UCAPAN MANTAN YDP SMK BUKIT GOH 2008

Bismillahirrahmaanirrahim
Assalaamualaikum warahmatuLlahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Terima kasih pengacara majlis,

Yang berusaha Encik Zulaffandi bin Ahmad,
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh,

Barisan AJK Persatuan Ibubapa dan Guru
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh

Guru-Guru Penolong Kanan,
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh

Guru-guru serta ibubapa dikasihi sekalian.


Segala puji-pujian kepada tuhan semesta alam. Selawat dan salam untuk
junjungan Rasulullah S.A.W dan para sahabat

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul dalam majlis yang amat bermakna ini, iaitu Mesyuarat Agung PIBG, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh sesi 2008/2009.

2) Sempena majlis ini, saya bagi pihak Persatuan Ibubapa dan Guru ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Encik Zulaffandi bin Ahmad kerana dapat meluangkan masa untuk bersama-sama kita semua mesyuarat agung kali ini. Sesungguhnya, bersamanya Tuan Pengetua bersama kita pada pagi ini mencerminkan iltizam dan sikap prihatin beliau terhadap Persatuan Ibubapa dan Guru yang kita kasihi ini..

3) Syabas dan terima kasih juga saya hulurkan kepada para ibu bapa yang sanggup berkorban serta sentiasa memberi dorongan, bimbingan dan didikan kepada anak-anak sehingga mereka menggapai kejayaan yang cemerlang dalam sesi persekolahan di sekolah ini. Tidak dilupakan kepada para pendidik yang tidak pernah jemu meneruskan perjuangan dalam membentuk generasi muda yang mempunyai pemikiran yang kreatif, kritis dan inovatif.
Hadirin dan hadirat sekalian,

4) Anak-anak adalah permata berharga anugerah ALlah. Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap generasi anak-anak kita, kerana bagi saya, anak anak ialah aset kepada pembangunan negara. Tanpa anak-anak kita yang mempunyai minda kelas pertama, segala perancangan yang tidak mungkin akan menjadi realiti. Bagi saya, keutuhan sesebuah negara bergantung kepada kecekapan pelajar-pelajar kita, yang suatu hari nanti akan menjadi barisan pemimpin negara. Oleh itu, generasi hari ini hendaklah dilengkapkan dengan bukan sahaja ilmu akademiknya yang tinggi tetapi juga tinggi dengan kebolehan, kemahiran dan kecekapan dalam pelbagai bidang dan lapangan. Imam Al Ghazali pernah menegaskan dengan katanya,”… Anak-anak bagaikan permata yang boleh dibentuk mengikut kehendak pengukirnya…”


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

5) Dalam usaha menjamin kecemerlangan pendidikan, para ibubapa sewajarnya berganding bahu bersama guru-guru mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan lagi prestasi pelajaran anak-anak kita di sekolah, kerana usaha-usaha untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi emosi, rohani, jasmani dan intelek selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara tidak akan berjaya tanpa dokongan para ibubapa.

6) Para ibubapa seharusnya lebih bermotivasi, bervisi dan berikhtiar untuk membentuk falsafah hidup yang baik kepada anak-anak mereka. Masyarakat ilmu di sekolah yang dipimpin oleh guru yang penuh berdisiplin, berdedikasi dan penyayang akan menjadi pemangkin kepada pembentukan diri dan sahsiah pelajar. Didikan terhadap murid merangkumi aspek-aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek secara menyeluruh dan bersepadu supaya murid memperoleh kesejahteraan diri dan dapat memberi sumbangan positif terhadap bangsa, agama dan negara.

7) Anak-anak kita perlu dididik sejak dari kecil lagi. Jangan sudah menjadi buluh, barulah kita ingin melenturnya. Inilah pesanan yang berharga penuh diungkapkan oleh tokoh ilmuwan Nusantara yang dikagumi iaitu Dr. Hamka yang berpesan kepada kita ibubapa dengan katanya,”…hendaklah adab sopan anak-anak dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan…”

8) Untuk mencapai matlamat ini, semua pihak yang berkepentingan dalam pendidikan di sekolah iaitu guru, ibu bapa dan masyarakat perlu bekerjasama memahami, menghayati, dan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti sekolah yang selaras dengan matlamat pendidikan negara dan juga mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah yang dihadapi secara positif kerana pendidikan adalah tanggungjawab bersama.


