ASAS-ASAS AMAL TARBAWI

Manhaj perubahan Islam berasaskan kerja-kerja menghimpun, mentarbiyyah dan menyusun batu bata binaan organisasi Islam mempunyai 10 asas penting.

1. Menyempurnakan kekurangan tarbawi yang terkurang hasil didikan realiti masyarakat yang membesarkannya.

Setiap individu akan terkesan dengan realiti sosial, politik, ekonomi, budaya, sistem dan segalanya yang melingkungi pembesarannya sejak kecil sama ada positif atau negatif. Sekiranya wujud aspek-aspek positif maka tugas amal dakwah adalah menyempurnakannya dan meningkatkan kemampuannya bukan memulakannya dari awal. Sebaliknya jika wujud kekurangan perlulah disempurnakan dari tahap kelemahan itu dan meningkatkannya ketahap yang lebih tinggi bukan mengabaikannya atau mengajarnya sesuatu yang bukan keutamaan untuk dirinya.

Contohnya: Jika seorang itu tidak tahu membaca al-Quran maka tidaklah layak beliau diajar ilmu `tarannum’.

Setiap sesuatu ada asas dan ada cabang atau pelengkapnya. Sebelum seseorang itu diajar dan dikembangkan aspek-aspek cabang dan pengkhususan beliau terlebih dahulu perlu disempurnakan asas-asasnya melalui proses tarbiyyah.

” Bertuturlah dengan manusia mengikut kadar kemampuan akalnya”

” Belajarlah untuk memahami sebelum dilantik menjadi pemimpin”

” Apabila seorang yang muda dilantik menjadi pemimpin akan menyebabkannya kehilangan banyak ilmu”.

” Tentera adalah laluan kepada kepimpinan”.

Manhaj tarbiah adalah sesutu yang lengkap dan fleksible. Ia bukan sekadar silibus-silibus yang disusun dan dilaksanakan mengikut semester tetapi , proses tarbiyyah memerlukan seorang murabbi yang faham realiti orang yang ditarbiyyahnya, mengetahui kelebihan dan kekurangan yang ada untuk ditingkatkan dan diperbetulkan.

Tarbiyyah bukan sekadar membaca buku tetapi melihat apakah objektif perubahan yang hendak dihasilkan dan merangka aktiviti-aktiviti tarbiyyah yang boleh mencapai tujuannya melalui wasilah-wasilah tarbiyyah yang telah terbukti berkesan.

Namun para pendakwah di Malaysia secara spesifik perlu mengenali kelemahan asas yang ada dalam masyarakat Melayu Muslim khususnya hasil daripada kelemahan sistem pendidikan yang mereka lalui, budaya hidup, cara berfikir, tabiat-tabiat negatif, pendedahan ilmiah dan pekerjaan yang di lalui selain serangan terancang musuh Islam yang berjaya menyelewengkan identiti masyarakat Islam daripada objektif Syarak sebenar.

2. Membekalkan kepada para pendakwah nota-nota pembuka perbincangan.

Perkara yang paling sukar dalam kerja-kerja tajmik ialah untuk mencari topik perbincangan untuk dimulakan dengan orang disekitarnya. Lebih sukar lagi untuk menyusun dan membawa perbincangan kepada idea Islam yang sebenar terhadap sesuatu isu dan menyusun keutamaannya.

Kita tidak mempunyai masa untuk dibazirkan kepada perbincangan isu-isu politik, ekonomi, sosial dengan sekadar mengkritik atau tindak balas terhadap isu-isu yang sengaja ditimbulkan musuh Islam atau oleh orang yang tidak mempunyai plan kehidupan yang jelas tanpa sesuatu objektif yang membina.

Sebaliknya pendakwah perlu fokuskan perbincangan kepada isu-isu asas yang boleh menggerakkan minda masyarakat untuk memahami realiti dan kedudukan intimak mereka di dalam Islam, menyedarkan mereka terhadap bahaya yang menimpa ummah, musuh-musuh yang berkerja secara terencana dan menimbulkan rasa bertanggungjawab terhadap Allah dalam diri mereka untuk bertindak membuat perubahan.

