APA YANG BERLAKU DI TURKI PADA SAAT INI ?

Melihat pada akhir-akhir ini banyak berlaku letupan di Turki, di Ankara dan Istanbul khususnya. Hari ini pula kita dikejutkan lagi dengan letupan ke-5 yang mengorbankan orang awam di salah sebuah Bandar Utama di Turki, iaitu Istanbul. Mungkin ramai yang tertanya atas sebab dan matlamat apa usaha jahat ini dilakukan di Turki. Negara yang populasinya 96.50% muslim dan kini mula dilihat sebagai salah satu negara yang diharap akan memimpin umat Islam dalam menangani isu-isu utama yang membelenggu umat Islam yang tertindas pada saat ini.
Ramai juga yang tertanya siapakah dalang kepada letupan berani mati yang seringkali dilakukan di Turki. Nama-nama organisasi seperti PKK, YPG, PYD dan ISIS sering dikaitan sebagai dalang kepada operasi jahat ini. Ramai yang mengatakan Turki akan menjadi tidak aman sepertimana negara-negara lain yang berhampiran dengannya seperti Syria, Iraq dan Mesir.
Namun, ini kami katakan bahawa situasi di Turki adalah berbeza dengan negara-negara arab yang lain. Apa yang terjadi di Turki bukanlah kerana Revolusi atau ketidakpuasan hati rakyat Turki namun apa yang terjadi sekarang di Turki adalah kerana perasaan hasad dengki dan juga campur tangan kuasa luar yang tidak mahu Turki terus berada dalam keadaan aman dan bergerak lebih maju kehadapan.
Namun sebelum kita berbicara lebih mengenai situasi semasa, kita perlu melihat kepada sejarah dan asal usul punca mengapa perkara ini terjadi dan bagaimanakah permusuhan dan perselisihan antara golongan berhaluan kiri ini bermula di Turki. Situasi yang berlaku pada hari ini bertitik tolak apabila Penubuhan Republik Turki pada tahun 1922 yang secara langsung menamatkan sistem pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah ini telah menafikan sebarang hak bangsa lain selain Turki.
Semasa era Khilafah Uthmaniyyah, bumi Uthmaniyyah ini tidak hanya didiami oleh orang berbangsa Turki, namun ia adalah sebuah “Devlet-i Aliyye Uthmaniyah” yang mempunyai rakyat yang berbagai bangsa, bahasa dan agama. Ia adalah sebuah kedaulatan yang menghormati dan meraikan perbezaan bangsa, bahasa dan agama seperti mana yang telah diajarkan oleh junjungan besar kita Rasullullah s.a.w dan juga dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Al-Hujarat : 13 yang berbunyi :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). "
Hal ini sudah diamalkan oleh Daulah Uthmaniyyah sejak ratusan tahun, hatta sejak Daulah ini ditubuhkan pada tahun 1299~ lagi.
Namun apabila perjanjian “Sykes-Picot” pada tahun 1916 dilaksanakan semasa perang dunia pertama, kedaulatan yang mempunyai berbeza bangsa, ras kulit, bahasa dan agama ini mula dipecah-pecahkan mengikut kaum dan mulanya tertubuh negara-negara bangsa yang membangkitkan ideologi nasionalism yang sempit.
Umat manusia yang hidup bersama-sama dalam kepelbagaian dan keunikan ini mula dipecah-pecahkan mengikut bangsa dan bahasa mereka. Ruh surah Al-Hujarat ini mula dinafikan dan dilupakan, Umat islam tidak lagi bersatu atas pegangan aqidah, namun bersatu atas pegangan bangsa dan bahasa.
Namun tidak semua bangsa bernasib baik, bangsa seperti Kurdi, Ahiska, Rohingya, Moro, Pattani dan banyak lagi bangsa lain dinafikan hak tanah mereka.
Bangsa-bangsa ini hilang tempat tinggal, hilang hak mereka untuk berbicara dalam bahasa mereka dan menjalani kehidupan harian mereka dalam budaya dan cara hidup mereka sendiri.
Mereka seringkali berada dalam tekanan dan hidup dalam pelarian di tanah mereka sendiri. Bangsa-bangsa yang tidak bernasib baik ini, selepas hidup dalam tekanan pada satu tempoh masa mula meminta dan berjuang untuk mendapatkan wilayah autonomi mereka sendiri sepertimana bangsa lain yang sudah sekian lama menikmati kebebasan ini.
Bangsa-bangsa yang dinafikan hak mereka ini selalunya mendiami kawasan yang jauh dari pembangunan dan juga pendidikan, akses kepada maklumat dan berita semasa, menjadikan mereka terbuka kepada eksploitasi golongan berkepentingan.
Sentimen perkauman dan dendam lama sering dimainkan. Modus operandi seperti ini sudah sekian lama digunakan di tempat-tempat lain yang mengalami situasi yang sama.
Di Turki, masyarakat Turki yang ditindas sekian lama sejak zaman penubuhan republik dieksploitasi kuasa antarabangsa seperti Israel, Amerika dan Rusia.
Ini jelas apabila Amerika masih degil untuk menyenaraikan PKK (Partiya Karkerên Kurdistanê/Parti Buruh Kurdistan) atau proksi mereka di Syria YPG (Yekîneyên Parastina Gel/People Protection Party), PYD (Partiya Yekîtiya Demokrat/Democrate Union Party) sebagai kumpulan pengganas, sungguhpun mereka secara terang-terangan mengaku bahawa mereka bertanggungjawab ke atas serangan-serangan letupan berani mati di Ankara dan Istanbul.
Kedegilan ini bertolak titik dari pendirian Amerika yang mahu menjadikan YPG/PYD/PKK sebagai proksi mereka dalam mengekalkan kuasa mereka dan mengekang pengaruh ISIS di rantau ini.
Campur tangan Amerika jelas dilihat daripada isu Laut Hitam (Black Sea) yang masih belum selesai. Sehingga saat ini, senjata-senjata api masih dibekalkan oleh Amerika kepada puak pengganas ini , atas alasan agar “ melemahkan dan mengalahkan ISIS” seperti dikatakan President Amerika Syarikat, Barrack Obama.
Apa yang dialami oleh kepimpinan dan rakyat Turki pada saat ini adalah serangan ke atas kedaulatannya, bukannya seperti revolusi yang berlaku di Syria, Iraq, Libya ataupun Mesir.
Apa yang Turki perlukan pada saat ini adalah sokongan dari masyarakat dunia dan persepakatan dari masyarkat dunia dalam mengecam tindakan ini. Turki pada saat ini dicemburui pelbagai pihak luar seperti Amerika, Iran, Israel, Russia atas kejayaannya dalam pembangunan dan juga kemajuan yang dicapai Turki akhir-akhir ini.
Turki, salah satu negara majoriti Islam yang berjaya memimpin negara melalui pemilihan demokratik pada saat ini diserang dari setiap sudut, ini dapat dilihat dari liputan media antarabangsa yang bersifat berat sebelah dalam melaporkan berita mengenai Turki dan juga suka mensensasikan berita-berita yang berlaku di Turki agar orang ramai takut untuk melabur di dalam Turki mahupun datang melancong ke Turki.
Apa yang dimahukan oleh kuasa-kuasa luar terutamanya Amerika, Israel, Iran dan negara-negara lain yang mencemburui Turki adalah untuk memusnahkan keamanan yang dikecapi Turki yang kini mula membangun dari setiap sudut.
Sepertimana saranan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, seluruh umat Islam perlu bangun dan memberi sokongan kepada kepimpinan Turki pada saat ini. Sungguhpun ia tidaklah sempurna dan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
Pada saat ini hanya Turki lah satu-satu Negara yang tegas dan bangkit dalam menyuarakan isu-isu umat Islam yang ditindas di seluruh dunia seperti di Somalia, masyarkat Rohingya, Palestin, Syria dan lain-lain.
Kami menyeru anda semua untuk terus menyokong dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada masyarkat Islam di Turki. Jalinkan hubungan dengan umat Islam di Turki dari apa jua suduh, ekonomi, pendidikan, pelaburan, perniagaan dan juga ketenteraan. Turki memerlukan kita semua.
Said Imaddudeen Norhisam.
CEO Jejak Uthmaniyyah Tour & Consultancy.
18:26, Pazartekke, Fatih/ISTANBUL


