POLEMIK NAMA DAMIA, ELOK ATAU TIDAK ?


BAYAN LINNAS

Bayan Linnas Siri 78: Polemik Nama Damia, Elok atau Tidak?

Mukaddimah

Pada minggu ini isu nama diangkat menjadi perbincangan hangat khususnya nama anak-anak yang terdapat padanya Damia, sama ada ia hanya satu nama sahaja atau murakkab (disusun) dengan beberapa nama yang lain. Ada yang mengatakan elok dan ada yang mengatakan tidak.

Dalam hal ini, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga ditanya persoalan berkenaan dengan Damia elok atau tidak? Pada asalnya kami lebih mengambil sikap untuk berdiam diri kerana sudah ada pihak yang berautoriti mengemukakan jawapan. Justeru memadailah mereka memberi jawapan. Akan tetapi melihat kepada persoalan yang diajukan langsung kepada kami menyebabkan kami terpanggil untuk mengemukakan jawapan dengan seadanya. Jawapan pada kali ini bukanlah untuk bermusabaqah ilmu tetapi semata-mata mencari satu titik penyelesaian yang terbaik dan harmoni. Justeru Bayan Linnas pada kali ini kami namakannya dengan Polemik Nama Damia: Elok atau Tidak?

Menamakan Anak

Istimewanya manusia dari haiwan yang lain adalah ia mempunyai nama. Tetapi haiwan yang lain ia mempunyai nama yang umum, seperti ayam hutan, ayam daging, tanpa nama seperti nama-nama khas. Sebaliknya manusia sejak zaman berzaman bahkan datuk kita yang pertama Nabi Adam AS juga mempunyai nama, inilah uniknya manusia.

Islam dalam memberi nama menggalakkan kepada ibu bapa supaya memilih nama-nama yang baik. Seperti Abdullah, Abdurrahman, Muhammad, Hammad dan nama-nama yang mempunyai erti serta pengertian yang baik. Walaupun begitu kebebasan memberi nama diraikan selama mana bukan nama-nama yang buruk atau keji. Ini kerana, Rasulullah SAW pernah menukar nama perempuan dengan nama yang elok, begitu juga dengan sahabatnya yang lelaki.

Kami tidaklah ingin membincangkan ini dengan panjang lebar kerana sudah kerap kali kami bincang dalam isu-isu yang lain.

Menamakan Anak Dengan Damia

Dalam hal ini, mungkin terdapat pelbagai bentuk ejaan, Antaranya:
Damia
Damiya
Damea
Dameea
Damiia
Damiaa
Dyamia
Dyamyia
Atau seumpamanya.

Ini kerana, mungkin ia dipindahkan daripada bahasa yang lain, sama ada arab atau lainnya. Justeru melihat kepada bahasa yang lain adalah amat penting untuk menentukan maknanya. Dalam bahasa arab, kami bahagikan kepada dua:

Pertama: Nama

Damia ( ﺩﺍﻣﻴﺎ ) adalah nama tempat di Jordan. Ia terletak bersempadan dengan Palestin. Damiya' ( ﺩﺍﻣﻴﺎﺀ ) pula bermaksud kebaikan dan keberkatan. Lihat al-Qamus al-Muhit dan Mu’jam al-Ra’id . Ia perkataan lama yang jarang digunakan kini.

Damiah Pada Istilah Bahasa dan Fiqh

Damiah ( ﺩﺍﻣﻴﺔ) pula berkaitan dengan darah. Iaitu luka yang berdarah yang tidak mengalir. Lihat al-Qamus al-Muhit . Lihat juga al-Mu’jam al-Ma’ani al-Jami’ .

Dari segi bahasa bererti: Darah kesan dari luka.