Hari ini masyarakat terdedah kepada tulisan-tulisan dalam majalah, akhbar, blog-blog dan sebagainya daripada penulis-penulis yang merupakan anti Islam atau penulis Islam yang tidak membawa masyarakat kepada kematangan identiti.

Tanggungjawab amal Jama`i menuntut agar gerakan Islam menyediakan bahan-bahan pembuka yang mengetengahkan idea Islam terhadap seluruh isu dan mengemukakan jalan penyelesaiannya.

Terdapat di medan dakwah tulisan-tulisan, bahan terjemahan dan sebagainya yang bermutu dan boleh digunakan oleh pendakwah. Tugas pemimpin amal Islam ialah memilih dan menyusunnya mengikut keutamaan berasaskan abjadiyat amal-amal tarbawi.

3. Pendakwah perlu berusaha berbicara perkara yang sesuai denagan keperluan mad`u.

Asas ini menyempurnakan asas terdahulu. Seorang pendakwah perlu tahu, faham dan jelas objektif perubahan yang ingin dicapai hasil daripada perbincangannya dengan mad`unya. Oleh itu pendakwah perlu memilih topik dan memandu perbincangan supaya mencapai objektif.
Namun perkara lebih utama ialah ; pendakwah mendengar seluruh luahan pemikiran dan perasaan mad`unya agar beliau mengetahui tahap pemikiran, pandangan, pegangan, salah faham dan sebaginya supaya pendakwah mampu mengarahkan perbincangan kepada objektif yang sesuai.

Pimpinan gerakan Islam perlu menyusun tajuk-tajuk dan bahan yang sesuai untuk mad`u diperingkat sekolah menengah, universiti, golongan buruh, petani dan sebagainya di samping tajuk-tajuk umum untuk semua golongan.

Persedian ini dapat mengelakkan para pendakwah bercakap mengikut ijtihad masing-masing dan lebih utama agar perbincangan tidak tersasar kepada persoalan yang tidak diperlukan atau topik yang belum tiba masanya.

4. Memperbanyakkan memperingatkan mengenai alasan realiti yang mewajibkan berkerja secara berjamaah

Dalil-dalil Syarak daripada nas-nas al-Quran dan Hadis bertujuan mencetuskan niat pengabdian diri kepada Allah dalam beramal untuk Islam secara berjamaah dan tuntutan keimanan manakala alasan-alasan realiti mendorongnya dengan lebih kuat.

Pendakwah perlu selalu mengingatkan tentang tabiat pertembungan antara kebenaran dan kebatilan dan menegaskan bahawa golongan batil bergerak secara terancang dan berorganisasi, berparti dan kerajaan. Pendakwah perlu menonjolkan wujud kesatuan peranan pemerintah, media massa, sistem kehakiman, sistem keselamatan negara hatta pendidikan dalam meneruskan agenda jahiliyyah.

Kefahaman ini menyedarkan bahawa berdiam diri atau berkerja secara tersendiri tanpa perancangan yang rapi adalah tidak selari dengan tuntutan perjuangan yang sebenar.

5. Ambil sesuatu daripada mad`u mengikut kemampuannya dan berikan kepadanya sekadar keperluannya.

Mad`u yang kita kumpulkan dalam satu kumpulan kecil masih terdapat kekurangan dalam diri mereka dan wujud perbezaan peribadi antara mereka. Gabungan pemikiran, kerohanian, latarbelakang kehidupan, pengalaman kekeluargaan, pendidikan dan sebagainya yang membentuk setiap diri mereka adalah tidak sama.

