FATWA ZAKAT MINYAK DARI AL AZHAR

Fatwa Zakat Minyak Dari Al-Azhar

KAHERAH - Universiti Al-Azhar di Mesir mengeluarkan fatwa bahawa sebahagian pendapatan sumber minyak dan gas negara berkenaan perlu diberikan kepada penduduk miskin yang terjejas akibat kenaikan harga makanan.

Pusat Penyelidikan Islam di universiti itu mengeluarkan fatwa bahawa adalah tugas suci untuk mengeluarkan zakat sebanyak 20 peratus daripada keuntungan minyak, gas dan mineral.

"Fatwa itu berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w yang menyatakan bahawa zakat juga wajib terhadap semua besi dan mineral tidak kira dalam bentuk pepejal atau cecair," kata seorang pensyarah universiti itu. - AFP

ULASAN UZAR

Badan Penyelidikan Universiti Al-Azhar yang diketuai oleh Prof. Dr Raf'at Othman dan selaku Prof Shariah di Universiti Al-Azhar telah mengeluarkan fatwa bahawa sesebuah negara WAJIB mengeluarkan zakat minyak dan semua hasil minyaknya sebanyak 20% berdasarkan hadis Nabi s.a.w.

Keputusan itu juga mengambil kira pendapat yang bercanggah dengannya. ( rujukan )

Ringkasannya, hukum zakat ke atas minyak ini ada dua situasi. Pertama jika minyak itu dimiliki oleh individu, dan kedua jika minyak itu dimiliki negara. Ia adalah seperti berikut :-

a) Zakat atas minyak yang DIMILIKI oleh individu :

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradawi, tiada khilaf (perbezaan pendapat ulama) bahawa zakat diwajibkan ke atas minyak yang dimiliki oleh individu untuk perniagaan. Namun mereka berbeza pendapat samada dikenakan 2.5% atau 20%.

Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan Abu Ubaid dan lain-lain ulama telah berfatwa, oleh kerana minyak adalah tergolong dalam barang galian iaitu RIKAZ atau harta galian tersimpan, maka berdasarkan kepada hadis, zakatnya adalah 1/5 dari hasil, ini beerti 20%. Ini juga merupakan pendapat Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Ini berdasarkan hadis nabis s.a.w :

في الركاز الخمس

Ertinya : Zakat bagi harta galian tersimpan adalah 1/5 (20%) ( Muttafaq ‘alaih)

Mazhab Syafie dan Malik pula berfatwa tiada zakat bagi minyak, hanya emas dan perak sahaja.

b) Zakat ke atas minyak yang DIMILIKI oleh Negara


Hasil minyak yang dimiliki oleh Negara, masih terdapat perbezaaan pendapat ulama samada perlu dizakat atau tidak.

Dr Yusuf Al-Qaradawi menghuraikan bahawa terdapat beberapa ahli ekonomi Islam seperti Dr. Shawqi Isma`il Shehatah dan Dr. Mohammad Shawqi Al-Fangari yang membangkitkan isu ini semasa Persidangan Pertama Berkaitan Ekonomi Islam pada 1976 di Mekah. Kedua-dua ahli ekonomi ini berpendapat perlunya Negara mengeluarkan zakat atas hasil minyak dan mineral yang dimiliknya.

Namun al-Qaradawi menolak pendapat ini, dan beliau menyatakan telah adanya persepakatan antara ulama bahawa TIADA ZAKAT ke atas minyak yang dimiliki oleh Negara atas sebab berikut :-

1) Zakat adalah wajib dan tanggungan individu yang memiliki sesuatu kekayaan. Merekalah yang bertanggungjawab di hadapan Allah. Adapun Negara bukan miliki individu, begitu juga organisasi.

Allah Berfirman

خذ من أموالهم صدقة

'Take alms of their wealth, wherewith you may purify them' (At-Tawbah: 103).

The Prophet (peace and blessings be upon him) also said:

أدوا زكاة أموالكم

Ertinya : Dan keluarkan zakat dari harta kamu "

Kedua-dua dalil ini menunjukkan tanggungjawab zakat ke atas individu dan organisasi sepertimana negara. Pemimpin negara tidak memiliki harta negara, harta negara adalah hak semua dan hanya ditadbir oleh pemimpin.