ﺍﻟﺪَّﺍﻣِﻴَﺔُ ﻓِﻲ ﺍﻟﻠُّﻐَﺔِ : ﻣِﻦْ ﺩَﻣِﻲَ ﺍﻟْﺠُﺮْﺡُ ﻳَﺪْﻣَﻰ ﺩَﻣْﻴًﺎ ﻭَﺩَﻣًﻰ : ﺧَﺮَﺝَ ﻣِﻨْﻪُ ﺍﻟﺪَّﻡُ، ﻭَﺍﻟﺸَّﺠَّﺔُ ﺍﻟﺪَّﺍﻣِﻴَﺔُ : ﻫِﻲَ ﺍﻟَّﺘِﻲ ﻳَﺨْﺮُﺝُ ﺩَﻣُﻬَﺎ ﻭَﻻ ﻳَﺴِﻴﻞ
ُ
Keluar daripadanya darah. ﺍﻟﺸَّﺠَّﺔُ ﺍﻟﺪَّﺍﻣِﻴَﺔُ Al-Syijjah Al-Damiah (Luka yang berdarah): Sesuatu yang keluar darahnya dan tidak mengalir.     (Lihat Al-Maghrib, Al-Misbah al-Munir, Lisan Al-Arab ).

Para fuqaha berbeza pandangan terhadap pengertian Al-Daamiyah. Malikiyyah dan Syafieyyah menggunakan makna dari sudut bahasa. Kata ulama Malikiyyah: Damiah adalah sesuatu yang memberatkan kulit lalu terpercik darah darinya tanpa terkoyaknya kulit. Kata ulama Syafieyyah: Damiah adalah sesuatu yang keluar tanpa mengalirnya darah. ( Al-Manhul Jalil 4/364, Hasyiah Dasuqi (4/250-251), Mughni Muhtaj 4/26)

Majoriti Hanafiyyah pula mengatakan: Damiah adalah sesuatu yang mengeluarkan darah dan mengalirkannya tanpa menampakkan tulang. Inilah pendapat yang turut dipegang oleh golongan al Hanabilah yang menamakan Damiah dengan perkataan ﺍﻟْﺒَﺎﺯِﻟَﺔَ Al-Baazilah dan ﺍﻟﺪَّﺍﻣِﻐَﺔَ Al-Daamighah. ( Hasyiah Ibn Abidin, 5/372-373 ), Badai' Sonai ' 7/296 ).

Kedua: Perbuatan

Ia daripada perkataan Damia
ﻭَﻗَﺪْ ﺩَﻣِﻲَ ﻛَﺮَﺿِﻲ
َ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya dia telah berdarah, sama seperti perkataan radiya (dari segi wazannya).”     Lihat al-Qamus al-Muhit.

Maka tidak perlulah mengubah ejaan DAMIA, malahan menukar nama jika sekadar disangka ia mempunyai makna yang tidak baik. Biasa sahaja nama orang mengikut nama tempat seperti Jordan, Saudi dan Sarawak. Selagi ia tidak mempunyai maksud yang tidak baik, agama tidak melarangnya.
Asal Usul Damia Daripada Perspektif Tamadun Greek Purba

Dalam mitologi Greek, terdapat sekumpulan dewa yang dikatakan tinggal di Gunung Olympus, gunung tertinggi di Greek. Di sana, mereka mentadbir seluruh kehidupan manusia. Dewa-dewa di Gunung Olympus menyerupai lelaki dan wanita (walaupun mereka boleh berubah menjadi haiwan dan benda-benda lain).

12 dewa-dewa utama yang tinggal di Gunung Olympus adalah:
Zeus: Raja bagi semua dewa kebanyakan dewa) dan Dewa Cuaca, Undang-Undang dan Nasib
Hera: Permaisuri bagi Dewa, Dewi dan Perkahwinan
Aphrodite: Dewi Kecantikan dan Cinta
Apollo: Dewa Ramalan, Muzik, Puisi dan Ilmu.
Ares: Dewa Perang
Artemis: Dewi Pemburuan, Haiwan dan Kelahiran
Athena: Dewi Hikmah dan Pertahanan
Demeter: Dewi Pertanian dan Bijirin
Dionysos: Dewa Arak, Kesenangan dan Perayaan
Hephaistos: Dewa Api, Logam dan Arca
Her Perdagangan dan juga utusan peribadi bagi Zeus
Poseidon: Dewa Laut

Damia Sebagai Dewi

Dikatakan bahawa Damia (Δαμία) adalah personaliti lain daripada Artemis, Dewi Pemburuan, Haiwan dan Kelahiran. Dikatakan juga, Damia kemungkinan adalah gelaran lain bagi Auxesia dan Demeter, Dewi Pertanian dan juga Kesuburan. Dalam mitologi Greek, Damia dikenali sebagai Dewi Kesuburan Bumi.