Ada yang berkesempatan belajar disekolah agama sejak kecil ada tidak, watak, ilmu dan keperibadian ibu bapa mereka juga berbeza, ada berpengalam luas dalam pelbagai aktiviti luar semasa di sekolah dan ada yang tidak berpengalaman. Ada yang terdedah dengan didikan guru-guru disekolah menengah yang kurang akhlaknya atau yang cenderung kepada kesufian.
Latarbelakang ini membentuk perbezaan kecenderungan, kemahiran, kesediaan untuk berdisiplin dan sebagainya. Melalui program membersihkan jiwa, menanamkan kesedaran Islam dan rasa tanggungjawab akan meletakkan mereka pada satu tahap yang sama secara umumnya dan masing-masing akan ada kelebihan yang berbeza yang boleh dimanfaatkan dalam medan amal.

Sikap para mad`u ingin melakukan perubahan pada diri dan mahu belajar sudah bermadai kepada duah untuk memberikan masanya kepada mereka.

Sikap utama pendakwah dengan mad`u ialah mengambil manfaat daripada mereka atau memberi tanggungjawab sekadar kemampuan mereka.

Kita tidak harus menjadikan kreteria bersemangat, kecenderungan untuk berdisiplin dan taat sebagai syarat asasi untuk kita mendidik mereka. Mungkin di kalangan mereka ada yang kurang berdisiplin dengan program tarbiyyah tetapi pendakwah yang mendidik mereka mungkin menyedari masa depan gemilang mereka yang boleh dimanfaatkan oleh dakwah pada masa hadapan jika mereka masih mempunyai hubungan rapat dengan pendakwah.

Mungkin mereka akan menjadi penulis akhbar yang terkenal, ahli politik yang baik, memiliki ijazah doktor falsafah dan menjadi pensyarah di universiti, tenaga pakar dalam jentera kerajaan dan sebagainya yang boleh memberi manfaat kepada dakwah pada masa hadapan.
Namun kemampuan duah untuk membawa mereka di dalam binaan tanzim adalah setinggi harapan dalam amal Islami.

Mungkin ada dikalangan pelajar universiti tetapi masih mempunyai watak seorang remaja yang belum matang. Pendakwah hanya perlu bersedia menerima keadaan ini dan menunggu mereka sempurna memiliki kematangan diri.

Ada di kalangan mad`u yang suka menunjuk-nunjuk, mementingkan pendapatnya, suka merajuk apabila ditegur, sekali sekala terjebak di dalam gejala lagha, ada yang bersemangat malakukan kerja-kerja dakwah sehingga mereka menyangka pendakwah lemah dan tidak memberikan tenaganya yang maksima. Ada dikalangan mad`u yang tidak sabar dengan corak pentarbiahan yang syumul dan cenderung dengan aktiviti-aktiviti ilmiah, menghadiri majlis-majlis ilmu dan menadah kitab. Gejala seumpama ini lahir apabila mad`u belum mencapai kedewasaan dalam tarbiyyah dan belum memahami tuntutan amal Islami semasa.
Pendakwah hanya perlu bersabar dan menyusun aktiviti tarbiahnya secara tersusun dan mendidik . Bagi kita masa sebahagian daripada rawatan.

6. Mengelakkan perbalahan mad`u dengan kaum keluarganya.

Terdapat dikalangan mad`u yang mempunyai semangat yang berlebihan yang mendorong mereka memetik buah sebelum masanya. Mereka segera membantah sikap ibu bapa yang bermuamalah dengan muamalah riba atau memaksa ibu dan saudara perempuan mereka untuk menutup aurat.

Sikap ini menjadikan mad`u menyalakan api peperangan diantaranya dan keluarganya.
Mereka perlu difahamkan bahawa beliau tidak menaggung bebanan dosa akibat maksiat keluarganya kerana itu adalah tanggungjawab bapanya sebagai ketua keluarga juga tidak menjejaskan maruah dirinya di sisi kita.

Begitu juga beliau perlu difahamkan bahawa kelaurganya adalah mangsa keadaan dan sistem yang ada sebelum menghukum mereka dengan sengaja menolak untuk melaksanakan syariat Islam.

