PEMBINA USULKAN PPSMI SEGERA DITAMATKAN


Laporan Eksekutif Tahap Kompetensi Guru Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal Insan Murid


Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dengan usahasama

Universiti Putra Malaysia
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Universiti Sains Malaysia
Universiti Utara Malaysia
Universiti Teknologi Mara
Malaysia Universiti Teknologi Mara Sarawak
Universiti Malaysia Sabah
Universiti Teknologi Malaysia

FEBRUARI 2009


LAPORAN EKSEKUTIF


1. Tajuk


Tahap Kompetensi Guru Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Menggunakan Bahasa Inggeris (PPSMI) Serta Implikasinya Terhadap Pembangunan Modal insan.


2. Objektif Kajian


Bertujuan untuk menilai status pelaksanaan PPSMI oleh guru-guru dan implikasinya ke atas pengajaran dan pembelajaran, serta pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Secara khususnya objektif kajian bertujuan untuk:

(i) Mengukur tahap kompetensi guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

(ii) Menilai kesediaan dan penerimaan guru melaksanakan PPSMI serta tahap komunikasi mereka dalam Bahasa Inggeris.

(iii) Menilai kecekapan guru dalam menggunakan teknologi komputer (TK).

(iv) Menilai prestasi murid termasuk kebolehan dan keupayaan mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik serta kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

(v) Menilai peratus sumbangan penguasaan dan kemahiran Bahasa Inggeris murid-murid melalui PPSMI.

(vi) Menyampaikan dapatan kajian sebagai maklum balas membantu pihak penggubal dasar membuat keputusan.


3. Maklumat Kajian


3.1. Kajian dijalankan di Sekolah Rendah (SR) dan Sekolah Menengah (SM) di seluruh negara, meliputi bandar, pinggir bandar, luar bandar, pulau dan pedalaman termasuk SK Orang Asli.

3.2. Sampel Kajian terdiri dari sembilan puluh (90) buah Sekolah Rendah, iaitu 58 SK, 10 SK (FELDA), 5 SK (PULAU), 3 SK (ASLI), 2 SK Pendidikan Khas, 7 SRJKC dan 5 SRJKT.

3.3. Bagi Sekolah Menengah (SM), Sampel Kajian terdiri dari tujuh puluh (70) buah sekolah, yang meliputi Sekolah Menengah Kebangsaan (44 SMK), SMK FELDA (5), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (4 SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (4 SBP), Maktab Rendah Sains Mara (5 MRSM), Sekolah Menengah Teknik (4 SMT) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Conforming (4 SMKC).

3.4. Bagi Sekolah Rendah (SR), kajian dibuat terhadap murid-murid Tahun 5 (Kohort 2, 2004 PPSMI) bagi subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dengan menggunakan ujian standard.

3.5. Bagi Sekolah Menengah, kajian dibuat terhadap pelajar-pelajar Tingkatan 4, bagi subjek Sains dan Matematik (Aliran Sastera). Matematik Tambahan, Fizik 1, Fizik 2, dan Kimia 1 serta Kimia 2 bagi Aliran Sains dengan menggunakan ujian standard, termasuk Bahasa Inggeris.

3.6. Seramai 553 orang guru dipilih sebagai sampel kajian yang terdiri, 186 SR dan 367 SM. Sementara bilangan pentadbir, iaitu Pengetua, atau Penolong Kanan Sekolah Menengah seramai 70 orang dan Sekolah Rendah 90 orang.

3.7. Jumlah bilangan murid sampel kajian, ialah 15.089 orang yang terdiri daripada kawasan Bandar 5404 orang (35.8 %), Luar Bandar 9388 orang (62.2 %), Sekolah Pedalaman 109 orang (0.7 %) dan Sekolah Pulau 188 orang (1.3 %).


4. Dapatan Kajian


4.1. Kajian mendapati sejumlah 39.3 peratus guru (73″ orang) Sekolah Rendah dan 13.2 peratus guru (49 orang) Sekolah Menengah masih belum berpeluang menghadiri taklimat asas PPSMI. Keadaan ini telah berlanjutan, dan jika tidak diberi perhatian, akan menyebabkan prestasi pengajaran guru tidak berkualiti.

