MENGINGATI PEMERGIAN USTAZ HASSAN SHUKRI... TOKOH ARKIB PAS


Malaysia amnya dan Gerakan Islam khasnya terkejut dengan pemergian Tokoh Maal Hijrah Selangor, Ustaz Hj Hassan Shukri kerahmatullah beberapa hari yang lepas. Pemergiaan tokoh arkib PAS yang sukar dicari ganti. Kelembutannya, keramahannya, senyuman, kecekalan hati dan pengorbanannya akan sentiasa dirindui oleh setiap pejuang Islam yang mengenali almarhum. Sebagai mengingati pemergian tokoh ini, didedikasikan kisah seorang sahabat , Salamah bin Al-Akwa' yang begitu besar pengorbanan dalam lipatan sejarah para sahabat. Moga menjadi contoh untuk kita semua...

Salamah adalah seorang pemanah dari bangsa Arab yang terkemuka, juga terbilang sebagai tokoh yang berani, dermawan, dan gemar berbuat kebajikan. Ketika dia menyerahkan dirinya untuk menganut Islam, diserahkannya secara benar dan sepenuh hati, Islam membentuknya menjadi manusia yang agung sesuai dengan coraknya yang agung. Salamah bin al-Akwa juga termasuk tokoh Baiatur-Ridwan.

Ketika pada tahun 6 H Rasulullah saw. bersama para sahabat berangkat dari Madinah dengan tujuan hendak berziarah ke Ka'bah, tetapi dihalangi oleh orang-orang Quraisy, maka Rasulullah saw. mengutus Usman bin Affan untuk menyampaikan kepada mereka bahwa tujuan kunjungannya hanyalah untuk berziarah, dan sekali-kali bukan untuk berperang.

Sementara menunggu kembalinya Usman, tersiar berita bahawa dia telah dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Rasulullah saw. lalu duduk di bawah naungan sebatang pohon menerima baiah sehidup semati dari sahabatnya, seorang demi seorang.

Salamah bercerita, “Aku mengangkat baiah kepada Rasulullah saw. di bawah pohon, dengan pernyataan menyerahkan jiwa dan ragaku untuk Islam. Lalu, aku mundur dari tempat itu. Tatkala tersisa tidak banyak lagi, Rasulullah saw. bertanya, ‘Hai Salamah, mengapa kamu tidak ikut baiah?’ ‘Aku telah berbaiah, wahai Rasulullah saw.,’ ujarku. ‘Ulangi kembali,’ sabda Nabi. Maka, aku ucapkan kembali baiah itu’.”

Dan, Salamah telah memenuhi isi baiah itu sebaik-baiknya. Bahkan, sebelum diikrarkannya, iaitu semenjak dia mengucapkan syahadah, maksud baiah itu telah dilaksanakan.

Salamah berkata, “Aku berperang bersama Rasulullah saw. sebanyak tujuh kali, dan bersama Zaid bin Harithah sebanyak sembilan kali.”

Salamah dikenal sebagai tokoh paling mahir dalam peperangan jalan kaki, dan dalam memanah serta melemparkan tombak dan lembing. Tipu daya perang yang dijalankannya serupa perang gerila, yang kita jumpai sekarang ini. Jika musuh datang menyerang, dia menarik pasukannya undur ke belakang. Tetapi, bila mereka kembali atau berhenti untuk berehat, maka diserangnya mereka dengan bersungguh-sungguh.

Dengan tipu helah seperti ini, dia yang berseorangan diri mampu menghalau tentera yang menyerang luar kota Madinah di bawah pimpinan Uyainah bin Hishan al-Firari dalam peperangan yang disebut perang Dzi Qarad. Da pergi menegekori mereka seorang diri, lalu memerangi dan menghalau mereka dari Madinah, hingga akhirnya datanglah Nabi saw. membawa bala bantuan yang terdiri dari para sahabat.

Pada hari itulah, Rasulullah saw. menyatakan kepada para sahabat, “Tokoh jalan kaki kita yang terbaik adalah Salamah bin Al-Akwa.”

Salamah tidak pernah berkecil hati atau berasa kecewa, kecuali ketika saudaranya yang bernama Amir bin Al-Akwa tewas di perang khaibar.

Kedermawanan Salamah telah cukup terkenal, tetapi ada hal yang luar biasa. Hingga dia akan menunaikan permintaan orang, termasuk jiwanya apabila permintaan itu atas nama Allah.

