REUNION; MATLAMAT DAN PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA



APA MAKNA REUNION
👠 Reunion dari dua perkataan iaitu 'RE' yang bermaksud 'kembali' dan 'UNI' yang bermaksud 'bersatu'.

👠 Reunion bermaksud pertemuan semula atau berkumpul semula dengan rakan, teman dan guru-guru yang sudah lama tidak bertemu.


MATLAMAT REUNION

1.   Merapatkan semula hubungan persahabatan yang terputus puluhan tahun.

2.   Merapatkan ukhuwwah dan silaturrahim yang telah lama terputus

3.   Wahana perbincangan untuk kebaikan bersama dan sekolah (SMSA)

4.   Berusaha memahami dan merasai masalah yang dialami oleh sahabat

5.   Bertukar-tukar pengalaman dalam sesuatu perkara samada keluarga, pelajaran anak, pekerjaan       maupun ekonomi

6.   Membina sifat muafakat bagaikan satu keluarga.


❤ AKTIVITI LAIN YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH REUNION ❤

1.   Pertemuan tahunan sesama ahli ataupun keluarga

2.   Sambutan Hari Raya

3.   Ziarah-menziarahi sahabat yg sakit, kenduri kahwin dll

4.   Tahlil, solat hajat dan bacaan Yasin untuk sahabat/guru yg meninggal, menunaikan haji dll

5.   Gotong-royong SMSA ataupun masjid/surau dlk

6.   Menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, fakir miskin dll

7.   Program sukan, sukaneka sesama ahli maupun aktiviti melancong


💝 PERKARA YANG PERLU DIBERIKAN PERHATIAN OLEH AHLI REUNION 💝

1.   Pertemuan dan persahabatan kita kerana Allah semata-mata, tidak yg lain

2.    Berusaha memperkukuhkan ikatan kekeluargaan masing-masing dengan bertukar pandangan dan pengalaman

3.   Menjaga privasi  sahabat-sahabat kita dan keluarga mereka.

4.   Elakkan berkomunikasi pada waktu yang tidak sesuai seperti tengahari, tengah malam dll

5.   Membantu sahabat kita supaya keluarga mereka semakin kukuh dengan perkongsian pengalaman dan jauhkan diri kita menjadi penyebab kepada masalah rumahtangga sahabat yg kita kasihi6

 6.   Sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerukunan rumahtangga dan keluarga sahabat kita di samping dilimpahi rahmat Allah

7.   Elakkan membincangkan atau menghantar perkara yang sensitif yang melibatkan keturunan, agama, gender, agama dan sebagainya.

8.   Sentiasa hidupkan pesanan dan nasihat yang baik dan berguna untuk dunia dan akhirat kita

👪   Semoga coretan ini ada manfaatnya untuk diri kita dalam musafir kita di batas sempadan dunia ini...


Salam Reunion,

Alwi Muda
Kuantan, Pahang
6 Feb 2016, 6.40 pm

UCAPAN DI MALAM APRESIASI KOKURIKULUM

Assalaamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh dan salam sejahtera,

Bunga tanjung di tengah pekan,
Tiupan bayu mencelah suria,
kalimah nan agung saya mulakan,
Salam sejahtera menambah ceria.

Daun layu di tengah gurun,
nampak jalur pohon cemara,
Tradisi Melayu turun temurun
Pantun ditutur pembuka bicara.

Selamat datang kami ucapkan,
Buat semua hadirin budiman,
Ke sidang majlis penuh taakulan,
Bersama merapat ukhuwwah dan taulan.


Yang berusaha, Tuan Haji Hamzah bin K. Mohamed, pengetua SMK Bukit Goh,
Yang dihormati, Encik Mohd Azmi bin Othman, mantan pengetua SMK Bukit Goh,
Puan Hajjah Wan Norini bt Wamad Hamat, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bukit Goh,
Ustaz Mohd Anuar bin Mohd Amin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMK Bukit Goh
Encik Awang Mahadi bin Ali, Penolong Kanan Korikulum, SMK Bukit Goh
Ketua-ketua bidang,
Rakan-rakan guru dan kakitangan sekolah serta keluarga masing-masing,
dan seterusnya anak didik terpuji yang dikasihi sekalian..