Damia sebagai Kata Terbitan Damian

Disamping itu, kami juga sempat meneliti A New Greek And English Lexicon: Principally On The Plan Of The Greek And German Lexicon Of Schneider, kami mendapati bahawa perkataan Damia mungkin adalah kata terbitan daripada perkataan ΔαμαΩ yang bermaksud “to tame ” yang bererti pandai menjinakkan sesuatu. Ini juga selari dengan perkataan Damian yang merujuk kepada seorang yang menunduk atau menguasai orang lain ( to tame ). Ia berasal daripada perkataan Greek, Damianos.

Damia Sebagai Nama Tempat

Mengikut carian kami, terdapat beberapa tempat yang dinamakan sebagai Damia. Antaranya ialah, Damia ( ﺩﺍﻣﻴﺔ) yang berada di Jordan. Kawasan ini terletak 40 kilometer daripada daerah Hawali yang berada di bawah perbandaraan Dair Ala dan terletak 60 kilometer daripada bandar ibu negara Jordan, Amman. Tempat kedua juga merujuk kepada Jambatan Damiyah di atas Sungai Jordan yang menjadi sempadan antara Palestin dan Jordan, dan terletak kira-kira 35 kilometer daripada bandar Areha.

Tarjih

Kami cenderung kepada pendapat ianya dibolehkan kerana perkataan asal itu, ada makna keelokkan cumanya adanya hamzah pada hujungnya. Mengikut pakar Qiraat dari segi kaedah bacaan (perkataan damia tidak ada dalam al-Quran) ia boleh dibaca dengan hazaf (buang) hamzah lalu bacaannya menjadi DAMIYA/DAMIA sahaja menurut Qiraat Hamzah (Hamzah al-Zaiyyat, Imam yang ke-6 daripada 7 qiraat yang mutawatirah ) ketika waqaf dan riwayat Hisyam (beliau adalah perawi kepada Ibn Amir al-Dimashqi). Walaupun begitu kami cenderung supaya ejaan ditambah dengan hamzah seperti DAMIYA’/DAMIA' .

Nama-nama Sahabat Yang Pernah Ditukar Oleh Nabi SAW

Banyak nas daripada hadis yang menunjukkan bahawa Nabi SAW ada menukarkan nama para sahabat disebabkan oleh maslahah. Boleh jadi nama tersebut membawa makna yang tidak elok, disebabkan oleh itu Rasulullah SAW menukarkannya dan ini menjadi dalil bahawa nama seseorang itu boleh ditukarkan sekiranya terdapat maslahah.

Antara nama sahabat yang pernah ditukarkan oleh Nabi SAW ialah:
‘Asiah ( ﻋَﺎﺻِﻴَﺔ ) yang membawa makna pendosa kepada Jamilah ( ﺟَﻤِﻴﻠَﺔ ) yang cantik. Ini sepertimana di dalam hadis Nabi SAW daripada Ibn ‘Umar RA:

ﺃَﻥَّ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻏَﻴَّﺮَ ﺍﺳْﻢَ ﻋَﺎﺻِﻴَﺔَ ﻭَﻗَﺎﻝَ : ﺃَﻧْﺖِ ﺟَﻤِﻴﻠَﺔ
ُ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menukar nama ‘Asiah dan Baginda berkata: “Kamu Jamilah”.
Riwayat Abu Daud (4952). Sahih.

