UCAPAN TAHUN BARU 2008 - MENTERI PELAJARAN MALAYSIA


TEKS PERUTUSAN TAHUN BARU 2008
Y.B. DATO’ HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya 4 Januari 2008

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dan salam sejahtera, selamat pagi saya ucapkan kepada para hadirin yang saya hormati sekalian.

Yang Berhormat Dato’ Hin Choon Kim
Timbalan Menteri Pelajaran

Yang Berhormat Puan Komala Devi
Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran

Y. Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Haji Awang
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran

Y. Bhg.Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Pegawai-pegawai kanan kementerian, warga kementerian di semua peringkat, murid-murid,
pelajar-pelajar yang saya kasihi.

1. Saya pertama-tamanya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua wargaKementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di mana sahaja tuan-tuan dan puan-puan berada. Semoga kita semua melangkah ke tahun yang baru ini dengan penuh azam dan semangat yang berkobarkobar serta bersedia untuk menunaikan segala amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan di atas bahu kita bersama.

2. Pada hari mulia ini juga, marilah kita bersama–sama mengucapkan dan memanjatkan rasa kesyukuran kita kerana dengan berkat limpah kurnia izin dan makbul Allah SWT, kita dapat menyambut kehadiran tahun baru dengan suasana yang aman, sejahtera, bebas dari sebarang malapetaka, bencana-bencana besar dan kekacauan.

3. Banjir yang melanda lima buah negeri baru-baru ini telah pun di pantau melalui Jawatankuasa Khas Penggal Persekolahan 2008 setiap hari dan tindakan segera telah diambil bagi membantu pihak sekolah di dalam kawasan terbabit. Sebanyak 223 buah sekolah KPM di negeri Kelantan, Pahang, Johor, Kedah dan Terengganu yang terjejas akibat banjir dan sehingga kini anggaran nilai kerosakan adalah sebanyak RM 20 juta, iaitu RM 12.2 juta melibatkan kerosakan fizikal, RM 5.6 juta melibatkan kerosakan perabot dan peralatan, termasuk peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan RM 2.2 juta bagi menggantikan buku teks. Kelantan merupakan negeri yang paling teruk terjejas dengan anggaran nilai kerosakan sebanyak RM9.3 juta diikuti dengan Pahang, RM9.2 juta.

3. Saya gembira kerana tindakan pembersihan, pembaikan dan penggantian telah dilaksanakan dengan segera dan hari ini saya dimaklumkan bahawa semua sekolah di seluruh negara boleh beroperasi dengan lancar. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua. Kerana saya lihat bahawa kesungguhan kita kadang kalanya tidak diiktiraf oleh orang ramai, tetapi kita sebagai satu warga kementerian, satu keluarga yang besar ini sekurangkurangnya dapat kepuasan dari mereka yang terlibat untuk mempertahankan maruah kita warga Kementerian Pelajaran Malaysia dalam semua aspek.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

4. Terasa bahawa tahun 2007 berlalu dengan begitu pantas. Mungkin kerana di sepanjang tahun 2007 terlalu banyak tugas yang perlu dilaksanakan, terlalu banyak peristiwa atau terlalu banyak perkara baru yang berlaku dalam bidang pendidikan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tahun 2007 agak berbeza dari tahuntahun sebelumnya kerana selain melaksanakan tugas-tugas
rutin dan menangani isu yang timbul secara bermusim, tumpuan kita lebih banyak diberikan kepada pelaksanaan segala perancangan di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

5. Sebaik sahaja selesai pelancaran PIPP pada 16 Januari, tanpa berlengah kita telah menganjurkan Persidangan Perancangan Strategik bagi menerangkan kepada semua pegawai-pegawai kementerian kita, tumpuan, objektif, sasaran matlamat PIPP ini. Selepas itu, kita telah mengisi setiap bulan dengan fokus tertentu berkaitan dengan teras-teras yang telah pun ditetapkan di bawah PIPP ini, bermula dengan fokus terhadap Teras Keempat, iaitu usaha Merapatkan Jurang Pendidikan melalui Program Lonjakan Saujana Pendidikan Luar Bandar, kita telah pun pada bulan Februari bersamasama dengan YAB Perdana Menteri melancarkan pendekatan yang bersungguh-sungguh untuk mengurangkan jurang yang masih wujud. Diikuti dengan Teras Keenam, iaitu usaha Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan di dalam bulan Mac; seterusnya Teras Ketiga, Memperkasa Sekolah Kebangsaan dengan tumpuan terhadap program Pembestarian Sekolah dalam bulan April sehinggalah fokus dalam bulan terakhir, di dalam bulan November di mana kita kembali memberi tumpuan kepada Teras Ketiga, iaitu Memperkasa Sekolah-sekolah Kebangsaan. Tidak lama selepas itu, di dalam bulan Disember, kita sekali lagi telah berhimpun di dalam Konvensyen PIPP bagi menilai semula pelaksanaan pelan ini, mengenal pasti semua kekangan yang ada, mencari jalan mengatasinya dan menyiapkan kad laporan kedua yang InsyaAllah akan kita bentangkan kepada Jemaah Menteri dan masyarakat awam tidak lama lagi.

6. Alhamdulillah, hanya selepas 11 bulan PIPP dilancarkan, pelaksanaan RMKe-9 sudah menunjukkan perkembangan yang baik. Dari segi prestasi perbelanjaan, sehingga 30 November 2007 yang lalu, kita sudah melaksanakan 9,785 projek yang bernilai RM21.54 bilion. Daripada jumlah itu, 2,214 projek bernilai RM2.54 bilion sudah siap sepenuhnya dan baki 3,133 projek bernilai RM6.7 bilion sedang giat dilaksanakan. Pada masa yang sama, kita juga sudah mula menggerakkan pelaksanaan 4,438 projek lagi yang bernilai RM12.29 bilion yang ketika ini dalam
pelbagai peringkat prabina seperti penyediaan reka bentuk, penyediaan dokumen tender, penilaian tender dan rundingan harga.

7. Dari segi perbelanjaan tahunan, daripada RM 2.24 bilion yang diperuntukkan di bawah Perbelanjaan Pembangunan kepada KPM pada tahun 2006, sejumlah 95.2 peratus atau RM 2.13 bilion sudah dibelanjakan. Bagi tahun 2007 pula, setakat 15 Disember 2007, daripada 3.01 bilion yang diperuntukkan sejumlah RM2.21 bilion atau 73.7 peratus telah dibelanjakan. Jumlah ini mengatasi purata nasional iaitu 68.9 peratus. Walau bagaimanapun, jumlah perbelanjaan dijangka akan melonjak kepada RM 2.73 bilion atau 90.8 peratus menjelang 11 Januari 2008 nanti.

8. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat. Jumlah perbelanjaan dijangka akan melonjak kepada RM 2.73 bilion atau 90.8 peratus menjelang 11 Januari 2008 ini. Apa yang penting sekarang adalah untuk kita memperhebatkan lagi kejayaan ini. Kalau dari segi makronya, perbelanjaan telah pun mengikut sasaran yang di tetapkan, dari segi mikronya pula, apa yang telah dirancang juga telah mengikut jadual yang telah ditetapkan. Misalnya bagi projek-projek yang berkaitan dengan teras ketiga, iaitu merapatkan jurang pendidikan khususnya lonjakan saujana pendidikan luar bandar sehingga akhir Disember lalu, kesemua 300 projek bekalan air bersih telah pun siap dibekalkan untuk dimanfaatkan 120,000 murid. Bagi bekalan elektrik 24 jam pula, daripada 432 buah sekolah yang terlibat, 370 buah sekolah dibekalkan dengan jana kuasa manakala 62 buah sekolah lagi melalui bekalan elektrik awam. Bagi projek penyambungan elektrik awam, daripada 32 buah sekolah telah siap keseluruhannya manakala baki 30 buah lagi telah siap kerja pendawaian dalaman.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

9. Perutusan tahunan saya tahun ini mirip kepada masuk bakul angkat sendiri. Almaklumlah di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai warga KPM, kita tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak dan ada kala kita berasa terkilan kerana usaha bersungguhsungguh kita tidak diiktiraf, tidak dihargai dan kadang kala ada yang langsung tidak berterima kasih. Saya baru mendengar aduan daripada Datin Hamidah. Dengan segala yang kita lakukan di negeri Selangor pun, bermacam-macam isu dibangkitkan di dalam penggal pertama ini. Tetapi masuk bakul angkat sendiri sesama warga kementerian, pihakpihak berkepentingan dan anak-anak kita di atas sana saya tidak apologetik kerana saya percaya tuan-tuan dan puan-puan telah melakukan yang terbaik. Hari ini sebagai rekod, kita akan maklumkan kepada dunia semua kejayaan dan pencapaian kita pada tahun 2007.

10. Bagi saya pencapaian kita setakat hari ini adalah cukup menakjubkan. Bukan mudah untuk menterjemahkan satu pelan induk ke dalam bentuk pelaksanaan dalam masa yang singkat, iaitu kurang daripada satu tahun, lebih-lebih lagi jika kita mengambil kira saiz kementerian ini yang begitu besar dengan jumlah warga kerja dan pelajar yang begitu ramai selain merangkumi pihak berkepentingan yang begitu banyak dan pelbagai. Malah untuk menerangkan sejelasjelasnya PIPP kepada pegawai-pegawai di peringkat KPM, di peringkat negeri dan daerah, di peringkat sekolah dan masyarakat umum, bagi saya sudah menjadi suatu cabaran yang besar, apalagi untuk menggerakkannya ke dalam bentuk perlaksanaan dan tindakan. Bukanlah sesuatu yang menghairankan, malah adalah sesuatu yang telah kita jangka, bila terdapat ramai pihak yang begitu sinis terhadap PIPP ketika ia mula-mula dilancarkan. Bagaimanapun, alhamdulillah, sebagai Menteri Pelajaran yang berdiri di hadapan semua warga KPM hari ini, saya ingin menyatakan bahawa sekiranya kita ikhlas dan sanggup bekerja dengan bersungguh-sungguh, sesungguhnya Kementerian Pelajaran boleh dan kita akan buktikan bahawa apa yang termaktub akan menjadi kenyataan.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

11. Biarpun tahun 2007 begitu padat, begitu mencabar dan memenatkan, namun saya yakin bagi setiap warga kementerian, segala pengalaman yang ditempuhi ini benar-benar memberikan kepuasan, lebih-lebih lagi apabila ia disulami dengan berita-berita gembira dan pencapaian yang membanggakan.

12. Dalam bidang akademik misalnya, keputusan UPSR dan PMR telah menunjukkan peningkatan yang menggalakkan. Bagi UPSR, daripada 500,786 orang calon yang menduduki peperiksaan, sejumlah 48,400 orang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki. Peningkatan yang sama juga dilihat di dalam PMR, di mana jumlah pelajar yang mendapat A meningkat sebanyak 3.2 peratus berbanding tahun 2005. Peningkatan ini menunjukkan usaha kita yang dilaksanakan sepanjang tahun. Program bantuan tambahan, latihan guru, ujian diagnostik, program bacaan tambahan, pelbagai program yang lain yang telah dilaksanakan di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan juga di peringkat sekolah telah memberikan pulangan yang agak memberangsangkan.

13. Kejayaan anak-anak kita menguasai kurikulum dalam bidang-bidang mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Kemahiran Komputer, Tulisan, Ejaan dan Ujian Pencapaian Am di peringkat antarabangsa juga menakjubkan kita. Misalnya kejayaan pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Convent (1) Bukit Nanas, Nur Fatihah Athira Muhamad yang mengharumkan nama negara apabila memenangi dua pingat emas dalam International Competitions and Assessments for Schools (ICAS) 2007. Turut membanggakan adalah pencapaian pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist Kuala Lumpur, Isaac Tay Shao An yang memenangi tiga pingat emas juga di dalam ICAS. Kedua-dua mereka berjaya memenangi pingat emas untuk negara walaupun perlu bersaing dengan lebih 1.7 juta pelajar dari 10 buah negara.

14. Dalam bidang kokurikulum pula, pencapaian pelajar kita juga tidak kurang hebatnya, termasuk di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh dalam bidang sains dan teknologi, kita telah menghantar pelajar-pelajar kita ke pertandingan seperti Kejohanan Dunia Cabaran Teknologi F1 di Australia, International Science and Engineering Fair (ISEF) di Amerika Syarikat, International Chemistry Olympiad (IChO) di Korea, International Physics Olympiad (IPhO) di Singapura, International Mathematics Olympiad (IMO) di Greece, World Robotics Olympiad (WRO) di Cina dan banyak lagi. Pencapaian pelajar kita yang baik di dalam pertandingan-pertandingan ini telah membantu meningkatkan imej Malaysia. Misalnya, dalam 11th World Primary Matematic Contest di Hong Kong, daripada lapan pelajar yang dihantar, empat orang telah mendapat markah sempurna (perfect score) dan dianugerahkan 1st honor seterusnya
membolehkan pasukan negara menjadi johan keseluruhan pertandingan tersebut. Kontinjen Malaysia yang menyertai Kejohanan World Robot Olympiad (WRO) 2007 di Taiwan juga telah mengangkat nama negara dan sistem pendidikan negara setelah berjaya meraih satu Pingat Emas, satu Pingat Perak, 10 Anugerah Kecemerlangan (Excellent Winners Award) dan anugerah Pasukan Paling Popular. Saya minta agar usaha-usaha ini dipertingkatkan lagi di masa hadapan.