Mungkin juga para mad`u memahami kewajiban tuntutan syarak secara melampau lalu beliau memerintahkan keluarganya melaksanakan tuntutan syarak lebih daripada batasan yang dibenarkan syarak tanpa memahami keperluan beliau merubah sesuatu kemungkaran dengan menggunakan pertimbangan keutamaan antara keperluan syarak, berperingkat, menggunakan uslub yang penuh kebijaksanaan, memaafkan, bertolak ansur dan nasihat yang baik.
Pendakwah perlu mengingatkannya bahawa masa sebahagian daripada proses rawatan.

7. Sentiasa menyelangi aktiviti umum dengan beriktikaf di dalam masjid.

Menggalakkan biah masjid di dalam diri mad`u merupakan unsur penting. Penegasan ini perlu kerana kebanyakan aktiviti dakwah lebih kepada aktiviti luaran seperti, riadah, khidmat masyarakat, kursus-kursus dan program-program umum lain.

Keseimbangan unsur tarbiah antara amal jasadi dan rohani adalah perkara utama. Realiti masyarakat kini terlalu jauh daripada masjid dan kebanyakan masa mereka dilaksanakan jauh daripada suasana tadabbur ayat-ayat al-Quran. Keadaan ini menjadikan ruh mereka tidak tenang dan mudah cenderung kepada kemaksiatan, lagha dan melupai akhirat.

Duduk seketika di dalam masjid jauh daripada kesibukan dunia memberi ruang kepada mad`u merenung ke dalam dirinya dan bermuhasabah supaya mereka dapat membetulkan pemikiran dan tindakan mereka.

Aktiviti ini boleh dilakukan sebelum atau sesudah solat fardu secara galakan dan bukan perintah daripada pendakwah. Tindakan secara sukarela dan sedar membuka ruang keinsafan di dalam diri mad`u terutamanya dengan keberkatan `Rumah Allah’.

Pendakwah hari ini banyak melakukan aktiviti mereka di pejabat dan di rumah kalaupun mereka memasuki masjid hanyalah untuk menunaikan solat fardu dan kemudian bergegas keluar.

Oleh itu memperuntukan masa beri’tikaf setiap hari beberapa jam untuk berfikir, bermuhasabah dan mentadabbur al-Quran dapat mengembalikan kecergasan rohani dan ketajaman firasat al-mukmin.

8. Mengawasi pembacaan mad`u.

Para pendakwah akan mendapati mad`unya teruja dengan buku-buku yang terlalu banyak di pasaran dan membelinya. Terdapat pelbagai tajuk yang ditulis, ada yang sesuai dengan tahap pentarbiahannya dan ada yang kurang sesuai terutamanya bagi menyusun abjadiyat kefahaman dalam pembentukan kepreribadiannya.

Tanpa panduan dan bimbingan akan menjadikan mad`u membaca tajuk-tajuk yang melampaui marhalahnya dan menjadikannya merasa jemu untuk membaca dan berbincang tajuk-tajuk pentarbiahan bagi menyempurnakan keperibadiannya.

Adalah tidak baik menghentikan minat untuk membaca tetapi pendakwah boleh menyusun tajuk-tajuk buku berdasarkan kepentingan dan keutamaan tarbawinya. Pendakwah perlu menjelaskan kenapa susunan pembacaan itu dilakukan supaya belaiu dapat mempelajari kepentingannya.

9. Mendidik mad`u melakukan tugas-tugas dakwahnya secara tenang.

Sebelum para mad`u turun ke medan melaksanakan peranannya berhujah dan berdialog dengan masyarakat pendakwah perlu terlebih dahulu membawanya bersama-sama melihat pendakwah melaksanakan dakwahnya.

Pendakwah perlu menunjukkan uslub berdialog secara hikmah, menjawab segala salah faham dengan teratur dan adab-adab ketika berbeza pendapat. Pendakwah boleh meminta mad`u mengumpul rakan-rakan sekolahnya atau anak-anak jirannya supaya da`i dapat bertemu dan berbincang dengan mereka.

Melalui uslub ini mad`u dapat mempelajari cara melaksanakan tugas dakwah secara tersusun dan terancang dengan baik.