Hadirin sekalian,

9) Permulaan untuk mendapat hikmah dalam kehidupan ialah pada hati. Hati yang bersih dan suci membuatkan pelajar lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai rintangan hidup pada masa hadapan. Penglibatan ibu bapa dan penjaga dalam aktiviti serta kegiatan yang dianjurkan oleh PIBG juga amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. PIBG merupakan saluran perantaraan komunikasi antara guru-guru dan ibu bapa atau penjaga. Oleh itu, amat wajar semua pihak bekerjasama membina minda berasaskan kepada hati yang suci dan mulia. Dalam konteks mendidik secara positif, kreatif dan inovatif ke arah kecemerlangan perlu berasaskan kepada niat dan hati yang bersih dan mulus supaya tidak berlaku sesuatu yang negatif dan merosakkan.

10) Ibubapa perlu menanamkan keazaman yang tinggi untuk menimba ilmu dan nilai-nilai murni kepada anak-anak pada zaman persekolahan ini. Anak-anak harus dibentuk supaya memandang jauh, fikirkan apa yang akan berlaku pada sepuluh tahun akan datang. Dengan berfikiran sedemikian, anak-anak kita akan lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai rintangan hidup pada masa hadapan. Ingatkan kepada anak-anak kita, manusia yang berjaya ialah manusia yang berilmu, berakhlak mulia dan berketerampilan hasil kecerdikan akalnya, kesedaran dalaman dan kesejahteraan jasmaninya.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

11) Banyak masalah yang dihadapi oleh guru akan selesai sekiranya ibu bapa turut bekerjasama. Selain itu, PIBG juga dapat mengeratkan tali silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Dari itu, sebarang salah faham dan pertelingkahan pastinya dapat diselesaikan dengan mudah dan akan memberi faedah kepada murid-murid dan pihak sekolah. Bagi kami AJK PIBG, bersedia bila-bila masa untuk menjadi tempat mengadu sebarang masalah yang dihadapi oleh ibubapa. Saya selaku YDP PIBG mengharap sangat agar ibubapa tidak terus berjumpa dengan guru jika berlaku masalah kerana tidak mahu berlaku sesuatu yang tidak kita ingini. Oleh itu gunakan saluran PIBG jika timbul sebarang masalah.

12) Mendidik anak ketika kecil umpama mengukir di atas batu tetapi mendidik anak apabila dewasa umpama mengukir di atas air, yang mana kesannya tidak kelihatan. Menyedari hakikat itu, kita semua bertanggungjawab mendidik anak-anak supaya menjadi generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan mampu memberi sumbangan yang positif kepada keluarga, masyarakat, dan negara. Kementerian Pelajaran juga telah menggubal dasar, mengadakan program dan mengambil pendekatan yang wajar bagi memastikan sistem pendidikan negara relevan dengan keadaan semasa.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

13) Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, kita telah dapat mewujudkan Jawatankuasa Permuafakatan Sekolah yang dianggotai oleh badan-badan dan institusi yang berada dalam masyarakat seperti Polis, Klinik Kesihatan, Rela, Belia, JKK, pihak masjid dan lain-lain lagi. Jawatankuasa ini amat penting untuk membantu pihak sekolah dan pelajar ke arah menjayakan visi dan misi sekolah. Sebarang masalah yang timbul dapat diselesaikan melalui pemuafakatan ini.

14) Dalam mesyuarat yang pertama, beberapa aktiviti telah dirancang, antaranya membina garisan kuning di hadapan sekolah sebagai amran berjaga-jaga kepada semua pengguna jalanraya untuk mengelakkan kemalangan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah. Di samping itu, kawasan menunggu bagi bas sekolah juga akan disusun untuk mengelakkan kesesakan jalanraya semasa datang dan balik sekolah. Pihak-pihak yang terlibatkan juga boleh dijemput untuk menyampaikan sebarang maklumat dalam perhimpunan sekolah jika ada keperluan. Bagi saya, jika segala perancangan ini berjaya, ianya merupakan sesuatu yang amat membanggakan.

