imam Hasaan Al Banna adalah pewaris Madrasah Nabawi. Graduan dari Madrasah al Imam telah mewarisi sifat-sifat dan kerja-kerja generasi Islam awal walaupun tidak mencapai tahap 100%.

Pewaris yang yang akan kita lahirkan ialah pewaris yang mengikuti proses tarbiyyah. Juga lengkap dari segi persediaan hati, thaqafah, tanzim, jihad, haraki (organisasi) dan syaksiyyah Islamiyyah. Ringkasnya, lengkap dalam kemampuan roh, aqli dan jasmani. Pewaris seperti ini, Insya Allah mampu mewarisi dan meneruskan Islam yang suci murni.

Mengapa kita perlukan pewaris yang serba lengkap ?. Kerana, jahiliyyah kinipun berada dalam keadaan yang serba lengkap. Ia tertegak sebagai Mungkar al Akbar (Mungkar yang besar) yang menolak Uluhiyyah Allah s.w.t. Untuk menghadapi jahiliyyah sebegini, perlulah kita mempersiapkan segolongan umat atau barisan rijal harakah yang lengkap dalam semua aspek dan mampu menghadapi sebarang kemungkinan sebagaimana generasi pertama didikan Rasulullah dan generasi Ikhwan keluaran Madrasah Hassan Al Banna.

Justeru, pembinaan generasi pewaris yang akan mewarisi tanah air ini sewajarnya diberi perhatian utama dalam agenda tarbiah. Tanpa kesungguhan yang jitu maka tidak mungkin keinginan kita untuk melihat golongan pewaris yang kuat dan berkemampuan lahir untuk menghadapi cabaran hari depan. Kejayaan membina masa depan yang cemerlang lebih banyak bergantung kepada keupayaan generasi masa kini membina kecemerlangan generasi pewaris tersebut.

Langkah-langkah dan usaha pembinaan generasi pewaris ini perlulah diberi perhatian dengan lebih gigih lagi terutamanya melengkapkan mereka dengan ilmu-ilmu yang betul dan sesuai dengan perkembangan zaman. Kewujudan generasi ilmuan yang mulia dengan kekuatan daya saing yang tinggi sudah pasti akan menghasilkan kesan yang baik dalam pembentukan generasi pewaris. Iaitu generasi pewaris keilmuan yang terlatih dan terdedah kepada unsur-unsur pembinaan diri yang terarah dan turut menghayati serta memiliki jiwa Islam yang kental.

Miliki komitmen untuk memperjuangkan Islam, dan Anda akan memperoleh pahala besar di sisi Allah SWT.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ [محمد/7]

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (QS. Muhammad : 7)

ANAK-ANAK ADALAH PEWARIS DAKWAH KITA

Disamping anak-anak perlu dididik dan dibentuk menjadi anak-anak yang soleh, anak-anak juga perlu di proses dengan rapi supaya mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab dakwah dan jihad. Anak anak kita adalah pewaris perjuangan yang sedang kita laksanakan hari ini dan mereka di pertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuangn suci ini dengan lebih berkesan kerana kesedaran yang telah ada di dalam hati kita. Di atas hajat ini juga Allah menyebutkan doa nabi Zakaria :

Maksudnya:
"Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeniggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia, Ya Tuhanku seorang yang diredhai" (Surah Maryam : 5-6)

Oleh itu perlulah kita bertanya kepada diri kita sendiri adakah kita peka atau prihatin dengan tanggungjawab pendidikan anak-anak kita? Jika kita peka, adakah kepekaan ini telah membuahkan perancangan untuk melaksanakan pendidikan yang berkesan? Persiapan apakah yang telah kita buat ke atas diri kita bagi melaksanakan tuntutan yang sangat besar ini, iaitu mendidik anak-anak kita?

Kita sudahpun maklumi bahawa sistem yang berjalan, yang menguasai kehidupan kita adalah sistem bukan Islam. Sistem ini telah lama di ambil untuk menggantikan Islam sebagai sistem hidup. Sistem ini menguasai segala aspek kehidupan kita dan meninggalkan kesan yang mendalam ke atas jiwa dan syakhsiah kita. Sistem yang tiada sebarang hubungkaitnya dengan aqidah dan keimanan kita. Sistem ini terlalu asing bagi kita kerana ia tidak tumbuh seperti aqidah Islam. Oleh itu sistem pendidikan yang dibangunkan dari sistem ini sudah pasti bukan sistem pendidikan yang boleh menyampaikan kita kepada matlamat Islam. Walaupun Islam di ajarkan sebagai sebahagian dari sistem pendidikan ini tetapi untuk menghasilkan natijah yang dikehendaki oleh sistem ini bukan natijah sistem Islam. Sekiranya anak-anak kita hanya menerima pendidikan mereka dari sistem ini semata mata ataupun dilengkapi atau disempurnakan dengan ajaran-ajaran Islam sudah boleh ditentukan bahawa anak-anak ini tidak mungkin dapat menjadi muslim yag sebenarnya dan tidak akan mampu (mungkin tidak mahu) untuk memikul tanggungjawab dakwah. Banyak unsur-unsur yang terdapat di dalam sistem pendidikan sekular ini bukan sekadar tidak dapat membentuk keimanan mereka dan menyuburkannya sebaliknya unsur-unsur ini akan memudharatkan keimanan mereka, apa yang di ajar banyak menimbulkan keraguan bukannya keyakinan di dalam hati anak-anak kita yang akan menjadikan mereka muslim yang keliru ataupun yang paling baik natijahnya ialah muslim yang tidak memahami serta menghayati Islam dalam bentuknya yang asli,yang syamil dan kamil serta mutawazzin.