Hazn ( ﺣَﺰْﻥٌ ) yang membawa maksud kesedihan kepada Sahl ( ﺳَﻬْﻞٌ ) yang senang. Ini sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Al-Bukhari di dalam Sahihnya. Namun, di dalam hadis ini, ayah kepada Ibn al-Musayyib tidak menukarkan namanya dan diakhir hadis diceritakan bahawa disebabkan tidak menukar nama tersebut seperti yang disebut oleh Nabi SAW, keluarga mereka dirundum kesedihan dan kesusahan.

Asram ( ﺃَﺻْﺮَﻡ) yang membawa maksud perbuatan memotong kepada Zur’ah ( ﺯُﺭْﻋَﺔُ) iaitu tempat berladang/bercucuk tanam. Ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya.

Seterusnya, al-Imam Abu Daud telah menyebutkan: “Nabi SAW telah menukarkan nama al-‘As ( ﺍﻟﻌﺎﺹِ ), ‘Aziz ( ﻋﺰﻳﺰ ), ‘Atalah ( ﻋَﺘَﻠَﺔ ), Syaitan ( ﺷَﻴﻄﺎﻥِ), al-Hakam ( ﺍﻟﺤَﻜَﻢِ ), Ghurab ( ﻏُﺮﺍﺏٍ), Hubab ( ﺣُﺒﺎﺏٍ ), Syihab ( ﺷﻬﺎﺏٍ) menamakannya dengan Hisham ( ﻫﺸﺎﻣﺎ ) dan menamakan Harban ( ﺣَﺮْﺑﺎ ) dengan Silman ( ﺳِﻠْﻤﺎً ) begitu juga al-Mudtoji’ ( ﺍﻟﻤُﻀﻄَﺠِﻊَ ) kepada al-Munba’ith ( ﺍﻟﻤﻨﺒَﻌِﺚَ )…”

Berdasarkan kenyataan di atas, al-Imam Khattabi di dalam Ma’alim al-Sunan menyebutkan bahawa al-‘As ( ﺍﻟﻌﺎﺹِ ) dtukarkan kerana membawa makna al-‘Isyaan ( ﺍﻟﻌﺼﻴﺎﻥ ) iaitu penderhakaan. Begitu juga ‘Aziz yang mana ianya bermaksud Maha Mulia dan ini hanya layak untuk Allah SWT sahaja.

Seterusnya ‘Atalah ( ﻋَﺘَﻠَﺔ ) yang membawa maksud keras dan berat sedangkan sifat mukmin itu mestilah bersifat lemah lembut dan mudah. Syaitan ( ﺷَﻴﻄﺎﻥ) yang membawa maksud jauh dari kebaikan. Begitu juga al-Hakam ( ﺍﻟﺤَﻜَﻢِ) yang mana nama ini hanya layak buat Allah SWT iaitu Maha Meluluskan Hukum. Ghurab ( ﻏُﺮﺍﺏٍ) yang merujuk kepada seekor binatang ( American Crow / Gagak Amerika) yang jijik perbuatannya begitu juga memakan makanan yang kotor dan Rasulullah SAW membenarkan untuk membunuhnya. Hubab ( ﺣُﺒﺎﺏٍ ) pula adalah sejenis ular dan diriwayatkan juga ianya adalah nama bagi syaitan. Begitu juga dengan Syihab ( ﺷﻬﺎﺏٍ) yang mana membawa maksud nyalaan api neraka.

Berdasarkan nas-nas hadis di atas kami berpendapat ada bagusnya agar nama yang membawa kepada makna yang tidak elok ditukarkan kepada yang lebih baik. Wallahu a’lam.

Kenyataan Mufti Wilayah

Apa yang berlaku memberi kepada kita betapa Bahasa Arab mempunyai makna yang pelbagai. Justeru melihat kepada makna yang baik sebagai tafa’ul adalah penting. Pada saat yang sama elakkanlah daripada penamaan yang boleh membawa kekeliruan. Isu seperti ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Ini kerana jika dibiarkan keadaan seperti ini ia akan berlaku ke semasa dari semasa. Justeru satu tidankan yang bersepadu utnuk mengemaskinikan isu penamaan ini dengan lebih efisyen dan terkini perlu digerakkan dengan pantas.

