ADAKAH WAJIB JUMAAT JIKA HARI RAYA JATUH PADA HARI JUMAAT



Setiap kali tibanya hari raya baik Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidil Adha yang jatuh pada hari Jumaat, masing-masing tertanya-tanya tentang kewajiban solat Jumaat pada hari tersebut. Kebetulan tahun 2010 ini hari raya jatuh pada hari Jumaat. Saya ingin berkongsi satu artikel yang insya-Allah memberi manfaat kepada semua. Soalan:

Sejauh mana kekal hukum pengguguran solat Jumaat apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat. Sebabnya masih ada yang keliru dan mengambil langkah memilih untuk hadir salah satu daripada solat tersebut?

Jawapan:

Dalam persoalan ini para ulama berselisih pendapat dalam menentukan kefardhuan Jumaat.

Jumhur ulama bersetuju untuk tidak menggugurkan kefardhuan Jumaat walaupun hari raya jatuh pada hari Jumaat yang telah dituntut oleh Allah SWT.

Imam Ahmad bin Hambal r.a berpendapat bahawa solat Jumaat gugur sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Ini kerana sudah ada solat yang menghimpun manusia seumpama dengan solat Jumaat dan tujuannya juga sama. Ditambah lagi, hari raya kebiasaannya orang sibuk dengan aktiviti khusus hari raya.

Imam Ahmad juga berhujah bahawa Saidina Uthman bin Affan mengizinkan penduduk kawasan tinggi di Madinah supaya tidak datang bersolat Jumaat.

Akan tetapi jumhur ulama menolak bahawa amalan seorang sahaja dari kalangan sahabat tidak boleh dijadikan hujah dalam persoalan pengguguran solat Jumaat. Hal ini juga tidak disepakati oleh jumhur ulama.



Penolakan ini dikukuhkan lagi dengan penghujahan daripada ayat al-Quran itu sendiri, dalam perintah solat Jumaat Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu’ah: 9)

Di dalam ayat kefardhuan Jumaat ini Allah SWT menyuruh dan meminta orang-orang beriman menuju ke masjid dengan kadar segera untuk menunaikan solat Jumaat seperti mana pada Jumaat-Jumaat yang lain termasuklah Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha.

Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah karya Imam Al-Dimasyqi, telah dinyatakan bahawa: “Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam asy-Shafie yang sahih, dinyatakan bahawa tuntutan solat Jumaat tidak gugur daripada penduduk kampung (pemastautin) yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi mereka yang datang dari kampung lain, tuntutan tersebut digugurkan.”

Demikianlah menurut pendapat Imam Shafie yang sahih. Sekiranya mereka telah menunaikan solat hari raya, dibenarkan bagi mereka untuk terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung mereka wajib menunaikan solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad pula tidak wajib solat Jumaat sama ada penduduk tetap ataupun tidak. Kewajipan solat Jumaat gugur setelah mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur.

Ad-Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan bahawa pendapat Imam Malik selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Dinukilkan bahawa, “Imam Malik dan Abu Hanifah bersependapat, ‘Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka mukalaf dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya’.

Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah diberikan, ternyata bahawa dalam hal ini terdapat empat pendapat:

1- Solat Jumaat tidak gugur terhadap penduduk kota (ahlul madinah) yang di tempat mereka ada dilaksanakan solat Jumaat. Bagi mereka yang datang dari kampung atau gurun, atau dari kampung yang yang terletak di kawasan yang tinggi, yang di kawasan mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, kewajipannya digugurkan.

2- Maka sekiranya mereka iaitu mereka yang datang dari kampung telah menunaikan solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Shafie. Pendapat ini juga merupakan pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.

3- Solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, sama ada penduduk kota di kawasan yang dilaksanakan solat Jumaat mahupun bagi penduduk luar. Pendapat inilah yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Maka, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur biarpun sesudah menunaikan solat hari raya.

4- Tidak wajib solat Jumaat, tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikianlah pendapat Imam Ahmad.

Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota. Bagi penduduk desa atau padang pasir (badwi) yang berkunjung ke kota untuk solat raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat.

Bagi kita rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Kebenaran yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid yang mana jikalau mereka pulang selepas sembahyang sunat hari raya nescaya mereka tidak akan sempat datang semula ke tempat Jumaat.

Di negara kita (Malaysia) keadaannya sangat berlainan. Kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid. Masjid pun sudah banyak dibina dan terletak tidak jauh mana dari rumah kita. Kita lihat tidak ada tempat yang keadaan seperti itu. Kalau adapun mungkin di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak. Di tempat lain kemudahan banyak sama ada mereka boleh kembali dengan kenderaan masing-masing dan masjid-masjid tempat dikerjakan sembahyang Jumaat adalah berdekatan dengan rumah masing-masing.