Melihat ketimpangan antara realiti dan cita-cita Islam ini, kita memerlukan para pemuda untuk mengubahnya. Mengapa para pemuda? Sebab pemudalah yang memiliki empat ciri yang diperlukan untuk mewujudkan itu. Empat ciri itu adalah iman, ikhlas, semangat, dan amal.

إنما تنجح الفكرة إذا قوي الإيمان بها ، وتوفر الإخلاص في سبيلها ، وازدادت الحماسة لها ، ووجد الاستعداد الذي يحمل على التضحية والعمل لتحقيقها . وتكاد تكون هذه الأركان الأربعة : الإيمان، والإخلاص ، والحماسة ، والعمل من خصائص الشباب . لان أساس الإيمان القلب الذكي ، وأساس الإخلاص الفؤاد النقي ، وأساس الحماسة الشعور القوي ، وأساس العمل العزم الفتي ، وهذه كلها لا تكون إلا للشباب

Sesungguhnya, sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang di jalannya, semakin bersemangat dalam merealisasikannya, dan kesiapan untuk beramal dan berkorban dalam mewujudkannya. Sepertinya keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat, dan amal merupakan karekter yang melekat pada diri pemuda, karena sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertaqwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora, dan dasar amal adalah kemauan yang kuat. Itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda. (Risalah Ila Syabab)

CIRI-CIRI GENERASI PEWARIS

Generasi Pewaris yang ingin kita lahirkan mestilah mempunyai kriteria berikut:

1. Memiliki pandangan luas dan jauh (ru’yatul waadhih) sehingga mampu merancang dan merangka kerja-kerja sesuai dengan keperluan jangka pendek dan jangka panjang serta mengetahui pula halangan dan cabaran yang bakal ditempuhi.

2. Memiliki aqal fikiran yang tajam dan kritis hingga dapat melihat segala permasalahan dari setiap sudut serta menentukan penyelesaian yang menyeluruh tanpa mengabaikan atau terlepas pandang segala perkara yang berkaitan.

3. Memiliki kehalusan jiwa sehingga melahirkan kepekaan terhadap tanggungjawab serta peka dengan kesan serta akibat dari setiap tindakan.

4. Memiliki himmah yang tinggi atau jiwa yang besar hingga tidak mengenal erti kelemahan jiwa dan putus asa.

5. Memiliki prinsip yang betul dan keyakinan diri untuk membuat keputusan serta mengambil tindakan dengan tepat dan bijaksana.

6. Memiliki keimanan yang mendalam sehingga mampu patuh kepada keputusan pimpinan walaupun bertentangan dengan pendapatnya sendiri.

7. Memiliki daya fokus yang tinggi hingga tidak mudah tertarik dengan tarikan duniawi dan menyimpang dari matlamat.

8. Memiliki keluasan ilmu hingga mampu membuat pertimbangan secara menyeluruh di dalam menentukan kepentingan dan keutamaan.

9. Menguasai kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip di dalam membuat keputusan yang betul dan berkesan.

10. Menguasai dan memahami pergolakan jiwa dan perasaannya hingga dapat istiqomah dengan kerja-kerja yang besar dan menuntut kesabaran serta pengorbanan yang tinggi.

Inilah sebahagian dari kriteria yang seharusnya menjadi fokus utama pelaksanaan usaha-usaha tarbiah dalam melahirkan generasi pewaris.


ASAS PEMBINAAN PEWARIS

Perlu disedari bahawa di sana terdapat satu jurang yang sangat jauh diantara memahami ilmu realiti yang ada hari ini dengan peringkat perlaksanaan tersebut. Asy-Syahid Imam Hassan Al Banna telah menggariskan bahawa keberkesanan pembinaan pewaris bergantung kepada tiga faktor iaitu :-

a) manhaj yang sahih.
b) murabbi yang berkemampuan.
c) suasana persekitaran yang soleh.

Perlaksanaan tarbiah anak-anak secara individu dirumah ataupun sebagai suatu institusi menghadapi pelbagai cabaran . Di antaranya ialah:

Masalah yang paling utama ialah masalah menyediakan satu manhaj pendidikan yang sesuai mengikut peringkat umur anak-anak dan menyediakan modul-modul pendidikan yang praktikal yang dibangunkan berasaskan sumber-sumber rujukkan yang muktabar. Walaupun pada masa ini Al- Quran masih ditangan kita ,begitu juga dengan hadis-hadis Rasullullah SAW serta kajian para ulama', kita masih perlu menyusun segala objektif ,kandungan pendidikan serta cara atau pendekatan perlaksanaanya. Objektif serta kandungan pendidikan ini bukanlah masalah yang sangat besar,tetapi saya merasakan bahawa apa yang lebih sukar ialah menyediakan modul-modul perlaksanaan pendidikan yang bersepadu terdapat di dalamnya

a)Pendidikan hati anak anak dengan hakikat Tauhid serta rukun rukun keimanan
b)Pendidikan ubudiyyah dan peribadatan
c)Pendidikan Akhlak
d)Pendidikan sirah Rasulullah
e)Pendidikan AL Quran (bukan setakat membaca, tetapi pendidikan yang membuahkan kecintaan kepada Al Quran dan meyakininya)
f)dan aspek pendidikan yang lain

Ini masih agak sukar ketika anak anak itu masih muda dan mereka mudah bosan.