15. Dalam bidang sukan, kejayaan pelajar-pelajar kita yang berjaya membantu negara di sukan SEA di Korat baru-baru ini turut membanggakan kita. Daripada 743 atlet negara, 107 merupakan pelajar kita (dan dua orang merupakan guru kita). Daripada jumlah 107 orang ini, 94 orang datang dari keduadua buah sekolah sukan kita dan baki 13 orang lagi dari sekolah harian yang lain. Di Korat, pelajar kita telah membantu negara merangkul 25 pingat emas, 19 pingat perak dan 39 pingat gangsa. Pelajar-pelajar kita telah menyumbang 36 peratus daripada keseluruhan 68 pingat emas yang dipungut oleh kontinjen negara. Pencapaian ini jauh lebih baik daripada Sukan SEA Manila pada tahun 2005, di mana pelajar kita hanya merangkul 16 pingat emas, 9 pingat perak dan 12 pingat gangsa. Lebih membanggakan, dua pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Bryan Nickson Lomas dan Daniel William Bego, merupakan atlet terawal layak mewakili negara untuk bertanding dalam Sukan Olimpik di Beijing pada tahun 2008.
16. Selain pencapaian akademik, kokurikulum dan sukan, kita juga boleh menarik nafas lega kerana jumlah kes disiplin di kalangan pelajar sepanjang tempoh empat tahun sejak tahun 2004 telah menurun. Sedikit sebanyak ini menunjukkan bahawa pendekatan Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, KPM dan empat jawatankuasa bertindaknya telah menampakkan kesan yang positif. Statisik menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 0.03 peratus kes disiplin, iaitu daripada 2.13 peratus tahun 2006 kepada 2.10 peratus tahun 2007. Jumlah aduan disiplin yang diterima juga menurun daripada 170 aduan pada tahun 2006 kepada hanya 108 aduan sahaja pada tahun 2007. Kes ponteng sekolah juga menunjukkan penurunan sebanyak 0.07 peratus, iaitu daripada 0.46 peratus pada tahun 2006 kepada 0.39 peratus pada
tahun 2007.

17. Dari segi hukuman pula, bilangan pelajar yang dikenakan hukuman Gantung Sekolah, Buang Sekolah dan Rotan turut berkurang. Peratus kes hukuman Gantung Sekolah telah menurun daripada 0.4 peratus pada tahun 2006 kepada 0.37 peratus pada tahun 2007. Bagi hukuman Buang Sekolah, kesnya telah menurun daripada 0.2 peratus pada tahun 2006 kepada 0.18 peratus pada tahun 2007. Manakala bagi kes hukuman rotan pula, jumlahnya telah menurun daripada 1.4 peratus pada tahun 2006 kepada 1.25 peratus pada tahun 2007.

18. Tentulah satu lagi kejayaan yang menggembirakan adalah kejayaan negara menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO dengan undi yang tertinggi. Bagi setiap yang terlibat ketika itu, kita tahu kejayaan ini dicapai melalui usaha keras bukan sahaja dalam kalangan kita yang berada di sana, tetapi juga semua pihak yang telah berusaha mempromosikan segala pengalaman, kepakaran dan peranan negara dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini membuktikan bahawa sistem pendidikan negara diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Kalau sekiranya ada pihak-pihak di negara sendiri tidak mahu mengiktiraf pencapaian kita, sekurang-kurangnya di persada antarabangsa, sistem pendidikan kita telah dilihat sebagai di antara yang terbaik di dunia.

19. Sebenarnya banyak lagi kejayaan yang telah kita capai di sepanjang tahun lepas. Namun tidak mungkin dapat saya senaraikan semuanya pada kesempatan yang terhad ini. Tetapi apa yang penting, ialah untuk kita jadikan semua cerita kejayaan ini sebagai kegembiraan yang membolehkan kita menutup tirai tahun 2007 dengan senyuman dan menjadi pembakar semangat untuk kita memulakan tahun 2008 dengan penuh keazaman baru.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

20. Segala yang kita lakukan ini, menerusi dua pendekatan dan enam teras yang termaktub di dalam PIPP kita, ialah untuk melaksanakan sebaik-baiknya tanggungjawab dan amanah kita untuk membangunkan modal insan bagi mengisi pembangunan dan kemajuan negara.

21. YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi ada menyatakan bahawa, “Hari ini modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan.” Modal insan merupakan kunci kepada perubahan sosio-ekonomi masyarakat serta
kunci kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara. Persoalannya, modal insan yang bagaimana hendak kita lahirkan melalui sistem pendidikan kita? Tentunya modal insan yang dapat membina negara ini, yang dapat mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara, yang dapat memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat; bukan sekali-kali mereka yang tidak menghormati undang-undang, tidak menghargai keamanan dan keharmonian negara; bukan juga golongan yang merusuh di tepi-tepi jalan, membakar bendera, mempersendakan lagu Negaraku, membuat kekacauan serta meniupkan api perkauman dan permusuhan.
22. Secara ringkasnya kita ingin melahirkan modal insan yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, berkeperibadian mulia dan setia serta sayangkan negara. Secara lebih mendalam, kita mahukan mereka;
* Pertamanya, menjadi pelajar yang seimbang dari aspek jasmani, intelek, rohani dan emosi, kita mahukan pelajar yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, berilmu dan berkemahiran, berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni, berkeyakinan tinggi, berketerampilan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

* Kedua, menjadi pekerja berkualiti yang berintegriti, mempunyai minda kelas pertama, minda teroka, kritis dan juga kreatif, berilmu pengetahuan luas dan sentiasa dahagakan ilmu, berkemahiran tinggi menguasai kemahiran ICT, berfikiran terbuka, berprinsip, reflektif, sanggup mengambil risiko, mampu berkomunikasi dengan berkesan dan sentiasa sanggup ke hadapan untuk mencipta teknologi baru.

* Ketiga, yang mampu menjadi pemain global, kita hari ini dalam dunia yang tanpa sempadan terpaksa bersaing dengan anak-anak bangsa lain di dunia, maka anak-anak kita perlu menjadi pemain global yang berdaya saing tinggi, berdaya tahan, menguasai pelbagai bahasa, terutama bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di samping terus berpegang teguh kepada jati diri, identiti dan bahasanya sendiri.