Rahsia ini rupanya diketahui oleh ramai orang. Maka, jika seseorang ingin tuntutannya berhasil, dia akan mengatakan kepada Salamah, “Kuminta anda atas nama Allah.” Dan mengenai hal ini, Salamah pernah berkata, “Jika bukan atas nama Allah, atas nama siapa lagi kita akan memberi.”

Sewaktu Usman r.a. dibunuh, pejuang yang perkasa ini merasa bahawa api fitnah telah membakar kaum muslimin. Dia adalah orang yang sudah menghabiskan usianya selama ini berjuang bantu membantu dengan saudaranya seagama untuk mempertahankan agama Allah, maka dia tidak mahu berperang melawan saudara seagamanya.

Benar, seorang tokoh yang telah mendapat pujian dari Rasulullah saw. tentang kepakarannya dalam memerangi orang-orang musyrik, tidaklah pada tempatnya jika ia menggunakan kepakarannya itu untuk memerangi atau membunuh orang-orang mukmin. Itulah sebabnya, dia mengemas barang-barangnya lalu meninggalkan Madinah dan berangkat menuju Rabdzah, iaitu kampung yang dipilih oleh Abu Dzar sebagai tempat hijrah dan pemukiman barunya.

Maka di Rabdzah inilah Salamah menghabiskan sisa hidupnya, pada suatu hari di tahun 74 H., hatinya merasa rindu berkunjung ke Madinah. Maka, berangkatlah dia untuk memenuhi kerinduannya itu. Tetapi pada hari ketiga dia tinggal di Madinah. Dia pun menghembuskan nafasnya yang terakhir di dunia ini di kota itu.

Demikianlah, rupanya dia harus kembali di tanahnya yang tercinta, di lingkungan sahabat-sahabatnya dan memperoleh berkatan bersama para syuhada yang soleh.


Sumber: Karakteristik Perihidup Enam Puluh Sahabat Rasulullah, Khalid Muh. Khalid

KENYATAAN ULAMA SEDUNIA TENTANG SERANGAN KE ATAS FLOTILLA LL4G

Kenyataan barisan ulama seluruh dunia mengenai serangan zionis ke atas kapal yang membawa misi kemanusiaan ke GAZA

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah, Penolong orang-orang yang beriman, Yang menurunkan kehinaan ke atas orang-orang yang sombong, Yang menundukkan orang-orang yang angkuh dan ganas. Selawat Allah dan barakah-Nya ke atas Imam pembawa hidayah dan islah, Saidina Muhammad, juga ke atas ahli keluarganya serta semua sahabat-sahabatnya.

Sesungguhnya barisan ulama yang menurunkan tandatangan pada kenyataan ini sangat terkejut dengan apa yang dilakukan oleh komando-komando zionis terhadap sukarelawan yang datang dari pelbagai negara di dunia untuk memecahkan kepungan yang tidak berperi kemanusiaan ke atas Semenanjung Gaza.

Para ulama beserta majoriti umat mengikuti dengan penuh rasa duka dan keciwa jenayah yang sungguh kejam dilakukan zionis yang diketuai oleh askar penjajah yang telah menyebabkan puluhan nyawa yang tidak berdosa terkorban dan puluhan yang lain tercedera.

Barisan ulama juga mengikuti dengan penuh kagum dan hormat di atas keberanian, keikhlasan serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua peserta konvoi serta kesediaan mereka untuk menghadapi sebarang tindakan jahat pihak zionis.

Tidak lupa setinggi-tinggi ucapan penghargaan ke atas para syuhada dan mereka yang cedera, yang darah mereka mengalir demi mempertahankan orang-orang yang dizalimi dan terkepung di Gaza. Juga kepada tawanan yang terus bertekad untuk membantu orang yang tertindas sekalipun diugut dengan berbagai-bagai ancaman oleh pihak zionis.

Justeru, barisan ulama menyeru seluruh umat Arab, Islam dan dunia seluruhnya agar segera bertindak untuk membebaskan tawanan secepat mungkin. Dengan ini barisan ulama mengeluarkan kenyataan yang ditujukan kepada seluruh umat sama ada rakyat atau kerajaan agar memainkan peranan masing-masing demi keselamatan para tawanan yang berada di bawah kepungan zionis, melindungi hak saudara kita di Palestin, menolong para mujahidin di bumi yang diberkati.

Serangan jahat yang dilakukan oleh zionis yang menyebabkan berlaku kematian, luka parah dan tertawannya peserta konvoi yang tidak berdosa dan tidak bersenjata yang berada di dalam kapal kebebasan yang menggabungkan peserta yang terdiri dari lebih daripada 40 buah negara di waktu fajar hari Isnin 18 Jamadil-Akhir 1431 bersamaan 31 May 2010 memberi gambaran bahawa zionis berada dalam keadaan selamat daripada tentangan negara Islam, kutukan Amerika dan bantahan antara bangsa terhadap keganasan dan kekejaman mereka.