Cadangan

Pertama: Kepada Jabatan Pendaftaran Negara

Kami me Pendaftaran Negara memberi ruangan khusus dalam nama anak-anak umat Islam untuk ditulis dengan dua nama iaitu dalam tulisan Rumi dan juga tulisan Jawi. Seterusnya tulisan Jawi diambilkira sebagai yang paling muktamad terutamanya dalam kalimah atau nama yang wujud dalam Bahasa Arab. Ini kerana kami dapati banyak juga nama apabila ditulis dalam huruf Latin atau Rumi boleh memberi maksud yang lain. Contohnya perkataan yang mengandungi huruf
‘Ain dan Alif yang biasanya akan ditulis dalam bahasa melayu dengan huruf A sahaja seperti Abdullah. Ini bertujuan agar ketepatan sebutan dan makna sebenar yang dikehendaki sampai kepada maksudnya. Perkara ini telah dilakukan di Singapura untuk umat Islam di sana.
Sudah sampai masanya Jabatan Pendaftaran Neg menempatkan para asatizah atau yang berkelayakan dalam agama seperti kader JAKIM bagi menentukan kesahihan nama sebutan, pensabitan nasab juga menjadi penasihat kepada ibu bapa yang datang untuk penamaan anak.

Kedua: Kepada Ibu Bapa

Kami cadangkan kepada para ibu bapa yang direzekikan dengan cahaya mata dan zuriat solehah agar:

Memberi dan memilih nama yang baik kepada anak-anak sama ada putera atau puteri.

Tanyalah kepada ahli ilmu dan para asatizah ketika mahu menamakan anak.

Janganlah rujuk kepada buku sahaja tatkala ingin menamakan anak.

Elakkanlah daripada menamakan anak dengan nama-nama yang panjang dan tersusun ( murakkab) tetapi berpadalah dengan satu atau dua sahaja kerana ghalibnya sebutan akan dipendekkan.

Biasakanlah dengan memanggil anak dengan nama yang penuh supaya menghasilkan maksud dan maknanya.

Semoga dikurniakan pasangan hidup, suami dan isteri yang soleh dan solehah serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata dan saham buat kita di Hari Akhirat. Kami tutup dengan sebuah doa yang sangat baik untuk dibaca selepas solat.

ﺭَﺑَّﻨَﺎ ﻫَﺐْ ﻟَﻨَﺎ ﻣِﻦْ ﺃَﺯْﻭَﺍﺟِﻨَﺎ ﻭَﺫُﺭِّﻳَّﺎﺗِﻨَﺎ ﻗُﺮَّﺓَ ﺃَﻋْﻴُﻦٍ ﻭَﺍﺟْﻌَﻠْﻨَﺎ ﻟِﻠْﻤُﺘَّﻘِﻴﻦَ ﺇِﻣَﺎﻣًﺎ

Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Akhukum fillah,

SS. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan


TEKS UCAPAN PENGERUSI MAJLIS MAKAN MALAM DAN MAJLIS SANJUNGAN BUDI LAMBAIAN KASIH, SMK BUKIT GOH 2016



TEKS UCAPAN PENGERUSI MAJLIS MAKAN MALAM DAN MAJLIS SANJUNGAN BUDI LAMBAIAN KASIH, SMK BUKIT GOH 2016
(Sebahagiannya dibaca pada majlis tersebut)

Assalaamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh dan salam sejahtera,

Bunga tanjung di tengah pekan,
Tiupan bayu mencelah suria,
kalimah nan agung saya mulakan,
Salam sejahtera menambah ceria.

Daun layu di tengah gurun,
nampak jalur pohon cemara,
Tradisi Melayu turun temurun
Pantun ditutur pembuka bicara.

Selamat datang kami ucapkan,
Buat semua hadirin budiman,
Ke sidang majlis penuh taakulan,
Bersama merapat ukhuwwah dan taulan.