TEKS UCAPAN JAMUAN AKHIR TAHUN DAN MAJLIS PERPISAHAN



Assalaamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh dan salam sejahtera,

Bunga tanjung di tengah pekan,
Tiupan bayu mencelah suria,
kalimah nan agung saya mulakan,
Salam sejahtera menambah ceria.

Daun layu di tengah gurun,
nampak jalur pohon cemara,
Tradisi Melayu turun temurun
Pantun ditutur pembuka bicara.

Selamat datang kami ucapkan,
Buat semua hadirin budiman,
Ke sidang majlis penuh taakulan,
Bersama merapat ukhuwwah dan taulan.


Yang berusaha, Tuan Haji Hamzah bin K. Mohamed, pengetua SMK Bukit Goh,
Yang dihormati, Encik Mohd Azmi bin Othman, mantan pengetua SMK Bukit Goh,
Puan Hajjah Wan Norini bt Wamad Hamat, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bukit Goh,
Ustaz Mohd Anuar bin Mohd Amin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMK Bukit Goh
Encik Awang Mahadi bin Ali, Penolong Kanan Korikulum, SMK Bukit Goh
Yang diraikan Pn. Rosminah bt Hassan, yang akan bertukar ke SMK Sungai Isap,
Ketua-ketua bidang,
Rakan-rakan guru dan kakitangan sekolah serta keluarga masing-masing,
dan seterusnya hadirin hadirat yang dikasihi sekalian..