Pelaksanaan pendidikan Islam juga menghadapi cabaran yang tidak kurang besar iaitu ketiadaan suasana dan contoh teladan yang boleh menyuburkan proses pendidikan tersebut. Ini adalah kerana para ibu bapa sendiri tidak pernah melalui proses pendidikan Islam yang sebenarnya dengan berkesan. Oleh itu ibubapa sewajarnya lebih serius untuk melalui tarbiyyah diri supaya pendidikan yang paling berkesan kepada anak-anak ,iaitu qudwah hasanah yang hidup dapat berjalan setiap masa dalamkehidupan anak-anak kita.

PEMUDA DAN GENERASI PEWARIS DALAM SEJARAH UMMAH

Rasulullah s.a.w. juga memperlihatkan kepentingan amalan budaya baik yang menyeluruh dan meluas di dalam masyarakat Islam ketika itu kerana taraf kebaikan tidak mengenal rupa paras, warna kulit, bangsa, umur atau keturunan. Dalam suasana demikianlah lahirnya pemuda Usamah bin Zayd yang diberi kesempatan untuk memimpin ketumbukan tentera Islam ketika usianya masih belasan tahun. Di bawah kepimpinan baginda jugalah buah pemikiran Salman al Farisi diberi ruang ketika keputusan diambil untuk membina benteng di sekeliling Kota Madinah ketika Perang Khandak, sedangkan Salman bukanlah anak watan tanah Arab melainkan beliau merupakan anak kelahiran bumi Parsi. Begitu juga kehebatan taraf iman yang dipamerkan oleh Bilal ibn. Rabah, seorang manusia berkulit hitam yang asalnya seorang hamba abdi, tetapi diangkat darjatnya sebagai sahabat kanan baginda Rasulullah s.a.w. yang dijamin syurga kerana ketinggian taraf keimanan yang dimilikinya.

Menjelang keberangkatan Rasulullah dan para sahabatnya ke medan perang Badar, datanglah seorang remaja menghadap Rasulullah SAW. Usianya masih 13 tahun. Ia datang dengan membawa sebilah pedang yang panjangnya melebihi panjang badannya. Setelah dekat kepada beliau dia berkata, “Saya bersedia mati untuk kamu, wahai Rasulullah! Izinkanlah saya pergi jihad bersama kamu, memerangi musuh-musuh Allah di bawah panji-panji kamu.”

Rasulullah gembira dan takjub dengan remaja itu. Tetapi, beliau tidak mengizinkannya untuk berperang karena usianya yang masih sangat muda. Remaja itu pun kembali, dengan kesedihan yang mendalam, niatnya untuk memperjuangkan Islam belum dapat dilaksanakan. Sementara itu, ibunya yang dari tadi melihat dari kejauhan, terlalu sedih. Sebab, puteranya belum mendapat kesempatan membela Islam.

Tapi mereka tidak menyerah. Cita-cita remaja itu tidak melemah, bahkan semakin kuat. Demikian pula ibunya menginginkan. Ibunya menghubungi kerabat-kerabatnya untuk menyampaikan tekad anaknya; menyumbang untuk Islam dalam bidang lain yang lebih besar peluangnya untuk diterima. Mereka pun menghadap Rasulullah.

"Wahai Rasulullah! Ini anak kami. Dia hafal tujuh belas surat dari kitab Al-Qur’an. Bacaannya betul, sesuai dengan yang diturunkan Allah kepada Anda. Di samping itu dia pandai pula baca tulis Arab. Tulisannya indah dan bacaannya lancar. Dia ingin berbakti kepada Anda dengan keterampilan yang ada padanya, dan ingin pula mendampingi Anda selalu. Jika Anda menghendaki, silakan mendengarkan bacaannya." Pinta salah seorang pamannya.

Selepas Rasulullah mendengar bacaannya, beliaupun menyuruh remaja itu untuk mempelajari bahasa Ibrani. Dalam waktu singkat ia berhasil, dan diangkat sebagai setiausaha Rasulullah ketika berinteraksi dengan orang-orang Yahudi. Remaja itulah yang membacakan surat Yahudi dan menuliskan surat Rasulullah untuk mereka.

Rasulullah kemudian menyuruhnya untuk belajar bahasa Suryani. Dalam waktu singkat ia berhasil, dan tugasnya bertambah. Ia pula yang menjadi sekretaris saat Rasulullah berinteraksi dengan orang-orang berbahasa Suryani.

Setelah Rasulullah benar-benar yakin dengan kompetensi dan syakhsiyah Islamiyah-nya, remaja itu pun diangkat menjadi penulis wahyu. Setiap kali ayat Al-Qur'an turun, ia segera dipanggil Rasulullah SAW untuk menulisnya dan meletakkannya dengan urutan sebagaimana yang diperintahkan Rasulullah. Remaja itu bernama Zaid bin Tsabit.

Itulah mengapa Al-Qur'an mengisahkan para pemuda yang memperjuangkan agama-Nya; diantaranya ada Ibrahim, Musa, Ashabul Kahfi. Itulah mengapa sejarah Islam juga diwarnai oleh para pemuda. Sebagian dari assaabiquunal awwalun yang ditarbiyah Rasulullah di rumah Arqam bin Abi Arqam ternyata adalah pemuda. Pendakwah yang ditugaskan Rasulullah untuk berdakwah di Madinah dan mengislamkan setiap rumah adalah Mush'ab bin Umair, seorang pemuda. Komandan perang sekaligus khalifah yang mampu menaklukkan konstantinopel ternyata juga seorang pemuda; Muhammad Al-fatih namanya.