* Keempat, menjadi warganegara yang bertanggungjawab, iaitu warga negara yang bersikap patriotik, berbudi, komited, adil, penyayang, sentiasa sanggup menyumbang bakti dan boleh menjadi pemimpin yang berkesan kepada keluarga dan juga masyarakat. Pada masa yang akan datang, saya percaya bahawa negara yang paling berjaya adalah negara yang benar-benar berusaha untuk meneroka, membangun dan memanfaatkan potensi serta bakat dan menyuntik nilai-nilai murni di dalam jiwa dan sanubari anak-anak bangsanya, bukan hanya kepada segelintir, sebahagian mereka yang berada di sini tetapi ke semua modal insan yang ada di negara kita.

23. Negara memerlukan ciri-ciri modal insan yang sebegini untuk berjaya. Bagaimanapun pada masa akan datang, saya percaya bahawa negara yang paling berjaya adalah negara yang benar-benar berusaha untuk meneroka, membangun dan memanfaatkan potensi serta bakat bukan hanya segelintir, tetapi kesemua modal insan yang mereka ada.

24. Misi kita adalah untuk memastikan kesemua generasi muda kita diberi pendidikan sebaik-baiknya dan tidak membiarkan manamana pelajar ketinggalan di dalam pembelajaran mereka, apa lagi tercicir dari sistem persekolahan kita. Sasaran kita adalah keciciran sifar – bermakna pada masa hadapan, iaitu selepas kita melaksanakan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan kita, tidak ada lagi alasan, tidak ada lagi tolak ansur dan tidak ada lagi maaf bagi sekolah yang membiarkan walau seorang pelajar pun yang gagal tanpa sebarang tindakan menghalangnya.

24. Kerajaan yang bertanggungjawab telah melaksanakan yang terbaik untuk memastikan setiap anak-anak kita mempunyai akses terhadap pendidikan. Kita telah pun memastikan bahawa akses ini terbuka luas kepada mereka berkeperluan khas, yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman dan hari ini kita telah melangkah setapak lagi dengan usaha kita untuk memberikan akses kepada anak-anak yang berada di jalanan dan juga banduan-banduan.

25. Untuk pelajar di peringkat sekolah rendah, kita telah memulakan langkah ini dengan baik melalui pengenalan Dasar Pendidikan Wajib pada tahun 2003 yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah bagi mengikuti pendidikan pada peringkat rendah. Bagi menyokong dasar ini, KPM juga telah memantapkan lagi pelaksanaan pelbagai usaha membasmi keciciran, termasuk dengan menyediakan pendidikan awal melalui program prasekolah, meningkatkan penguasaan kemahiran 3M dan merangka program khas untuk Orang Asli dan Penan.

26. Usaha merapatkan jurang pendidikan dapat dilihat melalui penyediaan pelbagai bentuk kemudahan agar semua anak-anak kita yang berada di luar bandar dan yang berkerluan khas mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Melalui program Lonjakan Saujana Pendidikan Luar Bandar, semua usaha bagi merapatkan jurang pendidikan dipakejkan, termasuklah usaha untuk membangunkan infrastuktur sekolah yang daif dan kurang murid, meningkatkan kadar penyertaan murid serta meningkatkan bilangan guru terlatih dan mengikut opsyen. Saya faham, mungkin ada liputan-liputan media semalam yang menyatakan ada lagi sekolah-sekolah kita yang perlu kita beri tumpuan. Kalau Datin di Selangor terpaksa melaluinya bayangkan Menteri Pelajaran yang kerdil ini yang perlu bertanggung jawab terhadap ribuan sekolah, jutaan pelajar dan guru yang terlibat.

27. Bagi penggal persekolahan 2008 contohnya, selain daripada usaha-usaha yang saya sebutkan tadi, pelbagai jenis bantuan juga telah disediakan. Semalam saya telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM 2.57 bilion untuk bantuan-bantuan tambahan bagi tahun ini yang merupakan peningkatan sebanyak 53 peratus daripada jumlah tahun lepas. Bagaimanapun kita masih belum berpuas hati. Saya telah berbincang dengan Tan Sri KSU dan jumlah ini akan kita pertingkat dan perbanyakkan lagi melalui penjimatan daripada saluran-saluran lain kepada sebanyak RM 3 bilion ringgit. Sekiranya peruntukan tambahan ini dapat diadakan, ia merupakan sekitar 12 peratus daripada peruntukan belanja mengurus tahunan KPM dan 78 peratus lebih tinggi daripada peruntukan yang diberikan dalam tahun 2007.

28. Daripada jumlah itu, RM 343 juta diperuntukkan untuk Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan RM 246.9 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen (SBT) yang turut termasuk bantuan makanan kepada 478,000 pelajar yang mengikuti SBT ini. Bagi mengurangkan risiko keciciran dalam kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman pula, Asrama Harian disediakan untuk menempatkan para pelajar. Sehingga kini, terdapat 1,397 buah asrama harian yang menempatkan lebih 250,000 pelajar. Untuk memudahkan perjalanan pergi dan pulang para pelajar dan sebarang aktiviti seperti lawatan dan sebagainya, sebanyak RM 9.1 juta lagi disediakan sebagai Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid.

29. Pada tahun 2007, bagi menyediakan makanan yang berkhasiat untuk pelajar-pelajar miskin, kerajaan telah menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM 1.20 dan RM 1.35 kepada RM 1.80 di Semenanjung dan RM 2.05 di Sabah, Sarawak dan WP Labuan, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi tahun 2008, RM 276 juta. RM 26.7 juta diperuntukkan untuk Program Susu Sekolah yang akan dimulakan semula pada tahun ini menggunakan pendekatan dan mekanisme baru. Manakala sebanyak RM 50 juta diperuntukkan untuk Bantuan Makan Khas Prasekolah. Bagi anak-anak yang berada di asrama pula, kadar Bantuan Makanan Asrama pula telah dinaikkan antara RM 9.50 dan RM 12 menjadikan peruntukan pada tahun 2008 meningkat daripada RM 665 juta bagi tahun 2007 kepada sebanyak RM 1.14 bilion pada tahun 2008. Selain itu, Kadar Biasiswa Kecil Persekutuan juga telah dinaikkan daripada RM 50 kepada RM 70 sebulan. Dengan kenaikan ini, jumlah yang diperuntukkan pada tahun 2008 untuk Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti dan Skim Biasiswa Sukan telah meningkat kepada RM 268.5 juta.

30. Semasa pembentangan bajet 2008, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan lebih banyak bantuan lagi untuk sesi persekolahan tahun 2008. Paling penting adalah pemansuhan yuran khas sekolah bernilai RM 4.50 bagi murid sekolah rendah dan RM 9.00 bagi pelajar sekolah menengah dan memberikan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua pelajar sejajar dengan hasrat untuk menyediakan pendidikan percuma di negara ini. Langkah ini merupakan satu lagi usaha untuk meringankan bebanan ibu bapa selepas pemansuhan semua yuran peperiksaan awam pada tahun 2007. Agar pelajar miskin dapat mengikuti program kokurikulum dengan lebih sempurna, sebanyak RM 188.8 juta setahun diperuntukkan bagi mengadakan Elaun Pakaian Seragam Unit Beruniform kepada murid di Tahap Dua sekolah rendah dan pelajar di sekolah menengah.