Hadirin dan hadirat sekalian,

Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dengan limpah kurniaNya, dihimpunkan kita di majlis yang sangat besar ertinya kepada semua warga SMK Bukit Goh. Malam apresiasi kokurikulum adalah malam penghargaan yang diberikan oleh sekolah dan PIBG sebagai menghargai usaha dan pengorbanan guru dan pelajar dalam usaha memahat nama sekolah di persada daerah dan negeri dalam bidang kokurikulum, khususnya FORMULA ONE dan ROBOTIK.  Sebuah sekolah Felda yang agak terpencil, mampu menyaingi sekolah-sekolah bandar dan elit dalam kedua-dua bidang tersebut. Sementelahan lagi, tidak semua sekolah berani menyahut cabaran dalam bidang FORMULA ONE dan ROBOTIK ini...

Ikan merah dijual di pekan,
Syukur gembira dapat sebaldi,
Cuaca cerah turut mengizinkan,
Pohonlah doa ke hadrat Ilahi.

Bagi memberkati majlis ini, marilah kita bersama-sama menadah tangan munajat kepada Allah, semoga majlis ini berjalan dengan sempurna hingga ke akhirnya.  Dengan ini, dipersilakan Tuan Haji Zamani untuk menitipkan doa dalam majlis yang penuh gilang gemilang ini.

(Doa dibaca)

Amin.. amin ya Rabbal Alamin. Semoga dengan bacaan doa itu tadi, majlis ini akan berjalan lancar.

Semoga pertemua kita pada malam ini dipelihara,
Dilimpahkan sepenuh manfaat dan keceriaan,
Menambah tautan kemesraan,
Serta, berpisahnya kita nanti, akan diiringi dengan seribu kenangan.

Seterusnya dipersilakan Encik Mohd Azmi bin Othman, mantan pengetua SMK Bukit Goh menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang penuh ertinya pada malam ini. Dengan segala hormatnya dipersilakan..

(Encik Mohd Azmi menyampaikan ucapan... )

Mekar melati diapit kejora,
Kuntuman tersemat, jadi pamitan,
Tersentuh hati mendengar bicara,
Ungkapan azimat jadi ingatan.

Tidak lengkap rasanya majlis ini tanpa mendengar amanat dan ucapan keramat daripada pengetua yang kita kasihi yang baharu saja menjadi warga sekolah kita.  Dengan ini dipersilakan Tuan Haji Hamzah bin K. Mohamed, pengetua SMK Bukit Goh untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya, dipersilakan...

(Tn. Haji Hamzah bin K. Mohamed menyampaikan ucapan...)

Tumbuh selirat bunga melati,
Mari direnjis dalam jambangan,
Ucapan tersirat seribu erti,
Semoga majlis menjadi kenangan.

Hadirin sekalian, majlis ini diadakan sebagai simbolik untuk melambangkan kerjasama saling memberi dan menerima, susah dan senang sama dirasa. Untuk itu, marilah kita sama-sama membaca doa makan...

(Acara makan malam...)


Tuan-puan yang dimuliakan,

Andai berkayuh dah sampai ke seberang,
Andai memanjat dah sampai ke pucuk,
Andai mendaki dah sampai ke puncak,
Setiap yang bermula pasti akan berakhir,
Begitu juga dengan majlis kita pada malam ini.

Sebagai penutup bicara...

Sisir pelepah meraut lidi,
Menganyam daun atap jerami,
Yang indah, yang berseri bawalah pergi,
Yang cacat. yang keji tinggalkan buat kami.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di bawah saji,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan dikutuk diumpat keji.

Pohon kuini dahannya patah,
Di situ tempat bermain kenari,
Sampai di sini kata bernoktah,
Izinkan saya mengundur diri.

Demikianlah tadi selesai sudah majlis apresiasi kokurikulum kita pada kali ini.  Semoga majlis ini dapat membangkitkan semangat untuk terus menggapai kejayaan dalam bidang kokurikulum pada tahun hadapan, khususnya dalam FORMULA ONE dan ROBOTIK, Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis kita pada malam ini. Semoga berjumpa di lain kali.

Sekian, wassalamualaikum wbt...

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.