Pemuda muslim sudah sepatutnya mencontoh pemuda muslim terdahulu, yaitu para pemuda cemerlang di zaman Rasulullah SAW maka tersebutlah nama-nama pemuda Islam yang pertama yang mendapatkan pembinaan di Daarul Arqaam rata-rata sekitar 20 tahunan. Yang paling muda adalah Ali bin Abi Thalib, waktu itu usianya masih 8 tahun hampir sama dengan Az-Zubair bin A; ‘ Awwam. Kemudian dalam pembinaan Rasul itu, masih ada Ja’far bin Abi Thalib yang saat itu usianya 18 tahun, Usman bin ‘Affan usia 20 tahun, Uma bin Khaththab sekitar 26 tahun dan Abu Bakar As-Shidiq yang sudah berusia 37 tahun saat itu. Dan masih banyak lagi para sahabat yang semuanya masih relatif muda usia.

Sedangkan generasi sesudahnya juga telah membuktikan betapa para pemuda mampu mewarnai dunia. Diantaranya khalifah Umar bin Abdul Aziz, beliau memerintah di masa usia yang masih sangat muda. Dengan kesederhanaannya namun beliau memiliki keberhasilan yang luar bisa dalam kepemimpinannya. Dimasa kepemimpinannya umat islam berada pada tingkat sangat makmur, sehingga digambarkan pada masa itu doktor susah sekali mendapatkan rakyat yang sakit karena tidak ada yang sakit, begitu pula orang kaya dermawan susah sekali untuk bersedekah karena tidak ada yang miskin.

Begitu juga, Sultan Muhammad Khan (Al-Fateh) yan berhasil menaklukan konstantinopel pada usia 23 tahun, Musailamah bin Abdul Malik mampu menaklukkan China, Muhammad bin Qasim bin Muhammad menakluk India, dan Thariq bin Ziad panglima muda yang berumur 25 tahun yang membuka penyebaran Islam ke negeri matador setelah menaklukan 1.000.000 pasukan Sepanyol pimpinan Raja Rhoderick pada tahun 92 H, Usamah bin Zaid yang masih muda belia, usianya 18 tahun saat diangkat menjadi Panglima Perang oleh Rasulullah saw untuk memimpin pasukan kaum muslimin dalam penyerbuan ke wilayah Syam yang berada di bawah kekuasaan Romawi pada waktu itu.

CONTOH TARBIAH RASULULLAH KEPADA GENERASI PEWARIS

Dari Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a : Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW (di atas binatang tunggangannya) , lalu sabda baginda : ' Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan.

Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam ( tulisan ) dan telah kering ( tinta ) buku catitan. '

(HR. Turmuzi dan dia berkata : Haditsnya hasan shahih).


PENGAJARAN:

1. Untuk Ibn Abbas, sejak kecil Rasulullah SAW telah berdoa untuknya - "Ya Allah berikanlah kepadanya pemahaman tentang din, dan ajarkanlah kepada hikmah". Apabila beliau di peringkat remaja, baginda bermusafir bersama-samanya dan terus mengambil peluang mentarbiyahnya.

2. Baginda memanfaatkan setiap detik masa, hatta sewaktu bermusafir pun baginda mentarbiyah mad'unya yang masih remaja. Baginda tidak merasa MUDAH terhadap mad'u kecil, bahkan baginda mengambil hal ehwal tarbiyahnya.

3. Baginda sentiasa bersemangat untuk mentarbiyah mad'unya, sehinggakan sewaktu penat bermusafir pun baginda tidak melepaskan peluang untuk mentarbiyah.

4. Baginda, seorang ketua negara yang agung dan manusia paling mulia, tidak merasa terhina menaiki kenderaan bersama remaja kecil. Baginda memperlihatkan contoh MU’AYASHAH dan kemesraan dengan anak remaja. Baginda tiada "generation gap" dengan orang muda.

5. Baginda mentarbiyah orang muda dengan silibus yang berpada, ringan tetapi berterusan - sepertimana kata baginda - "aku ingin mengajar kamu BEBERAPA PERKATAAN".

6. Baginda sentiasa meletakkan asas tauhid sebagai asas tarbiyah generasi muda.

7. Generasi muda yang sering gelisah dan sering dilanda pelbagai ketidaktentuan, baginda berpesan supaya bergantung dan memohon pertolongan kepada Allah.

8. Hakikatnya, baginda merencanakan tarbiyah jangka panjang untuk Ibn Abbas. Akhirnya lahirlah Ibnu Abbas tokoh, pejuang dan pewaris dakwah baginda.


PENUTUP

Seorang pemikir dari Beirut, Musthafa al Ghalayaini berkata: “Adalah terletak di tangan para pemuda kepentingan umat ini, dan terletak di tangan pemuda juga kehidupan umat ini.”

Komentar Mustahafa Kamil pemikir dari Mesir, yang perlu kita renungkan: “Pemuda yang bodoh, beku (tidak punya ruh jihad) untuk memajukan bangsa, matinya itu lebih baik daripada hidupnya.”

Imam Asy-Syafi’i mengatakan bahwa: “Sesungguhnya kehidupan pemuda itu, demi Allah hanya dengan ilmu dan taqwa (memiliki ilmu dan bertaqwa), karena apabila yang dua hal itu tidak ada, tidak dianggap hadir (dalam kehidupan).“

Sukarno pernah mengatakan “Beri aku seribu orang, dan dengan mereka aku akan menggerakkan Gunung Semeru. Beri aku sepuluh pemuda yang membara cintanya kepada Tanah Air, dan aku akan mengguncang dunia”.

~Imam As-Syahid Hassan Al Banna~

"Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda.

Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah.."