31. Berikutan langkah ini, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM36.7 juta bagi pemansuhan yuran sekolah; RM 255 juta bagi pemansuhan yuran peperiksaan awam; dan RM 300 juta setahun untuk menyediakan buku teks kepada semua pelajar. Segala bantuan yang dinyatakan tadi hanyalah merupakan bantuan yang disediakan oleh KPM dan tidak termasuk bantuan-bantuan yang diagihkan oleh kementerian lain dan juga agensi lain. Saya berharap ramai ibu bapa boleh menarik nafas lega di atas kemurahan hati kerajaan ini.
32. Sebenarnya bila saya di lantik sebagai Menteri Pelajaran, ramai kawan-kawan mengucapkan takziah kepada saya. Bagi mereka, kementerian ini sebuah kementerian yang tidak berbaloi kerana orang tidak akan berterima kasih tetapi di hadapan warga kementerian, terus terang saya ingin menyatakan bahawa sepanjang tempoh tiga tahun saya berada di KPM, saya merasai satu kepuasan yang susah dinilai dan saya amat berterima kasih di atas segala kesungguhan yang ditunjukkan oleh tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

33. Usaha untuk memastikan semua modal insan mendapat pendidikan yang sempurna dan berkualiti perlu dimulakan di sekolah-sekolah kebangsaan. Ini bukan isu perkauman, warna kulit atau agama kerana 80.5 peratus daripada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran merupakan sekolah kebangsaan dan 83.8 peratus daripada pelajar kita belajar di sekolah-sekolah ini. Pelbagai usaha telah dibuat untuk memperkasakan sekolah kebangsaan termasuk menawarkan subjek Bahasa Cina (BC) dan Bahasa Tamil (BT) serta mengukuhkan subjek Pendidikan Islam melalui program Jawi, AlQuran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (jQAF). Pada tahun ini sudah terdapat sebanyak 250 buah SK yang telah menawarkan kelas Bahasa Cina (BC) dan 120 buah SK yang menawarkan kelas Bahasa Tamil (BT) secara rintis. Jumlah pelajar yang mengikuti kelas BC adalah seramai 3,510 orang manakala BT pula, seramai 913 orang. Manakala jumlah sekolah yang menawarkan jQAF pula adalah sebanyak 4,205 buah melibatkan 14,956 orang guru dan 1.03 juta orang pelajar. Sehingga Disember, sebanyak 30 buah makmal jQAF dibina di sekolah yang terlibat dan dijangkakan sebanyak 150 buah lagi akan siap pada tahun 2008. InsyaAllah kajian sedang dibuat untuk memperkembangkan pula pendekatan jQAF ke peringkat menengah agar mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah menengah dapat diperkukuhkan lagi. Sejak diperkenalkan, semakin ramai anak-anak kita di sekolah kebangsaan yang telah khatam alQuran sebelum mereka menamatkan tahun enam. Pada tahun 2006, terdapat seramai 1,800 pelajar kita di seluruh negara yang khatam alQuran dan jumlahnya meningkat kepada 2,560 pelajar pada tahun 2007.

34. Bagaimanapun usaha memperkasa Sekolah Kebangsaan ini akan dilaksanakan tanpa perlu menyekat kewujudan sekolah-sekolah aliran yang lain kerana kita tidak melihat sekolah-sekolah
berlainan aliran ini, termasuk sekolah beraliran agama sebagai saingan atau ancaman. Sebaliknya kita melihat kepelbagaian ini sebagai suatu kekuatan yang dapat meningkatkan daya saing negara. Dalam masa dunia terkapai-kapai mencari jalan untuk mengelakkan pertembungan tamadun dan di antara penganut-penganut agama yang pelbagai, kita di Malaysia telah pun mengamalkannya dan membuktikan kepada dunia bahawa di dalam kepelbagaian ini ada kekuatan. Dalam kepelbagaian ini, kita mampu mengetengahkan anak–anak bangsa yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, sebaris dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Dengan kepelbagaian ini juga kita dapat menyediakan satu sistem pendidikan bukan sahaja untuk memenuhi kehendak semua pihak, tetapi juga untuk melahirkan modal insan yang membawa erti dan makna yang sebenar bagi sebuah negara maju Malaysia menjelang tahun 2020.

35. Jika terdapat tuduhan bahawa kerajaan mengabaikan SJK, saya ingin menyatakan bahawa tuduhan ini tidak benar sebaliknya bermotif jahat. Saya hendak maklumkan kepada orang ramai, jumlah SJKC yang merupakan sekolah kerajaan adalah sebanyak 405 buah dan SJKT, sebanyak 149 buah. Sekolahsekolah ini layak untuk menerima segala bantuan sama seperti yang diberikan kerajaan kepada SK berstatus sekolah kerajaan. Bagi SJK berstatus bantuan modal pula, mereka juga menerima peruntukan mengurus sama seperti yang diperoleh oleh Sekolah Kebangsaan berstatus bantuan modal. Bagi tahun 2006 – 2007, jumlah peruntukan belanja mengurus yang diterima oleh SJKC adalah sebanyak RM 2.27 bilion dan bagi SJKT, sebanyak RM 923 juta. Dari segi peruntukan pembangunan pula untuk tahun 2007, SJKC telah menerima peruntukan sebanyak RM 174.3 juta dan SJKT pula sebanyak RM 64.8 juta. Semua peruntukan ini tidak termasuk peruntukan yang diberikan secara bantuan modal dan bantuan akibat bencana atau atas sebab-sebab kecemasan. Pada waktu yang sama, sejumlah kelulusan juga telah diberikan untuk mengalihkan SJKC dan SJKT yang kurang enrolmen ke kawasan-kawasan baru. Jadi kita perlu bangga dan berani berhadapan dengan mereka yang berfikiran sempit, yang sanggup menggunakan isu-isu yang tidak munasabah dan yang hanya ingin menjadi popular dan kita tunjukkan bahawa jika dibandingkan jumlah sekolah kebangsaan dengan sekolah pelbagai aliran yang ada, kita telah melakukan sebaik yang mungkin. Memang ada cacat cela dalam beberapa pendekatan kita, tetapi ini tidak bermakna bahawa tuduhan-tuduhan mereka yang liar ini dapat diterima. Sebab itu, saya meminta setiap warga KPM bangkit dan menyatakan kepada mereka bahawa tuduhan liar mereka ini tidak boleh diterima di dalam Kementerian Pelajaran Malaysia.