4.2. Penguasaan Bahasa Inggeris guru-guru PPSMI amatlah kritikal dan merupakan masalah utama untuk menyampaikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Guru belum yakin sepenuhnya untuk menggunakan Bahasa Inggeris, terutama sekolah di Luar Bandar. Kajian mendapati 39.3 peratus guru (74 orang) Sekolah Rendah dan 25.3 peratus guru (93 orang) Sekolah Menengah gagal dalam Penilaian Tahap Profisiensi Bahasa Inggeris. Walaupun mereka gagal, mereka terus mengajar dan masih menerima elaun Bayaran Insentif Subjek Pendidikan. Kedudukan ini membimbangkan kerana ia memberi kesan terus kepada pedagogi serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

4.3. Kajian mendapati masih terdapat guru Bahasa Inggeris Sekolah Rendah yang tidak berkelayakan atau tidak tergolong sama ada mempunyai opsyen pertama 1.6 %, (3 orang) atau opsyen kedua 4.8 % (9 orang) dalam bidang Sains atau Matematik yang mengajar mata pelajaran PPSMI. Di samping itu sejumlah 1.4 peratus (5 orang) guru Bahasa Inggeris Sekolah Menengah yang tidak berkelayakan dalam bidang Sains atau Matematik terus mengajar mata pelajaran PPSMI. Amalan ini sepatutnya tidak berlaku secara berterusan kerana mata pelajaran PPSMI mementingkan konsep dan istilah dengan huraian secara saintifik dan tepat serta bukan sekadar mengajar murid dengan menggunakan bahasa Inggeris.

4.4. Secara keseluruhannya prestasi pengajaran dan pembelajaran guru PPSMI dalam bilik darjah adalah pada tahap sederhana (skor min 5.44) atau 54.4 peratus. Justeru usaha untuk meningkatkan Pengetahuan Isi Kandungan Pedagogi (PCK) memerlukan usaha yang berlipat ganda, iaitu lebih daripada 20 peratus untuk mencapai tahap baik atau melebihi 30 peratus pada tahap cemerlang dalam asiJek permulaan, penyampaian, penggunaan dan interaksi murid dan guru dalam Bahasa Inggeris dan penggunaan serta kemahiran menggunakan Teknologi Komputer. Bagi melipat gandakan usaha ini berkemungkinan mengambil masa lebih daripada 10 tahun bagi mencapai matlamat PPSMI.

4.5. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru PPSMI mempunyai kompetensi pada tahap sederhana (min = 5.79) dalam melaksanakan proses pengajaran pembelajaran dalam Bahasa Inggeris. Ini bermakna jurang kompetensi agak besar (42.10%) untuk diperbaiki bagi menjadi guru yang cekap dan berkualiti.

Akibatnya pengajaran guru tidak bermaya, kaku, gagal menyampaikan isi pengajaran dengan tepat dan berkesan, menjemukan, lebih banyak membaca nota, buku teks atau menggunakan papan tulis. Gagal menghurai atau mengolah isi pengajaran dengan baik. penggunaan bahasa bercampur aduk:

(i) Dwi bahasa - Bahasa Melayu/ibunda melebihi Bahasa Inggeris.

(ii) Dwi bahasa – Bahasa Inggeris melebihi Bahasa Melayu/ibunda.

(iii) Tidak terdapat guru menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya .

4.6. Kecekapan guru dalam mengendali dan menggunakan Teknologi Komputer adalah pada tahap sederhana (skor min = 6.04). Dalam erti kata lain guru-guru masih kurang menggunakan bahan Teknologi Komputer atau menggunakannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. penggunaan teknologi komputer dalam PPSMI ini dianggap oleh guru-guru Sains dan Matematik tidak banyak membantu murid dalam memahami isi kandungan pelajaran dan proses pengajaran pembelajaran mereka.

