Beberapa Perhatian Mengenai Influenza A (H1N1)



Wabak influenza yang melanda dunia pada hari ini pada asalnya dikenali sebagai sebagai selsema babi. Ini kerana antara punca utama penyakit ini adalah khinzir atau babi. Wabak ini pada mulanya dikesan di Mexico pada bulan April 2009, dan ia merupakan satu strain virus influenza yang baru. Dan pada 30 April 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakan sebagai Influenza A (H1N1).


Wabak ini juga sudah melanda Negara kita. Bahkan ia sudah menjadi ancaman yang menakutkan semua pihak. Dan setakat artikel ini ditulis, sudah 44 kematian dicatatkan disebabkan oleh wabak ini di Negara kita. Dalam artikel yang ringkas ini, saya ingin menarik perhatian kepada beberapa perkara berkaitan dengannya.



Pertama: Islam sejak dari dahulu lagi telah mengharamkan kepada para penganutnya memakan daging babi. Bahkan memakan daging babi dianggap sebahagian daripada dosa besar. Dan keharaman memakan daging babi ini merupakan ijmak (consensus) para ulamak, kerana nasnya adalah jelas.

Firman Allah SWT:
( إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ )
Ertinya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang disembelih kerana selain Allah. Dan sesiapa yang terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tiada dosa ke atasnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Surah al-Baqarah: 173.


Kedua: Babi merupakan satu binatang yang sangat jijik dan kotor. Ia juga sudah jelas boleh membawa kemudharatan. Kerana itulah Islam mengharamkannya dan tidak menganggapnya sebagai sumber makanan atau sumber ekonomi. Kerana inilah babi disarankan supaya dibunuh dan bukannya dibela dan dipelihara.

Bahkan dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا مُقْسِطًا فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ
Ertinya: “Tidak akan berlaku qiamat, sehinggalah Nabi Isa akan turun berada di kalangan kamu sebagai pemertintah yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi…” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852H): “Dan maksud baginda membunuh babi (dalam hadis ini ialah), baginda menyuruh supaya dihapuskan babi, untuk menguatkan lagi keharaman memakannya. Dan dalam hadis tersebut terdapat celaan kepada golongan Kristian yang mendakwa mengikut Nabi Isa, namun mereka menghalalkan memakannya dan sangat menyukainya”. (Rujuk Fathul Bari, juz 7, m/s 56, Bab Qatlul Khinzir)


Ketiga: Dengan timbulnya penyakit selsema babi ini, ia menjelaskan lagi apa yang disebutkan sebagai maqasid atau objektif pensyariatan sesuatu hukum. Ini kerana tidak ada satu pun daripada keseluruhan hukum-hukum syarak yang pensyariatannya adalah sia-sia (tanpa tujuan). Di mana sahaja adanya hukum syarak, maka di situ wujudlah kemaslahatan yang ingin dicapai atau kemudharatan yang ingin ditolak dan dijauhi. Mencapai kebaikan atau kemaslahatan dan menolak keburukan atau kemudharatan adalah tujuan bagi setiap hukum syarak. Sesiapa yang mengkaji ayat-ayat suci al-Qur’an dan hadis-hadis Nabawi, sudah tentu dia akan dapati bahawa di mana sahaja ada perintah (suruhan), maka di situ wujudnya maslahah (kebaikan) dan di mana sahaja ada larangan, maka di situ wujudnya mafsadah (keburkan).


Keempat: Wabak selsema babi yang melanda dunia sekarang merupakan satu perkara yang mengajak kita semua menilai siapakah kita. Dengan segala kemajuan dan kehebatan yang dimiliki di zaman ini, manusia sebenarnya adalah makhluk Allah SWT yang lemah. Mereka tidak boleh angkuh dan sombong sehingga sanggup mengenepikan peraturan dan hukum Allah SWT. Setiap tingkah laku kita akan diperhatikan dan akan dinilai oleh Allah SWT. Kerana itu mereka mestilah sentiasa mengingati Allah dengan mengamalkan ajaran dan suruhanNya. Dan bala yang menimpa adalah supaya manusia kembali kepadaNya. Dan orang yang tidak kembali insaf dan bertaubat adalah orang yang keras hatinya dan dia sebenarnya diperdayakan syaitan supaya sentiasa bersamanya, yang mana akhirnya akan menuju ke neraka.