Maka kami menyeru semua ilmuan umat, pertubuhan-pertubuh an, institusi-institusi , rakyat yang beragama Islam yang berbangsa Arab dan bukan Arab, bangsa-bangsa yang merdeka di seluruh dunia agar bangkit dan bergerak menentang kumpulan zionis yang jahat dan keji ini.

Sesungguhnya dengan ini kami ingin menegaskan perkara-perkara berikut:

Pertama: Sesungguhnya telah menjadi suatu hakikat, suatu realiti yang terang nyata bahawa Bani Israel adalah golongan yang suka menumpahkan darah, membunuh manusia yang tidak berdosa sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya) , sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?” (Al-Baqarah: 87)

Mereka tidak pernah bertanggungjawab dan berpegang kepada janji dengan orang yang beriman. Mereka tidak berintima’ kepada agama yang dibawa oleh Nabi Allah Musa a.s. sama ada secara dekat atau jauh. Dan Nabi Allah Musa tiada kaitan dengan mereka. Mereka adalah golongan terbuang, lanun-lanun di zaman moden dan tali barut zionis antara bangsa. Semua agama tiada kena mengena dengan mereka termasuk agama Nabi Musa a.s.

Kedua: Kami menyeru kerajan Arab dan Islam agar menukar sikap mereka yang negatif sehingga menampakkan lebih dekat kepada bekerjasama dengan zionis dalam serangan mereka yang berulang-ulang. Kami menyeru agar segera diadakan persidangan tergempar yang menggariskan langkah-langkah yang wajib diambil dan dilaksanakan, sama ada dari segi politik, ekonomi, media dan ketenteraan demi menyekat kebiadapan musuh zionis dari terus sombong dengan tindakan ganasnya.

Perkara pertama yang wajib dilakukan ialah hentikan usaha rundingan damai sepenuhnya. Hentikan sebarang bentuk rundingan baik secara terang atau senyap dengan mereka. Gunakan segala kekuatan dan keupayaan yang ada pada umat Arab dan Islam, suburkan hubungan dengan semua negara di dunia bagi mewujudkan tekanan yang mengesankan ke atas rejim zionis yang telah merampas Palestin dengan cara haram dan tidak sah.

Langkah ini wajib diambil demi membebaskan al-Aqsa dan Palestin, menyokong perjuangan yang diterajui oleh rakyat Palestin baik secara material, moral dan media, mengukuhkan kekuatan mereka, memudahkan hubungan rasmi dan sya’bi dengan mereka. Kami juga menyeru kerajaan Mesir dan kerajaan-kerajaan Arab yang lain semuanya agar membuka sempadan Rafah dan meruntuhkan tembok kepungan ini.

Mengapa kita harus menghormati perjanjian dan undang-undang antara-bangsa dengan Zionis sedangkan mereka tidak pernah mengambil peduli terhadap sebarang nilai akhlak, moral, uruf dan perjanjian antara-bangsa?

Ketiga: Kami menyeru rakyat Palestin agar segera berdamai dan bersatu. Lupakan perbezaan pandangan politik kepartian. Bersatu di atas landasan perjuangan menentang seteru yang sebenar.

Kami menyeru pihak berkuasa Palestin agar berhenti sepenuhnya dari memburu mujahidin. Isytiharkan dengan segera pemberhentian rundingan damai secara total dengan musuh. Tiada lagi sebarang usaha ke arahnya baik secara langsung atau tidak langsung. Batalkan sebarang pertemuan dengan pemimpin rejim penjajah zionis. Sesungguhnya pertemuan itu tidak sejajar dengan perinsip akhlak dan undang-undang kerana mereka telah melakukan kezaliman demi kezaliman.

Keempat: Kami menyanjung tinggi dan memohon keberkatan di atas usaha murni yang dilakukan oleh rakyat Turki, pertubuhan-pertubuhan serta kerajaannya. Kami mengakui bahawa pengorbanan paling besar adalah datangnya daripada rakyat Turki. Kami menyeru umat Islam dan semua umat yang merdeka di seluruh dunia agar menghargai dan menjejaki peranan kemanusiaan Turki yang berani.