** Kertaskerja ini telah disedia dan dibentangkan oleh saya dalam satu program
tarbiah di Felda Panching Selatan pada bulan Mei 2010 yang lalu

CATATAN PENGALAMAN SEORANG GURU KAMPUNG ... HJ YUSOF IBRAHIM

Bismillah hir Rohman nir Rahim

Assalaamualaikum wr wbt

Yang di hormati saudara Pengacara Majlis

Yang berusaha Puan Pengetua SMKPT

Guru-guru Penolong Kanan

Ketua-ketua Bidang

Pengerusi PIBG SMKPT

Rakan-rakan guru dan para hadirin serta

Murid-murid yang dikasihi sekelian

Bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana hingga ke saat ini kita masih dipanjangkan usia dan dapat berkumpul di dewan mulia untuk meraikan pesaraan saya.

Sesungguhnya saya mengucapkan berbanyak terima kasih yang tidak terhingga diatas keraian yang diusaha oleh rakan-rakan guru, murid-murid dan semua hadirin sekelian. Tiada kata untuk saya nukilkan kerana sungguh hebat segala sambutan atas mustaid sudah alam perkhidmatan sebagai guru dibumi watan.

Tema ucapan saya pada hari ini ialah “SAYA DAN SMKPT”

1. Kronologi Perkhidmatan di SMKPT

  • Pertengahan tahun 1976, pihak Universiti Pertanian Malaysia (UPM) telah menghantar saya dan seorang kawan untuk berkempen memperkenalkan UPM ke sekolah-sekolah menengah di Daerah Lipis dan Jerantut. Semasa datang ke SMK Padang Tengku, Guru Besar/Pengetua SMKPT ketika itu (Tuan Haji Zakaria Derani – sepupu saya) mencadangkan agar saya dapat balik mengajar ke SMKPT. Saya menerima cadangan beliau dan seterusnya beliau membuat tindakkan susulan agar saya dapat ditempatkan ke sini apabila penempatan guru dibuat. Sebaik sampai ke rumah setelah menamatkan Latihan Mengajar di SMK Raja Chulan, Ipoh saya menerima surat penempatan ke SMKPT.
  • Saya melapor diri pada 1 Jun 1977 bersama Haji Zahari Haji Uda. Pada mula berkhidmat, saya berulang alik dari rumah ayah saya di Kampung Berang. Untuk memudahkan saya berulang alik saya membeli sebuah motorsikal Honda 70 cc. No pendaftaran CF 7229.
  • Sejak dari awal perkhidmatan sebagai PPP Kat T1 bagi pemegang Diploma Sains dengan Pendidikan, saya berhasrat untuk membuka kelas aliran Sains di SMKPT supaya anak-anak disini terdedah dan terdidik dalam bidang Sains dan Teknologi. Hasrat itu tidak kesampaian sehinggalah saya menyambung pengajian peringkat Ijazah Pertama.
  • Pada 26 Jun 1983, saya meninggalkan SMKPT untuk menyambung pelajaran di UPM. Dalam ucapan perpisahan sebelum menyambung pengajian Bacelor Sains (Kepujian) di UPM saya masih ingat lagi bahawa saya mengatakan kalau anak-anak murid tak mau belajar bersungguh-sungguh biarlah saya yang pergi belajar dahulu untuk menambah ilmu dan kemahiran. Saya juga mengharapkan akan ramai nanti anak-anak murid yang mengikut jejak langkah saya ke menara gading. Bersama saya menyambung belajar dari SMKPT tahun 1983 itu ialah En Fadil Rafar, beliau ke UKM.
  • Pada 6 Januari 1986 kembali semula ke SMKPT sebagai guru siswazah. Setelah menamatkan pengajian Ijazah selama dua tahun setengah (lima semester). Pada mulanya saya ditempatkan di SMK Keratung, Rompin tetapi dengan bantuan seorang saudara yang berkerja di JPN Pahang maka saya di tempatkan semula ke SMKPT. Saya berharap saya akan dapat menyumbang tenaga memberi khidmat bakti, sebagai guru kepada anak-anak tempatan agar mereka menjadi lebih baik daripada pencapaian saya.
  • Pada mulanya saya menyewa rumah di Kg Telemin selama setahun sebelum di pelawa oleh (Tuan Pengetua) Tuan Haji Jusoh Hassan untuk tinggal dalam kawasan sekolah bertugas sebagai warden asrama pada awal 1987. Saya menerima pelawaan itu dan tinggal di rumah guru.
  • Pada 16 April 1992 saya ditukarkan keluar dari SMKPT
    • Hasrat saya, kalau boleh biarlah saya dapat berkhidmat di SMKPT dari mula hingga bersara. (Seperti En Pang Chin Fatt). Memang sebahagian hasrat itu terkabul seperti yang para hadirin lalui pada hari ini. Walau bagaimana pun sebenarnya saya telah ditukarkan ke SMK Sulaiman, Bentong pada 16 April 1992.
