السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Terima kasih Puan Pengacara Majlis,
Yang berusaha, Puan Hajjah Wan Norini bt Wan Hamat, GPK Pentadbiran, SMK Bukit Goh
Ustaz Mohd Anuar bin Mohd Amin, GPK HEM, SMK Bukit Goh
Encik Awang Mahadi bin Ali, GPK Kokurikulum, SMK Bukit Goh
Encik Wan Ludin bin Wan Ali, YDP PIBG, SMK Bukit Goh
Yang diraikan, Encik Mohd Azmi bin Othman, Mantan Pengetua SMK Bukit Goh
Guru-Guru, Kakitangan serta para pelajar SMK Bukit Goh yang dikasihi sekalian
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Yang Maha Berkuasa Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kuasanya, dapat kita bersama-sama lagi pada hari yang penuh bermakna ini untuk meraikan majlis perpisahan Encik Mohd Azmi bin Othman, Pengetua yang kita kasihi di majlis yang penuh bermakna pada pagi ini.
Terlebih dahulu ucapan terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana telah memberi kepercayaan kepada saya berucap mewakili rakan guru di majlis yang penuh bermakna ini. Saya bagi pihak warga pendidik sekolah ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Encik Mohd Azmi bin Othman yang sudi meluangkan masa bersama-sama kita pada pagi ini walaupun mempunyai tugasan yang sangat sibuk, yang difahamkan beliau baru sahaja balik dari China. Terima kasih juga diucapkan kepada Encik Wan Ludin bin Wan Ali yang dapat turut serta bersama kita dalam majlis yang mulia ini.
Dalam salah satu tulisan karya agung Johann Paul Friedrich Richter, iaitu seorang penulis masyhur dari Jerman ada menyatakan bahawa, ” Man feelings are always purest and most glowing in the hour of meeting and farewell ”
Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Yang pastinya setiap perpisahan pasti amat menyedihkan dan menyakitkan. Apabila mengenang kembali saat-saat ketika bersama, pasti ia akan menjadi detik kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan. Hari ini, kita semua akan merasa terharu kerana perpisahan dengan Tuan Pengetua yang kita amat sayangi dan cintai. Pada saya, Encik Mohd Azmi ini bukan sahaja pengetua, tetapi pemimpin dalam keluarga besar SMK Bukit Goh.
Masa begitu pantas berlalu. Kadang-kadang kesibukan dengan tugas seharian dan pelbagai komitmen menyebabkan kita tidak terasa dan adakalanya kita tidak perasan bahawa waktu begitu pantas meninggalkan kita. Sepantas itu jugalah tempoh perkhidmatan Encik Mohd Azmi bin Othman, sebagai pengetua di SMK Bukit Goh. Sesungguhnya, pemergian beliau memberi kesan kepada kita malah menyedihkan kita kerana terpaksa berpisah dengan beliau. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang kami rasai sekarang ini. Berat sungguh bagi kami untuk melepaskan pergi Tuan Pengetua yang kita kasihi ini.
Jasamu dikenang
Budimu tak terbilang
Semangatmu dijulang
Kepimpinanmu gemilang
Lembut, tenang dan berjiwa rakyat. Itulah butir-butir kata yang dapat digambarkan mengenai peribadi yang kita raikan pada hari ini. Encik Mohd Azmi bin Othman telah
memegang jawatan sebagai Pengetua di SMK Bukit Goh selama 4 tahun 16 hari iaitu mulai tahun 2011 hingga September 2015. Perwatakan beliau yang sentiasa tenang, memuliakan tetamu dan sentiasa tersenyum amat sesuai dengan kata orang tua-tua, “ Jika kita senyum selalu, mesti orangpun akan senyum. Jika ada orang marah, kita pun tetap senyum, akhirnya mereka pun akan senyum juga” dan inilah yang menjadi perwatakan mithali beliau sepanjang di SMK Bukit Goh.
Sepanjang tempoh perkhidmatan Tuan pengetua kita ini di SMK Bukit Goh, beliau telah banyak menyumbangkan jasa terhadap kemajuan, perkembangan dan pembangunan SMK Bukit Goh samada dari segi akademik, kokurikulum, keceriaan dan Bina Insan . Beliau bukan sahaja seorang yang berjiwa rakyat, melakukan tugas dengan hati yang tulus ikhlas, malah mementingkan kemajuan pendidikan di SMK Bukit Goh melebihi dirinya sendiri. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang berhati murni, malah pengorbanan beliau tiada tolok bandingnya. Beliau sentiasa berusaha membentuk elemen persekitaran ceria untuk membina keseronokan bekerja untuk para guru kerana ‘ happy teachers are productive teachers’ dan sebaliknya ‘productive teachers are happy teachers’. Tidak terkecuali para pelajar dengan adanya Auditorium Al Falah, Surah-surah Al Quran dan kata-kata semangat di persekitaran sekolah.