Kelima: Kami menyeru seluruh pertubuhan dan institusi hak asasi manusia dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara Arab, negara Islam dan semua negara di dunia supaya bergerak dan menggerakkan seluruh rakyat dengan kadar segera untuk menentang jenayah zionis di semua peringkat dan semua lapangan, dengan menggunakan undang-undang bagi mengenakan tindakan yang tegas ke atas penjenayah perang yang telah menyerang secara terang-terangan.

Mereka mesti didakwa di hadapan semua mahkamah di Eropah dan di peringkat antara-bangsa. Semua pemimpin mereka mesti diheret dan dibicarakan. Tiada seorang pun dari kalangan mereka yang boleh dilepaskan atau diberi keampunan.

Keenam: Kami menyeru media massa Arab dan Islam agar memberi sepenuh keutamaan dalam mendedahkan kejahatan rejim Zionis yang merampas bumi Palestin serta keganasan-keganasan yang mereka lakukan. Dedahkan segala usaha mereka memalsukan dokumen rasmi kedutaan beberapa buah negara.

Dedahkan identiti mereka dan usir mereka dari semua negara, dedahkan keadaan genting yang dialami oleh penduduk Gaza dan semua kawasan yang terletak di bawah jajahan mereka di Palestin dan akhir sekali penyembelihan konvoi keamanan Mavi Marmara.

Ketujuh: Berhadapan dengan ancaman musuh zionis ini, semua bangsa yang merdeka di seluruh dunia, bukan hanya penduduk Gaza sahaja, wajib menghidupkan ruh keimanan dan membangkitkan semangat juang menentang kezaliman serta menolak sebarang usaha rundingan damai dengan zionis. Jihad adalah satu-satunya jalan untuk menggerunkan penjajah itu dan membebaskan masjid al-Aqsa dan Palestin.

Oleh kerana ulama dan para ilmuan merupakan minda yang sedar di kalangan ummah, hati yang sentiasa berdenyut dengan keinsafan, lidah yang mampu menuturkan kebenaran, melakarkan cita-cita dan harapan; mereka adalah ibarat kepala kepada badan ummah, jantung yang menentukan kesihatan perjalanannya, maka kami menyeru para ulama dan ilmuan agar memainkan peranan memegang teraju utama dalam menyatakan kebenaran dan mendedahkan hakikat zionis yang sebenarnya sejak dahulu hingga sekarang.

Ulama dan para ilmuan mesti memainkan peranan menjelaskan kepada ummah apa yang mereka perlu sediakan untuk menghadapi zionis durjana ini, membebaskan tawanan-tawanan dan masjid al-Aqsa, membela mereka yang terluka, cedera dan terbunuh serta mengembalikan kemuliaan ummah seluruhnya.

Allahu Akbar! Kemenangan untuk Islam dan muslimin!


Ditandatangani oleh:

Dr. Sofwat Hijazi – Mesir,

Dr. Muhammad Musa asy-Syarif – Saudi,

Dr. Solah Sultan – Mesir,

Syeikh Salim asy-Syeikhi – Libya,

Syeikh Muhammad al-Amin – Bahrain,

Syeikh Majd Makki – Syria,

Syeikh Akram Kassab – Mesir,

Dr. Hamdy Arsalan – Turki,

Dr. Khalid Hanafy – Mesir,

Dr. Muwaffaq Kadasah – Saudi,

Dr. Sa’eid al-Ghamidy – Saudi,

Dr. Abdul Ghani at-Tamimy – Palestin,

al-Qadhi Muhammad Tais al-Jamily – Qatar,

Dr. Saleh Sowwab – Yaman,

Syeikh Hasan Qatarji – Lubnan,

Dr. Muhyiddin Ghazi – India,

Syeikh Muhammad al-Hasan bin ad-Dadu – Mauritania,

Syeikh Wasfy ‘Asyur Abu Zaid – Mesir,

Dr. Ahmad Abu Bakar Jumi – Nigeria,

Dr. Abdul Hayyi Yusuf – Sudan,

Dr. Abdul Wahhab ad-Dailamy – Yaman,

Dr. Umar Abdul Aziz – Mesir,

Syeikh Khalid Saifullah ar-Rahmany – India,

Syeikh Amin al-Uthmany – India,

Dr. Muhammad Abdul Maqsud – Mesir,

Dr. Abdul Sattar Fathullah Sa’eid – Mesir,

Dr. Yahya Ismail – Mesir,

Dr. Ali as-Solaby – Libya,

Dr. Ahmad ar-Risuni – Maghribi, dan ramai lagi….

(sebenarnya terdapat 108 nama, rasa cukup dimasukkan sebahagian saja)

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.