    • Pertukaran itu tanpa alasan yang munasabah. Sehingga kehari ini saya masih belum berjumpa sebab-sebab dan alasan mengapa saya ditukarkan. Waktu itu SMKPT tak cukup guru Sains. Waktu itu juga SMKPT tak cukup guru Bahasa Inggeris (Isteri saya mengajar BI). Dalam keadaan tak cukup guru itu mengapakah kami suami-isteri ditukarkan?? Selepas satu tahun tujuh bulan di SMK Sulaiman, Bentung saya dan isteri dapat kembali bertugas di Daerah Lipis atas bantuan seorang guru saya iaitu Tuan Haji Yusof bin Jaafar yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang ketika itu.
    • Walau pun saya di SMK Sulaiman, di SMK Sungai Koyan atau di SMK Setia Wangsa, dari jauh saya melihat perkembangan SMKPT. Walau pun saya jauh tetapi hati saya tetap rapat dan mengikuti perkembangannya.
  • 16 Mei 2001 kembali ke SMKPT sebagai Guru Cemerlang DG 2.
    • Sejak wujudnya jawatan guru cemerlang, saya teringin memohon jawatan itu. Saya membuat permohonan yang pertama ketika di SMK Sungai Koyan. Saya tidak berjaya kerana tidak cukup persediaan.
    • Semasa menjawat jawatan Pengetua di SMK Setia Wangsa, JPN Pahang meminta saya membuat sumbangan dengan menyertai pertandingan yang di anjurkan oleh Malaysian Toray Science Faundation (MTSF). Saya menghantar satu inovasi pengajaran bertajuk “Penggunaan Peta Minda dalam P&P Rampaian Sains”. Saya memenangi anugerah inovasi. Bermodalkan Sijil kemenangan inovasi itu saya memohon guru cemerlang. Dalam perkara ini saya juga merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Haji Syed Muhammad bin Syed Agil (Pegawai PPD Lipis ketika itu) yang telah menjadi orang yang mencadangkan saya sebagai Guru Cemerlang DG 2.
    • Al hamdulillah, setelah dinilai oleh dua orang pegawai dari Jemaah Nazir Sekolah, saya dilantik sebagai Guru Cemerlang DG2 pada 16 Mei 2001. Saya ditukarkan dari SMK Orang Kaya Haji (Pengetua) kembali ke SMKPT. Yang berperanan menempatkan saya ke SMKPT ialah Dato’ Haji Abdullah bin Haji Abdul Kadir. Maka kembalilah semula saya ke SMKPT untuk kali ketiga dimana pengetua yang menerima kedatangan saya ialah sahabat lama saya Tuan Haji Kamaluddin Daud atau dikenali dengan nama En KD. Ramai orang yang tidak tahu sistem dalam Perjawatan Pendidikan mengatakan saya turun pangkat. Dari Pengetua jadi guru Biasa.
    • Apabila menjejak semula ke SMKPT saya teringat untaian kata seorang rakan yang memujuk kesedihan saya ketika saya ditukarkan ke SMK Sulaiman, Bentung. Guru muda itu mengatakan “Tak pe aji, terimalah dugaan ini dan semoga aji balik semula ke sini menjadi Pengetua”. Memang saya tidak balik ke sini menjadi pengetua tetapi saya menjawat jawatan sama taraf dengan pengetua. Guru muda itu ialah En Nik Zaidi Ismail yang kini sedang menyambung pengajian di IAB bermula hari ini. Sesungguhnya rakan sejawat boleh membantu meredekan kesedihan yang kita alami.
  • 16 Jun 2003 bertukar ke SEMESTA, Raub
    • Ada satu dasar tak ditulis wujud di Kementerian Pelajaran Malaysia berkait dengan Guru Cemerlang, di mana SBP diutamakan dalam penempatan Guru Cemerlang. Kerana dasar ini seramai 42 orang GC dari 96 orang yang dilantik tahun 2001 ditukarkan ke SBP. Saya termasuk dalam golongan itu.
    • Di SEMESTA pada mulanya saya mengajar Biologi tetapi pada tahun 2005 saya ditugaskan untuk mengajar Sains PMR. Oleh kerana saya perlu berulang alik setiap hari dari rumah di Relong ke SEMESTA sejauh 65 km sehala, maka saya telah pergi dua kali ke Putrajaya (Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran Malaysia) untuk memohon keluar dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) ke Sekolah Harian Biasa. Saya berjaya keluar dari sistem Asrama Penuh. Waktu penempatan semula ke Sekolah Menengah Harian, sahabat saya Tuan Haji Sobirin Hj Duli ketika itu menjawat jawatan Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang telah membantu menempatkan saya kembali ke SMKPT. Pada 16 Jun 2006 kembali semula ke SMKPT untuk kali yang ke empat ketika itu pengetuanya ialah Puan Hajjah Robiah Hassan (sahabat lama semasa bertugas di SMKPT dulu).