2) Berkaitan individu yang diperlukan membayar zakat ; dalam Islam pembayar zakat hanya perlu membayar sejumlah wang untuk dimanfaatkan oleh penerima yang layak, mankaala baki wangnya yang lain adalah khas untuk kegunaannya sendiri. Namun dalam hal harta Negara ia SEPATUTNYA sentiasa dimanfaatkan oleh orang ramai setiap sennya. Jika kita katakan perlunya zakat 20% untuk ummah, adakah ini bermakna baki 80% boleh digunakan oleh pemimpin untuk diri mereka sendiri. ? Ini tidak benar sama sekali.

Allah berfirman :

مَّا أَفَاء اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاء مِنكُمْ

Ertinya : Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu (Al-Hashr: 7)

3) Jika Negara dikehendaki membayar zakat, maka siapakah yang akan menjadi pemungut zakat tersebut?. Sudah tentu negara juga, justeru bagaimana pula pembayar membayar kepada diri sendiri dalam waktu yang sama.

Al-Qaradawi juga menegaskan bahawa beliau faham yang ahli-ahli ekonomi Islam tersebut mungkin memberikan pendapat itu kerana merasa tertekan dengan keadaan negara-negara umat Islam yang banyak hasil minyaknya namun masih terlalu ramai faqir miskin di pelbagai negara Islam yang lain, seolah-olah hasil kekayaan ini tidak sampai kepada si faqir dan miskin.

Namun setelah perbincangan yang panjang Al-Qaradawi merasakan pendapat mewajibkan zakat dari negara Islam kaya dan zakat itu diberikan kepada negara Islam miskin adalah bukan cara yang praktikal. Malah tiada jaminan sama sekali wang zakat itu akan disampai kepada si faqir miskin tadi.

Benar ia adalah TIDAK HALAL SAMA SEKALI diwaktu negara Islam yang kaya dengan hasil minyak bermewah dengan hasilnya, pada masa yang sama negara umat Islam yang miskin menderita kemiskinan dan penyakit.

Nabi s.a.w bersabda :

ما آمن بي من بات شبعان وجاره جائع إلى جنبه وهو يعلم به

Ertinya : Tidak sempurna iman seseorang denganku (nabi s.a.w), mereka yang tidur kekenyangan sedangkan jirannya sedang berlapar (kerana kemiskinan) dan ia mengetahuinya" ( Riwayat Al-Bazzar dan At-Tabarani ; As-Sayuti : Hadis Hasan)

PENYEBAB SEMAKAN KEMBALI FATWA

Namun persoalan yang tidak kurang penting adalah bukan isu wang zakat minyak untuk diagihkan kepada negara Islam lain, tetapi lebih DIBIMBANGI ia tidak sampai langsung kepada rakyat negara itu sendiri.

Zakat minyak Petronas?

Ia hanya jatuh kepada poket individu tertentu dari kalangan pemimpin. Inilah yang merisaukan sehingga terdapat ulama yang mula memikirkan fatwa berbeza. Ia bagi memastikan hasil minyak negara MAMPU sampai kepada rakyat yang betul.

Pun begitu, bagi saya ia masih belum mampu menjamin apa-apa sekiranya individu yang mengendalikan wang zakat dan pembehagiannya juga jenis TIDAK TAKUT ALLAH dan hanya memikirkan perut dan nafsu mereka. Tidak mampu dinafikan tidak sedikit individu yang sebegini.

Lihatlah betapa gagalnya sebuah negara jika mereka gagal mendidik kualiti diri individu dengan Islam. Sebaik manapun pemimpin, jika menteri-menterinya, pegawai-pegawainya korup dan berhati rakus harta. Semua perancangan baik pemimpin yang baik akan menjadi hancur berkecai. Keadaan akan menjadi semakin dahsyat JIKA PEMIMPIN itu sendiri berhati rakus. Maka pemipin yang baik mestilah memberi tumpuan utama kepada pentarbiyahan KAKITANGAN mereka terlebih dahulu bagi melaksanakan kebaikan menyeluruh.

Kerana itu, walaupun sebuah negara itu punyai banyak hasil mahsul dan pendapatannya, ia pasti gagal dimanfaatkan oleh rakyatnya, tidak kirlah sebanyak manapun bangunan tinggi yang dibina dengan megahnya. Namun rakyat masih menderita.

Negara hanya akan berjaya jika pemimpin berjaya membina bangunan iman dan taqwa yang tinggi dalam jiwa kakitangan dan rakyatnya. Inilah tugas yang paling rumit dan sukar. Inilah kejayaan baginda nabi s.a.w. Tatkala itu, tanpa bangunan tinggi, litar Formula 1, lapangan terbang terbesar, jambatan terpanjang dan mercutanda hebat, rakyat dalam negara akan merasai kemajuan yang tiada tolok bandingnya (walaupun tanpa bangunan tinggi).