36. Pada waktu yang sama, KPM akan meneruskan usaha untuk memantapkan lagi pendidikan agama Islam dan meningkatkan kualiti pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan juga Sekolah Agama Negeri (SAN). SAR dan SAN akan terus ditawarkan tempat untuk bernaung di bawah kementerian bagi membolehkan sekolah-sekolah ini menerima bantuan seperti yang diterima oleh sekolah bantuan kerajaan yang lain. Sejak pendaftaran sekolah-sekolah ini sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebanyak RM 147.5 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk menaik taraf sekolah-sekolah ini dan seramai 35,722 orang pelajar telah menerima manfaat daripadanya. Tugas kita bukan untuk merampas tanah mana-mana pihak dan bukan untuk merampas kuasa mana-mana lembaga sekolah, tetapi bagi menunjukkan bahawa Pendidikan Islam bukan seperti yang dituduh dan didakwa, iaitu bukan sarang untuk melahirkan pengganas dan pengebom berani mati serta Islam bukan agama yang tidak mampu meneroka teknologi dan tidak mampu memahami kehendak dunia hari ini. Jelas, beberapa buah negara yang datang untuk melihat sendiri sistem pendidikan Islam di negara ini telah menyatakan kepada saya bahawa sistem pendidikan agama Islam kita boleh dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini.

37. Dengan pengiktirafan tadi dan dengan pengakuan bahawa kepelbagaian itu dilihat sebagai suatu kekuatan, tidak bermakna bahawa kita tidak akan berusaha memperhebatkan lagi program-program integrasi dan interaksi. Program-program ini diperhebatkan lagi dan ini tidak terhad kepada sekolah-sekolah agama dan SJK sahaja, tetapi juga akan melibatkan sekolah-sekolah swasta dan sekolah-sekolah antarabangsa. Kita hendak program-program di dalam RIMUP seperti integrasi, akademik, kokurikulum dan sukan diperhebatkan lagi dan semalam dalam pertemuan saya dengan guru-guru di Sekolah Puay Chai, mereka telah bersetuju untuk memperhebatkan lagi program integrasi dalam kalangan sekolah pelbagai aliran ini. Ini merupakan satu cabaran yang mesti kita laksanakan dalam tahun 2008 ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

38. Saya sentiasa berpegang kepada kepercayaan bahawa setiap anak kita mempunyai bakat dan potensi yang berbeza. Tempoh yang diambil untuk bakat dan potensi mereka berkembang juga tidak sama. Tugas utama kita adalah membuka seluas-luas ruang dan peluang bagi anak-anak kita ini memperkembangkan potensi diri mereka serta melengkapkan diri mereka dengan sebanyak mungkin kemahiran yang relevan dengan keperluan hari ini. Trend dunia ketika ini adalah untuk melihat ke arah penyediaan satu sistem pendidikan yang lebih bersifat holistik dan perseorangan (personalised) berbanding amalan sedia ada.

39. Ini merupakan rasional kenapa kita ingin meneliti semula kurikulum kebangsaan kita serta merintis pendekatan bagi membuat perubahan terhadap kurikulum dan bidang kokurikulum. Kita juga mahu agar Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dirombak dan direformasi bagi melahirkan pelajar yang benar-benar menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

40. Sistem pentaksiran yang ingin kita laksanakan nanti diharap dapat mengurangkan risiko keciciran, melahirkan pelajar yang benar-benar menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran, menjadikan guru sebagai pemudah cara yang berkesan, mengurangkan peperiksaan berpusat dan sekaligus mengurangkan tekanan peperiksaan yang dihadapi oleh pelajar, guru dan ibu bapa. Dengan pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran yang bersifat alternatif dan autentik seperti pentaksiran kerja kursus, projek, persembahan, aktiviti jasmani, kokurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri murid boleh dilaksanakan. Melalui pentaksiran itu bukan sahaja penguasaan murid dapat dilaporkan, malahan proses pembinaan modal insan dapat diteruskan.

41. Penekanan terhadap Peperiksaan Pusat pula akan dikurangkan melalui pelbagai cara seperti mengurangkan bilangan mata pelajaran yang boleh diambil oleh murid, mengadakan jadual yang lebih fleksibel serta mengasingkan peperiksaan aliran vokasional daripada aliran akademik. Untuk mengurangkan tekanan peperiksaan pusat juga, KPM bersetuju mulai tahun ini, untuk memperkenalkan Jadual Waktu Berperingkat (JWB) bagi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang juga bertujuan untuk mengurangkan masalah ponteng sekolah selepas peperiksaan pusat sebelum cuti akhir tahun persekolahan.

42. Bagi memastikan reformasi ini terlaksana dengan lancar, tidak boleh dielak, golongan guru dari kepimpinan sekolah memainkan peranan yang sangat utama. Trend dunia menunjukkan, sistem pendidikan terbaik merekrut hanya mereka yang terbaik saja untuk pendidikan. Finland
misalnya hanya merekrut dalam kalangan 10 peratus teratas calon yang paling cemerlang, manakala Hong Kong pula, 30 peratus teratas. Trend dunia menunjukkan bahawa sekolahsekolah cemerlang menghantar sendiri guruguru mereka mengikuti program latihan dan pembangunan profesional secara berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran mereka. Kita mula dengan sekolah-sekolah kluster kita tahun ini juga.

43. Boleh dikatakan kita telah mengambil pendekatan yang wajar dan betul sejak tahun 2004, apabila memberi tumpuan kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Dalam PIPP, lima strategi utama kita di dalam teras Memartabat Profesion Keguruan adalah pertama, menambah baik sistem pemilihan calon guru; kedua, memantapkan latihan perguruan; ketiga, memantapkan kerjaya guru; keempat, menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru; dan kelima, memantapkan perancangan dan pengurusan sumber manusia.

44. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh menafikan, dalam masa yang begitu singkat, pelbagai usaha untuk memartabatkan profesion keguruan telah dapat kita laksanakan. Dalam usaha untuk memantapkan latihan perguruan, KPM telah menggubal Kurikulum Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan kerjasama Fakulti Pendidikan universiti awam tempatan dan luar negara. Bagi membantu meningkatkan lagi kelayakan ikhtisas para tenaga pengajar di IPG, KPM mensasarkan penawaran sebanyak 503 Hadiah Latihan Persekutuan untuk pengajian peringkat doktor falsafah dan 2,051 lagi untuk pengajian peringkat sarjana di sepanjang tempoh 2006 hingga 2010. Di samping itu juga, di bawah Program Pensarjanaan Tenaga Pengajar IPG pula, sebanyak 1,380 penajaan dalam bentuk biasiswa atau hadiah akan ditawarkan kepada pensyarah di sepanjang tempoh 2007 hingga 2010.