2. Keluarga dan SMKPT

  • Hadirin yang dihormati sekelian, pada tahun 1977 saya datang ke SMKPT sebagai guru bujang. Sememangnya ramai guru bujang lelaki ketika itu. Malah ada persatuan guru-guru bujang lelaki yang di Pengerusikan oleh Sahabat saya Encik Zahari Haji Uda. Guru bujang perempuan adalah seorang dua.
  • Saya berkahwin hujung tahun1979 dan isteri saya terus mengajar di SEMERAK Kuala Lipis. Setelah mendapat seorang cahaya mata, Isteri saya dapat berpindah ke SMKPT pada tahun 1981. Kami menyewa rumah di Kampung Telemin sehingga saya meninggalkan SMKPT untuk menyambung pelajaran tahun 1983.
  • Pada awal tahun 1987 barulah keluarga saya mendiami rumah guru dalam kawasan SMKPT. Saya bertugas menjadi waden asrama dan kemudiannya saya menjadi ketua warden. Sepanjang saya menghuni rumah guru dalam kawasan sekolah, tiga orang anak lahir, iaitu Nurul Izzah (1987), Nurul Aisyah (1988) dan Muhammad Ilman (1992).
  • Menjadi warden Asrama selama lima tahun (1987 – 1991). Ketika mula bertugas sebagai waden tiga fokus saya usahakan. Pertama, mengurangkan kecurian, kedua meningkatkan kerohanian dan ketiga menggalakan peningkatan akademik pembelajaran.
  • Fokus pertama dan kedua dapat dicapai dalam masa satu tahun setengah dengan saya sendiri mempastikan surau diimarahkan. Setiap lepas solat maghrib dan solat subuh saya akan menyampaikan tazkirah. Dengan cadangan dan dokongan Tuan Pengetua, Tuan Haji Jusoh Hassan kami mengadakan qiamulail, pada mulanya sebulan sekali, ketika hujung minggu sehinggalah para penghuni asrama meminta adakan qiamulail itu setiap malam cuti pertengahan minggu sekiranya ada. Sesungguhnya dengan didikan dan asuhan kerohanian yang berterusan masalah kecurian dapat diselesaikan.
  • Berikutan dengan suasana kerohanian yang ada itu peningkatan akademik penghuni asrama meningkat seperti yang ditunjukkan dalam peperiksaan SPM tahun 1989 dan 1991. Dimana tahun 1989 seramai 17 orang dari 86 calon mencapai gred 1 dan tahun 1991 seramai 23 orang dari 111 calon mencapai gred 1. Antara yang mendapat gred 1 tahun 1989 ada bersama kita di SMKPT kini iaitu Puan Zetti Akmal binti Mohd Akil (guru BI di SMKPT ini)

3. Pengetua yang memimpin di SMKPT ketika saya menjadi guru di SMKPT.

Sepanjang lebih 16 tahun dari seluruh masa perkhidmatan saya 32 tahun, saya berada di SMKPT. Jawatan pentadbiran yang saya pengang paling tinggi ialah Guru Penolong Kanan Ko Kurikulum, beberapa ketika sebelum saya ditukarkan ke SMK Sulaiman Bentung.

  • Sepanjang saya berkhidmat di sini saya sempat bernaung dibawah 10 orang Pengetua.
    • Semasa saya hanya seorang guru Diploma Sains dengan Pendidikan pengetuanya ialah, Tuan Haji Zakaria Derani, Tuan Haji Ahmad Kamal Haji Abdul Hamid dan Tuan Haji Fazillah Mohd Noor.
    • Sekembalinya saya ke SMKPT menjadi guru siswazah pengetuanya ialah Tuan Haji Jusoh Hassan dan Tuan Haji Zakaria Imam Iman.
    • Ketika mula-mula saya datang sebagai Guru Cemerlang sehinggalah saya bertukar ke SEMESTA pengetuanya hanyalah Tuan Haji Kamaluddin Daud
    • Sejak saya kembali semula ke SMKPT dari SEMESTA pengetuanya ialah Puan Hajjah Robiah Hassan, Tuan Haji Abdullah Mohd Yusof, Tuan Haji Syed Mohammad bin Syed Agil dan Puan Rozita Kamaluddin.
    • Dari semua 16 orang pengetua yang saya bernaung, 10 daripadanya adalah pengetua SMKPT.

3. Pengalaman yang digali

  • Di sini mula membina identiti sebagai guru Sains di SMK Luar Bandar serta melaksanakan hasrat yang membara sejak memulakan karrier sebagai seorang guru.
    • Berkempen memupuk bahawa Sains dan matematik adalah mudah
    • Memulakan kelas aliran Sains Tambahan 1992
    • Memulakan kelas aliran Sains Tulen 2002
  • Di sini mengenal erti kawan dan taulan. Ada yang sanggup bersengkang mata membantu kejayaan anak murid yang disayangi bersama-sama dalam satu pasukan dan ada juga yang mengamalkan sikap tonjol-tonjolan sambil menginjak rakan sejawat untuk dapat dilihat kehebatan oleh orang atasan. Sesungguhnya yang bersikap tonjol-tonjolan menginjak rakan tidak kemana kesudahan. Sengguhnya yang sentiasa berkerja sama dalam pasukan bersedia membantu rakan itulah yang terserlah kejayaan.
  • Di sini mengenal kerja-kerja pentadbiran. Masih segar dalam ingatan dimanaTuan Haji Jusoh Hassan menggunakan satu malam seminggu melatih kami menjadi pentadbir pendidikan. Apatah lagi kalau dia balik dari IAB, beliau akan mengadakan sessi penataran hal-hal pentadbiran pendidikan selepas solat isyak. Mereka yang ada masa dipelawa untuk berbincang dibilik pengetua. Melalui bimbingan yang beliau beri, saya menerima latihan dan menjana kemahiran dalam pentadbiran.
  • Di sini mengenal kaedah pengajaran. Bermula tahun 1988 ketika KBSM rancak diusahakan, saya terlibat menjadi Kakitangan Sumber Negeri. Saya terdedah dengan berbagai kaedah pengajaran dan melaksanakan semampu yang boleh serta menyebarkan kepada rakan. Sesungguhnya pengalaman itu sangat berguna sehingga saya berjaya menjadi Guru Cemerlang.
  • Di sini kerja ajar dan didik. Semasa saya muda, memang mudah menyampaikan pengajaran tetapi bila meningkat usia, penyampian pengajaran agak sukar sedikit. Maka benarlah satu kajian yang mengatakan bahawa pengajaran sangat berkesan jika beza umur antara pengajar dan yang diajar itu kecil tetapi jika beza umur itu besar pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sukar. Oleh itu bagi rakan-rakan guru yang sudah meningkat usia tua sewajarnya kita gunakan lebih banyak teknik mengajar berbentuk perbincangan sesama murid dengan kita guru menjadi fasilitator.
  • Di sini ku lihat bekas muridku menjadi guru. Sesungguhnya saya sangat gembira apabila melihat ramai mantan murid saya yang sudah menjadi guru apatah lagi menyambung legasi saya di SMKPT. Kepada mereka semua saya rakamkan tahniah dan berusahalah menjadi guru yang berjaya mendidik anak bangsa dengan cemerlang.