Yang berusaha, Puan Hajjah Wan Norini bt Wan Hamat,
Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bukit Goh,

Yang dihormati, Encik Wan Ludin bin Wan Ali, 
Pengerusi PIBG SMK Bukit Goh,

Ustaz Mohd Anuar bin Mohd Amin,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SMK Bukit Goh

Encik Awang Mahadi bin Ali,
Penolong Kanan Korikulum, SMK Bukit Goh

Yang diraikan Pn. Hazmah bt Hamzah dan Encik Kamazahri bin Kamarudin,
Ketua-ketua bidang,

AJK PIBG, SMK Bukit Goh,

Rakan-rakan guru dan kakitangan sekolah serta keluarga masing-masing, dan seterusnya hadirin hadirat yang dikasihi sekalian..

Hadirin dan hadirat sekalian,

Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dengan limpah kurniaNya, dihimpunkan kita di majlis yang sangat besar ertinya kepada semua warga SMK Bukit Goh.

Jamuan Akhir tahun dan majlis perpisahan adalah program tahunan sebagai menghargai usaha dan pengorbanan guru dan kakitangan dalam usaha meningkatkan nama sekolah di peringkat daerah maupun negeri.

Majlis seperti ini diadakan oleh semua sekolah menjelang berakhirnya sesi persekolahan. Di samping itu juga meraikan guru-guru yang akan bersara dan bertukar kerana menghargai pengorbanan mereka selama ini dalam membangunkan sekolah dari segi akademik, kokurikulum, bina insan dan keceriaan...

Berat Sama di pikul
Ringan sama dijinjing
Kita umpama aur dengan tebing
itulah yang diibaratkan ibubapa dan guru
saling perlu memerlukan.
Pelbagai usaha telah dan akan dicernakan
Kejayaan pasti menjelma bukan umpama mimpi
Jika kita bersatu hati.

Ikan merah dijual di pekan,
Syukur gembira dapat sebaldi,
Cuaca cerah turut mengizinkan,
Pohonlah doa ke hadrat Ilahi.

Bagi memberkati majlis ini, marilah kita bersama-sama menadah tangan munajat kepada Allah, semoga majlis ini berjalan dengan sempurna hingga ke akhirnya.

Dengan ini, dipersilakan Ustaz Shafie Mohd Hasin untuk menitipkan doa dalam majlis yang penuh gilang gemilang ini.

(Doa dibaca)

Amin.. amin ya Rabbal Alamin. Semoga dengan bacaan doa itu tadi, majlis ini akan berjalan lancar.

Semoga majlis kita pada hari ini dipelihara, 
Dilimpahkan sepenuh manfaat dan keceriaan, 
Menambah tautan kemesraan, 
Serta berpisahnya kita nanti,
akan diiringi dengan seribu kenangan.

Bukan keris tanpa ulunya
Bukan majlis tanpa ucapannya.

Seterusnya dipersilakan Encik Suhaimie bin Abdul Halim , Pengerusi Kelab Keluarga SMK Bukit Goh menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang penuh ertinya pada malam ini.

Dengan segala hormatnya dipersilakan.. (Encik suhaimie menyampaikan ucapan... )

Mekar melati diapit kejora,
Kuntuman tersemat, jadi pamitan,
Tersentuh hati mendengar bicara,
Ungkapan azimat jadi ingatan.

#### Demikian tadi ucapan daripada Pengerusi Kelab keluarga yang kita kasihi

Pergi ke kedai membeli gula
Gula di bawa berhati-hati
Yang Dipertua kami mempersila
Ucapan diberi kita hayati.

Seterusnya, majlis dengan berbesar hati menjemput Yang DiPertua PIBG SMK Bukit Goh, Yang berusaha En Wan Ludin bin Wan Ali untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan..