46. Bagi memastikan kerjaya guru terus menarik kepada calon yang terbaik, usaha telah dilaksanakan untuk menambah baik lagi skim perkhidmatan sedia ada. Pada 1 hb. Julai 2007, Kerajaan telah menunjukkan keprihatinan terhadap sumbangan para guru dengan membolehkan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma mempunyai empat lapisan gred iaitu Gred DGA29, DGA32, DGA34 dan DGA38. Kewujudan sebanyak 1,700 jawatan untuk sebaran lima (5) tahun yang dikhaskan kepada Guru Besar Sekolah Kluster dan Guru Besar Cemerlang Sekolah Rendah bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan kompleksiti tanggungjawab para Guru Besar tetapi juga telah menyediakan faedah dan kenaikan gaji yang lebih baik. Sehingga kini, sebanyak 338 orang PPPLD yang telah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat dan telah ditawar ke jawatan tersebut.

47. Sebagaimana yang kita sedia maklum pada Oktober 2006, kerajaan telah meluluskan penambahan kuota Pengetua dan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan PPPLD. Urusan kenaikan pangkat ini telah dibuat secara berperingkat-peringkat dalam tahun 2007. Sehingga kini, seramai sepuluh orang Pengetua Cemerlang JUSA C, tiga orang Pengetua Cemerlang Gred DG54 dan 300 orang Pengetua Cemerlang Gred DG52 telah dilantik dan sedang berkhidmat di IPG dan sekolahsekolah.Bagi Guru Cemerlang Gred Khas C pula, seramai 19 orang telah dilantik, Guru Cemerlang DG54, 11 orang, Guru Cemerlang DG52, 39 orang, Guru Cemerlang DG48, 497 orang dan Guru Cemerlang Gred DG44, seramai 74 orang. Bagi Guru Cemerlang PPPLD seramai 112 orang Guru Cemerlang gred DGA34 dan 1,436 orang Guru Cemerlang gred DGA32 telah dilantik. Selain itu, dalam urusan kenaikan pangkat secara Time Based sebanyak 34,795 orang PPPLD gred DGA29 telah dinaikkan pangkat ke gred
DGA32, manakala 7,393 orang PPPS telah dinaikkan pangkat ke gred DG 44 dan 253 PPPS DG44 ke gred DG48. Adalah diharapkan pengisian kuota-kuota Pengetua dan guru cemerlang dapat dipercepatkan lagi untuk membolehkan mereka yang cemerlang dan masih berada di dalam sistem ini, menikmati manfaat tersebut dan sekaligus meningkatkan sumbangan mereka dalam melonjakkan kecemerlangan institusi masing-masing.

48. Banyak yang telah kita lakukan dan sekali lagi kita mendapat pengiktirafan, malah ucapan terima kasih pun tidak diluahkan. Bila membuat rayuan untuk masuk ke IPG, mereka sanggup tunggu di luar pintu menteri setiap hari dan SMS berulangulang kali. Bila menteri beri syarat jangan pilih lokasi dan perlu sanggup mengajar di luar bandar, mereka kata, “tak apa Dato’, kalau Dato’ arah esok, esok saya ke Sabah dan Sarawak pedalaman”, “tak apa Dato’ demi pengorbanan dan perjuangan, saya sanggup tunggu,” tetapi semalam saya dengar ada yang tidak tahan lagi, tidak larat tunggu dan mengadu. Sabar sajalah kita.

49. Seperti yang saya pernah sebutkan, hasrat kita di dalam usaha memartabatkan profesion keguruan ini adalah bukan sahaja untuk melahirkan guru yang berkualiti, tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu memastikan mereka yang berkualiti ini kekal di dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Amat menyedihkan apabila saya, timbalan-timbalan menteri dan setiausaha parlimen, Dato’ Alimuddin, Tan Sri Zul dan pegawai-pegawai kita membuat lawatan di negara-negara jiran dan melihat ramai guru-guru kita yang mengajar di negara-negara luar negara sendiri. Jadi usaha yang kita lakukan ini bukan hanya untuk menyenangkan dan mengiktiraf profesion perguruan, tetapi sekurang-kurangnya harapan saya ialah untuk memastikan bukan sahaja guru-guru kita berkualiti kita ini kekal di dalam sistem pendidikan.

50. Saya percaya bahawa pencapaian cemerlang anak-anak kita datang dari usaha serta kebijaksanaan yang konsisten guru-guru kita, iaitu profesional yang tidak pernah jemu berusaha; yang mengajar dengan lebih baik pada hari esok dan sentiasa belajar dari kelemahan hari ini; yang tidak pernah mengalah apabila pelajar mereka ketinggalan, jauh dari menganggap bahawa mereka ini tidak cerdik, malas atau kurang berupaya sebaliknya bertanya kepada diri sendiri apa lagi yang perlu aku lakukan agar pelajar mereka dapat menguasai setiap yang diajar.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

51. Kita bersyukur hari ini, dunia telah memberi pengiktirafan kepada sistem pendidikan di Malaysia. Justeru kita akan meneruskan agenda pengantarabangsaan sistem dan institusi pendidikan pada tahun ini. Melalui agenda kita ini, kita harap dapat mendedahkan pelajar dengan persaingan global sejak awal lagi. Kita juga mahu mereka belajar menghargai perbezaan negara dan bangsa lain agar mereka mampu beradaptasi sebagai warga global dengan baik. Usaha-usaha juga akan dibuat bagi meningkatkan kepakaran para pegawai dan warga pendidik di peringkat antarabangsa. Usaha-usaha pengantarabangsaan ini penting sejajar dengan hasrat kita untuk menjadikan sistem pendidikan negara sebagai benchmark atau penanda aras sekurangkurangnya kepada negaranegara yang berdekatan khususnya di rantau Asean dan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

52. Hari ini kita gembira kerana kurikulum kita menjadi rujukan negara-negara tertentu di dunia. Misalnya, kurikulum Pendidikan Islam kita telah mendapat pengiktirafan daripada International Bureau of Education di Geneva dan telah dijadikan sebagai rujukan bagi menggubal kurikulum Pendidikan Islam di Afghanistan. Selain itu, Thailand juga memohon agar Malaysia membantu mereka menggubal kurikulum Pendidikan Islam dan latihan perguruan di Selatan Thailand. Kita juga telah diminta untuk memberikan taklimat kepada negaranegara lain seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia.