4. Surau Ehsan

  • Surau Ehsan mula dibina ketika saya mula mengajar sini tahun 1977. Masih jelas terbayang Tuan Haji Abdul Samad Ismail dari Kg Relong yang mengambil kontrak membina dengan biaya RM 25,000.00. Selepas surau ini boleh diguna dan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang ketika itu saya sentiasa mengambil bahagian dalam membuat acara disurau itu. Idea membina surau ini dicetuskan oleh Tuan Haji Zakaria Derani, sekembalinya beliau dari Tanah Suci Makkah. Antara yang menarik dalam membina surau ini ialah apabila seorang guru yang bukan Islam, Encik Jurnal Singh sanggup menderma RM 20.00 sebulan, selama setahun menjadi cabaran kepada guru-guru Islam. Perlu disebut juga setiausaha pembinaan surau ini ialah En Muhammad Mustafa Mohd Noor dan insan yang banyak berusaha mencari sumbangan ialah Dato Wan Abdul Rahman Wan Ibrahim yang menjadi Exco Kerajaan Negeri Pahang ketika itu. Tidak dilupakan juga derma dari para guru, kaki tangan sekolah serta ibubapa.
  • Saya masih berada di SMKPT ketika surau Ehsan diubahsuai dan diperbaiki kali pertama 1988 di bawah tadbiran Tuan Haji Jusoh Hassan. Beliau menggunakan wang lebihan makan Asrama sebanyak RM 10,000 bagai mengubah suai surau seperti membuat kolah wuduk yang baru serta memasang dinding playwood disebelah dalam.
  • Saya juga ada di SMKPT ketika surau ini di perbaiki dan perbesarkan kali kedua, semasa Tuan Haji Kamaluddin Daud. Ubah suai dan pembesaran surau menggunakan wang sumbangan dari orang ramai sebanyak RM 16,000.00, juga menggunakan tenaga dari Kor Jurutera Tentera Darat Malaysia dimana setiausahanya ialah En Baharom Aziz.

5. Suka dan duka. Melalui pengalaman bersahabat di SMKPT saya rakamkan rasa gembira kerana ada rakan guru yang pernah bersama di SMKPT yang menjadi Yang Berhormat bergelar Datok di Negeri Sembilan. Beberapa rakan guru yang diangkat menjadi Pegawai Pendidikan Daerah (PPD). Pengetua, guru cemerlang dan juga Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri.

Saya juga merasa gembira kerana ramai anak murid yang menempa nama menjadi orang penting dalam masyarakat khususnya dalam bidang perguruan menyambung titisan ilmu pengetahuan dari kami kepada generasi kemudian.

Walau bagaimana pun satu catitan duka tak mungkin saya lupakan ketika menjadi guru di SMKPT. Satu petang dua hari selepas anak kelima saya lahir, Tuan Pengetua datang kerumah saya dengan wajah yang sugul membawa berita sedih. Seorang murid yang menyertai ekspidisi ke Gunung Ledang terjatuh gaung dan meninggal dunia.

Beliau meminta saya membantunya menguruskan perkara tersebut. Kami merangcang teknik dan kaedah. Malam itu dengan menggunakan dua buah kereta kami betolak ke Tangkak, Johor. Saya dan tuan pengetua, ayah murid yang malang dan ketua kampung persik di merapoh dalam satu kereta. En Aziz Awang, En Aminuddin Bakar serta En Muhammad bin Kadir dalam sebuah kereta yang lain. Kami bertolak ke Tangkak pukul 2.00 pagi setelah membuat perancangan persediaan di Merapoh yang diketuai oleh En Mustafa Mohd Noor dan Haji Zahari Haji Uda. Kami tiba di Balai Polis Tangkak pukul 9.00 pagi.

Sesungguhnya inilah pengalaman pengurusan kritikal atau penyelesaian masalah yang diapplikasikan dalam keadaan realiti sebenar. Saya berjaya membantu ketua saya ketika dia benar-benar dalam kesukaran. Sememangnya pengalaman itu sangat berguna untuk menghadapi saat genting dan penting serta menagih ketabahan dan kecekalan.

6. Akhir kalam saya susun kata kemaafan atas beribu kesilapan yang disengaja atau tidak disengajakan. Semoga perkenalan, persahabatan terus dikekalkan. Kepada adik-adik pendidik yang ku tinggalkan, tabahlah anda sekelian kerana kerja mendidik semakin banyak cabaran. Pengalaman, ilmu dan pengetahuan yang pernah saya kongsikan saya halakan dan gunakan untuk menyambung kata Rasul menjadikannya ilmu yang dimanfaatkan.

Kepada murid yang tidak sempat saya bantu sebelum peperiksaan, saya minta maaf, tetapi kalau ada permintaan dan kelapangan masa insya Allah akan saya datang membantu di saat-saat kelemasan.

7. Terima Kasih….. Seribu kemaafan. Wabillah hi taufik wal hidayah wassalam mu alaiku wr wbt.

Haji Yusof Ibrahim (1 Julai 2009)


CATATAN : TEKS UCAPAN TUAN HAJI YUSOF IBRAHIM SEMASA MAJLIS PERSARAAN PADA 1 JULAI 2009

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.