10. Menghitung peribadi soleh dalam masyarakat secara `brainstorming’

Individu soleh dalam masyarakat masih ramai tetapi kita melupai nama dan rupa mereka disebabkan kesibukan tugasan harian kita.

Kita boleh menggunakan sedikit masa memerah otak menyusun nama-nama mereka dan menulisnya di dalam buku prospek dakwah kita akan memudahkan kita mendapat khidmat mereka apabila perlu.

Pendakwah boleh memperuntukan satu hari berkumpul disuatu tempat yang sunyi bersama-sama mad`unya untuk melakukan aktiviti `prospekting’.

Mulakan dengan kaum keluarganya dan sepupu-sepupunnya, gunakan masa 15 minit untuk aktiviti ini. Bayangkan wajah-wajah mereka dan pilihlah untuk permulaan 3 orang yang terbaik dikalangan mereka dan senaraikan nama-nama mereka di dalam buku prospek.

Seterusnya gunakan 15 minit untuk meneliti kaum kerabatnya yang lain dan 15 minit untuk meneliti anak-anak jirannya. Tambah sekurang-kurangnya 4 nama baru dalam senarai prospeknya.

Kemudian cubalah membayangkan rakan-rakan sekolahnya sejak kecil hingga peringkat menengah yang mungkin berada jauh daripadanya dan tambahkan 3 nama lagi di dalam senarainya.

Seterusnya membayangkan penduduk tamannya dan taman sekitarnya sehingga keseluruhnya daearah tempat tinggalnya dari satu lorong ke satu lorong lain. Masukkan 10 nama lagi dalam senarainya dikalangan nama-nama manusia soleh yang boleh membantu dakwah sekiranya mereka ditarbiah dengan baik.

Bayangkan penduduk negerinya, orang-orang dikilang-kilang, pejabat, sekolah dan sebagainya. Bayangkan pelajar-pelajar universiti yang dikenalinya, rakan-rakan kuliahnya dari satu kursus ke satu kursus dan pelajar-pelajar sekolah menengah yang dikenalinya.

Seterusnya bayangkan orang-orang soleh mengikut sektor yang dikenalinya mulakan dengan doktor, peguam, jurutera, kontrektor, peniaga dan sebagainya.

Setelah selesai menyenaraikan nama-nama mereka gunalah masa lain untuk mencari nombor-nombor telefon mereka atau alamat mereka. Mungkin ada nama-nama yang dimasukkan secara terburu-buru dan kurang soleh dan nama-nama yang tidak dapat dikesan maka bolehlah dibuang daripada senarai. Cukupkan senarai menjadi 40 nama.

Setelah itu pecahkan senarai-senarai tersebut kepada 3 kelompok.

15 orang pertama dikalangan mereka orang yang terbaik dikalangan kenalannya. Beliau perlu merencana bagaimana untuk menghubungi mereka dan memulakan persahabatan dengan mereka. Menziarahi mereka dimusim-musim perayaan dan ketika kesedihan. Sentiasa menyampaikan kepada mereka risalah-risalah yang diterbitkan oleh jamaahnya, mengingatkan mereka tarikh-tarikh kuliah dan ceramah yang di adakan dan menjemputnya kemajlis keraiannya.

Kelompok kedua dikalangan mereka yang mempunyai tahap sederhana di dalam kecintaan mereka kepada Islam dan dakwah . Tumpuan dakwah dilakukan secara sederhana atau mereka berada di negeri lain yang sukar diziarahi maka cukuplah berhubung melalui alat perhubungan lain yang sesuai.

Kelompok ketiga adalah kelompok yang lemah. Cukuplah menjaga hubungan baik dengan mereka dengan harapan mendapat kepercayaan dan sokongan mereka sama ada dengan menyerahkan anak-anak mereka untuk ditarbiah atau meminta mereka memberi undi mereka dalam pilihanraya atau meminta mereka menjadi orang tengah kepada kenalan mereka yang soleh untuk diperkenalkan kepada pendakwah.

Olahan dari : Muhammad al-Rasyid ; al-Masar , Funun al-Tajmi’.

0 ulasan:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.