Hadirin dan hadirat sekalian,

Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dengan limpah kurniaNya, dihimpunkan kita di majlis yang sangat besar ertinya kepada semua warga SMK Bukit Goh. Jamuan Akhir tahun dan majlis perpisahan adalah program tahunan sebagai menghargai usaha dan pengorbanan guru dan kakitangan dalam usaha meningkatkan nama sekolah di peringkat daerah maupun negeri. Majlis seperti ini diadakan oleh semua sekolah menjelang berakhirnya sesi persekolahan. Di samping itu juga meraikan guru-guru yang akan bertukar kerana menghargai pengorbanan mereka selama ini dalam membangunkan sekolah dari segi akademik, kokurikulum, bina insan dan keceriaan...

Ikan merah dijual di pekan,
Syukur gembira dapat sebaldi,
Cuaca cerah turut mengizinkan,
Pohonlah doa ke hadrat Ilahi.

Bagi memberkati majlis ini, marilah kita bersama-sama menadah tangan munajat kepada Allah, semoga majlis ini berjalan dengan sempurna hingga ke akhirnya.  Dengan ini, dipersilakan Tuan Haji Zamani untuk menitipkan doa dalam majlis yang penuh gilang gemilang ini.

(Doa dibaca)

Amin.. amin ya Rabbal Alamin. Semoga dengan bacaan doa itu tadi, majlis ini akan berjalan lancar.

Semoga majlis kita pada hari ini dipelihara,
Dilimpahkan sepenuh manfaat dan keceriaan,
Menambah tautan kemesraan,
Serta, berpisahnya kita nanti, akan diiringi dengan seribu kenangan.

Seterusnya dipersilakan Puan Rosminah bt Hassan, guru SMK Bukit Goh yang akan bertukar ke SMK Sungai Isap, menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang penuh ertinya pada hari ini. Dengan segala hormatnya dipersilakan..

(Puan Rosminah menyampaikan ucapan... )


Banyak duri perkara duri,
Tidak sama duri mengkuang,
Banyak budi perkara budi,
Tidak sama budimu seorang.


Malam hari berlagu unggas,
Memecah kesunyian di dalam hutan,
Walaupun terpisah tempat dan tugas,
Budimu puan dalam ingatan


Mekar melati diapit kejora,
Kuntuman tersemat, jadi pamitan,
Tersentuh hati mendengar bicara,
Ungkapan azimat jadi ingatan.


Kain songket cantik kilauan,
Ditenun oleh orang kemaman,
Tak terbalas budimu puan,
Kami merakam setinggi penghargaan.

Tidak lengkap rasanya majlis ini tanpa mendengar amanat dan ucapan keramat daripada pengetua yang kita kasihi.  Dengan ini dipersilakan Tuan Haji Hamzah bin K. Mohamed, pengetua SMK Bukit Goh untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya, dipersilakan...

(Tn. Haji Hamzah bin K. Mohamed menyampaikan ucapan...)

Tumbuh selirat bunga melati,
Mari direnjis dalam jambangan,
Ucapan tersirat seribu erti,
Semoga majlis menjadi kenangan.

Hadirin sekalian, majlis ini diadakan sebagai simbolik untuk melambangkan kerjasama saling memberi dan menerima, susah dan senang sama dirasa.


Ke Pekan sudah, ke Maran pun sudah,
Cuma ke Tenom sahaja yang belum,
Ucapan sudah, pesanan pun sudah,
Makan dan minum sahaja yang belum.


kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih,
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

Untuk itu, marilah kita sama-sama merasa kelazatan makanan dengan didahului membaca doa makan...



(Acara makan malam...)


Tuan-puan yang dimuliakan,

Andai berkayuh dah sampai ke seberang,
Andai memanjat dah sampai ke pucuk,
Andai mendaki dah sampai ke puncak,
Setiap yang bermula pasti akan berakhir,
Begitu juga dengan majlis kita pada malam ini.


Sebagai penutup bicara...

Sisir pelepah meraut lidi,
Menganyam daun atap jerami,
Yang indah, yang berseri bawalah pergi,
Yang cacat. yang keji tinggalkan buat kami.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di bawah saji,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan dikutuk diumpat keji.

Pohon kuini dahannya patah,
Di situ tempat bermain kenari,
Sampai di sini kata bernoktah,
Izinkan saya mengundur diri.

Demikianlah tadi selesai sudah Jamuan Akhir Tahun dan Majlis Perpisahan kita pada kali ini. Semoga majlis ini dapat mengeratkan ukhuwwah di kalangan kita untuk terus menggapai kejayaan dalam semua bidang pada tahun hadapan.  Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis kita pada hari ini. Semoga berjumpa di lain kali.

Sekian, wassalamualaikum wbt...


 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.