Allah SWT berfirman:
( فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ )
Ertinya: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan kami kepada mereka? Bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pula menampakkan cantik kepada mereka apa yang selalu mereka kerjakan”. Surah al-An’am: 43.


Kelima: Wabak yang melanda dunia sekarang juga mengingatkan kita dengan firman Allah SWT:
( وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ )
Ertinya: “Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak hanya khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya”. Surah al-Anfal: 25. Kalaulah kejadian tsunami itu satu perkara yang menakutkan dan ia berlaku hanya dalam sekelip mata, maka wabak ini juga menakutkan dan menimbulkan keresahan kepada semua. Bezanya, wabak ini bergerak secara senyap dan ia telah merentasi dunia keseluruhannya.


Keenam: Islam mengamalkan konsep “Mencegah adalah lebih baik daripada merawat”. Kerana itu, sejak dari awal lagi Islam hanya menghalalkan apa yang baik dan mengharamkan apa yang keji dan kotor. Bahkan antara tugas kedatangan Rasulullah s.a.w. ialah perkara tersebut.


Firman Allah SWT:
( يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ )
Ertinya: “ …Baginda menyuruh mereka mengerjakan yang makruf (baik) dan melarang mereka mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk …” Surah al-A’raf: 157.


Namun, setelah timbulnya masalah, Islam menyuruh kita supaya berusaha dan berikhtiar untuk menyelesaikannya. Dan antara cara kita berikhtiar adalah dengan kita solat hajat dan berdoa kepadaNya, selain langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh pihak-pihak yang berkenaan.


Ketujuh: Dan antara doa yang dirasakan sesuai dibaca untuk mengelakkan diri daripada terkena jangkitan penyakit ini ( Influenza A H1N1) ialah doa ini.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي وَمَا ابْتَلانِي وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِهِ تَفْضِيلا
Ertinya: “Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku (dengan bala ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya”.


Doa ini sangat sesuai dibaca bagi memohon kepada Allah SWT supaya terselamat daripada wabak yang melanda sekarang. Ini adalah berdasarkan kepada hadis riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ رَأَى مُبْتَلًى فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلَاكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلًا لَمْ يُصِبْهُ ذَلِكَ الْبَلَاءُ
Ertinya: “Sesiapa yang melihat orang yang terkena bala, lalu dia membacakan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلاكَ بِهِ وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقَ تَفْضِيلا
(Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku dengan bala yang menimpamu ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya), melainkan dia akan terkena bala (penyakit) tersebut”. Hadis hasan riwayat Tirmizi.


Inilah beberapa perkara yang saya ingin kongsikan bersama dalam artikel yang ringkas ini. semoga ia bermanfaat untuk semua, dan sama-sama kita berdoa, supaya kita semua selamat daripada bala ini.



Sumber: http://tasekpauh.blogspot.com/


DEMONSTRASI: SERTAILAH JIKA ...



Demonstrasi ialah tunjuk perasaan yang dilakukan dengan cara berkumpul beramai-ramai dan berarak sebagai tanda protes terhadap sesuatu isu. Orang yang menyertai demonstrasi tidak turun padang semata-mata untuk berkumpul dan berarak tanpa tujuan. Di sebalik tindakan mereka, ada suara hati yang mahu didengari dan pandangan yang mahu diambil perhatian pihak tertentu. Atau dengan kata lain, ada objektif yang hendak dicapai. Maka difahami bahawa demonstrasi hanya wasilah atau pendekatan untuk menyuarakan pandangan secara jama’ie.


Jadi, tinjauan terhadap hukum demonstrasi mestilah mengambil kira ia sebagai satu wasilah. Jangan memandang demonstrasi secara pendek, lalu menyimpulkan begini: “Demonstrasi tidak pernah dilakukan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Apa yang tidak dilakukan oleh baginda adalah bidaah. Natijahnya demonstrasi dihukum sebagai bidaah”.