Semoga Allah mengganjari kebaikan ke atas usaha murni tersebut sebagaimana sabda Rasulullah:
من دل على خير فله مثل اجر فاعله
“ Barangsiapa menunjukkan seseorang kepada kebaikan, maka dia mendapat ganjaran Sebagaimana ganjaran orang yang melakukannya. “ (Riwayat Muslim)
Kepimpinan Encik Mohd Azmi selama memimpin dan menerajui SMK Bukit Goh telah pun membuktikan bahawa beliau adalah tokoh yang berwibawa dan kepimpinan beliau tiada tandingannya. Kami, sebagai warga SMK Bukit Goh amat berbangga sekali kerana sempat menerima pimpinan beliau. Walaupun beliau terpaksa meninggalkan kita semua, namun dengan ketokohan, kecermerlangan dan sikap dedikasi beliau telah memberikan satu suntikan semangat dan azam yang berkobar-kobar kepada seluruh warga SMK Bukit Goh dalam meneruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya
Hadirin dan Hadirat sekalian,
‘Memory is a way of holding onto the things you love, the things you are, the
things you never want to lose’.
Itulah Encik Mohd Azmi bin Othman yang kita sama-sama raikan pada pagi ini. Beliau sangat mesra dan mengambil berat tentang kebajikan semua pelajar. Sikap beliau yang berdedikasi, ‘passionate’ terhadap tugas dan tanggungjawab, berpegang teguh pada prinsip dan pada masa yang sama memiliki ‘homurous sense’. Malah juga dikenang sebagai pengetua yang begitu ‘down to earth’ dan memahami. Ketika krisis air yang melanda Felda dan Sekolah, beliau turut serta turun padang. Ketika ketiadaan elektrik di blok G dan H, beliau menyingsing lengan menangani situasi ini.
Sikap kendiri beliau yang boleh dibawa berbincang, ‘easy-going’, dan sentiasa berusaha mempermudah urusan serta tidak menyusahkan orang yang menghadapi masalah dan kesusahan adalah kualiti yang perlu dicontohi dan di teladani oleh kita semua terutamanya oleh warga SMK Bukit Goh. Sikap beliau yang boleh dibawa berbincang, 'easy going' dan tidak lokek untuk memberikan bantuan apabila diperlukan serta senantiasa berusaha mempermudahkan sesuatu urusan adalah kualiti peribadi yang perlu dicontohi dan diteladani oleh kita semua terutama warga SMK Bukit Goh.
Hadirin dan Hadirat sekalian,
Kini, SMK Bukit Goh kehilangan seorang pengetua yang berwibawa, berjasa, dan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma. Kehilangan mereka amat dirasai oleh semua kita warga SMK Bukit Goh. Bak kata pepatah Melayu, patah kan tumbuh, hilang kanberganti, namun yang hilang akan tetap kekal abadi.
Pastinya selepas ini, kita semua akan merindui gelak tawa dan senyuman Encik Mohd Azmi. Dengan hati yang berat, perpisahan dengan tuan pengetua yang kita kasihi ini, kami relakan jua dan Insya Allah, persahabatan kita tidak akan terhenti di sini dan akan terus berpanjangan. “Memories last forever, never do they die. Friends stay together, never say goodbye”.. Semoga persahabatan ini menjadikan kita golongan yang diberi perlindungan arasy Allah pada hari yang tiada perlindungan melainkan Allah.
ورجلان تحابا فى الله اجتمعا وتفرقا عليه
“Dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu mereka kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah “ (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada kesempatan ini, saya bagi pihak guru-guru SMK Bukit Goh merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Encik Mohd Azmi bin Othman di atas sumbangan dan komitmen beliau sepanjang tempoh perkhidmatan di SMK Bukit Goh. Kita berdoa, semoga Allah S.W.T akan melimpahkan rahmat dan peliharaan-Nya kepada Encik Mohd Azmi bin Othman, dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan dan ditambahkan ilmu pengetahuan bagi manfaat agama, bangsa dan negara
Sudah teradat si anak lelaki
Mati berjuang, berundur jangan
Berani kami menjunjung adat
Bukan memberi kata dan puji
Hanya budi dalam ingatan
Buat kenangan sepanjang hayat
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya mengungkapkan beberapa rangkap pantun khusus untuk Tuan Pengetua yang kita kasihi, Encik Mohd Azmi bin Othman
Raut wajah damai dan tenang,
Tiada terkalam kasih dijunjung,
Jasa baktimu tetap dikenang,
Budi baikmu tetap disanjung.
Asap api embun berderai,
Patah galah haluan perahu;
Niat hati tak mahu bercerai,
Kehendak Allah siapa tahu
Salam kemaafan kami hulurkan,
Semoga kemesraan terus berpanjangan;
Ilmu diberi harap halalkan,
Semoga perjuangan mendapat keberkatan.
As One Chapter Ends
Another Begins For You
Enjoy All The Things
You've Been Looking Forward To
Kami ucapkan selamat maju jaya kepada Encik Mohd Azmi bin Othman.
Sekian, Terima Kasih.
Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.
ALWI MUDA
SMK BUKIT GOH
26050 KUANTAN
(Dibaca pada Majlis Perpisahan Tuan Pengetua, 7 OKTOBER 2015)