4.7. ‘Roh’ atau tulang belakang PPSMI adalah terletak pada bahu pentadbir sekolah. Mereka memainkan peranan penting yang dipikul dan mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran guru serta pencapaian akademik murid. Kajian mendapati pentadbir yang prihatin dengan Teknologi Komputer, mengaktifkan peranan panitia dalam PPSMI dan melaksanakan pemantauan ke atas pengajaran guru-guru memberi kesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan prestasi murid.

4.8. Daripada 12 mata pelajaran yang diuji, didapati bahawa murid-murid di kawasan bandar mengatasi rakan-rakan mereka di kawasan Luar Bandar dalam 10 mata pelajaran (kecuali mata pelajaran Fizik 1 dan Kimia 1) dengan perbezaan markah purata antara 3.30 hingga 19.73.

4.9. Status pelaksanaan PPSMI dan sumbangannya terhadap peningkatan penguasaan dan pencapaian Bahasa Inggeris murid-murid:

(i) Sekolah Rendah: Didapati sumbangan dan korelasinya adalah rendah bagi mata pelajaran Sains, iaitu ia hanya berjaya menyumbang meningkatkan Bahasa Inggeris sebanyak 0.7 peratus sahaja. Sementara bagi Matematik, tiada sumbangan terhadap peningkatan Bahasa Inggeris.

(ii) Sekolah Menengah Aliran Sastera: Bagi mata pelajaran Sains dan Matematik sumbangan dan korelasinya rendah. Di mana bagi Matematik hanya berjaya menyumbang peningkatan Bahasa Inggeris sebanyak 1.0 peratus dan 0.6 peratus bagi Sains.

(iii) Sekolah Menengah Aliran Sains: Hanya 2 mata pelajaran sahaja yang menunjukkan ada korelasi dan sumbangan rendah, iaitu Kimia 2 dan Matematik Tambahan. Di mana, jumlah kedua-dua mata pelajaran ini hanya menyumbangkan sebanyak 0.9 peratus, iaitu 0.6 peratus bagi Kimia 2 dan 0.3 peratus bagi Matematik Tambahan.

Oleh itu dapatan melalui analisis regresi berganda yang ditunjukkan di atas, jelaslah bahawa sumbangan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris hanya mampu menyumbang pad a tahap paling minimum, iaitu kurang daripada 4 peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara kese.luruhannya. Dari segi perkiraan “cost -benefit analysis” dalam konteks pelaburan pendidikan jangka masa panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan dan sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. Dengan ini disarankan supaya diberhentikan dasar PPSMI. lanya juga harus diterokai pendekatan alternatif pengajaran Bahasa Inggeris cara lain yang lebih konkrit dan praktikal, iaitu dengan menggubal dan menambahbaikkan kurikulum dan pedagogi mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri.

4.10. Urutan pencapaian murid mengikut peringkat dan jenis sekolah adalah seperti berikut:

(i) Berdasarkan susunan pencapaian murid rendah daripada tinggi ke rendah bagi ketiga-tiga mata pelajaran menunjukkan pencapaian murid SK berada tempat ketiga, di mana SJK (C) sentiasa mendahului dan lain-lain jenis sekolah sentiasa ketinggalan. Turut terserlah, ialah pencapaian SK (FELDA) berada di tahap yang mendukacitakan.

(ii) Berdasarkan susunan pencapaian murid Sekolah Menengah Aliran Sastera daripada tinggi ke rendah bagi ketiga-tiga mata pelajaran menunjukkan pencapaian murid SMK Comforming adalah lebih baik daripada SMK dan SMK (FELDA).

(iii) Berdasarkan susunan pencapaian murid aliran Sains daripada tinggi ke rendah bagi enam mata pelajaran aliran menunjukkan pencapaian murid sekolah Berasrama Penuh (SBP), MRSM dan SMK Comforming mengatasi Sekolah Menengah harian. Sehubungan ini murid SMK dan SMK (FELDA) ketinggalan di belakang dan tidak dapat menguasai PPSMI.