53. Salah satu hasrat KPM ialah menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau di samping melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara ke tahap dunia. Untuk mencapai tujuan ini, pelbagai program dalam bentuk kerjasama telah dirintis dengan universiti berprestij di luar negara seperti di Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia, New Zealand dan China. Ia meliputi program seperti Program Kembar Bachelor of Education (TESL), program Pelajar Cemerlang yang dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru, Program Pelajar Cemerlang Tenaga Pengajar Kolej Matrikulasi yang dikendalikan Bahagian Matrikulasi, Program Kolaborasi PISMP, Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), Program bersama Bejing Foreign Studies University dalam Bahasa Cina sebagai bahasa kedua dan Program Kolaborasi Sarjana Muda Pengajaran Sekolah Rendah yang melibatkan kerjasama Malaysia dengan sembilan (9) buah universiti luar negara. KPM juga telah merintis kerjasama dengan Universiti FancheComte, Perancis untuk Program Bahasa Perancis. Kita juga telah membina hubungan dua hala dengan negara seperti Singapura dan China yang saya yakin akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak perkongsian pengalaman dan bertukar pandangan berhubung bidang pendidikan secara lebih terarah dalam program-program pembangunan sukan, apresiasi seni dan pendidikan khas.

54. Pada masa yang sama, latihan perguruan kita turut mendapat pengiktirafan antarabangsa. Setakat ini, negara-negara Asean telah menghantar guru-guru mereka untuk menjalani latihan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan di IPG kita. Pada bulan ini, sekumpulan pelajar dari Universiti Regina, Saskatchewan, Kanada akan menjalani program sandaran selama satu semester di Institut Perguruan Persekutuan di Pulau Pinang. Ini adalah petunjuk kepada kualiti sistem pendidikan negara kita yang telah membuka mata dunia dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

55. Tidak lama lagi, iaitu di dalam bulan Mac, kita akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Majlis Pertubuhan MenteriMenteri Pelajaran Asia Tenggara ke 43 (SEAMEC) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN ke 3 (ASED). Satu Persidangan ICT yang melibatkan bukan sahaja negara-negara anggota ASEAN, malah negara-negara luar yang lain akan turut diadakan secara ‘backtoback’ dengan SEAMEC. Pada bulan yang sama juga, kita akan menjadi tuan rumah kepada Cabaran Teknologi F1 peringkat antarabangsa yang diadakan secara `backtoback’ dengan Grand Prix F1 di Sepang. Ini merupakan masa yang terbaik untuk memasarkan Malaysia dan sistem pendidikan negara kepada dunia. Dengan perancangan yang tersusun, persidangan tersebutakan mampu menjadi ‘showcase’ bagi memperkukuhkan inisiatif Kementerian Pelajaran untuk meletakkan pendidikan Malaysia di platform antarabangsa. Saya yakin Kementerian Pelajaran Malaysia boleh dan jika saya tidak berkeyakinan tidak mungkin saya akan menawarkan untuk menganjurkan mesyuarat-mesyuarat sebegini. Saya cukup yakin kita dapat melakukannya. Disebabkan itu, baru-baru ini saya telah menjemput semua Menteri Pelajaran dari 54 buah negara Komanwel untuk datang ke Malaysia pada tahun 2009 bagi melihat sendiri kejayaan dan pencapaian kita di Malaysia. YAB Perdana Menteri di CHOGM baru-baru ini, telah memberitahu kepada saya bahawa semua pemimpin-pemimpin negara anggota juga telah bersetuju agar kita menjadi tuan rumah kepada persidangan ini pada tahun 2009.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

56. Dalam laporan terbaru UNESCO EDUCATION COUNTS, Benchmarking Progress in 19 World Education Indicators (WEI) Countries 2007 disebut bahawa Malaysia dan Tunisia mempunyai pelaburan awam yang besar dalam pendidikan berbanding kebanyakan negara di dalam Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD). Malaysia juga merupakan di kalangan negara dalam WEI yang berbelanja paling tinggi untuk pendidikan, iaitu 5.8 peratus daripada KNK negara. Segala ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan di kalangan rakyat negara ini.

57. Segala ini menunjukkan kita berada di atas landasan yang tepat, tetapi kita tidak boleh berasa terlalu selesa. Ketika ini di seluruh dunia, kualiti dan tahap pendidikan negara-negara lain semakin meningkat dan peningkatan ini berlaku terlalu cepat dan terlalu pantas. Seperti yang saya pernah katakan, sistem pendidikan kita ketika ini berada di persimpangan dan sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh mengekalkan momentum yang ada ini, tidak mustahil lima tahun akan datang negara kita akan jauh ketinggalan ke belakang negara-negara yang sedang mengejar kita. Tindakan dan keputusan yang hendak kita ambil hari ini bukan sahaja amat kritikal untuk kemakmuran jangka panjang negara malah lebih penting daripada itu, iaitu untuk survival generasi muda masa hadapan.

58. Saya hendak memaklumkan kepada tuan-tuan dan puan-puan, pada hari yang mulia ini, di dalam majlis yang diberkati ini, bahawa saya mempunyai barisan kepimpinan tertinggi dan kanan di Kementerian Pelajaran yang boleh kita harapkan. Bukan yang dahulu tidak boleh diharap, tetapi sekurang-kurangnya hari ini, saya sudah memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing dan mereka juga memahami kehendak Menteri Pelajaran. Kita mempunyai tiga tahun lagi untuk merintis pembaharuan dan melihat bagaimana kita dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan pelaksanaan kita. 2008 ialah permulaan untuk kita menunjukkan bukan sahaja kejayaan–kejayaan dalam tahun 2007 tetapi juga masa untuk kita mula menganjakkan sistem pendidikan kita ke suatu tahap yang lebih tinggi lagi. Bagaimanapun semua ini tidak bermakna jika negara kita tidak aman, tidak makmur, tidak stabil dari segi politik dan tidak kukuh dari segi ekonomi. Kita telah berjaya mengadakan pendidikan kepada semua rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, tidak kira kedudukan kaum dan agama. Seperti yang di sebut oleh Menteri Pelajaran Palestin semasa sidang meja bulat di UNESCO Oktober lalu, sebuah negara hanya dapat memberikan pendidikan yang baik kepada rakyatnya sekiranya ada kestabilan politik dan ekonomi di dalam negara sendiri. Hari ini selepas hampir empat tahun diberi mandat, kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa sebahagian besar janji-janji berkaitan bidang pendidikan di dalam manifesto kita telah ditunaikan.

60. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah bekerja keras, komited, ikhlas dan jujur sepanjang tahun 2007. Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, saya telah melihat sendiri kemahiran, kemampuan dan kesungguhan setiap warga Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesungguhnya kita memerlukan arah tuju yang jelas, kita memerlukan kepimpinan yang berkesan serta penyatuan hati, tenaga dan fikiran semua warga Kementerian Pelajaran untuk menjayakan amanah bangsa, agama dan negara yang telah dipikulkan di atas kepala dan bahu kita ini. Marilah sama-sama kita merintis ke arah perubahan masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sekian, terima kasih.

0 ulasan:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.