### YDP PIBG menyampaikan ucapan

Demikian tadi ucapan oleh Yang Di Pertua PIBG SMK Bukit Goh, En Wan Ludin bin Wan Ali. Terima kasih diucapkan

Tidak berseri rasanya majlis ini tanpa mendengar amanat dan ucapan keramat daripada Guru Penolong Kanan Pentadbiran yang kita kasihi. Dengan ini dipersilakan Puan Hajjah Wan Norini bt Wan Hamat, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bukit Goh untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya, dipersilakan...

(Puan Hajjah Wan Norini menyampaikan ucapan...)

Tumbuh selirat bunga melati,
Mari direnjis dalam jambangan,
Ucapan tersirat seribu erti,
Semoga majlis menjadi kenangan.

Seterusnya dipersilakan Puan Hazmah bt Hamzah, guru SMK Bukit Goh yang akan bersara menyampaikan sepatah dua kata dalam majlis yang penuh ertinya pada hari ini. Dengan segala hormatnya dipersilakan..

(Puan Hazmah bt Hamzah menyampaikan ucapan... )

Banyak duri perkara duri,
Tidak sama duri mengkuang,
Banyak budi perkara budi,
Tidak sama budimu seorang.

Malam hari berlagu unggas,
Memecah kesunyian di dalam hutan,
Walaupun terpisah tempat dan tugas,
Budimu puan dalam ingatan

Ular lidi menyusur rotan,
Menyusur jatuh ke dalam paya
Banyak budi puan semaikan
Semoga tumbuh menyinar dunia.

Seterusnya majlis mempersilakan En Kamazahri bin Kamarudin yang akan bertugas di sekolah yang baharu untuk menyampaikan ucapannya. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan…

(Encik Kamarzahri menyampaikan ucapan...)

Mekar melati diapit kejora,
Kuntuman tersemat, jadi pamitan,
Tersentuh hati mendengar bicara,
Ungkapan azimat jadi ingatan.

Kain songket cantik kilauan,
Ditenun oleh orang kemaman,
Tak terbalas budimu tuan,
Kami merakam setinggi penghargaan.

####### Tayangan slaid video – nostalgia Untuk Puan Hazmah bt Hamzah selama bertugas di SMK Bukit Goh

Hadirin sekalian, 
majlis ini diadakan sebagai simbolik untuk melambangkan kerjasama saling memberi dan menerima, susah dan senang sama dirasa.

###### Majlis penyampaian Hadiah Persaraan dan pertukaran

Ke Pekan sudah, ke Maran pun sudah,
Cuma ke Tenom sahaja yang belum,
Ucapan sudah, pesanan pun sudah,
Makan dan minum sahaja yang belum.

kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih,
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

Untuk itu, marilah kita sama-sama merasa kelazatan makanan dengan didahului membaca doa makan...

(Acara makan malam...)

### Penutup majlis

Tuan-puan yang dimuliakan,
Andai berkayuh dah sampai ke seberang,
Andai memanjat dah sampai ke pucuk,
Andai mendaki dah sampai ke puncak,
Setiap yang bermula pasti akan berakhir,
Begitu juga dengan majlis kita pada malam ini.
Sebagai penutup bicara...

Sisir pelepah meraut lidi,
Menganyam daun atap jerami,
Yang indah, yang berseri bawalah pergi,
Yang cacat, yang keji tinggalkan buat kami.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di bawah saji,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan dikutuk diumpat keji.

Pohon kuini dahannya patah
Di situ tempat bermain kenari,
Sampai di sini kata bernoktah,
Izinkan saya mengundur diri.

Demikianlah tadi selesai sudah Majlis Makan Malam dan Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih sempena persaraan dan perpisahan sahabat yang kita kasihi pada kali ini.

Semoga majlis ini dapat mengeratkan ukhuwwah di kalangan kita untuk terus menggapai kejayaan dalam semua bidang pada tahun hadapan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis kita pada hari ini. Semoga berjumpa di lain kali.

Sekian, wassalamualaikum wbt...

Alwi Muda
Pengacara Majlis
MGCC, Indera Mahkota, Kuantan
18 NOV 2016
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.