4.11. Secara perbandingan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik (9 kali ujian) yang diuji dalam Bahasa Inggeris dan diuji dalam dwi-bahasa peringkat Sekolah Rendah, Sekolah Menengah Aliran Sastera dan Sekolah Menengah Aliran Sains menunjukkan pencapaian murid yang menjawab soalan dengan menggunakan medium soalan dwi-bahasa lebih baik atau mengatasi pencapaian mereka yang menggunakan medium Bahasa Inggeris dengan kelebihan skor min antara 6.94 hingga 16.45. Justeru itu adalah jelas bahawa penggunaan dwi-bahasa atau Bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta ujian lebih digemari murid dan mereka dapat membuktikan penguasaan yang lebih baik dalam Bahasa Melayu. Dengan ini ditegaskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik amat bertepatan untuk dikendalikan dalam Bahasa Melayu di peringkat SK dan menengah, dan bahasa ibunda di SRJKC dan SRJKT.

4.12. Pad a keseluruhannya bagi Sekolah Rendah, peratus pencapaian murid yang gagal adalah lebih tinggi (29.86 - 50.56 %) berbanding dengan bilangan mereka yang mencapai tahap cemerlang (10.12 - 31.00 %). Bagi murid Sekolah Menengah aliran sastera, trenda yang sama juga berlaku di mana prestasi murid yang gaga I adalah lebih tinggi (49.44 ¬85.08 %) berbanding dengan mereka yang cemerlang (1.11 % - 20.03 %). Begitu juga bagi murid Sekolah Menengah Aliran Sains, di mana peratus murid yang gagal (24.59 - 69.96 %) adalah lebih tinggi daripada mereka yang mendapat cemerlang (0.78 - 28.06 %).

4.13. Kajian PEMBINA dengan jelas mendapati sesungguhnya pelaksanaan PPSMI menimbulkan kerugian berganda (double jeopardy) kepada murid-murid, terutama kepada lebih kurang 75% murid-murid yang tergolong dalam kategori sederhana dan lemah di dalam ketiga-tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid¬murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat Sekolah Rendah lagi.

Buktinya, analisis sampel terhadap keputusan peperiksaan yang diambil ke atas 5590 murid tahun 5, kohort 2 (2004) dari 56 buah SK seluruh negara, menunjukkan bahawa pencapaian mereka semakin merosot, malah ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun yang lebih tinggi, iaitu di Tahun 2 (2005), Tahun 3 (2006), Tahun 4 (2007), Tahun 5 (2008) dan dijangkakan berterusan di Tahun 6 (2009).

Tanda atau pola yang sama juga diperolehi oleh kajian-kajian yang dijalankan oleh Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Oaerah dan pihak sekolah sendiri.

Kemerosotan ini berlaku disebabkan murid-murid tidak dapat memahami dan mengikuti pelajaran dan konsep yang diajar oleh guru disebabkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka amat lemah. Murid tidak dapat berkomunikasi dan menggunakan Bahasa Inggeris semasa berinteraksi dengan guru dan sesama mereka.


5. Kesimpulan


Justeru, kesan berganda hasil daripada sistem PPSMI mengakibatkan bilangan murid yang berkualiti tinggi (pencapaian tinggi) adalah terhad atau dalam lain perkataan bilangan mereka yang berpencapaian rendah mendominasi dalam arus perdana pendidikan peringkat menengah. Ini akan memberi kesan kepada pendidikan peringkat tertiari, di mana bilangan murid yang memasuki peringkat ini akan menurun terutamanya bagi penuntut Melayu aliran Sains.