15) Dikesempatan berharga ini, izinkan saya menyentuh sedikit tentang perlunya ibubapa membantu sekolah mengatasi masalah disiplin anak-anak kita sendiri. Saya dimaklumkan oleh pihak sekolah, gejala ponteng kelas dan sekolah, termasuk Skim Tuisyen FELDA agak ketara. Saya yakin pihak guru dan sekolah telah melakukan yang terbaik untuk mengatasi masalah disiplin ini. Cumanya, kita dipihak ibubapa yang mana anak itu adalah anak kita yang seharusnya memberikan tumpuan khusus dalam hal disiplin ini. Oleh itu saya menyarankan agar kita ibubapa mengambil berat dalam membentuk disiplin anak-anak kita. Selalulah ringankan mulut untuk menasihati mereka dan berilah sebahagian masa kita untuk mereka. Kadangkala gejala negatif ini berlaku disebabkan kurangnya perhatian kita kepada mereka. Saya juga dimaklumkan oleh guru-guru, pelajar yang tercicir pelajaran mereka adalah pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Janganlah hendaknya kelekaan kita mencari rezeki melupakan kita kepada pendidikan anak-anak. Ingatilah Falsafah Belanda yang berbunyi, “ Lalai sesaat adakalanya mencucurkan air mata setahun” dan ingatkan juga bahawa, “Apa yang kita tanam hari ini, itulah yang akan kita tuai esoknya.”

Para guru dan ibubapa yang dikasihi,

16) Mungkin sebahagian daripada kita mengetahui mengenai operasi mengesan motosikal curi telah dilakukan oleh pihak polis baru-baru ini. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, gejala mencuri motosikal, menceraikan bahagian-bahagian motosikal dan menjualnya telah mula dikesan berlaku di sekitar kita. Di samping itu, apabila anak-anak yang masih belajar dibenarkan bermotosikal oleh ibubapa, ianya akan menjadikan mereka panjang akal dan panjang langkah. Oleh itu saya menyarankan agar anak-anak kita yang tidak mempunyai lesen yang sah tidak dibenarkan membawa motosikal ke sekolah. Jika berlaku kemalangan, pelajar akan dipersalahkan dan ibubapa yang membenarkan anak-anak menaikinya tanpa lesen akan dilibatkan sama. Saya juga menyarankan agar anak-anak kita menaiki bas sekolah yang disediakan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

17) Pelaburan paling indah yang dapat kita berikan kepada anak-anak kita adalah waktu dan mutu komunikasi yang berpatutan. Kerana itulah, seorang cendekiawan, Zig Ziglar pernah berkata, “ Kehadiran dan percakapan anda dalam kehidupan anak-anak adalah lebih baik daripada seribu hadiah”. Bekerja tidak memberikan pelaburan yang kekal berbanding dengan melaungkan ,masa yang cukup untuk anak-anak dan keluarga.

18) Akhirnya, jika ada kebaikan pada ucapan saya ini, anggaplah ia nasihat seorang sahabat kepada sahabat yang dikasihi kerana

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar,
Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan,
Sahabat sejati menjadi pendorong impian,
Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Kata orang lama, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Kita ambil yang jernih, namun yang keruh usah dibuang begitu sahaja, sulingkan, ia pasti akan jadi jernih jua.

19) Akhir kata, saya bagi pihak semua ibubapa dan penjaga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua guru yang begitu tabah dan sabar mendidik anak-anak kami walaupun seribu satu kerenah yang mereka lakukan. Budimu guru tak terbalas oleh kami, hanya doa yang kami iringi semoga Allah membalasnya dengan yang terbaik disisiNya. Halalkan segala ilmu yang telah disampaikan kepada anak-anak kami dan andaikata ada air mata para guru yang mengalir disebabkan telatah anak-anak kami, kami memohon kemaafan dan semoga air mata itu menjadi penebus kepada dosa-dosa kita kepada Allah SWT.

20) Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa yang terdiri daripada guru-guru dan ibu bapa yang telah bersama-sama bertungkus lumus menjayakan segala perancangan dan aktiviti PIBG. Sesungguhnya kerjasama yang sebegini erat dan utuh hendaklah diteruskan agar kecemerlangan anak-anak sentiasa dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.


Sekian, terima kasih

Wassalamu alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh

1 ulasan:

Amier berkata...

Assalamualikum, secara tidak sengaja melayari blog saudara. Saya rindukan suasana smkbg (1991 -1996)

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 KEMBARA SUFI |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.