Kaedah ‘bidaah’ tidak tepat diaplikasikan dalam isu demonstrasi. Untuk penjelasan perkara ini, boleh ditinjau definisi bidaah yang diungkapkan oleh sarjana Islam, Al-Syatibiy. Iaitu: Bidaah ialah satu cara yang direka-reka dalam agama, menyerupai syariat, tujuan dilakukannya untuk membuat suatu yang extra dalam beribadah kepada Allah Subhanahu Wataala.


Hukum demonstrasi mesti mengambil kira ia sebagai WASILAH. Dan wasilah untuk mencapai sesuatu objektif bukanlah berbentuk tabbudiy atau tauqifiy. Dengan kata lain, Syarak tidak menghadkan cara dan kaedah khusus untuk mencapainya. Ia kembali kepada hukum asal iaitu harus.


Cukuplah untuk mengatakan harus demonstrasi hanya dengan hujah bahawa tidak ada dalil dari Quran dan Sunnah yang mengharamkan berkumpul dan berarak untuk meyuarakan pandangan.


Namun terdapat dua perkara yang mesti diambil kira.

1) Apakah objektif diadakan demonstrasi?
2) Apakah demonstrasi mengandungi unsur haram?



Objektif Penganjuran Demonstrasi

Secara prinsipnya, terdapat kaedah yang masyhur iaitu “Wasilah mendapat hukum maqasid (objektif)”. Mana-mana perbuatan yang menjurus kepada suatu yang haram, maka ia menjadi haram, sekali pun perbuatan itu pada awalnya tidak haram.


Contohnya, membeli dan menjual parang tidak dilarang oleh Islam. Tetapi jika pembelian itu bermotifkan jenayah rompakan sebagai contoh, maka penjualan dan pembelian parang dalam kes ini adalah haram. Kerana wasilah mengambil hukum maqasid.


Begitulah demonstrasi. Jika motif demonstrasi adalah perkara maksiat maka turun padang berdemo pun satu maksiat. Contohnya, jika ada pihak menganjurkan demonstarsi mendesak supaya Kerajaan membenarkan orang Islam murtad, hukum menyertainya haram. Kerana objektif yang haram menatijahkan wasilah yang haram.


Jika objektif demonstrasi diharuskan syarak atau digalakkan syarak, contohnya berdemo membantah kumpulan yang menghina Islam, maka hukum berdemo dalam situasi ini perlu dilihat aspek kedua, iaitu:


Apakah Demonstrasi Mengandungi Unsur Haram?

Jika penganjuran demonstrasi disertai unsur-unsur maksiat, maka haram menyertainya. Ataupun, jika aktiviti demonstrasi pasti akan membuka ruang kepada berlaku maksiat, maka haram menyertai demonstrasi seperti ini.


Sebaliknya, jika demonstrasi dilakukan dengan menjaga tata-tertib syariat, dan menunaikan hak-hak yang ditetapkan Islam ketika berada di jalanan, maka hukumnya kembali kepada hukum asal wasilah iaitu harus.


Kesimpulan

Tidak salah menyertai demonstrasi, JIKA:


1) Objektif yang hendak dicapai melalui demonstrasi tidak bercanggah dengan syrariat.


2) Pengajur dan peserta demonstrasi dapat menjaga hak-hak jalanan yang digariskan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu:
- Tidak menimbulkan kesusahan kepada orang lain.
- Menjawab salam apabila disapa.
- Menyuruh kebaikan.
- Mencegah kemungkaran.


3) Tidak disertai dengan perbuatan maksiat lain, seperti:
- Percampuran bebas lelaki dan perempuan.
- Perempuan keluar dengan pakaian yang tidak syar’ie.
- Mengeluarkan perkataan atau memaparkan tulisan maki hamun dan mencarut.
- Menyerupai orang Musyrikin contohnya dari sudut pakaian.
- Merosakkan harta benda awam dan orang lain.


4) Demonstrasi tidak menyebabkan berlaku mudarat yang lebih besar. Kerana Islam menutup pintu-pintu kemudaratan.


Sekian.


Abu Umair,
16 Syaaban 1430.
Madinah Munawwarah.

Sila ke sumber: http://abuumair1. wordpress. com/
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.