Apa yang jelas, dari dapatan kajian ini adalah PPSMI tidak berkesan sebagai alat memperkasa modal insan murid bertaraf dunia dan setaraf dengan dunia maju. Malah dapatan kajian menunjukkan prestasi murid PPSMI dalam kalangan responden menurun dari Tahun Satu ke Tahun Enam. Prestasi murid dalam ujian dwibahasa secara signifikan lebih baik daripada prestasi mereka dalam ujian yang sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Petanda ini membawa kepada situasi atau fenomena akan wujudnya generasi terpupus “lost generation” dalam kalangan pelajar Melayu di mana mereka ini dikhuatiri tidak akan layak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari, selanjutnya memupuskan golongan bijak pandai Melayu masa depan yang bakal menerajui Wawasan 2020, khasnya di dalam bidang Sains dan Teknologi. Dari setahun ke setahun, akan berlipat ganda anak-anak Melayu menganggur atau akan hanya bekerja sebagai pekerja biasa, tanpa mempunyai kemahiran disebabkan mereka gagal mata pelajaran Sains dan Matematik di dalam peperiksaan awam.

Guru-guru diperhatikan tidak berupaya maju ke hadapan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Malah, mereka nampaknya berundur ke belakang. Mereka kekok berbahasa Inggeris, kurang yakin dalam penyampaian dan pedagogi mereka kurang berkesan serta ham bar. Mereka gagal menghidupkan interaksi antara murid - guru dan antara murid - murid. Amnya, kompetensi guru-guru PPSMI belum mencapai tahap yang diharapkan. Malah tidak terdapat guru yang menggunakan Bahasa Ingerfs sepenuhnya dalam pengajaran.

Dalam konteks pelaburan pendidikan jangka masa panjang, kajian mendapati proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik hanya menyumbang paling minimum, iaitu kurang daripada empat peratus terhadap peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris murid. Sumbangan ini terlalu kecil dan tidak mampu membantu mengurangkan kemunduran prestasi murid serta mengurangkan jurang perbezaan antara skor ujian dalam Bahasa Inggeris dengan skor ujian dalam dwibahasa.

Pentadbir sekolah telah menunjukkan komitmen yang signifikan, namun usaha mereka tidak dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Kajian mendapati, pengurusan PPSMI mereka hanya menyumbang dalam aspek menggalakkan guru menggunakan sepenuhnya Teknologi Komputer, menggerakkan peranan aktiviti panitia dan melakukan pemantauan terhadap guru PPSMI. Namun, usaha ini masih belum mencukupi untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ke arah melahirkan modal insan murid yang berkualiti.


5. Usul


5.1. PEMBINA mencadangkan supaya dasar PPSMI ini DITAMATKAN dan dikembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ke dalam Bahasa Melayu mulai peringkat Sekolah Rendah hingga ke peringkat Universiti, iaitu mengikut dasar seperti mana sebelum PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003.

5.2. PEMBINA amat yakin bahawa untuk meningkatkan penguasaan dan kemahiran berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris melalui pengajaran dan pembelajaran Matematik adalah salah dan menimbukan kerugian berganda ‘double jeopardy’ kepada murid-murid terutama murid-murid yang berprestasi sederhana dan lemah dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Oleh itu diusulkan bagi memperkasakan Bahasa Inggeris murid-murid hendaklah melalui pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri dengan menggubal, meminda atau menambahbaikan kurikulum, kaedah pedagogi dan teknik pengajaran dan pembelajaran, penambahan waktu Bahasa Ingerfs, peningkatan tahap kecekapan guru dan sebagainya.

Usul ini dibuat adalah berdasarkan dapatan kajian dan justifikasi tahap kompetensi guru serta impaknya terhadap pembinaan modal insan murid, khususnya murid Melayu, bandar mahupun luar bandar, termasuk kawasan FELDA, Pulau, Pedalaman dan Sekolah ASLI. Adalah jelas bahawa pelaksanaan PPSMI GAGAL untuk membina modal insan murid yang berkualiti sebagaimana yang dihasratkan di peringkat awal pelaksanaan PPSMI.

Ketelusan, kejujuran, keikhlasan, integriti dan akauntabiliti semua pihak, khasnya Kementerian Pelajaran Malaysia adalah diharap untuk menghentikan dasar PPSMI ini demi kesejahteraan dan pembangunan modal insan murid.

0 ulasan:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.