Adapun syarat boleh meninggalkan Jumaat pada masalah ini ialah:

1. Hendaklah mereka itu bersembahyang hari raya di tempat Jumaat. Jika mereka mengerjakan sembahyang hari raya di tempat yang tidak di buat Jumaat seperti surau atau lainnya maka wajib mereka datang ke tempat Jumaat untuk sembahyang Jumaat.

2. Kesukaran kembali ke tempat Jumaat sehingga jika mereka kembali dan datang semula meluputkan Jumaat. Jika mudah kembali ke tempat Jumaat, maka wajib mereka itu mengerjakan sembahyang Jumaat.

3. Mereka itu telah kembali sebelum masuk waktu Jumaat. Sekiranya mereka masih berada di kampung yang dibuat Jumaat, maka wajib mereka mengerjakan sembahyang Jumaat.

4. Hadir mereka itu ke tempat Jumaat untuk sembahyang hari raya. Jika hadir mereka ke tempat Jumaat bukan kerana sembahyang hari raya tetapi kerana membeli barang atau lainnya, maka wajib Jumaat ke atas mereka itu sekalipun mereka sudah kembali ke tempat mereka.

Wallahua’lam

Read more: http://scripters.ning.com/forum/topic/show?id=2386880%3ATopic%3A359906&xgs=1&xg_source=msg_share_topic#ixzz0zZeuXQ1a

ANTARA KEMERDEKAAN MALAYSIA DAN HARI MALAYSIA

Dalam beberapa hari lagi, negara kita bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke-53 tahun. Rupanya dah setengah abad kita menjadi bangsa yang merdeka dari penjajahan bersifat fizikal.

Laungan keramat 'Merdeka' masih dirasakan kuat terngiang-ngiang, seolah-olah ungkapan oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abd Rahman itu masih segar dan seperti baru semalam didengari.

Bertuahlah kita generasi anak merdeka yang dilahirkan di sebuah negara yang hari ini kita kenali sebagai MALAYSIA. Alhamdulillah..

Namun, apabila ditanya kepada anak-anak pelajar di sekolah hari ini waima kalangan dewasa pun masih ragu-ragu untuk membezakan antara sambutan Hari Kemerdekaan dengan sambutan Hari Malaysia.

Ini tidak sukar difahami kerana selama 51 tahun merdeka kita sering dihidangkan sambutan mega Hari Kemerdekaan di kaca televisyen pada setiap tarikh 31 Ogos pada setiap tahun, iaitu tarikh penting merdekanya Persekutuan Tanah Melayu dari penjajahan kolonial British.

Sementara sambutan Hari Malaysia pula merujuk kepada pembentukan sebuah negara yang dikenali 'Malaysia', ilham nama oleh Dato' Onn yang merujuk kepada kemerdekaan Singapura, Sabah dan Sarawak daripada British dalam gabungan dan gagasan Malaysia yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu yang lebih awal merdeka, pada tarikh 16 September 1963.

Meskipun begitu, pada Ogos 1965, Singapura telah menarik diri daripada gagasan Malaysia, lalu mengekalkan gabungan Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah dan Sarawak sebagaimana yang kita dapat lihat pada hari ini.

Sesungguhnya, kedua tarikh penting tersebut wajar diingati dan semangatnya perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat, khususnya generasi muda bagi mengukuhkan iltizam menjadi bangsa yang merdeka dalam erti kata yang lebih luas, di samping memantapkan jati diri rakyat dan integrasi nasional ke arah mencapai matlamat bersama.

Malanglah..ketika di ambang ke-53 tahun kita menyambut kemerdekaan negara, kita dilihat masih 'terpenjara' pemikiran dan tindakan, tebal sifat 'jahiliah' dan perkauman sempit, serta mudah dilayan dengan hawa nafsu kebinatangan yang menjadikan kita seperti tidak pernah diperkenalkan dengan peradaban holistik yang menuntut kita menjadi warga yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa, negara serta nilai kemanusiaan sejagat seluruhnya.

Akhir bicara, Sejarah2u mengambil peluang ini untuk merakamkan 'Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia' kepada semua warga Malaysia. Semoga sinar mentari hari esok akan lebih cerah dan ceria berbanding hari semalam untuk negara kita tercinta, Malaysia. Allahu 'alam


Sumbangan : http://sejarah2u.blogspot.com/
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.