KESIMPULAN

Menurut hukum Islam yang asal, hasil mahsul minyak dan mineral lain mestilah dalam kawalan dan perancangan bijak pemimpin sesebuah negara. Pemimpin bukanlah bermaksud untuk kegunaan peribadi dan kroni-kroni tetapi adalah untuk kegunaan rakyat. (Al-Ijtihad in Shari`ah, Al-Qaradawi, cet Dar Al-Qalam, Kuwait)

Namun begitu diakibatkan oleh gejala tidak sihat di kalangan pemimpin yang tidak amanah sehingga hasil minyak sesebuah negara tidak sampai kepada rakyatnya, mungkin kerana itulah al-Azhar mengeluarkan fatwa terkini bahawa perlunya zakat minyak dikeluarkan oleh sesebuah negara agar ia sampai kepada rakyat miskinnya.

Justeru, disebabkan setiap negara punyai keadaan dan situasi masing-masing, adalah tepat jika Majlis Fatwa Kebangsaan dapat membincangkan isu ini dengan telus. Sama ada mereka bersama fatwa Al-Qaradawi dan majoriti ulama silam, atau bersama fatwa Badan penyelidikan Al-Azhar yang terkini.

Namun masalah yang dihadapi oleh Majlis Fatwa dalam hal ini adalah, saya difahamkan bahawa Majlis fatwa sudah menghantar surat rasmi kepada PETRONAS untuk berbincang hal zakat ini. Namun surat rasmi itu kelihatan tidak diendahkan oleh mereka.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

16 Jun 2008

WASIAT PARA NABI UNTUK KITA

Daripada al-harith bin Al-As’ariy dari Nabi saw bersabda: Sesungguhnya Yahya as bin Zakariya as memerintahkan Bani Israel, lalu beliau teragak2 untuk mengatakannya lalu Nabi Isa as telah berkata : Sesungguhnya Allah memerintahkan engkau untuk menyuruh mereka atau aku akan menyuruh mereka lalu Yahya berkata aku bimbang jika kau mendahuluiku maka aku akan ditelan bumi atau diazab lalu dia mengumpulkan manusia di Baitul Maqdis maka penuhlah masjid dan duduklah mereka di atas lantainya lalu Nabi yahya mula berpesan : Sesungguhnya Allah telah memerintahkan aku untuk mengerjakan 5 perkara dan aku memerintahkan kamu untuk mengerjakannya:


“Hendaklah kamu menyembahNya dan jangan mensyirikkanNya dengan sesuatu apapun kerana bandingan perbuatan syirik yang kamu lakukan adalah seumpama sesorang yang membeli hamba dari wangnya sendiri lalu dia mengatakan kepada hamba itu : Ini adalah rumahku dan ini merupakan kerjaku, maka hendaklah engkau bekerja dan sempurnakanlah segala tanggunjawab kepadaku.Tetapi hamba ini bekerja lalu memberikan hasilnya pada tuan yang lain dari tuannya.Adakah seseiapa yang meredhai perbuatan ini dilakukan oleh hambanya terhadapnya ? Allah awt telah memerintahakan kamu untuk bersolat maka janganlah kamu berpaling kerana Allah swt memberikan perhatianNya kepada hambaNay yang bersolat selagi dia tidak lalai.


Dan aku memerintahakan kamu supaya berpuasa kerana bandingan orang yg berpuasa adalah seperti seorang lelaki yang memliki bekas yang dipenuhi kasturi menyebabkan setiap orang yg ada disampingnya merasa kagum disebabkan bau kasturi itu.Hakikatnya bau mulut hamba yang berpuasa itu lebih hebat dari bau kasturi !


Dan aku memerintahkan kamu agar melakukan sedeqah kerana orang yang bersedeqah itu diumpamakan seseorang lelaki yg ditawan musuh lalu diikatnya tangan lelaki itu kpd tengkuknya sebelum di pancung kepalanya, lalu seseorang berkata : aku akan menebuskannya dengan apa sahaja dari kamu lalu dia pun menebuskannya.Maka akau mengingatkan kamu supaya sentiasa mengingati Allah kerana bandingan orang yg mengingati Allah ada;lah seperti dia yg dikejar musuh lalu dia Berjaya meloloskan dirinya ke suatu kubu kuat yang mengahalang musuh dari memudaratkannya
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.